![]() | |
Mati bukan hanya pada jasad, tetapi ramai juga yang 'kematian' hatinya. |
Bab maut ni
rasanya semua dah sedia maklum. Tetapi saya nak cerita juga sebab ramai orang
selalu lupa dan kadang kala salah faham bab maut ni. Apa itu maut? Seorang
sahabat namanya Syaddad bin Aus r.anhu beritahu,
"Kematian adalah kengerian yang paling dahsyat di dunia dan akhirat
bagi orang yang beriman. Kematian lebih
menyakitkan dari goresan gergaji, potongan gunting, panasnya air mendidih
di periuk.
Seandainya ada mayat yang dibangkitkan dan
menceritakan kepada penduduk dunia tentang sakitnya kematian, nescaya penghuni dunia tidak akan tenang dengan hidupnya
dan tidak nyenyak dalam tidurnya[1]."
Mati ni adalah pemisahan jasad
dengan roh kita. Dan ia sangat sakit! Saya tak tahu la sakit macam mana sebab
tak pernah mati, tapi ia sangat sakit. Allah sebut tentang maut,
"Dan datanglah sakaratul maut dengan
sebenar-benarnya. Itulah yang kamu selalu
lari darinya".
(Surah Qaaf 50:19)
Dan kematian ni bukan semata-mata
tamatnya kehidupan kau, sebenarnya ia adalah PERMULAAN kepada kehidupan yang ketiga, iaitu kehidupan akhirat.
Kehidupan yang kita tidak ada pilihan lagi. Sebab pilihan dah diberi semasa
hidup.
Baiklah,
seperti yang saya terangkan pada kau tadi, mati sudah ditetapkan dan apa
PILIHAN yang kita ada adalah WAJIB buat PERSEDIAAN untuk mati. Kita pilih sama
ada nak mati dalam keadaan baik, atau mati dalam keadaan buruk. Menjadi mayat
yang berulat, atau menjadi mayat yang berbau wangi. Kematian ni memang dah
ditakdirkan walau kita nak sangat mati, atau kita tak nak sangat mati.
Contoh
macam kisah yang popular iaitu kisah Khalid al Walid r.anhu. Hidupnya sejak
zaman jahiliah sampailah masuk Islam, asyik dipenuhi dengan peperangan. Sampai
satu tahap, masa dia dah masuk Islam, setiap kali Khalid al Walid ikut
berperang, mesti pihak Islam akan menang. Itu yang kita tahu juga kisah dia
dilucutkan jawatan dari panglima perang oleh Saidina Umar. Kita semua maklum
kisah tu.
Tetapi masa pengakhiran hidup, dia
terlantar sakit di atas katil. Bila ada seorang sahabat datang ziarah dia,
Khalid pun menangis mengadu pada sahabat ini. Apa yang dia adukan? Dia kata
yang dia nak sangat mati syahid, tetapi Allah tak izinkan. Dia tunjukkan badannya
yang penuh bekas calar balar kesan peperangan, yang kalau ikut logik akal kita,
memang dah sepatutnya mati, tetapi ditakdirkan tak mati dalam medan perang.
Akhirnya Khalid al walid pun
meninggal di atas katil, walaupun dia adalah seorang panglima perang Islam yang
hebat dan banyak kali berhadapan dengan kemungkinan besar maut masa perang.
Pengajarannya,
kau tak payah pening-pening fikir yang bila kau akan mati, atau di mana kau
akan mati. Allah dah tetapkan, maka tak payah pening-pening cari mati seperti
mana kau bersusah payah cari kertas A4 di kedai untuk bawa dalam dewan
peperiksaan. Apa yang kita kena buat adalah, buat PERSEDIAAN yang baik supaya
kita boleh jawab peperiksaan di atas kertas A4 yang DITETAPKAN dengan baik.
Persoalannya, apakah itu PERSEDIAAN? Persediaan yang
saya maksudkan adalah IKHTIAR dan USAHA. Ikhtiar sebelum mati yang saya
maksudkan adalah kau fikir dan PILIH
kematian macam mana yang kau nak.
“Ishhh. Apa sebut mati-mati ni. Tak baik
weh.”
Inilah
masalah sebahagian orang bila kita cakap pasal mati. Mati ini benda REAL, so
mulai sekarang kita dah kena pilih macam mana kita nak mati. Takkanlah masa dah
jadi mayat baru nak pilih untuk mati macam mana. Sebab mati ini dah ditakdirkan
walau kita lari macam mana pun.
Jadi
apa PILIHAN yang kita ada adalah dengan PILIH cara kematian yang kita mahu.
Kita nak mati dalam husnul khotimah (pengakhiran yang baik) atau su’ul khotimah
(pengakhiran yang buruk).
Selepas
kau fikir dan pilih kematian yang kau nak, kemudian kau USAHA untuk dapatkan
apa yang kau fikir dan pilih. Usaha adalah kau usaha hidup sebaik mungkin untuk
dapatkan kematian yang kau fikir dan pilih. Maksudnya, kau boleh pilih dan
usaha untuk jadi mayat yang baik dan berbau wangi insyaAllah, kau juga boleh
pilih dan usaha untuk jadi mayat yang teruk dan berulat.
Kalau
nak jadi mayat yang baik dan insyaAllah berbau wangi, apa usaha yang kena buat?
Antaranya adalah ;
·
Kau mengucap syahadah, dan jadi
orang Islam yang beriman,
· Kau taat perintah Allah,
· Jauhi dan tinggalkan semua larangan Allah,
· Istighfar dan taubat setiap hari,
· Ikut dan buat sunnah Rasulullah sebanyak yang mungkin,
· Buat dakwah dan tarbiah,
· Cari kawan-kawan yang soleh,
· Puji kebaikan orang lain, jaga akhlak dan lidah, sangka baik,
· Didik anak-anak jadi soleh dan solehah,
· Sebarkan ilmu yang baik pada ramai orang,
· Sedekahkan harta kau sebanyak mungkin pada ramai orang,
·
Selalu berdoa lepas habis solat
untuk dapatkan husnul khotimah dan sebagainya. Itupun kalau rajin berdoa la.
Dan
banyak lagi kau boleh buat. Kalau kau nak jadi mayat yang teruk, mereput dan
berulat pula, apa usaha yang kena buat? Antaranya adalah,
·
Kau menolak Islam dan dan menjadi
kafir serta musuh Islam,
· Kau langgar perintah Allah,
· Dekat dan buat semua larangan Allah,
· Buat maksiat selalu dan jangan fikir nak taubat,
· Tinggalkan, benci dan dengki kepada orang yang buat dakwah tarbiah,
· Cari gaduh dan benci dengan orang yang soleh dan solehah,
· Mengumpat, mencaci maki, mencarut, dan sangka buruk,
· Didik anak-anak jadi perangai macam syaitonirrojim,
· Sebarkan ilmu yang haram dan jahat seperti mencuri, judi pada orang,
·
Jangan pernah berdoa, atau
terfikir nak berdoa.
Dan
banyak lagi kau boleh buat. Seperti yang saya cakap, walaupun maut dah
ditetapkan, tetapi kau WAJIB buat persediaan sebelum jadi mayat. Jangan pula
lepas ini tak nak pakai helmet sebab maut dah ditetapkan. Ataupun kau lagi
seronok hisap vape dan rokok dengan bagi alasan tahap lutut iaitu maut
masing-masing dah ditetapkan. Aku libas dengan tulang rusuk kiri kau.
Sebab itu saya cakap, kematian dah
ditakdirkan. Tetapi apa pilihan yang kita ada adalah buat persediaan.
Persediaan adalah kau ikhtiar dan usaha. Ikhtiar dan usaha untuk selamatkan
diri sendiri adalah perintah Allah yang wajib kita ikut, sebab Allah dah kata
dalam al Quran,
“Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan
janganlah kamu menjatuhkan dirimu
sendiri ke dalam kebinasaan..”
(Surah Al Baqarah 2:195)
Tetapi keyakinan bahawa dengan usaha sendiri, kau akan
selamat, maka itu adalah salah!
Faham tak? Macam ni, kalau kau dah kena kanser sebab hisap rokok atau vape,
masa tu kau wajib pergi hospital dapatkan rawatan bagi menyahut perintah Allah
untuk selamatkan diri kau (awal-awal tak nak selamatkan diri).
Tetapi
seluruh doktor dan ahli farmasi yang tolong merawat kanser kau takkan dapat buat apa-apa melainkan apa
yang dah ditakdirkan Allah. Kalau kau ditakdirkan selamat dari kanser, maka
selamatlah kau asbab ikhtiar dan usaha rawatan doktor tersebut. Tetapi kalau
kau ditakdirkan mati sebab kanser walau yang ikhtiar dan usaha merawat kau tu
adalah doktor pakar terbaik peringkat angkasa lepas sekalipun, maka kau akan
tetap mati.
Atau kalau kau dah nak exam SPM atau
semester akhir. Masa itu kau wajib
ikhtiar dan berusaha untuk belajar dan ulang kaji pelajaran. Tetapi semasa
peperiksaan atau dah habis peperiksaan, kalau kau ditakdirkan cemerlang, maka
kau akan cemerlang walaupun kau belajar tak faham. Tetapi kalau kau ditakdirkan
gagal, maka kau tetap akan gagal walaupun kau dah belajar gila-gila sampai
lewatkan solat. Ini yang kita panggil sebagai tawakal. Yang selalu kau sebut
sebelum nak SPM dulu, DUIT, doa usaha ikhtiar tawakal.
Berbalik pada maut tadi, pendek kata
semua orang akan mati dan jadi mayat. Walaupun isteri doktor, suami kau ahli
farmasi, anak kau tok bidan, depan rumah ada kedai farmasi, belakang rumah ada
hospital, jiran pula ubat penambah hayat, dan kampung kau takde kubur, maka kau
tetap akan mati dan jadi mayat yang mereput dalam kubur.
Formulanya adalah :
Ikhtiar dan usaha atau persediaan
selamatkan nyawa = wajib
Keyakinan yang Allah dah tetapkan
maut atau tawakal = wajib.
Umur Boleh Panjang Tak?
Oh ya, ada orang tanya,
“Kita
semua tahu yang Allah dah tetapkan
bila kita mati. Tetapi ada hadis
pula kata kalau sambungkan silaturrahim[2]
boleh panjang umur. Macam mana tu?”
Mudah saja,
bila sesuatu berita tu sahih datang dari Allah, ia akan sentiasa benar. Dan
bila sesuatu berita tu betul datang dari Rasulullah, ia pun akan sentiasa benar
sebab berita Rasulullah tu datang dari Allah juga.
Bila Allah kata Allah dah tetapkan umur kita, kita wajib beriman dan yakin Allah
dah tetapkan umur. Bila Rasulullah kata
dengan sambungkan silaturrahim boleh panjangkan umur, kita pun wajib beriman
dan yakin yang Allah boleh panjang umur juga. Jangan pening-pening, saya tak
suruh kau pening faham, tetapi saya suruh kau yakin saja. Sebab macam saya
beritahu, tak semua perkara kita boleh faham terutama perkara ghaib.
Kau
baca dan ingat baik-baik.
1.
Takdir ini bawah PENGETAHUAN
Allah. Allah Maha Tahu apa yang hambaNya akan buat. Pengetahuan Allah TIDAK akan MEMAKSA untuk hambaNya
lakukan apa yang diketahuiNya.
Ibarat macam kau nak main api, kemudian
mak kau kata kalau main api nanti tangan melecur. Pengetahuan mak kau TAK
MENGHALANG kau untuk main api, kecuali kalau mak kau buat TINDAKAN. Lalu kau
pun degil, kau buat PILIHAN untuk main api juga.
Tetapi bila kau main api, tiba-tiba
tangan kau tak melecur. Malah kau jadi fantastic 4 pula, jadi orang api. Yang
ini mak kau tak tahu, sebab tiada dalam pengetahuan mak kau.
TETAPI dalam konteks Tuhan, Allah sangat
Maha Mengetahui. Maha ‘Alim. Allah tahu kalau kau main api, tangan kau akan
melecur. Tetapi bila kau main api, kau jadi orang api macam fantastic 4 pun,
ini juga Allah DAH TAHU. Kalau Allah tak tahu, maka Dia bukan Tuhan. Tetapi
Allah Maha Tahu. Maha ‘Alim walau double triple ultimate plot twist sekalipun
yang berlaku.
Allah Maha Mengetahui, pengetahuan makhluknya saja
yang TERBATAS.
2.
Dan takdir juga adalah di bawah
KEKUASAAN Allah. Allah Maha Kuasa untuk ubah dan atur takdir ikut kemahuan Dia.
Bila-bila masa saja.
Kita sebagai manusia takkan boleh ubah
takdir yang ditetapkan Allah, sebab itu bukan di bawah kekuasaan kita. Siapa
boleh ubah takdir, mari jumpa abang. Biar abang hantar dia pergi jabatan agama.
Tetapi Allah boleh ubah takdir, sebab itu kekuasaan
dan kemahuan Dia. Apa yang kita boleh buat adalah, berdoa dan merayu pada Allah
untuk diberikan takdir yang baik.
Jadi
berbalik pada persoalan tadi, itu semua di bawah Qudratullah, kuasa mutlak
Allah. Logik atau tidak logik, itu perkara kedua, sebab tu Allah punya kerja.
Yang utama adalah wajib beriman dan yakin, tak payah nak sibuk kacau kerja
Allah. Kerja kita yang sedia ada pun tak siap dan banyak lagi tak buat atau
tinggal.
Ingat, Maut tidak pernah salah makhluk !
Wallahu’alam.
Sumber
: Dipetik dari Bab 2 buku Aku Bukan Malaikat 1 karya Shukery Azizan.
Kongsikan pada kawan-kawan dan group sebelah jom. Moga manfaat !! :)
Siapa nak beli online buku ni, boleh hubungi atau whatapps nombor 014 - 3242859
#ShukeryAzizan
#AkuBukanMalaikat
#AkuBukanMalaikat2
#TarbiahSentap#AkuBukanMalaikat2
Untuk pengetahuan pembaca, ini adalah salah satu BAB daripada buku Aku Bukan Malaikat tulisan Shukery Azizan yang alhamdulillah sudah ada di pasaran. Boleh dapatkan di kedai-kedai buku berhampiran korang seperti MPH, Popular, SMO, Hasani, dan lain-lain.
Semoga bermanfaat :)
p/s : Dapatkan E-Book tulisan Shukery Azizan yang bertajuk "Kisah Wanita Di Dalam Al-Quran" hari ini juga. Klik di sini untuk dapatkan segera : >> KLIK DI SINI <<
Betul Ke Mati Dah Ditetapkan?
Reviewed by Tarbiah Sentap
on
08:32
Rating:

No comments:
Post a Comment