Tarbiah Sentap: Juzuk 21 : Berjihadlah Di Jalan Allah

Sunday, 26 May 2019

Juzuk 21 : Berjihadlah Di Jalan Allah

Di dalam juzuk ke-21, terkandung beberapa surah termasuklah surah Al-Ankabut, surah Ar-Rum, surah As-Sajadah dan surah Al-Ahzab. Perkongsian kali ini saya akan pilih surah Al-Ankabut. Surah Al-Ankabut ini adalah surah selepas Al-Qassas, dan ia merupakan surah yang ke-29 dalam kategori Makiyyah. Surah ini diberikan nama Al-Ankabut yang membawa maksud labah-labah, bersandarkan ayat ke 41. Dalam ayat itu, Allah mengumpamakan penyembah berhala sama seperti labah-labah yang percaya kepada kekuatan rumahnya sebagai tempat berlindung dan menjerat mangsa. Padahal, kalau sekali tiup atau terjatuh barang yang kecil saja, cukup untuk memusnahkan sarang labah-labah itu sekelip mata.

Kalau dalam surah al-Qassas, saya dah sebut bahawa untuk menegakkan Islam, kita kena berani dan berkorban. Tetapi itu khusus untuk pemimpin. Namun dalam surah Al-Ankabut pula, peringatan untuk berani dan berkorban menegakkan agama Allah adalah kepada seluruh umat Islam. Dan bila umat Islam bersedia menegakkan kalimah Allah ke tempat tertinggi, akan datang kepada mereka dua hal, musibah dan halangan daripada penentang dakwah. Yang kedua, Allah nak beritahu bahawa semua golongan penentang dakwah akan hancur binasa, seperti mana hancurnya sarang labah-labah yang dilanggar sesuatu. Apa pun, untuk surah kali ini, saya pilih ayat yang terakhir sekali, iaitu pada ayat yang ke 69. Bismillah,

وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا ۚ وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ
“Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar berserta orang-orang yang berbuat baik.”

(Surah Al-Ankabut 29:69)

Kalau awak perhatikan, ayat ini ada hubungan dengan ayat pada permulaan surah, iaitu ayat 2 dan 3. Seakan memberi isyarat bahawa sesiapa yang hendak beriman dengan agama Allah, pasti dan pasti akan mendapat ujian dan dugaan daripada Allah. Setiap ujian yang Allah berikan memang khas untuk kita, dan bertujuan untuk meneguhkan iman. Apabila berjaya melepasi ujian, secara tidak langsung iman akan bertambah lagi dan lagi.
 
Sebab itu, seseorang itu kenalah berjihad dan bersabar dengan setiap ujian yang Allah berikan. Jangan putus asa dan lemah semangat. Kena teruskan usaha.

وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا
Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami..”

Ayat ini dimulakan dengan kalimah اَلْـجِهَادُ (al-jihad) yang mana ia mengajak untuk mengangkat dan mengutamakan agama Allah lebih daripada yang lain. Jihad yang dilakukan bukan untuk manusia, tetapi semata-mata kerana Allah. Sebab itu Allah menggunakan kalimah فينا yang membawa makna ‘dalam Kami’, maksudnya tujuan utama mereka berjihad adalah untuk bertemu dengan Allah. 

Jihad yang dimaksudkan bukan semata-mata perang saja, tetapi ia juga membawa naratif untuk bersungguh-sungguh menegakkan kalimah Allah dengan cara apa sekalipun di atas muka bumi ini. Nak tegakkan kalimah Allah sampailah tak ada lagi fitnah untuk agama Allah. Allah berfirman yang maksudnya,

“Dan perangilah mereka itu sampai tidak ada lagi fitnah, dan agama hanya bagi Allah semata. Jika mereka berhenti, maka tidak ada (lagi) permusuhan, kecuali terhadap orang-orang zalim.” (Al-Baqarah 2:193)

