“Ustaz, kenapa Allah uji saya macam ni? Apa
salah saya?”
Seorang gadis tingkatan 1 menangis di hadapan
saya dengan teresak-esak. Malam itu, saya diberikan peluang memberikan
perkongsian dalam sebuah sekolah menengah agama di Perak. Usai habis
perkongsian, datang beberapa orang pelajar bertanyakan soalan peribadi. Dan
akhirnya, sebelum saya balik, ada seorang pelajar tingkatan 1 datang pada saya.
Dia datang kepada saya bukan untuk bertanyakan soalan, tetapi lebih kepada
meminta kata-kata semangat.
“Ustaz, boleh
tak ustaz bagi kata semangat pada saya? Saya sedih dengan keluarga saya. Saya
sedih dengan mak ayah saya. Saya sedih dengan adik beradik saya. Ustaz, tolong
bagi saya kata-kata semangat supaya saya kuat untuk hadapi ujian keluarga macam
ni..”
Bila saya mendengar luahannya, mata saya mula
berkaca. Saya faham bahawa beratnya untuk menanggung beban ujian seawal usia
sebegitu. Sebab saya juga pernah melalui situasi macam itu. Ujian yang datang
secara bersilih ganti. Ada masa, ujian yang Allah berikan itu terasa senang
untuk kita hadapi. Tetapi dalam banyak keadaan, ujian yang Allah berikan itu
kita rasakan terlalu berat untuk ditanggung hingga akhirnya kita tertekan
dengan tekanan yang teramat sangat. Hingga akhirnya, kita pun mengeluh,
“Kenapa mesti aku yang kena ?!”
Ujian Berbeza.
Setiap daripada kita pasti akan diuji dengan
ujian yang berbeza-beza. Apa yang saya hadapi, mungkin kamu tak pernah dan tak
akan hadapi. Dan apa yang kamu hadapi, mungkin saya tak pernah dan tak akan
hadapi.
Kenapa
pula?
Sebab
Allah dah beritahu bahawa kita semua PASTI akan diuji berdasarkan apa yang
kita mampu. Allah dah sebutkan di dalam Al Quran,
“Allah tidak
membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.”
(Surah al Baqarah 2:286)
Allah
dah beritahu bahawa kita semua diuji berdasarkan APA yang kita mampu. Ya, dalam hidup ini, Allah
akan berikan setiap ujian berdasarkan kapasiti kemampuan kita. Ujian demi ujian
yang kita terpaksa lalui, sebenarnya PASTI dan PASTI kita kuat dan mampu
sangat untuk hadapi. Percayalah, you never know how strong you are, until
being strong is the ONLY choice you have.
“Tetapi Shuk, aku memang tak mampu.
Dan, ada masa aku rasa macam nak bunuh diri. Serius, aku tak mampu..”
Tarik
nafas sedalam yang mungkin. Saya nak beritahu kamu satu rahsia. Nak tahu apa
dia? Ketahuilah, apa yang kita fikir, adalah apa yang kita doa kepada Allah.
Maknanya, kalau kamu fikir tak
mampu, selamanya kamu tak akan mampu dan
tak akan boleh hadapi. Tetapi kalau kamu fikir mampu, selamanya kamu
akan mampu dan boleh hadapi. Kenapa saya cakap macam ini? Sebab Allah
pernah menyebut dalam satu hadis Qudsi,
“Aku adalah apa
yang hamba-Ku sangkakan..”
(Muttafaqun ‘alaih)
Allah
adalah seperti apa yang kita sangkakan. Maksudnya, apa yang kita sangkakan
itu secara tak langsung akan menjadi DOA kepada Allah. Kalau kita sangka
tidak mampu, seolah kita sedang berdoa kepada Allah supaya bagi kita untuk
tidak mampu, dan paling kritikal adalah, jika Allah tunaikan ‘permintaan’ kita.
Lalu selamanya kita tak akan mampu. Naudzubillah !
"Hai
orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya
sebahagian prasangka itu adalah dosa."
(Surah Al Hujuraat 49:12).
Sebab
itu, penting untuk kita bersangka baik kepada Allah dan diri sendiri. Kita
semua mampu hadapi setiap ujian yang Allah berikan, cuma tinggal lagi pada diri
kita untuk uruskan mindset macam mana saja. Betul, memang easier said than
done. Cakap memang mudah, nak buatnya susah. Tetapi, apa salahnya kalau
kita mencuba bersangka baik pada Allah. Kan?
![]() |
Dapatkan buku Pujukan Dari Tuhan karya Shukery Azizan di semua rangkaian kedai buku di seluruh Malaysia. |
Kenapa Allah
Menguji?
Masa zaman saya belajar di UKM dulu, ada
banyak peristiwa yang saya diuji sehingga terduduk dan menangis. Dan saat diuji
itu juga, ada masa saya pilih untuk bersendirian. Tetapi syukur saya faham
bahawa, bukan semua ujian kita perlu hadapi sendirian. Dalam banyak keadaan,
berkongsi cerita berkaitan masalah dan ujian yang kita hadapi kepada sahabat
baik sangat penting. Ini pentingnya ada sahabat yang baik. Di UKM dahulu, banyak
kali saya bercerita masalah kepada beberapa orang sahabat baik antaranya
almarhum Ustaz Abdillah, Ustaz Adnin, dan sebagainya.
Pernah satu ketika, saya menghubungi Ustaz
Adnin untuk berbual kosong. Tujuan saya hanyalah untuk meredakan tekanan jiwa. Saya
pun berbual dengan dia seketika. Baru saja dia nak tanya tentang masalah saya,
saya terus beritahu,
“Jangan bincang pasal masalah ana. Ana malas
nak fikir.”
Dia
okay kan saja. Kemudian saya terus beritahu,
“Adnin, bagi ana nasihat. Ana
perlukan nasihat sekarang ini.”
Adnin
terdiam seketika.
“Anta nak tahu kenapa Allah bagi anta
ujian?” Adnin memulakan nasihat.
“Sebab Allah nak suruh anta istighfar banyak-banyak. Istighfar ini memang
menyelesaikan banyak masalah. Serius. Anta bayangkan kalau sekarang ini anta
takde masalah, mana ada anta terfikir nak istighfar.”
Saya
tersenyum kecil. Betul juga kata dia. Kalau Allah tak berikan ujian seberat ini,
belum tentu saya nak istighfar sekarang ini. Sambil dia ulas tentang istighfar,
saya pun istighfar sekali secara diam-diam.
“So Shuk, Allah nak anta istighfar banyak
kali. Istighfarlah, insyaAllah akan selesai.”
Kemudian
kami tutup perbualan. Saya setuju dan bermuhasabah dengan apa yang dia sebut.
Istighfar.
Bila
saya bermuhasabah diri, sehari berapa kali saja saya beristighfar dan meminta
ampun kepada Allah? Sedangkan Rasulullah ﷺ sendiri minimum sehari beristighfar 70 kali,
ada dalam hadith riwayat lain ada menyebut 100 kali. Rasulullah ﷺ dah la maksum,
suci daripada dosa, tetapi masih lagi minta ampun pada Allah.
Saya
ni dahlah bukan malaikat, maksum memang selamanya takkan. Tetapi berlagak
sombong bongkak ego dan malas untuk beristighfar pada Allah walaupun hanya 70
kali sehari. Sombong dan berlagak betul kepada Allah. Astarghfirullah. Mungkin
ini antara sebab Allah menguji saya pada hari itu, iaitu supaya saya bertaubat
dan beristighfar sebanyak-banyaknya pada Dia. Dan kalau kamu nak tahu, Allah menguji
bukan sekadar hanya mahukan kita bertaubat, malah Allah dah beritahu dalam Al
Quran,
“Adakah manusia
menyangka, bahawa mereka akan dibiarkan, dengan hanya berkata: ‘Kami beriman’,
sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?
Demi sesungguhnya!
Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan
ujian yang demikian), Allah mengetahui, siapakah orang-orang yang benar-benar
beriman, dan dapat diketahuiNya, tentang siapakah orang-orang yang berdusta.
(Surah Al Ankabut
29:2-3)
Allah
nak melihat (walaupun Allah Maha Mengetahui dan sudah tahu apa akan berlaku)
sejauh mana kesungguhan kita untuk taat perintah Allah dan menjauhi larangan
Allah! Dan dalam masa yang sama, Allah menguji supaya kita dapat tahan lasak
untuk hadapi dan perbaiki kelemahan diri kita.
Pernah
ke kita jumpa jenama kereta yang ada di pasaran, yang tidak diuji terlebih
dulu? Macam-macam ujian dilakukan ke atas sebuah kereta sebelum dipasarkan
secara global walaupun kereta itu adalah yang paling low cost. Itu baru sebuah
kereta, apatah lagi kita sebagai manusia yang Allah telah jadikan sebaik-baik
ciptaan. Kan?
