Alhamdulillah, akhirnya kita telah masuk ke separuh daripada
al-Quran, iaitu juzuk yang ke-15. Permulaan juzuk 15 ini dimulakan dengan surah
al-Isra’, surah yang mana saya yakin ramai tahu disebabkan selalu dibacakan
pada setiap kali majlis memperingat hari isra’ dan mi’raj. Dan kalau ada
ceramah jauhi zina, ayat yang selalu digunakan adalah pada ayat yang ke-32. Tetapi
juzuk kali ini saya memilih untuk tadabbur surah al-Kahfi, yang juga surah
terkenal di dalam kalangan orang Melayu. Kita dianjurkan membaca setiap hari
Jumaat, dan ada hadis yang menggalakkan untuk menghafal 10 ayat pertama atau
terakhir surah al-Kahfi bertujuan untuk perlindungan daripada Dajjal.
Macam biasa,
kita lihat secara umum latar belakang surah al-Kahfi. Dalam buku sirah
Rasulullah ﷺ, dikisahkan bahawa ada satu ketika, kaum musyrikin
Mekah mula timbul rasa di hati yang mungkin Nabi Muhammad ﷺ itu memang betul seorang Rasul. Kalau Nabi
Muhammad ﷺ itu benar seorang Rasul dan mereka tak ikut
serta menolak ajarannya, dah pasti mereka telah membuat satu kesalahan yang
sangat besar. Jadi macam mana mereka nak pastikan ajaran Rasulullah ﷺ itu benar atau tidak?
Dalam kebanyakkan perkara, orang Quraisy Mekah biasanya
akan merujuk kepada pendeta Yahudi. Sebabnya, walaupun orang Quraisy mengikut
saki baki ajaran Nabi Ibrahim, tetapi mereka tiada kitab suci untuk dijadikan
rujukan. Jadi, mereka sangat menghormati kepada pendeta Yahudi dan dijadikan
sumber rujukan memandangkan mereka tahu bahawa orang Yahudi mempunyai Kitab
Taurat. Mereka pun menghantar rombongan kepada pendeta Yahudi yang berada di
Madinah (ketika itu masih bernama Yathrib). Mereka berjumpa pendeta Yahudi ini
dan bertanyakan macam mana nak tahu samada Muhammad ﷺ itu betul atau bohong? Pendeta Yahudi tu pun menyuruh
mereka bertanyakan kepada Rasulullah ﷺ tiga
soalan. Kalau baginda jawab dua dan tak jawab satu soalan, maka dia memang
benar seorang Rasul. Apa soalannya?
Soalan pertama tentang
pemuda yang tinggal di dalam gua, soalan kedua tentang roh dan soalan
ketiga tentang Zulkarnain. Apabila balik semula ke Mekah, mereka pun berjumpa
Rasulullah ﷺ dan menanyakan tiga soalan itu. Rasulullah ﷺ memberitahu yang baginda akan memberikan
jawapannya pada hari esok, memandangkan biasanya wahyu akan dapat keesokan
harinya. Maka baginda pun menyuruh mereka untuk datang hari esok. Kesilapan Rasulullah ﷺ masa ini adalah, Rasulullah ﷺ tak menyertakan janjinya itu dengan kalimah
‘InsyaAllah’. Jadi, apabila esoknya mereka datang, Rasulullah ﷺ hanya senyap tak dapat jawap sebab baginda belum
mendapat sebarang wahyu daripada Allah.
Setiap hari musyrikin Mekah ni datang berjumpa
Rasulullah ﷺ sampai tahap mereka mengejek Nabi Muhammad ﷺ kerana tak dapat memberikan mereka jawapan. Sebahagian
riwayat menyebut, peristiwa itu berlangsung selama 15 atau 17 hari. Apabila
perkara ini berlaku, sebahagian penduduk Mekah pun dah mula meragui Rasulullah ﷺ. Namun selepas 15 hari, akhirnya barulah wahyu
turun dan menjawab persoalan pendeta itu. Termasuk juga teguran untuk Rasulullah ﷺ tentang penggunaan kalimah InsyaAllah dalam
ayat yang ke 23 dan 24.
![]() |
Dapatkan novel Sujud Yang Terakhir karya Aizuddin Hamid di semua rangkaian kedai buku di seluruh Malaysia. |
Perkongsian juzuk kali ini berkaitan dengan
pujukan kepada para pendakwah. Sebab itu, saya bukan nak berkongsi ayat yang ke
23 dan 24 tu, tetapi pada ayat yang ke 28. Bismillah,
وَاصْبِرْ
نَفْسَكَ مَعَ الَّذِينَ يَدْعُونَ رَبَّهُمْ بِالْغَدَاةِ وَالْعَشِيِّ
يُرِيدُونَ وَجْهَهُ ۖ وَلَا تَعْدُ عَيْنَاكَ عَنْهُمْ تُرِيدُ زِينَةَ
الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۖ
وَلَا
تُطِعْ مَنْ أَغْفَلْنَا قَلْبَهُ عَنْ ذِكْرِنَا وَاتَّبَعَ هَوَاهُ وَكَانَ
أَمْرُهُ فُرُطًا
“Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan
orang-orang yang menyeru Tuhannya di waktu pagi dan petang hari dengan
mengharap keredhaan-Nya; dan janganlah kedua matamu berpaling daripada mereka
(kerana) mengharapkan perhiasan dunia ini; dan janganlah kamu mengikuti orang
yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami, serta mereka itu
menuruti hawa nafsunya dan adalah tingkah laku mereka itu melampaui batas.”
