Alhamdulillah,
kali ini kita masuk pula ke surah yang baru lagi, iaitu surah ketiga terbesar
yang diturunkan dalam fasa Madinah, iaitu surah Madaniyyah, selepas surah
al-Baqarah dan ali-Imran. Surah ini dinamakan an-Nisa’ yang bermaksud wanita. Salah
satu sebab dinamakan an-Nisa’ kerana surah ini banyak membicarakan tentang hal
yang berkaitan dengan wanita berbanding surah lain. Contohnya seperti hak
wanita, tanda-tanda wanita solehah, pembahagian harta pusaka, pemberian mahar
kepada wanita dalam munakahat, nasab, susuan dan lain-lain. Oh ya, ada satu
lagi surah yang banyak cerita tentang wanita adalah surah at-Talaq.
Apa pun, kalau kita renungkan, surah
an-Nisa’ ini juga sekaligus mengangkat martabat dan maruah perempuan ke tahap
yang tertinggi. Sebab kalau kita perhatikan zaman jahiliah, wanita hidup dalam
keadaan terhina. Jadi hamba seks, bayi perempuan dibunuh hidup-hidup, hak
wanita diabaikan, dan sebagainya. Dengan kedatangan Islam, maruah wanita
diangkat setinggi-tingginya. Dan kalau awak nak tahu, harga bagi sebuah maruah
seorang wanita (dan juga seorang lelaki) adalah SYURGA. Bukannya harta, takhta
ataupun kuasa.
Tetapi sayangnya, zaman hari ini maruah
perempuan dihina sekali lagi. Contohnya, berapa banyak wanita yang
dieksploitasi untuk tujuan pemasaran dan pengiklanan. Daripada produk kosmetik,
sehinggalah jual tayar kereta pun ada model wanita! Apa kaitan? Itu belum lagi
yang jadi paddock atau umbrella girls dalam perlumbaan motor atau kereta, dan
sebagainya. Allah.. Betapa sedihnya maruah wanita yang diperlakukan sebegitu. Itu
belum lagi kalau dalam kalangan remaja, dengan istilah bohsia, cikaro, dan
lain-lain. Moga Allah pelihara zuriat keturunan kita daripada terhancurnya
maruah. Ameen.
Apa pun, untuk juzuk 5 ini,
sebenarnya saya nak pilih beberapa ayat. Antaranya ayat ke 40, 110 dan 147.
Tetapi lepas fikir panjang, saya pilih yang ayat yang ke 147. Sebab ayat yang
ke 40 dan 110 boleh diambil pengajaran bersama dengan ayat ke 147 ini. Saya
akan hurai dalam bahagian pengajaran. Moga bermanfaat. Bismillah.
مَّا يَفْعَلُ اللّهُ بِعَذَابِكُمْ إِن شَكَرْتُمْ وَآمَنتُمْ وَكَانَ اللّهُ شَاكِراً عَلِيماً
"Apa gunanya Allah menyeksa kamu sekiranya kamu bersyukur (akan nikmatNya) serta kamu beriman (kepadaNya)? Dan (ingatlah) Allah sentiasa Membalas dengan sebaik-baiknya (akan orang-orang yang bersyukur kepadaNya), lagi Maha Mengetahui (akan hal keadaan mereka)."
(Surah An Nisa' 4 : 147)
Ayat yang ke 147
ini serius sangat menarik dan menyentuh perasaan. Tetapi kalau nak lebih
menyentuh perasaan, cuba kita perhatikan 2 ayat sebelum itu, iaitu ayat yang ke
145 dan 146. Dalam ayat ke 145, Allah menceritakan tentang azab kepada
orang-orang munafik. Siapa orang munafik ini? Orang munafik adalah orang
kafir yang berpura-pura masuk Islam, dan bertujuan untuk menghancurkan Islam
daripada dalam.
![]() |
Dapatkan buku Harapan Masih Ada karya Qamarul Nazrin di semua rangkaian kedai buku seluruh Malaysia. |
Dan tiada siapa pun tahu siapakah yang munafik, kecuali Allah, Rasulullah ﷺ dan Huzaifah al Yamani, seorang sahabat yang
menyimpan rahsia Rasulullah ﷺ. Rasulullah ﷺ pernah memberitahu senarai orang munafik, dan
meminta beliau merahsiakan sebelum baginda wafat. Selepas kewafatan Huzaifah
pula, tiada siapa tahu siapakah yang munafik. Sebab munafik adalah penyakit
hati, tidak diketahui kecuali Allah sahaja. Kita tidak disuruh untuk cari
siapakah munafik walaupun diberitahu tentang hadis ciri-ciri nifaq. Ciri-ciri
itu adalah untuk muhasabah diri sendiri, bukan melabel sesama Muslim.
