Untuk juzuk yang ke-19 ini, insyaAllah
kita akan pilih surah Al-Furqan. Surah yang mungkin ramai biasa pernah dengar. Surah al-Furqan
ini adalah kategori surah Makiyyah. Ulama ada membahagikan surah-surah Makiyyah
kepada tiga bahagian: Peringkat awal, pertengahan dan akhir. Dan Surah Furqan
ini diturunkan di peringkat pertengahan Makiyyah. Maknanya,
surah ini turun selepas beberapa tahun baginda berdakwah secara terbuka tetapi
belum lagi berhijrah ke Madinah.
Nama “al-Furqan” ini diambil berdasarkan ayat
pertama surah ini. Al-Furqan maksudnya “pembeza” sebab dalam surah ini banyak
dijelaskan tentang perbezaan antara yang benar dan salah, yang halal dan haram,
yang haq dan batil, ketauhidan dan kemusyrikan, kenikmatan Syurga dan seksaan
api Neraka, perbezaan sahabat yang baik dan jahat, perbezaan antara kehidupan
dan kematian, dan perbezaan antara Allah dan makhluk-Nya. Untuk info, saidina
Umar al-Khattab juga diberi gelaran al-Furqan iaitu pemisah antara haq dan
batil sebab tegasnya Umar dalam hal ehwal Islam. Jadi kali ini, insyaAllah kita
akan tadabbur mengenai ayat yang berkaitan SAHABAT
BAIK. Allah berfirman di dalam surah al Furqan pada ayat 27-30, Bismillah..
وَيَوْمَ يَعَضُّ الظَّالِمُ
عَلَىٰ يَدَيْهِ يَقُولُ يَا لَيْتَنِي اتَّخَذْتُ مَعَ الرَّسُولِ سَبِيلًا
"Dan (ingatlah) hari
orang-orang yang zalim menggigit kedua-dua tangannya (marahkan dirinya sendiri)
sambil berkata: "Alangkah baiknya kalau aku (di dunia dahulu) mengambil
jalan yang benar bersama-sama Rasul?.." (27)
يَا وَيْلَتَىٰ لَيْتَنِي لَمْ
أَتَّخِذْ فُلَانًا خَلِيلًا
"Wahai celakanya aku,
alangkah baiknya kalau aku tidak mengambil si fulan itu menjadi sahabat
karib!" (28)
لَقَدْ أَضَلَّنِي عَنِ الذِّكْرِ
بَعْدَ إِذْ جَاءَنِي ۗ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِلْإِنْسَانِ خَذُولًا
"Sesungguhnya dia telah
menyesatkan daku dari jalan peringatan (Al-Quran) setelah ia disampaikan
kepadaku. Dan adalah Syaitan itu sentiasa mengecewakan manusia (yang menjadikan
dia sahabat karibnya)". (29)
وَقَالَ الرَّسُولُ يَا رَبِّ
إِنَّ قَوْمِي اتَّخَذُوا هَٰذَا الْقُرْآنَ مَهْجُورًا
Dan berkatalah Rasul: "Wahai
Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Quran ini sesuatu (perlembagaan)
yang ditinggalkan (tidak dipakai)". (30)
(Surah al Furqan 25 : 27-30)
Keempat-empat ayat ini dengan
jelas memberitahu tentang kepentingan memilih kawan atau sahabat yang baik. Kita
tengok satu persatu. Dalam ayat ke-27, Allah menyebut,
وَيَوْمَ يَعَضُّ الظَّالِمُ
عَلَىٰ يَدَيْهِ
"Dan (ingatlah) hari
orang-orang yang zalim menggigit kedua-dua tangannya (marahkan dirinya
sendiri).."
Ayat ini dimulakan dengan menggambarkan
kepada kita betapa dahsyatnya penyesalan sebahagian manusia di Akhirat nanti. Kenapa
gigit tangan? Kalau di dunia, secara psikologi, kebiasaan seseorang yang
mengalami keadaan tertekan, gelisah, risau, cemas, takut, dan seumpamanya, akan
secara spontan menggigit kuku ataupun jarinya secara tanpa sedar (subconscious
action). Contohnya seorang pelajar yang masuk dalam dewan peperiksaan. Semasa
nak menjawab kertas untuk subjek yang paling susah, cuba perhatikan rakan
sekeliling yang tak boleh nak menjawab. Ada sebahagiannya yang secara spontan
(tak sedar) tergigit kukunya. Mungkin menyesal sebab tak study sebelum tu.
