Pada juzuk kali ini, kita akan
memilih surah al-Maidah, satu surah yang menarik untuk dikaji. Surah ini adalah
surah ke 5 di dalam al-Quran, dan termasuk dalam kategori surah Madaniyyah. Perkataan
al-Maidah bermaksud hidangan ataupun jamuan. Salah satu sebab kenapa diberi
nama Al-Maidah kerana peristiwa pengikut-pengikut setia Nabi Isa alaihissalam
yang meminta kepada baginda agar Allah menurunkan untuk mereka Al Maidah
(hidangan makanan) dari langit (ayat 112). Surah ini juga dinamakan dengan Al
Uqud (perjanjian) kerana kata itu terdapat pada ayat pertama surah ini di mana
Allah menyuruh agar hamba-hamba-Nya memenuhi janji mereka terhadap Allah dan
perjanjian-perjanjian yang mereka buat sesama manusia. Dan diberi nama Al-Munqidz
(yang menyelamatkan), sebab pada akhir surah ini mengandungi kisah tentang Nabi
Isa alaihissalam sebagai penyelamat kepada pengikut-pengikut setianya daripada
azab Allah
Dan
antara hubungannya dengan surah-surah sebelum ini adalah, kalau surah al-Baqarah
banyak menyebut tentang golongan Yahudi, surah Ali-Imran banyak menyebut
tentang golongan Kristian, manakala surah an-Nisa menyebut tentang golongan
Munafik, tetapi dalam surah al-Maidah pula menggabungkan terus ketiga-tiganya, Yahudi,
Kristian dan Munafiqun. Apa pun, untuk juzuk ini,
saya terus sambung pada ayat yang ke 100. Bismillah.
قُلْ لا يَسْتَوِي الْخَبِيثُ
وَالطَّيِّبُ وَلَوْ أَعْجَبَكَ كَثْرَةُ الْخَبِيثِ فَاتَّقُوا اللَّهَ يَا
أُولِي الألْبَابِ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
“Katakanlah (wahai Muhammad): "Tidak sama yang buruk dengan
yang baik, walaupun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu. Oleh itu
bertaqwalah kepada Allah wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu
berjaya.”
( Surah Al-Maidah 5 :100 )
Dalam ayat di atas, Allah mengarahkan kepada Rasulullah ﷺ supaya menyebut dengan terang dan jelas,
قُلْ لا يَسْتَوِي الْخَبِيثُ وَالطَّيِّبُ
“Katakanlah (wahai Muhammad): "Tidak sama yang buruk
dengan yang baik..”
Ya, premis tentang keburukan/kebatilan selama-lamanya tidak akan
sama dengan kebaikan/kebenaran. Dalam ayat ini, Allah dah meletakkan satu garis
panduan atau 'garis merah’ untuk beritahu pada kita semua mana yang diterima
syarak (iaitu kebaikan dan kebenaran) dan mana yang ditolak syarak (iaitu
keburukan dan kebatilan). Jadi sebagai seorang Muslim, by hook or by crook,
wajib ikut mana yang mematuhi syarak dan tinggalkan mana yang ditolak syarak.
Walaupun yang buruk itu nampak macam cantik dan menarik.
Kemudian Allah sambung lagi,
وَلَوْ أَعْجَبَكَ كَثْرَةُ الْخَبِيثِ
"... walaupun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu.
"
Macam saya sebut, walaupun yang keburukan, kebatilan atau
maksiat itu nampak menarik, ada sedikit manfaat, cantik, dan ramai manusia
buat. Tetapi ia selama-lamanya TETAP tidak akan sama dengan kebaikan dulu, kini
dan sampai Kiamat. Kemudian Allah ingatkan lagi,
فَاتَّقُوا اللَّهَ يَا أُولِي الألْبَابِ
"..Oleh itu bertaqwalah kepada Allah wahai orang-orang yang
berakal fikiran.."
Allah dengan jelas suruh bertaqwa kepada orang yang berakal
fikiran. Apa maksud taqwa? Banyak definisi. Tetapi nak mudah faham, taqwa
adalah kita ikut perintah Allah sungguh-sungguh, jauhi larangan Allah
sungguh-sungguh, dan ikut sunnah Rasulullah ﷺ semampu yang boleh. Dan siapa
yang ada akal fikiran? Lembu? Ayam? Orang gila? Bukan. Tetapi kita semua
manusia yang sihat sejahtera, dan masih lagi waras. Kita ada akalkan? Kita
bukannya manusia yang ada otak, tetapi tiada akal. Kenapa Allah suruh kita
bertaqwa?
لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
"..supaya kamu BERJAYA"
Inilah tujuan yang paling terakhir sekali, iaitu supaya semua
berjaya. Berjaya di mana? Sudah pasti berjaya dunia dan Akhirat.
*****
Pengajaran yang kita boleh dapat
dari ayat ini,
1. Dalam ayat di atas, Allah dah sebut dengan jelas dan terang
bahawa kebaikan itu TIDAK AKAN sama dengan keburukan walaupun SEMUA manusia
buat. Tak kisah sama ada keluarga, kawan-kawan, jiran tetangga, masyarakat,
pemimpin, bahkan seluruh manusia lakukannya. Ia tidak akan sama, dan tidak akan
berubah. Termasuklah walaupun para ulama’ yang buat dosa itu, ia tetap TIDAK
AKAN menghalalkan dosa, maksiat dan keburukan tersebut. Ini merupakan salah
satu contoh masalah yang bersifat ‘Timeless Problem’. Masalah yang
berulang-ulang berlaku sejak daripada zaman Nabi Adam alaihissalam. Kalau zaman
sebelum ini, hitam (keburukan) dan putih (kebaikan) nampak jelas. Orang tahu
arak itu haram, dan ia jelas. Orang tahu berzina itu haram, dan ia jelas. Orang
tahu babi itu haram, dan ia jelas.
Tetapi
hari ini, bukan setakat hitam dan putih, malah ada kelabu (samar-samar) juga.
Contohnya, isu liberalisme agama. Ada orang kata baik, ada yang kata buruk,
walaupun sebenarnya buruk. Yang berhujah menyatakan liberalisme ini baik,
mereka akan kata dalam liberal ada nilai-nilai Islam. Sedangkan Allah dah
sebut, yang buruk itu TIDAK AKAN sama dengan baik. Kalau dalam isu remaja pula,
kes couple dan ikhtilat. Perkara ini dah jelas-jelas salah. Dan ia salah tetap
salah walaupun ada ostat facebook kata ia betul. Dan walaupun yang couple itu
seluruh sekolah atau universiti termasuk cikgu atau pensyarah couple sekali.
Ataupun yang couple dan berikhtilat sambil pegang tangan itu
adalah ustaz yang berserban sebesar bakul durian dengan ustazah tudung labuh
warna traffic light sambil berpurdah bling bling seluruh muka. Ia SALAH dan TIDAK
AKAN sesekali-kali sama dengan kebaikan dan kebenaran.
2. Yang kedua, yang salah itu tetap salah WALAUPUN ia nampak
baik. Kes macam ini Allah dah bentangkan banyak kali dalam al-Quran.
Contohnya tentang isu arak dan judi. Allah beritahu bahawa arak itu haram
walaupun ia ada SEDIKIT manfaat. Allah berfirman yang bermaksud,
“Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad)
mengenai arak dan judi. Katakanlah: "Pada keduanya ada dosa besar dan ada
pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada
manfaatnya”
(Surah Al-Baqarah 2 : 219)
Sama juga macam apa-apa maksiat sekalipun. Contohnya macam nak
elakkan kes buang anak luar nikah, maka diajarkan pendidikan seks mengikut cara
Barat dan memberikan kondom. Atas alasan, nak kurangkan kes anak luar nikah.
Nampak macam ada manfaat, tetapi berzina itu tetap dosa besar. Dan ia lebih
besar daripada yang kononnya dikatakan manfaat. Begitu juga merokok. Walaupun orang
kata merokok itu nampak cool, macho, trendy. Tetapi ia dah jelas haram, kenapa
masih nak mencari-cari fatwa ‘harus’?
![]() | |
Dapatkan buku Bagaimana Menjadi Pemimpin karya Ir Lukman Al Hakim di semua rangkaian kedai buku seluruh Malaysia. |
3. Kebelakangan ini, kalau awak perasan, ada banyak projek
daripada Yahudi Zionis, Barat dan sekutunya cuba untuk merosakkan umat Islam. Antara
projek merosakkan umat Islam adalah Normalisasi. Normalisasi adalah proses
nyahsensitif (desensitization) dalam jiwa umat Islam untuk RASA BIASA dan
NORMAL dengan dosa. Sebab sepatutnya ciri seorang mukmin adalah sensitif dengan
dosa. Sepatutnyalah. Sama macam ayat tadi, sepatutnya kita boleh beza dosa dan
pahala, baik dan buruk, sebab keduanya tidak akan sama. Rasulullah ﷺ sebut,
"Orang
yang beriman melihat dosanya umpama gunung yang menghempap, manakala ahli
maksiat pula melihat dosa itu umpama lalat yang hinggap pada hidung.”
(Riwayat
Al-Bukhari)
Kalau awak nak tahu, projek normalisasi adalah
salah satu agenda golongan liberal sekular. Bawah ini adalah contoh projek
normalisasi yang telah berlaku pada Muslim di Malaysia berserta alasan cliche
untuk membenarkan dosanya,
1.
Melihat aurat - alasannya, macam mana nak tengok TV, jalan di shopping mall,
dll. Takkanlah nak duduk rumah menghadap buku saja. Semua drama, movie ada buka
aurat. Takkan nak duduk dalam gua.
2.
Mengumpat - alasannya, aku cakap perkara betul.
3.
Memfitnah - alasannya, aku cakap je, mana tahu betul?
4.
Perempuan menjadi model - alasannya, biasalah marketing dalam bisnes. Marketing
kan tujuannya nak menarik perhatian prospek.
5.
Melihat seks kecil di tv seperti adegan bercumbuan - alasannya, ala, drama
Melayu pun banyak juga aksi lucah kecil ni. Takkan nak kutuk drama korea,
jepun, hollywood, bangla, dll je?
6.
Mengangkat orang kafir, menghina Muslim - alasannya, kita nak dakwah. Orang
kafir lebih telus, orang Islam banyak korup. Dan orang islam patutnya tahu
pasal islam, sebab tu boleh hina mereka.
7.
Pertahankan dosa / maksiat yang dibuat - alasannya, eleh, kubur masing-masing.
Mak bapak aku pun tak marah. Kau peduli apa?
Dan banyak lagi. Belum lagi sebut tentang ikhtilat,
tinggal solat, judi, arak dan lain-lain. Manakala normalisasi dosa yang sedang
berlaku dan mungkin akan berlaku kelak,
1. LGBT
- atas alasan, apa salahnya, itukan hak masing-masing. Jangan diskriminasi hak
mereka bekerja.
2.
Membela anjing tanpa sebab - alasannya, kita nak tunjukkan Muslim tak benci
anjing.
3. Seks
bebas - alasannya, mak bapa dia pun tak kisah.
4. Syiah,
qadiyani, dan lain-lain ajaran sesat - alasannya, itu hak mereka nak amalkan
kepercayaan masing-masing. Bukannya kacau keluarga kau pun.
5. Seks
(berzina) selamat - alasannya, yang penting tak mengandung dan buang anak, oklah
tu. Takkan nak kahwin muda, bukannya matang pun.
Dan
sebagainya. Awak sendiri boleh perasan perkara ini. Dan banyak lagi yang SEDANG
dan AKAN berlaku. Kesan normalisasi dosa punca kepada hilangnya sensitiviti
iman. Dan bila dah ramai hilang sensitif iman, maka
makin ramai orang buat. Akhirnya, kita pun tidak rasa apa-apa dosa. Seolah
perkara itu halal pula. Tepuk dada tanya diri,
“Apa khabar iman aku?”
Sebab tu Rasulullah ﷺ penah sebut dalam satu hadis sahih bahawa Islam ini datang
dengan asing, dan ia akan kembali asing. Maka beruntunglah orang yang asing itu
(Riwayat Muslim). Ada hadis lain Rasulullah ﷺ sebut bahawa akhir zaman ini pegang Islam (syariat) seperti
pegang bara api (Riwayat Tirmidzi). Memang susah nak jaga, tetapi at least CUBA
sedaya upaya sehingga ke titisan peluh dan air mata yang terakhir untuk jaga
sebaiknya. Kalau dah buat salah, TAUBAT dan akui kesalahan. Moga
kita sekurangnya rasalah BERSALAH dengan dosa dan paling minima membenci
dengan hati. Kerana itulah selemah iman.
- Shukery Azizan
–
p/s: Tulisan ini
diambil daripada buku Pujukan Dari Tuhan karya Shukery Azizan. Boleh dapatkan
buku Pujukan Dari Tuhan sama ada di kedai-kedai buku POPULAR, MPH, SMO dan
lain-lain, atau boleh juga dapatkan secara online melalui isbirofficial.
Juzuk 7 : Rasalah Bersalah Dengan Dosa
Reviewed by Tarbiah Sentap
on
17:35
Rating:

No comments:
Post a comment