Alhamdulillah ya Allah. Akhirnya, kita berjaya
juga untuk memasuki juzuk terakhir, iaitu juzuk ke 30. Juzuk 30 ini bermula
dengan surah an-Naba’, dan ditutup dengan surah an-Nas. Tetapi untuk kali ini,
saya akan memilih kepada surah al-Asr. Surah ini
yang ke 103 di dalam al-Quran, dan termasuk dalam kategori Makiyyah. Ia
merupakan salah satu daripada surah terpendek di dalam al-Quran, kerana hanya
mengandungi tiga ayat sahaja. Walaupun ia surah yang pendek, tetapi
pengajarannya terlampau banyak, sehingga kita akan mengambil masa yang agak
panjang untuk tadabbur surah ini. Selayaknya dengan nama al-Asr yang bermaksud
‘masa’. Tak hairanlah apabila Dr. Wahbah az-Zuhaili menyebut dalam tafsir
al-Munir, bahawa Imam Syafie pernah berkata, “kalaulah Allah menurunkan Surah
al-Asr ini sahaja, sudah memadai untuk kita jadikan panduan hidup.” Dan kerana
hebatnya surah ini, membuatkan para sahabat Rasulullah ﷺ dan tabi’in akan membacakan surah ini
dengan sesama mereka selepas selesai perjumpaan seperti mana yang disebut oleh
Abu Madinah Ad-Darimi. Tujuannya supaya untuk mengingatkan sesama mereka
tentang perkara yang amat-amat penting terkandung dalam surah al-Asr. Kerana di dalam surah ini, terkandungnya syarat
minimum untuk terselamat daripada tergolong dalam kalangan orang yang
teramat-amat rugi.
InsyaAllah
kita akan tadabbur kesemua ayat di dalam surah ini, dan sekaligus akan menjadi
penutup kepada buku Pujukan Dari Tuhan ini. Bismillah..
وَالْعَصْرِ
“Demi Masa !” (1)
إِنَّ الْإِنْسَانَ لَفِي خُسْرٍ
“Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian –“ (2)
إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ
“Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.” (3)
(Surah Al Asr 103 : 1-3)
Surah ini sangat
sesuai sebagai penutup untuk siri 30 juzuk Pujukan Dari Tuhan untuk kali ini. Sebab tanpa kita
sedari, bahawa sekejap saja dah memasuki juzuk yang ke 30. Allah... Cepatnya
masa berlalu. Memang benarlah kita dalam keadaan kesuntukan masa. Dalam surah ni, Allah bersumpah atas makhluk yang bernama
MASA!
وَالْعَصْرِ
"Demi Masa
! "
Tentang kalimah وَالْعَصْرِ ni,
saya tak nak menghuraikan dengan panjang. Cukup sekadar kita memahami
terjemahan literal sebagai ‘Demi Masa’. Sebab perbahasannya terlalu banyak, lebih-lebih
lagi hal teknikal. Dan sebahagiannya tak mencapai objektif tadabbur buku ini.
Jadi, saya reserve untuk awak baca dan belajar sendiri di mana-mana kuliah,
buku atau kitab tafsir. Tetapi, kalau kita menghayati ayat ini, Allah seakan
nak menyuruh kita sentiasa menghayati dan berfikir tentang masa yang dah
berlalu meninggalkan kita. Cuba awak kira usia sendiri, dan itulah masa yang
telah berlalu dalam hidup kita. Kalau 20 tahun, dah berlalu 20 tahun. Begitulah
seterusnya. Kemudian Allah sebut lagi,
إِنَّ الْإِنْسَانَ لَفِي خُسْرٍ
"Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian -"
Kalau awak membaca
perbahasan ayat ini, ia penuh dengan kaedah Bahasa Arab yang akhirnya membawa
maksud sangat serius akan penegasan ayat ini. Saya sekali lagi tak nak membawa
perbahasan teknikal yang panjang lebar, sebab nanti buku ini akan menjadi kitab
tafsir pula. Lagipun, saya bukanlah ahlinya. Tetapi untuk sekadar pengetahuan
umum, saya akan bawakan 3 contoh bentuk penegasan di dalam ayat ini supaya awak
betul-betul faham betapa seriusnya ayat ini.