![]() |
Dapatkan Buku Surat Untuk Orang Yang Putus Asa karya Ustaz Adnin Roslan di semua rangkaian kedai buku di seluruh Malaysia. |
Peringkat Ujian
Saya boleh
bahagikan sebab ujian Allah antaranya kepada 4 bahagian,
1.
Allah menguji sebab nak
menaikkan darjat kita.
2.
Allah menguji sebab nak
membimbing hati kita.
3.
Allah menguji sebab nak
mengampunkan dosa-dosa kita.
4.
Allah menguji sebab nak
hukum dan sayang kita.
Untuk pengetahuan kamu, bukan hanya ini saja
sebabnya. Boleh jadi ada lebih lagi sebab, tetapi untuk kali ini saya hanya
senaraikan 4 sahaja. Apabila Allah menguji, kamu hanya ada dua pilihan, sabar
dan redha atau sebaliknya.
“Sungguh
menakjubkan urusan seorang mukmin. Semua urusannya adalah baik baginya. Hal ini
tidak didapatkan kecuali pada diri seorang mukmin. Apabila mendapatkan
kesenangan, dia bersyukur, maka yang
demikian itu merupakan kebaikan baginya. Sebaliknya apabila tertimpa kesusahan,
dia pun bersabar, maka yang demikian
itu merupakan kebaikan baginya.”
(Riwayat Muslim)
1. Jika
bersabar dan redha, maka Allah akan menaikkan darjat kita di sisi-Nya. Darjat
ini tak akan nampak pada mata kasar, seperti darjah kebesaran diRaja. Tetapi
kesannya boleh dilihat dengan mata.
Contohnya, jika orang itu sabar dan redha, kamu
akan nampak orang ini tenang dan boleh uruskan masalah dengan tersusun. Mukanya
pun akan sentiasa senyum saja dan tidak mengeluh. Tetapi kalau sebaliknya, kamu
sendiri akan nampak dia serba tak kena, cakap pun mencarut dan memaki hamun
saja. Kemudian menyalahkan ramai orang. Lagi bahaya dia menyalahkan takdir.
Sebab itu para ulama’ apabila bercerita
tentang sabar, mereka akan mengaitkan dengan akhlak. Contohnya, Syeikh Junaid
al-Baghdadi bila ditanyakan tentang sabar, dia menjawab,
“Menelan
kepahitan tanpa bermasam muka.”
Imam
Ahmad Al-Jariri pula sebut tentang sabar,
"Sabar
adalah tidak memisahkan antara kenikmatan dan ujian dengan pemikiran yang
tenang, sedangkan yang dimaksudkan penerimaan sabar adalah tenang menghadapi
ujian dengan merasakan beratnya ujian."
Imam
Ruwaim pula menyebut,
“Sabar ialah meninggalkan
keluhan.”
Tetapi
kalau mula-mula dia tak sabar dan mengeluh, tetapi selepas beberapa ketika dia
muhasabah diri semula, maka dia akan kembali ke pangkal jalan untuk mengurus
ujian yang di hadapi dengan tersusun. Cumanya, dia tak dapatlah ganjaran
pahala sabar yang sepenuhnya. Sebab Rasulullah ﷺ pernah
bersabda yang bermaksud,
“Sesungguhnya kesabaran itu pada pukulan
(musibah) pertama..”
(Riwayat Bukhari)
Dengan
kata lain, Allah menguji kita untuk membezakan antara orang yang betul-betul
beriman dengan mulut, hati dan amal (termasuk orang yang sabar) dengan orang
yang hanya pandai cakap saja.
2. Seterusnya,
Allah menguji sebab nak membimbing hati kita. Ini adalah hadiah yang paling
istimewa buat orang yang beriman, bertawakal dan bersabar dengan ujian yang
Allah berikan. Allah sebut di dalam al-Quran,
"Tidak ada kesusahan (atau bala
bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang
beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang
telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha
Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu."
(Surah At-Taghaabun 64 : 11)
Imam Jalaluddin Al-Mahalli dalam tafsirnya,
menafsirkan يهد قلبه
(Allah akan membimbing hatinya) dengan “Allah memberikan hambaNya petunjuk
dengan memberikannya kesabaran menghadapi musibah yang menimpanya.”
Kenapa hati? Perasaan sedih, kecewa, marah,
semua tu datang daripada mana? Hati kan? Jadi, Allah yang membimbing hati kita.
