Untuk juzuk ke 11, kita pilih surah yang ramai orang tahu, iaitu
surah Yunus. Surah Yunus ini adalah surah Makiyyah.
Diturunkan selepas surah al-Isra’ dan surah al-Isra’ itu diturunkan selepas
peristiwa Isra’ Mi’raj. Ramai yang tahu bahawa surah Yunus ini
menceritakan tentang kisah Nabi Yunus bin Matta alaihissalam yang berdakwah
pada kaumnya kemudian ditolak, serta kisah baginda ditelan oleh ikan Nun.
Tetapi disebalik kisah itu juga, surah Yunus ini pun menekankan tentang tauhid
kepada Allah dan tentang kenabian Nabi Muhammad ﷺ. Dan surah ini juga mengajar kepada kita
tentang Qada’ dan Qadar Allah.
Satu lagi perkara penting kita kena tahu, surah
ini juga menekankan bahawa Allah tidak akan terkesan dengan kedudukan
makhlukNya. Maksudnya, kalau kita bodek, merasuah atau membunuh kesemua wali,
Nabi, hatta malaikat untuk meruntuhkan kerajaan Allah, Allah tak akan terkesan
walau sedikit pun. Apapun, insyaAllah malam ini kita sambung
juzuk 11, surah Yunus, surah ke 10 ayat 65-66. Bismillah.
وَلَا يَحْزُنْكَ قَوْلُهُمْ ۘ إِنَّ الْعِزَّةَ لِلَّهِ جَمِيعًا
ۚ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
أَلَا إِنَّ لِلَّهِ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَمَنْ فِي الْأَرْضِ
ۗ وَمَا يَتَّبِعُ الَّذِينَ يَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ شُرَكَاءَ ۚ إِنْ
يَتَّبِعُونَ إِلَّا الظَّنَّ وَإِنْ هُمْ إِلَّا يَخْرُصُونَ
“Dan janganlah engkau merasa dukacita disebabkan kata-kata
mereka yang ingkar itu; kerana sesungguhnya segala kekuasaan tertentu bagi
Allah; Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Yang Maha Mengetahui.”
"Ingatlah! Sesungguhnya bagi Allah jualah segala yang ada
di langit dan yang ada di bumi dan bahawa mereka yang menyembah sesuatu yang
lain Allah sebagai sekutuNya, mereka tidak menurut (sesuatu keyakinan), mereka
hanya menurut sangkaan semata-mata, dan mereka hanyalah orang-orang yang
sentiasa berdusta."
Untuk kali ini, insyaAllah saya lebih kepada untuk berkongsikan
ayat yang ke-65. Allah memberitahu kepada Rasulullah ﷺ,
وَلَا يَحْزُنْكَ قَوْلُهُمْ
"Dan janganlah engkau merasa dukacita disebabkan kata-kata
mereka yang ingkar itu.."
Ayat ini diturunkan ketika mana Rasulullah ﷺ mendengar kata-kata orang kafir yang sangat menyakitkan hati
baginda. Orang musyrikin masa itu mengejek, menghina, memfitnah, mencerca dan
mengugut Rasulullah ﷺ. Ketika inilah Allah menurunkan ayat ini dan nak memujuk
Rasulullah ﷺ bahawa Rasulullah ﷺ mesti kuat dan jangan terlalu
dukacita ketika menghadapi kutukan mereka. Kalau dalam juzuk 4, Allah memujuk Rasulullah ﷺ sebab kena hina dengan Yahudi, kali ini dengan orang musyrikin
pula. Rasulullah ﷺ mesti tabah dan jangan lemah semangat. Jangan sampai hilang
motivasi serta abaikan fitnah, kutukan, cacian mereka. Sebab segala kekuasaan
dan kemuliaan hanyalah milik Allah. Teruskan dalam menyampaikan dakwah Islam.