Ibnu Atsir menyebut, “Jihad adalah memerangi orang kafir (yang memerangi Islam), iaitu berusaha dengan sungguh-sungguh mencurahkan kekuatan dan kemampuan, baik berupa perkataan atau perbuatan.” Imam bnu Hajar al-Asqalani sebut dalam kitab Fathul Bari, “Jihad menurut syarak adalah mencurahkan seluruh kemampuan untuk memerangi orang-orang kafir.” Imam Ibnu Taimiyyah pula sebut makna jihad, “mencurahkan segenap kemampuan untuk mencapai apa yang dicintai Allah Azza wa Jalla dan menolak semua yang dibenci Allah.” 

Dan jihad dalam ayat ini juga membawa maksud dakwah. Abu Sulaiman al Daarani pula berkata, “Jihad pada ayat tersebut bukan memerangi orang kafir saja, tetapi maksudnya juga menolong agama Allah, membantah para pengingkar, melawan orang zalim, dan yang paling besar adalah menegakkan amar ma’ruf dan nahi munkar (dakwah). Di antaranya juga menjihadi (menundukkan) jiwa untuk taat kepada Allah.”

Kemudian Allah menyambung lagi,

فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا
“..benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami.”

            Ini adalah ganjaran daripada Allah kalau kita berjihad dan berdakwah sungguh-sungguh semata-mata kerana Allah. Iaitu Allah akan tunjukkan jalan-jalan kepada Allah dan kemenangan. Allah akan beri jalan kepada mereka untuk mencapai apa yang mereka nak lakukan, iaitu menegakkan agama Allah. Tetapi jalan ke arah itu bukanlah jalan yang mudah. Kena berusaha dan berkorban untuk bertemu dengan Allah. Kemudian Allah sambung pada bahagian terakhir,

وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ
“Dan sesungguhnya Allah benar-benar berserta orang-orang yang berbuat baik.”

            Ini adalah satu pengiktirafan kepada sesiapa yang berjihad sungguh-sungguh untuk agama Allah. Allah beritahu yang Allah bersama mereka. Ini adalah satu penghormatan yang amat besar sekali. Logiknya, di dunia ini, kalau ada seseorang yang kuat bersama dan menjadi bodyguard kita, mestilah kita berani kan? Maka macam mana pula kalau Allah yang Maha Agung, pencipta sekalian makhluk bersama dengan kita? Allahu Akhbar!

Allah akan bersama denganالمُحسِنينَ  (orang-orang yang berhati baik). Orang yang hatinya baik akan berusaha supaya orang lain juga menjadi baik. Mereka bukan setakat nak masuk Syurga seorang diri, bahkan nak selamatkan orang lain juga. Mereka akan buat dakwah sungguh-sungguh kerana Allah.

*****
Dapatkan buku Kerana Aku Sayang karya Aniq Muhaimin
di semua rangkaian kedai buku di seluruh Malaysia.
Saya nak sebut beberapa pengajaran daripada ayat ini :

1.         Ramai pendakwah muda hari ini yang bersemangat nak berperang di Palestin melawan tentera Zionis dan sebagainya. Bersemangat nak berperang dengan senjata dan seumpamanya. Tetapi solat berjemaah di masjid tak buat, bahkan melewatkan solat pula. Baca al-Quran pun malas, selalu main games, banyak melayan drama. Bahkan bercinta, couple, tak jaga ikhtilat dan sebagainya.

Padahal, jihad ada 3 jenis, iaitu pertama jihad berperang musuh-musuh yang menentang Islam termasuklah orang kafir, musyrik dan munafik. Kedua jihad melawan godaan Syaitan, sama ada dalam kalangan jin dan manusia. Kemudian ketiga, jihad melawan hawa nafsu.

