Tarbiah Sentap: September 2017

Monday, 4 September 2017

30 Kesan Maksiat dan Dosa?


Setiap daripada kita mesti pernah buat dosa dan maksiat. Bukan setakat pernah, bahkan mengulangi lagi dosa-dosa itu. Sebab apa ulang? Sebab rasa seronok. Tetapi, pernah tak kita terfikir, setiap maksiat yang kita lakukan pasti akan ada KESAN SAMPINGAN yang terjadi. 
Sebab ciri-ciri maksiat ini ada 2, 

1. Ia pasti ada PUNCA.
2. Ia pasti akan memberikan KESAN. Pasti.

Di dalam dunia ini juga, setiap perbuatan dan tindakan kita, PASTI akan ada punca dan kesan. Kesan sama ada baik, atau buruk. Jadi hari ini, insyaAllah kami akan kongsikan KESAN daripada berbuat maksiat.

Untuk apa?

Supaya kita sama-sama muhasabah, dan berusaha sebaik mungkin untuk tinggalkan maksiat. Moga Allah pelihara dan bantu kita untuk tinggalkan maksiat sebelum kita jadi mayat. Oh ya, tulisan ini diambil daripada buku Ajari Aku Tinggalkan Maksiat, karya Shukery Azizan.


1. Membantutkan potensi diri


Antara kesan maksiat adalah, ia akan membantutkan potensi diri. Ini bukan andaian sesuka hati, tetapi telah dibuktikan sejak zaman sahabat lagi. Iaitu ketika mana Saidina Umar r.anhu menghantar surat panjang kepada Saad bin Abi Waqqash sebelum perang Qadisiyyah, iaitu sebelum pembukaan Parsi. Antaranya sebahagian isi surat Saidina Umar adalah,

“Amma Ba’du. Sesungguhnya aku memerintahkan kepada kamu wahai Saad  dan juga mereka yang bersama-sama kamu supaya bertaqwa kepada Allah SWT dalam apa jua keadaan kerana sesungguhnya bertaqwa kepada Allah SWT adalah sebaik-baik persiapan untuk mengalahkan pihak musuh dan juga sekuat-kuat tipu daya dalam peperangan. Aku memerintahkan kepada kamu dan mereka yang bersama-sama kamu supaya menjauhkan diri daripada maksiat kerana sesungguhnya dosa-dosa yang dilakukan oleh tentera Islam adalah lebih aku takuti daripada musuh-musuh Islam. Sesungguhnya orang-orang Islam telah mendapat pertolongan daripada Allah SWT disebabkan oleh kemaksiatan yang telah dilakukan oleh pihak musuh, jika bukan kerana hal itu, nescaya tidak ada bagi orang-orang Islam akan kekuatan. Jumlah bilangan tentera kita jika mahu dibandingkan dengan pihak musuh adalah terlalu kecil. Begitu jugalah dengan persiapan serta kelengkapan pertahanan kita jika hendak dibandingkan dengan pihak musuh, tidaklah kita sekuat mereka. Maka jika amalan serta tingkah laku kita sama dengan pihak musuh dalam melakukan maksiat, nescaya kelebihan kekuatan dan kemenangan akan menyebelahi pihak musuh.”

            Antara kandungan penting dalam surat ini adalah pesanan Saidina Umar r.anhu supaya tentera Islam berada dalam keadaan bertaqwa kepada Allah dan meninggalkan maksiat. Sebab hanya kerana maksiatlah, tentera Islam pasti akan kalah!

2. Nafsu tidur akan bertambah

Apabila kita hidup dalam maksiat, secara tak langsung nafsu tidur akan bertambah secara mendadak. Ini disebutkan oleh Imam Hassan al Basri, 

"Sesungguhnya ketika seorang hamba melakukan dosa, dia akan terhalang melakukan solat malam dan puasa di siang hari".
(Al-Maqrizi, Mukhtasar Qiyaam-Allail)


3. Nafsu makan akan semakin liar.


Bukan setakat nafsu tidur akan naik mendadak, begitu juga nafsu makan akan turut meliar. Seperti mana kata Ar Robi’ semasa menambah kata-kata Imam Syafie,

"Kerana yang namanya kenyang membuat badan menjadi berat, hati menjadi keras, kecerdasan berkurang, lebih banyak tidur dan malas ibadah.”
(Siyar A’lamin Nubala)

4. Banyak kerja tak menjadi.

Maksiat juga akan menjadikan banyak kerja dan tanggungjawab terbengkalai dan sebahagian besarnya langsung tak menjadi. Allah berfirman dalam surah Taha ayat 124, 

"Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta".

5. Allah tarik keberkatan rezeki.


Selain itu, maksiat juga menjadi penyebab kenapa rezeki kita terasa sempit. Ianya disebabkan ditariknya keberkatan rezeki. Rasulullah bersabda yang bermaksud,

“Seorang hamba dicegah daripada rezeki akibat dosa yang diperbuatnya.”
(Riwayat Imam Ahmad)

6. Hubungan dengan manusia makin rosak

Pesanan seorang salaf tentang kesan maksiat yang berlaku pada dirinya sendiri,

"Sesungguhnya aku bermaksiat kepada Allah, maka aku lihat pengaruhnya pada perilaku binatang (kenderaan) dan isteriku.”
(Al-Jawabul kafi liman sa'ala 'anid dawa as syafi)

7. Allah tarik nikmat kesihatan tubuh badan

Pesanan seorang sahabat agung, iaitu Ibnu Abbas r.anhu, seorang ulama tafsir di kalangan sahabat yang terkenal dengan tafsir Ibnu Abbas pernah menyebut tentang kesan maksiat,

“Sesungguhnya perbuatan baik itu mendatangkan kecerahan pada wajah dan cahaya pada hati, kekuatan badan dan kecintaan. Sebaliknya, perbuatan buruk (maksiat) itu mengundang ketidakceriaan pada raut muka, kegelapan di dalam kubur dan di hati, kelemahan badan, susutnya rezeki dan kebencian makhluk.”
(Al-Jawabul kafi liman sa'ala 'anid dawa as syafi)


8. Ilmu susah nak masuk ke dalam hati.

Pernah tak kita tertanya, kenapa sukar sangat untuk kita memahami sesuatu ilmu? Ini mungkin disebabkan faktor maksiat. Kata Imam Malik,

“Aku melihat Allah telah menyiratkan dan memberikan cahaya di hatimu, wahai anakku. Janganlah engkau padamkan cahaya itu dengan maksiat.”
(Al-Jawabul kafi liman sa'ala 'anid dawa as syafi)

9. Otak malas berfikir.

Bukan setakat sukar nak memahami ilmu, bahkan maksiat juga akan menyebabkan kita malas menggunakan otak untuk berfikir dengan kritis dan kritikal. Atau hari ini selalu disebut sebagai suka untuk disuap atau spoon-feed. Kata seorang ulama salaf,

"Perbuatan dosa dan maksiat mampu merosakkan akal fikiran manusia kerana dalam akal fikiran ada cahaya, manakala perbuatan derhaka dapat memadamkan cahaya. Apabila cahaya itu padam, akal fikiran menjadi lemah.."
(Al-Jawabul kafi liman sa'ala 'anid dawa as syafi)


10. Allah tarik keberkatan masa

Masa kita pun akan menjadi tidak berkat sebab kita telah penuhi dengan aktiviti maksiat. Sebab itu Ibnu Qayyim pernah sebut,

"Sungguh! Maksiat itu adalah sebab hilangnya keberkatan rezeki dan waktu."

11. Allah tarik nikmat beribadah


Ia sama seperti mana disebutkan oleh Ar Robi’,

"Kerana yang namanya kenyang membuat badan menjadi berat, hati menjadi keras, kecerdasan berkurang, lebih banyak tidur dan malas ibadah.”
(Siyar A’lamin Nubala)

12.  Seronok dan ketagih melakukan maksiat.

Semakin lama kita terperangkap dengan maksiat, semakin kita ketagih dan seronok. Ibarat macam orang yang sedang mabuk dan delusi. Hingga dia merasakan bahawa kenikmatan sebenar adalah dengan bermaksiat. Kata Imam Ibnu Qayyim,

"Jika sudah seperti itu, hati kita akan melihat maksiat begitu indah. Tidak ada keburukan sama sekali."
(Al-Jawabul kafi liman sa'ala 'anid dawa as syafi)


Dapatkan buku Pujukan Dari Tuhan karya Shukery Azizan
POPULAR, MPH dan rangkaian kedai buku seluruh Malaysia sekarang.
13. Susah menerima teguran dan nasihat.

Hidup dalam maksiat ini pasti membuatkan hati kita keras. Bila sudah keras, makin susah untuk menerima teguran dan nasihat. Allah berfirman dalam surah al-Muthaffifiin ayat 14,

“Sebenarnya! (Ayat-ayat Kami itu tidak ada cacatnya) bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa), dengan sebab (perbuatan kufur dan maksiat) yang mereka kerjakan.”


14. Rasa diri hebat dan paling betul.

Maksiat membuatkan kita merasa ego, hingga menganggap kitalah yang paling hebat dan betul. Ini yang berlaku kepada bani Israel. Peristiwa ini dirakamkan oleh Allah di dalam surah as soff ayat 5,

Dan (ingatlah peristiwa) ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: “Wahai kaumku! Mengapa kamu menyakiti daku, sedang kamu mengetahui bahawa sesungguhnya aku ini Pesuruh Allah kepada kamu?" Maka ketika mereka menyeleweng (dari kebenaran yang mereka sedia mengetahuinya), Allah selewengkan hati mereka (dari mendapat hidayah petunjuk); dan sememangnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang fasik - derhaka.”


15.  Sering kali merungut dalam banyak keadaan.

Allah berfirman dalam surah al Maarij ayat 19 -21,

“Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut);
Apabila ia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah,
Dan apabila ia beroleh kesenangan, ia sangat bakhil kedekut;”


16.  Tak suka muhasabah kelemahan diri.

Apabila terikat dengan maksiat, kita semakin susah untuk muhasabah diri. Sebab apa? Sebab mata hati kita telah tertutup dan semakin jauh daripada hidayah Allah. Ia sama seperti yang Allah sebutkan di dalam al-Quran,

“Sebenarnya! (Ayat-ayat Kami itu tidak ada cacatnya) bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa), dengan sebab (perbuatan kufur dan maksiat) yang mereka kerjakan.”
(Surah al-Muthaffifiin : 14)


17.  Sering mencari kesalahan orang lain.

Allah berfirman dalam surah Yaasin ayat ke 18 dan 19,

“Penduduk bandar itu berkata pula: "Sesungguhnya kami merasa nahas dan malang dengan sebab kamu. Demi sesungguhnya, kalau kamu tidak berhenti (dari menjalankan tugas yang kamu katakan itu), tentulah kami akan merejam kamu dan sudah tentu kamu akan merasai dari pihak kami azab seksa yang tidak terperi sakitnya".

Rasul-rasul itu menjawab: "Nahas dan malang kamu itu adalah disebabkan (kekufuran) yang ada pada kamu. Patutkah kerana kamu diberi peringatan dan nasihat pengajaran (maka kamu mengancam kami dengan apa yang kamu katakan itu)? (Kamu bukanlah orang-orang yang mahu insaf) bahkan kamu adalah kaum pelampau".


18.  Penyebab kepada turun bala bencana daripada Allah.

Ramai orang tak perasan, kebanyakkan bencana yang berlaku di dunia ini disebabkan oleh pelaku maksiat yang berleluasa, hingga tahap ramai yang bangga dengan maksiatnya. Itu yang pada akhirnya, Allah menurunkan bala dan penyakit yang susah nak jumpa penawarnya. Contohnya seperti AIDS. Perkara ini dah diberikan amaran oleh Rasulullah dalam satu hadith,

“Jika timbul maksiat pada umatku, maka Allah akan menyebarkan azab (seksa) kepada mereka.” Aku berkata: “Wahai Rasulullah, apakah tidak ada pada waktu itu orang-orang soleh?” Baginda menjawab: “Ada”. Aku bertanya lagi: “Apa yang akan Allah lakukan kepada mereka?” Jawab Baginda: “Allah akan menimpakan kepada mereka azab sebagaimana yang ditimpakan kepada orang-orang yang melakukan maksiat, kemudian mereka akan mendapat ampunan dan keredaan dari Tuhannya.”
(Riwayat Imam Ahmad)

19.  Hati tidak terasa apa-apa dengan kematian dan al-Quran.

Menziarahi kematian dan membaca al-Quran itu sepatutnya menghidupkan hati. Tetapi apabila kita terperangkap dengan maksiat, akhirnya hati tak akan terasa apa-apa dengan kematian, dan membaca al-Quran pun terasa hambar. Itupun kalau masih tergerak hati untuk membaca al-Quran. Sebab itu, Rasulullah
bersabda tentang karatnya hati, yang bermaksud,

“Sesungguhnya hati manusia itu berkarat seperti berkaratnya besi.” Sahabat-sahabat bertanya, “Apakah penggilapnya wahai Rasulullah?” Rasulullah menerangkan, “Membaca Al-Quran dan mengingati mati.”
(Riwayat al-Baihaqi)


20. Sukar bergaul dengan masyarakat

Lihat pada poin nombor 6

21. Jiwa cepat resah

Sifat dosa itu adalah meresahkan. Apabila seseorang terperangkap dengan maksiat, maka secara tak langsung kita akan menjadi semakin gelisah. Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud,

“Mintalah fatwa pada jiwamu. Mintalah fatwa pada hatimu (baginda menyatakannya sampai tiga kali). Kebaikan adalah sesuatu yang menenangkan jiwa dan menenteramkan hati. Sedangkan keburukan (dosa) selalu menggelisahkan jiwa dan menggoncangkan hati.”
(Riwayat Ahmad dan Ad Darimi)

Dapatkan buku Ajari Aku Tinggalkan Maksiat karya Shukery Azizan
di POPULAR, MPH, SMO dan mana2 rangkaian kedai buku seluruh Maaysia.
22. Cepat putus asa

Apabila kita sudah terbiasa dengan maksiat, kemudian ketika datangnya ujian dan teguran daripada Allah, kita akan cenderung untuk berputus asa. Allah berfirman dalam surah ar-Rum ayat 36 dan 37,

“Dan apabila Kami beri manusia merasai sesuatu rahmat, mereka bergembira dengannya (sehingga lupa daratan); dan jika mereka ditimpa sesuatu bencana disebabkan apa yang telah dilakukan oleh tangan mereka sendiri, tiba-tiba mereka berputus asa.”

“(Mengapa mereka bersikap demikian?) dan mengapa mereka tidak melihat (dengan hati mereka) bahawa Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya (sebagai cubaan adakah orang itu bersyukur atau sebaliknya), dan Ia juga yang menyempitkannya (sebagai ujian sama ada diterima dengan sabar atau tidak)? Sesungguhnya hal yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman.”


23.  Semakin susah atau lupa untuk berzikir kepada Allah.

Apabila ketagih dengan maksiat, sudah pasti zikir adalah perkara terakhir yang kita ingat. Itupun kalau kita teringat. Bahkan, dalam banyak keadaan, kita lagi gemar mencarut daripada berzikir. Sebab itu, Imam Ibnu Qayyim pernah menyebut,

“Maksiat dan lalai membuatkannya lupa zikir kepada Allah, sebagaimana tanaman tumbuh kerana air dan kebakaran terjadi kerana api.”


24. Suka mencarut

Ramai orang kata, biar mulut jahat asalkan hati baik. Sebenarnya, salah. Apabila hidup suka bermaksiat termasuklah mencarut, itu tandanya imannya ada masalah! Rasulullah
bersabda,

“Tidak lurus (istiqamah) iman seseorang hamba itu sehingga hatinya lurus dan hatinya tidak akan lurus sehingga lurus lidahnya.”
(Riwayat Ahmad)


25. Cepat marah dan melenting


Rasulullah bersabda,

"Marah itu datangnya daripada syaitan dan syaitan itu diciptakan daripada api.."
(Riwayat Abu Daud)

Syaitan itu sifatnya sukakan maksiat. Mana ada syaitan sukakan pahala dan amal soleh.

26.  Terasa berat untuk melaksanakan solat subuh dan isyak.

Apabila kita terperangkap dengan maksiat, hingga solat pun kita sanggup dan seronok untuk melengah-lengahkan. Sedangkan melengahkan solat pun adalah satu maksiat! Apatah lagi solat subuh dan isyak. Sebab itu Rasulullah
pernah memberikan amaran tentang sifat orang munafik,

“Solat yang paling berat untuk orang munafik adalah solat isyak dan solat fajar (subuh).
(Riwayat Ibnu Majah)


27.  Mengelak daripada majlis ilmu

Apabila maksiat dah menjadi rutin harian, maka hati pun semakin gelap. Apabila hati makin gelap, nak menghadiri majlis ilmu pun adalah suatu perkara yang sangat beban dan berat. Sebab itu, Imam Syafie pernah berkata,

“Aku pernah mengadu kepada Waki’ tentang terjejasnya hafazanku. Lalu beliau membimbing aku untuk meninggalkan maksiat. Beliau memberitahu padaku bahawa ilmu adalah cahaya dan cahaya Allah tidaklah mungkin diberikan pada ahli maksiat.” 

(I’anatuth Tholibin).

28.       Mengelak daripada bersama orang yang soleh

Maksiat biasanya membuatkan kita SENGAJA menjauhkan diri daripada orang-orang soleh sebab takut daripada ditegur atas maksiat yang kita lakukan. Sebab memang sifat orang soleh adalah mencegah kemungkaran.

29. Memendekkan umur dan keberkatan hidup


Kata Ibnu Qayyim,

"Ketahuilah bahawa maksiat dapat mengurangi umur dan pasti dapat pula mengurangi keberkatannya, sebagaimana pula amalan kebaikan dapat menambah umur. Itulah perbuatan dosa dapat mengurangi umur."
(Al-Jawabul kafi liman sa'ala 'anid dawa as syafi)

Bahagian ini, ulama' ada berbeza pandangan. Ada yang kata kurangnya umur ini maksudnya kurangnya/tiada keberkatan hidup. Tiada keberkatan hidup ni maksudnya hidup jauh daripada Allah. Ada juga kata ia memang hakiki kurang umur. Walaupun Allah dah tetapkan ajal, tetapi Allah juga ada hak untuk panjangkan umur, dan pendekkan umur. berdasarkan apa yang Dia mahu. Sebab memang ada hadith tentang panjangkan umur. Wallahu'alam

30. Maksiat menumbuhkan maksiat lain

Maksiat ini seakan seperti berantai. Apabila kita ketagih dengan satu maksiat, ia akan mengheret kita melakukan maksiat yang lain. Seperti mana kataseorang ulama salaf,

"Jika seorang hamba melakukan kebaikan, maka hal tersebut akan mendorongnya untuk melakukan kebaikan yang lain dan seterusnya. Dan jika seorang hamba melakukan keburukan, maka dia pun akan cenderung untuk melakukan keburukan yang lain sehingga keburukan itu menjadi kebiasaan bagi pelakunya."

(Al-Jawabul kafi liman sa'ala 'anid dawa as syafi)



Moga Allah beri kita kekuatan untuk meninggalkan segala maksiat dan ketagihan maksiat, lalu dengan pantas berlari kepada Allah untuk bertaubat lagi dan lagi sampailah mati. Huhu.

Wallahua'lam

Shukery Azizan.



p/s: Tulisan ini diambil daripada buku Ajari Aku Tinggalkan Maksiat karya Shukery Azizan. Boleh dapatkan buku Pujukan Dari Tuhan sama ada di kedai-kedai buku POPULAR, MPH, SMO dan lain-lain, atau boleh juga dapatkan secara online melalui isbirofficial.