Juzuk kali ini berkaitan dengan surah Al-An’am. Mungkin awak
pernah mendengar nama surah ini. Ini adalah surah Makiyyah terbesar. Al-An’am
membawa maksud ‘binatang ternak’. Salah satu sebab kenapa nama surah ini
dinamakan binatang ternak kerana musyrikin Mekah ada kepercayaan syirik yang
melibatkan binatang ternak. Ada binatang ternak yang mereka khususkan kepada
penyembahan berhala mereka. Kaitan surah al-An’am dengan yang sebelumnya
adalah, macam saya sebut pada juzuk ke 7, surah al-Baqarah banyak menyebut
tentang golongan Yahudi, surah Ali-Imran banyak menyebut tentang golongan
Kristian, manakala surah an-Nisa menyebut tentang golongan Munafik, tetapi
dalam surah al-Maidah pula menggabungkan terus ketiga-tiganya, Yahudi, Kristian
dan Munafiqun. Tetapi ada satu lagi golongan yang tak disebut. Iaitu golongan
Musyrikin, dan ia ada disentuh dalam surah al-An’am ini. Inilah golongan sesat
keempat yang Allah ceritakan di dalam al-Quran.
Ada ulama’ sebut, salah satu hikmah kenapa
Allah ajarkan awal-awal di dalam susunan al-Quran supaya kita boleh kenal siapa
golongan yang sesat, dan buat semakan untuk diri sendiri supaya tidak ada
sifat-sifat mereka ini dalam diri kita. Sebab kita belajar tentang golongan ini
bukanlah sebab nak kutuk mereka, tetapi supaya kita tidak jadi macam mereka.
Surah
ini telah diturunkan sekaligus, kecuali beberapa ayat saja. Ibnu Abbas
menyatakan yang surah ini diturunkan pada malam hari dan Jibrail telah diiringi
oleh 70 ribu malaikat semasa menurunkannya kepada Rasulullah ﷺ. Ini
kerana amat penting dan mulianya surah ini. Fuh, dahsyat. Apa pun, InsyaAllah, untuk juzuk kali ini, kita akan pilih ayat
yang ke 160. Bismillah,
مَنْ
جَاءَ بِالْحَسَنَةِ فَلَهُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا ۖ وَمَنْ جَاءَ بِالسَّيِّئَةِ
فَلَا يُجْزَىٰ إِلَّا مِثْلَهَا وَهُمْ لَا يُظْلَمُونَ
“Sesiapa
yang membawa amal kebaikan (pada hari kiamat), maka baginya (balasan) sepuluh
kali ganda (dari kebaikan) yang sama dengannya; dan sesiapa yang membawa amal
kejahatan, maka ia tidak dibalas melainkan (kejahatan) yang sama dengannya;
sedang mereka tidak dianiaya (sedikitpun).”
(Surah
al-An’am 6:160)
Allahu Akhbar! Daripada ayat ini secara literal pun, sepatutnya
kita dah rasa takjub dan syukur sangat kerana Maha Pemurahnya Allah kepada
kita. Allah beritahu kita,
مَنْ
جَاءَ بِالْحَسَنَةِ
“Sesiapa
yang membawa amal kebaikan (pada hari kiamat)”
Ini adalah suasana semasa di padang Mahsyar nanti. Setiap
daripada kita akan menghadap Allah yang Maha Agung. Kita akan menghadap Allah
sambil membawa apa yang pernah kita lakukan semasa di dunia dulu. Apa yang kita
nak tunjukkan? Apa bekal yang ada? Ini yang sepatutnya menjadi muhasabah kita.
Dalam ayat ini, Allah menggunakan kalimah الْحَسَنَةِ (Al-Hasanah)
yang membawa maksud kebaikan. Ada ulama menyebut الْحَسَنَةِ ini adalah kalimah toyyibah iaitu Laa
ilaha illallah. Ada juga yang menyatakan apa-apa saja amal yang baik.
Cuma apa yang
saya tertarik di sini adalah, amal baik
yang kita buat itu Allah pandang penting sampaikan Allah gunakan ال pada
perkataan الْحَسَنَةِ itu. Maksudnya, amal baik yang secara
khusus. Contohnya sama ada sedekahkan senyuman ke, tolong orang ke, solat sunat
ke, atau sebagainya. Kadang-kadang, kita tak sangka perbuatan kita itu adalah
pahala. Contohnya, kita tolong mudahkan urusan orang lain. Nampak macam tak ada
apa, tetapi di sisi Allah ia sesuatu yang sangat besar. Sebab itu jangan
pandang remeh dengan apa-apa amal kebaikan. Rasulullah ﷺ bersabda yang bermaksud,
“Janganlah
kamu menganggap remeh suatu kebaikan, meskipun sekadar bermanis muka ketika
menemui saudaramu."
(Riwayat
Muslim)
Kemudian, Allah menambah lagi,
فَلَهُ عَشْرُ
أَمْثَالِهَا ۖ
“..maka
baginya (balasan) sepuluh kali ganda (dari kebaikan) yang sama dengannya..”
Subhanallah! Allah menggandakan amal kebaikan dengan 10 kali
ganda yang sama banyak. Analoginya seperti kita melabur emas RM100, dan kita
mendapat pulangan sebanyak RM1000. Itu baru satu amal kebaikan, macam mana
kalau banyak? Dan ini yang paling minima. Sebab ada ayat lain yang Allah balas
sampai 700 kali ganda seperti dalam surah al-Baqarah ayat 261. Allahu Allah.
Dalam hadis sahih pula menceritakan bagaimana hanya kita berniat kebaikan pun,
malaikat dah mencatat 1 kebaikan. Rasulullah ﷺ bersabda yang bermaksud,
“Sesungguhnya
Allah menulis kebaikan-kebaikan dan kesalahan-kesalahan kemudian
menjelaskannya. Barangsiapa berniat melakukan kebaikan namun dia tidak (jadi)
melakukannya, Allah tetap menuliskannya sebagai satu kebaikan sempurna di
sisi-Nya. Jika ia berniat berbuat kebaikan kemudian mengerjakannya, maka Allah
menulisnya di sisi-Nya sebagai sepuluh (10) kebaikan hingga tujuh ratus (700)
kali lipat sampai kelipatan yang banyak. Barangsiapa berniat berbuat buruk
namun dia tidak jadi melakukannya, maka Allah menulisnya di sisi-Nya sebagai
satu kebaikan yang sempurna. Dan barangsiapa berniat berbuat kesalahan kemudian
mengerjakannya, maka Allah menuliskannya sebagai satu kesalahan.”
(Riwayat
al-Bukhari dan Muslim)
Masha Allah! Maha Baiknya Allah kepada kita sampai saya tak tahu
nak hurai macam mana lagi. Speechless. Kemudian Allah tambah lagi,
وَمَنْ
جَاءَ بِالسَّيِّئَةِ فَلَا يُجْزَىٰ إِلَّا مِثْلَهَا
“..dan
sesiapa yang membawa amal kejahatan, maka ia tidak dibalas melainkan
(kejahatan) yang sama dengannya..”
Allahu Akhbar! Bertakbirlah wahai teman. Maha Baiknya Allah,
kejahatan atau dosa yang kita hanya dibalas setimpal dengan apa yang dilakukan,
tanpa sebarang penggandaan. Bahkan, apabila kita baca hadis yang saya berikan
tadi, kalau sekadar berniat nak buat dosa, tetapi tak jadi buat, tak dikira sebagai
dosa. Malah dikira sebagai pahala pula tu! Kalau dah buat baru dicatat sebagai
satu dosa. Masya Allah!
Luasnya rahmat dan pujukan daripada Allah untuk kita. Lebih luas
daripada kemurkaan Allah. Allah sentiasa beri kita peluang lagi dan lagi untuk
bertaubat, dan sentiasa beri peluang untuk kita masuk ke SyurgaNya. Allah..
وَهُمْ
لَا يُظْلَمُونَ
“..sedang
mereka tidak dianiaya (sedikitpun).”
Kita tidak rugi walau sedikit pun kalau buat sebarang kebaikan.
Sebab semuanya akan mendapat balasan yang setimpal. Bahkan, kalau kita
tinggalkan keburukan, Allah balas pula dengan kebaikan. Jangan pernah rasa rugi
buat kebaikan walaupun mungkin tak dipandang di dunia. Sebab Allah tak akan
menzalimi kita.
![]() |
Dapatkan novel Sujud Yang Terakhir karya Aizuddin Hamid di semua rangkaian kedai buku di seluruh Malaysia. |
*****
Saya nak kongsi satu saja pengajaran terbesar yang kita boleh
dapat, jangan pandang remeh dengan kebaikan, walaupun kita nampak kecil.
Saya ingat lagi, masa awal perkahwinan dulu, isteri saya pernah bertanya usai
makan di sebuah kedai makan,
“Kenapa
rajin nak kemas pinggan ni? Bukan ke nanti pekerja akan kutip dan basuh je?”
Saya
hanya senyum saja. Kemudian saya tanya dia,
“Apa
pendapat eizza kalau orang bantu kerja eizza walaupun sikit?”
Dia
terdiam.
"Hmm..
Rasa gembira. Terasa ada orang hargai.."
Saya
mengangguk. Lantas saya balas,
"Macam
itu juga pekerja kedai makan. Abang dulu pernah jadi tukang cuci pinggan di
kedai makan. Saat paling letih adalah bila kita tengok pinggan berselerak di
atas meja. Dah la kuah dan tulang berterabur atas meja. Rasa nak merungut pun
ada. Namun ye lah, dah kerja. Nak buat macam mana. Tetapi pernah beberapa kali
masa nak kutip pinggan, tengok orang tu dia dah siap kemas pinggan. Malah,
mereka lap kuah yang tumpah atas meja guna tisu. Abang rasa syukur sangat. Dan
selalunya abang akan doa secara spontan dalam hati moga Allah mudahkan urusan
dia sekeluarga. Kerja kedai makan ni penat. Saangat penat. Apatah lagi bila dah
7, 8 jam bekerja tengok perkara sama, kutip benda sama, basuh benda sama.
Teringin juga nak orang bantu mudahkan walau sedikit. Tak susah pun, tolong kemas
pinggan sikit, kutip tulang yang berterabur bawah meja atau atas meja dalam
satu pinggan, dan lap kuah, sos, atau apa-apa yang tertumpah atas meja guna
tisu. Buat perkara ini tak sampai 3 minit pun. Tetapi pahalanya besar sebab
mudahkan tugas orang. Dalam hadis sahih, Nabi kata, sesiapa yang memudahkan
urusan orang lain, Allah akan mudahkan urusannya dunia Akhirat.”
Isteri
saya mengangguk faham. Tak pasal-pasal kena ceramah ringkas di kedai makan
sebelum makanan sampai. Sejak daripada itu, setiap kali lepas makan di
mana-mana kedai makan, kami sekeluarga akan usaha kemas meja untuk mudahkan
pekerja. Ini baru satu contoh. Ada banyak lagi perkara yang kita boleh buat.
Dan saya cerita atas ini bukan nak riya’ ya. Moga Allah pelihara niat saya.
Tetapi pointnya adalah, jangan pandang remeh dengan amal kebaikan. Sebagai
penutup, saya nak kongsi satu hadis sahih, Rasulullah ﷺ
beritahu,
“Sungguh aku melihat seorang lelaki menikmati kesenangan di dalam
Syurga kerana sebatang pohon yang ia singkirkan dari tengah jalan yang
mengganggu manusia.”
(Riwayat Muslim)
Fuh, masuk Syurga hanya kerana membuang sebatang pokok yang
mengganggu laluan manusia. Subhanallah! Teman, teruskanlah membuat kebaikan, walaupun
mungkin ramai manusia tak pandang dan tak iktiraf pun. Sebab kita tak tahu amal
mana yang paling ikhlas, yang Allah terima dan yang dijadikan asbab untuk kita
masuk ke SyurgaNya.
- Shukery Azizan
–
p/s: Tulisan ini
diambil daripada buku Pujukan Dari Tuhan karya Shukery Azizan. Boleh dapatkan
buku Pujukan Dari Tuhan sama ada di kedai-kedai buku POPULAR, MPH, SMO dan
lain-lain, atau boleh juga dapatkan secara online melalui isbirofficial.
p/s : Dapatkan E-Book tulisan Shukery Azizan yang bertajuk "Kisah Wanita Di Dalam Al-Quran" hari ini juga. Klik di sini untuk dapatkan segera : >> KLIK DI SINI <<
Tadabbur Juzuk 8 : Jangan Pandang Remeh Dengan Kebaikan Walaupun Kecil
Reviewed by Tarbiah Sentap
on
18:28
Rating:

No comments:
Post a Comment