1. Pertamanya,
kalimah إِنَّ membawa maksud ‘sesungguhnya’ atau ‘tiada syak lagi.’ Kalimah penekanan atau penegasan ini biasanya
digunakan apabila bercakap dengan seseorang yang mungkin tak percaya dengan apa
yang kita ingin sampaikan. Sebab itu, dalam bahasa Arab digunakan إِنَّ
untuk memberikan penekanan supaya pendengar memberikan perhatian. Itu tandanya ia
betul-betul serius.
2. Keduanya, kalimah الْإِنْسَانَ yang
digunakan untuk terjemahan ‘manusia’. Kalimah الْإِنْسَانَ juga membawa
maksud ‘pelupa’. Allah boleh saja menggunakan kalimah lain untuk menyebut
tentang manusia seperti الفرد
(al-Fard), النفس (al-Nafs) atau الناس
(an-Nas). Tetapi, Allah gunakan juga kalimah الإِنسانَ ini sebab ia bukan sahaja menunjukkan
kepada manusia secara umum, bahkan turut merujuk kepada setiap seorang manusia
yang wujud. Bukannya berbentuk umum, tetapi bersifat khusus. Apabila
dikatakan الإِنسانَ, memang ditujukan kepada setiap satu
manusia yang wujud di muka bumi ini dan kita semua kena ambil perhatian.
3. Ketiganya, kalimah لَفِي خُسْرٍ yang
membawa maksud ‘dalam kerugian’. Dalam
kaedah bahasa Arab, sesuatu perkataan itu boleh diperkuatkan dengan menggunakan
kaedah yang kita sebut sebagai Balaghah. Dan daripada balaghah ayat ini,
ianya dalam bentuk yang paling kuat dalam al-Quran. Allah boleh sahaja
gunakan kalimah لخاسر atau لقد خسر yang dah juga kuat. Tetapi tetap
digunakan في خُسرٍ memberi isyarat bahawa mereka itu
‘tenggelam’ dalam kerugian itu. Kalau dah tenggelam, ia tanda memang teruk
sangat.
Allah.. Pening
ke? Secara mudahnya, ayat kedua ini menunjukkan penegasan teramat sangat, di
mana setiap manusia yang wujud di dalam bumi ini adalah dalam kerugian. Ia
adalah realiti kehidupan kita sejak kita lahir sampailah hari ini. Kerugian apakah
yang paling teruk pernah kita lalui? Saham? Duit?
Rumah? Laptop?
Handset? hilang
anak usrah? hilang anak sendiri? Hilang
harta benda? Ini kerugian paling besar yang
awak pernah lalui?
Sebenarnya TAK.
Kerugian paling besar adalah kerugian MASA. Kalau duit, boleh cari, rumah boleh
dibina, handset boleh dibeli, hilang anak usrah boleh ditajmik lagi. Tetapi
kalau hilang masa? Selama-lamanya tak akan boleh undur kembali. Sebagai orang yang
beriman, sepatutnya kita kena ada sense of respect yang sangat tinggi pada satu
makhluk bernama masa. Allah.. Saya yang
menulis ni pun sebenarnya banyak membuang masa. Moga Allah sudi ampunkan
saya.
![]() |
Dapatkan buku Harapan Masih Ada karya Qamarul Nazrin di semua rangkaian kedai buku di seluruh Malaysia. |
Allah dah beritahu
satu fakta yang tak boleh disangkal lagi, iaitu semua manusia berada di dalam
KERUGIAN. Kecuali... Kecuali siapa? Allah menyebut,
إِلَّا الَّذِينَ آمَنُو
“Kecuali
orang-orang yang beriman..”
