Juzuk kali ini kita akan masuk ke surah Yusuf, surah yang ramai
orang tahu. Kalau ikut dongeng orang lama, kalau nak anak kacak dan cantik,
bacalah surah Yusuf semasa ibu sedang mengandung. Ataupun kalau nak bahagia
kahwin, baca surah Yusuf masa awal pernikahan. Tak tahulah apa kaitan. Apa pun,
surah ini surah Makiyyah. Ianya diturunkan
selepas kematian isteri Rasulullah ﷺ, Khadijah dan bapa saudaranya Abu Talib. Tahun
selepas kematian keduanya ini dinamakan sebagai Tahun Kesedihan.
Surah
ini sangat unik sebab satu-satunya surah yang menceritakan kisah hidup seorang
Nabi dengan sangat spesifik dan terperinci, iaitu Nabi Yusuf alaihissalam.
Bahkan, ada sebahagian penulis novel yang mengkaji surah Yusuf ini daripada
pelbagai sudut seperti konflik, latar masa, watak perwatakan, teknik
penceritaan, dialog, naratif, dan sebagainya. Ianya disebabkan pengesahan Allah
pada ayat yang ke-4, yang bermaksud,
“Kami
menceritakan kepadamu kisah yang paling baik dengan mewahyukan Al Quran ini
kepadamu,”
(Surah Yusuf
12 : 4)
Dan secara ringkas, ada 4 perkara yang Allah hendak beritahu dalam
surah ini,
1.
Hanya Allah sahaja yang tahu perkara ghaib. Rasulullah ﷺ pun
tidak tahu. Ini adalah tentang akidah yang kita kena pegang sentiasa.
2.
Allah berkuasa penuh ke atas segalanya, bukan Rasulullah ﷺ, samada
mereka hidup atau mati. Ada banyak kisah tentang ikhtiar yang dibuat oleh Nabi
Ya’qub alaihissalam, adik beradik Nabi Yusuf alaihissalam dan mereka yang lain
dalam kisah ini tetapi apa yang berlaku adalah dengan izin dan kehendak Allah
sahaja.
3.
Surah ini untuk menghiburkan hati Nabi Muhammad ﷺ. Ianya
turun di Mekah. Ia nak menggambarkan kepada baginda bahawa orang Mekah yang
menentang Rasulullah ﷺ
akhirnya akan mengalah sepertimana adik beradik Nabi Yusuf alaihissalam.
Walaupun permulaannya mereka bersikap buruk terhadap Nabi Yusuf alaihissalam tetapi
akhirnya mereka ikut nasihat baginda juga. Sebab itu, Rasulullah ﷺ tak
perlu bimbang dan lemah semangat dengan layanan orang musyrikin Mekah, sebab
akhirnya Rasulullah ﷺ akan
menang.
4.
Semua yang dilantik menjadi Nabi, tidak boleh
hidup bebas tetapi mereka akan diuji dengan tugas. Mereka tak hidup macam orang
lain lagi dah kerana mereka itu ada tugas. Mereka kena jalankan tugas untuk sampaikan
dakwah dan sepanjang masa itu mereka akan diuji. Begitu juga dengan umat Islam yang
mengaku ikut Nabi dan sanggup untuk menyambung kerja Rasulullah ﷺ untuk
berdakwah, pun akan diuji. Tetapi kena juga ingat, sebagaimana Allah selamatkan
para Nabi, begitu juga insyaAllah, Allah akan selamatkan mereka yang menyambung
tugas para Nabi itu.
Apa pun, untuk juzuk ini saya akan pilih ayat yang ke 23. Bismillah.
وَرَاوَدَتْهُ الَّتِي هُوَ فِي بَيْتِهَا عَنْ نَفْسِهِ
وَغَلَّقَتِ الْأَبْوَابَ وَقَالَتْ هَيْتَ لَكَ ۚ قَالَ مَعَاذَ اللَّهِ ۖ
إِنَّهُ رَبِّي أَحْسَنَ مَثْوَايَ ۖ إِنَّهُ لَا يُفْلِحُ الظَّالِمُونَ
"Dan perempuan yang Yusuf tinggal di rumahnya,
bersungguh-sungguh memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya; dan perempuan itupun
menutup pintu-pintu serta berkata: "Marilah ke mari, aku bersedia
untukmu". Yusuf menjawab: "Aku berlindung kepada Allah (dari
perbuatan yang keji itu); sesungguhnya Tuhanku telah memuliharaku dengan sebaik-baiknya;
sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan berjaya".