Dan munafik ini
lebih bahaya daripada orang kafir yang jelas nyata memerangi Islam. Mungkin itu
salah satu sebab kenapa Allah campakkan golongan munafik ke dalam Neraka yang
paling BAWAH ! Allah berfirman yang bermaksud,
“Sesungguhnya
orang-orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan yang terkebawah sekali
dari (lapisan-lapisan dalam) Neraka. Dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat
sesiapa pun yang boleh menolong mereka.”
(Surah
an-Nisa 4 : 145)
Serius seram! Tetapi..... Allah
sambung lagi pada ayat seterusnya, yang mana Allah memberi pengecualian
kepada orang yang bertaubat dengan sebenar-benar taubat. Allahu Rabbi. Maha
pemurahnya dan baiknya Allah. Bukan setakat Allah ampunkan dan menerima taubat
mereka, bahkan Allah kumpulkan mereka dengan orang yang beriman pula
sekaligus menganggap mereka ini sebagai orang yang beriman! Dan Allah berikan
satu lagi nikmat agung. Apa dia? Iaitu masuk ke dalam Syurga Allah. Allahu
Akhbar. Allah sebut dalam al-Quran yang bermaksud,
“Kecuali
orang-orang yang bertaubat (dari perbuatan munafik itu) dan memperbaiki amalan
mereka (yang salah), dan mereka pula berpegang teguh kepada (agama) Allah,
serta mengerjakan agama mereka dengan ikhlas kerana Allah, maka mereka yang
demikian itu ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman (di dalam
Syurga); dan Allah akan memberikan orang-orang yang beriman itu pahala yang
amat besar.”
(Surah
an-Nisa’ 4 : 146)
Kenapa saya
terangkan ayat ke 145 dan 146 terlebih dahulu? Sebab saya nak beritahu kepada awak,
ini adalah bukti betapa sayangnya Allah kepada kita dengan sentiasa memberi
pengharapan supaya manusia terus kembali kepadaNya. Manusia yang macam mana? Manusia
(terutama orang Islam) seperti kita semua yang kadang-kadang merasakan diri sendiri
sebagai HIPOKRIT. Malah, banyak kali melakukan ciri-ciri nifaq seperti
berbohong, tidak amanah, khianat, dan sebagainya. Bahkan, kadang-kadang, ada
orang yang terlajak hingga jauh atau meninggalkan terus agama.
Sampai satu
saat, mereka sangka bahawa Allah dah tidak mahu ampunkan mereka. Mereka sangka
Allah dah BENCI mereka. Mereka sangka Allah tidak akan maafkan mereka. Mereka sangka
dah tiada jalan balik lagi untuk masuk Syurga. Dan mereka sangka bahawa mereka
dah tidak boleh bertaubat lagi. Bila datang
perasaan ini, Syaitan pun semakin galak menghasut
lagi,
“Haa! Memang
Allah benci kau. Dia akan masukkan kau ke dalam Neraka. Kau tak ada peluang
untuk taubat. Masak la kau Neraka."
“Kita kan ahli
Neraka berdaftar, tak payah nak bergaul sangat dengan orang alim yang kononnya
ahli Syurga tu.”
Hingga akhirnya kadang
sampai terfikir,
“Kenapa Allah
hidupkan manusia? Kenapa beri ujian pada manusia? Kenapa Allah cipta Neraka?
Kenapa mesti kena seksa? Kenapa dan kenapa?"
Apabila timbul
persoalan demi persoalan sebegini, sebenarnya Allah dah sediakan jawapan di
dalam al Quran,
مَّا يَفْعَلُ اللّهُ بِعَذَابِكُمْ
"Apa gunanya Allah menyeksa kamu..."
Inilah bahagian
yang paling menyentuh perasaan saya secara peribadi. Kenapa Allah perlu
seksa kita? Kenapa Allah perlu hukum kita? Sekiranya kita..
إِن شَكَرْتُمْ وَآمَنتُمْ
"...sekiranya kamu bersyukur (akan nikmatNya) serta kamu beriman (kepadaNya)?.."
Allahu Rabbi.
Apa gunanya Allah menyeksa sekiranya dalam hati kita ada sekelumit rasa syukur dan
beriman pada Allah. Walaupun mungkin perasaan syukur dan keimanan itu lebih
kecil saiznya daripada skala Planck. Kenapa perlu Allah
seksa kalau macam itu? Bahkan lebih daripada itu, Allah sambung lagi,
وَكَانَ اللّهُ شَاكِراً عَلِيماً
"Dan (ingatlah) Allah sentiasa Membalas dengan sebaik-baiknya (akan orang-orang yang bersyukur kepadaNya), lagi Maha Mengetahui (akan hal keadaan mereka)."
