Untuk juzuk kedua pula, kita
masih lagi di dalam surah al-Baqarah. Tetapi kali ini pada ayat yang ke 186.
Kita terus tadabbur ayat ini ya. Bismillah,
Wallahua’lam
Shukery Azizan
وَإِذا
سَأَلَكَ عِبادي عَنّي فَإِنّي قَريبٌ ۖ أُجيبُ دَعوَةَ الدّاعِ إِذا دَعانِ ۖ
فَليَستَجيبوا لي وَليُؤمِنوا بي لَعَلَّهُم يَرشُدونَ
“Dan
apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada
mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku
perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka
hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah
mereka beriman kepadaKu supaya mereka mendapat petunjuk.”
(Surah
al-Baqarah 2 :186)
Ini
antara ayat kegemaran saya. Setiap kali terdengar ayat ini, hati saya akan sentiasa
rasa terpujuk dan sayu. Apatah lagi terdengar saat saya sedang futur atau lemah
semangat. Disebabkan terlalu istimewa, untuk kali ini saja, saya akan cuba pergi
satu persatu kalimah di dalam ayat ini. Sebab apa? Sebab nak membuktikan kepada
awak yang betapa baiknya Allah pada kita semua. Allah sebut,
وَإِذا
سَأَلَكَ عِبادي عَنّي
“Dan
apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku..”
Hanya
dalam satu frasa saja dah sangat menarik. Allah mulakan ayat ini dengan kalimah
إِذا (idza) yang membawa maksud ‘apabila’. Allah tak
menggunakan kalimah إِن (inn) yang bermaksud ‘jika’. Apa bezanya?
Begini, saya cuba bagi analogi. Satu hari, ada seorang makcik terpaksa
melepaskan anaknya pergi berperang sebagai seorang askar. Tiada khabar berita
dan sebagainya. Kalau awak tanya tentang anaknya, agaknya makcik itu akan
cakap, “Apabila anak saya balik, saya akan gembira” ataupun dia jawab “Jika anak
saya balik, saya akan gembira”?
Dah
pasti dia akan cakap ‘apabila’. Sebab apa? Sebab makcik itu masih mengharapkan
yang anaknya akan pulang ke rumah. Tetapi kalau makcik itu cakap ‘jika’,
maksudnya makcik itu dah redha yang anaknya mungkin dah mati. Nampak tak
bezanya? Maknanya dalam ayat ini, Allah sangat mengharapkan hambaNya
akan bertanya tentang DiriNya. Allah mengharapkan kita semua bertanya tentang
diriNya.
Kemudian,
Allah teruskan lagi ayat dengan kalimah سَأَلَكَ (saalaka)
yang mana dalam kaedah bahasa Arab, ia adalah sejenis past tense. Dalam bahasa
Arab, past tense ataupun fi’il madhi adalah sesuatu yang dah berlalu, dan kebiasaannya
hanya sekali saja berlaku. Maknanya, apa Allah nak sampaikan dalam ayat ini
adalah, Allah mengharapkan kita bertanya tentang diriNya walaupun hanya
SEKALI sahaja. Ya, walaupun hanya sekali saja. Allah tak minta
berulang-ulang kali pun. Sekurangnya, sekali kita bertanya.
Selepas
itu, Allah gunakan pula kalimah عِبَادِي (‘ibaadee)
yang membawa maksud ‘HambaKu’. Menariknya kalimah ini, ada perkataan ي (ee)
yang membawa maksud ‘Aku’. Kita tahukan dalam al-Quran, kadang-kadang Allah
gunakan kata ganti diri ‘Dia’, ‘Kami’, ataupun ‘Allah, dan ‘Aku’. Bila masa Allah gunakan kalimah
‘Aku’? Kata Ustaz Nouman Ali Khan, iaitu ketika mana Allah menggambarkan
keadaan terlalu cinta, atau terlalu marah. Subhanallah. Maknanya, Allah
terlalu cintakan pada kita. Kemudian Allah sambung lagi,
فَإِنّي
قَريبٌ
“..sesungguhnya
Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka..”
Ada
satu kisah di sebalik ayat ini. Satu hari, ada seorang Arab Badwi bertanya kepada
Rasulullah ﷺ tentang Allah. Soalannya lebih kurang adakah
Allah ini dekat dengan kita? Ataupun jauh? Kalau Allah dekat, jadi kita hanya
berbisik saja ke? Atau kalau Allah jauh, jadi bila nak bercakap denganNya, kita
kena bercakap dengan kuat ke? Pertanyaan ini dijawab sendiri oleh Allah secara
khusus!