Yang pertama, kecuali orang yang beriman. Siapa orang
yang beriman ini? Orang yang beriman adalah mereka yang beriman kepada Allah
dan Rasul-Nya. Bahasa mudahnya, mereka yang Muslim. Ibn Taimiyyah menyebut, ada
dua perkara yang menghalang manusia untuk beriman secara sempurna kepada Allah,
iaitu shubuhaat (keraguan) dan shahawaat (godaan nafsu). Keraguan
tentang kebenaran Islam, dan godaan nafsu untuk melakukan dosa-dosa besar. Dan satu
lagi, mereka juga beriman bahawa masa adalah aset yang sangat penting. Masa adalah aset
paling mahal kepada orang yang meyakini pada masa. Kemudian Allah sebut lagi,
وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ
“..dan beramal
soleh..”
Apabila kita dah
beriman sungguh-sungguh kepada Allah dan Rasul-Nya, serta percaya dengan
kepentingan masa, maka kita sepatutnya akan BERTINDAK. Sebab sepatutnya keyakinan
akan menghasilkan tindakan. Amal soleh adalah hasil daripada kita BERIMAN dan
yakin kepada Allah sungguh-sungguh. Allah menggunakan kalimah عمل
(amal) membawa maksud melakukan sesuatu dengan niat. Ini berbeza dengan kalimah
فعل (fi’il) yang bermaksud perbuatan tanpa
niat seperti bernafas, kelip mata dan lain-lain. Dan amal yang dilakukan
mestilah الصَّالِحَاتِ iaitu soleh, baik dan seumpamanya.
Kalau dilihat
dalam kaedah bahasa Arab, amal soleh yang Allah suruh buat ini adalah perkara
yang wajib sahaja seperti solat 5 fardhu waktu, zakat, puasa dan lain-lain.
Amal soleh yang wajib ini pun bukannya banyak pun. Contohnya solat fardhu.
Sehari kita ada 24 jam, Allah hanya suruh kita solat wajib 5 kali sehari
semalam yang tempohnya tidak sampai 1 jam pun kalau dicampurkan kesemuanya. Setahun kita ada
12 bulan, Allah hanya suruh kita puasa sebulan saja. Itu belum lagi zakat dan
haji. Sedikit sangat yang Allah minta kita lakukan.
Tetapi kenapa kita masih tak buat juga amal soleh?
Dan satu lagi, kalau kita percaya pentingnya masa, kita tak akan membuang
masa untuk melakukan perkara lagha, sia-sia apatah lagi maksiat. Contohnya bermesej
atau berikhtilat dengan lelaki atau perempuan ajnabi tanpa sebab. Ataupun menonton drama ataupun movie yang kita tahu ada
unsur haram. Bermain games sampai berjam-jam, dan sebagainya. Kemudian Allah tambah lagi,
وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ
“..dan mereka
pula berpesan-pesan dengan kebenaran..”
Berpesan-pesan
kepada al-Haq ataupun kebenaran ini luas maknanya. Sekali lagi saya sebut, saya
tak mahu go deep into technical things. Tetapi apa saya nak sebut adalah, kita
semua wajib sampaikan kebenaran, ataupun dalam bahasa mudahnya, wajib melakukan
tugas dakwah. Rasulullah ﷺ bersabda yang bermaksud,
“Siapa
yang melihat kemungkaran maka cegahlah dengan tangannya (atau kuasa), jika
tidak mampu maka cegahlah dengan lisannya, jika tidak mampu maka (tolaklah)
dengan hatinya dan ia adalah selemah-lemahnya iman.”
(Riwayat Muslim)
Kita buatlah
dakwah atas kapasiti kemampuan kita. Dan dakwah ini mudah saja, contohnya macam
nak ke masjid. Apabila pakai jubah serban saja, orang dah tahu yang awak nak
pergi ke masjid. Dan itu adalah dakwah. Sebab apa? Sebab apabila masyarakat
melihat awak, mereka teringatkan Allah. Sama juga kalau awak menutup aurat
dengan sempurna. Itupun satu dakwah walaupun awak tak pernah cakap pun. Sebab
apa? Sebab apabila masyarakat melihat awak, mereka teringat Allah. Cumanya, nak
mengajak kebaikan memanglah mudah, yang susahnya nak mencegah kemungkaran. Kita
akan terfikir perasaan orang, takut orang terasa hati dan sebagainya.
Selain itu, ayat
ini juga menyuruh kita mencari kawan yang soleh dan solehah yang selalu mengingatkan
dan membantu kita dalam menjalankan kerja dakwah. Elakkanlah membuat secara
individu. Pentingnya awak ada kawan yang soleh dan solehah sebagai penasihat,
dan dalam masa yang sama, awak pun boleh menjadi penasihat mereka. Hal kawan
ini saya dah hurai dalam juzuk sebelum ini tentang surah al-Furqan. Kemudian, Allah
sebut pada ayat yang terakhir,
وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ
“..serta
berpesan-pesan dengan sabar.”
Kita kena faham صَّبْرِ ni
bukan hanya sabar dalam kesusahan, bahkan sabar juga kena sabar dengan NAFSU
dan GANGGUAN.
Sabar dengan
nafsu nak ikhtilat atau berzina.
sabar dengan
nafsu nak melakukan maksiat.
sabar daripada
nak marah-marah orang,
dan sebagainya.
Dan satu lagi, صَّبْرِ ini juga membawa maksud ketabahan dan istiqomah. Maknanya, kita
juga kena bersabar dan istiqomah dalam beriman, membuat amal soleh, melakukan
dakwah, dan mengajak orang lain bersabar.
*****
![]() |
Dapatkan buku Bagaimana Menjadi Pemimpin karya Ir Lukman Al Hakim di semua rangkaian kedai buku di seluruh Malaysia. |
Jadi pengajaran untuk juzuk yang terakhir ini, mungkin agak panjang sikit. Tetapi apa salahnya awak ambil sedikit masa untuk baca pengajaran ni.
1. Yang pertama sekali adalah, JANGAN MEMBUANG
MASA. Kerana buang masa pun adalah satu dosa. Sebenarnya, saya agak takut nak
tulis pesanan ini, sebab saya juga antara makhluk Allah yang sering membuang
masa. Saya takut nak tulis, sebab ia semua berkaitan dengan
saya. Tetapi saya KENA tulis, kerana ini adalah
amanah ILMU yang saya ada. Saya kena sampaikan juga. Saya nak sampaikan
kebenaran, walaupun kebenaran itu menyentapkan tulang belikat saya sendiri.
Jaga dan hargailah
masa. Perbaiki hari-hari kita.
Tidur dan bangun
awal serta solat awal waktu.
Pergilah solat
berjemaah di surau atau masjid sekurang-kurangnya untuk subuh dan Isyak.
Jangan buang
masa untuk berikhtilat.
Jangan buang
masa layan media sosial lama sangat.
Jangan buang
masa main games.
Jangan buang
masa melayan drama dan sebagainya.
2. Ada
yang bertanya, sekiranya ada orang kafir melakukan amal soleh, menyampaikan
kebenaran dan bersabar, adakah dia termasuk dalam golongan yang rugi juga? Saya
rasa soalan ini pernah dijawab oleh Dr Zakir Naik. Beliau memberikan
perumpamaan, ada seorang pelajar kena menduduki peperiksaan. Dalam peperiksaan
itu, dia mengambil 5 subjek, dan wajib lulus kesemuanya. Jika ditakdirkan, dia
dapat 4A tetapi 1F, adakah dia dikira lulus ataupun gagal? Sudah pasti gagal
walaupun kesemuanya gred A.
Itulah
analogi untuk surah al-Asr ini. Wajib buat keempat-empat perkara ini tanpa
kurang walau satu pun, iaitu beriman, beramal soleh, melakukan dakwah, dan
bersabar. Sebab ianya adalah syarat minima. Tidak cukup hanya dengan melakukan
amal soleh, menyampaikan kebenaran dan bersabar, tetapi tak beriman. Tetap
termasuk dalam golongan yang rugi juga. Sama juga orang Islam yang beriman,
buat amal soleh dan bersabar, tetapi tak nak menjalankan dakwah. Itupun termasuk
golongan yang rugi juga.
