Tarbiah Sentap: Juzuk 17 : Alangkah Ruginya...

Wednesday, 22 May 2019

Juzuk 17 : Alangkah Ruginya...


Untuk juzuk kali ini, kita akan pilih surah Al-Hajj pula. Surah ini adalah dalam kalangan surah Makiyyah, kecuali ayat 11, 12, 39, 40 dan 77. Secara umumnya, surah Al-Hajj sebenarnya menyambung semula perbincangan di dalam Surah Anbiya’ sebelumnya iaitu tentang hari kiamat. Selain daripada menyentuh tentang tauhid, surah Al-Hajj juga mengandungi perbandingan yang tidak ada dalam surah yang lain. Contohnya, dalam Surah al-Anbiya’, disebut bagaimana seruan para Nabi adalah kepada Allah sahaja demi menghilangkan kesusahan mereka. Dalam Surah Hajj ini pula, menekankan bahawa sebagaimana Allah diseru dalam kesusahan, maka segala ibadah seperti korban, nazar dan sumpah juga mestilah dilakukan hanya untuk Allah semata-mata. Dan sebagaimana jika seseorang yang menyeru untuk mendapat pertolongan kepada selain Allah semasa kesusahan membawa kepada syirik, begitu juga membuat korban dan penyembelihan kepada selainNya juga menyebabkan syirik.

            Apa pun, kali ini kita akan tadabbur pada ayat yang ke-11, iaitu ayat yang sangat dekat dengan sebahagian daripada kita. Bismillah,

وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَعْبُدُ اللَّهَ عَلَىٰ حَرْفٍ ۖ فَإِنْ أَصَابَهُ خَيْرٌ اطْمَأَنَّ بِهِ ۖ وَإِنْ أَصَابَتْهُ فِتْنَةٌ انْقَلَبَ عَلَىٰ وَجْهِهِ خَسِرَ الدُّنْيَا وَالْآخِرَةَ ۚ ذَٰلِكَ هُوَ الْخُسْرَانُ الْمُبِينُ
"Dan ada di antara manusia yang menyembah Allah dengan berada di tepi (sikap dan pendirian yang tidak tetap), iaitu kalau ia beroleh kebaikan, senanglah hatinya dengan keadaan itu; dan kalau pula ia ditimpa fitnah kesusahan (bencana), ia memusingkan balik wajahnya ke belakang (kepada kekufurannya). (Dengan sikapnya itu) rugilah ia akan dunia dan akhirat, itulah kerugian yang terang nyata."

(Surah Al Hajj 22 : 11)

Asbabun nuzul ayat ini berlaku apabila ada seorang lelaki datang ke Madinah, kemudian masuk Islam. Dipendekkan cerita, isteri lelaki itu mengandung. Dia berazam, kalau isterinya melahirkan bayi lelaki, serta kudanya pun beranak, maka ia menyatakan bahawa Islam adalah agama yang baik (membawa keuntungan). Tetapi jika isterinya tidak melahirkan bayi lelaki serta kudanya tak beranak, maka ia akan menyatakan bahawa Islam adalah agama yang buruk. Kisah ini diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Ibnu ‘Abbas. Dalam ayat ini, Allah memberi peringatan kepada segolongan manusia yang mana,

وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَعْبُدُ اللَّهَ عَلَىٰ حَرْفٍ
"Dan ada di antara manusia yang menyembah Allah dengan berada di tepi (sikap dan pendirian yang tidak tetap).."

Dalam ayat ini, Allah menerangkan kepada kita dengan menggunakan kaedah visual, iaitu bagaimana mereka ini menyembah Allah di ‘tepi gaung’. Allah gunakan kalimah حَرْفٍ yang maksudnya lebih kurang ‘tepi gaung’. Analoginya, mereka seperti berada di atas jalan yang sempit sebab kiri dan kanan mereka ada gaung besar. Bila-bila masa saja senang untuk jatuh kerana kedudukan itu sangat berisiko tinggi. Kalimah حَرْفٍ juga boleh membawa maksud sebagai terjuntai. Sekejap sebelah sini, kejap sebelah sana. Macam lalang yang ditiup angin pun ya juga. Mereka ini adalah jenis yang tidak duduk di tengah tetapi duduk di tepi kerana lemahnya keyakinan terhadap Allah. Nak mudah faham, mereka ini jenis yang tiada pendirian langsung. Siapa mereka ini? Allah sebut lagi,

فَإِنْ أَصَابَهُ خَيْرٌ اطْمَأَنَّ بِهِ
“..iaitu kalau ia beroleh kebaikan, senanglah hatinya dengan keadaan itu..”

Iaitu orang yang setiap kali mendapatkan kebaikan, mereka akan rasa gembira, seronok, bersemangat dan sebagainya. Kadang-kadang sampai tak ingat dunia pun ada. TETAPI...