(Surah Yusuf 12 : 23)
Dalam banyak-banyak peristiwa yang dirakamkan di dalam surah
Yusuf, ada satu kisah yang saya nak kongsikan untuk juzuk kali ini insyaAllah.
Iaitu berkaitan dengan GODAAN. Bukan godaan syaitan ataupun Iblis, tetapi
godaan manusia. Atau secara khususnya, godaan seorang perempuan. Allah sebut,
وَرَاوَدَتْهُ الَّتِي هُوَ فِي بَيْتِهَا عَنْ نَفْسِهِ
"Dan perempuan yang Yusuf tinggal di rumahnya,
bersungguh-sungguh memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya.."
Dalam ayat ini, perempuan tersebut (seperti dalam riwayat yang
terkenal diberi nama Zulaikha, seorang isteri kepada menteri di Mesir) cuba
memujuk atau menggoda Nabi Yusuf alaihissalam secara perlahan-lahan, halus dan
lembut. Hatta, bukan hanya sekali saja digoda, bahkan berkali-kali. Mungkin
sebab itu juga, pada permulaan ayat, Allah menggunakan kalimah راوَدَتهُ (rowadathu)
yang membawa makna keputusan untuk melakukan sesuatu setelah difikir lama, sampai
tahap berjalan mundar mandir memikirkannya.
Maknanya,
perempuan tu dah lama fikirkan perancangan untuk menggoda Nabi Yusuf
alaihissalam, dan rancangan itu selalu bermain di dalam fikirannya. Pada masa yang sama, Nabi Yusuf alaihissalam memang tidak
boleh nak pergi mana-mana, sebab masa itu,
الَّتِي هُوَ فِي بَيْتِهَا
"..yang Yusuf tinggal di rumahnya,"
Ayat هُوَ في بَيتِها (hua fi baitihaa) yang bermaksud ‘dia tinggal
di rumah perempuan itu’ nak menggambarkan keadaan Nabi Yusuf alaihissalam yang sedang
tinggal di dalam rumah yang sama dengan perempuan itu. Inilah dilemma yang
dihadapi oleh baginda. Cuba bayangkan, bukan senang baginda nak menolak apa
yang diminta oleh perempuan itu. Kemudian Allah tambah
lagi,
وَغَلَّقَتِ الْأَبْوَابَ
"..dan perempuan itupun menutup pintu-pintu.."
Ha, selepas buat perancangan dengan teliti dan nekad untuk
melaksanakan, perempuan itu tutup segala pintu-pintu rumah. Allah gunakan kalimah
الأَبوابَ (al abuaba)
yang bermaksud pintu dalam bentuk jamak. Dan satu lagi, Allah juga menggunakan kalimah
غَلَّقَ yang
bermaksud mengunci. Nampak tak, dahlah awalnya kena tinggal berdua saja,
kemudian pintu pula kena tutup, siap berkunci pula tu. Bukan satu pintu saja yang
dikunci, bahkan kesemuanya. Sebab itu, kalau kita fikir dengan logik akal,
macam mana Nabi Yusuf alaihissalam nak melarikan diri? Ayat ini sekaligus menepis
sangkaan yang Nabi Yusuf alaihissalam tak berusaha untuk meninggalkan perempuan
itu. Tak cukup dengan itu, perempuan itu siap memujuk Nabi Yusuf alaihissalam,
وَقَالَتْ هَيْتَ لَكَ
".."Marilah ke mari, aku bersedia
untukmu".."
Kali ini bertambah mendebarkan! Kalimah هَيْتَ لَكَ membawa maksud “mari
ke mari”. Rayuan itu dalam nada yang macam mana? Mufassirin khilaf. Umumnya,
ada dua pendapat. Nada pertama dalam keadaan menggoda dan menggedik. Nada kedua
dalam keadaan menjerit sebab perempuan itu dah biasa mengarahkan Nabi Yusuf
sejak daripada baginda kecil. Apa pun nada yang dibuat, kedua-duanya cukup
mendebarkan!
Tetapi apa yang
menakjubkan saya secara peribadi adalah, selepas dipanggil sebegitu, Nabi Yusuf
alaihissalam langsung tak kata,
"Ala.. aku takda perasaan pun pada kau.."
"Aku takda nafsu pun kat kau.."
TIDAK! TIDAK sama sekali. Sejujurnya, dalam diri Nabi Yusuf
alaihissalam tetap wujud sedikit perasaan suka sebab akhirnya kita kena akui
yang baginda tetap seorang manusia biasa. Ini dibuktikan pada ayat yang ke-24.
TETAPI, apa yang Nabi Yusuf alaihissalam sebut adalah,
قَالَ مَعَاذَ اللَّهِ
".."Aku berlindung kepada Allah (dari perbuatan yang
keji itu).."
Allahu Akhbar! Nabi Yusuf alaihissalam berdoa meminta
perlindungan daripada Allah. Kemudian Nabi Yusuf alaihissalam menambah lagi,
إِنَّهُ رَبِّي أَحْسَنَ مَثْوَايَ ۖ إِنَّهُ لَا يُفْلِحُ
الظَّالِمُونَ
".."sesungguhnya Tuhanku telah memuliharaku dengan
sebaik-baiknya; sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan
berjaya".."
Kalimah رَبّ
dalam ayat ini boleh jadi merujuk sama ada kepada Allah ataupun tuan rumah itu,
iaitu suami perempuan tersebut. Mufassirin berpendapat ada dua kemungkinan,
boleh jadi Nabi Yusuf alaihissalam gunakan kalimah itu untuk merujuk kepada
Allah, satu lagi kemungkinan adalah pada tuan rumah itu. Sebab masa itu boleh
lagi panggil tuan sebagai rabb.
Apa pun,
kenapa Nabi Yusuf alaihissalam cakap macam ini? Mungkin dengan harapan, kalau
perempuan itu tak ingat Allah sekalipun, sekurang-kurangnya ingatlah pada
suaminya sendiri. Nabi Yusuf alaihissalam nak beritahu yang tak sepatutnya dia
ada hubungan sulit dengan perempuan itu, dan tak sepatutnya perempuan itu
curang dengan suaminya. Itulah cara terbaik Nabi
Yusuf alaihissalam sebut. Kita sambung kisah ini lagi sedikit. Ada satu poin penting yang saya nak sentuh, iaitu pada
ayat yang ke-25. Ketika perempuan itu sedang menggoda Nabi Yusuf alaihissalam, baginda
TAK ADA pun cakap pada perempuan itu,
"Astarghfirullah.. tak baik buat macam ni.."
"Ini tak boleh buat. Ini haram! Takbir!"
"Janganlah macam ni.. dosa.. tak baik.. Allah marah. Bertaqwalah
kepada Allah (terus sambung khutbah Jumaat)."
TIDAK. Nabi Yusuf alaihissalam TAK CAKAP macam ini pun pada perempuan
itu. Apa yang Nabi Yusuf alaihissalam buat? Pada ayat yang ke-25 Allah merakamkan
kepada kita,
وَاسْتَبَقَا الْبَابَ
"Dan mereka berdua pun berkejaran ke pintu.."
Ya, Nabi Yusuf alaihissalam MELARIKAN diri daripada perempuan
itu. Nabi Yusuf alaihissalam tak peduli pun. Baginda tiada masa nak beri
tazkirah ringkas ataupun khutbah Jumaat kepada perempuan itu. Dia terus melarikan
diri dengan laju ke pintu, dan perempuan itu pula terlalu desperate hingga mengejar
baginda sampai ke pintu.
*****
Apa pengajaran terbesar daripada ayat ni?
1. Sebenarnya
banyak sangat pengajaran daripada ayat di atas. Daripada sudut ikhtilat, psikologi
suami isteri, bahayanya duduk berduaan dengan bukan mahram (khalwat), dan
sebagainya. Banyak sangat. Tetapi disebabkan saya dah huraikan panjang di atas,
saya cuma nak sentuh pada bahagian terakhir sekali. Iaitu pada saat Nabi Yusuf
alaihissalam melarikan diri dengan laju daripada perempuan itu. Allah dah menggambarkan
pada kita semua bahawa, kalau ada seseorang nak menggoda atau mengurat kita,
tak kira sama ada lelaki ataupun perempuan, jangan buang masa untuk menyampaikan
nasihat, tazkirah ringkas, dan sebagainya. Jujurlah pada sendiri.
