Juzuk untuk tadabbur kali ini kita akan pilih surah Ibrahim.
Surah ini merupakan daripada kalangan surah Makiyyah, dan dinamakan Ibrahim
antaranya doa Nabi Ibrahim pada ayat ke 35 hingga 41. Objektif utama surah ini
ada pada ayat yang pertama iaitu tentang risalah
kerasulan. Maksud risalah yang nak disampaikan dalam surah ini adalah tugas
Nabi untuk mengeluarkan manusia daripada syirik ke arah nur melalui perantaraan
wahyu.
Dalam surah ini juga, Allah beritahu beberapa
peristiwa sebagai pengajaran untuk kita. Kesemuanya ada 6 kisah. 4 kisah
tentang akhirat dan 2 lagi tentang dunia. Allah mengolahnya dalam bentuk cerita
sebab ada orang yang boleh berubah ke arah kebaikan setelah mendengar
kisah-kisah yang menyentuh hati. Dalam dunia ini, ada orang yang kita beri macam-macam
hujah itu ini, tetapi mereka tetap tak mahu terima. Tetapi apabila baca
kisah-kisah tertentu, hati mereka tersentuh dan boleh terima. Inilah keajaiban
al-Quran. Apa pun, kali ini saya sentuh pada ayat ke-7, Allah berfirman,
وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ
وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ
"Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi
sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada
kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah
keras"."
(Surah Ibrahim 14 : 7)
Ayat ini pada asalnya adalah seruan Nabi Musa alaihissalam kepada bani Israel
supaya mereka bersyukur kerana mendapat pengetahuan agama dan segala macam
nikmat-nikmat yang lain. Ini diceritakan pada ayat yang ke-6. Saya yakin, kita
secara umum tahu kisah perjalanan Nabi Musa dan Bani Israel. Bagaimana Allah menyelamatkan
mereka daripada Firaun yang menyeksa dan membunuh setiap anak lelaki mereka.
Kemudian akhirnya mereka berjaya menyeberangi laut merah. Peristiwa itu masih
segar lagi di dalam ingatan Bani Israel, sebab peristiwa itu baru saja berlaku.
Kemudian di tengah-tengah padang pasir itu, Nabi Musa alaihissalam menyampaikan
khutbah kepada Bani Israel bukan untuk bersabar, tetapi untuk BERSYUKUR.
Allah merakamkan
khutbah agung ini di dalam ayat ke-7 ini. Bersyukur dengan segala nikmat yang
telah Allah kurniakan. Sebab apa suruh bersyukur? Formulanya, kalau tak
bersyukur, macam mana nak bersabar? Sebab sabar tidak hadir sendirian, ia mesti
hadir dengan perasaan syukur. Dan kalau mereka bersyukur dengan nikmat yang
ada, pasti Allah akan tambah lagi nikmat-nikmat itu.
Apa pun, awak mesti biasa dengarkan ayat ini kan? Ini juga
antara ayat pujukan yang sangat menyentuh hati. Allah beritahu,
لَئِنْ شَكَرْتُمْ
"..Jika kamu bersyukur.."
Dalam kaedah bahasa Arab, ayat di atas adalah isyarat Allah bahawa
kalau kita bersyukur WALAUPUN sedikit. Ya, walaupun hanya sedikit. Allah tidak
minta banyak pun kita bersyukur, tetapi SEKURANGNYA sedikit saja. Kemudian
Allah sambung lagi,
لَأَزِيدَنَّكُمْ
"..nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu.."
Walaupun bersyukur hanya sedikit saja, Allah tetap akan tambah
dan tambah dan tambah lagi nikmat. Formulanya senang, kita diminta untuk bersyukur walaupun
sedikit, kemudian sekaligus Allah akan menambah nikmat lagi dan lagi. Tetapi di
sini ada 2 persoalan. Bersyukur tentang apa? Sudah pasti, memang bersyukur pada
Allah. Tetapi ayat ini Allah tidak sebut pun secara khusus bersyukur kepadaNya.
Kan? Dan satu lagi persoalan, nikmat yang macam mana?
![]() |
Dapatkan buku Harapan Masih Ada karya Qamarul Nazrin di semua rangkaian kedai buku di seluruh Malaysia. |
Persoalan pertama, bersyukur itu termasuklah bersyukur kepada
Allah, bersyukur kepada Rasulullah ﷺ, kepada ibu bapa,
sahabat-handai, para guru dan pensyarah, murabbi, majikan, dan semua manusia.
Sebab bersyukur ini bukan hanya pada kalimah ‘Alhamdulillah’ semata-mata,
tetapi ia juga pada SIKAP. Secara mudah faham, sikap untuk menghargai
sesuatu. Dan ia mestilah diamalkan dalam bentuk kehidupan, cara fikir, cara
bertindak, cara reaksi, perjalanan hidup seharian dan lain-lain.
Mungkin ada sebahagian orang tak setuju dengan penggunaan kalimah
syukur kepada selain Allah, baiklah. Selain daripada Allah, kita gunakan
istilah berterima kasih. Mana-mana pun, sama ada syukur ataupun terima kasih,
kita wajib untuk menghargai setiap orang yang ada di sekeliling kita.
Persoalan kedua pula, nikmat yang macam mana? Inilah antara
kecantikan ayat Allah. Allah sekali lagi memberitahu secara umum yang Dia akan
tambah dan tambah dan tambah NIKMAT tanpa Allah beritahu nikmat apa. Allah tak
letak sebarang had untuk nikmat yang Dia nak tambahkan kepada kita. Boleh jadi
Allah akan tambah lagi dan lagi akan nikmat iman, ilmu, kefahaman islam, rezeki,
kesabaran, keberkatan harta, kepandaian, keselamatan, gaji, masa terluang
bersama keluarga, dakwah, tarbiah, istiqomah, bernikah, boleh jawab peperiksaan
dengan cemerlang, boleh membaca dan menulis, boleh menulis buku, dan
sebagainya. Banyak sangat nikmat yang Allah dah beri, sedang beri, akan beri
dan akan ditambah lagi.
Itupun sekiranya kita bersyukur. Kemudian ada lagi satu lagi
ayat yang sangat menarik untuk kita fahami,
وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ
"..jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah
keras.."
Kalau awak perasan, ada sesuatu yang menarik pada ayat ini.
Iaitu Allah langsung TIDAK menggunakan kalimah “Aku” berbanding ayat sebelum
ini. Seperti saya sebut dalam juzuk kedua, dalam kebanyakkan ayat, Allah kebiasaannya
akan menggunakan kata ganti diri “Kami”, “Dia” atau “Allah”. Tetapi dalam
keadaan menggambarkan sangat cinta atau sangat murka, barulah Allah menggunakan
kata ganti diri “Aku”. Subhanallah! Pada ayat sebelum ini, Allah telah menggunakan
kata ganti diri “Aku”, yang mana Allah seakan nak memujuk kita supaya bersyukurlah
walaupun sedikit, nescaya Allah akan tambah nikmat lagi dan lagi.
Tetapi pada bahagian ini pula, Allah tak guna kata ganti diri
“Aku”. Allah tak menyebut pun seperti ni,
“Kalau kau tak bersyukur, Aku akan seksa kau dengan seksa
keras..”
"Kalau kau tak bersyukur, Aku akan hukum kau.."
dan seumpamanya. Tetapi sebaliknya, Allah menyebut,
"..Sesungguhnya azabKu amatlah keras / pedih.."
Apa bezanya? Begini. Kalau dibacakan ayat di atas dengan teliti,
Allah TIDAK menyebut seperti “wa la in kafartum FA inna azabi la syadid..” Tetapi
sebaliknya Allah memberitahu, “Wa la in kafartum INNA azabi la syadid..” Dalam
kaedah bahasa Arab, apabila ada kalimahفَ (FA), ia membawa maksud, “.. Jika kamu kufur
ingkar, SETERUSNYA azabKu amatlah keras..”
Tetapi apabila Allah menggunakan kalimah إِنَّ (INNA), ia seakan-akan
membawa maksud, premis pertama (Jika kamu kufur ingkar) tiada kaitan
langsung dengan premis kedua (sesungguhnya azabKu amat keras..). Keliru?
Beginilah, dengan kata mudah, Allah seakan nak memberi isyarat,
“Sekiranya kamu kufur ingkar (tak bersyukur),” dot dot dot, kemudian
barulah Allah menyambung premis yang baru iaitu “sesungguhnya azabKu amatlah
keras”. Allah TIDAK menyambungkan pun kedua-dua premis ini. Analoginya
sebegini.. Di dalam sebuah kelas, hanya ada seorang pelajar yang tidak berjaya menyiapkan
kerja sekolah yang diberikan seorang guru kelas. Lalu, guru kelas itu pun menyatakan
kepada pelajar tersebut,
“Kau tak buat kerja sekolah lagi? Haih... Samsol, kau tahu tak, cikgu
dah lama tak rotan orang tau..”
Ia berbeza jika guru kelas itu cakap seperti ini,
“Kau tak buat kerja sekolah lagi? Kau memang kena rotan ni!”
Nampak tak perbezaan kedua-dua ayat guru kelas di atas? Fahamkan?
Ayat pertama itu membawa maksud, kemungkinan guru kelas itu akan terus rotan,
mungkin juga sekadar memberi amaran sahaja. Tetapi pada ayat kedua pula, sudah
pasti pelajar itu akan kena rotan. Tiada kompromi dah. Nampak? Fahamkan?
