InsyaAllah kali ini kita teruskan
dengan juzuk 27. Di dalam juzuk 27 terkandung di dalamnya beberapa surah, salah
satunya surah al-Hadid. Ia adalah surah ke 57 di dalam al-Quran, dan termasuk
dalam kategori Madaniyyah. Al-Hadid bermaksud besi, sempena ayat yang ke 25
surah ini. Surah ini adalah kesinambungan daripada surah al-Waqiah, yang mana
pada ayat terakhir surah al-Waqiah menyuruh kita untuk bertasbih. Dan surah
al-Hadid ini sekaligus dimulakan dengan mensucikan Allah yang Maha Suci. Antara
intipati dalam surah ini adalah berkaitan pembangunan spiritual, khususnya pada
para Sahabat yang berada di Madinah. Jadi sekaligus, surah ini bertujuan
menegur orang-orang Islam di Madinah supaya menjadi manusia sebaik-baik umat
seperti golongan yang terawal. Ini kerana iman mereka tidak segagah iman para
sahabat yang terawal. Walaupun mereka semakin ramai dan kekuatan
fizikal sudah semakin jelas, tetapi dalam masa yang sama, iman pula sudah
semakin pudar. Oleh itu, surah al-Hadid ini diturunkan untuk menyegarkan
kembali iman umat Islam waktu itu. Allah nak berikan semangat kepada orang
Islam yang sudah lemah iman.
Dan
waktu itu saja, bahkan termasuklah sekarang dan pada bila-bila masa hinggalah
kiamat. Ada orang yang sudah lama menjadi Muslim, maka lama-kelamaan semakin
tidak terkesan sangat dengan agama. Oleh itu, mentadabbur ayat-ayat dalam surah
ini sangatlah diperlukan untuk proses refleksi. Apa
pun, kita akan mentadabbur surah ini pada ayat yang ke 16 dan 17. Bismillah..
أَلَمْ يَأْنِ لِلَّذِينَ آمَنُوا أَنْ تَخْشَعَ قُلُوبُهُمْ
لِذِكْرِ اللَّهِ وَمَا نَزَلَ مِنَ الْحَقِّ وَلَا يَكُونُوا كَالَّذِينَ أُوتُوا
الْكِتَابَ مِنْ قَبْلُ فَطَالَ عَلَيْهِمُ الْأَمَدُ فَقَسَتْ قُلُوبُهُمْ ۖ
وَكَثِيرٌ مِنْهُمْ فَاسِقُونَ
“Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman,
untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta
mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah
pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum
mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka
menjadi keras, dan banyak di antaranya orang-orang yang fasik - derhaka.” (16)
اعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ يُحْيِي الْأَرْضَ بَعْدَ مَوْتِهَا ۚ
قَدْ بَيَّنَّا لَكُمُ الْآيَاتِ لَعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ
"Ketahuilah kamu, bahawa Allah menghidupkan bumi sesudah
matinya; sesungguhnya Kami telah menjelaskan kepada kamu keterangan-keterangan
dan bukti, supaya kamu memahaminya." (17)
(Surah Al-Hadid 57 : 16-17)
Teman, ini antara ayat kegemaran saya selepas surah az-Zumar
ayat 53. Apabila saya secara peribadi membaca ayat ini dulu, meremang bulu
roma, dan bergenang air mata. Bahkan kerana ayat ini juga, Allah telah memberi
hidayah kepada seorang tabi'in bernama Fudhail bin Iyyadh. Daripada seorang pencuri
hebat berubah kepada seorang ulama’ besar. Macam saya sebut, salah satu sebab
ayat ini diturunkan di Madinah kerana nak menggegarkan nafsu dan menguatkan
semula keimanan orang Islam masa itu. Itu yang menyebabkan ayat ni antara ayat
yang luar biasa dan istimewa. Sampaikan Ibnu Umar beritahu, apabila dia membaca
al-Quran dan tiba sampai surah al-Hadid ayat 16 ini, dia terus menangis
sehingga air matanya membasahi janggut. Dan beliau berkata, “Wahai Rabbku!
Memang benar sudah waktunya!”
Sebelum saya sambung berkongsi, saya nak awak betulkan mindset di
dalam kepala yang sekarang ini, seolah-olah Allah sedang ‘bercakap’ dengan
kita. Kalau awak boleh buat macam ini, insyaAllah ayat ini boleh mengubah
banyak perkara dalam hidup kita. Boleh? Ambil nafas dalam-dalam. Allah sebut,
أَلَمْ يَأْنِ لِلَّذِينَ آمَنُوا
“Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang
beriman..”
Allah sedang bertanyakan kepada kita, belum sampai lagi ke
masanya? Masa untuk apa?
أَنْ تَخْشَعَ قُلُوبُهُمْ لِذِكْرِ اللَّهِ
"..untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan
pengajaran Allah.."
Awak, belum sampai ke masanya untuk kita taat perintah Allah
sungguh-sungguh? Jauhi larangan Allah sungguh-sungguh? Untuk tinggalkan segala
jahiliyah kita? Belum sampaikah masanya lagi ke? Kalau saya boleh berikan analogi,
ibaratnya seperti ada seseorang menyeru kita,
“Wahai orang-orang beriman, lama lagi ke kamu nak ada dalam
jahiliyah? Lama lagi ke kamu semua nak buat dosa? Kembalilah pada Allah. Allah
setia tunggu kamu semua untuk taubat..”
Awak...
Allah sedang menunggu kita. Allah banyak kali memujuk dan menunggu kita untuk
bertaubat. Allah senantiasa menanti kita untuk kembali bertaubat bersungguh-sungguh
padaNya. Susah sangat ke untuk kita nak bertaubat? Lama lagi ke kita perlukan masa untuk
buat dosa? Berapa lama lagi masa kita perlukan
untuk berbuat dosa? Kita tak sayang Allah ke? Kita tak nak bertaubat ke? Kita tak
nak ingat kepada Allah ke?
Allahu
Allah.
![]() |
Dapatkan buku Harapan Masih Ada karya Qamarul Nazrin di semua rangkaian kedai buku di seluruh Malaysia. |
Awak nak mula kembali kepada Allah? Betul? Tetapi, macam mana
nak mengingati Allah? Allah dah beritahu..
وَمَا نَزَلَ مِنَ الْحَقِّ
"...serta mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan
(kepada mereka)?"
Cara untuk kita nak mengingati Allah adalah dengan mematuhi segala
perintah dan menjauhi larangan yang telah Allah tetapkan di dalam al-Quran. Seyogia
apabila membaca al-Quran, hati kita akan terasa KAGUM dan TAKJUB. Barulah akan terasa
bergetar hati kita. Kita juga sepatutnya berusaha untuk menangis setiap kali
membaca al-Quran, lagi-lagi kalau membaca ayat berkaitan dengan azab Allah. Ia
akan menjadikan kita merasa bahawa Allah sedang bercakap dengan kita.
Kesannya, hati kita akan semakin lembut dan iman pun akan semakin
bertambah. Sebab apa? Sebab, al-Quran inilah kebenaran hakiki dan hadiah paling
agung yang telah diturunkan pada semua manusia. Kita sepatutnya kena rasa
bangga, syukur, kagum dengan al-Quran. Lebih daripada itu, kita kena rasa
syukur kerana Allah sudi memilih kita untuk mengenal dan mampu membaca
al-Quran. Kita juga selayaknya merasa sedih sebab ramai orang kafir yang tak
tahu pun tentang kehebatan al-Quran. Malah ramai yang menentang al-Quran
walaupun ada yang dah mendalami al-Quran itu sendiri seperti golongan
orientalis. Kita kena bersedih sebab ramai lagi kawan-kawan kita yang masih
kafir dan tak mengenal al-Quran.
Bahkan kalau yang Muslim pun, ramai juga kawan-kawan kita yang
semakin hari, semakin jauh daripada cara hidup orang Islam. Ramai yang masih
tak pandai baca al-Quran. Ramai kawan
kita yang tak kenal huruf al-Quran. Ramai juga kawan kita yang masih tak tutup
aurat. Ramai kawan kita yang tidak solat fardhu. Ramainya..
Kita sepatutnya rasa sedih sangat. Dan sepatutnya timbul rasa hendak
menolong dan membantu serta membimbing mereka. Apatah lagi kalau diri KITA
sendiri yang jauh daripada al-Quran, jauh daripada cara hidup Islam, dan jauh
daripada Allah.
Teman..
Belum sampai lagi ke masa untuk kita rasa nak taubat?
Belum sampai lagi ke masa untuk kita mula mendengar nasihat kawan-kawan,
ibu bapa atau adik beradik kita?
Belum sampai lagi ke masa untuk kita belajar solat dengan
sempurna?
Belum sampai lagi ke masa untuk kita tutup aurat dengan sempurna?
Belum sampai masanya lagi ke teman?
Teman.. Allah dah beritahu kita,
وَلَا يَكُونُوا كَالَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ مِنْ قَبْلُ
"..Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang
yang telah diberikan Kitab sebelum mereka,.."
Kenapa Allah kata jangan jadi seperti golongan ahli kitab
sebelum ni? Sebabnya Allah sambung,
فَطَالَ عَلَيْهِمُ الْأَمَدُ فَقَسَتْ قُلُوبُهُمْ
“..setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut (sangat
lama) maka hati mereka menjadi keras..”
