Dalam juzuk yang ke-16 kali ini, insyaAllah saya
akan bawakan kepada awak salah satu ayat kegemaran saya. Ayat ini banyak kali
saya tadabbur dan muhasabah untuk diri sendiri, khususnya ketika mana sedang
menghadapi sebarang kesusahan. Ayat ini terkandung di dalam satu surah yang
mungkin ramai Muslim di Malaysia tahu, iaitu surah Maryam. Surah Maryam ini
adalah surah ke-19, selepas surah al-Kahf, dan ia termasuk dalam kategori
Makiyyah. Surah ini pernah dijadikan sebagai hujah Jaafar bin Abu Talib apabila
berhadapan dengan Raja Najasyi semasa hijrah kali pertama umat islam ke Habsyah
(Ethiopia).
Ada
banyak perkara istimewa di dalam surah Maryam ini. Antaranya termasuklah 3
kisah agung dan sangat menyentuh hati saya ada dalam surah ini. Yang pertama,
kisah ajaib tentang Nabi Zakariya alaihissalam mendapat anak, iaitu Nabi Yahya
alaihissalam. Nabi Zakariya alaihissalam berdoa selama bertahun-tahun untuk
mendapat anak, dan pada akhirnya barulah Allah memakbulkan doanya. Dan
ajaibnya, baginda mendapat anak pada usia yang sangat tua. Ada ulama seperti
Qatadah menyatakan masa itu umur baginda
mencecah 70 tahun, manakala riwayat daripada Muqatil pula sebut 95 tahun.
Mana-mana pun, ia satu umur yang sangat tua. Dan lagi ajaib adalah, isterinya pula
dah mandul. Tetapi Maha Agung Allah, itu semua mudah saja bagiNya.
Yang
kedua pula, kisah ajaib berkenaan dengan kelahiran Nabi Isa alaihissalam melalui
rahim Maryam binti Imran. Baginda lahir tanpa seorang ayah, dan boleh
berkata-kata sejak daripada bayi. Dan baginda sendiri mengakui bahawa baginda
bukannya anak Tuhan. Sekaligus menafikan dakwaan orang Kristian dan menyucikan
Maryam daripada tuduhan orang Yahudi.
Dan kisah ketiga
adalah kisah Nabi Ibrahim alaihissalam dengan ayahnya. Walaupun baginda tak
menyembah berhala seperti ayahnya, tetapi baginda tetap menasihati dengan
lembut kepada ayahnya, bahkan berdoa kebaikan dan pengampunan untuk ayahnya. Kalau
awak perasan, ketiga-tiga kisah ini semua saling berkaitan dengan kekeluargaan,
khususnya penjagaan dan pendidikan agama untuk anak-anak. Sebab hari ini, di
dalam dunia Islam, berlaku satu krisis pendidikan agama untuk anak-anak yang
sangat kritikal. Ramai Muslim berlumba-lumba mendidik anak-anak dengan ilmu
dunia, tetapi meninggalkan agama. Sampai tahap, nak baca al-Quran pun tak
pandai. Baiklah, kita akan teruskan sambung tadabbur kali ini. Ayat yang saya
pilih adalah ayat yang ke-25. Bismillah,
وَهُزِّي إِلَيْكِ بِجِذْعِ النَّخْلَةِ
تُسَاقِطْ عَلَيْكِ رُطَبًا جَنِيًّا
“Dan gegarlah ke arahmu batang pohon tamar itu,
supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak.”
(Surah Maryam 19:25)
Inilah ayat yang
saya katakan tadi sebagai salah satu ayat kegemaran saya. Apa yang menariknya
ayat ini? Kalau dibacakan secara literal, mungkin awak akan pening dan sedikit
tertanya-tanya. Apa istimewanya sangat ayat ini? Pasal buat kurma ke? Haha.
![]() |
Dapatkan novel Sujud Yang Terakhir karya Aizuddin Hamid di semua rangkaian kedai buku di seluruh Malaysia. |
Beginilah, untuk
memahami ayat ini, kita kena mulakan bacaan bermula daripada ayat yang ke-16.
Ayat 16 sampai 38 adalah berkisar tentang kisah Maryam dan Nabi Isa al-Masih
alaihissalam. Saya akan ceritakan secara ringkas berkaitan kisah Maryam.
Mungkin awak dah pernah tahu, tetapi saya tetap nak cerita sebagai peringatan,
pengajaran dan ulang kaji. Ringkasnya, Maryam lahir sebagai seorang anak yatim,
dan dijaga oleh Nabi Zakariya alaihissalam. Dan Maryam merupakan seorang
perempuan yang sangat mulia, suci dan pandai menjaga diri. Sehinggalah masa
berlalu, kemudian Allah mengirimkan Malaikat Jibrail untuk bertemu dengan
Maryam seperti mana yang disebut di dalam ayat ke 17 dan 18.
Kemudian, pada ayat
seterusnya menceritakan tentang bagaimana Malaikat Jibrail memaklumkan kepada
Maryam bahawa Allah akan mengurniakannya seorang anak lelaki yang suci. Malaikat
Jibrail pun meniupkan roh ciptaan Allah masuk terus ke dalam tubuh badan
Maryam. Para mufassirin berbeza pendapat tentang berapa lama tempoh Maryam
mengandung. Ada pendapat menyatakan Maryam terus mengandung serta-merta dan bersedia
untuk bersalin. Ada yang sebut selama 40 hari, dan paling masyhur di kalangan
jumhur ulama’ mufassirin sebut tempohnya 9 bulan sama seperti wanita lain.
Mana-mana pun tempoh waktu, yang pasti, selepas mengandung, dia terus
mengasingkan diri ke tempat yang jauh. Sebab apa? Sebab tak nak bagi fitnah
untuk agama dan keluarganya.
Selalunya,
apabila seorang wanita hampir bersalin, biasanya ia akan bersama keluarga. Ramai
yang akan hadir untuk memberikan bantuan dan sokongan. Tetapi tengok apa yang
Maryam terpaksa hadapi. Dia terpaksa membawa diri jauh daripada masyarakat,
dalam keadaan sarat mengandung dan nak melahirkan anak. Ketika itu, secara
logik, tentu dia sedang mengalami sakit-sakit dan teramat lemah. Kalau awak
pernah mengandungkan anak, mesti akan memahami perasaan ini. Kalau belum pernah
atau tak akan mengandung sekalipun, cuba pergi tanya orang terdekat yang pernah
mengandungkan anak. Sakit dan lemah teramat sangat. Tetapi Maryam tetap teruskan
juga perjalanannya ke tempat yang jauh. Sebab apa? Semata-mata nak menjaga nama
baik agama dan keluarga. Allahu Rabbi. Dahsyatnya pengorbanan Maryam. Tak
hairanlah Allah memuliakan Maryam sehingga kita selalu menyebutkan kisahnya
hingga hari ini.
Kemudian,
dipendekkan cerita, Maryam pun rasa nak bersalin. Dia mula bersandar di sebuah
pohon kurma di tengah padang pasir. Sedang dia dalam keadaan lapar, penat, dan sakit
teramat sangat, datang sekali lagi Malaikat Jibrail memujuk Maryam supaya
jangan bersedih seperti disebut dalam ayat ke 24. Tak cukup sekadar memujuk,
Malaikat Jibrail memberitahu bahawa Allah telah menjadikan sebatang sungai khas
untuk Maryam. Ia merupakan satu pujukan khusus daripada Allah. Allahu Akhbar. Ha,
kemudian pada ayat ke-25, barulah Allah menyediakan pula makanan untuk Maryam. Tetapi..
Tetapi dengan
satu syarat, yang mana Maryam mestilah menggegarkan pokok kurma berhampiran
dengannya. Fuh! Dan sekarang saya yakin baru awak faham, kenapa ayat ini sangat
istimewa untuk saya. Ketika ini, mufassirin menyebut yang Maryam dah bersalin. Awak
bayangkanlah, orang yang baru lepas bersalin, dalam keadaan sangat letih, sakit
dan penat teramat, seorang diri pula itu, disuruhnya pula menggoyangkan sebuah
pokok kurma. Kalimah هُزِّي (huzza) membawa
maksud menggoyang sesuatu yang besar dan kuat. Maknanya, kena kerahkan segala
kudrat tenaga yang banyak untuk menggoyangkan pokok kurma itu. Bukan macam
goyang buaian. Kalau ikut logik akal, usaha yang perlu Maryam keluarkan bukannya
sedikit, tetapi memerlukan usaha yang luar biasa.
Kita sendiri
yang kuat dan sihat pun nak goyang pokok kurma tak jadi apa-apa, inikan pula
Maryam. Kenapa Allah suruh? Ini adalah isyarat daripada Allah untuk berusaha! Peristiwa ini mengajarkan kita tentang
kepentingan usaha. Memanglah Allah yang menjadikan sesuatu perkara, tetapi
Allah juga nak melihat usaha kita dahulu. Walaupun usaha kita hanyalah sedikit
saja.
*****
![]() |
Dapatkan novel Kau Bukan Adiratna karya Najmi Fetih di semua rangkaian kedai buku di seluruh Malaysia. |
Untuk juzuk 16 ini, nampak macam ringkas,
tetapi ia padat dengan pengajaran. Tetapi, saya nak kongsi dua saja pengajaran,
iaitu,
1. Kebanyakkan
perkara dalam hidup ini, sama ada sedar atau tidak, menuntut untuk kita berusaha
terlebih dahulu. Kemudian barulah Allah akan berikan hasilnya. Berbalik pada
kisah Maryam, kalau ikutkan
logik akal, apalah sangat kudrat wanita yang baru lepas bersalin untuk
menggoyangkan sebatang pokok kurma yang besar dan keras. Tetapi peristiwa agung
ini mengajarkan kita bahawa, ikuti arahan dan perintah Allah semampu mungkin,
walaupun kita rasa mungkin tak logik. Tetapi poinnya, usaha dulu. Kita
usaha 1 peratus, lagi 99 peratus Allah akan tolong selesaikan. Maryam hanya
usaha 1 peratus saja, bahkan mungkin tak sampai pun. Tetapi, selebihnya Allah
yang selesaikan dengan cara menjatuhkan buah-buah kurma untuk Maryam.
Sama
juga dalam kehidupan, Allah tuntut kita usaha saja dulu, walaupun hanya 1
peratus, selebihnya Allah akan selesaikan. Termasuklah usaha mencari rezeki,
mencari jodoh yang soleh, berdakwah, belajar, sehinggalah tahap menegakkan
agama Allah. Contohnya dalam isu mencari rezeki. Allah
boleh saja memberikan segalanya kepada kita, tetapi syaratnya kena tunjukkanlah
dulu komitmen usaha kita. Kena ada sebab musabab. Itu adalah Sunnah para Nabi.
Kita tak diajar untuk bertawakal sahaja tanpa sebarang
usaha. Kita kena berusaha seiring dan serentak dengan tawakal. Itulah makna
tawakal bulat-bulat. Bukannya tak buat apa-apa, tetapi dah kata bertawakal. Ada
orang yang tak faham, lalu mereka hanya berdoa sahaja tanpa usaha.
Sama juga macam nak menegakkan Islam semula di
muka bumi, khususnya di Malaysia. Ada orang cukup sekadar berdoa di masjid,
ataupun paling teruk, hanya menunggu Imam Mahdi dan Nabi Isa alaihissalam saja.
Atas alasan Islam satu hari nanti akan menang. Sedangkan tak ada usaha langsung
untuk menegakkan agama Allah dengan cara menjalankan dakwah dan mentarbiah
masyarakat. Inilah antara falasi atau tipu daya iblis kepada sebahagian orang
Islam.
Sebab itulah, kena meyakini bahawa Allah
langsung tak tengok hasil, tetapi Allah melihat usaha. Sejauh mana usaha kita
untuk memartabatkan agama Allah di tempat yang paling tertinggi. Walaupun
mungkin nampak mustahil.
2. Kita kena yakini sungguh-sungguh,
bahawa apa yang kita ada selama ini semuanya hasil daripada pertolongan Allah.
Contohnya kalau awak seorang pelajar, dan akan menghadapi peperiksaan yang besar.
Adakah awak yakin yang ulang kaji pelajaran, jawab kuiz, baca buku, buat study
group, berjaga tengah malam untuk belajar dan segala usaha yang awak dah
kerahkan, pasti akan menghasilkan A di dalam peperiksaan? Tiada siapa yang berani
kata yakin. Boleh jadi, walaupun awak dah hafal seluruh buku teks dan rujukan,
tetapi semasa peperiksaan, awak akhirnya jatuh sakit ataupun kemalangan.
Akhirnya terpaksa menangguhkan peperiksaan. Ataupun masa peperiksaan, tiba-tiba
kepala ‘blank’. Boleh jadi kan?
Sama juga macam yang bekerja. Awak
yakin ke dengan gaji yang diperolehi, kerja sambilan, bisnes, dan sebagainya
yang awak lakukan itu cukup untuk tampung kehidupan sampai mati? Boleh jadi
esok lusa kemalangan dan tiba-tiba lumpuh pula atau cacat kekal pada anggota.
Boleh jadi kan?
Sebab itulah, kita kena yakin
sungguh-sungguh bahawa, usaha kita cuma 1 peratus saja dalam hidup ini. Dan
sememangnya pun, Allah hanya minta sedikit saja usaha kita. Selebihnya Allah
yang bantu, dan Allah jualah yang memberikan hasilnya. Yakinlah, kerana semua
yang ada hanyalah milik Allah. Dan kepada Allah jualah semuanya akan
dikembalikan.
Moga Allah mengurniakan kita
kekuatan untuk sentiasa berusaha menegakkan agama Allah, dan meyakini tentang
segala pertolongan Allah. Ameen.
Wallahua’lam.
- Shukery Azizan
–
p/s: Tulisan ini
diambil daripada buku Pujukan Dari Tuhan karya Shukery Azizan. Boleh dapatkan
buku Pujukan Dari Tuhan sama ada di kedai-kedai buku POPULAR, MPH, SMO dan
lain-lain, atau boleh juga dapatkan secara online melalui isbirofficial.
p/s : Dapatkan E-Book tulisan Shukery Azizan yang bertajuk "Kisah Wanita Di Dalam Al-Quran" hari ini juga. Klik di sini untuk dapatkan segera : >> KLIK DI SINI <<
Tadabbur Juzuk 16 : Yang Penting Usaha Dulu
Reviewed by Tarbiah Sentap
on
23:06
Rating:

No comments:
Post a Comment