Disebabkan itu juga, kita sepatutnya wajib bersyukur dengan penurunan
ayat ini sendiri kerana Allah masih lagi memberikan kepada kita peluang untuk
belajar bersyukur sebelum Dia terus memberikan sebarang hukuman ataupun azab. Peluang
dan ruang yang Allah berikan untuk kita mula belajar bersyukur kepada Allah.
Allah seakan-akan menangguhkan hukumannya kepada kita berbanding apa yang
berlaku kepada kaum-kaum sebelum ini. Duhai teman, maka nikmat Tuhanmu yang
manakah hendak kita dustakan lagi?
*****
![]() |
Dapatkan buku Bagaimana Menjadi Pemimpin karya Ir Lukman Al Hakim di semua rangkaian kedai buku di seluruh Malaysia |
Apa pengajaran yang kita boleh dapat?
Imam
Al-Ghazali ada menyebut dalam kitab ‘Ihya Ulumuddin’ bahawa syukur itu adalah menjunjung
tinggi nikmat, seterusnya mengagungkan Allah. Syukur juga merupakan salah satu
maqam (darjat) yang paling tinggi daripada sabar dan khauf (takut) kepada
Allah. Cara kita nak buktikan kesyukuran pada Allah melalui 4 kaedah.
1) Bersyukur dengan hati.
Tanda
bersyukur dengan hati adalah, apabila kita bersungguh-sungguh meyakini
bahawa segala nikmat, pemberian, hadiah, kegembiraan, kebaikan semuanya datang
daripada Allah semata-mata, walaupun secara fizikalnya nampak seperti manusia
yang berikan. Contohnya, mak kita berikan hadiah hari jadi. Kita kena yakin
bahawa hadiah ini Allah yang berikan, melalui perantaraan mak kita. Allah
berfirman yang bermaksud,
“Dan,
apa sahaja nikmat yang ada pada kamu, maka dari Allahlah (datangnya) dan
apabila kamu ditimpa oleh kemudaratan, maka hanya kepada-Nyalah kamu meminta
pertolongan.”
(An-Nahl
16 : 53)
2) Bersyukur dengan
lisan.
Banyakkan puji-pujian kepada Allah dengan berzikir khususnya
lafaz Alhamdulillah. Dan satu lagi, setiap kali orang memuji kita, kembalikanlah
pujian itu kepada Allah. Contohnya, ada seseorang memuji kepandaian kita,
jawablah Alhamdulillah, segala puji bagi Allah. Kita kembalikan pujian kepada
Allah, sebab hanya Dialah satu-satunya yang paling layak dipuja dan dipuji sepenuhnya.
3) Bersyukur dengan
amal perbuatan
Kita kerahkanlah segala kudrat anggota badan untuk melakukan
ibadah kepada Allah. Tanda syukur yang paling tinggi adalah apabila kita menunaikan
solat fardhu 5 waktu dan berdakwah. Inilah tanda kesyukuran yang paling tulen
dan asli. Kemudian, barulah kita gunakan anggota badan untuk mengelak daripada membuat
maksiat. Menjaga pandangan mata daripada tengok perkara dosa seperti video
lucah, aurat, dan sebagainya, menjaga telinga daripada mendengar lagu-lagu yang
haram, menjaga mulut daripada bercakap perkara yang haram seperti mengumpat,
memfitnah, menipu, mengadu domba, dan sebagainya.
4) Bersyukur dengan
segala nikmat pemberian.
Apa-apa perkara yang kita perolehi, sentiasa merajinkan diri
untuk bersyukur walaupun sekecil-kecil perkara. Contohnya, dianjurkan setiap
kali bangun daripada tidur untuk membaca doa yang bermaksud, “segala puji bagi
Allah, yang menghidupkan aku selepas mematikan aku.” Selain daripada itu, selalu
bersyukur dengan nikmat masa, ilmu, kesihatan, dan sebagainya. Dan satu lagi, rajinkan
untuk memandang orang yang kurang bernasib baik daripada kita. Rasulullah ﷺ bersabda yang bermaksud,
“Lihatlah kepada orang-orang yang lebih rendah daripada kamu, dan
janganlah kamu melihat kepada orang-orang yang berada di atas kamu, kerana yang
demikian itu lebih patut bagi kamu, supaya kamu tidak meremehkan nikmat Allah
yang telah dianugerahkan kepada kamu.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Moga kita menjadi hamba Allah yang selalu bersyukur dan
membuktikan kesyukuran.
Wallahu’alam.
- Shukery Azizan
–
p/s: Tulisan ini
diambil daripada buku Pujukan Dari Tuhan karya Shukery Azizan. Boleh dapatkan
buku Pujukan Dari Tuhan sama ada di kedai-kedai buku POPULAR, MPH, SMO dan
lain-lain, atau boleh juga dapatkan secara online melalui isbirofficial.
Juzuk 13 : Bersyukurlah Walaupun Sedikit
Reviewed by Tarbiah Sentap
on
22:27
Rating:

No comments:
Post a comment