Untuk juzuk ke-25 ini juga, kita
akan pilih salah satu daripada 7 surah Haa Mim juga, iaitu surah ash-Shuraa. Surah
ini termasuk dalam kategori surah Makiyyah. Perkataan “Shuraa” membawa maksud
mesyuarat. Daripada nama surah saja, kita dah boleh dapat agak atau gambarkan
apa yang Allah nak sampaikan dalam surah ini. Secara mudahnya, surah ini menceritakan
jalan dalam menyelesaikan perbalahan atau pergaduhan. Setiap manusia di dunia ini secara
umumnya akan ada berlaku perbezaan pandangan antara kita dan kadang-kadang sampai
berlaku sedikit perbalahan. Perkara ini berlaku pada semua orang, sama ada adik beradik, keluarga, sahabat baik, termasuk juga dalam kalangan pendakwah.
Salah ke berbeza pendapat?
Tak
salah pun kalau berbeza pendapat, kerana ini menunjukkan kita menggunakan akal
fikiran dengan baik. Tetapi yang menjadi salah apabila manusia saling bergaduh
yang melampau kerana berbeza pendapat. Contohnya apabila seseorang merasakan
bahawa pendapatnya sahaja yang benar, sampai tak nak mendengar pandangan orang
lain. Bahkan, merasakan pendapat orang lain selalu salah. Kalau sampai tahap
macam ini, maka perbezaan pendapat itu sudah menjadi buruk, bahkan boleh merosakkan
masyarakat dan mereka yang terlibat.
Sebab
itu, surah ini mengajar kita jalan penyelesaian kepada perbalahan pendapat itu.
Iaitu dengan melakukan ‘shura’ atau mesyuarat di mana semua pihak kena duduk
berbincang dan mendengar pendapat masing-masing. Diceritakan di dalam surah ini
juga tentang macam mana orang-orang terdahulu pun ada berbeza pendapat dan
bagaimana cara mereka menyelesaikannya. Ok, kita teruskan pada ayat yang ke 36
dan 37. Bismillah,
فَمَا أُوتِيتُمْ مِنْ شَيْءٍ فَمَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۖ
وَمَا عِنْدَ اللَّهِ خَيْرٌ وَأَبْقَىٰ لِلَّذِينَ آمَنُوا وَعَلَىٰ رَبِّهِمْ
يَتَوَكَّلُونَ
"Oleh itu, apa jua yang diberikan kepada kamu, maka ia
hanyalah nikmat kesenangan hidup di dunia ini sahaja, dan (sebaliknya) apa yang
ada di sisi Allah (dari pahala hari akhirat) adalah lebih baik dan lebih kekal
bagi orang-orang yang beriman dan yang berserah bulat-bulat kepada Tuhannya;
وَالَّذِينَ يَجْتَنِبُونَ كَبَائِرَ الْإِثْمِ وَالْفَوَاحِشَ
وَإِذَا مَا غَضِبُوا هُمْ يَغْفِرُونَ
"Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang
yang menjauhi dosa-dosa besar serta perbuatan-perbuatan yang keji; dan apabila
mereka marah (disebabkan perbuatan yang tidak patut terhadap mereka), mereka
memaafkannya;"
(Surah Ash-Shuraa 42:36-37)
Dalam permulaan ayat yang 36, Allah menceritakan kepada kita
tentang hakikat dunia. Allah juga beritahu kita bahawa
ramai manusia yang lalai kerana mereka leka dengan dunia. Tak salah kalau
mahu dapatkan dunia, cuma jangan sampai jadi hamba dunia. Sebab tipu daya dunia
sangat dahsyat, apatah lagi dengan segala keindahannya pada mata manusia. Jadilah
seperti orang zuhud yang mengejar akhirat. Tetapi dalam masa yang sama, mereka
juga menggunakan dunia untuk keperluan hidup, tetapi tak terikat dengan tipu
daya dunia. Maknanya, mereka jadi dunia sebagai alat untuk dapatkan akhirat.
Bahkan, dalam ayat ke 36 ini juga, Allah beritahu apa yang ada di
sisi Allah itu lebih baik dan kekal selama-lamanya daripada apa yang ada di
sisi manusia. Contohnya? Kalau awak ada kereta, Allah boleh bagi kereta yang
lebih baik dan kekal selamanya. Kalau awak ada rumah, Allah boleh beri rumah
yang lebih baik dan kekal selamanya. Kalau ada isteri atau suami, Allah boleh
bagi awak isteri atau suami yang lebih baik dan kekal selamanya. Kalau ada
anak-anak, Allah boleh beri awak anak-anak yang lebih baik dan kekal selamanya.
Semuanya di mana? Di Akhirat sana. Sebab di sisi Allah, semuanya lebih baik dan
kekal selama-lamanya.
Di
Akhirat nanti, kalau ditakdirkan masuk Syurga, jika ada isteri, isteri awak
akan nampak lagi muda jelita bahkan lebih cantik daripada mana-mana perempuan
yang awak pernah kenal di dunia. Jika
ada suami, suami awak akan nampak lagi kacak, hensem dan lebih tampan daripada
mana-mana lelaki yang awak pernah kenal di dunia. Sama juga kalau ada rumah,
kereta atau anak-anak sekalipun, Allah akan beri yang lebih baik daripada apa
yang kita pernah nampak dan dapat di dunia dulu. Sebab apa?
Sebab Allah Maha Tahu, kita semua nak semula apa yang pernah
kita dapat di dunia ni semasa di dalam Syurga nanti insyaAllah. Kan? Perpisahan
dan perubahan itu menyakitkan, tetapi di dalam Syurga sana, tiada lagi erti
perpisahan, dan tiada erti perubahan. Yang ada hanyalah LEBIH BAIK dan KEKAL
SELAMANYA. Persoalannya, macam mana nak dapatkan semua ini? Ada syaratnya.
Sebab apa bersyarat? Kerna Syurga bukan percuma.
![]() |
Dapatkan novel Kau Bukan Adiratna karya Najmi Fetih di semua rangkaian kedai buku di seluruh Malaysia |
Antara 5 syarat yang wajib kita buat semasa di dunia ni. Antaranya,
yang pertama,
لِلَّذِينَ آمَنُوا
“...bagi orang-orang yang beriman..”
Syarat
pertama mestilah beriman sungguh-sungguh kepada Allah tanpa melakukan
sebarang perkara syirik. Maknanya kena masuk Islam. Yang kedua adalah,
وَعَلَىٰ رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ
“...dan yang berserah bulat-bulat kepada Tuhannya.”
Syarat
kedua pula mestilah sungguh-sungguh bertawakal kepada Allah. Ya, serah
bulat-bulat, bukannya sedikit saja.
وَالَّذِينَ يَجْتَنِبُونَ كَبَائِرَ الْإِثْمِ
"Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang
yang MENJAUHI dosa-dosa besar.."
Syarat ketiga pula mesti menjauhi dosa-dosa besar. Apakah dosa-dosa besar ni? Dosa besar ini termasuklah mensyirikkan
Allah, sembah kubur, minum arak, berzina, makan harta anak yatim, mencuri,
riba’, derhaka dengan mak ayah, LGBT, dan segala macam dosa besar. Kalau ada
yang dah terbuat, MESTI dan MESTI BERHENTI. Mesti berhenti. Cubalah sedaya
upaya untuk berhenti dan tinggalkan jauh-jauh. Kalau tidak, macam mana nak
dapat Syurga?
Kemudian yang keempat pula Allah beritahu,
وَالْفَوَاحِشَ
".. serta perbuatan-perbuatan yang keji.."
Apa beza perbuatan keji dengan dosa besar? Dosa-dosa
الْفَوَاحِشَ ini
adalah dosa yang memalukan kita. Kita sendiri pun malu nak beritahu kepada
orang, atau malu kalau orang lain tahu kita terlibat dengan dosa-dosa itu.