وَإِنْ أَصَابَتْهُ فِتْنَةٌ انْقَلَبَ عَلَىٰ وَجْهِهِ
“..dan kalau pula ia ditimpa fitnah kesusahan (bencana), ia memusingkan balik wajahnya ke belakang (kepada kekufurannya)...”

Tetapi apabila ditimpa kesusahan, mulalah merungut, menuduh Allah tak adil, Islam ini menyusahkan dan mengongkong manusia, dan macam-macam lagi. Jadi, Allah nak tegur kepada golongan yang mana apabila mendapat apa yang baik, dia akan mengampu, membodek, dan sebagainya. Tetapi apabila mendapat sebarang ujian atau bencana, mulalah merungut, menuduh Allah tak adil, persoalkan kenapa Allah menguji macam ini, persoalkan takdir, dan sebagainya. Kemudian Allah beritahu yang golongan ini adalah,

خَسِرَ الدُّنْيَا وَالْآخِرَةَ
“..rugilah ia akan dunia dan akhirat..”

Mereka mengalami kerugian DUNIA dan AKHIRAT sekaligus! Dengan kata mudah, muflis. Bahkan bukan setakat itu saja, Allah tambah lagi,

ذَٰلِكَ هُوَ الْخُسْرَانُ الْمُبِينُ
“.. itulah kerugian yang terang nyata..”

Dalam ayat ini Allah TIDAK menggunakan kalimah خُسْرَ (Khusr) yang bermakna “kerugian”, tetapi Allah menggunakan kalimah خُسْرَانُ (khusran) yang merupakan sighah mubalaghah ataupun hiperbola kepada kerugian. Maksudnya adalah kerugian yang SANGAT SANGAT SANGAT dahsyat! Inilah yang dalam bahasa Inggeris disebut sebagai Ultimate Loss.
*****
Dapatkan buku Kerana Aku Sayang karya Aniq Muhaimin
di semua rangkaian kedai buku di seluruh Malaysia.
Apa pengajaran daripada ayat ini?

1.         Kalau dibaca sekali imbas, mungkin kita akan menyedari bahawa ayat ini adalah peringatan dan amaran Allah kepada golongan muallaf yang baru saja masuk Islam. Tetapi kalau kita muhasabah diri sendiri sedalam-dalamnya, sebenarnya ayat ini pun untuk kita juga. Ya, untuk kita yang dah menjadi Muslim sejak lahir lagi.

            Contohnya kalau baru mendapat hidayah dan taufiq untuk menutup aurat dengan sempurna. Mungkin dulu, tak tutup aurat atas alasan tidak mendapat didikan agama daripada keluarga dengan betul, pengaruh kawan, fesyen, dan sebagainya. Sebelum bertaubat, ramai yang puji cantik, ayu, menawan, dan sebagainya. Tetapi, apabila dah tekad untuk berubah dan menutup aurat dengan sempurna, tiba-tiba Allah menguji dengan hilang kawan, diperli dengan keluarga dan kawan-kawan, bahkan sampai terpaksa berhenti kerja ataupun dibuang kerja. Lalu disebabkan tertekan, lantas mempertikaikan Allah. Pertikaikan kenapa Allah mengujinya, adakah sebab Allah tak sayang, kenapa dia, kenapa dan kenapa.

            Sama juga sesiapa yang baru saja mula untuk menjaga solat 5 waktu, belajar al-Quran, dan sebagainya. Akan ramai yang sinis, herdik, kutuk, maki hamun, dan sebagainya. Apabila diuji sebegini, terus menyalahkan Allah. Sedangkan semasa Allah memberikan pelbagai nikmat, dahlah bersyukur pun susah, kemudian gembira sampai tak ingat dunia. Tetapi apabila dah kena sedikit ujian, terus hancur lebur.

            Saya teringat kisah pengalaman Ustaz Ebit Lew. Dia ada menceritakan, pernah suatu hari ada satu kelab malam menjemputnya buat doa selamat pada waktu siang. Tetapi masa itu kelab itu baru saja nak buka, milik orang Islam. Ustaz Ebit Lew pun layankan sajalah. Selepas habis daripada doa selamat, dan sedikit tazkirah, dia pun nak balik. Baru saja nak pulang, tiba-tiba ada seorang wanita mengejar Ustaz Ebit Lew. Dia mengaku sebagai seorang pekerja di kelab malam tersebut. Wanita itu bertanya pada Ustaz Ebit Lew,

            “Ustaz, saya tak percaya Allah. Saya tak percaya Tuhan itu wujud.”

            Ustaz terdiam. Lalu beliau bertanyakan kenapa dia tak percaya. Perempuan itu balas lebih kurang,

“Kalau Allah wujud, kenapa Dia berikan saya keluarga susah? Kenapa ayahnya yang nampak macam baik, selalu pukul mak masa saya kecil. Sejak itu saya tak percaya orang yang jaga solat ini. Mesti kaki pukul. Bila dah besar, saya kahwin dengan seorang lelaki. Saya cari lelaki yang biasa-biasa je. Solat pun tak jaga. Suami saya baik sangat walaupun tak solat. Tetapi bila dia dah mabuk arak, habis saya selalu kena pukul. Sampai akhirnya tak lama kemudian, saya pun bercerai. Kalau Tuhan wujud, kenapa dia temukan saya lelaki tu. Kenapa Allah tak selamatkan saya? Allah tak pernah sayang kita.”

Ustaz Ebit Lew terdiam. Kemudian dia membalas,

“Saya pernah pergi ke program perkumpulan orang Islam di Bangkok, Thailand selama 3 hari 2 malam. Pada satu malam, saya dengar ada suara menangis yang agak kuat dalam masjid. Saya mencari-cari suara itu. Selepas terjumpa, kelihatan ada seorang lelaki sedang berdoa sampai menangis teresak-esak. Selepas habis berdoa, saya duduk sebelahnya, dan bertanyakan kenapa menangis. Lelaki itu tak ada kedua-dua tangan dan kaki. Kudung kesemuanya. Lelaki itu beritahu, dia berdoa supaya Allah bagi dia kekuatan dan kesabaran. Dan setiap kali dia cakap, dia sentiasa akan sebut, ‘Allah sayang saya ustaz. Allah sayang saya.’ Dia selalu yakin yang Allah sayang dia, hari-hari sayang dia.

Puan, ada orang yang hidup cacat, tak cukup anggota, tetapi dia bahagia. Bahkan lebih bahagia daripada orang yang sempurna tubuh badan. Sebab apa? Sebab dia sentiasa yakin Allah sayang padanya. Dan bahagia itu terletak di hati, bukan pada material. Ada ustaz lain sebut ujian ini adalah bala. Betul, tetapi dalam masa yang sama, ujian adalah tanda Allah sayang pada kita. Allah uji sebab Allah nak ampunkan dosa kita. Allah sayang kita. Allah sayang puan. Buktinya, puan ada lengkap sempurna anggota tubuh badan. Boleh bekerja, boleh buat macam-macam. Allah sayang puan.”

Kenapa saya kongsi kisah ini? Sebab nak beritahu, ada orang apabila diuji, dia tersalah faham dengan ujian Allah. Dia merasakan bahawa Allah tak sayang dia, Allah benci dia, Allah tak suka dia. Salah wahai teman.

Allah sayang kita, Allah cintakan kita. Allah nak hapuskan dosa kita. Sebab itulah Allah menguji, supaya kita makin kuat dan terus kuat. Jangan apabila dah berubah, tetapi disebabkan tak tahan diuji, kita kembali semula pada hidup jahiliah. Jangan teman, ruginya. Rugi!
 
Dapatkan buku Harapan Masih Ada karya Qamarul Nazrin
di semua rangkaian kedai buku di seluruh Malaysia.
2.         Ayat ini juga peringatan kepada kita yang menjalankan dakwah dan mengikuti program tarbiah. Masa senang, kita merasakan inilah manisnya dakwah, nikmatnya ukhuwwah, bestnya tarbiah, macam-macam lagi. Tetapi apabila diuji sedikit dengan tugasan universiti yang banyak, ujian masa, ujian duit kurang atau terlalu banyak, masalah keluarga, bergaduh dengan sesama pendakwah, beban tanggungjawab bertambah, penambahan beban hutang, dah mula ada anak, dan sebagainya, mulalah rasa MENGALAH dan akhirnya terus futur sekaligus meninggalkan jalan dakwah dan tarbiah.

Dengan alasan tak mampulah, belum sedia, kecil hati, atau apa-apa. Kalau nak ambil masa untuk menstabilkan keadaan mungkin boleh diterima, tetapi kalau dah terus meninggalkan untuk selama-lamanya, lantas tak nak jalankan dakwah, ini sangatlah rugi. Kalau silap langkah, boleh kerugian dunia dan akhirat! Apa pun, ayat ini adalah peringatan, dalam masa yang sama pujukan supaya kita semua kukuhkan prinsip peribadi. Menjadi Muslim dan mukmin yang berprinsip, bukannya lalang. Allah...

Moga Allah beri kita nikmat TSABAT iaitu istiqomah dan kekal dalam jalan dakwah tarbiah serta kekal dengan penghijrahan serta perubahan kita ke arah lebih baik. Demi mencari redha Allah dan Syurga Firdaus.

Wallahu a’lam

- Shukery Azizan –


p/s: Tulisan ini diambil daripada buku Pujukan Dari Tuhan karya Shukery Azizan. Boleh dapatkan buku Pujukan Dari Tuhan sama ada di kedai-kedai buku POPULAR, MPH, SMO dan lain-lain, atau boleh juga dapatkan secara online melalui isbirofficial.

No comments: