![]() |
Ihsan gambar dari Google Images |
Sebelum kita
pergi sejauh mata memandang, kita pergi kepada yang dekat di hati, iaitu apakah
definisi rezeki. Kalau kita ikut tafsir Quran asy-Sya’rawy, rezeki yang
disebut adalah,
“Rezeki adalah apa-apa yang kita RASAKAN MANFAATNYA, sama ada halal
ataupun haram, sama ada baik ataupun buruk.”
Kemudian dia tambah lagi,
“Bererti apa sahaja yang kita rasakan MANFAATNYA bermakna ia adalah
rezeki kita, dan segala sesuatu yang tak dapat kita mengambil manfaat
daripadanya (walaupun milik kita), bukanlah rezeki kita, tetapi
rezeki orang lain.[1]”
Definisi ini
serius sangat padu baq ang kata orang kedah, padat dan sentap. Rezeki bukan
hanya harta atau duit yang kau guna untuk beli iPad. Tetapi rezeki juga boleh
jadi dalam bentuk ilmu, akal, air, tanah, api, udara, sahabat baik, anak soleh,
kerja jadi mudah, assignment senang siap, senang jawab exam, dapat jodoh yang
baik, dapat jadi mayat yang wangi macam pakai dashing dan sebagainya.
Dengan
kata mudah,
1)
Rezeki ini kita dapat rasa
manfaatnya.
2) Walaupun ia halal atau haram, baik atau buruk.
3)
Milik kita belum tentu rezeki
kita.
Dalam bab sebelum ini, saya
dah bahaskan bahawa rezeki sudah ditetapkan dan apa PILIHAN yang kita ada
adalah WAJIB buat PERSEDIAAN untuk mendapatkan rezeki. Kita ada pilihan sama
ada nak dapat rezeki yang baik dan halal, atau dapat rezeki yang buruk dan
haram. Rezeki ini memang dah ditakdirkan walau kita nak sangat rezeki, atau
kita tak nak sangat rezeki.
“Sesungguhnya Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya
dengan tidak terhitung jumlahnya.”
(Surah ‘Ali Imran 3:37)
Rasanya dari definisi ini, kau dah
boleh faham insyaAllah apa itu rezeki. Cuma persoalannya sekarang ini, apakah pula itu PERSEDIAAN? Persediaan
yang saya maksudkan adalah IKHTIAR
dan USAHA. Ikhtiar sebelum mendapat rezeki yang saya maksudkan adalah kau
fikir dan PILIH rezeki macam mana yang kau nak.
Rezeki
ini dah ditakdirkan walau kita kejar atau lari macam mana pun. Jadi apa PILIHAN
yang kita ada adalah dengan PILIH “jenis” rezeki yang kita mahu. Kita nak rezeki
yang baik, atau rezeki yang buruk. Rezeki yang halal, atau rezeki yang haram.
Rezeki Haram?
Ramai
orang ingat rezeki itu apa saja yang halal. Saya pun ingat macam itu juga
sebelum ini. Lalu kita belasah saja
apa yang kita rasa rezeki, walau halal atau tidak. Sebab kita sangka rezeki
semuanya halal. Rupanya tidak. Oh, plot twist sungguh.
Sebab
apa? Allah sebut,
“Makanlah daripada makanan yang BAIK-BAIK yang telah Kami berikan
kepadamu.”
(Surah Al Baqarah 2:57)
Contoh
satu kisah ngeri yang biasa berlaku di sempadan Marikh dan Pluto. Satu hari Nur
Mugholazoh (Cahaya Najis Berat?) telah keluar dari masjid selepas solat isyak
berjemaah. Ada gaya perempuan solehah akhir zaman. Sekali dia tengok selipar
cap Gucci yang baru dibelinya semalam telah hilang akibat dicuri oleh pencuri.
Takkan pula dicuri oleh polis.
Akibat
dari tragedi ngeri itu, beliau pun marah dan rasa mahu mengamuk. Manakan tidak,
macam mana dia nak balik rumah? Kakinya tidak layak untuk berjalan secara berkaki
ayam (ayat sombong bongkak ujub takbur!).
Akhirnya
syaitonirrojim menjalankan tugasnya dengan membisikkan pada telinga Mugholazoh
ini,
“Sista in Islam (tetiba), why not kau
ambil selipar jepun masjid ni ha. Kau pinjam sekejap saja, lepas tu esok kau
pulanglah. Bukan lama pun..”
Mugholazoh
yang agak jahil dan lurus bendul selurus highway PLUS Utara-Selatan pun tertipu
dengan bisikan syaitonirrojim yang sangat super-duper halus ini. Sedangkan
beliau merupakan ahli aktif Persatuan Wanita Macam Solehah Akhir Zaman (PWMSAZ).
Ini
menunjukkan bahawa semakin beriman kita, semakin halus dan dahsyat kita diuji, dan
semakin meningkat kedahsyatan tipu daya iblis laknatullah alaih. Begitu juga
peringatan kepada saya sendiri.
Gulp.
Akhirnya
dia pun mencuri juga selipar masjid dengan alasan “nak pinjam sekejap”. Ah, sembang punya pinjam sekejap.
Syaitonirrojim tidak berhentikan tugas setakat itu saja. Malah dia membuatkan
Mugholazoh LUPA untuk pulang selipar masjid tu. Sehinggalah akhirnya beliau
memakai selipar masjid seperti hartanya sendiri sehingga akhir usia iaitu
sampai terputus dua selipar tersebut tanpa memulangkan pada masjid. Sekian
tamat kisah ngeri ini.
Ada
2 rezeki Nur Mugholazoh dapat pada malam itu. Satu sebab dapat ujian kesabaran
akibat hilang selipar cap Gucci dan terpaksa balik rumah menggunakan kaki ayam,
dan kemudian dia dapat selipar baru. Selipar jepun masjid pula tu. Inilah yang
dimaksudkan rezeki haram.
Contoh
lain pula? Kau dapat meniru dalam peperiksaan, kemudian kau dapat keputusan dan
gred dahsyat tahap kritikal. Atau kau dapat curi tulang semasa kerja, lalu kau
dapat gaji yang banyak. Atau kau dapat rasuah yang tinggi. Atau kau menipu dalam
kerja, lalu dapat naik pangkat dengan jayanya.
Atau
kau curi makanan orang lain dengan gembiranya. Atau kau khianat duit rakyat
melalui biasiswa kau. Atau kau curi duit rakyat tak kisah sama ada kau kerajaan
negeri atau kerajaan pusat. Eh?
Ada
banyak lagi contoh lain. Cuma nak beritahu bahawa itu semua rezeki juga. Tetapi
rezeki yang HARAM.
Milik Kita Belum Tentu Rezeki Kita
Sekarang
kita dah faham yang rezeki ini memang akan bagi manfaat. Dan kita pun dah faham
apa maksud rezeki yang haram. Rezeki yang halal insyaAllah semua faham, tak
perlu ulas panjang. Sebelum saya masuk tentang usaha mendapatkan rezeki yang
halal atau haram, saya nak jawab satu lagi persoalan lain.
Apa
maksud “milik kita belum tentu rezeki kita”? Begini.
Habis
saja graduasi, kau pun menganggur sampai 4 tahun menghabiskan beras dan duit
mak ayah. Ye lah, nak tunggu kerja “turun” dari langit dan mesti kena sama
standard macam belajar di universiti. Takkanlah nak kerja 7-11, supermarket,
KFC dan sebagai. Tak standard degree
lah (kata mereka).
Kau
pun dapat bekerja dengan gaji basic RM2000.50 sen. Bolehlah “cover” tak kerja 4
tahun sebelum ini. Kot. Masa kau dah dapat gaji tersebut, adakah kau rasa kau
akan dapat manfaat SEPENUHNYA daripada RM2000.50 sen ini? Mestilah TIDAK.
Sebab
apa pula?
Contoh
kau pergi kedai makan, lalu kau order nasi campur ikan tuna goreng masak sambal
tempoyak cili api. Semasa kau sedang seronok menikmati makanan tersebut,
tiba-tiba datang kelibat seekor kucing di kaki kau. Dalam ramai-ramai manusia
di kedai makan itu, dengan kau jugalah kucing itu nak datang.
Kenapa?
Sebab
dalam makanan kau tu, ada REZEKI kucing tu. Itu baru bab makanan. Contoh lain
pula, selepas saja makan, kau pun bawa kereta dengan riang rianya tanpa
mempedulikan sesiapa. Namun tragedi ngeri telah menimpa diri kau. Kau kena
tahan dalam satu sekatan jalan atau nama popular dikalangan anak muda adalah “roadblock”.
Dalam hati kau, ingat kau akan lepas
dengan mudah dan bergaya. Tetapi kau silap. Disangka panas sampai ke petang,
rupanya dah malam pada pukul 4, sebab musim sejuk. Kau rupa-rupanya TIDAK renew
roadtax kereta lagi, kerana dalam perancangan kau akan renew esok. Dipendekkan
cerita, kau kena saman masa itu. Hilang RM300.00.
Jadi
RM300.00 tu bukan rezeki kau. Itu belum masuk kau bagi anak bini mak ayah makan
lagi, belanja jiran sebelah, tercicir duit syiling, adik curi duit dalam dompet
dan sebagainya. Akhirnya dalam RM2000.50 sen, yang rezeki untuk kau mungkin
cuma hanya RM100.00 saja.
Atau contoh lain, kau pernah beli
air mineral 1.5 Liter? Adakah semua itu milik kau? Tidak. Kau sedang minum,
tiba-tiba kawan kau minta sedikit air. Biasalah hidup berkawan. Kalau tak nak orang lain
minta, jadilah forever alone. Dipendekkan cerita, sebahagian dari air yang kau beli
itu adalah rezeki kawan kau.
Usaha Bukan Tangga Tetapi Lif Kejayaan.
Selepas
kau fikir dan pilih rezeki yang kau nak, kemudian kau USAHA untuk dapatkan apa
yang telah kau fikir dan pilih. Usaha
bermaksud kau usaha sebaik mungkin untuk mendapatkan rezeki yang kau fikir dan
pilih.
Maksudnya,
kau boleh pilih dan usaha untuk dapat rezeki yang baik dan halal, kau juga
boleh pilih dan usaha untuk dapat rezeki yang buruk dan haram. Kalau nak dapat
rezeki yang halal dan baik, apa usaha yang kena buat? Antaranya adalah ;
·
Kau taat perintah Allah dan jauhi
laranganNya sungguh-sungguh.
· Kau jaga amal soleh sebaik mungkin.
· Kau jaga solat sunat seperti tahajjud, solat dhuha, dan sebagainya.
· Selalu istighfar dan bertaubat pada Allah.
· Hampir setiap hari beri sedekah dan bayar zakat.
· Selalu tolong orang yang dalam kesusahan.
· Jaga hubungan dengan ibu ayah, adik beradik, suami isteri.
· Jujur dalam urusan jual beli walaupun ada peluang nak menipu besar.
· Tidak menipu dalam urusan kerja walau ada peluang nak rasuah dan curi tulang.
·
Tidak menipu dalam peperiksaan
walau ada peluang untuk dapat A++.
Dan
sebagainya. Banyak lagi usaha untuk dapat rezeki yang baik dan halal
insyaAllah. Macam mana pula nak usaha dapat rezeki yang buruk dan haram?
·
Kau langgar perintah Allah dan buat
laranganNya sungguh-sungguh.
· Kau jangan peduli amal soleh. Itu semua orang baik je yang buat.
· Banyak tidur, banyak makan dan banyak menyusahkan orang.
· Jangan bertaubat, teruskan bermaksiat. Seronok tu.
· Sedekah itu apa? Tak pernah ada dalam kamus hidup. Bayar zakat tu bukan
standard diri.
· Selalu tolong orang untuk memberi kesusahan.
· Hubungan dengan mak ayah, suami isteri dan adik beradik hancur.
· Menggunakan segala peluang tipu menipu untuk kaya cepat. Sebahagian
kecil orang Melayukan suka untung cepat dan tak susah.
· Selalu curi tulang dengan alasan minum kopi.
·
Selalu bawa “toyol” untuk
memastikan kecemerlangan prestasi diteruskan.
Dan banyak lagi cara nak dapatkan rezeki
yang buruk dan jahat. Pendek kata, rezeki ini dah ditetapkan, tetapi wajib
adakah persediaan untuk dapatkan rezeki.
Formulanya adalah :
Ikhtiar dan usaha atau persediaan
dapatkan rezeki = wajib
Keyakinan yang Allah dah tetapkan
rezeki = wajib.
Diruang yang kita boleh buat
pilihan, kita boleh pilih rezeki yang ikut syarak, dan langgar syarak. Boleh pilih
yang jalan pahala, atau jalan dosa. Boleh pilih yang jalan halal, atau jalan
haram. Sebelum saya tutup bab ini, saya ada satu teka teki. Premis
manakah di antara yang di bawah adalah betul?
“Rezeki
ni milik Allah, tapi kita kena usaha..”
“Kita
kena usaha, tapi rezeki ini milik Allah..”
Ok
saya malas nak teruskan teka teki sebab kau lambat. Jawapannya adalah BERGANTUNG PADA keyakinan dan keimanan
kita.
Ada
orang yang dah bekerja, dia bekerja bertungkus lumus pagi petang siap malam. Tetapi
sayangnya, dia bekerja sampai MELEWATKAN dan MENINGGALKAN solat.
Ada
orang belajar, dia belajar sungguh-sungguh sehingga bengkak mata dan penuh kopi
dalam biliknya. Tetapi sayangnya, dia belajar sampai MELEWATKAN dan
MENINGGALKAN solat.
Sebab
apa mereka lewatkan malah tinggalkan solat? Sebab mereka yakin,
“Rezeki
ini milik Allah, tapi kita kena USAHA..”
Dia
utamakan USAHA iaitu persediaan dulu, baru berserah pada Allah. Akhirnya Islam
nombor dua, usaha nombor satu. Sedangkan konsep sebenar adalah TAWAKAL dan
YAKIN dahulu, kemudian bismillah jalan.
Kalau
kita meletakkan tawakal dan keimanan pada Allah nombor satu, iaitu kita yakin
bahawa rezeki itu dah ditetapkan, maka apabila seruan Islam sampai kepada
telinga-telinga kita, lantas kita akan utamakan seruan Islam DAHULU baru usaha.
Sebab
apa?
Sebab
kita yakin bahawa kita memang kena usaha, tetapi akhirnya Allah yang TETAPKAN
dan beri rezeki. Berpuas hatilah dengan apa yang kau ada dan berhentilah
merungut. Sebab apa?
Ingat, rezeki tidak pernah salah alamat!
Wallahu'alam
Sumber
: Dipetik dari Bab 2 buku Aku Bukan Malaikat 1 karya Shukery Azizan.
Kongsikan pada kawan-kawan dan group sebelah jom. Moga manfaat !! :)
Siapa nak beli online buku ni, boleh hubungi atau whatapps nombor 014 - 3242859
#ShukeryAzizan
#AkuBukanMalaikat
#AkuBukanMalaikat2
#TarbiahSentap#AkuBukanMalaikat2
Untuk
pengetahuan pembaca, ini adalah salah satu BAB daripada buku Aku Bukan
Malaikat tulisan Shukery Azizan yang alhamdulillah sudah ada di pasaran.
Boleh dapatkan di kedai-kedai buku berhampiran korang seperti MPH, Popular, SMO, Hasani, dan lain-lain.
Siapa nak beli online buku ini, boleh hubungi atau whatapps nombor 014 - 3242859
Anda semua dibenarkan untuk sebarkan tulisan dan buku ini ke seluruh galaksi dan jangan lupa bagi kredit kepada buku Aku Bukan Malaikat tulisan Shukery Azizan.
Bukan nak riya' or berlagak,
tetapi sekurangnya kalau dalam tulisan beliau ada kesalahan, at least
orang yang nak tegur tu boleh tahu siapa penulisnya dan macam mana nak
tegur penulis tersebut (dalam kes ni, tegur Shukery Azizan). Dan juga at
least beliau boleh "tracking" ke mana tulisan dia pergi. :)
Semoga bermanfaat :)
[1] Mudahnya Menjemput Rezeki
– Fathuri Salehuddin
No comments:
Post a Comment