InsyaAllah, ini adalah juzuk
terakhir sebelum memasuki juzuk yang ke 30. Apabila memasuk juzuk ke 29,
kebanyakkan surah-surah yang ada di dalamnya tidak terlalu panjang pun. Dan
untuk kali ini, kita akan memilih surah Nuh, sebab ia ada kaitan dengan tajuk buku
ini. Surah Nuh adalah surah yang ke 71 dalam
al-Quran, dan mempunyai 28 ayat. Surah ini termasuk dalam kategori Makiyyah.
Berdasarkan nama surah saja, kita dah boleh agak gambaran surah ini, iaitu
berkaitan dengan Nabi Nuh alaihissalam.
Keseluruhan
surah ini secara umum menceritakan macam mana Nabi Nuh alaihissalam menyampaikan
dakwah kepada kaumnya. Surah ini banyak menceritakan tentang kesabaran Nabi Nuh
alaihissalam. Bayangkan, baginda berdakwah sekitar 950 tahun! Surah ini pun
menceritakan kepada kita tentang bagaimana Nabi Nuh berdakwah dengan pelbagai
kaedah dan cara. Serta ditolak dan ditentang dengan pelbagai cara juga. Dalam
surah ini juga, Allah nak menceritakan pada kita, bagaimana perjuangan dan
pengorbanan Nabi Nuh alaihissalam yang pada akhirnya tak ramai pengikut pun. Ia
adalah pengajaran pada kita bahawa, tidak semestinya setelah kita menjalankan
usaha untuk dakwah bertahun-tahun, pada akhirnya ramai yang akan ikut. Boleh
jadi, ramai yang akan menolak. Sebab itu, tanggungjawab kita adalah berusaha
saja. Selebihnya adalah urusan Allah. Yang penting, jangan putus asa dalam
berdakwah.
Kali ini insyaAllah kita akan sambung tadabbur pada ayat yang ke
10, 11 dan 12. Dan sekiranya awak ada kesempatan, usahalah untuk menghafal
surah ini. InsyaAllah, dalam masa seminggu saja boleh hafal, sekiranya awak
berikan komitmen yang penuh. Bismillah..
فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا
“Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada
Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun.” (10)
يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُمْ مِدْرَارًا
“(Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan
lebat mencurah-curah, kepada kamu;” (11)
وَيُمْدِدْكُمْ بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَلْ لَكُمْ جَنَّاتٍ
وَيَجْعَلْ لَكُمْ أَنْهَارًا
“Dan Ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan
serta anak-pinak; dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta
mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).” (12)
(Surah Nuh 71 : 10 - 12)
Sepanjang 950 tahun Nabi Nuh alaihissalam berdakwah kepada
kaumnya, kenapa Allah memilih dialog seperti yang ada dalam ayat 10 hingga 12
ni? Antara salah satu sebabnya adalah, Allah nak memberikan kita isyarat
tentang satu “hadiah” yang sangat hebat dan istimewa. Hadiah lagi? Subhanallah,
Maha baiknya Allah. Sebelum ini hadiahnya adalah membimbing hati kita. Kali
ini, apa pula hadiahnya?
فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا
“Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada
Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun.”
Hadiah pertama adalah, apabila kita memohon ampun
sungguh-sungguh pada Allah, Allah akan sudi ampunkan semua dosa-dosa kita. Di dalam ayat ini, Nabi Nuh alaihissalam menyuruh kaumnya meminta
ampun pada Allah kerana Allah akan sentiasa serta berulang-ulang kali akan
mengampunkan dosa hamba-Nya. Kalimah غَفَّارًا
bermaksud Allah berkali-kali memberi ampun kepada kita. Kerana umumnya, kita
kadang-kadang selepas meminta ampun, tidak lama kemudian, masih buat salah semula.
Perkataan غَفَّارًا juga bermaksud
Allah boleh ampunkan berkali-kali. Itulah sifat Allah. Maha baiknya Allah.
