Untuk juzuk ke-26 ini, kita akan masuk ke dalam
satu surah yang latar belakangnya penuh dengan peperangan dan pertempuran.
Iaitu surah yang disebut sebagai surah Muhammad. Ini adalah surah yang ke 47 di
dalam al-Quran selepas surah al-Ahqaf. Surah ini dalam kategori Madaniyyah.
Dinamakan surah Muhammad sebab menerangkan tentang penurunan al-Quran kepada
Rasulullah ﷺ. Selain nama Muhammad, surah ini diberi nama
surah al-Qital yang bermaksud “peperangan” sebab ia banyak membahaskan hukum
hakam berkaitan dengan peperangan sama ada semasa peperangan seperti undang-undang
dan etika berperang, dan juga selepas peperangan seperti hukum orang tawanan,
harta rampasan. Ia juga ada menyatakan gambaran orang mukmin serta ganjarannya
dan gambaran orang kafir serta balasan yang akan diterima di Akhirat nanti. Jadi,
sebab itu jugalah surah ini diturunkan sebelum Perang Badr berlaku. Selain
dari Surah Muhammad ini, Surah al-Baqarah pun macam tu. Ianya adalah persediaan
kepada perang yang akan berlaku di Badr.
Apa
yang menarik perhatian saya tentang surah ini ialah, ada ulama’ membahaskan
surah ini sangat bersesuaian dengan suasana peperangan dan kekerasan. Sebab
itu, banyak ayat dalam surah ini seakan menggambarkan kedahsyatan bunyi
kata-kata yang diselubungi suasana dan keadaan peperangan. Contohnya, bunyi
akhir ceraian-ceraian ayat berdentum-dentum sejak daripada permulaan surah lagi,
seolah-olah macam bunyi letupan bom yang berat. Antaranya seperti ‘amalahum,
balahum, amthalahum, ahwa’ahum. Tetapi bila bunyinya perlahan, ia seolah-olah
bunyi libasan mata pedang di udara pula seperti awzaruha, amthaluha dan
aqfaluha. Fuh. Dahsyatkan? Apa pun, untuk surah ini, saya akan pilih ayat yang
ke-7. Bismillah,
يَا
أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ تَنْصُرُوا اللَّهَ يَنْصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ
أَقْدَامَكُمْ
“Wahai
orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah
membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.”
(Surah
Muhammad 47:7)
Ini
antara ayat yang saya selalu dengar masa di universiti dulu. Iaitu tentang
kalau kita membela dan memperjuangkan agama Allah, nescaya Allah akan membela
dan meneguhkan pendirian kita. Allah sebut,
يَا
أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ تَنْصُرُوا اللَّهَ يَنْصُرْكُمْ
“Wahai
orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah
membela kamu (untuk mencapai kemenangan)..”
Ayat ini
adalah janji Allah bahawa sesiapa orang beriman yang menolong agamaNya, pasti
Allah akan menolong dia. Kita kena yakin sungguh-sungguh akan janji Allah ini.
Siapa lagi yang maha menunaikan janji selain daripada Allah? Jadi, ayat ini
memberi pengajaran kepada para pendakwah supaya tak berputus asa dan gelisah
dalam menjalankan dakwah sebab Allah akan menjadi pelindung kepada orang
beriman.
Ayat ini
juga adalah tawaran Allah kepada kita semua sebagai umat Nabi Muhammad ﷺ. Tawaran untuk membela agama Allah. Boleh saja
Allah menegakkan Islam tanpa memerlukan kita, tetapi Allah tetap tawarkan kita
juga. Dan sebagai ganjaran, Allah berikan jaminan yang Dia akan membela kita
pula untuk mencapai kemenangan! Fuh. Tak cukup sekadar itu, ada satu lagi
ganjaran yang Allah nak berikan pada kita, iaitu,
يَنْصُرْكُمْ
وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ
“..dan
meneguhkan tapak pendirian kamu.”
Allah
akan meneguhkan pendirian kita berhadapan dengan musuh Allah. Selain itu juga,
Allah akan mengukuhkan pendirian kita untuk kekal di jalan Allah tanpa
terseleweng.
*****
![]() |
Dapatkan buku Bagaimana Menjadi Pemimpin karya Ir Lukman Al Hakim di semua rangkaian kedai buku di seluruh Malaysia. |
Walaupun ayat ini pendek, tetapi ia sarat
dengan pengajaran. Antaranya,
1. Kepada
para pendakwah, jangan putus asa sampaikan dakwah walaupun mungkin ramai orang
menolak. Sebab apabila kita berusaha membela dan menegakkan agama Allah ke
tempat yang tertinggi, nescaya dan pasti Allah akan membela kita dan meneguhkan
pendirian kita.
Dalam
masa yang sama, kita pun janganlah mengambil mudah dan remeh. Contohnya ada
pelajar yang bersemangat buat dakwah, buat program agama, bawa usrah sana sini,
dan sebagainya, tetapi abaikan akademik. Dengan alasan bahawa Allah akan
membantunya. Apabila tiba masa, keputusan peperiksaan teruk, dia mula rasa
lemah semangat, dan akhirnya terus tak nak buat dakwah dan tak ikut tarbiah.