Begitulah
analoginya bagaimana Allah menggambarkan suasana orang yang zalim di Akhirat
nanti. Mereka tahu apa yang telah mereka buat di dunia, dan nampak di depan mata
ada suatu azab yang sangat pedih. Mungkin sebab itu juga, mereka bukan setakat menggigit
jari, bahkan terus gigit tangan. Punyalah takut, menyesal, gelisah dan
seumpamanya. Kemudian Allah sambung lagi,
يَقُولُ يَا لَيْتَنِي اتَّخَذْتُ
مَعَ الرَّسُولِ سَبِيلًا
“..sambil berkata: "Alangkah
baiknya kalau aku (di dunia dahulu) mengambil jalan yang benar bersama-sama
Rasul?..” (27)
Dalam ayat ni pula, Allah merakamkan
dialog keluhan orang yang zalim ini. Mereka menyatakan rasa menyesal sebab tidak
mengikut jalan yang benar bersama Rasulullah ﷺ. Kalau kita memahami ayat ini,
mereka mengeluh bukan sebab tidak mempercayai Rasulullah ﷺ, tetapi mereka sendiri TAK NAK
AMBIL jalan Rasulullah ﷺ. Dengan kata mudah, mereka sendiri
menolak kebenaran Rasulullah ﷺ.
![]() |
Dapatkan novel Kau Bukan Adiratna karya Najmi Fetih di semua rangkaian kedai buku di seluruh Malaysia. |
Daripada
sudut lain pula, ada mufassirin menyebut, orang yang zalim ini percaya
Rasulullah ﷺ, percaya bahawa baginda ini pesuruh Allah,
bahkan mungkin mengaku sayang kepada Rasulullah. TETAPI, mereka abaikan
sunnah dan petunjuk Rasulullah ﷺ serta tidak mengambil sirah perjalanan hidup Rasulullah ﷺ sebagai cara hidup mereka.
Mereka rasa menyesal. Bahkan, bukan setakat menyesal saja, mereka juga menyalahkan
KAWAN-KAWAN mereka! Fuh. Allah sebut,
يَا وَيْلَتَىٰ لَيْتَنِي لَمْ
أَتَّخِذْ فُلَانًا خَلِيلًا
"Wahai celakanya aku,
alangkah baiknya kalau aku tidak mengambil si fulan itu menjadi sahabat
karib!" (28)
Dalam ayat ni, Allah merakamkan
perbualan mereka dengan menggunakan kalimah فُلَانًا (fulanan) yang membawa
maksud seseorang atau kawan yang mereka langsung TAK ingat siapa. Ibaratnya seperti,
mereka ini mengeluh,
“Arghh.. Siapa ya roomate aku
yang ajak sama-sama tengok marathon movie sampai terlajak subuh?”
Kemudian Allah rakamkan lagi keluhan
mereka,
لَقَدْ أَضَلَّنِي عَنِ الذِّكْرِ
بَعْدَ إِذْ جَاءَنِي
"Sesungguhnya dia telah
menyesatkan daku dari jalan peringatan (Al-Quran) setelah ia disampaikan
kepadaku..."
Ayat ini menguatkan lagi
kenyataan pada ayat yang ke 27 tadi. Yang mana sebenarnya sebelum ini sudah ada
pun orang lain yang menasihati mereka. Tetapi mereka mungkin ego, sombong
ataupun melengah-lengahkan taubatnya. Ibaratnya, dah ada orang lain yang
nasihatkan mereka jangan merokok, jangan ponteng solat, jaga aurat dengan
sempurna, jangan menonton drama atau cerita yang ada unsur haram, jangan
bercouple, dan sebagainya. Tetapi apa mereka buat? Adakah mereka mengikut
nasihat itu?
Mereka TAK peduli pun. Ataupun
mungkin mereka bertangguh-tangguh untuk bertaubat. Bahkan, mereka lebih suka
untuk memilih atau mengikuti kawan-kawan lain yang mengajak berbuat maksiat. Kemudian
Allah tambah lagi,
وَكَانَ الشَّيْطَانُ
لِلْإِنْسَانِ خَذُولًا
"...Dan adalah Syaitan itu
sentiasa mengecewakan manusia (yang menjadikan dia sahabat karibnya)".
(29)
Dalam ayat ini, Allah menggunakan
kalimah خَذُول (khodzul). Kenapa dengan kalimah ni? Saya berikan contoh mudah.
Dalam konteks sesama manusia, ibaratnya seperti, kita ada seorang kawan baik
yang namanya Siti Colgate. Semasa senang, Siti selalu mengajak kita melakukan
maksiat seperti berjudi, pergi kelab malam, ponteng solat, mengumpat, mencarut,
dan sebagainya. Tetapi masa susah, seperti tiada duit, sakit, kena tangkap
polis dan sebagainya, Siti Colgate terus meninggalkan kita terkapai-kapai
seorang diri. Dia langsung tak peduli pun keadaan kita. Lalu, kita pun rasa
menyesal sebab berkawan baik dengannya.
Sama juga seperti Syaitan. Mereka
akan menggoda dan terus menggoda sampai kita sesat dan akhirnya dicampakkan ke
dalam Neraka. Selepas itu, Syaitan akan membiarkan kita seorang diri dibakar di
situ. Allah...
Pada ayat seterusnya, Allah menyambung
lagi, masa itu juga, saat orang-orang zalim ini sedang menyesal dan merasa
sedih sebab tak ikut sunnah Rasulullah ﷺ, memilih kawan yang jahat serta tak nak dengar nasihat,
sebahagian mufassirin menyebut, tiba-tiba mereka ternampak akan Rasulullah ﷺ datang kepada mereka.
Fuh.. Mereka punyalah rasa
gembira sebab menyangkakan bahawa Rasulullah ﷺ datang untuk memberi syafaat, doa
untuk mereka, atau sebagainya. Namun pula yang sebaliknya berlaku. Rasulullah ﷺ mengadu kepada Allah,
وَقَالَ الرَّسُولُ يَا رَبِّ
إِنَّ قَوْمِي اتَّخَذُوا هَٰذَا الْقُرْآنَ مَهْجُورًا
“Dan berkatalah Rasul:
"Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Quran ini sesuatu (perlembagaan)
yang ditinggalkan (tidak dipakai)”. (30)
Kalimah مَهجور
datang daripada kalimah ه ج ر yang biasa digunakan untuk ‘hijrah’.
Biasanya, apabila seseorang itu berhijrah, dia akan pergi meninggalkan tempat
asalnya. Begitulah juga dengan orang yang meninggalkan al-Quran, mereka telah tinggalkan
dan langsung tak gunakan lagi al-Quran sebagai perlembagaan hidupnya. Mereka
langsung buat tak kisah dengan apa yang terkandung di dalam al-Quran ini. Dalam bahasa mudah, mereka ini hanyalah Islam pada
keturunan, kad pengenalan ataupun nama, tetapi LANGSUNG tak amalkan Islam dalam
kehidupan. Naudzubillah..
*****
![]() |
Dapatkan buku Sujud Yang Terakhir karya Aizuddin Hamid di semua rangkaian kedai buku di seluruh Malaysia. |
Kalau satu ayat pun sudah ada
banyak pengajaran, apatah lagi 4 ayat sekaligus. Disebabkan ini hanyalah buku
tadabbur, jadi saya hanya nak sebutkan beberapa poin penting yang sangat
signifikan dalam hidup kita,
1. Kena ingat sungguh-sungguh bahawa, sangat tak cukup hanya
sekadar melaungkan rasa cinta pada Rasulullah ﷺ, rindu pada baginda, teringin
nak jumpa baginda dan sebagainya, tetapi dalam masa yang, kita selalu mengabaikan
perintah dan larangan Rasulullah ﷺ! Ataupun mungkin, kita hanya ambil Islam separuh, tetapi meninggalkan
separuh. Contohnya, bernikah nak ikut cara Nabi, tetapi bercinta ikut cara
orang kafir. Beribadah nak ikut cara Nabi, tetapi berhibur nak ikut cara orang
kafir. Kenapa jadi macam ini?
Kita
kata rindukan Rasulullah ﷺ, tetapi sirah Rasulullah ﷺ pun tak habis baca. Mengharapkan
sekadar membaca apa yang tertulis di dalam buku teks pendidikan Islam ataupun
buku teks sejarah tingkatan 4 pada bab yang ke-4. Itupun baca sekadar nak
menjawab peperiksaan saja. Bila kali terakhir kita membaca sirah Rasulullah ﷺ dengan terperinci? Tak kisah siapa
pun penulisnya, ataupun terbitan mana-mana pun. Kita membaca sirah daripada
sebelum kelahiran Rasulullah ﷺ, sehinggalah baginda wafat.
Bila? Macam mana kita boleh mengaku
rindu sedangkan sirah Nabi pun malas nak baca ataupun dengar? Padahal itulah
bahan bacaan paling penting setelah al-Quran dan hadis. Jadi, apakah bukti kerinduan
kita kepada Rasulullah ﷺ?