(Surah al-Kahfi 18 : 28)
Allahu Akhbar. Ini antara nasihat dan pujukan daripada Allah kepada
kita, khususnya orang yang menjalankan tugas dakwah pada waktu pagi dan petang.
Allah memujuk para pendakwah,
وَاصْبِرْ نَفْسَكَ مَعَ الَّذِينَ يَدْعُونَ
رَبَّهُمْ
“Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan
orang-orang yang menyeru Tuhannya..”
Dalam
ayat ini, pada konteks asal adalah nasihat kepada Rasulullah ﷺ supaya
bersabar dan berasa cukup dengan para sahabat baginda,
بِالْغَدَاةِ وَالْعَشِيِّ يُرِيدُونَ وَجْهَهُ
“..di waktu pagi dan petang hari dengan
mengharap keredhaan-Nya..”
Para sahabat Rasulullah ﷺ adalah
mereka yang beribadat kepada Allah walaupun di waktu-waktu yang sibuk. Sebab
waktu pagi dan petang itu adalah waktu-waktu yang manusia lain biasanya menghabiskan
masa dengan dunia seperti bekerja, berniaga dan sebagainya. Tetapi para sahabat
itu banyak kali meninggalkan waktu yang sibuk itu untuk beribadat kepada Allah.
Juga apabila disebut pagi dan petang, ini adalah isyarat kepada sepanjang masa.
Dan mereka beribadah kepada Allah semata-mata mengharapkan keredhaan Allah. Mereka sangat ikhlas dalam melakukan
amal ibadat. Segala amalan yang mereka lakukan itu adalah semata-mata kerana
mengharapkan redha Allah.
وَلَا تَعْدُ عَيْنَاكَ عَنْهُمْ تُرِيدُ زِينَةَ
الْحَيَاةِ الدُّنْيَا
“..dan janganlah kedua matamu berpaling
daripada mereka (kerana) mengharapkan perhiasan dunia ini..”
Ada
sebahagian ulama menyebutkan yang ayat ini diturunkan kerana ada sebahagian
pemimpin elit musyrikin Quraisy meminta Rasulullah ﷺ membuat
satu majlis khusus untuk mereka saja, tetapi dengan syarat yang orang yang
miskin dan lemah seperti Bilal, Ammar, Saad bin Abi Waqqash, Ibnu Mas’ud dan
lain-lain tak boleh ikut sama. Belum sempat Rasulullah ﷺ membuat
sebarang keputusan, Allah terlebih dahulu melarang baginda mengikuti permintaan
mereka dengan menurunkan ayat ini. Allah tak mahu Rasulullah ﷺ mengenepikan
para sahabat yang ikhlas beribadah kepada Allah siang dan malam. Rasulullah ﷺ juga
dilarang untuk meninggalkan para sahabat.
وَلَا
تُطِعْ مَنْ أَغْفَلْنَا قَلْبَهُ عَنْ ذِكْرِنَا وَاتَّبَعَ هَوَاهُ وَكَانَ
أَمْرُهُ فُرُطًا
“..dan janganlah kamu mengikuti orang yang
hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami, serta mereka itu menuruti
hawa nafsunya dan adalah tingkah laku mereka itu melampaui batas.”
Allah sangat
menekankan kepada Rasulullah ﷺ dengan melarang mentaati orang-orang yang
lalai daripada mengingati Allah dan mengikuti hawa nafsu mereka. Kalaulah Rasulullah ﷺ mengikut
syarat yang dibuat oleh pemimpin elit kaum musyrikin ini, mungkin akan
membuatkan hatinya sibuk dengan urusan duniawi sampai melupakan hal Akhirat. Itulah
kerugian yang hakiki di dunia dan Akhirat.
Syeikh
Abdurrahman As-Sa’di berkata, “Sesungguhnya hal itu akan menyebabkan hati
tergantung dengan dunia. Maka fikiran dan bisikan-bisikan hanya tertuju
padanya, hati terjauh daripada mengingat Akhirat. Sebab sesungguhnya perhiasan
dunia begitu mengagumkan bagi orang yang melihatnya, menyihir hati sampai lalai
daripada berzikir kepada Allah lalu tenggelam ke dalam kelazatan dan syahwat,
akhirnya terjebak dengan menyia-nyiakan waktu dan lalai dalam perkaranya, lalu
dia akan merugi dengan kerugian yang abadi dan penyesalan yang selama-lamanya.”
*****
![]() |
Dapatkan novel Kau Bukan Adiratna karya Najmi Fetih di semua rangkaian kedai buku di seluruh Malaysia. |
Satu
ayat di atas ini sebenarnya mengandungi banyak pengajaran seperti hubungan guru
dan murid, mencari kawan yang beriman, jangan terlalu menghukum, dan
sebagainya. Saya rasa macam nak tulis semua, tetapi saya fokuskan kepada 2
perkara saja. Iaitu,
1. Bersabarlah
dengan sesama pendakwah dan orang beriman. Kenapa pendakwah dan orang
beriman? Sebab kita yakin mereka ini beribadah kepada Allah pagi dan petang demi
mengharapkan keredhaan Allah. Tetap, bersabar yang macam mana?
Teman,
manusia yang ada di dalam dunia ini mempunyai pelbagai ragam, tak kira sama ada
orang beriman ataupun kafir. Ada yang pendiam, banyak cakap, suka cakap lepas, suka
menyampuk, penyabar, panas baran, ada yang rasa dia saja paling betul, dan
banyak lagi jenis perangai. Dan kita pula disuruh oleh Allah supaya bersabar
dengan pendakwah dan orang beriman yang ada pelbagai perangai dan ragam ini. Lagipun,
hakikatnya kita sendiri pun ada perangai tersendiri. Kalau setakat berkecil
atau terasa hati ini mungkin normal, tetapi janganlah terlalu melayankan
perasaan hingga timbul rasa benci, dendam, dan menjauhkan diri daripada orang
beriman dan sesama pendakwah. Lebih teruk lagi, terus memburukkan dan membuka
aib sesama pendakwah dan orang beriman. Innalillah.
Janganlah
macam itu teman. Usahalah untuk sentiasa berlapang dada dan bersangka baik
dengan sesama Muslim, khususnya pendakwah dan orang beriman. Walaupun mungkin
kita banyak kali berkecil hati dan kecewa, tetapi ia tidak sekali-kali
membenarkan kita membuka aib, menghina, memburukkan apatah lagi menjauhi
mereka. Sebab kita sendiri kena sedar, bahawa kita pun bukanlah sempurna mana
pun. Imam Hassan al-Banna beritahu, peringkat ukhuwwah yang paling tinggi
adalah ithar, dan peringkat yang paling rendah adalah salimatus sodri, iaitu
berlapang dada.
2. Anjuran
untuk sentiasa bersama dengan orang yang soleh dan baik, walaupun mereka ini
miskin, lemah, tak pandai, tak belajar di universiti, pendiam, cacat, dan pelbagai
lagi kelemahan. Sebab apabila duduk dan bersama dengan mereka, akan
mendatangkan kebaikan yang sangat banyak. Masa imam
Ibnu Kathir menafsirkan ayat surah al-Kahfi di atas, dia menyebutkan,
“Duduklah bersama orang-orang yang mengingat Allah, yang bertahlil
(mengucapkan la ilaha illallah), memuji, bertasbih (mengucapkan subhaanallah),
bertakbir (mengucapkan Allahu Akhbar) dan memohon padaNya di waktu pagi dan
petang di kalangan hamba-hamba Allah, baik mereka itu orang-orang miskin atau
orang-orang kaya, atau mereka itu orang-orang kuat mahupun orang-orang yang
lemah.”
Bahkan Rasulullah ﷺ
bersabda yang bermaksud,
“Janganlah engkau berteman kecuali dengan orang
yang beriman dan janganlah memakan makananmu kecuali orang yang bertakwa.”
(Riwayat Abu Dawud)
Abu Sulaiman Al-Khattabi berkata,
"Sesungguhnya Nabi Muhammad ﷺ memperingatkan dan mengherdik kita agar tidak
bertemankan dengan orang yang tidak bertaqwa dan tidak pula makan
bersamanya. Sebab makan bersama akan menimbulkan rasa kasih sayang di dalam
hati.”
Moga
Allah melembutkan hati kita untuk sentiasa bersabar, bersangka baik, dan berlapang
dada dengan sesama pendakwah dan orang beriman, serta sentiasa duduk bersama
mereka.
Wallahua’lam.
- Shukery Azizan
–
p/s: Tulisan ini
diambil daripada buku Pujukan Dari Tuhan karya Shukery Azizan. Boleh dapatkan
buku Pujukan Dari Tuhan sama ada di kedai-kedai buku POPULAR, MPH, SMO dan
lain-lain, atau boleh juga dapatkan secara online melalui isbirofficial.
p/s : Dapatkan E-Book tulisan Shukery Azizan yang bertajuk "Kisah Wanita Di Dalam Al-Quran" hari ini juga. Klik di sini untuk dapatkan segera : >> KLIK DI SINI <<
Tadabbur Juzuk 15 : Bersabarlah Dengan Sesama Pendakwah Dan Orang Beriman
Reviewed by Tarbiah Sentap
on
17:46
Rating:

No comments:
Post a Comment