Apabila Allah dah bimbing hati kita, maknanya Allah akan membimbing sekali
perasaan, emosi, cara fikir, idea, tingkah laku dan perbuatan kita. Allah..
Saya boleh jamin pada kamu.
Kalau ada
masalah kewangan, Allah akan bimbing hati untuk mencari punca kewangan. Kalau
masalah kesihatan, Allah akan bimbing hati untuk mencari jalan penyembuhan.
Kalau ada
masalah keluarga, Allah akan bimbing hati kita untuk mencari jalan keluar.
Dan banyak lagi. Itulah harganya
sekiranya kita bersabar dan kekal beriman sungguh-sungguh pada Allah. Allah
akan bimbing hati kita, يَهْدِ
قَلْبَهُ.
3. Kemudian
Allah menguji sebab nak mengampunkan dosa-dosa kita. Kita ini selalu berbuat
dosa, dan ada kalanya dah banyak kali Allah tegur dengan cara “lembut”. Tetapi
kita buat tak tahu saja. Sebab kita ambil remeh. Apabila kena “tegur” dengan
ujian yang berat, barulah kita sedar dan nak berubah.
Sama
juga macam di dalam kelas. Kalau cikgu atau lecturer tegur baik-baik, semuanya
nak pijak kepala. Tetapi apabila dah naik rotan ataupun sebat, semuanya akan
diam menikus, takut dan insaf.
“Tidaklah seorang
muslim tertimpa suatu kelelahan, atau penyakit, atau kekhuatiran, atau
kesedihan, atau gangguan, bahkan duri yang melukainya melainkan Allah akan menghapus kesalahan-kesalahannya
(dosa) kerananya.”
(Riwayat Bukhari
dan Muslim)
4. Dan
terakhir, Allah menguji sebab Allah nak ‘menghukum’ atas kesalahan yang kita
sengaja dan berulang-ulang kali buat. Mesti ada yang pelik, kenapa Allah nak menghukum
kalau betul Allah sayang? Ramai orang keliru, kalau sayangkan sesuatu, kita tak
boleh menghukumnya. Salah fikiran macam ini.
Contohnya,
apabila ada seorang anak kecil berlari nak melintas jalan, tiba-tiba ada kereta
nak melalui jalan itu, agaknya apa yang mak budak itu akan buat? Sudah pasti
akan jerit sekuat mungkin untuk selamatkan anaknya. Dan apabila dapat tarik
tangan anaknya, secara spontan dicubit tangannya. Adakah perbuatan maknya itu
tanda dia benci dengan anaknya? Sudah pasti tidak. Tetapi dia marah sebab
sayang! Wallahi, sebab sayang! Kalau mak itu benci, nescaya mak itu akan
biarkan saja anaknya dilanggar. Buat apa susah payah menjerit dan berlari untuk
selamatkan.
Tetapi
Maha Suci Allah yang melebihi daripada itu. Allah mencintai dan menyayangi kita
melebih daripada seorang ibu menyayangi seorang anaknya. Allah menguji bukan
semata-mata nak menghukum kesalahan kita, tetapi melebihi daripada itu, ia
adalah tanda Allah SAYANG dan RINDU sangat pada kita. Wallahi, Allah sayang dan
rindu pada kita. Sangat sayang. Dia Maha penyayang. Ibn Attoilah pernah menyebut,
“Apabila Allah
menjadikan kamu rasa tidak seronok, jemu dan tidak tenang dengan makhluk-Nya,
maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Dia
mahu membuka untukmu pintu perasaan tenang, gembira, seronok dan tidak kesepian
dengan-Nya.”
Bahkan Rasulullah bersabda dalam satu hadis
qudsi,
“Pergilah pada
hambaku lalu timpakanlah berbagai ujian padanya kerana Aku ingin mendengar rintihannya.”