Ini pun salah satu tipu daya dalam jalan dakwah. Betul kita perjuangkan agama
Allah, tetapi jangan lupa tentang sunnatullah, iaitu sunnah alam yang Allah dah
tetapkan. Kalau dah tahu pelajar, walaupun rajin buat dakwah tarbiah, jangan
tinggalkan akademik. Sebab apa? Sebab itu adalah amanah! Amanah daripada
keluarga. Sebab itu, dalam surah al-Mukminun, orang yang berjaya adalah mereka
yang menjaga amanah.
Faham?
2. Dulu
pernah ada seseorang yang bertanyakan soalan pada saya, kenapa Allah perlukan
pertolongan kita untuk membela agamaNya? Bukan ke Allah boleh jaganya sendiri? Saya
ingat dia nak provok, rupanya memang dia keliru.
Beginilah,
soalan ini sebenarnya boleh menimbulkan soalan yang lain, iaitu “kalau Allah
tak perlukan kita, kenapa Allah nak kita menyembahNya, sujud padaNya dan
sebagainya?” Ataupun soalan lain, Allah kata dalam surah al-Hajj ayat 37,
bahawa semua daging dan darah korban tak akan sampai kepada Allah. Kalau tak
akan sampai, kenapa Allah suruh kita laksanakan korban? Dan banyak lagi soalan.
Sebab
apa?
Mudah
saja, sebab Allah nak MEMULIAKAN kita. Ya, Allah nak memuliakan kita. Maha Suci
Allah yang tak akan mengharapkan kepada makhlukNya. Sebab kalau kita tak nak beribadah,
jadi syirik, dan sebagainya, ia langsung tak menjejaskan Allah. Rasulullah ﷺ sebut
dalam hadis qudsi yang bermaksud,
“Wahai hamba-Ku, kalau orang-orang terdahulu dan yang terakhir di
antara kamu, sekalian manusia dan jin, mereka itu bertaqwa seperti orang yang
paling bertaqwa di antara kamu, tidak akan menambah kekuasaan-Ku sedikit pun.
Jika orang-orang yang terdahulu dan yang terakhir di antara kamu, sekalian
manusia dan jin, mereka itu berhati jahat seperti orang yang paling jahat di
antara kamu, tidak akan mengurangi kekuasaan-Ku sedikit pun juga.”
(Riwayat Muslim)
Allah
suruh kita beribadah, bersedekah, bersyukur berjihad dan sebagainya adalah
untuk diri kita sendiri. Dan untuk memuliakan kita. Sebab itu Allah sebut,
“Dan sesiapa yang berjihad, maka sesungguhnya
jihadnya itu adalah untuk dirinya sendiri. Sesungguhnya Allah
benar-benar Maha Kaya (tak memerlukan sesuatu) daripada semesta alam.”
(Surah Al-Ankabut: 6)
“Dan sesiapa yang bersyukur, maka sesungguhnya dia
bersyukur untuk (kebaikan) dirinya sendiri. Dan sesiapa yang ingkar,
maka sesungguhnya Rabbku Maha Kaya lagi Maha Mulia.”
(Surah An Naml: 40)
Jadi berbalik pada soalan itu, kenapa perlu kita membela agama
Allah? Mudah saja, sebab Allah nak memuliakan kita, dan menolong segala urusan
kita. Sebab itu Allah tawarkan kerja membela agamaNya ini kepada kita. Boleh
saja Allah terus memenangkan agamaNya tanpa kita, ataupun menolong kita tanpa
perlu kita membela agama Allah. Tetapi Allah kita berusaha dulu, seperti mana
usaha Maryam untuk menyentuh pokok kurma. Analoginya seperti ini.
Yang Dipertuan Agong Malaysia menyeru rakyat Malaysia untuk
menolongnya menyelamatkan Malaysia. Sesiapa yang sanggup, baginda akan
kurniakan pangkat kebesaran. Sebenarnya, boleh saja Agong pilih sesiapa yang
dia nak untuk selamatkan Malaysia, tetapi baginda tawarkan juga kepada umum
sebab nak bagi peluang kepada rakyat berkhidmat untuk negara. Begitulah
analoginya. Maha Suci Allah yang tidak akan sama seperti makhlukNya.
- Shukery Azizan
–
p/s: Tulisan ini
diambil daripada buku Pujukan Dari Tuhan karya Shukery Azizan. Boleh dapatkan
buku Pujukan Dari Tuhan sama ada di kedai-kedai buku POPULAR, MPH, SMO dan
lain-lain, atau boleh juga dapatkan secara online melalui isbirofficial.
p/s : Dapatkan E-Book tulisan Shukery Azizan yang bertajuk "Kisah Wanita Di Dalam Al-Quran" hari ini juga. Klik di sini untuk dapatkan segera : >> KLIK DI SINI <<
Tadabbur Juzuk 26 : Bantulah Agama Allah
Reviewed by Tarbiah Sentap
on
22:21
Rating:

No comments:
Post a Comment