Kalaulah Rasulullah ﷺ terlalu melayan kata-kata orang kafir itu hingga menyebabkan
Rasulullah ﷺ hilang semangat, putus asa dan kecewa, maka nanti baginda tak
mampu sampaikan dakwah Islam dengan baik. Kalau Rasulullah ﷺ hilang semangat dalam dakwah,
maka macam mana para sahabat dan orang Islam yang lain nak bersemangat.
Meskipun orang kafir dan golongan yang menentang Islam ini terus menerus
mencerca Allah, Islam, Rasulullah ﷺ hatta umat Islam sendiri, maka
Allah dah beritahu,
إِنَّ الْعِزَّةَ لِلَّهِ جَمِيعًا
"..kerana sesungguhnya segala kekuasaan tertentu bagi
Allah.."
Allah mempunyai semua kehormatan, autoriti, kekuasaan, kemuliaan
dan ‘Izzah. Semuanya telah menjadi milik Allah. Maka baginda tidak perlu risau.
Mereka merendahkan Allah pun, Allah tetap selamanya Maha Tinggi dan Agung. Kemudian
Allah bagitahu lagi,
هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
"..Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Yang Maha Mengetahui.
"
Allah Maha tahu kesemuanya apa yang mereka bincang, komen,
mesyuarat, buat perancangan dan segala-galanya. Kemudian, Allah tambah lagi
pada ayat seterusnya,
أَلَا إِنَّ لِلَّهِ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَمَنْ فِي الْأَرْضِ
“Ingatlah! Sesungguhnya bagi Allah jualah segala yang ada di
langit dan yang ada di bumi..”
Sekali lagi Allah tekankan yang Dia memiliki kesemuanya sekali. Golongan
yang menolak dan menghina Allah dan RasulNya tidak akan dapat pergi ke
mana-mana pun.
![]() |
Dapatkan buku Bagaimana Menjadi Pemimpin karya Ir Lukman Al Hakim di semua rangkaian kedai buku di seluruh Malaysia. |
*****
Pengajaran daripada ayat di atas ini,
1. Walaupun perkara
ini dah dihurai dalam juzuk 4, tetapi saya nak tekankan sekali lagi. Sebab ia
sangat penting. Teman, jangan rasa lemah semangat, putus asa, kecewa apabila
ada orang lain menolak dakwah kita. Apatah lagi kalau mereka menghina kita
sehingga tahap mempermainkan ayat-ayat Al-Quran, ataupun melawan Allah dan
RasulNya sekalipun. Jangan sekali-kali putus asa. Allah dah pujuk kita banyak
kali dalam al-Quran, khususnya dalam surah ini. Kalau kita mula rasa lemah
semangat atau ‘down’, cuba muhasabah sekejap macam mana Allah memberi semangat
dan pujukan kepada Rasulullah ﷺ. Rasalah seperti Allah sedang
memujuk kita sekali. Jangan pernah down. Saya pernah beberapa kali terima
soalan daripada pelajar yang berbunyi lebih kurang,
“Ustaz, saya dah dakwah pada kawan saya. Tetapi dia tak nak
terima. Malah dia sendiri kutuk saya kata cakap tak serupa bikin. Saya tahu
yang saya ini banyak dosa. Tetapi salah ke saya dakwah dan ajak mereka jadi
baik?”
Ada saat apabila
kita berdakwah, khususnya kepada ahli keluarga ataupun kawan baik, kita akan
ditolak. Bahkan lebih teruk, kita dihina. Sehingga tahap, kita rasa putus asa
dan kecewa dengan mereka. Syaitan pun mengambil peluang ini dengan menggoda
kita supaya tinggalkan dakwah. Lalu, kita pun membina alasan sendiri dengan
menganggap bahawa nak berdakwah kena tunggu jadi sempurna. Teman, janganlah
putus asa dalam berdakwah. Walaupun kita belum baik lagi. Mungkin ada yang
keliru, bolehkah kalau kita berdakwah, dalam masa yang sama kita belum jadi
baik lagi?
Teman,
ketahuilah setiap Muslim wajib menyampaikan dakwah, walaupun dia adalah seorang
pelacur. Contohnya, ada seorang pelacur menasihatkan kawannya supaya jangan
berzina. Adakah kawan dia kena tolak dakwah pelacur itu atas alasan, “dia
pelacur”? Tak betul. Sama juga macam seorang perokok, dakwah kepada kawannya
jangan merokok. Adakah kawannya tolak dakwahnya dengan menyatakan “dia
perokok”? Tak betul juga. Sama juga macam tak solat, tak puasa, tak tutup aurat
dan sebagainya. Wajib menyampaikan dakwah walaupun dia sendiri masih
bergelumang dengan dosa tersebut.
TETAPI, dalam
masa yang sama, orang itu WAJIB juga untuk berusaha meninggalkan dosa itu.
Seorang pelacur yang menasihatkan kawannya jangan berzina, dia sendiri kena
berusaha tinggalkan dunia pelacuran. Seorang perokok yang menasihati kawannya
jangan merokok, dia juga kena berusaha tinggalkan ketagihan rokok. Sama juga
macam kalau seseorang yang tak tutup aurat, walaupun dia nasihatkan kawannya
atau keluarganya tutup aurat, dalam masa yang sama, dia wajib berusaha untuk
tutup aurat dengan sempurna. Dan seterusnya.
Apa pun, jangan
lemah semangat, putus asa dan kecewa. Bina kekuatan, cari kawan-kawan yang
baik, dan yakinlah Allah sentiasa ada dengan kita. Kemudian teruskanlah buat
dakwah dengan mengajak kepada yang baik (makruf) dan mencegah kepada yang buruk
(munkar).
![]() |
Dapatkan buku Harapan Masih Ada karya Qamarul Nazrin di semua rangkaian kedai buku di seluruh Malaysia. |
2. Satu lagi
perkara penting, jangan termakan dengan cacian, kutukan, hinaan dan tolakkan
mereka dengan emosi negatif, sampai akhirnya kita pun memaki hamun, mencerca
dan sebagainya. Saya dah hurai dalam juzuk pertama tadi. Jangan sampai jadi
macam ini. Rilek, tenang, teruskan dakwah, keep calm and marching forward.
Dakwah dengan
berhikmah bermaksud dakwah dengan bijaksana bergantung mengikut keadaan dan
suasana. Betul, ada masa kena marah, tegur, dan seumpamanya. Tetapi bukannya
dengan memaki hamun dan mencerca. Sangat beza antara marah dan maki hamun.
Ibarat macam seorang cikgu marah kepada anak muridnya yang langgar peraturan,
dengan seorang cikgu yang memaki hamun anak muridnya yang langgar peraturan.
Dua perkara yang sangat berbeza.
Lagi satu, apabila dakwah kepada kawan baik kita secara peribadi
untuk berubah, elakkan untuk menyindir mereka. Walaupun mereka menyindir kita
dengan teruk. Elakkanlah. Ajaklah mereka dengan cara yang terbaik dan pelbagai.
Moga mereka bertemu hidayah (petunjuk) daripada Allah, seterusnya dapat taufiq
(kekuatan) untuk kekal istiqomah.
Wallahua’lam
- Shukery Azizan
–
p/s: Tulisan ini diambil daripada buku Pujukan Dari Tuhan karya Shukery Azizan. Boleh dapatkan buku Pujukan Dari Tuhan sama ada di kedai-kedai buku POPULAR, MPH, SMO dan lain-lain, atau boleh juga dapatkan secara online melalui isbirofficial
p/s : Dapatkan E-Book tulisan Shukery Azizan yang bertajuk "Kisah Wanita Di Dalam Al-Quran" hari ini juga. Klik di sini untuk dapatkan segera : >> KLIK DI SINI <<
Tadabbur Juzuk 11 : Jangan Putus Asa Berdakwah
Reviewed by Tarbiah Sentap
on
14:52
Rating:

No comments:
Post a Comment