Untuk juzuk yang
ke-18 kali ini, kita akan pilih surah Al-Mukminun, salah satu surah yang
penting dan amat istimewa sangat. Sebab apa istimewa? Salah satunya kerana 11
ayat pertama dalam surah ini. Dan 11 ayat inilah yang kita akan tadabbur untuk
juzuk kali ini, insyaAllah. Tetapi sebelum tu, kita lalui sekali imbas latar
belakang surah ini dulu. Surah al-Mukminun adalah surah yang ke-23, dan dalam
kategori Makiyyah. Dinamakan surah al-Mukminun sebab permulaan ayat ini saja
dah membahaskan tentang sifat-sifat orang mukmin. Ini adalah surah untuk orang
beriman, sebab ia berkaitan tentang iman tu sendiri, dengan segala
permasalahan, tanda-tanda dan sifat-sifatnya. Dengan kata mudah, iman adalah
tema utama surah ini.
Apa pun, jom kita mulakan eksplorasi
tadabbur ayat ini. Bismillah.
قَدْ
أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ (1) الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ (2)
وَالَّذِينَ هُمْ عَنِ اللَّغْوِ مُعْرِضُونَ (3) وَالَّذِينَ هُمْ لِلزَّكَاةِ
فَاعِلُونَ (4) وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ (5) إِلَّا عَلَى
أَزْوَاجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ (6)
فَمَنِ ابْتَغَى وَرَاءَ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمُ الْعَادُونَ (7) وَالَّذِينَ
هُمْ لِأَمَانَاتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَاعُونَ (8) وَالَّذِينَ هُمْ عَلَى
صَلَوَاتِهِمْ يُحَافِظُونَ (9) أُولَئِكَ هُمُ الْوَارِثُونَ (10) الَّذِينَ
يَرِثُونَ الْفِرْدَوْسَ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ (11)
Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang
beriman (1) (iaitu) orang-orang yang khusyuk dalam solatnya (2) dan orang-orang
yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna (3) dan
orang-orang yang menunaikan zakat (4) dan orang-orang yang menjaga kemaluannya
(5) kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau hamba yang mereka miliki; maka
sesungguhnya mereka dalam hal ini tiada tercela.(6) Sesiapa yang mencari di
balik itu, maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas.(7) Dan
orang-orang yang memelihara amanat-amanat (yang dipikulnya) dan janjinya, (8)
dan orang-orang yang memelihara solatnya. (9) Mereka itulah orang-orang yang
akan mewarisi, (10) (iaitu) yang akan mewarisi Syurga Firdaus. Mereka kekal di
dalamnya.(11)
(Surah al-Mukminun 23:1-11)
Surah ini dimulakan dengan premis bahawa
orang-orang beriman itu adalah golongan yang berjaya dan beruntung walaupun
belum masuk Syurga lagi. Allah berfirman,
قَدْ أَفْلَحَ
الْمُؤْمِنُونَ
“Sesungguhnya
beruntunglah orang-orang yang beriman.”
Ayat ini dimulakan dengan kalimah قَدْ (qod) yang
membawa makna ‘sesungguhnya’ dalam bentuk penegasan. Ini adalah penegasan
daripada Allah bahawa orang beriman adalah mereka yang paling beruntung dan
berjaya. Kemudian Allah menggunakan kalimah أَفْلَحَ (aflaha)
yang membawa maksud berjaya setelah berusaha. Ia juga adalah gambaran bahawa
orang beriman itu bahagia di dunia dan di akhirat. Mereka tak pernah kecewa dan
berputus asa semasa hidup di dunia sehinggalah bertemu dengan Allah di Akhirat.
Dan satu lagi yang menarik tentang ayat pertama ini adalah, Allah menggunakan
kalimah الْمُؤْمِنُونَ
sedangkan di dalam al-Quran, banyak kali digunakan kalimah الَّذِينَ
آمَنُواْ. Apa perbezaan kedua-dua kalimah ini?
Sedangkan terjemahannya sama saja, iaitu orang-orang beriman.
Bezanya
adalah dari segi kaedah bahasa Arab. Daripada segi bahasa, kalimah المُؤمِنونَ adalah
dalam bentuk isim fa’il (kata nama pembuat). Sedangkan kalimah الَّذِينَ
آمَنُواْ pula dalam bentuk fi’il (kata kerja). Dalam
prinsip bahasa Arab, kata kerja ‘tak sekuat’ jika dibandingkan dengan kata
nama. Contohnya, ‘penulis’ dan ‘orang yang sedang menulis’. Berbezakan? Sebab
itulah, apabila digunakan perkataan ‘orang beriman’ itu dalam bentuk kata nama,
ia bermaksud bahawa iman mereka itu telah stabil dan mantap. Sedangkan
kalimahالَّذِينَ آمَنُواْ (orang-orang beriman) yang digunakan di dalam
bentuk kata kerja, bermaksud mereka itu ada masa imannya naik dan kadang-kadang
imannya jatuh. Sebab masih lagi di dalam keadaan tak stabil. Kemudian Allah
sambung,
الَّذِينَ
هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ
“..(iaitu)
orang-orang yang khusyuk dalam solatnya..”
Inilah ciri pertama orang mukmin yang imannya telah
stabil dan mantap. Iaitu mereka yang khusyu’ di dalam solat. Maksudnya
tawajjuhnya hati di dalam solat kepada Allah kerana berasa takut
dan mengagungkan Allah. Saidina Ali sebut, خَاشِعُونَ
adalah orang-orang yang takut lagi penuh ketenangan. Ada suatu ketika
Rasulullah ﷺ ternampak seorang lelaki menyapu janggutnya
ketika sedang bersolat. Maka Baginda bersabda yang bermaksud,
“Jika
khusyuk hati lelaki ini akan tenanglah anggota badannya.”
(Riwayat Hakim dan Tirmidzi)
Persoalannya, macam mana nak dapat solat yang
khusyu’? Ada banyak cara sebenarnya. Awak boleh Google ataupun rujuk mana-mana
buku. Salah satu caranya, Allah dah terangkan dalam ayat seterusnya, iaitu,
وَالَّذِينَ
هُمْ عَنِ اللَّغْوِ مُعْرِضُونَ
“..dan
orang-orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tiada
berguna..”
Kalimah اللَّغوِ
(lagha) membawa maksud perbuatan atau tindakan yang langsung tak memberi
sebarang manfaat sama ada di dalam perkara dunia apatah lagi Akhirat. Bahasa
mudahnya, perkara yang sia-sia. Ia tidaklah sesuatu yang membahayakan dengan
jelas, tetapi yang pasti ia adalah perbuatan membuang masa. Orang yang khusyu’
dalam solatnya adalah mereka yang meninggalkan perkara lagha.
Perkara
lagha ini termasuklah tersangkut dalam media sosial selama berjam-jam, selalu melepak
di shopping mall, banyak tidur, banyak gelak, selalu bermain games dan
sebagainya. Termasuk juga orang yang suka melayan lagu-lagu lagha. Imam Hassan al-Banna
pernah menyebut di dalam wasiatnya yang ke 2, “Bacalah al-Quran, tatapilah
buku-buku ilmu, pergilah ke majlis-majlis ilmu, dan amalkanlah zikrullah dan
janganlah membuang masa dalam perkara yang tiada memberi faedah (lagha).” Ini
ciri orang beriman yang kedua. Kemudian Allah sambung lagi,
وَالَّذِينَ
هُمْ لِلزَّكَاةِ فَاعِلُونَ
“..dan
orang-orang yang menunaikan zakat..”
Ciri
ketiga adalah mereka yang menunaikan zakat. Mufassirin berbeza pendapat tentang
kalimah الزَّكاةَ. Ada
yang berpandangan zakat yang perlu dibayar dengan harta. Satu lagi pendapat
kata ‘tazkiyatun nafs’ iaitu penyucian hati dan jiwa. Dua-dua melibatkan ‘penyucian’,
satu penyucian harta, satu lagi penyucian hati. Untuk tadabbur ini, kita akan
fokus kepada penghayatan pada penyucian hati. Orang mukmin yang berjaya adalah
mereka yang sentiasa menyucikan hati dan jiwa daripada perkara dosa dan maksiat.
Dosa dan maksiat ini termasuklah tidak menutup aurat dengan sempurna, berikhtilat,
bercouple, melayan drama, movie atau anime yang ada unsur aurat, menonton video
lucah, tak menjaga pandangan mata dan banyak lagi. Kemudian ayat seterusnya,
وَالَّذِينَ
هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ
“..dan
orang-orang yang menjaga kemaluannya..”
![]() |
Dapatkan buku Bagaimana Menjadi Pemimpin karya Ir Lukman Al Hakim di semua rangkaian kedai buku di seluruh Malaysia. |
Ciri keempat adalah mereka yang
menjaga kemaluannya. Atau bahasa mudahnya, orang yang mengawal nafsu syahwat.
Mereka adalah orang yang menjaga maruah daripada berzina. Bukan setakat
berzina, bahkan meninggalkan jalan-jalan ke arah zina tu sendiri seperti
menjaga pandangan, menjaga ikhtilat, dan sebagainya. Rasulullah ﷺ bersabda yang
bermaksud,
“Barangsiapa yang dipelihara oleh Allah dari
keburukan dua perkara, nescaya ia masuk Syurga: Apa yang terdapat di antara
kedua tulang dagunya (mulutnya) dan apa yang berada di antara kedua kakinya
(kemaluannya).”
(Riwayat Tirmidzi)
إِلَّا
عَلَى أَزْوَاجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ
مَلُومِينَ
“..kecuali
terhadap isteri-isteri mereka atau hamba yang mereka miliki; maka sesungguhnya
mereka dalam hal ini tiada tercela..”
Walaupun
kita disuruh untuk menjaga kemaluan, tetapi Islam tetap meraikan fitrah
manusia. Sebab itulah, dibenarkan melempiaskan nafsu syahwat hanya kepada yang
halal saja. Iaitu kepada isteri dan hamba sahaya. Dalam konteks hari ini, hamba
dah tak ada lagi. Jadi, nafsu syahwat boleh dilepaskan kepada pasangan yang
halal saja, iaitu isteri ataupun suami melalui pernikahan yang sah. Tetapi
kalau yang bujang macam mana? Rasulullah ﷺ beritahu,
“Wahai para pemuda, sesiapa di antara kamu yang
mampu bernikah, maka bernikahlah. Kerana menikah lebih dapat menahan pandangan
dan lebih memelihara kemaluan. Dan sesiapa yang tidak mampu, maka hendaklah ia
berpuasa; kerana puasa dapat menekan syahwatnya (sebagai perisai).”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Kepada pemuda,
kalau mampu bernikah, maka bernikahlah kerana ia melengkapkan sebahagian agama.
Tetapi kalau tak mampu, berpuasalah dengan puasa orang bertaqwa.
فَمَنِ
ابْتَغَى وَرَاءَ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمُ الْعَادُونَ
“Sesiapa yang mencari di balik itu, maka mereka
itulah orang-orang yang melampaui batas..”
Dalam ayat ini,
Allah menggunakan kalimah ابتَغىٰ yang bermaksud ‘melampau’. Iaitu melawan
hukum Allah dalam hal perhubungan suami isteri. Mereka memang berusaha untuk
mencari lelaki dan wanita lain walaupun sudah mempunyai isteri dan suami yang
halal. Contohnya sanggup melanggan pelacur, ada kekasih gelap, dan sebagainya. Ini
termasuklah juga mereka yang memilih nak menjadi golongan LGBT. Kemudian Allah
sambung ciri seterusnya,
وَالَّذِينَ
هُمْ لِأَمَانَاتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَاعُونَ
“..Dan orang-orang yang memelihara
amanat-amanat (yang dipikulnya) dan janjinya..”
Orang yang
beriman adalah orang yang paling menjaga amanah dan berusaha memenuhi janji
mereka. Ini adalah ciri kelima dan keenam untuk orang beriman. Contoh amanah ni
termasuklah pelajar yang dapat biasiswa. Mereka diberi amanah untuk belajar bersungguh-sungguh,
dan sebagai balasan, mereka akan mendapat biasiswa. Biasiswa datang daripada
hasil titik peluh cukai duit rakyat. Tetapi hari ini, berapa ramai pelajar yang
khianat biasiswa. Belajar main-main, duit biasiswa gunakan untuk perkara dosa
dan maksiat, sampai akhirnya kena buang universiti. Kalau yang dibuang pun,
belajarnya ala kadar saja. Setakat dapat CGPA cukup makan.
وَالَّذِينَ
هُمْ عَلَى صَلَوَاتِهِمْ يُحَافِظُونَ
“..dan
orang-orang yang memelihara solatnya..”
Ciri ketujuh
orang beriman adalah mereka yang menjaga solatnya. Kalau ciri pertama tadi
adalah orang yang khusyu’ dalam solat, ciri terakhir ini pula tentang menjaga
solat. Antara ciri menjaga solat adalah mereka yang solat di awal waktu. Jika
lelaki solat berjemaah di masjid, manakala perempuan solat awal waktu di rumah.
Selain itu, orang beriman juga berusaha untuk menjaga solat-solat sunat mereka
seperti solat Dhuha, witir, tahajjud, dan sebagainya.
أُولَئِكَ هُمُ الْوَارِثُونَ (10) الَّذِينَ
يَرِثُونَ الْفِرْدَوْسَ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ (11)
Mereka itulah orang-orang yang akan mewarisi,
(10) (iaitu) yang akan mewarisi Syurga Firdaus. Mereka kekal di dalamnya.(11)
Subhanallah!
Orang-orang beriman ini bukan setakat berjaya di dunia, bahkan mereka juga
mewarisi Syurga Firdaus, iaitu Syurga tertinggi, bahkan kekal selama-lamanya di
dalamnya. Ini jaminan Allah sejak daripada dunia lagi.
******
![]() |
Dapatkan buku Surat Untuk Orang Putus Asa karya Ustaz Adnin Roslan di setiap rangkaian kedai buku di seluruh Malaysia. |
Sebenarnya ada
banyak pengajaran dalam juzuk kali ini. Tetapi saya ambil satu saja. Seperti
yang Allah beritahu, ciri-ciri orang beriman yang berjaya ada 7 berdasarkan
ayat ini. Iaitu,
a)
Khusyuk di dalam solat
b)
Meninggalkan perkara lagha
c)
Melakukan zakat (tazkiatun nafs)
d)
Menjaga kemaluan dari perkara haram
f)
Memenuhi amanah
g)
Memenuhi janji
h)
Menjaga solat
Kalau awak
perasan, ciri-ciri
ini dimulai dengan ‘solat’ dan diakhiri dengan ‘solat’ juga. Ini memberi
isyarat yang kalau kita menjaga solat kita dengan penuh khusyu’ dan khudu’
(penuh tertib), sifat-sifat yang lain itu juga akan datang secara berturutan.
Janji Allah, apabila kita menjaga solat, insyaAllah solat itu sendiri akan mencegah
kita daripada perkara keji dan mungkar.
Wallahua’lam.
- Shukery Azizan
–
p/s: Tulisan ini
diambil daripada buku Pujukan Dari Tuhan karya Shukery Azizan. Boleh dapatkan
buku Pujukan Dari Tuhan sama ada di kedai-kedai buku POPULAR, MPH, SMO dan
lain-lain, atau boleh juga dapatkan secara online melalui isbirofficial.
p/s : Dapatkan E-Book tulisan Shukery Azizan yang bertajuk "Kisah Wanita Di Dalam Al-Quran" hari ini juga. Klik di sini untuk dapatkan segera : >> KLIK DI SINI <<
Tadabbur Juzuk 18 : Ciri-Ciri Orang Mukmin
Reviewed by Tarbiah Sentap
on
15:53
Rating:

No comments:
Post a Comment