Kalau
benar kita teringin nak berjumpa Rasulullah ﷺ, berapa banyak kali kita telah
berselawat ke atas Rasulullah ﷺ? Sedangkan Allah dan malaikatnya sendiri sentiasa berselawat ke
atas Rasulullah ﷺ, kenapa kita pula susah sangat
nak berselawat ke atas baginda? Adakah cukup sekadar mengucapkan selawat dan
salam kepada baginda hanya apa yang ada di dalam solat? Muhasabah untuk diri
saya juga.
2. Teman, jika datang kepada kita seorang yang menasihatkan
ataupun mengajak kepada kebaikan, usahalah untuk mengikuti dia!
“Ikutilah orang yang tiada minta balasan
kepadamu; dan mereka adalah orang-orang yang mendapat petunjuk.”
(Yasin 36 : 21)
Orang yang selalu mengajak kita
kepada kebaikan seperti usrah, program tarbiah, solat berjemaah, kelas agama,
dan sebagainya, mereka tak mengharapkan apa-apa ganjaran material ataupun duit
daripada kita. Mereka hanya nakkan pahala sahaja. Contohnya golongan tabligh
yang ketuk pintu ke pintu, mengajak orang pergi solat berjemaah. Adakah mereka
nak duit kita? Adakah mereka nak tinggal di dalam rumah kita? Adakah mereka nak
jadi rekrut jadi ahli MLM?
Tidak!
Mereka
cuma nak ajak kita untuk jadi soleh (baik), dan musleh (menyampaikan kebaikan).
Tetapi sayangnya, apabila nampak golongan tabligh datang ke rumah, ada
sebahagian daripada kita yang sanggup mengunci pintu, buat-buat tak ada orang
dalam bilik/rumah. Kemudian rasa lega apabila orang tabligh (karkun) sudah
pergi. Sedangkan kita tahu yang mereka cuma nak ajak pergi solat berjemaah di
surau, dan nak memberikan sedikit perkongsian yang tak sampai 5 hingga 10 minit
pun. Kenapa?
Tetapi
apabila ada seseorang mengajak kita menonton wayang, pergi jalan-jalan buang
masa, menonton drama, main games, ajak berdating, dan sebagainya, tanpa
berlengah dan fikir panjang, terus ikut sama. Kenapa? Kita tak takut menyesal
ke?
![]() |
Dapatkan buku Kerana Aku Sayang karya Aniq Muhaimin di semua rangkaian kedai buku di seluruh Malaysia. |
3. Kita kena pandai-pandailah pilih sahabat yang baik.
Bukan semua orang kita boleh bersahabat dengannya. Kalau setakat kenalan
biasa-biasa tak ada masalah, tetapi untuk dijadikan sahabat, memang kena buat tapisan.
‘Sahabat’ yang saya maksudkan
adalah seseorang yang kita rapat dengannya secara mendalam, selalu ada bersama
ketika senang dan susah, banyak kali mendengar pendapat dan pandangannya, serta
kita boleh terpengaruh dengannya. Memilih sahabat memang perkara yang sangat ditekankan
oleh Rasulullah ﷺ sendiri. Rasulullah ﷺ bersabda yang bermaksud,
“Seseorang itu bergantung pada agama sahabatnya. Oleh itu, salah
satu di antara kalian hendaknya memperhatikan siapa yang dia jadikan sahabat.”
(Riwayat Abu Daud dan Tirmidzi)
Syeikh ‘Abdul Muhsin Al-Qasim kata,
“Sifat manusia adalah cepat terpengaruh dengan teman pergaulannya.
Manusia saja boleh terpengaruh bahkan dengan seekor binatang ternak.” Dan satu
lagi, jangan jadikan orang yang jahat, teruk, ahli maksiat sebagai sahabat.
Jangan. Habis, takkan nak biarkan mereka berterusan buat maksiat, dan kita nak
masuk Syurga seorang diri?
Teman,
ingat ayat di bawah ini betul-betul. Kalau nak tampal di dinding pun tak apa.
“Orang yang BAIK adalah untuk kita
BERSAHABAT dengannya. Orang yang JAHAT pula adalah untuk kita DAKWAH kepadanya.
Apabila bersahabat, kita akan mudah TERPENGARUH. Tetapi apabila berdakwah, kita
akan mudah MEMPENGARUH.”