Ya, walaupun Allah pernah menurunkan kitab kepada mereka, tetapi
mereka tidak peduli pun untuk suatu tempoh yang sangat lama. Kesannya, hati
mereka menjadi keras. Sebab apa? Sebab kehidupan mereka (Yahudi dan Nasrani)
jauh daripada kitab (Injil dan Taurat) yang diturunkan untuk mereka. Bahkan,
mereka tiada langsung hubungan PERASAAN dan EMOSI dengan kitab sendiri. Sebab
itu teman, hari ini kalau membaca al-Quran, berusahalah untuk membacanya dengan
PENUH EMOSI dan penuh PERASAAN. Rasulullah ﷺ bersabda yang bermaksud,
“Sesungguhnya
al-Quran ini turun dengan kesedihan, maka jika kamu membacanya hendaklah kamu
menangis, jika kamu tidak (boleh) menangis, maka berusahalah untuk menangis”.
(Riwayat
Ibn Majah)
Kita kena baca al-Quran sehingga merasakan seperti Allah sedang
bercakap kepada kita ataupun Allah sedang bercerita kepada kita. Sehingga akhirnya
kita boleh tersenyum gembira apabila mendengar ayat berkaitan Syurga dan nikmat
Allah, serta menangis apabila mendengar ayat berkaitan Neraka dan azab Allah !
Mempelajari al-Quran, tidak kisah sama ada tajwid, tadabbur,
mahupun tafsir bukan hanya untuk ilmu semata-mata, tetapi kena niat untuk
belajar kerana nak membangkitkan perasaan dan emosi pada al-Quran. Hanyasanya
tali antara kita dengan Allah adalah al-Quran. Allah beritahu kita lagi, hati
mereka tu bukan hanya sekadar keras saja,
وَكَثِيرٌ مِنْهُمْ فَاسِقُونَ
"..dan banyak di antaranya orang-orang yang fasik -
derhaka."
Bahkan rosak teruk hingga menyebabkan mereka jadi golongan
fasik. Ada sebahagian ulama tafsir sebut, fasiq di atas membawa maksud
sebahagian besar mereka telah menjadi kafir. Sebab apa? Sebab mereka membaca
kitab, tetapi langsung tiada perasaan dan emosi pun yang wujud. Ibarat seperti
membaca kertas biasa ataupun buku teks sekolah.
Ini adalah satu TRAGEDI NGERI bila mana kita membaca al-Quran,
tetapi kita langsung tiada perasaan. Emosi kita hilang. Membaca hanya sekadar
baca, tanpa ada sebarang perasaan. Kita hanya menganggap bahawa membaca
al-Quran itu sebagai satu ‘ritual’ semata-mata. Dan apabila HATI dah menjadi
keras, apa maksudnya? Maksudnya hati dah MATI!
Tetapi.....
Walaupun
hati dah mati, Allah masih lagi berusaha untuk memujuk diri kita lagi. Macam
mana? Cuba baca ayat seterusnya,
اعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ يُحْيِي الْأَرْضَ بَعْدَ مَوْتِهَا
"Ketahuilah kamu, bahawa Allah menghidupkan bumi sesudah
matinya..."
Cuba awak tengok susunan ayat ini. Serius, sangat cantik dan.. Subhanallah
! Maha Baik dan cintanya Allah kepada kita. Allah beritahu yang Allah boleh
hidupkan bumi yang sudah lama mati. Bumi yang DAH MATI teman. Apa kaitannya?
Mudah saja, kalaulah bumi yang sebesar ini pun Allah boleh
hidupkan semula sekiranya sudah mati, apalah sangat dengan hati kita ini. Sudah
pasti, Allah boleh hidupkan lagi dan lagi. Bukan setakat hati kita saja, Allah
juga boleh hidupkan hati mak ayah, adik beradik dan kawan-kawan kita semua.
Boleh sungguh.
قَدْ بَيَّنَّا لَكُمُ الْآيَاتِ لَعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ
"..sesungguhnya Kami telah menjelaskan kepada kamu
keterangan-keterangan dan bukti, supaya kamu memahaminya."
Akhirnya Allah nak kita selalu berfikir, khususnya apabila membaca
al-Quran. Sebab itu digalakkan sangat supaya tadabbur al-Quran. Fikir sedikit
pun jadilah. Yang penting fikirlah sejenak tentang kekuasaan dan kehebatan
Allah.