Terus PERGI dan JANGAN LAYAN mereka. Kenapa pula? Sebab sebenarnya
kita bukan berikan nasihat pun (walaupun kata-kata kita mungkin dalam nada
nasihat), tetapi sebenarnya secara sengaja atau tak, kita sedang meluangkan masa
kepadanya. Contoh realiti anak muda hari ini, kalau nak putus (clash) dengan
kekasih (pakwe atau makwe), tak perlu buang masa cakap,
"Abang. Maafkan ayang.. kita kena putus.. sebabnya bla bla
blaa.."
Tak perlu pun wahai teman. Cukup hanya tegaskan,
“Ok kita putus.”
“We’re done.”
Kemudian BLOCK terus nombor telefon dan media sosialnya seperti
Whatapps, Telegram, Emel, Facebook, Instagram, Twitter, Wechat, Snapchat,
TikTok dan segala macam aplikasi yang menghubungkan awak dengan si dia. Jangan
sekali-kali contact lagi dan jangan respon. Tahanlah perasaan, dan buat tak
tahu saja. Jangan pening kalau lelaki itu kecil hati ke, sedih, menangis, frust
sampai nak tumbuk dinding atau sebagainya. Kalau dia mencederakan diri sendiri
pun, awak tak tanggung dosanya. Sama juga kepada LELAKI. Kalau perempuan
merayu-rayu,
"Papa.. kenapa papa buat mama macam ni.. papa tak sayang mama
ke.."
Jangan buang masa sampaikan tazkirah atau sebut,
“Astarghfirullah.. ingat Allah sayang.. tak baik couple ni..”
Tak payah teman. Block saja terus dan jangan respon. Atau kalau
ikutkan teknik daripada ayat ini, terus larikan diri selaju mungkin daripada
dia. Lari dan terus lari. Melarikan diri dalam konteks hari ini adalah :
BLOCK, UNFRIEND, UNFOLLOW, DELETE and DO NOT ENGAGE.
Jujurlah pada diri kita sendiri. Tak perlu respon, mesej atau
whatsapp. Hatta, “Ini mesej terakhir.. maafkan bla bla blaa..” Tak perlu teman.
DO NOT ENGAGE. Sama juga macam isu ikhtilat. Tak perlu respon pun kalau
tiba-tiba ada lelaki atau perempuan mesej, “Kenapa awak diam je sekarang ni?
Awak sombong la.. Awak bla bla blaa.."
Tak payah balas. Buat tak tahu saja. Sama juga macam kes suami
orang bercinta dengan perempuan lain, ataupun isteri orang bercinta dengan
lelaki lain, khususnya di tempat kerja. Ia terpakai untuk situasi ini. Oh ya,
ikhtilat itu adalah pergaulan antara lelaki dan perempuan bukan mahram
(ajnabi). Hukum asal bergaul adalah harus, iaitu lelaki dan perempuan yang
mahram seperti adik beradik. Tetapi apabila masuk bukan mahram (ajnabi), maka
hukum asalnya adalah haram berdasarkan dalil surah al-Isra’ ayat ke-32. Dan ia
hanya menjadi harus apabila darurat dan hajat (keperluan) seperti isu
perubatan, muamalat, mesyuarat, pembelajaran, dan sebagainya.
Ini bukan nasihat daripada saya semata-mata, tetapi ia merupakan
pesanan dan pujukan daripada Allah supaya kita belajar untuk menguruskan
kehidupan. Kisah Nabi Yusuf alaihissalam ini bukanlah semata-mata cerita baginda
seorang diri saja, tetapi ia juga adalah cerita dan pedoman untuk kita semua. Untuk
KEHIDUPAN seharian kita sampailah menjadi mayat.
Wallahu'alam
- Shukery Azizan
–
p/s: Tulisan ini
diambil daripada buku Pujukan Dari Tuhan karya Shukery Azizan. Boleh dapatkan
buku Pujukan Dari Tuhan sama ada di kedai-kedai buku POPULAR, MPH, SMO dan
lain-lain, atau boleh juga dapatkan secara online melalui isbirofficial.
p/s : Dapatkan E-Book tulisan Shukery Azizan yang bertajuk "Kisah Wanita Di Dalam Al-Quran" hari ini juga. Klik di sini untuk dapatkan segera : >> KLIK DI SINI <<
Tadabbur Juzuk 12 : Tinggalkanlah Dirinya Demi Dia
Reviewed by Tarbiah Sentap
on
17:21
Rating:

No comments:
Post a Comment