Alhamdulillah. kita
dah masuk juzuk yang ke-4, dan surah kali ini adalah surah Ali-Imran. Nama
surah ini sempena dengan ali-Imran iaitu keluarga Imran sebab terdapat banyak
kisah mereka dalam ayat 33 hingga beberapa ayat selepas itu. Surah ini dalam
kategori Madaniyyah. Imam Ibnu Kathir kata, “Surah ini mempunyai kelebihan yang
disekalikan dengan surah al-Baqarah seperti sabda Rasulullah ﷺ; ‘Hendaklah kamu mempelajari surah al-Baqarah
dan ali-Imran kerana kedua-duanya ibarat dua zahrawani yang memayungi
pembacanya pada Hari Kiamat atau kedua-duanya seolah-olah awan yang
memayunginya.’” Sebahagian ulama menafsirkan maksud al-Zahrawani dengan dua
cahaya.
Surah
ini ada beberapa nama lain yang agak terkenal di antaranya seperti al-Aman
(keamanan), al-Kanz (simpanan dan khazanah), al-Muinah (yang menolong),
al-Mujadilah (yang berdebat) dan juga digelar sebagai surah al-Istighfar. Antara
kaitan surah Ali-Imran dengan surah al-Baqarah adalah, dalam surah al-Baqarah ada
ceritakan tentang patung lembu yang dibuat oleh Samiri, kemudian disembah oleh
orang Yahudi. Jadi, kalau Yahudi puja Baqarah (patung lembu) dalam surah al-Baqarah,
maka dalam surah Ali-Imran pula cerita orang Nasara (Kristian) memuja Ali Imran
dan keluarganya. Ali Imran adalah keluarga kenabian. Mereka puja ahli keluarga
Imran seperti Maryam dan Nabi Isa alaihissalam. Kalau Yahudi puja lembu kerana
nampak lembu itu pelik, Kristian pula memuja Ali Imran dan keluarganya sebab
mereka ada karamah dan mukjizat. Selain daripada mereka berdua, orang Kristian
juga memuja Ruhul Qudus, iaitu Malaikat Jibrail.
Sebelum
kita teruskan tadabbur, saya nak kongsikan satu kisah menarik tentang peristiwa
sebelum surah Ali Imran ini diturunkan. Sebelum surah ini turun, ada beberapa
wakil Kristian daripada Najran datang untuk berdebat dengan Nabi Muhammad ﷺ. Kejadian ini berlaku pada sekitar tahun 9
Hijrah di Madinah iaitu setelah pembukaan kota Makkah. Najran adalah daerah
penganut Kristian. Mereka ada mendengar tentang Nabi Muhammad ﷺ dan
Islam. Apa yang buat mereka marah apabila dikatakan yang penganut Kristian
adalah sesat.
Jadi, ada
sekitar 60 orang Kristian datang nak jumpa Rasulullah ﷺ di mana
14 daripadanya adalah ketua agama. Mereka menjadi tetamu umat Islam waktu itu
dan ditempatkan di Masjid Nabawi. Sahabat melayan mereka dengan baik. Walaupun
kafir, dan nak berdebat pasal Islam pun, tetapi dilayani dengan baik. Mereka
marah apabila dikatakan yang Nabi Isa alaihissalam itu hanya manusia biasa dan
tidak boleh dipuja dan disembah.
Apabila
mereka hendak berhujah dengan Rasulullah ﷺ,
baginda suruh tunggu sahaja. Maka kemudian, Allah turunkan surah ini. Dan pada
akhir surah ini, ada ajakan untuk mubahalah dengan mereka. Mubahalah adalah
sumpah laknat antara kita dengan orang musyrik untuk minta Allah tunjukkan
siapa yang benar. Kalau selepas dah beritahu juga ayat-ayat daripada surah Ali
Imran ini, masih degil juga, mubahalah adalah jalan terakhir. Tetapi nak
diringkaskan cerita, orang Kristian pun terpaksa mengalah sebab dah nampak azab
di depan mata. Nak tahu cerita lebih terperinci, boleh baca tafsir atau tanya
ustaz. Hehe. Untuk tadabbur kali ini, saya memilih ayat yang ke 184, Bismillah,
فَإِنْ
كَذَّبُوكَ فَقَدْ كُذِّبَ رُسُلٌ مِنْ قَبْلِكَ جَاءُوا بِالْبَيِّنَاتِ
وَالزُّبُرِ وَالْكِتَابِ الْمُنِيرِ
“Oleh
itu, jika mereka mendustakanmu (wahai Muhammad, maka janganlah engkau
berdukacita), kerana sesungguhnya Rasul-rasul yang terdahulu daripadamu telah
didustakan juga; mereka telah membawa keterangan-keterangan (mukjizat) yang
nyata dan Kitab-kitab (nasihat pengajaran), serta Kitab (Syariat) yang terang
jelas.”
(Surah
Ali-Imran 3:184)
Dalam ayat 183, orang-orang Yahudi menentang
dakwah Rasulullah ﷺ, kemudian
baginda berhujah dengan mereka tentang hal korban dan mukjizat. Tetapi orang
Yahudi tentang tak nak beriman dengan Nabi Muhammad ﷺ. Jadi ayat ini diturunkan untuk Allah memujuk
baginda supaya jangan bersedih dengan hal itu. Orang menolak dakwah ini memang
perkara biasa. Allah menyebut,
فَإِنْ
كَذَّبُوكَ فَقَدْ كُذِّبَ رُسُلٌ مِنْ قَبْلِكَ
“Oleh
itu, jika mereka mendustakanmu (wahai Muhammad, maka janganlah engkau
berdukacita), kerana sesungguhnya Rasul-rasul yang terdahulu daripadamu telah
didustakan juga;..”
Dalam ayat ini jelas Allah memujuk
dan menasihati baginda supaya jangan berdukacita dan berputus asa. Sebab ini
bukan perkara baru. Nabi yang sebelum baginda sejak zaman berzaman
pun sudah lalui perkara yang sama. Tujuan Allah ceritakan hal ini kepada
Rasulullah ﷺ dan para sahabat supaya hati mereka terasa
tenang dan sejuk sikit. Sebab mereka tahu orang lain sebelum mereka pun sudah
kena juga. Secara psikologinya, bila ditimpa masalah, biasanya kita akan rasa
gelisah sebab merasakan diri kita seorang saja yang kena. Tetapi, bila tahu ada
orang lain pun sama, secara tak sedar kita akan sedikit lega. Kemudian Allah
sambung lagi,
جَاءُوا
بِالْبَيِّنَاتِ وَالزُّبُرِ وَالْكِتَابِ الْمُنِيرِ
“..mereka
telah membawa keterangan-keterangan (mukjizat) yang nyata dan Kitab-kitab
(nasihat pengajaran), serta Kitab (Syariat) yang terang jelas.”
Rasul
yang terdahulu pun dah bawa segala macam tanda dan mukjizat untuk ditunjukkan
kepada umat mereka sebagai bukti. Bahkan bawa kitab-kitab yang merupakan wahyu
daripada Allah sebagai penunjuk dan syariat untuk mereka. Tetapi sayangnya,
umat mereka tetap menolak para Rasul.
******
![]() |
Dapatkan buku Bagaimana Menjadi Pemimpin karya Ir Lukman Al Hakim di semua rangkaian kedai buku seluruh Malaysia. |
Pengajaran untuk juzuk kali ini mudah saja,
1. Kepada
pendakwah, janganlah cepat merasakan putus asa dan terlalu sedih sekiranya
dakwah awak ditolak sama ada keluarga, kawan-kawan ataupun masyarakat. Sebab
dakwah para Nabi dan Rasul pun selalu kena tolak, bahkan ada Rasul yang kena
bunuh. Sebab itu, terus sampaikan dakwah walaupun banyak kali ditolak.
2. Dan satu lagi, dakwah ini ada macam-macam cara dan kaedah selagi mana mengikut syarak. Kalau tak berjaya pelan A, buat pelan B dan sampailah Z. Contoh kalau nak dakwah kawan baik awak yang tak pakai tudung. Kalau awak ajak dia tutup aurat tetapi dia tak nak ikut, janganlah terus putus asa. Cuba kaedah lain pula, contohnya hadiahkan dia tudung pula. Sama juga kalau kawan awak tak solat. Kalau kita ajak dia tak nak ikut, ajak lagi esoknya. Poinnya, jangan putus asa, dan pelbagaikan kaedah dan teknik. Dan paling penting, doa sungguh-sungguh moga Allah kurniakan mereka taufiq dan hidayah untuk berubah, bertaubat dan kembali kepada Allah.
Wallahua’lam.
- Shukery Azizan -
Tulisan ini diambil daripada buku Pujukan Dari Tuhan karya Shukery
Azizan. Boleh dapatkan buku Pujukan Dari Tuhan di rangkaian kedai buku seperti
POPULAR, MPH, SMO, dan lain-lain atau secara online melalui isbirofficial.
p/s : Dapatkan E-Book tulisan Shukery Azizan yang bertajuk "Kisah Wanita Di Dalam Al-Quran" hari ini juga. Klik di sini untuk dapatkan segera : >> KLIK DI SINI <<
Tadabbur Juzuk 4 : Jangan Kecewa Apabila Dakwah Ditolak
Reviewed by Tarbiah Sentap
on
13:47
Rating:

No comments:
Post a Comment