InsyaAllah kali ini kita masuk
pada surah yang termasuk dalam kategori surah-surah 7 Haa Mim, iaitu surah
al-Fussilat. Sebab apa? Sebab dalam al-Quran, ada 7 surah yang dimulakan dengan
“Haa Mim” atau disebut sebagai ayat Muqatta’ah. Surah ini adalah surah
Makiyyah. Selain Fussilat, surah ini juga dinamakan sebagai ‘Hamim Fussilat’
atau ‘Hamim Sajdah’. Sebab ada ayat sajdah di dalam surah ini. Fussilat diambil
daripada kata dasar fasila yang membawa maksud menjelaskan sesuatu perkara
itu dengan terperinci dan mengkategorikannya satu persatu. Apabila membaca
surah ini, kita akan nampak bagaimana Allah akan kategorikan mana yang iman dan
mana yang kufur seterusnya dijelaskan dengan sejelas-jelasnya. Surah ini juga
banyak menekankan tentang kepentingan dakwah.
Sebelum
kita mulakan tadabbur, saya nak kongsi satu peristiwa menarik yang berkaitan
dengan surah Fussilat ni. Semasa surah ini diturunkan, gangguan terhadap orang
Islam di Mekah meningkat dengan dahsyat. Mereka sampai mula nak beri rasuah
kepada Rasulullah ﷺ. Yang dihantar kepada baginda oleh orang
Quraisy untuk menyampaikannya adalah Utbah ibn Rabiah. Utbah adalah seorang
pemimpin yang dihormati di Mekah. Dia pun mula berjumpa dengan Rasulullah ﷺ dan
mula marah-marah kepada baginda.
Utbah tuduh
Rasulullah ﷺ telah memecah-belahkan umat Arab, antara suami
isteri, ayah dan anak dan sebagainya. Baginda tak layan pun. Lepas itu, Utbah
buat satu tawaran. Kalau Rasulullah ﷺ nak perempuan, dia boleh berikan siapa sahaja baginda
nak. Kalau Rasulullah ﷺ nak
harta, mereka boleh beri. Kalau Rasulullah ﷺ nak pangkat,
mereka pun sanggup angkat baginda ﷺ jadi Raja Tanah Arab. Senang cerita, apa
sahaja yang Rasulullah ﷺ nak, mereka sanggup tunaikan. Dengan syarat,
baginda berhenti berdakwah.
Rasulullah
ﷺ hanya biarkan
saja Utbah membebel sambil pasang telinga. Sedikit pun tak cakap apa-apa apatah
lagi cair dengan tawaran Utbah. Lepas Utbah dah tak tahu nak cakap apa, baginda
terus membaca Surah Fussilat ini dari ayat 1 sampai ke ayat ke 13. Apabila
sampai kepada ayat itu, Utbah terus tutup mulut Nabi ﷺ dengan
tangannya kerana dia tidak sanggup lagi dengar ayat-ayat Quran itu sebab dia
sudah rasa takut. Ayat ke-13 tentang ancaman Allah seperti mana berlaku pada
Kaum ‘Ad dan Tsamud. Fuh, dahsyatkan?
![]() |
Dapatkan novel Sujud Yang Terakhir karya Aizuddin Hamid di semua rangkaian kedai buku di seluruh Malaysia. |
Apa pun, kita teruskan tadabbur dengan
ayat ke 33 dan 34. Bismillah..
وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِمَّنْ دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ
صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ
"Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang
yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri
mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: "Sesungguhnya aku adalah dari
orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)?" [33]
وَلَا تَسْتَوِي الْحَسَنَةُ وَلَا السَّيِّئَةُ ۚ ادْفَعْ
بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ عَدَاوَةٌ كَأَنَّهُ
وَلِيٌّ حَمِيمٌ
"Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang
baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu)
dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang
menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah
seorang sahabat karib." [34]
Dalam ayat yang ke 33, apabila dibacakan sambil bertadabbur dengan
penuh cermat dan teliti, awak akan perasan yang Allah menyebut,
وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا
"Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya..."
dalam potongan ayat ni, Allah nak beritahu 2 perkara,
1) TIADA yang lebih baik daripada
kata-kata atau seruan tu,
2) TIADA yang lebih baik daripada
orang yang berkata atau menyeru perkara tu.