Allah
tak tambah kalimah قُلْ (qul) yang bermaksud katakanlah di dalam ayat
di atas. Kalau ada kalimah قُلْ, bermakna Allah hanya suruh Rasulullah ﷺ saja yang
jawab. Sebab ada masa, Allah suruh Rasulullah ﷺ yang
jawab. Tetapi kali ini, Allah sendiri jawab direct yang Allah sangat dan
selalu dekat. Subhanallah! Ini bermakna ianya lebih istimewa kerana Allah
sendiri nak beritahu yang Dia sangat dekat. Sangat dan sentiasa hampir dengan
kita.
Analoginya
macam ini. Satu hari kita nak bercakap dengan Sultan, tetapi dah pasti kena
melalui PA (personal assistant) baginda kan? Namun untuk kali itu, Sultan tak
nak guna pembantu peribadinya. Sultan sendiri yang nak bercakap dengan kita.
Rasa istimewa kan? Maha Suci Allah, ia lebih hebat daripada itu!
![]() |
Dapatkan buku Harapan Masih Ada karya Qamarul Nazrin
di rangkaian kedai buku seluruh Malaysia sekarang juga! |
Satu
lagi, kalimah قَريبٌ
bukan hanya dekat, tetapi ia juga bermaksud sentiasa dekat. Maknanya, Allah
sangat dan sentiasa dekat dengan kita. Allah Allah..
Kemudian
Allah sambung lagi,
أُجيبُ
دَعوَةَ الدّاعِ إِذا دَعانِ
“..Aku
perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu..”
Ayat ini
serius sangat memujuk kita. Allah gunakan kalimah أُجيبُ (ujibu) yang
bermaksud ‘menyahut/respon’. Dalam bahasa Arab, أُجيبُ
datang daripada perkataan أُجاب (aajaba). Dan satu lagi perkataan serupa
dengan makna menyahut adalah استجاب
(istajaaba). Apa beza dua-dua ini? أُجاب
bermaksud menyahut dengan segera/secepatnya, manakala استجاب pula
bermaksud akan ataupun cuba untuk menyahut tetapi ambil masa sedikit (delayed).
Maksudnya di sini, Allah dengan segera akan menyahut/perkenankan doa kita.
Subhanallah, sayangnya Allah pada kita.
Kemudian,
Allah guna pula kalimah دَعوَةَ (da’wata)
yang bermaksud sekali doa atau permintaan. Kalau seseorang yang dah selalu
berdoa, kita biasanya akan guna perkataan دعاء
(da’aa). Tetapi Allah guna kalimah دَعوَةَ,
bermaksud Allah meminta pada kita sekurang-kurangnya doalah walaupun hanya
sekali saja. Allahu Rabbi.
Seterusnya,
Allah menggunakan kalimah الدّاعِ (addaa’i)
membawa makna orang yang berdoa ataupun seorang pendoa. Sesiapa saja yang
berdoa. Tidak semestinya orang yang berdoa itu alim, ahli ibadat, orang yang
selalu solat, ahli masjid. Sesiapa pun, walaupun orang itu tak pernah solat,
selalu berzina, selalu minum arak, dan sebagainya. Ya, sesiapa sahaja yang berdoa.
Dan
menariknya, Allah menggunakan ال yang membawa maksud secara khusus/spesifik.
Maknanya, Allah tahu dan kenal sesiapa saja yang berdoa kepadaNya secara
khusus dan spesifik. Kalau awak hanya baru sekali saja berdoa seumur hidup,
Allah tahu tentang awak secara khusus, dan ia menunjukkan yang awak sangat
istimewa. Ibarat macam seorang Sultan yang kenal awak secara peribadi dan
khusus. Di dunia ini, ramai manusia yang tak berdoa dengan Allah. Tetapi mereka
yang berdoa terus kepada Allah adalah golongan yang sangat istimewa.
Dan satu
lagi bahagian menarik tentang bahagian ayat ini, adalah pada إِذا
دَعانِ (idza da’aan) yang maknanya apabila dia
berdoa. Ada orang tanya, sebenarnya bila waktu doa yang paling terbaik? Kalau
awak nak tahu, Allah dah jawab pun dalam ayat ini, iaitu إِذا,
yang bermaksud bila-bila saja! Bila-bila saja kita berdoa padaNya, tak ada had
masa. ‘Apabila’ kita berdoa sahaja pada bila-bila masa di mana jua, Allah
akan segera menyahut doa kita. Tak perlu melalui proses atau majlis
pelik-pelik, sebab Allah akan segera mendengar doa kita bila-bila saja, sama
ada pagi, petang, malam, tengah malam, atau sebagainya. Kemudian Allah
menyambung lagi,
فَلْيَسْتَجِيبُوا
لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي
“..Maka
hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah
mereka beriman kepadaKu..”
Ini
adalah bahagian yang paling saya sayu sangat. Sehingga saat saya tulis ini, nak
bergenang air mata. Betapa baiknya Allah pada kita. Pada ayat ini, Allah menggunakan
kalimah فَلْيَسْتَجِيبُوا (falyastajeebuu)
yang bermaksud ‘Maka hendaklah mereka menyahut seruanku’. Ingat lagi tak, tadi
saya ada sebut perbezaan antara أُجاب dan استجاب ? فَلْيَسْتَجِيبُوا
datang daripada kalimah استجاب yang
bermaksud akan atau cuba untuk menyahut tetapi ambil masa. Maknanya, Allah nak beritahu
pada kita bahawa, sekurang-kurangnya, sahutlah seruan Allah untuk taat
perintah Allah dan jauhi larangan Allah semampu yang kita mungkin walaupun
lambat. Allahu Akhbar!
Apabila
Allah mendengar permintaan kita, Allah akan segera menjawab semua doa kita
walaupun hanya sekali saja kita pernah minta. Tetapi Allah tawarkan pada kita
pula, sekurang-kurangnya taatlah perintah Allah semampu mungkin. Walaupun
bertangguh-tangguh dalam menunaikan ibadah pada Allah. Tetapi sekurangnya,
buatlah. Allah.. Maha Baiknya Allah! Kemudian Allah suruh kita yakin bahawa
Allahlah sahaja yang boleh memperkenankan doa kita. Ayat ini juga bermaksud,
hendaklah mereka yakin bahawa Allah telah mendengar doa mereka. Allah nak kita
beriman padaNya sungguh-sungguh dan meyakini hanya Allah saja yang Maha Mendengar
doa dan mengabulkan doa.
بي
لَعَلَّهُم يَرشُدونَ
“..supaya
mereka mendapat petunjuk.”
Apa beza
‘hidayah’ dan رشد (rusyd) macam ayat di atas? Kedua-duanya
ada ‘petunjuk’ di dalamnya. Ada ulama mengatakan رشد
bermaksud ‘mengamalkan’ hidayah yang telah diterima itu. Dapat petunjuk dan
terus mengamalkannya. Sebab kadang-kadang, kita dah tahu apa yang kena buat, tetapi
kita tak amalkan. Ataupun kita buat sedikit dan sekejap sahaja. Itu bukanlah
‘rusyd’. Jadi, kita boleh faham bahawa رشد ini
adalah istiqamah dalam beramal kebaikan. Sebab itu, berdasarkan ayat ini, kalau
kita beriman dan taat kepada Allah, itu adalah jalan untuk mendapat petunjuk.
*****
![]() |
Dapatkan buku Bagaimana Menjadi Pemimpin karya Ir Lukman Al-Hakim di rangkaian kedai buku seluruh Malaysia. |
Pengajaran besar daripada ayat ini termasuklah,
1. Saya
tahu, mungkin awak akan mengalami sedikit kepeningan dengan istilah atau
kalimah Arab dan juga sebahagian istilah teknikal di atas. Sebenarnya saya tak
nak letak, tetapi saya tetap juga letak sebab nak tunjukkan kepada awak betapa
baik dan sayangnya Allah kepada kita. Berdasarkan ayat ini, saya buat sedikit perbandingan
supaya awak jelas tentang apa yang Allah tawarkan kepada kita, dan apa
yang Allah minta daripada kita.
Apa yang Allah tawarkan kepada kita:
a) Allah sangat mengharap yang kita akan berdoa
kepadaNya walaupun SEKALI sahaja.
b) Allah gunakan kata ganti diri ‘Aku’
menunjukkan Allah sangat cintakan kita.
c) Allah menjawab secara terus bahawa Allah ini
sangat dan sentiasa dekat.
d) Allah menyahut doa kita secepat/sesegera
mungkin walaupun kita hanya doa SEKALI sahaja.
e) Allah tak kisah pun sesiapa yang berdoa
kepadaNya walaupun mereka pendosa.
f) Allah kenal kita secara khusus dan spesifik
walaupun kita hanya pernah sekali saja berdoa.
g) Allah menyahut doa kita bila-bila masa saja
selagi mana kita nak berdoa.
h) Allah tawarkan rusyd ataupun petunjuk supaya
kita dapat amalkan perintahNya.