4. Dan yang terakhir, berusahalah untuk amalkan apa yang ada
di dalam al-Quran dengan sebaik mungkin. Bayangkan,
Rasulullah ﷺ sendiri akan mengadu kepada Allah yang umat
baginda telah meninggalkan al-Quran. Jangan sampai
kita termasuk dalam golongan yang disebutkan Rasulullah ﷺ sebagai kaum yang menjadikan
al-Quran sebagai sesuatu yang ditinggalkan. Alangkah
malunya, dan alangkah takutnya kalau itu terjadi kepada kita. Mana nak letak
muka?
Ayat ini sangat mengajar kita betapa pentingnya
al-Quran untuk kita baca, hayati (tadabbur), fahami dan amalkan di dalam
kehidupan. Tetapi, macam mana kita nak faham dan amalkan kalau
kita sendiri tak mempelajari tafsir al-Quran? Sebabnya, kalau setakat membaca
dan menghafal sahaja tak cukup. Ramai daripada kalangan masyarakat kita
menumpukan untuk membaca dan menghafal al-Quran. Itu bagus alhamdulillah,
tetapi tak cukup. Kerana kita baca dan hafal sebenarnya untuk lebih memahami dan
selalu ulang-ulang peringatan dalam al-Quran itu.
Tapi kalau kita sendiri tak memahami apa yang
dibaca dan yang diajarkan di dalam al-Quran, adakah tercapai maksud al-Quran
itu? Dan kerana tak faham, maka banyak perintah Allah yang kita langgar tanpa sedar.
Sebab ramai orang tak tahu pun apa yang mereka baca. Contoh kalau pelajar
sekolah, hanya baca surah Yaasin atau al-Kahfi pada hari Jumaat, tetapi tak
faham apa pun pengajaran dan tujuan kedua-dua surah itu. Dapat pahala
insyaAllah, faham belum tentu lagi. Sayangnya, ramai yang membaca sahaja tanpa usaha
untuk memahami. Dan tak ada usaha untuk belajar tafsir al-Quran. Ini juga boleh
termasuk dalam maksud ‘meninggalkan’, ‘tidak acuh’. Cuma dibaca kosong sahaja,
semasa majlis tertentu sahaja, tetapi tak faham apa-apa pun. Rasulullah ﷺ sebut,
“Sesiapa yang Allah hendakkan kebaikan
kepadanya, Allah akan berikan kepadanya kefahaman ad-deen (agama).”
(Riwayat al-Bukhari)
Kita janganlah jadi begitu. Sebab itu saya
ambil alternatif untuk menulis buku Pujukan Dari Tuhan ini, dengan tujuan utama
supaya kita ada rasa terdetik untuk mempelajari tafsir al-Quran. Saya menulis
tadabbur al-Quran ini juga untuk menimbulkan sedikit rasa cinta untuk
memahaminya dan berusaha untuk belajar al-Quran. Dan bukan setakat itu saja,
malah berusaha untuk berdakwah kepada orang lain supaya masyarakat Malaysia pun
teringin untuk tahu apakah yang hendak disampaikan oleh al-Quran. Kalau tak
tahu nak cakap apa pun, sekurang-kurangnya boleh bacakan buku ini dalam program
tazkirah, usrah ataupun sedekah kepada orang ramai, supaya mereka boleh dapat
apa yang saya tulis.
Jadi, daripada ayat ini menunjukkan betapa
pentingnya al-Quran kepada kita. Sebab itu juga, kita kenalah belajar tafsir
al-Quran supaya memahami kehendak al-Quran ini dan kemudian boleh
menyebarkannya kepada masyarakat. Belajarlah tafsir al-Quran walaupun bukan
untuk menjadi ustaz ustazah pun, tetapi cukup untuk kita semakin cinta pada
Allah dan Rasulullah ﷺ. Jadi, salah satu cara praktikal yang saya
boleh cadangkan adalah, jom kita buat kempen untuk membiasakan bercerita
tentang al-Quran ini di mana-mana saja. Supaya kita, ahli keluarga dan
kawan-kawan serta masyarakat tidak termasuk di dalam golongan yang dikatakan
oleh Rasulullah ﷺ di dalam ayat ini. Ameen.
Wallahua’lam
- Shukery Azizan
–
p/s: Tulisan ini
diambil daripada buku Pujukan Dari Tuhan karya Shukery Azizan. Boleh dapatkan
buku Pujukan Dari Tuhan sama ada di kedai-kedai buku POPULAR, MPH, SMO dan
lain-lain, atau boleh juga dapatkan secara online melalui isbirofficial.
Juzuk 19 : Pilihlah Sahabat Yang Betul
Reviewed by Tarbiah Sentap
on
23:23
Rating:

No comments:
Post a comment