Alhamdulillah, kali ini kita dah memasuki juzuk yang ke 23. Lagi 7 juzuk nak habis. Awak dah rasa terpujuk belum dengan setiap pujukan daripada Allah? Kalau belum rasa sangat, insyaAllah juzuk kali ini saya akan persembahkan satu ayat yang sangat memujuk, bahkan banyak ulama tafsir menyebutkan bahawa ayat ini adalah ayat yang paling memberikan harapan kepada manusia di dalam al-Quran. Wah! Tetapi sebelum itu, seperti biasa, kita akan cerita secara ringkas latar belakang surah. Surah yang saya pilih kali ini adalah surah az-Zumar, surah yang ke 39.
Surah
ini adalah surah Makiyyah, diturunkan pada fasa Mekah. Sama macam
kebanyakan surah-surah Makiyyah yang lain, ianya banyak menceritakan tentang
keimanan, tauhid dan seumpamanya. Sebahagian mufassirin menyebut, surah ini
adalah penjelasan kepada ayat al-Quran yang selalu kita sebut, iaitu إِيّاكَ
نَعبُدُ dalam Surah al-Fatihah. Dalam surah al-Fatihah
yang dibacakan setiap hari semasa solat, kita telah berjanji dengan Allah yang
kita hanya akan sembah Dia sahaja. Tetapi adakah kita akan amalkan dengan cara
begitu dalam kehidupan kita? Ha, inilah antara yang dibincangkan dalam surah
ini. Jadi, surah ini terlalu penting untuk kita memahaminya, kerana ia
menjelaskan maksud ayat إِيّاكَ نَعبُدُ yang
kita bacakan setiap hari. Kalau setiap hari baca ayat itu, tetapi masih tak
faham apakah yang dimaksudkan dan apa yang dituntut daripada ayat tu, memang
kita sedang hadapi satu masalah besar. Apa pun, saya akan terus lompat ke ayat
yang 53 pada juzuk kali ini. Bismillah,
قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَىٰ أَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِنْ رَحْمَةِ اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا ۚ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
“Katakanlah: Hai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap
diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah.
Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia lah Yang
Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
(Surah Az Zumar 39 : 53)
Biasakan dengar ayat ini? Ini adalah ayat yang ditujukan kepada orang yang telah pernah membuat amalan syirik atau yang pernah melakukan dosa besar dan berulang-ulang kali sebelum ini. Ayat ini adalah sebagai pengumuman dan pujukan daripada Allah sebagai rahmat kepada kita semua. Kalau awak dalam keadaan kesedihan dan putus asa dalam hidup, cubalah baca dengan memahami serta selami makna ayat ini.
Sejujurnya, apabila awak membaca terjemahan untuk ayat ni, apa
yang awak rasa? Jujur daripada hati. Apa yang awak rasa? Kalau saya, masa
pertama kali membaca ayat ini, saya termenung panjang. Kenapa? Rasa sedih sebab
saya pernah banyak kali berputus asa dengan hidup. Tetapi Maha Baiknya Allah,
Dia sentiasa ada untuk saya. Sentiasa memberikan rahmat untuk saya. Bahkan,
sentiasa beri peluang lagi dan lagi kepada saya untuk berubah, bertaubat dan
kembali padaNya. Ini yang saya rasa, hinggakan membuatkan saya kadang-kadang
menangis apabila membaca ayat ini. Malah, semasa menulis tadabbur ayat ini pun,
saya tak dapat menahan air mata saya mengalir. Maha Baiknya Allah dan Maha
Pemurahnya Allah, sudi ampunkan dan terima hamba kotor macam saya. Allah..
Pada
permulaan ayat, Allah menyebut,
قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَىٰ أَنْفُسِهِمْ
“Katakanlah: Hai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap
diri mereka sendiri...”
Kalimah أَسْرَفُوا yang membawa maksud ‘melampaui
batas’ di atas pada asalnya ditujukan tentang perbuatan syirik kepada Allah.
Perbuatan syirik yang menyebabkan ramai manusia akhirnya kekal selama-lamanya
di dalam Neraka. Tetapi dalam masa yang sama, kalimah أَسْرَفُوا pun membawa maksud
‘berlebihan’. Berlebihan dalam apa? Ini membawa maksud yang lebih umum. Boleh
jadi berlebihan dalam malas, tidur, main game, bercinta, bekerja, berbisnes,
mencari harta, berpolitik, bergaduh, marah, dendam, buat maksiat dan banyak
lagi. Setiap daripada kita akan ada satu dosa yang dibuat secara berlebihan.
Bahkan sampai memberi kesan buruk pada diri sendiri.
Kita
sangka apa yang kita buat adalah untuk kebaikan diri sendiri, tetapi sebenarnya
ianya langsung tidak baik dan memberi kesan kepada diri sendiri. Sebab
itulah kalimah seterusnya yang digunakan adalah عَلَىٰ. Iaitu
bermaksud perbuatan melampau itu telah memberi kesan buruk kepada diri sendiri.
![]() |
Dapatkan buku Harapan Masih Ada karya Qamarul Nazrin di semua rangkaian kedai buku di seluruh Malaysia. |
Sebagai contoh, remaja yang berlebihan dalam bercinta, akhirnya
melanggar batasan ikhtilat, seterusnya melampau hingga berpegang tangan dan
akhirnya berzina berkali-kali. Kalau orang dewasa pula, berlebihan dalam
bekerja atau mencari harta, yang akhirnya sampai lewat atau tinggalkan solat, bahkan
sampai sanggup ambil rasuah, abaikan keluarga, dan sebagainya. Kalau yang suka
berpolitik pula, berlebihan sampai tahap menghina dan mencerca orang lain,
hingga sanggup menjatuhkan orang lain dan sebagainya. Ayat ini
tak dikhususkan apakah perkara yang mereka telah melampaui atau berlebihan. Ini
adalah kerana terlalu banyak perkara yang manusia terlampau dan berlebihan.
Malah,
ada ulama’ tafsir menyebut, kalimah itu juga bermaksud mereka yang telah
‘jatuh’. Jatuh ini boleh jadi hilang pekerjaan, akademik merosot, hilang
keluarga, dan sebagainya. Sampai tahap ada yang telah putus asa. Maka, kepada
mereka ini juga, Allah nak berikan harapan. Allah sebut,
لَا تَقْنَطُوا مِنْ رَحْمَةِ اللَّهِ ۚ
“..janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah..”
Allahu
Allah. Ayat ini dengan jelas pujukan daripada Allah supaya jangan berputus asa
dengan rahmatNya. Sebab apa? Sebab kita masih lagi ada peluang dan peluang untuk
mendapat keampunan daripada Allah. Maknanya, masih berpeluang untuk bertaubat
lagi walaupun kita banyak membuat dosa maksiat, berzina, tukar jantina, bahkan
sampai tahap ada yang murtad sekalipun. Ya, Allah akan ampunkan dosa kita
walaupun kita pernah murtad sekalipun. Syaratnya, cuma kena sungguh-sungguh minta
ampun saja selagi masih hidup. Kalau dah meninggal dunia, dosa syirik atau
murtad memang dah tertutup pintu harapan.
Ayat ini juga pujukan kepada kita bahawa Allah tak
melupakan kita. Allah masih lagi memberikan peluang kepada kita, walau berapa
banyak pun dosa yang kita lakukan. Ini kerana Allah amat sayang kepada kita.
Sifat rahmah Allah amatlah besar.
Bila dah selalu buat dosa, akan ada saat kita
akan rasa tertekan yang teramat sangat. Bahkan, ada yang depression hingga
cubaan nak bunuh diri. Sebab apa? Sebab ada orang menyangka yang dosa mereka
terlalu banyak sehingga menganggap yang Allah tak akan ampunkan mereka lagi. Itu
semuanya adalah sangkaan mereka sahaja, sebab Allah tak pernah kata macam itu.
Jangan kita ada sangkaan macam itu. Sebab, ini juga bisikan daripada syaitan
untuk melemahkan harapan kita dan supaya kita tak minta ampun kepada Allah. Syaitan
bisikkan,
“Dosa kau
ni dah banyak sangat, memang tahap ahli Neraka berdaftar. Allah takkan ampunkan
punya. Pandang kau pun tak. Alang-alang dah buat dosa, teruskan je la. Hidupkan
cuma sekali je. Enjoy the moment. Hehe.”
Dahsyat
Syaitan bisikkan pada kita. Kemudian, Allah sambung lagi,
إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا ۚ
“..Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya..”
Allahu
Rabbi, Maha Baiknya Allah, Allah sudi untuk ampunkan kesemua dosa kita.
Ya, sama ada kecil atau besar hingga tahap syirik, murtad atau yang pernah jadi
atheis sekalipun, Allah sudi dan sedia untuk ampunkan dosa kesemuanya. Dengan
syarat, kita kena minta ampun pada Allah. Ayat 54 dan 55 surah az-Zumar pula
menerangkan macam mana nak bertaubat. Awak boleh baca dan hayatinya sendiri.
Saya nak fokuskan ayat yang 53 ini saja.
Apa pun,
mintalah ampun kepada Allah. Selagi mana kita masih hidup dan bernyawa, Allah
akan sedia mengampunkan kesemua dosa-dosa kita, walaupun dosa itu dah dibuat
bertahun-tahun lamanya. Allah sanggup untuk ampunkan semua sekali dosa kita,
bukan hanya sedikit. Bukan dosa yang kecil saja, tetapi dosa yang besar
sekalipun. Maka, kalau Allah dah kata yang Dia sanggup untuk terima taubat itu,
maka mintalah ampun semasa hidup di dunia ini. Janganlah bertangguh sampai tunggu
di akhirat kelak yang mana taubat tak diterima lagi.
إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
“...Sesungguhnya Dia lah Yang Maha Pengampun lagi Maha
Penyayang.”
Kenapa
Allah sanggup ampunkan semua dosa kita? Sebab Allah sendiri dah menyatakan
bahawa Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Dia boleh ampunkan dan
boleh ‘melupakan’ terus dosa yang pernah kita buat. Sampaikan tak ada lagi yang
akan tahu bahawa kita pernah melakukan dosa tersebut. Kalau kita sebagai
manusia, tak boleh lupa kesalahan orang lain kepada kita, walaupun mungkin dah
maafkan dia. Hati kita masih lagi teringat-ingat walaupun sudah maafkan dia
dengan mulut. Orang putih kata, forgive but not forget.
Tetapi
sebaliknya bagi Allah, apabila Dia memberikan pengampunan, Dia akan tutup terus
segala dosa itu. Dan Dia tidak akan mengazab hambaNya itu dalam Neraka atas
kesalahan itu. Sebab itu, jangan bertangguh-tangguh untuk bertaubat. Dia
sanggup ampunkan kerana Dia amat belas kasihan kepada semua makhluk. Dia sayang
sekali kepada hambaNya. Kepada kita semua.
*****
![]() |
Dapatkan buku Surat Untuk Orang Putus Asa karya Ustaz Adnin Roslan di semua rangkaian kedai buku di seluruh Malaysia |
Ada banyak pengajaran yang kita
boleh ambil. Tetapi saya hanya nak kongsi 2 pengajaran,
1. Janganlah bertangguh untuk bertaubat. Ada orang
bertangguh sebab malu untuk bertaubat. Malu kalau Allah tak nak menerima
taubatnya. Taubat wajib dilakukan dengan segera, tak boleh
ditangguhkan. Imam Ibnu Qayyim kata, “Sesungguhnya segera bertaubat kepada
Allah dari perbuatan dosa hukumnya adalah wajib dilakukan dengan segera dan
tidak boleh ditunda.” Imam an-Nawawi pun pernah sebut, “Para ulama telah
sepakat, bahawa bertaubat daripada seluruh perbuatan maksiat adalah wajib;
wajib dilakukan dengan segera dan tidak boleh ditangguh, sama ada itu dosa
kecil atau dosa besar.”
Saya nak beritahu, Allah itu SENTIASA ampunkan kesemua
dosa-dosa kita SELAGI belum menjadi mayat. Bahkan kalau dah mati pun, di
Akhirat nanti kemungkinan Allah akan sudi ampunkan kita dengan rahmatNya
seperti mana hadis mengenai kisah pelacur yang bagi minum air pada anjing.
Kecuali dosa syirik. Allah hanya nak kita semua JANGAN PUTUS ASA dan TERUS
MENERUS bertaubat. Jangan berhenti bertaubat. Itu saja. Walaupun dosa kita terlalu
banyak sampai tidak dapat tercapai dek akal. Tetapi Allah tetap akan ampunkan
kita. Allah SUDI ampunkan kita. Rasulullah ﷺ bersabda yang bermaksud,
"Kaffarah dosa adalah PENYESALAN."
(Riwayat Ahmad).
Ada banyak kisah di dalam hadis dan sejarah Islam tentang
taubat. Banyak sangat, dan kebanyakkannya awak mesti pernah dengar. Antaranya kisah
seorang lelaki yang bunuh 99 orang, selepas itu membunuh seorang lagi hingga cukup
100 orang. Tetapi akhirnya berhijrah kemudian mati dalam keadaan bertaubat.
Kemudian, kisah Saidina Umar al-Khattab sebelum masuk Islam yang pernah
merancang NAK MEMBUNUH Rasulullah ﷺ. Tetapi selepas mendapat hidayah dan masuk Islam, Allah
muliakannya bahkan menjadi Khalifah lagi. Kisah Saidina Khalid al-Walid yang
memerangi Islam bahkan berjaya mengalahkan tentera Islam semasa perang Uhud. Tetapi
akhirnya masuk Islam bahkan menjadi panglima perang Islam terunggul dengan
gelaran pedang Allah. Banyak sangat. Tetapi, mereka tak bertangguh dalam taubat.
Mereka terus masuk Islam dan bertaubat.
Saya nak kongsi satu hadis qudsi dengan awak. Rasulullah ﷺ pernah bersabda yang mana Allah
berfirman yang bermaksud,
“Wahai anak-anak Adam, selagi mana engkau memohon dan
mengharapkan dari-Ku, Aku ampunkan engkau walau apapun dosamu, Aku tidak
peduli.
Wahai anak-anak Adam, jika dosamu sampai ke puncak langit, lalu
engkau pohon keampunan dari-Ku, Aku ampunkan engkau, aku tidak peduli.
Wahai anak-anak Adam, engkau jika datang kepada-Ku dengan dosa
yang hampir memenuhi bumi, namun engkau menemui-Ku tanpa mensyirikkan Daku
dengan sesuatu, nescaya aku datang kepadamu dengan penuh keampunan.”
(Riwayat Tirmidzi)
2. Jangan putus asa dengan rahmat Allah. Ada yang
tertanya, kalau dah bertaubat lepas tu ulang balik dosa, kemudian bertaubat
semula, adakah kita main-main dalam taubat? Teman, Rasulullah ﷺ bersabda yang bermaksud,
كُلُّ
بَنِي آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِيْنَ التَّوَّابُوْنَ.
“Setiap
anak Adam pasti berbuat dosa dan sebaik-baik orang yang berbuat dosa (pendosa)
adalah yang bertaubat.”
(Riwayat
Ahmad)
Dalam hadis ini, Rasulullah ﷺ beritahu bahawa setiap anak Adam
akan melakukan dosa. Kalimah خَطَّاءٌ dan التَّوَّابُوْنَ pada
hadis ini dalam kaedah bahasa Arab disebut sebagai sighah mubalaghah yang
bermaksud melampau-lampau ataupun hiperbola. Apa yang Rasulullah ﷺ nak sampaikan, setiap anak Adam pasti akan
melakukan dosa dan lagi dan lagi dan lagi. Akan ada kemungkinan untuk mengulang-ulang
dosa.
Tetapi
Rasulullah ﷺ juga beritahu, sebaik-baik pendosa adalah
mereka yang bertaubat lagi dan lagi dan lagi. Ya, kita kena taubat berulang-ulang
kali, seperti mana kita berulang-ulang kali melakukan dosa. Persoalannya,
sampai bila nak bertaubat? Sampai moga-moga kita mati dalam keadaan bertaubat,
bukan dalam keadaan maksiat.
Apa
saya nak sebut, jangan putus asa dengan rahmat Allah. Teruskan bertaubat, dan
teruskan usaha. Kalau hilang pekerjaan, usaha cari kerja baru. Kalau akademik
jatuh, usaha untuk naikkan gred dan sebagainya. Poinnya, jangan putus asa.
Teman, bertaubatlah dan teruskan bertaubat. Jangan berhenti
bertaubat. Sebab kita ada Allah yang sentiasa menerima taubat. Kalau awak rasa
buku Pujukan Dari Tuhan ini boleh membantu kawan-kawan yang dah mula berputus
asa, malu nak bertaubat dan sebagainya, bolehlah kongsikan cerita ataupun buku
ini pada mereka. Ataupun belikan saja buku ini untuk mereka. Moga ia menjadi
asbab hidayah untuk mereka bertaubat dan tidak berputus asa dengan Allah.
Wallahua’lam
- Shukery Azizan
–
p/s: Tulisan ini
diambil daripada buku Pujukan Dari Tuhan karya Shukery Azizan. Boleh dapatkan
buku Pujukan Dari Tuhan sama ada di kedai-kedai buku POPULAR, MPH, SMO dan
lain-lain, atau boleh juga dapatkan secara online melalui isbirofficial.
p/s : Dapatkan E-Book tulisan Shukery Azizan yang bertajuk "Kisah Wanita Di Dalam Al-Quran" hari ini juga. Klik di sini untuk dapatkan segera : >> KLIK DI SINI <<
Tadabbur Juzuk 23 : Jangan Putus Asa Bertaubat
Reviewed by Tarbiah Sentap
on
23:00
Rating:

No comments:
Post a Comment