Ayat ini sedang menggambarkan bahawa Allah nak muliakan
seseorang. Persoalannya, Allah nak muliakan siapa? Ha, dalam ayat ini secara
penuh, Allah nak muliakan sesiapa saja yang mempunyai 3 ciri penting. Apa
ciri-cirinya? Allah beritahu,
مِمَّنْ دَعَا إِلَى اللَّهِ
"...orang yang MENYERU kepada (mengesakan dan mematuhi
perintah) Allah.."
Ciri pertama adalah, orang yang menyeru manusia kepada Allah. Atau bahasa mudahnya, orang yang BERDAKWAH! Ya, sama ada
berdakwah kepada sesama Muslim ataupun kepada bukan Islam (non muslim). Dakwah adalah menyuruh kepada kebaikan/kebenaran dan mencegah kepada kemungkaran (amar makruf nahi mungkar). Seruan
dan penyeru yang baik tu adalah kata-kata orang yang berdakwah kepada Allah. Walaupun
mungkin kata-katanya semudah,
“Bertaubatlah kepada Allah..”
“Jom solat di masjid nak?”
Dan sebagainya. Tak perlu kata-kata yang bombastik pun untuk menjadi
orang yang dimuliakan Allah. Itu baru ciri pertama. Tetapi, ia tak cukup dengan
dakwah saja. Sebab, dakwah ini ada ‘kembar’nya. Siapa? Allah sambung lagi,
وَعَمِلَ صَالِحًا
"..serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh,."
Kembarnya adalah pendakwah mesti mengerjakan amal soleh. Dengan kata lain, tarbiah. ‘Kembar’ kepada dakwah adalah
tarbiah. Dakwah dan tarbiah mesti berjalan seiring dan serentak. Bahkan, amal
soleh sendiri pun kadang-kadang boleh jadi dakwah, iaitu dakwah bil hal (dakwah
dengan perbuatan). Contohnya, ramai orang selalu nampak awak rajin solat
berjemaah di masjid. Itupun satu dakwah, sebab orang yang nampak itu mungkin
akan tergerak hati untuk solat.
Sebab
itu, dakwah mesti jalan seiring dengan tarbiah. Kalau dalam bahasa Arab,
disebut sebagai aslih nafsak wad’u ghairak, yang bermaksud perbaikilah dirimu
dan serulah orang lain (kepada kebaikan). Lagi satu yang menarik, dalam ayat
ini, Allah guna kalimah صَالِحًا, bukannya kalimah الصَّالِحَاتِ yang membawa maksud
amal soleh yang khusus seperti solat, zakat, dan sebagainya. Kalimah صَالِحًا ni maksudnya
amal-amal yang umum macam zikir, tahajud, mencari ilmu, puasa sunat, membaca
al-Quran, tadabbur al-Quran dan lain-lain.
Dengan kata lain, seorang pendakwah tidak boleh jadi macam orang
‘biasa’. Orang biasa yang saya maksudkan adalah, orang yang hanya tunaikan apa
yang wajib, tetapi tak buat apa yang sunat. Selain daripada buat perkara yang
wajib, pendakwah juga kena berusaha untuk melakukan apa yang sunat seperti
sedekah, tahajud, baca al-Quran, rajin membaca buku dan sebagainya. Sebab
perkara sunat ini ibarat supplement atau makanan tambahan. Kemudian, Allah
tambah lagi,
وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ
"...sambil berkata: "Sesungguhnya aku adalah dari
orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)?"
Ini pula ciri ketiga. Ayat ini umpama "deklarasi"
kebanggaan. Dalam ayat ini Allah guna perkataan إِنَّنِي (innani) yang memberi
penekanan kepada SESUNGGUHNYA. Kebiasaannya, Allah akan guna perkataan
"inni" saja. Maksudnya, kita wajib berbangga yang kita adalah
pendakwah. Dan lebih daripada itu, kita kena berbangga yang kita ini
MUSLIM. Apa maksud bangga? Takbur? Riak?
TIDAK.
