Juzuk ke-3 merupakan
bahagian terakhir untuk surah al-Baqarah dan ia terus bersambung dengan surah
Ali-Imran hingga ayat ke 91. Untuk bahagian terakhir ini, saya akan pilih satu
ayat yang mungkin sebahagian besar daripada kita pernah amalkan di dalam bacaan
al-Mathurat. Iaitu ayat yang ke 286. Allah berfirman,
لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفۡسًا إِلَّا وُسۡعَهَاۚ لَهَا مَا كَسَبَتۡ وَعَلَيۡہَا مَا ٱكۡتَسَبَتۡۗ رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذۡنَآ إِن نَّسِينَآ أَوۡ أَخۡطَأۡنَاۚ رَبَّنَا وَلَا تَحۡمِلۡ عَلَيۡنَآ إِصۡرً۬ا كَمَا حَمَلۡتَهُ ۥ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِنَاۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلۡنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِۦۖ وَٱعۡفُ عَنَّا وَٱغۡفِرۡ لَنَا وَٱرۡحَمۡنَآۚ أَنتَ مَوۡلَٮٰنَا فَٱنصُرۡنَا عَلَى ٱلۡقَوۡمِ ٱلۡڪَـٰفِرِينَ
"Allah tidak memberati seseorang melainkan apa
yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia
juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan
berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami
lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada
kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada
orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau
pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah
kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami.
Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan
terhadap kaum-kaum yang kafir”.
( Surah al Baqarah 2 : 286 )
Kalau jarang atau mungkin tidak pernah amalkan
bacaan al-Mathurat, sekurangnya kita mungkin pernah terdengar ayat ini. Kadang kala di dalam tazkirah, kuliah, bahkan di
dalam banyak buku motivasi ataupun di media sosial. Dan betapa cantiknya ayat
ini, ia kerap kali menjadi penawar untuk kebanyakkan manusia terutama sekali
dalam keadaan tertekan dengan ujian yang dihadapi.
Ia adalah satu
pujukan direct daripada Tuhan. Pengalaman saya secara peribadi, memang ayat ini
betul-betul penguat semangat agar tidak berputus asa. Ayat ini membetulkan
mindset saya supaya sentiasa berfikir bahawa segala masalah dan ujian yang saya
hadapi, mesti dan pasti saya boleh hadapi. Apa pun, untuk tadabbur ayat ini, saya
nak berkongsi pada sebahagian kecil permulaan ayat, yakni,
لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفۡسًا إِلَّا وُسۡعَهَاۚ
"Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.."
Daripada ayat ini,
jelas dan nyata lagi terang bersuluh bahawa Allah TIDAK AKAN SEKALI-KALI
membebankan, menguji, atau memberati seseorang
itu,
إِلَّا وُسۡعَهَاۚ
KECUALI apa yang
dia terdaya dan termampu. Ya teman, Allah tidak akan menguji saya, awak dan
kita semua kecuali apa yang paling kita termampu. Maknanya, segala masalah,
ujian, bencana, kesakitan, kesedihan, dan semua yang kita rasakan negatif
menimpa diri sendiri, sebenarnya kita MAMPU untuk hadapi. Cuma bezanya lambat
atau cepat saja. Kemudian Allah tambah lagi,
لَهَا مَا كَسَبَتۡ وَعَلَيۡہَا مَا ٱكۡتَسَبَتۡۗ
"..Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.."
Subhanallah. Cantik
sangat formula Allah yang maha Adil pasakkan di atas dunia ini. Ayat ini pula
secara terus terang memberitahu, setiap perbuatan baik yang kita lakukan, di
sana ada nikmat pahala dan Syurga. Begitu juga setiap perbuatan buruk yang kita
lakukan, di sana juga ada balasan dosa dan Neraka. A person will benefit
whatever they earn, and whatever they earns (in term of sins), will go against
them.
![]() |
Dapatkan novel Kau Bukan Adiratna karya Najmi Fetih di semua rangkaian kedai buku seluruh Malaysia. |
*****
Daripada ayat ringkas di atas, pengajaran yang kita boleh pelajari,
1. Dalam hidup ini, Allah akan berikan setiap ujian berdasarkan kapasiti kemampuan kita. Ujian demi ujian yang kita terpaksa lalui, sebenarnya PASTI dan PASTI kita kuat dan mampu sangat untuk hadapi. Percayalah, you never know how strong you are, until being strong is the ONLY choice you have. Mungkin ada yang tertanya, apakah tips yang boleh dibuat dalam menghadapi ujian supaya terus kuat dan tidak putus asa? Saya boleh kongsikan beberapa perkara, antaranya,
a) Yakin dalam hati, bahawa setiap ujian
daripada Allah adalah untuk menguatkan lagi iman dan nak menghapuskan segala
dosa-dosa kita. Dan Allah hanya menguji bergantung pada sekuat mana iman kita.
Tidak lebih, dan tidak kurang. Satu ketika, Rasulullah ﷺ pernah ditanya
oleh seorang sahabat, “Siapakah orang yang paling berat ujiannya?” Baginda
menjawab,
“Para Nabi,
kemudian orang yang seperti mereka sesudahnya, dan orang yang seperti mereka
berikutnya lagi. Seseorang akan diuji sesuai kadar (kekuatan) agamanya.
Jika (pegangan) agamanya kuat, maka ujiannya akan bertambah berat. Jika
agamanya lemah, maka akan diuji sesuai kadar kekuatan agamanya. Maka senantiasa
seorang hamba diuji oleh Allah sehingga dia dibiarkan berjalan di atas
permukaan bumi tanpa memiliki dosa.”
(Riwayat Tirmidzi)
Dalam hadis lain, Rasulullah ﷺ bersabda yang
bermaksud,
“Tidaklah
seorang Muslim ditimpa keletihan, penyakit, kesusahan, kesedihan, gangguan,
gundah-gulana hingga duri yang menusuknya, melainkan Allah akan menghapuskan
sebahagian daripada dosa-dosanya.”
(Riwayat al-Bukhari)
Dan banyak lagi
hadis yang beritahu kita bahawa setiap ujian adalah bergantung sejauh mana
keimanan kita, dan ia juga sebagai satu proses penghapusan dosa.
b) Jangan cuba membanding-bandingkan ujian kita
dengan orang lain. Ketahuilah, Allah menguji setiap orang BERBEZA-BEZA. Sebab
apa? Sebab kemampuan setiap orang berlainan. Ujian yang dilalui adalah sesuai
dengan kemampuan orang itu. Allah tidak akan beri ujian secara ‘pukul rata’.
Ujian yang saya lalui, tak semestinya awak boleh lalui. Begitu juga ujian yang awak
lalui, tidak semestinya saya boleh lalui.
Ada
orang diuji dengan perceraian ibu bapa, hidup dalam kemiskinan sehingga
merempat, hidup dalam keluarga yang jauh daripada agama, susah belajar, cacat
anggota, dan sebagainya. Tetapi ada orang lain diuji dengan hidup kaya raya
sampai harta melimpah ke jalan raya, hidup dalam keluarga yang sangat kuat
amalkan agama, terlalu genius dengan kadar IQ 999, terlalu sempurna anggota,
dan sebagainya. Itu semua ujian walaupun nikmat yang diberi keliling pinggang.
Ada
orang diberi ujian kemiskinan, tetapi dia bersabar, akhirnya dia berjaya keluar
daripada garis kemiskinan dalam tempoh beberapa tahun. Tetapi ada orang lain
diberi ujian kekayaan, namun dia terlalu tamak, akhirnya muflis dan merempat di
tepi jalan sampai bertahun-tahun lamanya. Begitulah seterusnya. Jadi teman,
jangan bandingkan diri kita dengan orang lain.
c) Jangan cuba melarikan diri daripada masalah.
Hadapi, dan berusaha untuk selesaikan walaupun mengambil masa bertahun-tahun
lamanya. Bahkan mungkin mengambil masa seumur hidup. Yang penting, hadapinya,
jangan putus asa. Putus asa bukan satu pilihan. Semakin kita lari daripada
masalah, semakin besar masalah itu mengejar kita. Ada orang cuba lari daripada
masalah dengan harapan hati akan tenang. Ketahuilah, kalau tenang pun, ia cuma
sementara saja. Hakikatnya, kita tak boleh menipu diri sendiri.
![]() |
Dapatkan novel Sujud Yang Terakhir karya Aizuddin Hamid di semua rangkaian kedai buku seluruh Malaysia. |
2. Apabila kita baca ayat,
لَهَا مَا
كَسَبَتۡ وَعَلَيۡہَا مَا ٱكۡتَسَبَتۡۗ
"..Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.."
"..Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.."
Ada satu rahsia
menarik di sebalik ayat ini. Apa dia? Iaitu bila mana kita mula lakukan dosa, kadang-kadang
kita akan rasa MUDAH sangat. Tetapi apabila nak buat pahala, kita akan rasa
SUSAH dan berat sangat. Eh, kenapa macam itu? Buat dosa memang
MUDAH untuk jangka PENDEK, tetapi KESANNYA akan kekal dalam tempoh yang sangat
PANJANG. Manakala nak mencari pahala memang SUSAH untuk jangka PENDEK, tetapi
KESANNYA akan datang dalam tempoh jangka PANJANG.
Saya beri contoh
merokok. Awal-awal merokok memang mudah dan seronok. Boleh main asap, bahkan
rasa macam berlagak dewasa lagi-lagi yang masih sekolah. Ditambah pula dapat
kawan belanja. Tetapi kesannya, akan ketagih sampai ke tua. Bahkan, dapat pakej
penyakit seperti sakit jantung, kanser paru-paru dan hati, gigi kuning, bibir
hitam, nafas berbau, bahkan sampai mandul pun ada. Saat itu, awak akan rasa terseksa
terlalu lama. Sama juga seperti berzina. Awalnya rasa seronok, tetapi apabila
dah mengandung anak luar nikah, masa itu rasa menyesal, terseksa, tertekan, dan
sebagainya.
Atau contoh lain, nak bangun solat tahajud.
Awal-awal memang rasa susah. Nak kena tidur seketika, kemudian bangun dua
pertiga malam. Dengan mata mengantuk lagi. Memang susah. Tetapi apabila jadi
kebiasaan, bukan setakat hati akan tenang, malah keberkatan dari langit turun
melimpah ruah. Ataupun contoh lain semasa zaman belajar. Masa nak ulang kaji, memang susah sangat nak faham.
Bahkan terpaksa tidur lewat, menghadap buku sampai bengkak mata, ikat perut,
dan sebagainya. Tetapi apabila dah berjaya, dapat keputusan cemerlang, masuk
alam pekerjaan, kita akan rasa zaman belajar ini mudah saja rupanya. Apatah
lagi kalau kita merenung subjek SPM yang adik kita ambil pula. Cuba ingat balik
saat kita nak SPM dulu, berbuih mulut nak belajar. Kesimpulannya, setiap dosa dan pahala yang kita buat akan
ada “HARGA” yang kita kena bayar.
3. Yang terakhir, cuba kita usaha untuk
biasanya membaca doa pada bahagian terakhir ayat ini. Bukan setakat baca,
bahkan fahami dan hayati maknanya. Iaitu pada bahagian,
رَبَّنَا لَا
تُؤَاخِذۡنَآ إِن نَّسِينَآ أَوۡ أَخۡطَأۡنَاۚ رَبَّنَا وَلَا تَحۡمِلۡ عَلَيۡنَآ
إِصۡرً۬ا كَمَا حَمَلۡتَهُ ۥ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِنَاۚ رَبَّنَا وَلَا
تُحَمِّلۡنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِۦۖ وَٱعۡفُ عَنَّا وَٱغۡفِرۡ لَنَا
وَٱرۡحَمۡنَآۚ أَنتَ مَوۡلَٮٰنَا فَٱنصُرۡنَا عَلَى ٱلۡقَوۡمِ ٱلۡڪَـٰفِرِينَ
"Wahai
Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami
tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang
berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu
daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang
kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah
dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu,
tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir".
Doa ini terlalu
unik, sebab ada beberapa poin yang sangat penting, sesuai dengan tajuk ini.
Iaitu, doa ini kita meminta Allah supaya maafkan kesilapan kita, jangan beri
bebanan yang kita sendiri tidak mampu, dan penutup doa ini disudahi dengan
minta keampunan, rahmat dan kekuatan. Sebagai penutup, saya nak kongsikan satu
hadis untuk kita hayatinya. Rasulullah ﷺ sallahu alayhi wasallam bersabda yang bermaksud,
“Sungguh
mengkagumkan urusan seorang mukmin. Sesungguhnya semua urusannya adalah baik.
Dan hal itu tidak akan diperoleh kecuali oleh seorang mukmin. Apabila dia mendapatkan
kesenangan, maka dia bersyukur. Maka hal itu merupakan kebaikan baginya. Dan apabila
dia ditimpa kesusahan maka dia bersabar. Maka itu juga merupakan kebaikan
baginya.”
(Riwayat Muslim).
Moga kita
terpilih menjadi seorang yang memiliki dua sayap agung, iaitu sayap syukur dan
sayap sabar. Ameen.
Wallahua’lam.
- Shukery Azizan
–
p/s: Tulisan ini
diambil daripada buku Pujukan Dari Tuhan karya Shukery Azizan. Boleh dapatkan
buku Pujukan Dari Tuhan sama ada di kedai-kedai buku POPULAR, MPH, SMO dan
lain-lain, atau boleh juga dapatkan secara online melalui isbirofficial.
p/s : Dapatkan E-Book tulisan Shukery Azizan yang bertajuk "Kisah Wanita Di Dalam Al-Quran" hari ini juga. Klik di sini untuk dapatkan segera : >> KLIK DI SINI <<
Tadabbur Juzuk 3 : Allah Hanya Menguji Apa Yang Kita Mampu Sahaja
Reviewed by Tarbiah Sentap
on
17:44
Rating:

No comments:
Post a Comment