InsyaAllah, kali ini kita akan memasuki ke dalam surah An-Nahl,
salah satu surah yang agak terkenal di dalam kalangan orang Malaysia. Sebab
apa? Sebab ia berkaitan dengan lebah. Surah ini adalah surah ke-16 dalam al-Quran. Surah ini
tergolong dalam kalangan surah-surah Makiyyah. Surah ini juga dinamakan An-Nahl
yang bermaksud lebah sebab ada di dalamnya, firman Allah ayat 68 yang bermaksud:
“Dan Tuhanmu mewahyukan kepada lebah”. Lebah adalah makhluk Allah yang
menghasilkan madu daripada pelbagai sari pati bunga. Saya tak nak hurai sangat
tentang madu dan lebah, nanti jadi buku sains pula. Cuma saya tertarik dengan
satu hadis, Rasulullah ﷺ bersabda
yang bermaksud,
“Perumpamaan seorang Mukmin seperti lebah.
Apabila ia makan, maka ia akan memakan suatu yang baik. Dan jika ia
mengeluarkan sesuatu, ia pun akan mengeluarkan sesuatu yang baik. Dan jika ia
hinggap pada sebuah dahan untuk menghisap madu ia tidak mematahkannya.”
(Riwayat Al-Baihaqi)
Tadabburlah
hadis di atas, dan bandingkan diri kita. Adakah diri kita seperti lebah,
ataupun lalat? Apa pun, kita terus sambung kepada ayat pilihan untuk juzuk ke
14 ini, iaitu ayat yang ke 125. Bismillah,
ادْعُ
إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ۖ
وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ
ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ ۖ وَهُوَ أَعْلَمُ
بِالْمُهْتَدِينَ
“Serulah
ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat
pengajaran yang baik, dan bantahlah mereka (yang engkau serukan itu) dengan
cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui
akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan
orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.”
(Surah An-Nahl 16:125)
Ini adalah antara ayat yang
paling penting untuk kita tadabbur, khususnya kepada para pendakwah yang nak
menyampaikan seruan Islam di dalam masyarakat. Antara asbabun nuzul ayat ini adalah,
ketika mana Saidina Hamzah gugur syahid di
dalam medan perang Uhud dan dalam keadaan tercincang jasadnya. Ketika
Rasulullah ﷺ melihat
keadaan jasadnya, Rasulullah ﷺ bersumpah,
“Sesungguhnya aku bersumpah akan membalas 70 orang daripada mereka sebagai
penggantimu”. Apa pun, Allah mengajarkan kita melalui ayat ini kaedah berdakwah
kepada manusia. Umumnya, ada tiga jenis kaedah dakwah kepada masyarakat. Kaedah
pertama, Allah menyebut,
ادْعُ
إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ
“Serulah
ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan..”
![]() |
Dapatkan buku Surat Untuk Orang Putus Asa karya Ustaz Adnin Roslan di setiap rangkaian kedai buku seluruh Malaysia. |
Kaedah pertama adalah dengan
menggunakan cara بِالْحِكْمَةِ iaitu dengan penuh hikmah. Hikmah di sini maksudnya adalah kebijaksanaan
menggunakan dalil al-Quran (naqli) dan juga akal (aqli), mengikut tempat dan
keadaan. Kaedah pertama nak ditujukan kepada siapa? Ianya untuk golongan yang
berpendidikan dan bijak pandai yang mempunyai pengaruh dan pengikut dalam
kalangan masyarakat. Kalau zaman Nabi Musa alaihissalam, ia seperti golongan
ahli sihir, menteri dan keluarga Firaun. Tetapi kalau zaman Rasulullah ﷺ pula, ia
seperti golongan penyair, pemuka kaum
dan orang yang bijak pandai. Tetapi kalau zaman hari ini, lebih kepada kelompok
seperti pelajar pintar (SMS, MRSM, SBPI, dan seumpamanya), golongan berkerjaya,
professional, korporat, elit dan menteri. Secara mudahnya, golongan yang ada
pendidikan luar biasa dan tinggi serta yang mempunyai taraf sosial elit di
peringkat negara. Kemudian Allah menyambung lagi,
وَالْمَوْعِظَةِ
الْحَسَنَةِ
“..dan nasihat pengajaran yang baik..”
Ini
pula kaedah kedua, iaitu menggunakan cara menyampaikan nasihat yang baik. Kaedah
ini bersifat umum, boleh digunakan kepada semua lapisan masyarakat awam,
khususnya orang awam. Daripada kanak-kanak, hinggalah orang tua. Daripada
sekolah harian biasa, hinggalah yang luar biasa. Daripada penagih dadah,
sehinggalah banduan penjara. Daripada kerja professional, sehinggalah kerja
kampung seperti buruh, nelayan dan juga petani. Hehe. Kebiasaannya, masyarakat
awam amat bersedia untuk mendengar nasihat dan peringatan yang lembut. Kalimah الحَسَنَةِ (al-Hasanah) ditafsirkan dengan memberikan
targhib dan tarhib (ajakan dan larangan). Tujuannya adalah untuk melembutkan
hati dan berusaha agar nasihat ini sampai kepada seluruh manusia. Kaedah dakwah
untuk golongan ini lebih mudah berbanding yang professional dan yang menentang
Islam. Kemudian Allah sambung lagi,
وَجَادِلْهُمْ
بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ
“..dan bantahlah mereka (yang engkau serukan
itu) dengan cara yang lebih baik..”
Ini
pula kaedah ketiga yang Allah ajarkan kepada kita, iaitu membantah golongan
yang melawan pendakwah dengan cara yang lebih baik. Zaman Rasulullah ﷺ dulu,
pemuka Quraisy yang membantah dan melawan dakwah baginda. Dan para anbiya’
sebelum itu pun ada juga wujud golongan yang melawan dakwah mereka. Kalau hari
ini, biasanya golongan yang melawan pendakwah dan Islam adalah musuh-musuh
Islam yang sudah mempunyai organisasi (tanzim) dan kumpulan yang terancang
dan tersendiri.
Contohnya
seperti organisasi LGBT, kumpulan Atheis, organisasi Kristian Evangelis,
organisasi liberal sekular, kelompok hak asasi manusia seperti COMANGO dan
sebagainya. Golongan seperti ini kita kena bantah dengan cara yang paling أَحْسَنُ iaitu paling baik. Contohnya berdebat
dengan mereka, menyuarakan bantahan dengan hujah kukuh atas segala cadangan
mereka yang mengikis dan merosakkan Islam, dan sebagainya. Kemudian Allah
menyambung pada frasa terakhir,
بِالْمُهْتَدِينَ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ
بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ ۖ وَهُوَ أَعْلَمُ
“..sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih
mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih
mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.”
Allah jualah yang lebih tahu
siapa yang sesat, siapa yang menemui kebenaran. Kalau mereka kalah dalam
berdebat sekalipun, belum tentu mereka nak beriman dan bertaubat kepada Allah.
Sebab hidayah ini semata-mata milik Allah. Tugas kita hanyalah menyampaikan
kebenaran dan dakwah saja walaupun ia pahit.
******
Ada banyak pengajaran besar untuk kali ini. Antaranya,
1. Pendakwah hari
ini kena memaksakan diri sendiri untuk menguasai pelbagai disiplin ilmu. Kena
keluar daripada zon selesa. Kalau boleh, bukan setakat menguasai disiplin ilmu
agama seperti usul fiqh, tafsir, bahasa Arab dan lain-lain, tetapi kena juga menguasai
disiplin ilmu lain seperti sejarah, ekonomi, undang-undang, sains perubatan,
geopolitik antarabangsa, perhubungan antarabangsa, diplomatik, pengarah filem, ketenteraan
dan sebagainya.
