Subhanallah,
sekejap saja kita dah memasuki juzuk yang ke 20. Kalau tadarus al-Quran, sekejap
saja kita dah masuk 2/3 al-Quran. MasyaAllah, cepat masa berlalu. Untuk juzuk
ke-20 ini, saya berniat untuk memilih surah al-Qassas. Surah al-Qassas
merupakan surah yang ke 28, dan termasuk dalam kategori Makiyyah. Al-Qassas
bermaksud ‘kisah-kisah’. Kenapa dinamakan ‘al-Qassas’ salah satu sebabnya
kerana ayat yang ke 25 dalam surah ini yang bermaksud ;
“Kemudian salah seorang dari perempuan dua
beradik itu datang mendapatkannya dengan berjalan dalam keadaan tersipu-sipu
sambil berkata: Sebenarnya bapaku menjemputmu untuk membalas budimu memberi
minum binatang ternak kami. Maka ketika Musa datang mendapatkannya dan
menceritakan kepadanya kisah-kisah kejadian yang berlaku (mengenai dirinya)
berkatalah orang tua itu kepadanya: 'Janganlah engkau bimbang, engkau telah
selamat dari kaum yang zalim itu.’”
Ada beberapa perkara yang menarik tentang surah
ini. Antaranya, kisah Nabi Musa alaihissalam hampir lengkap ada di dalam surah
ini, sampaikan ada mufassirin menamakan surah ini sebagai ‘Surah Musa’. Dan
dalam surah al-Qassas ini, ada satu kisah yang tak diceritakan di dalam surah
lain, iaitu kisah Qarun yang hidup pada zamannya. Surah ini juga sebagai isyarat kepada Rasulullah ﷺ bahawa
baginda akan meninggalkan Mekah sebagaimana Nabi Musa alaihissalam meninggalkan
Mesir dan kembali semula. Dan Baginda juga akan dapat kembali semula ke Mekah.
Antara dua mesej penting dalam surah ini perlu
kita hadam sungguh-sungguh iaitu pertama berkaitan dengan keberanian dalam
menyampaikan kebenaran tauhid kepada manusia. Walaupun kepada pemerintah
sekejam dan sezalim Firaun sekalipun. Kemudian mesej kedua adalah, kesanggupan
dalam menanggung segala beban kesusahan di dalam menyampaikan risalah tauhid.
Di dalam projek memperbaiki akidah umat, Allah telah sediakan beberapa ujian
dan dugaan kepada penyampainya. Apa pun, untuk surah ini kita akan pilih ayat
yang ke-77. Bismillah,
وَابْتَغِ فِيمَا آتَاكَ اللَّهُ الدَّارَ
الْآخِرَةَ ۖ وَلَا تَنْسَ نَصِيبَكَ مِنَ الدُّنْيَا ۖ وَأَحْسِنْ كَمَا أَحْسَنَ
اللَّهُ إِلَيْكَ ۖ وَلَا تَبْغِ الْفَسَادَ فِي الْأَرْضِ ۖ إِنَّ اللَّهَ لَا
يُحِبُّ الْمُفْسِدِينَ
“Dan carilah dengan harta kekayaan yang telah
dikurniakan Allah kepadamu (akan pahala dan kebahagiaan) hari Akhirat dan
janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan
berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik
kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah); dan janganlah
engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada
orang-orang yang berbuat kerosakan.”
(Surah Al-Qassas 28:77)
Ayat ini sebenarnya berkaitan dengan sambungan
nasihat kaum Qarun kepadanya bermula daripada ayat yang ke 76. Awak mungkin
pernah dengan kisah Qarun kan? Istilah ‘harta karun’ dalam kalangan orang
Melayu sinonim dengan nama Qarun. Allah menceritakan kisah Qarun ini bermula
daripada ayat 76 hinggalah ayat yang 82. Dan penghujung kisah Qarun, Allah
tenggelamnya dan segala hartanya ke dalam perut bumi sampai tak ada tinggal walau
sedikit pun. Nasihat kaum Qarun itu Allah rakamkan semula di dalam al-Quran.
Ini merupakan nasihat yang bersifat malar hijau. Ia berguna untuk semua zaman
sehinggalah Kiamat. Kaum Qarun memberikan nasihat,
وَابْتَغِ فِيمَا آتَاكَ اللَّهُ الدَّارَ
الْآخِرَةَ
“Dan carilah dengan harta kekayaan yang telah
dikurniakan Allah kepadamu (akan pahala dan kebahagiaan) hari Akhirat..”
Walaupun nasihat ini asasnya pada
Qarun, tetapi ia juga untuk kita semua sebagai umat Rasulullah ﷺ, khususnya kepada golongan yang Allah berikan kepada
mereka kelebihan harta yang banyak. Selayaknya apabila mempunyai banyak
harta, maka semakin mudah mereka untuk melakukan kebaikan sebab boleh infak
harta mereka sebanyak mungkin untuk agama. Dan ini yang sepatutnya Qarun
buat, tetapi sebaliknya pula berlaku. Dia hanya simpan dan menunjuk-nunjuk kepada
orang ramai.
![]() |
Dapatkan buku Harapan Masih Ada karya Qamarul Nazrin di semua rangkaian kedai buku di seluruh Malaysia. |
Hari ini ramai orang kaya dalam
kalangan Muslim mula lupakan Akhirat. Lagi-lagi apabila Allah kurniakan kepadanya
harta yang melimpah ruah. Harta yang ada mereka simpan dan menunjuk-nunjuk
kepada masyarakat dengan cara menayangkan kereta mewah, rumah besar macam
istana dan duit berkepuk-kepuk di dalam media sosial. Alasannya konon nak memberikan
motivasi kepada orang ramai. Bahkan ada yang lagi teruk, dia sanggup taburkan
duitnya di tempat awam seperti tabur dedak ayam. Maka berpusu-pusulah
masyarakat mengejar dan mengutip duit itu, seolah macam tak ada maruah.
وَلَا تَنْسَ نَصِيبَكَ مِنَ الدُّنْيَا
“..dan janganlah engkau melupakan bahagianmu
(keperluan dan bekalanmu) dari dunia..”
Islam sangat menyeimbangkan antara
keperluan dunia dan tuntutan Akhirat. Kita sepatutnya menjadikan dunia sebagai
tempat meraih Akhirat. Dengan bahasa mudahnya, dunia hanyalah alat untuk kita
dapatkan matlamat Akhirat. Ada orang dia meninggalkan keperluan dunia atas
alasan tak nak tertipu dengan dunia. Sehingga seakan-akan menjadi rahib, dan
tak pedulikan masyarakat. Tak boleh macam itu. Setiap perkara ada haknya, dan
kita wajib menunaikan setiap satu hak.
وَأَحْسِنْ كَمَا أَحْسَنَ اللَّهُ إِلَيْكَ ۖ
وَلَا تَبْغِ الْفَسَادَ فِي الْأَرْضِ
“..dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba
Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang
melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi..”
Dalam
ayat ini, kaum Qarun menasihatinya supaya berbuat baik kepada orang lain
seperti mana Allah telah berbuat baik padanya dengan cara mengurniakan harta
yang banyak dan melimpah ruah. Berbuat baik ini termasuklah sedekah kepada
orang ramai, mengeluarkan zakat, membantu sesiapa yang memerlukan, dan
sebagainya.
Kemudian,
dalam masa yang sama, kaum Qarun juga menasihatkan supaya jangan melakukan
kerosakan atas muka bumi. Melakukan kerosakan ini termasuklah tak membayar
zakat sebab di dalam zakat itu ada hak orang lain, menubuhkan pusat-pusat
maksiat seperti judi, bahkan sampai tahap memeras ugut orang miskin.
إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُفْسِدِينَ
“..sesungguhnya Allah tidak suka kepada
orang-orang yang berbuat kerosakan.”
Allah
sangat benci dengan orang yang suka berbuat kerosakan, bahkan Allah akan balas
keburukan itu. Sama ada balas di dunia ataupun Akhirat. Dalam kes Qarun, Allah
akan balas di dunia lagi. Di Akhirat sana lagilah dahsyat.
*****
![]() |
Dapatkan buku Bagaimana Menjadi Pemimpin karya Ir Lukman Al Hakim di semua rangkaian kedai buku di seluruh Malaysia. |
Ada beberapa pengajaran cantik yang terkandung
dalam ayat ini,
1. Dalam
kita mencari keperluan dunia, jangan sampai kita tertipu dan terpedaya
dengannya. Ramai orang yang apabila dikurniakan harta melimpah ruah, habis
terus gelap mata. Hilang pedoman hingga tahap menjadi tamak lagi dan lagi.
Sebab itu Rasulullah ﷺ pernah
beritahu,
“Seandainya seorang anak Adam
memiliki satu lembah emas, tentu ia menginginkan dua lembah lainnya, dan sama
sekai tidak akan memenuhi mulutnya (merasa puas) selain tanah (iaitu setelah
mati) dan Allah menerima taubat orang-orang yang bertaubat.”
(Muttafaqun ‘alaih.)
Kita tak
akan pernah puas dengan harta benda sampailah kita mati. Sebab itulah, sebagai
seorang Muslim, sentiasa rajinkan bersedekah, keluarkan zakat, bersifat qanaah
(mencukupi), selalu bantu orang lain, jangan membazir, uruskan kewangan dan
sebagainya. Amalan ini semua sedikit sebanyak akan berjaya menghakis sifat
bakhil, kedekut, tamak haloba dan sebagainya.
2. Dalam
kita mengejar Akhirat, jangan dilupakan tanggungjawab di dunia pula. Ada suami
yang rajin pergi kuliah agama, tetapi malas pergi kerja. Duit selalu minta
isteri memandangkan isterinya kerja. Ataupun yang pelajar aliran agama,
memandang golongan pelajar yang ambil aliran sains tulen atau sosial sebagai
‘dunia’ semata-mata. Sedangkan mereka lupa, untuk dapatkan dunia kena ada ilmu,
untuk dapatkan Akhirat kena ada ilmu, dan nak dapatkan kedua-duanya pun kena
ada ilmu. Ada orang yang bersemangat tak nak kahwin sebab kononnya nak fokus
beribadah. Malah nak berpuasa setiap hari tanpa berbuka. Sedangkan Rasulullah ﷺ yang
merupakan manusia paling bertaqwa, baginda juga berpuasa dan berbuka, dan
bernikah.
Sebab
itu, di saat mengejar matlamat Akhirat, jangan lupakan tanggungjawab dan
hak-hak yang wajib kita tunaikan di dunia. Hak suami isteri, hak seorang
Muslim, hak seorang anak, hak harta, hak tanggungjawab kerjaya, hak tubuh badan
dan sebagainya. Rasulullah ﷺ bersabda yang bermaksud,
“Sesungguhnya tubuhmu
punya hak atas dirimu.”
(Riwayat Muslim)
Kalau
kita abaikan tanggungjawab dan hak ini, silap haribulan, dunia tak dapat,
Akhirat melayang.
3. Setiap
Muslim kena berusaha untuk menjadi kaya raya. Tetapi tak cukup sekadar kaya,
kena menjadi orang kaya yang beriman. Ada orang diberikan nikmat harta, tetapi
lupa agama. Ada juga yang diberikan harta, tetapi dikongsi bersama. Ketahuilah,
sebaik-baik manusia adalah mereka yang bermanfaat untuk orang lain.
Wallahua’alam.
- Shukery Azizan
–
p/s: Tulisan ini
diambil daripada buku Pujukan Dari Tuhan karya Shukery Azizan. Boleh dapatkan
buku Pujukan Dari Tuhan sama ada di kedai-kedai buku POPULAR, MPH, SMO dan
lain-lain, atau boleh juga dapatkan secara online melalui isbirofficial.
Juzuk 20 : Meletakkan Akhirat Di Hati, Dunia Di Tangan
Reviewed by Tarbiah Sentap
on
23:23
Rating:

No comments:
Post a comment