(Riwayat Thabrani)
Tips Menghadapi Ujian Allah Pada Pukulan
Pertama
Ketahuilah,
saya yang menulis ini pun sering kali gagal pada pukulan pertama saat ujian Allah
itu datang. Tetapi, saya tetap ingin berkongsi sebagai peringatan khusus untuk
diri saya sendiri.
a) Yakin di dalam hati, bahawa
setiap ujian daripada Allah adalah untuk menguatkan lagi iman dan nak
menghapuskan segala dosa-dosa kita. Dan Allah hanya menguji bergantung pada
sekuat mana iman kita. Tidak lebih, dan tidak kurang. Satu ketika, Rasulullah ﷺ pernah ditanya oleh seorang sahabat, “Siapakah orang yang paling berat
ujiannya?” Baginda menjawab,
“Para Nabi, kemudian orang yang seperti mereka sesudahnya, dan orang yang
seperti mereka berikutnya lagi. Seseorang akan diuji sesuai kadar (kekuatan)
agamanya. Jika (pegangan) agamanya kuat, maka ujiannya akan bertambah
berat. Jika agamanya lemah, maka akan diuji sesuai kadar kekuatan agamanya.
Maka senantiasa seorang hamba diuji oleh Allah sehingga dia dibiarkan berjalan
di atas permukaan bumi tanpa memiliki dosa.”
(Riwayat Tirmidzi)
Dalam hadis lain, Rasulullah ﷺ bersabda yang bermaksud,
“Tidaklah seorang Muslim ditimpa keletihan, penyakit, kesusahan, kesedihan,
gangguan, gundah-gulana hingga duri yang menusuknya, melainkan Allah akan
menghapuskan sebahagian daripada dosa-dosanya.”
(Riwayat al-Bukhari)
Dan banyak lagi hadis yang beritahu kita bahawa setiap ujian adalah
bergantung sejauh mana keimanan kita, dan ia juga sebagai satu proses
penghapusan dosa.
b) Jangan cuba
membanding-bandingkan ujian kita dengan orang lain. Ketahuilah, Allah menguji
setiap orang BERBEZA-BEZA. Sebab apa? Sebab kemampuan setiap orang berlainan.
Ujian yang dilalui adalah sesuai dengan kemampuan orang itu. Allah tidak akan
beri ujian secara ‘pukul rata’. Ujian yang saya lalui, tak semestinya kamu
boleh lalui. Begitu juga ujian yang kamu lalui, tidak semestinya saya boleh
lalui.
Ada orang diuji dengan perceraian ibu bapa, hidup dalam
kemiskinan sehingga merempat, hidup dalam keluarga yang jauh daripada agama,
susah belajar, cacat anggota, dan sebagainya. Tetapi ada orang lain diuji
dengan hidup kaya raya sampai harta melimpah ke jalan raya, hidup dalam
keluarga yang sangat kuat amalkan agama, terlalu genius dengan kadar IQ 999,
terlalu sempurna anggota, dan sebagainya. Itu semua ujian walaupun nikmat yang
diberi keliling pinggang.
Ada orang diberi ujian kemiskinan, tetapi dia bersabar,
akhirnya dia berjaya keluar daripada garis kemiskinan dalam tempoh beberapa
tahun. Tetapi ada orang lain diberi ujian kekayaan, namun dia terlalu tamak,
akhirnya muflis dan merempat di tepi jalan sampai bertahun-tahun lamanya. Begitulah
seterusnya. Jadi teman, jangan bandingkan diri kita dengan orang lain.
c) Jangan cuba melarikan
diri daripada masalah. Hadapi, dan berusaha untuk selesaikan walaupun mengambil
masa bertahun-tahun lamanya. Bahkan mungkin mengambil masa seumur hidup. Yang
penting, hadapinya, jangan putus asa. Putus asa bukan satu pilihan. Semakin
kita lari daripada masalah, semakin besar masalah itu mengejar kita. Ada orang
cuba lari daripada masalah dengan harapan hati akan tenang. Ketahuilah, kalau
tenang pun, ia cuma sementara saja. Hakikatnya, kita tak boleh menipu diri
sendiri.
Wallahu'alam.
Saya doakan moga kita semua mampu menghadapi ujian yang dihadapi masing-masing. Ameen.
Saya doakan moga kita semua mampu menghadapi ujian yang dihadapi masing-masing. Ameen.
p.s : Tulisan ini diambil daripada buku Ajari Aku Tinggalkan Maksiat karya Shukery Azizan. Boleh dapatkan buku ini di semua kedai buku seperti POPULAR, MPH, SMO dan semua rangkaian kedai buku seluruh Malaysia.
p/ss : Dapatkan E-Book tulisan Shukery Azizan yang bertajuk "Kisah Wanita Di Dalam Al-Quran" hari ini juga. Klik di sini untuk dapatkan segera : >> KLIK DI SINI <<
Kenapa Allah Menguji Kita?
Reviewed by Tarbiah Sentap
on
09:28
Rating:

No comments:
Post a Comment