Untuk
pengetahuan, kalimah شَاكِر (syaakir) dalam kaedah bahasa Arab sepatutnya
digunakan untuk HAMBA. Tetapi untuk ayat ini, Allah menggunakan untuk diriNya
sendiri. Analoginya seperti, Yang Dipertuan Agong Malaysia (YDPA) datang ke
rumah kita, dan berbual dengan menggunakan kata ganti diri “saya”, bukannya
“beta”. Allahu. Betapa Allah nak tunjukkan kepada kita semua bahawa Allah
sungguh-sungguh menghargai keimanan dan syukur kita yang sebenar-benar ikhlas
itu, walaupun hanya sedikit.
*****
![]() |
Dapatkan buku Surat Untuk Orang Putus Asa karya Ustaz Adnin di semua rangkaian kedai buku di seluruh Malaysia. |
Pengajaran yang paling berharga untuk kali ini
adalah,
1. Duhai teman, sungguh bahawa Allah sayang sangat pada kita. Sungguh saya tidak tipu. Allah sayang kita semua. Ini adalah bukti dan harapan yang Allah berikan kepada kita. Harapan yang TIDAK pernah mengecewakan. Harapan yang TIDAK pernah mati. Harapan yang sentiasa hidup. Harapan yang sentiasa memberi semangat dan motivasi. Allah hanya mahukan kita BERSYUKUR walaupun sedikit dan BERIMAN kepada Allah dengan keimanan yang sungguh-sungguh. Pernah satu hari anak Imam Hasan al-Basri terluka di tangannya. Lalu Hasan al-Basri bertanya kepada anaknya lebih kurang, “Adakah tangan kamu cedera? Nampak seperti berdarah..” Anaknya menjawab,
“Wahai ayahku..
Syukur alhamdulillah. Syukur kepada Allah kerana hanya membenarkan tangan aku
sahaja yang terluka berdarah sedangkan BADAN aku masih selamat..."
Allah.. Ibnu
Athaillah al-Sakandari juga pernah menyebut, “Siapa
yang tidak mensyukuri nikmat Tuhan, maka bererti dia berusaha untuk menghilangkan
nikmat itu. Dan siapa yang bersyukur atas nikmat bererti telah mengikat nikmat
itu dengan ikatan yang sangat kuat.”
Jadi apa saya
nak sampaikan adalah, bersyukur dan berimanlah pada Allah dengan
sungguh-sungguh. Nescaya Allah akan ampunkan dosa, hargai dan muliakan
kita. Allah sayang pada kita semua. Ketahuilah, Allah TIDAK mahupun untuk
menyeksa atau menghukum kita. Sekiranya kita bersyukur dan beriman pada Allah.
2. Macam saya sebut, pada ayat yang ke 40
dan 110 surah An-Nisa’ ini seakan memberi signal kuat kepada kita bahawa Allah
sungguh-sungguh cintakan kita! Saksikan, pada ayat yang ke-40, Allah berfirman
yang bermaksud,
“Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali
menganiaya (seseorang) sekalipun seberat zarah (debu). Dan kalaulah
(amal yang seberat zarah) itu amal kebajikan, nescaya akan menggandakannya
dan akan memberi, dari sisiNya, pahala yang amat besar.”
Dan pada ayat yang ke 110, Allah juga berfirman
yang bermaksud,
“Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan dan
menganiaya dirinya, kemudian ia mohon ampun kepada Allah, nescaya ia mendapati
Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
Allahu Akhbar! Maha baik dan Maha penyayang
Allah melebihi daripada kemurkaanNya. Walaupun kita buat amalan hanya sebesar
zarah sekalipun, Allah tetap akan MENGGANDAKAN pahala itu. Bahkan, sekiranya
kita buat jahat dan menganiaya diri sendiri (melakukan kezaliman seperti berzina,
menipu, jadi gay dan lesbian, atau apa-apa dosa pun), maka kalau bertaubat,
Allah akan AMPUNKAN. Allah ampunkan tanpa syarat. Tanpa syarat wahai teman.
Baiknya Allah. Maka, persoalan saya nak timbulkan untuk kita sama-sama fikir.
Kenapa perlu putus asa dengan Allah?
Sedangkan Allah berkali-kali TIDAK PERNAH putus asa untuk memujuk kita
bertaubat?
- Shukery Azizan
–
p/s: Tulisan ini
diambil daripada buku Pujukan Dari Tuhan karya Shukery Azizan. Boleh dapatkan
buku Pujukan Dari Tuhan sama ada di kedai-kedai buku POPULAR, MPH, SMO dan
lain-lain, atau boleh juga dapatkan secara online melalui isbirofficial.
Juzuk 5 : Kenapa Nak Putus Asa Dengan Allah?
Reviewed by Tarbiah Sentap
on
14:14
Rating:

No comments:
Post a comment