Alhamdulillah, kita telah masuk ke 1/3 al-Quran, iaitu pada
juzuk ke 10. Kalau awak masih baca sehingga ke bab ini, saya ucapkan tahniah!
Saya harap supaya awak dapat amalkan dan belajar sesuatu dalam bab sebelum ini.
Ok, kali ini kita akan masuk ke dalam surah At-Taubah, satu-satunya surah yang
tiada basmalah pada permulaan ayat. Salah satu sebab kerana surah ini mengisytiharkan
perang kepada orang Musyrikin, sedangkan basmalah itu bernafaskan cinta dan
kasih sayang Allah. Surah ini termasuk dalam kategori Madaniyyah. Dan surah ini
disebut sebagai at-taubah (pengampunan) sebab istilah at-taubah banyak kali
diulang-ulang. Ok, tanpa berlengah, kita terus sambung terus pada ayat ke 41.
Bismillah.
انْفِرُوا خِفَافًا وَثِقَالًا وَجَاهِدُوا بِأَمْوَالِكُمْ
وَأَنْفُسِكُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ
تَعْلَمُونَ
"Berangkatlah kamu sama ada dengan keadaan ringan ataupun
dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah
dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang
demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui."
(Surah At Taubah [9]:41)
Kalau perasan, ayat ini boleh dikatakan hampir selalu kita
dengar dalam mana-mana ceramah agama di masjid atau surau. Tetapi kalau awak
pertama kali dengar dan baca, tak apa. Kita sama-sama belajar. Ayat ini diturunkan
sebelum berlakunya peristiwa perang Tabuk, iaitu selepas Rasulullah ﷺ dah berjaya menawan kota Mekah
dan Islam sudah dominan di Tanah Arab. Rasanya semua maklum tentang peristiwa
Fathul Makkah. Kan?
Ok, berbalik pada perang Tabuk. Masa ini, tentera Rom sedang
merancang untuk melakukan serangan yang besar terhadap kota Mekah. Mendengar
ancaman ini, Rasulullah ﷺ pun segera menyediakan barisan ketenteraan Muslimin untuk
mempertahankan Islam dan umat Islam serta mengalahkan musuh. Tetapi dalam masa
yang sama, ada juga Sahabat Rasulullah ﷺ yang rasa agak berat untuk turun
terutama yang dah tua, atau tak larat. Bahkan, untuk rekod, ini antara
peperangan dengan kerajaan Romawi yang paling terbesar selepas perang Mu’tah.
Tentera Rom sekitar 300,000 orang, manakala tentera Islam cuma 70,000 orang
saja. Mungkin itu ada yang mula rasa berat untuk turun berjihad sekali.
Golongan munafik awal-awal dah rasa berat untuk berperang.
Maka, apabila Allah turunkan ayat ini, ia suatu seruan kepada
kaum Muslimin untuk turun berjihad sama ada senang atau susah, muda atau tua,
kaya atau miskin. Dan lagi satu, ayat ini bukan hanya untuk Sahabat Rasulullah ﷺ ketika itu saja, bahkan untuk kita
semua sekali. Kita semua yang masih hidup dan hinggalah hari Kiamat nanti. Allah
turunkan ayat yang sangat umum, yang mana Allah nak beritahu bahawa kita semua
boleh tolong perjuangkan agama Allah dalam apa jua keadaan sekalipun. TANPA
ALASAN.
انْفِرُوا خِفَافًا وَثِقَالًا
"Berangkatlah kamu sama ada dengan keadaan ringan ataupun
dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab).."
Walaupun dalam keadaan RINGAN atau BERAT sekalipun. Atau dalam
keadaan tua atau muda, kaya atau miskin, lapang atau sempit, dan sebagainya.
وَجَاهِدُوا بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنْفُسِكُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ
"..dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada
jalan Allah (untuk membela Islam)."
Untuk berjihad dengan seluruh HARTA dan JIWA kita. Ya, berjihad
dengan wang tunai, harta benda, air mata, peluh keringat, mental, hinggalah
darah dan jiwa kita. Kemudian Allah beritahu lagi,
ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ
".. Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu
mengetahui."
![]() | ||
Dapatkan novel Sujud Yang Terakhir karya Aizuddin Hamid di semua rangkaian kedai buku di seluruh Malaysia. |
*****
Pengajaran yang kita boleh ambil daripada ayat ini,
1. Dengan jelas dan
nyata, Allah dah beritahu kita macam mana nak SUMBANGKAN sesuatu untuk ISLAM. Kita
semua boleh sumbangkan sesuatu untuk agama Allah, demi memastikan agama
Allah ini terus tinggi hingga tiada lagi yang lebih tinggi daripada keagungan
Islam. Rasulullah ﷺ bersabda yang bermaksud,
“Islam itu tinggi dan tidak ada yang
mengalahkan ketinggiannya”
(Riwayat al-Baihaqi)
Persoalannya, macam mana kita nak sumbangkan sesuatu untuk
Islam? Allah dah jawab,
انْفِرُوا خِفَافًا وَثِقَالًا
“Berangkatlah kamu sama ada dengan keadaan ringan ataupun dengan
keadaan berat..”
Ya. Dengan cara kita berusaha untuk tolong agama Allah sama ada
kita rasa RINGAN atau BERAT. Ada orang merasakan yang dia tak layak tolong
agama Allah sebab tak pandai agama. Ada yang rasa sebab terlalu miskin. Ada
yang rasa selalu buat maksiat, macam mana nak tolong agama Allah. Teman, Allah
beritahu dalam surah al-Isra’ ayat 83 yang maksudnya,
“Katakanlah: "Tiap-tiap orang berbuat
menurut keadaannya masing-masing". Maka Tuhanmu lebih mengetahui siapa
yang lebih benar jalannya.”
Allah tahu kemampuan, kelebihan, kekurangan dan kelemahan kita.
Sebab itu, Allah sebut secara umum, bantu agama Allah sama ada kita ringan atau
berat.
Samada kita KAYA atau MISKIN.
samada kita BERBAKAT atau TIADA BAKAT.
samada kita KUAT atau LEMAH.
samada kita CERDIK atau BODOH.
samada kita BERANI atau PENAKUT.
samada kita RAJIN atau MALAS.
Samada kita SIHAT atau SAKIT.
samada kita PEMIMPIN atau PENGIKUT.
Samada kita PENCERAMAH atau PENDENGAR.
Samada kita PERAMAH atau PENDIAM.
Semua daripada kita yang masih hidup. Tak kisah walau apa pun yang
kita ada. Setiap orang akan ada KELEBIHAN tersendiri. Semua orang pasti ada,
sama ada sedikit atau banyak. Dan kita semua boleh SUMBANGKAN kelebihan yang
kita ada untuk ISLAM. Kita semua lebih tahu akan diri sendiri. Jangan bagi
alasan lagi untuk berdalih.
"aku tak layak.."
"aku tak mampu.."
“aku belum cukup baik..”
“aku masih belum cukup ilmu..”
“Aku bukan budak sekolah agama..”
![]() |
Dapatkan novel Kau Bukan Adiratna karya Najmi Fetih di semua rangkaian kedai buku di seluruh Malaysia. |
Saya bagi contoh, kalau awak tiada duit, tetapi peramah dan
berani bercakap di hadapan orang ramai, maka sampaikanlah Islam melalui LIDAH dengan
cara berpidato, debat, syarahan, perkongsian, tazkirah, dan lain-lain. Atau awak
mungkin pendiam dan pemalu, tetapi pandai melukis. Maka sampaikanlah Islam
melalui LUKISAN dengan cara melukis, buat kartun atau animasi, doodle, dan
sebagainya. Kalau awak pendiam dan tidak pandai melukis, tetapi ada duit lebih,
maka gunakan HARTA untuk sampaikan Islam dengan cara menderma kepada umat Islam
yang memerlukan seperti Palestin, bantu kawan yang tak ada duit, dan
sebagainya. Kalau awak seorang ayah dan ibu, tetapi ada anak-anak, maka
didiklah anak-anak dengan acuan Islam supaya mereka boleh berjuang untuk agama
Allah. Dan banyak lagi cara. Kena fikir fikir fikir.
Duduk sejenak, dan fikir apa kelebihan yang awak ada. Kelebihan
sebagai seorang pelajar, anak, abang, kakak, adik, suami, isteri, pekerja, pemimpin
dan lain-lain. Kemudian, fikir lagi macam mana nak gunakan kelebihan itu untuk
kepentingan Islam. Kena berfikir secara kreatif dan kritikal selagi mana tidak
langgar perintah Allah. Bantulah Islam dan tawarkan kepada Allah apa yang kita
mampu untuk bantu agamaNya. Walaupun sebenarnya Allah langsung tak perlukan pun
bantuan kita. Tetapi beri peluang ini sebab Allah nak tolong kita untuk
dapatkan Syurga! Allah berfirman yang bermaksud,
“Sesungguhnya Allah telah membeli daripada
orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan Syurga untuk
mereka…”
(Surah At-Taubah 9 : 41)
Allah nak hadiahkan kita Syurga dengan syarat kita mesti ‘menjual’
SELURUH kemampuan diri kita sama ada harta, akal, air liur, keringat, peluh,
air mata, hingga tahap darah dan jiwa untuk agama Allah. Ini adalah peluang
yang sangat berharga. Kenapa kita lokek untuk jual semua ini kepada Allah?
Sedangkan yang
berikan kita harta adalah Allah. Yang berikan kita ilmu, akal, keringat, peluh,
air mata, darah, bahkan nyawa adalah Allah. Semua Allah yang beri. Tetapi bila
Allah minta balik dan nak tukarkan dengan Syurga, kita tak nak. Tidakkah pelik?
Jadi, awak dah mula terfikir apa yang boleh disumbangkan untuk bantu agama
Allah?
Apa lagi, infiru !!
Wallahua’lam
- Shukery Azizan -
p/s: Tulisan ini diambil daripada buku Pujukan Dari Tuhan karya Shukery Azizan. Boleh dapatkan buku Pujukan Dari Tuhan sama ada di kedai-kedai buku POPULAR, MPH, SMO dan lain-lain, atau boleh juga dapatkan secara online melalui isbirofficial.
p/s : Dapatkan E-Book tulisan Shukery Azizan yang bertajuk "Kisah Wanita Di Dalam Al-Quran" hari ini juga. Klik di sini untuk dapatkan segera : >> KLIK DI SINI <<
Tadabbur Juzuk 10 : Sumbangkanlah Sesuatu Untuk Islam
Reviewed by Tarbiah Sentap
on
17:18
Rating:

No comments:
Post a Comment