لَا
يُحِبُّ اللَّهُ الْجَهْرَ بِالسُّوءِ مِنَ الْقَوْلِ إِلَّا مَنْ ظُلِمَ ۚ
وَكَانَ اللَّهُ سَمِيعًا عَلِيمًا
“Allah
tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan
berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dizalimi.
Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”
(Surah
an-Nisa’ 4:148)
Ayat ini lebih kepada menyuruh
kita menjaga lisan kita. Allah menyebut,
لَا
يُحِبُّ اللَّهُ الْجَهْرَ بِالسُّوءِ مِنَ الْقَوْلِ
“Allah
tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan
berterus-terang (untuk mendedahkan keburukan orang)..”
Dalam ayat ini sangat jelas memberitahu kita bahawa Allah sangat
tak suka dengan perkataan-perkataan buruk yang diucapkan dengan terus terang.
Perkataan-perkataan buruk tu termasuklah membuka aib orang, mencela orang,
memaki hamun, menceritakan keburukan orang lain di khalayak ramai, mengumpat,
menyinggung perasaan orang lain dan seumpamanya. Sebab itu, jangan
kita buka cerita tentang dosa-dosa yang dilakukan oleh orang lain, jangan
mengumpat tentang mereka, jangan cari kesalahan mereka dan sebarkan dalam media
sosial seperti Facebook atau sebagainya. Jangan teman, serius.
إِلَّا
مَنْ ظُلِمَ
“..kecuali
oleh orang yang dizalimi..”
Ibnu Abu
Talhah meriwayatkan daripada Ibnu Abbas tentang makna ayat ini, bahawa Allah
tidak suka apabila seseorang mendoakan kecelakaan terhadap orang lain, kecuali
jika ia dianiaya olehnya. Maka saat itu, Allah memberikan rukhsah (keringanan)
kepadanya untuk mendoakan kecelakaan terhadap orang yang berbuat aniaya
terhadapnya. Akan tetapi, jika si teraniaya bersikap sabar dan tidak mendoakan
kecelakaan terhadap orang yang berbuat aniaya kepadanya, maka ini lebih baik
baginya.
Tentang
hal orang dizalimi ni, satu lagi contoh kalau seseorang ditipu oleh sindiket
atau scam, maka masa itu bolehlah dia menceritakan kesalahan orang itu kepada
pihak polis, mahkamah ataupun pihak berkuasa untuk tindakan undang-undang.
Sebab, kalau seseorang itu melakukan kezaliman, dan kita yang tahu tak halang
dengan melaporkan kesalahan yang dilakukannya, dia mungkin akan buat kepada
orang lain pula. Sebab itu, eloknya kita laporkan kepada pihak yang berwajib.
وَكَانَ
اللَّهُ سَمِيعًا عَلِيمًا
“Dan
(ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”
Kena
sentiasa ingat, Allah maha dengar dan tahu apa yang kita sebut. Dan jangan
lupa, apa yang kita cakap akan sentiasa dicatat dan dipersembahkan semasa
padang Mahsyar nanti. Jangan sampai galak membuka aib orang lain, hingga
akhirnya Allah sendiri yang akan buka aib kita di dunia dan Akhirat. Allah...
******
Ada beberapa pengajaran menarik
dalam ayat ini,
1. Hentikanlah membuka dan menjaja aib orang lain. Cakap tentang
keburukan dan aib orang memang seronok, kalau boleh nak cakap sampai 1000 tahun
tanpa henti. Tetapi kalau cerita keburukan dan aib sendiri, baru cakap 1 saat
pun rasa macam dah setahun bercerita. Punya malu. Sebab itu, simpanlah aib diri
sendiri dan aib orang lain.
Dan
antara tanda seseorang itu dipenuhi dengan aib dan maksiat serta dosa noda
ialah apabila dia sering membuka aib orang lain, memburukkan orang lain,
mengutuk, mencaci serta memandang rendah orang lain. Dia rasa, dengan mengaibkan
orang lain, aibnya sendiri akan di tutup serta orang akan memandang dirinya
mulia. Itu antara kesilapan terbesar. Orang yang membuka aib orang lain tak
akan dimuliakan. Manusia akan menghina dia. Dan apa yang pasti, aibnya sendiri
akan terbuka. Orang yang mulia, ialah orang yang tak sempat membuka aib orang
lain kerana terlalu sibuk mengurus aib sendiri dengan bertaubat, menangis,
berusaha untuk berubah dan mentaati Allah dan Rasul daripada segenap sudut.
2. Saya
tahu saya sendiri banyak aib dan dosa peribadi yang banyaknya mungkin memenuhi
langit dan bumi. Sebab itu, saya selalu muhasabah diri supaya TAK MENJAJA aib
dan kelemahan orang lain. Sama ada seseorang tu ‘sengaja’ dedahkan aibnya
kepada umum, apatah lagi aibnya secara tersembunyi.
Apabila seseorang
buat dosa atau kesalahan secara terbuka, terutama di media sosial, ia bukan
bermakna ‘halal’ untuk kita untuk menjaja aibnya ke seluruh dimensi media
sosial. Contohnya, apa-apa isu berlaku di Whatapps, tetapi aibnya
di-screenshot, kemudian dijaja hingga ke macam-macam aplikasi media sosial
seperti Instagram, Twitter, Facebook dan lain-lain. Budaya ‘screenshot’ tanpa
izin adalah budaya yang sedikit sebanyak ‘mengajar’ seseorang untuk menjaja aib
dan kesalahan seseorang kepada orang ramai. Alasan yang selalu diberikan,
“Kalau
kita tak sebarkan, nanti akan semakin banyak spesis macam ni..”
Persoalannya,
apabila kita screenshot, sejauh mana kita yakin orang lain tak akan buat? Nasihat
untuk diri saya sendiri, kita ini setara mana sangat dalam menghitung dosa
manusia. Manusia yang berdosa dengan Allah, apabila mereka bertaubat dan minta
maaf sungguh-sungguh, mereka akan terlepas bebanannya. Kita yang menjaja aib dan
kesalahan orang, agak-agak macam mana? Moga Allah sudi ampunkan kelemahan dan
sudi untuk menutup aib kita.
Wallahua’lam.
- Shukery Azizan
–
p/s: Tulisan ini
diambil daripada buku Pujukan Dari Tuhan karya Shukery Azizan. Boleh dapatkan
buku Pujukan Dari Tuhan sama ada di kedai-kedai buku POPULAR, MPH, SMO dan
lain-lain, atau boleh juga dapatkan secara online melalui isbirofficial.
Juzuk 6 : Janganlah Buka Aib Orang Lain
Reviewed by Tarbiah Sentap
on
15:13
Rating:

No comments:
Post a comment