Allah akan sentiasa ampunkan hamba-Nya lagi dan lagi dan lagi serta
selama-lamanya selagi mana kita sentiasa meminta ampun. Kemudian Nabi Nuh alaihissalam
menyebut lagi,
يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُمْ مِدْرَارًا
“(Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan
lebat mencurah-curah, kepada kamu;”
Baginda beritahu, kalau kita meminta ampun kepada Allah dengan
sungguh-sungguh, Allah akan menurun hujan. Hujan ini sinonim dengan rahmat
dan rezeki. Sekiranya kita istighfar sungguh-sungguh, Allah akan menurunkan
rahmat dan rezeki yang mencurah-curah. Tetapi umat Nabi Nuh alaihissalam dapat
hujan azab. Hujan yang penuh dengan “kematian”. Disebutkan
tentang hujan yang lebat kepada kaum Nabi Nuh alaihissalam di sini kerana sebelum
itu, mereka sedang ditimpa kemarau berpanjangan disebabkan oleh mereka menolak
ajakan dakwah baginda.
Tetapi apa Allah nak beritahu adalah, kalau tempat kita berlaku
kemarau panjang, tiada air, apa kena buat? Beristighfarlah sungguh-sungguh. Minta
ampun sungguh-sungguh kepada Allah. InsyaAllah Allah akan turunkan hujan dari
langit. Inilah hadiah kedua. Kemudian Nabi Nuh alaihissalam sebut lagi,
وَيُمْدِدْكُمْ بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ
“Dan Ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan
serta anak-pinak...”
Inilah hadiah ketiga dan keempat. Iaitu dengan kuasa istighfar
dan taubat sungguh-sungguh, kita bukan hanya sekadar mendapat turunnya hujan
rahmat, bahkan dapat harta kekayaan dan juga anak-anak. Nabi Nuh
alaihissalam menggunakan kalimah مدِدْ,
yang bermaksud Allah akan memanjangkan atau menambahkan lagi apa yang mereka
ada. Jika mereka yang sudah sedia kaya, Allah boleh tambahkan lagi kekayaan
mereka. Jika mereka yang miskin, Allah akan berikan kekayaan kepada mereka.
Sama
juga macam anak. Jika mereka yang dah ada anak, Allah akan tambahkan lagi anak
kepada mereka. Atau kalau mereka tiada anak, Allah boleh berikan anak kepada
mereka. Kemudian Nabi Nuh alaihissalam tambah lagi,
وَيَجْعَلْ لَكُمْ جَنَّاتٍ وَيَجْعَلْ لَكُمْ أَنْهَارًا
“... dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman serta
mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).”
Dan inilah hadiah yang kelima dan keenam, iaitu kebun tanaman
dan sungai-sungai yang mengalir dalam kebun itu. Subhanallah !
![]() |
Dapatkan buku Kerana Aku Sayang karya Aniq Muhaimin di semua rangkaian kedai buku di seluruh Malaysia. |
*****
Apa pengajaran daripada ayat ni?
1. Cantik dan indahnya Islam. Kita hanya perlu minta ampun
sungguh-sungguh kepada Allah iaitu dengan cara beristighfar dan bertaubat
sungguh-sungguh, Allah akan memberikan pada kita bukan hanya sekadar
pengampunan, bahkan Allah turut memberikan nikmat-nikmat yang lain. Ada 5
nikmat lain selain keampunan berkali-kali, iaitu hujan rahmat yang lebat, harta
kekayaan, anak-anak, kebun tanaman dan sungai yang mengalir di dalamnya. Bukan
setakat rahmat di Akhirat kita dapat, di dunia lagi dah terima awal.
Kita tak minta pun hujan rahmat.
Kita tak minta pun duit atau harta.
Kita tak minta pun anak-anak.
Kita tak minta pun tanah untuk kebun.
Kita tak minta pun sungai milik kita.
Tetapi dengan hanya kita meminta ampun sungguh-sungguh dengan
Allah, Allah akan berikan KESEMUANYA itu kepada kita. Semuanya.
Siapa yang tak gembira kalau hidupnya penuh hujan rahmat di saat
ramai orang lain hidup dalam kemarau dan tak ada air pun di rumah.
Siapa yang tak gembira kalau hidupnya penuh kekayaan yang berkat
di saat ramai orang hidup dalam kemiskinan, ataupun kekayaan tetapi harta
langsung tak ada keberkatan.
Siapa yang tak gembira kalau ada ramai anak di saat ramai orang
lain tak dapat anak walaupun berpuluh tahun kahwin.
Siapa yang tak gembira kalau ada kebun sendiri di saat orang
lain merempat tumpang tanah orang lain ataupun terpaksa menyewa di tanah orang
lain.
Allah Allah.. Nikmat Tuhanmu yang manakah hendak kita dustakan?
Bila lagi kita nak meminta ampun pada Allah sungguh-sungguh? Mana ada dalam
dunia ini, kalau kita minta maaf pada seseorang, orang itu bukan sekadar
maafkan kita, bahkan dia berikan duit, harta, tanah, dan sebagainya. Tak ada.
Hanya Allah saja. Maha baiknya Allah.
2. Ayat ini menganjurkan kita untuk sentiasa beristighfar. Memohon
keampunan kepada Allah adalah salah satu cara untuk memperolehi rahmat dan
diberi rezeki dari arah yang tidak di sangka-sangka. Rasulullah ﷺ bersabda
yang bermaksud,
“Barangsiapa
tekun beristighfar, nescaya Allah mengadakan baginya jalan keluar dari
tiap-tiap kesempitan serta diberi rezeki dari arah yang tidak di
sangka-sangka.”
(Riwayat
Abu Dawud, Nasa’i, Ibnu Majah dan Hakim)
Inilah kehebatan istighfar, walaupun zikirnya mudah saja. Ada satu
kisah seseorang mengadu keadaan yang kemarau kepada Imam Hasan al-Basri. Hasan
Basri suruh lelaki itu balik ke rumah dan melakukan istighfar. Kemudian, datang
pula lelaki lain yang mengadu hidupnya dalam kemiskinan. Hasan Basri suruh
lelaki itu balik rumah dan lakukan istighfar juga. Kemudian ada yang datang
mengadu kerana tidak dapat anak. Hasan al Basri beri nasihat yang sama.
Kemudian ada lagi yang datang mengadu keringnya kebun. Hasan Basri memberi
nasihat yang sama lagi.
Anak
muridnya yang melihat kejadian itu pelik dan bertanya kepada Hasan al-Basri
kenapa masalah yang berlainan tetapi semuanya dinasihatkan untuk istighfar. Beliau
menjawab yang nasihat itu bukan daripadanya, tetapi hasil kefahaman daripada
surah Nuh ayat ini dan beliau terus membacakan ayat ini.
3. Yang terakhir, ayat ini juga adalah satu pujukan kepada
orang yang SELALU berbuat dosa. Pendosa yang macam mana?
Pendosa yang berfikir, kalau dah meminta
ampun pada Allah, macam mana nak mencuri lagi?
Kalau dah minta ampun pada Allah,
macam mana nak berikhtilat untuk cari jodoh?
Kalau dah minta ampun pada Allah,
macam mana nak couple untuk kahwin?
Kalau dah minta ampun pada Allah,
macam mana nak tengok drama yang ada unsur haram?
Kalau dah minta ampun pada Allah,
macam mana nak meniru dalam exam?
Kalau dah minta ampun pada Allah,
macam mana nak mencuri tanah orang? Macam mana nak rasuah? Dan macam-macam
lagi.
Teman, Allah dah beritahu yang kalau awak meminta ampun kepada
Allah sungguh-sungguh, hidup awak akan lebih bermakna daripada hidup awak semasa
zaman hanyut dengan dosa sebelum ni. Serius..
Kalaulah kita hanya bergantung kepada diri sendiri semata-mata demi
mencari kehidupan yang baik, hakikatnya kita hanya BERSENDIRIAN. Tetapi kalau
kita meminta ampun pada Allah, bertawakal kepadaNya dan mencuba untuk mencari
kehidupan yang baik untuk diri kita, ketahuilah bahawa kita ADA Allah yang Maha
Pemurah bersama dengan kita. Percayalah..
Allah yang sediakan jodoh untuk kita.
Allah yang sediakan harta dan duit untuk kita.
Allah yang sediakan kerjaya untuk kita.
Allah yang sediakan keputusan peperiksaan cemerlang untuk kita.
Allah yang sediakan anak-anak untuk kita.
Allah akan sediakan segala-galanya untuk kita.
Subhanallah.. Moga Allah menjadikan kita orang yang bersungguh-sungguh
dalam meminta ampun kepada Allah berkali-kali.
Wallahua’lam
- Shukery Azizan
–
p/s: Tulisan ini
diambil daripada buku Pujukan Dari Tuhan karya Shukery Azizan. Boleh dapatkan
buku Pujukan Dari Tuhan sama ada di kedai-kedai buku POPULAR, MPH, SMO dan
lain-lain, atau boleh juga dapatkan secara online melalui isbirofficial.
Juzuk 29 : Inilah Kelebihan Taubat!
Reviewed by Tarbiah Sentap
on
05:16
Rating:

No comments:
Post a comment