Apa yang Allah minta daripada kita :
a) Berdoa kepada Allah walaupun sekali saja
seumur hidup dan bila-bila masa saja.
b) Menyahut dan melaksanakan perintah Allah
walaupun berlengah-lengah ataupun lambat sekalipun.
c) Beriman iaitu meyakini sungguh-sungguh tanpa
berbelah bagi dan tanpa banyak soal yang Allah pasti dan pasti akan kabulkan
doa kita.
Nampak?
Subhanallah! Allahu Akhbar. Nikmat Tuhanmu yang manakah hendak kita dustakan
lagi? Terlalu dahsyat Allah memujuk kita dalam ayat ini. Terlalu dahsyat.
Sangat luar biasa. Kalau awak tak rasa terpujuk, saya pun tak tahu nak kata
apa.
2. Ketahuilah,
bahawa Allah sentiasa dan selalu dekat dengan kita. SENTIASA walaupun kita
rasa seperti sudah jauh daripada Allah. Allah tak pernah menjauhi kita.
Rasulullah ﷺ pernah bersabda yang mana Allah berfirman yang
bermaksud,
"Aku
menurut sangkaan hambaKu kepadaKu, dan Aku bersamanya apabila ia ingat
kepadaKu. Jika ia ingat kepadaKu dalam dirinya maka Aku mengingatnya dalam
diriKu. Jika ia ingat kepadaKu dalam kelompok orang-orang yang lebih baik
daripada kelompok mereka. Jika ia mendekat kepadaKu sejengkal maka Aku mendekat
kepadanya sehasta. jika ia mendekat kepadaKu sehasta maka Aku mendekat
kepadanya sedepa. Jika ia datang kepadaKu dengan berjalan maka Aku datang
kepadanya dengan berlari-lari kecil.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Janganlah
putus asa dengan Allah. Usahalah untuk kembali pada Allah walaupun terpaksa
merangkak-rangkak. Saya pun pendosa macam awak, bahkan mungkin lagi banyak
dosa. Cuma, janganlah putus asa. Allah cintakan kita. Allah sayangkan kita.
Allah sentiasa berikan peluang lagi dan lagi kepada kita. Janganlah rasa jauh,
sebab Allah tak pernah jauh.
3. Berdoalah
kepada Allah dan mintalah apa saja yang kita nak. Jangan malu nak minta kepada
Allah. Ada orang yang malu hendak minta Syurga sebab rasa mereka banyak dosa
dan tak layak masuk Syurga. Jangan macam tu, kita kena minta masuk Syurga. Dan
kena minta masuk Syurga yang paling tinggi sekali iaitu Syurga Firdaus.
4. Dan
terakhir, ramai yang bila disuruh berdoa, mereka jawab,
“Dah doa
dah sebelum ni, tapi tak dapat lagi.”
Teman, kita
kena ingat doa kepada Allah ni bukan macam order KFC drive thru. Baru saja
order, tak lama kemudian dah sampai. Bukan macam ni, dan jangan salah faham.
Allah Maha Tahu apa yang kita perlukan dan akan beri mengikut keperluan. Bukan
ikut apa yang kita nak, sebab kadang-kadang, kita pun tak tahu apa yang kita
nak sebenarnya.
Kita
kena percaya dan yakin sepenuhnya kepada Allah yang Dia akan memberi yang
terbaik untuk kita. Itulah sebabnya dalam ayat ini, Allah suruh kita ‘beriman
kepadaNya’. Maksudnya, kita kena percaya dan yakin sungguh bahawa Allah dengar
doa kita, dan akan memberikan apa yang kita perlu. Sebab tu, jangan segan nak
berdoa, dan jangan putus asa. Kalau boleh, berdoalah lagi dan lagi. Allah pasti
akan mendengar doa kita dan kabulkan permintaan kita melalui 3 cara,
a) Allah akan beri apa yang kita nak semasa di
dunia lagi. Cuma lambat atau cepat saja
b) Allah beri selain dari apa yang kita nak,
iaitu Allah beri apa yang kita perlukan.
c) Allah tak beri di dunia, tetapi Allah akan
balas di Akhirat nanti.
Moga kita diberi kekuatan untuk sentiasa berdoa
pada Allah. Ameen.
Wallahua’lam
Shukery Azizan
P/s : Tulisan ini diambil daripada buku Pujukan Dari Tuhan karya Shukery Azizan. Boleh dapatkan buku Pujukan Dari Tuhan sama ada di kedai-kedai buku POPULAR, MPH, SMO dan lain-lain atau secara online melalu isbirofficial.
Juzuk 2 : Allah Tak Pernah Jauh Dari Kita
Reviewed by Tarbiah Sentap
on
15:15
Rating:

No comments:
Post a comment