Alhamdulillah kali ini kita dah masuk
juzuk ke 28, sudah menghampiri penghabisan tadabbur kita. Dalam juzuk 28,
terkandung banyak surah yang bernaung di bawahnya. Antaranya adalah surah
At-Taghabun. Surat At-Taghaabun adalah surah ke 64 dalam
al-Quran. Surah ini termasuk dalam kategori surah Madaniyyah. Nama At-Taghaabun
diambil daripada ayat ke-9 yang membawa maksud hari yang di nampakkan
kesalahan-kesalahan. Syed Qutb menyebut, surah at-Taghaabun ini terbahagi
kepada 4 bahagian, pertamanya adalah pandangan Islam tentang alam semesta. Keduanya
pula menjelaskan kisah terdahulu sebagai pelajaran. Bahagian ketiga pula
menceritakan tentang kepastian hari kebangkitan, dan bahagian keempat pula
berkaitan dengan penjelasan fitnah yang sentiasa menjadi persoalan manusia,
iaitu fitnah keluarga dan harta benda.
Jadi insyaAllah, saya akan memilih ayat yang ke 11 daripada surah
ini. Bismillah..
مَا أَصَابَ مِنْ مُصِيبَةٍ إِلَّا بِإِذْنِ اللَّهِ ۗ وَمَنْ
يُؤْمِنْ بِاللَّهِ يَهْدِ قَلْبَهُ ۚ وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ
"Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa
(seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah,
Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan
tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap
sesuatu."
(Surah At-Taghaabun 64 : 11)
Surah at-Taghaabun ini juga ibarat surah buah keimanan. Sebab
apa? Salah satu sebabnya ialah kerana ayat ini. Cuba kita perhatikan apa Allah
sebut dalam ayat ini,
مَا أَصَابَ مِنْ مُصِيبَةٍ
“Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa
(seseorang)..”
Dalam ayat ini, Allah sebut مُصِيبَةٍ yang maksudnya
malapetaka, bencana, kesusahan atau apa-apa saja yang dikenakan pada kita. Seperti
musibah yang kita faham dalam bahasa Melayu. Kalimah ini Allah gandingkan pula dengan
kalimah أَصَابَ yang maksudnya tepat pada tempatnya. Seperti anak panah yang
tepat pada sasaran.
Apa yang Allah nak sampaikan pada kita adalah, TIADA dan
SELAMANYA TIADA musibah atau kesusahan yang berlaku kepada kita, melainkan
memang ia telah ditujukan khas untuk kita. Sebab itu tak boleh sebut, “kalaulah
aku tak pergi ke sana, tentu aku tidak jadi begini dan begini...”
Ujian dan musibah yang Allah susun memang really meant for us.
Dan susunan Allah tidak pernah dan tidak akan tersasar. Maksudnya, kalau Allah berikan
kesusahan ataupun musibah, memang kesusahan ataupun musibah itu untuk kita.
Kalau Allah berikan kesenangan dan kegembiraan, memang ia khas untuk kita.
Bukan untuk orang lain. Sebab itu jangan cemburu dan dengki dengan kesenangan
dan kegembiraan orang lain.
Satu lagi perkara kita kena faham, مُصِيبَةٍ (musibah) ni bukan
semata-mata perkara yang buruk saja seperti kita faham dalam bahasa Melayu.
Boleh jadi, ia perkara yang kita sukai seperti kekayaan melimpah ruah, pangkat
yang hebat, pujian melambung-lambung, ramai peminat dan pengikut, dan
sebagainya. Kemudian Allah sambung lagi,
إِلَّا بِإِذْنِ اللَّهِ
“..melainkan dengan izin Allah..”
Perkataan مَا (ma) pada permulaan ayat 11 ini bermaksud penafian. Apabila
digabungkan dengan frasa atas ini, ia membawa maksud penafian bahawa Allah tidak
akan memberikan sesuatu kesusahan atau musibah MELAINKAN dengan izinNya . Ini
semua semata-mata dengan izin Allah. Apa yang awak lalui hari ini, bukan orang
lain yang buat, melainkan semua dengan izin Allah. Kalau Allah tak izinkan, ia
tidak akan berlaku. Semuanya di bawah perancangan Allah. Baik atau buruk yang kita
lalui, semuanya dengan izin Allah. Kemudian Allah beritahu lagi,
وَمَنْ يُؤْمِنْ بِاللَّهِ
“..dan sesiapa yang beriman kepada Allah..”
Ayat di atas selain beriman, ia juga membawa maksud, “sesiapa
yang boleh BERTAHAN imannya pada Allah ketika mana ia ditimpa musibah..”
Dan ayat ini adalah ayat BERSYARAT. Awak nak tahu sebab apa ia
bersyarat? Sebabnya, apabila seseorang diberikan musibah oleh Allah dengan
musibah yang dahsyat, ketika itu dia ada kemungkinan untuk hilang iman. Itu
sebabnya mula mempersoalkan Allah dan takdir, mempertikaikan Allah, tertanya kenapa
Allah buat macam ni pada mereka, kalau betul Allah sayang kenapa Allah buat
macam ni dan macam-macam lagi rungutan serta keluhan apabila ditimpa musibah.
![]() |
Dapatkan novel Kau Bukan Adiratna karya Najmi Fetih di semua rangkaian kedai buku di seluruh Malaysia. |
Apabila seseorang mula berfikir macam ini, itu antara tanda
imannya dah mula ada masalah atau bergoyang. Sebab itu Allah sebut dengan jelas,
sesiapa yang beriman kepada Allah serta boleh bertahan imannya, ataupun masih
beriman sungguh-sungguh walaupun ditimpa musibah yang disasarkan khas untuknya,
Allah akan kurniakan satu HADIAH ISTIMEWA. Apakah hadiahnya? Allah kata,
يَهْدِ قَلْبَهُ
"..Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang
telah berlaku itu dengan tenang dan sabar).."
Inilah HADIAH yang awak tidak akan jumpa mana-mana pun dalam ceruk
dunia. Lebih berharga daripada dunia dan seisinya. Apabila Allah MEMBIMBING
hati kita dalam menempuhi musibah dan membuat sebarang keputusan. Imam Jalaluddin
Al-Mahalli dalam tafsirnya, menafsirkan يهد قلبه
dengan “Allah memberikan hambaNya petunjuk dengan memberikannya kesabaran
menghadapi musibah yang menimpanya”. Fuh.. Dan
kesabaran yang paling jitu adalah seperti mana Rasulullah ﷺ sebut,
“Sesungguhnya
kesabaran itu ada pada pukulan pertama.”
(Riwayat
Muslim)
Dahsyat sungguh hadiah Allah ini. Dan untuk mendapatkan hadiah
ini, seperti saya sebut, ia bersyarat. Syaratnya mesti BERIMAN sungguh-sungguh
saat ditimpa ujian dan musibah. Apabila tiba saat kita dapat hadiah ini, awak
dah tak akan peduli apa-apa pun. Kerana ini adalah hadiah yang paling istimewa di
dalam muka bumi ini. Saya tak tahu bagaimana nak gambarkan lagi betapa
istimewanya hadiah ini. Dan saya sendiri tak tahu sama ada Allah bimbing atau
tidak hati saya. Begitu juga dengan awak.
Tetapi orang yang PASTI dan PASTI, orang yang hatinya dibimbing
oleh Allah adalah sesiapa yang boleh BERSABAR dan BERIMAN walaupun ditimpa
musibah dahsyat yang dibuat khas untuknya. Sama ada baik atau buruk, senang
atau susah. Inilah bukti keimanan yang sebenar dan hakiki kepada Allah. Dan
kenapa Allah berikan musibah kepada kita? Allah dah jawab,
وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ
“..dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap
sesuatu.”