Imam Ibnu Qayyim sebut, “Aku mendengar Syaikh kami (iaitu Imam Ibnu Taimiyyah) berkata, ‘Jihad melawan hawa nafsu adalah prinsip (dasar yang dibangun di atasnya) jihad melawan orang-orang kafir dan orang-orang munafik. Kerana sesungguhnya seseorang tidak akan mampu berjihad (melawan) orang kafir dan munafik, sehingga dia berjihad melawan dirinya dan hawa nafsunya lebih dahulu sebelum melawan mereka (orang kafir dan munafik).’”

             Kalau jihad melawan hawa nafsu pun tak lepas lagi, macam mana nak jihad melawan musuh Islam? Sebab itu, perkara pertama yang wajib kita buat adalah, kena berusaha kawal hawa nafsu sendiri. Mula rajin solat berjemaah, rajin baca al-Quran, jaga hubungan dengan mak ayah, jaga ikhtilat, dan sebagainya.

2.         Dalam dunia hari ini, ramai yang mula salah faham dengan terma ‘Jihad’. Terutama sekali selepas peristiwa 9/11. Perkataan jihad diterima sebagai satu konotasi yang negatif. Bukan setakat non Muslim saja yang salah faham, bahkan orang Islam pun sama. Kalau nak sebut perkataan jihad pun, rasa takut-takut saja. Bahkan, ada yang apologetik sampai setiap kali menyebut jihad, terbayangkan ISIS, taliban, teroris, dan sebagainya. Inilah serangan pemikiran daripada Barat yang disebut sebagai ‘Semantic Infiltration’. Yang mana Yahudi Zionis dan proksinya memaksakan kefahaman jihad yang songsang kepada seluruh dunia, termasuklah orang Islam sendiri.

            Hinggakan orang Islam nak sebut jihad pun tak berani, apatah lagi nak perjuangkan untuk berjihad di jalan Allah. Sedangkan di dalam ayat-ayat al-Quran dan hadis sahih, terdapat banyak seruan dana keutamaan untuk berjihad di jalan Allah. Antara hadisnya termasuklah,

“...Pokoknya perkara adalah Islam, tiangnya adalah solat, dan puncaknya adalah jihad fii sabiilillaah.”
(Riwayat Ahmad)

“Wajib atas kamu berjihad di jalan Allah Tabaaraka wa Ta’ala, kerana sesungguhnya jihad di jalan Allah itu merupakan salah satu pintu dari pintu-pintu Syurga, Allah akan menghilangkan dengannya daripada kesedihan dan kesusahan.”
(Riwayat al-Hakim)

“Sesungguhnya seutama-utama amal sesudah solat adalah jihad di jalan Allah Taala.”
(Riwayat Ahmad)

Awak nampak kan keutamaan jihad dan dakwah? Penting sangat. Sebab itu, Imam Ibnu Qayyim sebut, “Tujuan jihad adalah agar kalimah Allah tinggi, dan agar agama semuanya milik Allah, iaitu maksud tujuannya agar agama Allah tegak (di muka bumi).”

Tetapi ada juga yang berdakwah sungguh-sungguh, berjihad mengawal hawa nafsu semampu mungkin, namun asyik tewas saja. Tewas sebab tak ada orang terima dakwahnya, dan gagal mengawal hawa nafsu. Dalam ayat di atas Allah dah memujuk kita, teruskan saja berjihad sungguh-sungguh, sebab pasti dan pasti Allah akan buka jalan kepadaNya. Poinnya, jangan putus asa untuk berubah dan menyampaikan dakwah. Sebab pertolongan Allah itu pasti dan sangat dekat. Percayalah..

Wallahua’lam.

- Shukery Azizan -


p/s: Tulisan ini diambil daripada buku Pujukan Dari Tuhan karya Shukery Azizan. Boleh dapatkan buku Pujukan Dari Tuhan sama ada di kedai-kedai buku POPULAR, MPH, SMO dan lain-lain, atau boleh juga dapatkan secara online melalui isbirofficial.

No comments: