Tarbiah Sentap: Adakah Malaysia Negara Islam atau Sekular?

Wednesday, 20 February 2019

Adakah Malaysia Negara Islam atau Sekular?






Kebelakangan ini, ramai pula puak yang semakin rancak cuba membawa naratif Malaysia sebagai negara sekular. Mereka berusaha menghasut rakyat Malaysia untuk percaya bahawa Malaysia adalah negara sekular, dan memperjuangkannya. Sedangkan hakikatnya, sebagai seorang Muslim, kita patut membawa naratif dan memperjuangkan Malaysia sebagai negara Islam.



Kali ini kami nak kongsikan tentang, definisi negara Islam, status Malaysia, faktor Malaysia sebagai negara Islam dan negara Islam yang macam mana Malaysia perlu jadi.



1. Apa definisi Negara Islam oleh para ulama'?



Ada pelbagai takrif atau definisi negara Islam oleh para ulama' Islam. Jadi, kami nak ambil pendapat Muhammad Ahmad ar-Rasyid yang menyimpulkan pandangan-pandangan ulama berkenaan status sesebuah negara - Islam atau tidak - dalam bukunya Usul Ifta'.



Beliau menyimpulkan bahawa satu-satu negara menjadi negara Islam apabila BERJALAN HUKUM ISLAM secara sempurna di situ selama BEBERAPA generasi. Kemudian selepas itu jika dijajah atau pemerintahnya zalim, ia TIDAK AKAN mengubah status negara tersebut kepada negara bukan Islam atau sekular.



Walaupun Andalusia pernah menjadi negara Islam selama lapan kurun satu ketika dulu, ia TETAP negara Islam walaupun pemerintahnya sekarang adalah Kristian, perlembagaannya sekular, orang Islamnya dibunuh dan ditukar agama. Ini menurut kesimpulan beliau. Begitu jugalah dengan isu Palestin.



Palestin dulu diperintah oleh Umar Al Khattab, berjalan di sana hukum Islam untuk beberapa generasi, sehingga ditawan oleh tentera Salib masa perang Salib pertama. Kemudian Salahuddin al Ayyubi membebaskannya, kemudian hari ini ditawan semula dan diperintah oleh Zionis Israel.



Adakah kita nak kata Palestin adalah negara sekular atau negara Yahudi? Tiada ulama yang cakap macam itu. Tak ada ulama kata Palestin bukan negara Islam. Yang ada cuma menyatakan Palestin sebagai negara Islam yang dijajah, walaupun perlembagaannya, pemerintahannya bukan dari Islam. Status negara Islam tidak akan berubah sama sekali. Seperti juga negara Sudan Selatan dan lain-lain negara Islam di dunia hari ini.



Muhammad Ahmad Ar Rasyid kata:



“Saya berpandangan satu-satu negara menjadi negara Islam apabila ia diperintah oleh orang-orang Islam secara sempurna selama satu atau dua generasi contohnya, sebagaimana yang tercatat di dalam sejarah Islam hasil daripada pembukaan Islam. Dengan sejarah silamnya itu negara itu menjadi negara Islam.”



Dia kata lagi berkenaan status negara Islam yang kemudiannya diperintah oleh pemerintah yang zalim atau dijajah oleh orang-orang kafir:



“Tidaklah sepatutnya keharusan menjatuhkan pemimpin (yang zalim atau kafir itu) itu menjadikan kita menjatuhkan hukum bahawa negara itu telah bertukar kepada negara harbi (negara bukan Islam). Bahkan ia kekal negara Islam tetapi jatuh di tangan seorang yang murtad lagi zalim. Apatah lagi jika sekiranya syiar-syiar Islam masih lagi berlaku dan masjid-masjidnya masih diimarahkan.”

Bahasa mudahnya, kalau negara Islam itu diperintah oleh pemerintah yang zalim, kita sebut ia negara Islam yang diperintah orang zalim. Begitu juga kalau negara Islam itu tidak lengkap hukum syariah, maka kita panggil ia sebagai negara Islam yang tidak sempurna, dan seterusnya.

Dapatkan buku Pujukan Dari Tuhan karya Shukery Azizan
dan Kerana Aku Sayang karya Aniq Muhaimin secara online di 019 6803782
2. Bagaimana dengan Malaysia?


Malaysia ini dulunya (sebelum dipanggil Malaysia) adalah gabungan negeri-negeri Islam Melayu - bahkan sampai hari ini ada beberapa negeri yang masih bergabung untuk membentuk sebuah negara yang bernama Malaysia.



Dahulunya kita ada kerajaan Langkasuka, Kerajaan Melayu Islam Champa, Kerajaan Islam Melaka, Kerajaan Islam Johor Riau dan seumpamanya. Semua ini adalah kerajaan Islam. Berjalan hukum-hakam Islam seperti contoh ketika pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Syah yang mana ada undang-undang Laut Melaka dan sebagainya. Maka memang terbukti dari dahulunya tanah ini adalah berasal dari negara Islam.



Kemudian hari ini selepas melalui fasa penjajahan, usaha nak sekularkan malaysia, dan lain-lain, mungkin berlaku sedikit kekeliruan kerana pemerintahnya tidak Islamik termasuk selepas kemerdekaan. Tetapi penting untuk kita faham, pemerintah yang tidak Islamik itu sekali-kali TIDAK AKAN mengubah STATUS negara Islam Malaysia.



Malaysia adalah negara yang masih meletakkan Islam di kedudukan tinggi di dalam perlembagaan. Ada institusi Islam yang mempunyai kuasa di peringkat pusat dan negeri. Telah terzahir syiar-syiar Islam. Maka ia kekal negara Islam walau dengan pelbagai kepincangan ataupun masalah daripada segi pemerintah dan polisi. Kepincangan atau masalah itu sama sekali tidak akan menukar statusnya kepada negara sekular.



Daripada situ adalah wajib untuk dijalankan hukum hakam negara Islam seperti status kewarganegaraan; warganegara Islam dan warganegara kontrak untuk bukan Islam, wajib taat kepada pemerintah pada perkara-perkara yang bertepatan dengan syariah dan haram menjatuhkan kerajaan dengan menggunakan kekuatan yang akan mengakibatkan mudharat yang lebih besar berlaku dan sebagainya.



3. Faktor menjadikan Malaysia negara Islam.



Ada beberapa faktor saya boleh kongsikan, iaitu :



1) Sejarah. Daripada sudut sejarah, kami dah bincangkan di atas tadi yang mana tanah ini pernah menjadi Negara Islam dan telah berjalannya hukum hakam Islam untuk beberapa generasi. Kemudian baru dijajah dalam beberapa siri penjajahan yang panjang.



2) Perlembagaan. Selepas merdeka 1957, apa yang terkandung dalam perlembagaan Malaysia? Perlembagaan Malaysia meletakkan Islam sebagai negara rasmi PERSEKUTUAN. Maksudnya, persekutuan ini adalah persekutuan Islam. Kemudian sumpah Agong wajib untuk mempertahankan Islam, takrif Melayu sebagai Islam, hak-hak orang Islam dan hak agama Islam itu sendiri, enakmen jenayah Syariah dan seumpamanya.



3) Syi`ar. Di Malaysia, syiar Islam berjalan dengan baik. Agama Islam dibela, walaupun di sana hukum hakam Islam tidak dijalankan sepenuhnya dan ada kelompongan di sana sini. Contohnya seperti banyak masjid, sambutan hari kebesaran Islam dan sebagainya.

4) Institusi. Institusi yang menjaga kepentingan Islam ini teramat banyak di Malaysia secara rasmi. Kita ada Pusat Zakat, JAKIM, Baitul Mal, Majlis Fatwa Kebangsaan, Majlis Fatwa Negeri, Jabatan Agama Negeri seperti JAIS, Majlis Agama Negeri seperti MAIJ dan sebagainya. Itu baru badan kerajaan, belum lagi badan bukan kerajaan. Tersangat banyak.


Dapatkan buku Agar Kau Bahagia karya Najmi Fetih
di rangkaian kedai buku seluruh Malaysia sekarang juga!


4. Apa Model Negara Islam yang perlu Malaysia ikut?



Kita tak perlu membuat bid'ah baru dengan mengatakan bahawa wujudnya sebuah model negara Islam versi Malaysia, atau versi mana-mana pun. Kita hanya mengambil Al-Quran, As-Sunnah dan pendapat para ulama' silam dalam menyifatkan konsep negara Islam dan lain-lain.



Apabila menyatakan tentang model negara Islam, model yang dimaksudkan adalah model negara Madinah ketika zaman Rasulullah SAW. Bukannya model negara Kerajaan Islam Saudi, Republik Iran atau Pakistan yang ada pada hari ini.



Dan model Madinah ini tidak lapuk, walaupun ianya sebuah negara yang wujud lebih 1400 tahun yang lalu. Asasnya masih kekal, cuma beberapa cabang baru perlu didetailkan berdasarkan asas dan paksi yang sama.



5. Malaysia Negara Sekular?



Persoalan timbul, pihak yang beriya-iya menyatakan Malaysia ini negara sekular, sebenarnya merujuk kepada apa? Pemerintah? Telah kami beritahu di atas tadi bahawa pemerintah tidak sama sekali akan mengubah status negara.



Kalau merujuk pada perlembagaan, tidak akan jumpa Malaysia sebagai negara sekular.



Merujuk kepada syi`ar, tidak akan jumpa Malaysia sebagai negara sekular.



Merujuk pada sejarah pun, tidak akan jumpa Malaysia sebagai negara sekular (tidak termasuk ketika dijajah).



Jadi rujuk kepada apa?
 
Dapatkan novel Sujud Yang Terakhir karya Aizuddin Hamid
di rangkaian kedai buku seluruh Malaysia sekarang juga!
6. Musuh Utama Malaysia.

Sekarang ini musuh Islam bukan ingin merampas pemerintahan Malaysia. Ataupun ingin menukar kepimpinan. Tetapi apa yang ingin dilakukan adalah MENGUBAH STATUS NEGARA dari negara Islam ke negara sekular atau liberal demokratik dengan menggunakan proksi (orang tengah) seperti NGO.

Bagi mereka, jika dengan tidak menukar kepimpinan (seperti menteri kabinet, perdana menteri, dan lain-lain) boleh mengubah status negara, maka mereka akan cuba memperjuangkan untuk mempertahankan pemimpin yang ada untuk menukar status negara. Jika dengan menukar kepimpinan dapat mengubah status negara, mereka akan lakukannya.

Kita dapat lihat siri tuntutan IFC satu ketika dulu, kemudian disambung ‘perjuangan’ pula oleh tuntutan COMANGO. Terbaru tahun 2018 berlaku tuntutan ICERD. Selepas ini kita tidak tahu pula gerakan apa yang ingin dibuat.

Tujuannya satu, untuk ubah status negara. Jika berjaya ubah status negara, maka misi mereka telah tercapai. Moga Allah pelihara kita dan negara kita.

Malaysia Negara Islam.

Wallahua’lam.

Shukery Azizan.
Tarbiah Sentap.

Rujukan : Usul al-Ifta’ wa al-Ijtihad al-Tatbiqi, Fi Nazariah Fiqh al-Dakwah al-Islamiyyah”. (Asas-asas membuat fatwa dan ijtihad untuk melaksanakan sesuatu, dalam Teori Fiqh Dakwah Islam)

No comments: