Hari ini, ramai orang Islam khususnya di
Malaysia susah nak bezakan atau salah faham antara sifat tawaduk dan sombong.
Disebabkan salah faham itu, kadang kala orang yang tawaduk dianggap sombong,
manakala orang yang sombong dianggap tawaduk. Yang mana akhirnya ramai orang
bermasam muka hanya kerana salah faham remeh ini. Parah.
InsyaAllah untuk artikel kali ini, kami akan
kongsikan beberapa contoh salah faham yang selalu terjadi dalam kalangan
masyarakat Melayu Islam di Malaysia.
Kami akan pecahkan tulisan ini kepada
beberapa bahagian supaya poin utama yang nak disampaikan jelas dan tidak keliru
insyaAllah.
1) Tawadhuk vs Sombong
2) Situasi dan solusi
3) Antara yang menegur dan yang ditegur
4) Hati
TAWADUK VS SOMBONG
Tawaduk itu apa? Secara umumnya, menurut
kamus bahasa Melayu, tawaduk itu adalah sifat merendah diri, patuh dan tidak
sombong. Allah berfirman di dalam al-Quran yang maksudnya,
“Dan
janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya
engkau tidak akan dapat menembusi bumi, dan engkau tidak akan dapat menyamai
setinggi gunung-ganang.” (Surah al-Isra’ : 37)
Sifat tawaduk ini secara teorinya memang
mudah nak sebut, tetapi nak amalkan, ya Rabbi, memang susah. Terutama apabila
kita sudah ada nama, kuasa, harta, jawatan dan sebagainya. Tetapi manusia yang
berjaya didik hati dan dirinya untuk menjadi tawaduk, pasti tidak akan
menunjuk-nunjuk kehebatan dan kelebihan dirinya sendiri di khalyak ramai.
Bahkan sentiasa merasakan bahawa orang lain yang selalu ada dengannyalah yang
banyak memberi manfaat pada dirinya dan meningkatkan imannya.
Ada banyak kisah tawaduk dalam lipatan
sejarah Islam. Tetapi untuk kali ini, kami kongsikan dua kisah berkaitan Imam
Abu Hanifah, pengasas mazhab Hanafi, berkaitan dengan tawaduk.
Pernah suatu
hari, Imam Abu Hanifah berjalan di tepi sebatang parit dan tiba-tiba
terserempak dengan seorang kanak-kanak yang sedang berjalan dengan memakai
kasut terompah kayu. Beliau menegur budak tersebut, “Wahai budak,
jaga-jaga dengan kasut kayumu itu. Bimbang engkau akan tergelincir nanti”.
Budak
tersebut mengucapkan terima kasih di atas perhatian al-Imam kepadanya lalu
bertanya, “Wahai Tuan, siapakah nama tuan?”
Imam Abu
Hanifah lantas menjawab, “Namaku Nu’man”.
“Oh,
rupa-rupanya tuanlah yang digelar al-Imam al-A’dzam (Imam Yang Sangat Hebat)
itu?” lalu dijawab oleh Imam Abu
Hanifah, “Bukan aku yang meletakkan gelaran tersebut. Namun orang ramai
yang bersangka baik denganku telah meletakkannya”.
Seraya budak
itu pun berkata, “Wahai Imam, apa yang telah engkau tegurkan kepadaku
tadi tentang berjaga-jaga agar aku tidak tergelincir masuk ke dalam parit
sangatlah baik, Cuma izinkan aku memperkatakan sesuatu kepadamu. Jika aku yang
tergelincir, sekurang-kurangnya aku hanya akan masuk ke dalam parit tetapi
jikalau Tuan Imam tergelincir, bukan masuk ke dalam parit tetapi ke dalam
neraka Allah. Usahlah engkau sampai tergelincir ke dalam api neraka disebabkan
gelaranmu itu, aku hanya memakai kasut kayu yang jika aku tergelincir sekalipun
hanya di dunia semata-mata. Namun gelaranmu itu terkadang membuatkan seseorang
akan tergelincir ke dalam neraka Allah SWT lantaran angkuh dan
berbangga-bangga, Maka berhati-hatilah wahai Tuan Imam”.
Menangis
Imam Abu Hanifah mendengar nasihat daripada kanak-kanak kecil tersebut. Dahsyat
sifat tawaduk Imam Abu Hanifah. Walaupun semua orang maklum kehebatan ilmunya,
namun kehebatan akhlaknya juga sama hebat sehinggakan nasihat daripada seorang
budak pun sanggup diterimanya demi nak meningkatkan rasa keimanan dan ketakwaan
kepada Allah.
Satu lagi kisah Imam Abu Hanifah ketika
berhadapan dengan Amirul Mukminin. Pernah satu hari dia diminta oleh khalifah
untuk menjadi hakim, tetapi dengan rasa tawaduk Imam Abu Hanifah menolak
jawatan itu hanya kerana merasakan dirinya tak layak. Subhanallah.
Kemudian Khalifah pun kata, “Kamu
berbohong!”. Tetapi Imam Abu Hanifah menjawab semula, “Sesungguhnya
Amirul Mukminin telah menghukumkan ke atas saya yang saya tidak
layak. Maka, sekiranya saya berbohong, maka jelaslah saya tidak layak untuk
menjadi hakim. Sekiranya saya seorang yang benar, maka saya telah katakan
kepada kamu bahawa saya tidak layak."
Subhanallah. Walaupun sebenarnya beliau ada saja pilihan untuk
terima, tetapi kerana sifat tawaduk, Imam Abu Hanifah sanggup menolak jawatan
yang besar itu.
Sombong pula apa? Sombong ini sama macam
takabbur. Imam Nawawi kata, sombong ini ada 2 jenis, yang pertama sombong
kepada kebenaran, kedua sombong dengan sesama manusia (dan merendahkan manusia).
Kata Syaikh Salim Al-Hilali, sombong ini adalah memandang dirinya berada di
atas kebenaran hingga tahap memperlekehkan orang yang berada di sekelilingnya.
Orang sombong akan merasa dirinya sempurna dan sentiasa rasa dirinya di atas
orang lain. Allah berfirman di dalam al-Quran yang bermaksud,
“Sesungguhnya Dia tidak
menyukai orang-orang yang menyombongkan diri.”
(Surah
An Nahl: 23)
Disebutkan di dalam tafsir
ibnu kathir bahawa dosa yang dilakukan oleh makhluk kepada Allah adalah Iblis.
Dan dosa itu adalah sombong. Allah berfirman yang bemaksud,
“Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada
para malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam,” maka sujudlah mereka kecuali
Iblis; ia enggan dan takabur (sombong) dan
ia termasuk golongan orang-orang yang kafir”
(Surah Al Baqarah :
34)
Imam Qotadah berkata tentang ayat ini, “Iblis
hasad kepada Adam ‘alaihis
salaam dengan kemuliaan yang Allah berikan kepada Adam. Iblis
mengatakan, “Saya diciptakan dari api sementara Adam diciptakan dari tanah”.
Kesombongan inilah dosa yang pertama kali terjadi. Iblis sombong dengan tidak
mahu sujud kepada Adam.”
![]() |
Dapatkan buku Pujukan Dari Tuhan karya Shukery Azizan dan Kerana Aku Sayang karya Aniq Muhaimin secara online di 019 6803782 |
SITUASI DAN SOLUSI
Ada banyak sebenarnya contoh situasi yang berlaku
dalam kalangan masyarakat Melayu Islam di Malaysia ini. Cuma di sini, kami
sentuh sebahagian saja supaya menjadi muhasabah buat diri kita. Contohnya, situasi
yang terjadi kepada seseorang yang ingin menegur kawannya ketika ternampak
kawannya buat sesuatu yang layak di tegur. Tetapi masalahnya, bila ditegur
kawan tu, kebanyakannya akan menganggap bahawa kita sombong. Hanya kerana kita
TEGUR dia.
Biasanya, apabila kita menegur kawan kita
yang susah nak menerima teguran, kebanyakkan daripada mereka akan respon lebih
kurang,
“Alamak..ada orang cakap tak serupa bikin. Nak
tegur orang,tengok diri dulu. Ingat kau baik sangat? nak tegur-tegur orang…”
“Jangan tahu nilai orang lain je, diri sendiri
tu cuba la nilai….”
“Sombong gila. Cakap tu macam kau sorang je
baik…”
Dan macam-macam lagi. Inilah yang menjadi
masalah. Ramai orang sanggup tidak menegur kawan-kawannya yang lain hanya
kerana mereka rasa, itulah tawadhuk. Mereka rasa, kalau tegur orang lain tu
bermakna sombong. Kalaulah macam itu cara fikirnya, macam mana pula Rasulullah,
para sahabat, tabi’in, dan semua pendakwah adalah sombong, hanya kerana mereka
buat dakwah dan menegur kesalahan umat? Dan adakah ahli zuhud, yang beribadah
dan tak buat dakwah di kira tawadhuk, kerana mereka tidak menegur orang lain
dan hanya memikirkan diri mereka sahaja?
Disebabkan salah faham inilah, ramai di
kalangan kita tak nak buat dakwah, tak mahu menegur orang yang buat silap.
Sepatutnya TAWADHUK tak akan menghalang kita untuk menegur orang. Tetapi, tawadhuklah
yang mendorong kita untuk menegur orang!
Sekali lagi,
“TAWADHUK tak menghalang kita untuk menegur
orang. Tetapi, tawadhuklah yang sepatutnya mendorong kita untuk menegur
orang..”
Kalau betul tawadhuk, bila kita nampak kawan
kita buat salah, kita kena tegur. Takkanlah kita nak biarkan kawan kita terus
lalai dengan movie, game dan lain-lain? Takkan kita nak biar kawan-kawan kita
terus terperangkap dengan ikhtilat dan lain-lain? Kalau betul kita sayang dan
inginkan kebaikan untuk kawan kita, dan inginkan yang terbaik untuk kawan kita,
maka mengapa kita rasa cuak dan segan silu nak menegur kawan sendiri?
Hakikatnya, orang yang tak nak buat dakwahlah
adalah orang yang sombong! Mereka menolak kebenaran untuk berdakwah. Hanya nak
menjadi baik, menikmati nikmat iman, beribadah dan tinggalkan maksiat hanya
seorang diri. Kedekut dan sombong! Di sudut yang lain pula, hakikatnya, orang
yang tak dapat menerima teguran juga adalah orang yang sombong. Dan hakikatnya
juga, orang yang menuduh orang lain sombonglah merupakan orang yang sombong!
Bila di tegur, dalam keadaan mereka memang salah, namun mereka tak mengaku
salah akibat sombong dan ego, lantas mencipta pelbagai alasan untuk membenarkan
kesalahan mereka.
Perkara macam ni selalu terjadi. Ini semua
perangai Iblis. Iblis apabila ditanyakan oleh Allah kenapa tidak mahu sujud
hormat kepada Nabi Adam, jawapannya kerana dia lebih baik daripada Nabi Adam.
Dia diciptakan daripada api sedangkan Nabi Adam daripada tanah. Moga Allah
bebaskan kita dari sifat ini. Amin!
![]() |
Dapatkan buku Agar Kau Bahagia karya Najmi Fetih di rangkaian kedai buku seluruh Malaysia sekarang juga! |
ANTARA YANG MENEGUR DAN YANG DITEGUR
Kadang-kadang, apabila situasi di atas
terjadi, biasanya akan terjadi “gap” di antara si penegur dan
yang di tegur. Kerana masing-masing rasa dirinya betul, masing-masing tak nak
kalah. Maka, suka untuk saya jelaskan beberapa perkara.
Apabila situasi di atas berlaku, ada keadaan
salah si penegur, dan kadang kala salah orang yang ditegur. Kedua-dua watak ni
perlu terima hakikat. Cuma, kadang-kadang, kedua-dua watak ni selalu
menggunakan ayat quran ataupun kata-kata yang tak layak untuk mereka gunakan.
Contohnya:
1) Dalam Al-Quran ada ayat: “Janganlah
kamu meminta-minta…”
Ayat ni di turunkan untuk orang miskin. Dan ayat
ni tak boleh di gunakan oleh orang kaya untuk mempertahankan ketamakan mereka.
Contohnya, bila ada orang miskin mintak sedekah pada orang kaya, tiba-tiba
orang kaya tu jawab:
”Kan Allah kata, jangan meminta-minta. Kenapa
kau still meminta-minta sedekah kat orang?!”
Sungguh licik orang kaya tu. Gunakan ayat Quran
untuk tujuan peribadi. Sepatutnya, ayat tu perlu di hayati oleh orang miskin,
dan digunakan ayat tu untuk memperbaiki dirinya yang suka meminta-minta. Ayat itu
bukan untuk orang kaya menempelak orang miskin yang suka meminta-minta. Masalahnya,
bila si miskin tak amalkan ayat tu, dan si kaya menggunakan ayat tu bukan pada
tempatnya, maka kucar-kacir berlaku.
2) Dalam Al-Quran juga ada ayat quran yang
menyebut: “Berilah kamu kepada orang yang meminta dan orang yang tak
meminta-minta…”
Ayat ni adalah untuk kegunaan orang kaya. Tetapi,
ada orang miskin gunakan ayat ni untuk kepentingan peribadinya. Contohnya, apabila
orang miskin minta sedekah, dan orang kaya taknak bagi, lantas orang miskin tu cakap:
”Kenapa kau tak bagi aku duit? Kan Allah
kata, berilah kamu kepada yang meminta dan yang tak meminta-minta…”
Parah apabila menggunakan ayat untuk tujuan
peribadi. Sepatutnya ayat itu perlu dihayati oleh orang kaya untuk memperbaiki
dirinya agar tak menjadi kedekut. Ayat tu bukan untuk orang miskin menempelak
si kaya yang tak bagi sedekah padanya,
Cuba bayangkan, andai orang miskin
mengamalkan ayat: “Janganlah kamu meminta-minta”, dan orang kaya
pula mengamalkan ayat: “Berilah kamu kepada yang meminta dan yang tak
meminta-minta..” Akan berlaku keharmonian, yang mana orang miskin, walaupun
tak meminta, orang kaya tetap memberi mereka duit ,akan berlaku tolong menolong
dan sebagainya.
****
Apa yang kami cuba kaitkan melalui contoh di
atas ialah, apabila berlakunya adegan “Si penegur menegur si penerima teguran”,
maka masing-masing perlu merenung beberapa ayat yang Allah tujukan kepada
mereka. Dan jangan menggunakan ayat yang salah untuk menempelak orang lain. Itu
penungang agama namanya.
HATI
Akhirnya, sombong dan tawadhuk ni adalah daripada
HATI. Kita tak mampu tahu hati dan niat seseorang. Jangan mudah melabel orang
lain “sombong”. Tetapi, sama-sama check diri sendiri, sejauh mana kita merendah
diri, dan tak memandang rendah orang lain.
Wallahua’lam.
Rujukan :
Apa perbezaan Tawaduk dan Sombong?
Reviewed by Tarbiah Sentap
on
13:51
Rating:

No comments:
Post a Comment