Sebab hari ini kita tidak
berhadapan dengan musuh Islam dalam konteks peperangan senjata, tetapi
berhadapan dalam konteks war of ideas (serangan pemikiran atau ideologi). Sayangnya,
hari ini sangat ramai para pendakwah yang ketinggalan dalam bidang disiplin
ilmu sebegini. Perbezaan antara hard power dan soft power pun tak tahu. Itu
belum lagi istilah yang pelik-pelik seperti semantic infiltration, dan
sebagainya. Sampaikan ada sebahagiannya yang merasakan ‘ini semua dunia’. Aduh,
salah tu.
Dan lebih
sayangnya, ada orang Islam yang menguasai disiplin ilmu undang-undang, ekonomi,
sains politik dan sebagainya, tetapi jauh pula daripada agama. Bahkan ada yang akhirnya
termasuk dalam kelompok liberal, sekular, liberal demokratik, syiah, dan
sebagainya. Aduh, sakit kepala.
Semua pendakwah
yang menguasai asas dan sendi syarak di dalam jiwanya wajib mengubah cara
fikir. Kena banyak mujahadah untuk menguasai disiplin ilmu yang pelbagai
(interdisciplinary). Susah? Memang susah, kerna Syurga bukan percuma. Kalau
kita tak kuasai semua bidang ini, puak jahiliyah pula yang akan menguasainya.
2. Kaedah dakwah
ini ada pelbagai, bergantung kepada siapa mad’u (sasaran dakwah) kita.
Setiap orang berlainan cara
penerimaan dakwah, dan kita tak boleh pukul rata. Ibarat macam penyakit. Setiap
pesakit wajib diberikan ubat yang berbeza. Sebab setiap penyakit itu berlainan
dos ubat yang perlu diberikan. Tak bolehlah kalau pesakit kanser tahap 4,
diberikan ubat panadol activefast saja. Ataupun pesakit yang demam panas diberikan
rawatan dengan pembedahan otak. Begitulah juga sasaran dakwah. Kalau orang yang
jauh daripada agama, tetapi rasa nak berubah, berikanlah nasihat yang baik.
Kalau golongan intelek atau professional yang perlukan hujah, sampaikanlah
dengan penuh hikmah. Kalau golongan yang menentang Islam secara
terang-terangan, berhadapanlah dengan baik.
3. Tetapi hari ini
sayangnya, ramai orang Islam yang mula apologetik dengan dakwah. Ada yang takut
nak berdakwah atas alasan belum sempurna. Yang dah berani buat dakwah, tetapi
tak mengikut syaraklah pula. Dengan orang kafir berlemah-lembut, dengan sesama
Muslim bertegas keras. Terbalik pula. Umat Islam dah terlalu bertoleransi dan
bertolak ansur sehingga akhirnya ditolak beransur-ansur. Yang perlu lembut,
kita keras. Yang perlu tegas, kita diam membisu. Itu baru satu perkara, belum
lagi yang menghalalkan apa yang haram, bercampur aduk dengan kebatilan, dan
sebagainya. Allah..
Moga Allah kembalikan semula
maruah dan ‘izzah umat Islam di tempat yang tertinggi. Serta moga Allah memilih
kita menjadi pendokong dan orang yang terpilih dalam menegakkan agama Allah.
Ameen.
Wallahua’lam.
- Shukery Azizan
–
p/s: Tulisan ini
diambil daripada buku Pujukan Dari Tuhan karya Shukery Azizan. Boleh dapatkan
buku Pujukan Dari Tuhan sama ada di kedai-kedai buku POPULAR, MPH, SMO dan
lain-lain, atau boleh juga dapatkan secara online melalui isbirofficial.
Juzuk 14 : Inilah Kaedah Dakwah Daripada Allah
Reviewed by Tarbiah Sentap
on
17:40
Rating:

No comments:
Post a comment