******
![]() |
Dapatkan buku Surat Untuk Orang Putus Asa karya Ustaz Adnin Roslan di semua rangkaian kedai buku di seluruh Malaysia. |
1. Teman, berusahalah untuk selalu mentadabbur al-Quran
walaupun hanya satu ayat. Itu lebih baik daripada kita membacanya tanpa memahami,
apatah pula yang langsung tak membacanya. Imam Ibnu Qayyim menyebut, “Membaca
sebuah ayat al-Quran disertai dengan mentadabbur dan merenungkan maknanya adalah
jauh lebih baik daripada mengkhatamkan al-Quran tanpa disertai
tadabbur dan pemahaman akan maknanya. Membaca al-Quran dengan memahami makna
dan kandungannya jauh lebih bermanfaat bagi hati serta jauh lebih besar
faedahnya dalam menambah keimanan dan merasakan manisnya al-Quran.”
Imam
Ibnu Mas’ud juga pernah menyebut, “Janganlah kamu membaca al-Quran seperti kamu
membaca sya’ir (tergesa-tergesa), dan janganlah kamu membaca al-Quran seperti
kurma yang gugur dan berteraburan. Berhentilah sejenak (demi menghayati)
keajaiban-keajaibannya, dan gerakkanlah hati kamu dengannya.”
2. Seperti yang saya sebut pada pendahuluan, saya ambil
inisiatif untuk menulis 30 juzuk tadabbur al-Quran berkaitan Pujukan Dari Tuhan
ini bukan semata-mata nak dapat nama, nak berlagak pandai, apatah pula nak
menyusahkan diri sendiri. Tidak. Saya mengambil inisiatif untuk tulis Pujukan
Dari Tuhan 30 juzuk ini supaya kita semua, khususnya saya, ada SEMANGAT untuk mempelajari
dan mendalami al-Quran. Sekaligus ada kekuatan untuk mendalami ilmu tafsir al-Quran,
tajwid, bahasa Arab dan sebagainya.
Saya tak dapat nak kongsi keseluruhan ayat al-Quran, sebab ia
terbatas dan pengetahuan saya pun terhad. Saya bukan pandai mana pun. Yang
lain, awak kenalah usaha mencari sendiri. Pergi mengaji sendiri dan ke kelas
sendiri.
Tak faham bahasa Arab? Boleh baca terjemahan bahasa Melayu atau
Inggeris. Cuma seperti saya sebut sebelum ini, ‘perasaannya’ tak seperti apabila
kita mentadabbur dalam bahasa Arab. Macam ini lah. Cuba satu hari belajar tentang
satu tafsir ayat al-Quran. Hanya satu saja. Untuk belajar tafsir boleh pergi ke
mana-mana kuliah tafsir. Kalau tak ada di kawasan berhampiran, tengok Youtube
pun jadilah.
Kalau awak tak sempat pergi atau dengar, sekurangnya membaca pun
jadilah. Usahalah satu hari baca satu tafsir al-Quran. Jadikanlah ia rutin
harian, terutama semasa kita sedang lemah semangat, sedih dan hampir putus asa.
Kalau ada kuliah di masjid, pergilah walaupun awak cuma boleh duduk dan dengar dalam
10 minit saja. Sekurang-kurangnya satu ayat. Ok?
Sebab apa? sebabnya, makin lama kita belajar tentang al-Quran, makin
lama kita menghayati ayat al-Quran, makin lama kita tadabbur al-Quran, makin
banyak ayat al-Quran kita hafal, InsyaAllah makin rasa dekat dengan Allah.
Percayalah!
3. Kepada pembaca yang membaca buku ini, saya nak beritahu awak satu
berita gembira. Iaitu, Allah selalu tunggu taubat kita. Bahkan, Allah selalu memujuk
kita melalui al-Quran.
Bila kita nak memulakan bertaubat?
Bila kita nak menutup aurat
sempurna?
Bila kita nak menjaga solat
semula?
Bila kita nak menjaga ikhtilat?
bila kita nak mengikut tarbiah?
Bila kita nak menjalankan dakwah?
أَلَمْ يَأْنِ
“Belum sampaikah lagi masanya..?”
4. Kalau awak nak kongsikan di mana-mana, DIPERSILAKAN. Nak
kongsi buku ini di dalam group, halaqah atau usrah awak pun tiada masalah. Moga
bermanfaat.
Wallahua’lam.
- Shukery Azizan
–
p/s: Tulisan ini
diambil daripada buku Pujukan Dari Tuhan karya Shukery Azizan. Boleh dapatkan
buku Pujukan Dari Tuhan sama ada di kedai-kedai buku POPULAR, MPH, SMO dan
lain-lain, atau boleh juga dapatkan secara online melalui isbirofficial.
p/s : Dapatkan E-Book tulisan Shukery Azizan yang bertajuk "Kisah Wanita Di Dalam Al-Quran" hari ini juga. Klik di sini untuk dapatkan segera : >> KLIK DI SINI <<
Tadabbur Juzuk 27 : Belum Sampaikah Lagi Masanya Teman?
Reviewed by Tarbiah Sentap
on
22:30
Rating:

No comments:
Post a Comment