3. Kita semua berjalan menuju kepada kematian, sama ada suka atau pun tidak. Tiada hari-hari yang berlalu kecuali kita semakin dekat dengan kematian. Dan, tiada satu hari pun yang berlalu, kita akan DAPAT SEMULA hari tersebut. Saya selamanya tak akan jadi muda remaja macam dulu. Saya dah menuju kepada dewasa dan tua. Bahkan mungkin tak sempat pun menjadi tua. Allah Allah. Ini adalah fakta. Kalau kita akui dan terima fakta ni, ketahuilah, kita akan sedar bahawa, berapa banyak kali kita telah membuang masa. Banyak sangat hingga tidak terhingga jumlahnya.
Jadi, kalau kita
betul-betul menghayati dan memahami sungguh surah al-Asr ni, kita akan tahu dan
merasakan bahawa masa adalah ASET yang paling besar dalam hidup kita. Gunakan secara
paling terbaik untuk masa kita. Buatlah perkara yang produktif.
4. Jagalah solat fardhu, sebab solat merupakan KUNCI untuk kita menjaga masa. Kalau waktu solat pun tak terjaga, kita pun selalu solat lewat, macam mana nak jaga masa betul-betul? Dan hayati juga surah al-Mukminun yang saya kongsikan dalam juzuk yang lepas.
5. Jangan biarkan kita ada masa lapang yang tak digunakan. Sebab apa? Sebab masa lapang ini akan ‘membunuh’ kita tanpa sedar. Ramai manusia tewas sebab masa lapang yang banyak. Sebab itulah Rasulullah ﷺ bersabda yang bermaksud,
“Dua kenikmatan yang sering dilupakan oleh
kebanyakan manusia adalah kesihatan dan waktu lapang.”
(Riwayat Bukhari)
Kerana dengan
masa lapang, kita akan cenderung untuk melakukan maksiat. Sibukkanlah diri
dengan apa-apa aktiviti yang bermanfaat untuk diri sendiri dan agama. Kalau
kita tak manfaatkan masa, secara tak langsung, kita akan membuang masa. Dan kalau lemah, janganlah bersendirian. Banyak perkara boleh dilakukan seperti membaca buku,
telefon mak ayah, baca al-Quran, belajar tadabbur dan tafsir al-Quran, mendengar
kuliah, ziarah kawan, membuat usrah, dan apa pun aktiviti. Jangan biarkan masa
itu membunuh kita. Masa ibarat pedang, kalau
kita tak memotongnya, masa itu sendiri yang akan ‘memotong’ kita. Moga Allah mengurniakan kita sahabat-sahabat yang baik,
kebijaksanaan dalam menilai, kekuatan dan sebagainya untuk mengurus masa kita.
Walaupun
surah ini pendek, tetapi saya rasa awak boleh nampak bagaimana ianya amat susah
untuk diamalkan. Usaha untuk memahaminya pun sudah satu kesukaran, apatah lagi
untuk mengamalkannya dan istiqomah. Tetapi kalau kita usaha untuk menerapkan
dalam kehidupan seharian kita tanpa rasa putus asa, insyaAllah, kita akan dapat
menyaksikan bagaimana surah al-Asr ini mengubah pandangan kita terhadap hidup
secara keseluruhan.
Moga semua orang
dapat merasakan betapa PENTINGNYA MASA, dan moga Allah kurniakan kita
keberkatan masa. Ameen.
Wallahua’lam.
- Shukery Azizan
–
p/s: Tulisan ini
diambil daripada buku Pujukan Dari Tuhan karya Shukery Azizan. Boleh dapatkan
buku Pujukan Dari Tuhan sama ada di kedai-kedai buku POPULAR, MPH, SMO dan
lain-lain, atau boleh juga dapatkan secara online melalui isbirofficial.
Juzuk 30 : Masa Dah Semakin Suntuk
Reviewed by Tarbiah Sentap
on
23:08
Rating:

No comments:
Post a comment