Kerana Allah Maha tahu apa yang kita tak tahu. Kita mungkin akan
tahu apabila kita dah ada di Akhirat nanti. Salah satu sebab kenapa Allah
berikan musibah juga telah dijawab di dalam surah Al-Ankabut ayat 2 dan 3. Allah
Maha tahu siapakah yang benar-benar beriman. Dan kerana Allah dah tahu, maka
Allah juga tahu siapakah yang layak diberikan hadiah istimewa tadi.
*****
Pengajaran daripada ayat ni yang
boleh kita ambil,
1. Sekali kita dengar pasal ayat ni, seolah macam menggerunkan.
Kan? Masa saya pertama kali dengar, sejujurnya rasa agak cuak. Serius, rasa
takut sungguh. Saya mula teringat kisah-kisah saya mempertikaikan Allah satu
ketika dulu. Saya juga teringat yang saya banyak kali merungut apabila ditimpa
musibah atau kesusahan.
Teman,
kita kena faham dan sedar, bahawa kita ini sebenarnya tiada apa-apa pun. Allah
yang memiliki kita semua. Kita selalu cakap yang Allah lah penguasa langit dan
bumi. Senang kan cakap macam ni? Tetapi apabila dah kena musibah, masa itu kita
ada kemungkinan besar untuk lupa apa yang pernah kita ungkapkan. Kita dah lupa that
we're nothing !
Allah memiliki mata, hidung,
mulut kita dan seluruh anggota kita.
Allah yang sama memiliki nyawa
dan hati kita.
Allah yang sama jugalah memiliki
anak, isteri dan suami kita.
Allah yang sama juga miliki harta
kita.
Bahkan, Allah jugalah yang
memiliki diri kita sendiri !
Tetapi, apabila Allah nak ambil balik milikNya, dan nak balas
semula dengan bimbingan khusus serta Syurga untuk kita, kita boleh pula kata,
“kenapa Allah ambil aku punya.” Kenapa boleh cakap macam ni? Sedangkan diri
kita pun adalah milik Allah. Itulah sebenarnya penghambaan pada Allah. Itu lah
sebenar-benar aplikasi zikir yang selalu kita sebut,
Rodhi tu billahi robba. (Aku redha Allah sebagai Tuhanku..)
![]() |
Dapatkan novel Sujud Yang Terakhir karya Aizuddin Hamid di semua rangkaian kedai buku di seluruh Malaysia. |
2. Mungkin kita pernah terfikir saat ketika datangnya sesuatu
masalah ataupun musibah besar, kita rasakan kalaulah semua itu tiada, pasti
hidup akan rasa tenang dan damai. Selalunya dialog yang akan disebut, “kan
bagus kalau aku tak kena semua tu..” Tetapi apabila masalah atau musibah itu
dah hilang, datang lagi musibah yang lain, kemudian datang lagi, bahkan lebih
besar pula tu. Hingga akhirnya kita tertanya, “kenapa aku?”
Teman,
ketahuilah yang masalah dan musibah tak akan hilang selama-lamanya. Kalaulah
musibah boleh hilang secara total, ia akan hilang lebih awal daripada Nabi
Yaaqub alaihisalam. Jika kita rasa dengan menjadi orang beriman maka ujian dan
musibah akan hilang, sudah pasti Maryam tak akan ditimpa musibah. Rasulullah ﷺ pun tak ditimpa musibah. Apabila kita mula belajar tentang
ciri-ciri orang yang dekat dengan Allah di dalam al-Quran, mereka semua ada
masalah dan musibah yang dihadapi. Bahkan bersambung-sambung masalahnya serta makin
besar dan terus membesar. Seolah macam tiada penghujung. Nabi Yusuf alaihissalam
ditimpa ujian dan musibah sejak kecil lagi.
Tetapi teman..
Apa yang Allah akan berikan kepada kita sekiranya kita beriman
sungguh-sungguh pada Nya saat ditimpa musibah? Jika kita beriman
sungguh-sungguh saat orang lain mula menghasut kita, dan Syaitan pun turut
hasut sekali, hingga timbul terjentik perasaan ‘adakah Allah benci kita?’, namun
kita masih lagi beriman, bertawakal, menjaga hubungan dengan Allah
sungguh-sungguh, ketahuilah, saat itu, seperti Allah sebut dalam ayat di
atas,
يَهْدِ قَلْبَهُ
"..Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang
telah berlaku itu dengan tenang dan sabar).."
Ya, Allah akan membimbing hati kita. Kenapa hati? Perasaan sedih, kecewa, marah, semua tu datang
daripada mana? Hati kan? Jadi, Allah yang membimbing hati kita. Apabila Allah
dah bimbing hati kita, maknanya Allah akan membimbing sekali perasaan, emosi,
cara fikir, idea, tingkah laku dan perbuatan kita. Allah.. Saya boleh jamin
pada awak.
Kalau ada masalah kewangan, Allah
akan bimbing hati untuk mencari punca kewangan. Kalau masalah kesihatan, Allah
akan bimbing hati untuk mencari jalan penyembuhan.
Kalau ada masalah keluarga, Allah
akan bimbing hati kita untuk mencari jalan keluar.
Dan
banyak lagi. Itulah harganya sekiranya kita bersabar dan kekal beriman
sungguh-sungguh pada Allah. Allah akan bimbing hati kita, يَهْدِ قَلْبَهُ.
3. Sebagai penutup, Saya nak kongsi satu kisah yang diceritakan
Ustaz Nouman Ali Khan (NAK). Dia ada menceritakan tentang kisah cikgunya cerita
padanya (ini cerita dalam cerita.) UNAK sebut tentang kisah suami isteri yang mendapat
anak ketika mereka dah tua. Kisah benar ini berlaku di sekitar Pakistan.
Setelah berpuluh-puluh tahun berkahwin, alhamdulillah akhirnya mereka
baru mendapat seorang anak, itu pun dah di usia yang agak tua. Dan mereka pun
jagalah sungguh-sungguh sampai anaknya membesar berusia sekitar 18 tahun. Jadi
suatu hari, masa anaknya dalam perjalanan nak pergi ke konvokesyen, anaknya mengalami
satu kemalangan dan meninggal dunia. Awak bayangkan, berpuluh-puluh tahun
kahwin baru dapat seorang anak, kemudian dah membesarkannya sekitar 18 tahun, akhirnya
anaknya pula meninggal dunia semasa hari konvokesyen. Anaknya itu adalah segala-galanya
untuk mereka. Mereka berdua mengalami tekanan emosi yang terlalu sangat.
Tetapi..
Selepas beberapa minggu, suaminya datang pada isteri dan
bercakap (lebih kurang),
“Allah beri kita mainan. Allah biarkan kita bermain dengan
mainan tu selama 18 tahun. Dan ia milik Allah, bukan milik kita. Dia ambil
balik apa yang milik Dia. Kita sepatutnya bersyukur sebab Allah beri izin kepada
kita untuk gembira dan bahagia selama 18 tahun dengan pemberian Nya."
Subhanallah. Inilah kisah benar, contoh MUSIBAH yang menimpa,
lalu BERSABAR dengan penuh KEIMANAN. Dan bagaimana Allah membimbing hati
mereka. Kita mungkin senang nak sebut pada lidah tentang sabar, sabar, sabar.
Tetapi belum tentu kita boleh lakukan dengan tindakan. Moga Allah membimbing
hati kita semua untuk melalui setiap musibah yang Allah berikan khusus untuk
kita. Dan moga Allah beri kekuatan untuk kita terus beriman pada Allah sampai
jadi mati.
Wallahua’lam
- Shukery Azizan
–
p/s: Tulisan ini
diambil daripada buku Pujukan Dari Tuhan karya Shukery Azizan. Boleh dapatkan
buku Pujukan Dari Tuhan sama ada di kedai-kedai buku POPULAR, MPH, SMO dan
lain-lain, atau boleh juga dapatkan secara online melalui isbirofficial.
Juzuk 28 : Hadiah Istimewa Daripada Allah Untuk Kita
Reviewed by Tarbiah Sentap
on
23:42
Rating:

No comments:
Post a comment