Maksudnya kita mesti tahu bahawa Islam adalah yang TERTINGGI
dan selain daripada Islam semua rendah dan bawah. Mesti rasa ‘izzah bahawa
tiada yang lagi tinggi daripada Islam. Atau tiada yang sama rata dengan Islam. Tiada.
Sebab apa perkara ni penting sangat? Kerana hari ini, ramai yang pengecut dan
malu nak mengaku Muslim. Bahkan, ada yang sanggup buat ‘bidaah’ dengan menambah
bahawa dirinya seorang muslim liberal, muslim moderate, muslim sekular, muslim
gay, muslim lesbian, muslim transgender dan sebagainya.
Ada
yang sanggup menerima idea pluralisme (sama rata semua agama) semata-mata nak
nampak moden. Ada yang sanggup menjadi atheis sebab nak nampak hebat. Malah,
ada juga yang mengaku sebagai muslim liberal atau muslim moderate kononnya
lebih terbuka dan pertengahan. Kita sebagai pendakwah kena sentiasa rasa
sensitif dan cakna. Kalau ada orang cuba menyamakan kedudukan Islam dengan
agama lain dalam apa jua cara dan situasi sekalipun, kita kena lawan sehingga
semua akur bahawa Islam itu tinggi dan patuh kepada perintah Allah dan mengaku
bahawa Rasulullah ﷺ itu pesuruh Allah.
Atau kalau tak nak masuk Islam sekalipun, sekurang-kurangnya, tunduk di bawah
sistem dan perlembagaan Islam.
Apa pun, kita kena ingat, dalam berdakwah, mesti akan ada orang
yang tak akan suka sama ada dalam kalangan Muslim ataupun non Muslim. Itu
normal saja. Kalau ada orang tak suka, apa kita kena buat? Allah beritahu dalam
ayat seterusnya,
وَلَا تَسْتَوِي الْحَسَنَةُ وَلَا السَّيِّئَةُ
"Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang
baik dan perbuatan yang jahat..."
Pertamanya, kita kena jelas bahawa kebenaran tidak akan sama
dengan kebatilan sampai kiamat. Kebaikan takkan sesekali sama dengan
kejahatan atau keburukan. Ini saya dah tekankan dalam tadabbur juzuk ke-7
sebelum ini. Allah tekankan dengan mengulangi perkataan لَا dalam ayat ini.
Maksudnya memang takkan sama selama-lamanya. Kemudian Allah sebut,
دْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ
"..Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara
yang lebih baik;.."
Apa Allah nak beritahu kita semua, kalau seseorang melakukan kejahatan
kepada kita, seboleh-bolehnya kita cubalah untuk berbuat baik pada mereka.
Contohnya, kalau ada orang memaki hamun, kutuk, fitnah dan sebagainya pada
kita, seboleh-bolehnya, JANGAN buat perkara sama pada mereka. Jangan sindir, hina,
fitnah, kutuk mereka balik. Ini saya dah tekankan dalam tadabbur juzuk 1 lagi.
Kalau nak berlawan hujah, lawan hujah dengan penuh ahsan, iaitu sebaiknya.
Kalau tak nak layan, sabar dan senyum sajalah.
Macam Imam Hassan al-Banna pernah sebut, فأن أساس
دعوتنا الحب والتعارف yang bermaksud, asas
dakwah kita adalah cinta dan saling perkenalan. Dan satu lagi, Hassan al-Banna
juga pernah menyebut, sekiranya mereka membaling batu, kita akan berikan buah
epal kepada mereka. Contoh kalau kita tahu ada kawan mengumpat di belakang,
kita balas dengan belanja makan ke, ziarah bilik ke dan sebagainya.
TETAPI HATI-HATI..
Jangan sampai mereka melampaui batas. Contohnya, kalau mereka
nak memukul kita, apa lagi, larilah. Jangan pula serahkan tubuh badan untuk dipukul.
Toleransi kita pun ada hadnya. Apabila orang menghina peribadi kita, kita boleh
bersabar dan balaskan dengan paling baik. Tetapi apabila menghina Allah,
Rasulullah ﷺ dan Islam, kita kena bertegas.
Orang Islam memang terkenal dengan sifat toleransi dan bertolak ansur. Tetapi
jangan sampai kita ditolak beransur-ansur.
فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ عَدَاوَةٌ
"..apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh
rasa permusuhan terhadapmu,.."
Jadi, kalau kita buat baik pada mereka yang buat jahat, apa yang
kita dapat? Allah beritahu,
كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَمِيمٌ
"...dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang
sahabat karib."
Orang yang benci kita melampau-lampau pun, sekiranya kita selalu
usaha buat baik pada mereka, insyaAllah lambat-laun nanti akan lembut hatinya
pada kita dengan izin Allah. Dalam sirah Rasulullah ﷺ, cuba perhatikan tentang Abu Sufyan, Ikrimah, Khalid al-Walid,
dan sahabat Rasulullah ﷺ yang sebelum itu pernah memusuhi
baginda dan Islam selama bertahun-tahun lamanya. Bahkan sampai berperang pula
tu, akhirnya mereka masuk Islam juga.
Lagi satu, dalam akhir ayat ini, Allah menggunakan kalimah حَمِيمٌ yang maksudnya
'mendidih'. Apa Allah nak beritahu, mereka ini akan menjadi kawan rapat yang sampai
satu tahap, sangat-sangat rapat. Ibarat ‘mendidih-didih’ mereka nak bersama
dengan kita, bahkan SANGGUP pertahankan dan tolong kita dalam apa jua keadaan
sekalipun. Walaupun satu ketika dulu mereka memusuhi kita. Ini dah dibuktikan
dalam sepanjang sejarah Islam.
******
![]() |
Dapatkan buku Bagaimana Menjadi Pemimpin karya Ir Lukman Al Hakim di semua rangkaian kedai buku di seluruh Malaysia. |
Saya nak tulis pengajaran pun, rasanya tadabbur di atas pun
jelas dengan pengajaran. Jadi, saya cuma nak simpulkan saja moga awak faham apa
yang saya nak sampaikan. Antaranya,
1. Kita mesti berusaha untuk berdakwah. Walaupun mungkin
kita rasa belum sempurna, tak cukup ilmu dan sebagainya. Dakwah ini mudah saja,
apa-apa seruan yang mengajak manusia kepada Allah. Kalau nasihatkan kawan untuk
bertaubat pun adalah satu dakwah, bahkan kalau awak tutup aurat dengan sempurna
pun adalah satu dakwah. Mudah kan? Nak dakwah tak perlukan untuk jadi sempurna.
Kalau nak tunggu sempurna, kata Imam Hassan al Basri, memang tak akan berdakwah
sampai bila-bila. Sebab apa? Sebab
kesempurnaan itu hanyalah milik Allah.
2. Kita mesti berusaha untuk menjaga amal soleh dan ikutlah
program tarbiah. Ikutlah tarbiah ini tak kisah sama ada bersama dengan orang
soleh, rajin pergi masjid, datang kuliah agama, ikut program usrah, daurah dan
sebagainya.
3. Kita mesti berbangga dengan Islam, tanpa perlu ikut acuan Yahudi
Zionis, Barat dan sekutunya pun. Tak perlu terhegeh-hegeh nak menjadi Muslim
liberal, moderate, sekular, LGBT, dan sebagainya.
4. Kita mesti menguasai akhlak Islam seperti mana yang dibawa
dan dilakukan Rasulullah ﷺ. Dan yang paling penting juga,
kita mestilah rajin berdoa sungguh-sungguh, khususnya pada ahli keluarga,
kawan-kawan yang sesiapa yang kita nak dakwahkan itu. Sebab, Allah lah yang
memberi hidayah, kita hanya usaha saja.
Wallahua’lam
- Shukery Azizan
–
p/s: Tulisan ini
diambil daripada buku Pujukan Dari Tuhan karya Shukery Azizan. Boleh dapatkan
buku Pujukan Dari Tuhan sama ada di kedai-kedai buku POPULAR, MPH, SMO dan
lain-lain, atau boleh juga dapatkan secara online melalui isbirofficial.
Juzuk 24 : Balaslah Dengan Kebaikan
Reviewed by Tarbiah Sentap
on
22:02
Rating:

No comments:
Post a comment