Termasuklah kalau orang itu yang rapat dengan kita, contohnya ibu, isteri,
suami, kawan-kawan, atau adik beradik kita. Ianya adalah perbuatan yang
memalukan dan selalunya berasal daripada syahwat yang tidak terkawal. Perbuatan yang keji ini termasuklah ketagih menonton
video lucah, tak jaga ikhtilat, dating dengan couple sampai pegang tangan,
upload gambar seksi, tak tutup aurat, menonton hiburan yang ada unsur haram dan
sebagainya. Kemudian yang terakhir Allah
sebut,
وَإِذَا مَا غَضِبُوا هُمْ يَغْفِرُونَ
"...dan apabila mereka marah, mereka memaafkannya;"
Teman, orang mukmin apabila marah, mereka akan
berusaha memaafkan orang yang menyebabkan mereka marah. Kerana
marah jenis غَضِبُ,
ianya adalah jenis yang boleh menyebabkan seseorang yang sedang marah itu membalas
dendam kepada sesiapa yang membuatkan dirinya marah. Hingga akhirnya dia
sanggup menyakiti orang itu. Tahanlah marah
sungguh-sungguh. Kalau boleh tahan marah, tahan sungguh-sungguh, semata-mata
kerana Tuhanmu.
*****
Antara beberapa pengajaran besar
daripada ayat di atas,
1. Sentiasa berdoa sungguh-sungguh moga kita mati dalam keadaan
beriman. Hari ini ramai yang pandang remeh dengan iman, hingga akhirnya ramai
juga yang murtad, atheis dan sebagainya. Moga kita dilindungi.
2. Usahalah untuk bertawakal secara bulat-bulat kepada Allah.
Apabila cerita bab tawakal ini, teringat saya akan satu kisah. Saya
pernah terjumpa dengan beberapa orang yang masih tak nak kahwin lagi walaupun
usia dah semakin lanjut atas alasan yang lebih kurang sama “takut tersalah
pilih..” Saya menarik nafas lembut, lalu saya nasihatkan dengan rasa rendah
diri sambil menepuk perlahan bahunya,
“Tahu
tak kenapa kau takut? Kita takut tersalah pilih sebab menyangka bahawa kita
tahu segalanya. Kita tak meminta pun kepada Allah. Kita tak bergantung mutlak kepada
Allah. Kita tak meyakini sepenuhnya kepada Allah. Kita hanya bergantung kepada
usaha sendiri saja. Berilah ribuan alasan, akhirnya kita terpaksa akui bahawa
kita tak bergantung pada Allah pun. Bahkan, kita mungkin tak berapa yakin
dengan Allah. Kita terlalu meyakini pada usaha sendiri. Sebab itu dalam al-Quran,
Allah banyak kali menekankan isu tawakal. Nampak serius bukan? Ya, memang
serius. Sebab ia melibatkan penyerahan total masa depan, urusan, pilihan dan
tindakan kita kepada Allah. Tetapi kita sombong. Setiap perkara yang terjadi,
kita menyangka dan yakin itu adalah hasil usaha kita semata-mata.
Dapat
masuk universiti, kita sangka itu hasil dari titik peluh dan susah payah
belajar kita.
Dapat keputusan cemerlang, kita sangka hasil
dari study sampai burning the midnight oil. Dapat biasiswa, kita sangka itu
hasil daripada keputusan cemerlang kita.
Dapat kerja, kita sangka itu hasil dari CGPA
dan kepetahan berkata masa temuduga.
Dapat gaji bulanan, kita sangka itu memang gaji
yang pasti syarikat akan masukkan dalam akaun peribadi.
Dapat membeli rumah banyak, kita sangka itu
hasil daripada ilmu yang kita belajar dan teknik hartanah kita.
Dapat jual produk atau buku beribu-ribu, kita
sangka hasil dari marketing bisnes yang hebat.
Dan segala macam urusan harian kita, kita
sangka semuanya berpunca daripada diri kita sendiri. Atau yang islamik sikit,
kita sadurkan dengan ayat, ‘aku tawakal la ni..’ Mulut saja yang manis berkata
yakin dan tawakal, tetapi hati kita sebenarnya jauh sangat daripada yakin dan
tawakal sebenar kepada Allah. Kita pendusta."
Kawan
saya terdiam. Dia sedikit berang dengan kata-kata saya. Lalu dia tanya, “So,
apa bukti kita betul2 yakin dan tawakal pada Allah?”
Saya juga
diam. Lalu menjawab,
“Antara
buktinya adalah, setiap kali kita nak buat sesuatu, atau nakkan sesuatu
perkara, kita akan solat sunat kepada Allah. Atau sekurang-kurangnya, minta
pada Allah dulu. Walaupun sekecil-kecil perkara, atau perkara yang paling remeh.
Contoh, nak makan. Kita doalah minta pada Allah nak makan, walau hanya di dalam
hati, Selepas berdoa pendek dalam hati, barulah kita usaha. Nampak macam
kelakarkan? Ya, memang kelakar, sebab kita tak pernah buat. Kita lebih yakin
dengan usaha sendiri, kurang yakin bahawa Allah yang berikan kita makanan. Ataupun,
paling kurang bacalah bismillah sebelum buat apa-apa perkara. Tidak semestinya
makan minum. Itu antara tanda kita benar yakin dan tawakal. Kita minta pada
Allah dahulu, kemudian usaha sebaik mungkin, selepas itu baru sebenar-benar bertawakal.
Contoh lain, setiap kali nak peperiksaan. Selalu buat macam tu kan? Tetapi,
kenapa hanya pada exam saja? Adakah tawakal kita hanya pada exam, interview
kerja, viva, dan apa-apa perkara yang kita sangka kritikal saja?"
Dia
diam. Saya pun diam sama. Sebab kami sama-sama muhasabah. Sejauh mana kita
benar-benar bertawakal pada Allah secara mutlak?
3. Tinggalkanlah dosa-dosa besar dan dosa-dosa yang keji itu.
Antaranya adalah video lucah, khususnya masalah remaja. Kepada yang ketagih,
terutama lelaki, usahalah tinggalkan secepat mungkin. Sebab kesan kritikal
ketagihan video lucah ini sampai tahap, awak akan melihat perempuan semata-mata
sebagai objek seks, hatta adik beradik atau saudara mara sendiri. Serius seram.
4. Dan terakhir, usahalah belajar memaafkan dan bersabar. Rasulullah
ﷺ bersabda yang bermaksud,
“Orang kuat itu bukanlah yang menang dalam gusti
tetapi orang kuat adalah yang mampu menahan nafsu amarahnya.”
(Riwayat
al-Bukhari dan Muslim)
“Sesiapa
yang mampu menahan marahnya padahal dia mampu menyalurkannya, maka Allah menyerunya
pada hari kiamat dari atas khalayak makhluk disuruh memilih bidadari mana yang
mereka mahu.”
(Riwayat
Ahmad)
Ada banyak lagi hadis berkaitan marah. Apa pun, saya mendoakan
moga kita semua dikurniakan Allah untuk masuk Syurga Firdaus tanpa hisab dengan
berpimpinan tangan. Ameen.
Wallahua’lam
- Shukery Azizan
–
p/s: Tulisan ini
diambil daripada buku Pujukan Dari Tuhan karya Shukery Azizan. Boleh dapatkan
buku Pujukan Dari Tuhan sama ada di kedai-kedai buku POPULAR, MPH, SMO dan
lain-lain, atau boleh juga dapatkan secara online melalui isbirofficial.
Juzuk 25 : Sejauh Mana Kita Bertawakal?
Reviewed by Tarbiah Sentap
on
14:01
Rating:

No comments:
Post a comment