Sebelum pergi
lebih jauh, saya nak beritahu dua perkara. Yang pertama, ini adalah kupasan lanjut dari bab Apa Itu Takdir, dalam buku saya, Aku Bukan Malaikat, pada bab yang pertama. Takut nanti ada yang 'blur' pula.
Yang kedua, kita tengok dulu apa itu definisi jodoh. Sebenarnya perkataan jodoh
ni datang dari bahasa Indonesia, yang dipinjamkan kepada bahasa Malaysia. Kalau
ikut kamus Indonesia, jodoh ni maksudnya “pasangan
yang cocok” atau pasangan yang serasi.
Tetapi kalau dalam bahasa Arab, kalau
kau nak tahu, perkataan jodoh ni sebenarnya tiada. Ya, tiada. Ulama’ semasa
bahas hukum pernikahan hanya guna istilah ( زَوْجٌ
) atau( بَعْلٌ ) untuk suami, dan ( زَوْجَةٌ ) atau ( امْرَأَةٌ
) untuk isteri. Allah kata dalam al Quran,
“Dan di antara
tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari
jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram bersamanya, dan
dijadikanNya di antara kamu rasa kasih sayang. Sesungguhnya pada yang demikian
terdapat tanda-tanda (kekuasaanNya) bagi kaum yang berfikir”.
(Surah Ar-Ruum 30:21)
Jadi,
perbincangan kita dalam bab ini bukanlah hukum-hakam pernikahan, ini bukan buku
fiqh. Tetapi perbincangan kita lebih kepada “orang
atau individu tertentu yang akan menjadi pasangan hidup kita.”
Saya
dah huraikan dalam bab takdir yang mana jodoh ini dah ditetapkan dan apa
PILIHAN yang kita ada adalah WAJIB buat PERSEDIAAN untuk dapatkan JODOH. Kita
pilih sama ada nak dapat jodoh yang baik, atau yang buruk. Menjadikan diri sendiri
sebagai calon pasangan yang berusaha ke arah sempurna, atau berusaha ke arah
celaka. Atau mencari pasangan yang membimbing ke arah Syurga, atau mengheret ke
arah Neraka.
Jodoh
ini dah ditetapkan, sama ada kita dapat di dunia, ataupun di akhirat sana. Ada
orang yang sempat bertemu jodoh di dunia, tetapi jangan lupa, sangat ramai juga yang hanya dapat menjadi
mayat sebelum menjadi pengantin.
Contoh
macam kisah seorang sahabat bernama Julaibib r.anhu, saya dah cerita masa bab
takdir sebelum ni kalau kau perasan. Saya tak nak ulang panjang cerita dia,
tetapi apa saya nak sebut adalah, Julaibib tak sempat pun berkahwin, sedangkan
dia baru saja nak berkahwin dengan seorang sahabiah. Tetapi akhirnya dia syahid
dulu sebelum sempat menjadi pengantin baru.
Pengajarannya,
jangan pening-pening kalau kau baru umur 18 tahun tetapi tiada siapa nak kahwin
dengan kau. Atau jangan pening kalau dah umur 30 tahun tetapi masih tak kahwin
lagi. Kalau masih tak kahwin lagi, teruskan
buat PERSEDIAAN untuk bertemu jodoh, dan jangan buat-buat lupa buat PERSEDIAAN juga untuk bertemu maut!
Persoalannya,
apakah itu PERSEDIAAN? Sebelum saya cerita apa itu persediaan, mari
abang “payung[1]”
analogi sikit. Aduh, rosak bahasa Melayu. Waktu bulan Ramadhan, masa nak
berbuka puasa kita selalu akan sebut apa? Biasanya kita akan sebut,
"Dah
siap-siap nak berbuka belum?"
"Ish, lagi
berapa minit nak buka ni. Dah buat persediaan berbuka belum?"
Ataupun
waktu nak sambut hari Raya, kita biasa akan sebut,
"Dah buat persediaan nak raya Cik
Kiah Jongang?"
"Dengar cerita persediaan raya
tahun ni meriah kau Jah?"
Jadi
apakah maksud "persediaan" itu? Adakah kita akan duduk di dapur
sambil tadah tangan dan menunggu makanan turun dari langit untuk kita berbuka?
Atau adakah kita akan duduk di dalam bilik sambil menunggu pakaian raya turun
dari langit untuk kita? Mestilah tidak.
Persediaan
yang saya maksudkan adalah IKHTIAR
dan USAHA. Ikhtiar sebelum dapat
jodoh yang saya maksudkan adalah kau fikir dan PILIH jodoh macam mana yang kau
nak. Tetapi janganlah fikir tu sampai hari-hari update status tentang,
“Saya menanti tulang rusuk kiri untuk
memasakkan sup tulang untuk saya.”
“Kepada
bakal imamku, aku sedia menunggumu hingga ke pintu kubur.”
Menyampah tahu. Jodoh ini dah
ditakdirkan, jadi apa PILIHAN yang kita ada adalah dengan PILIH bagaimana jodoh
yang kita mahu. Kita nak jodoh yang membawa ke Syurga, atau jodoh yang
mengheret ke Neraka. Sebab itu Nabi ajar dalam satu hadis,
“Seorang wanita
itu dinikahi kerana empat; kerana harta, kerana keturunannya, kecantikannya dan
agamanya. Maka hendaklah diutamakan yang beragama, nescaya kamu berbahagia.”
(Riwayat
Bukhari dan Muslim)
Ramai
orang anggap bahkan saya pernah terdengar orang kata,
“Kalau nak berkahwin, jangan tengok
harta, keturunan dan kecantikan. Tengok agama saja, walaupun dia miskin, tak
cantik atau tak hensem, dan keturunan yang teruk.”
Bila
saya studi dan mengikuti beberapa perbahasan tentang hadis ini, baru saya faham
bahawa Rasulullah ajar bukan tak perlu pedulikan kecantikan, keturunan dan
harta. Tetapi apa Rasulullah anjurkan pada kita adalah, kalau kita nak pilih
pasangan, pilihlah yang hartanya, keturunannya dan kecantikannya bersandarkan
pada agama iaitu Islam. Bukan bersandarkan kepada perkara yang langgar syarak.
Pertama
kita tengok harta dia dapat dari
mana dan digunakan untuk apa? Adakah dia dapat harta dari sumber yang patuh
syarak? Atau dia dapat hasil dari merompak, judi, jual perkara haram dan
sebagainya? Kemudian tengok ke mana pula harta dia selalu laburkan. Adakah dia
bayar zakat? Adakah dia selalu sedekah? Ataupun kedekut tahi hidung masin? Atau
selalu guna harta membazir shopping sampai tak ingat dunia?
Kemudian
tengok pada keturunannya. Dia ini keturunan yang baik-baik, ataupun keturunan
yang selalu langgar syarak? Studi tentang latar belakang keluarganya, saudara
mara yang terdekat, makcik pakcik dan sebagainya.
Adakah
dari keluarga yang ikut syarak, atau langgar syarak? Siapa mak ayah dia? Siapa
adik beradik dia? Siapa pakcik makciknya? Siapa saudara mara terdekatnya? Dan
adakah mereka semua ini ikut perintah Islam? Dan juga tengok pada “kesuburan”
keluarga, maksudnya adik beradik dia ada berapa, mak ayah dia punya adik
beradik ada berapa. Dan tengok juga ada saka atau tidak dan sebagainya. Semua
ini penting, bukan main-main.
Kemudian
tengok pada kecantikannya. Dia ini
gunakan kecantikannya untuk apa? Guna kecantikan untuk jadi playboy lalu
jadilah “suamiku Playboy”? Atau gunakan kecantikannya untuk jadi “pisau cukur”
kepada lelaki lalu jadilah “isteriku curang”? Atau kecantikannya dijaga sesuai
dengan perintah Islam?
Maksudnya,
adakah kecantikannya disimpan dengan cara tutup aurat sempurna, tunduk
pandangan, tahu malu, dan sebagainya. Atau adakah kecantikannya ditunjukkan
kepada umum dengan cara buka aurat, kaki selfie, tak tahu malu, mata asyik
jeling pada lelaki yang kacak, dan sebagainya.
Dengan
kata mudah, “pilihlah yang BERAGAMA” itu adalah kita pilih seorang lelaki atau perempuan yang bukan hanya Islam pada
nama dan IC, tetapi Islam juga pada harta, keturunan dan kecantikannya atau
perbuatannya. Hadis ini juga terpakai untuk melihat belah lelaki, bukan
sekadar perempuan.
Ok,
selepas kau fikir dan pilih jodoh yang kau nak, kemudian kau USAHA untuk dapatkan apa yang kau fikir
dan PILIH. Usaha adalah kau usaha sebaik
mungkin MENGIKUT SYARAK untuk dapatkan jodoh yang kau fikir dan pilih.
Maksudnya, kau boleh pilih dan usaha untuk dapatkan jodoh yang baik atau buruk.
Kalau
nak dapat jodoh yang baik macam mana? Antaranya adalah ;
·
Ucap kalimah syahadah dan masuk
Islam.
· Taat perintah Allah dan jauhi larangan Allah untuk peroleh taqwa.
· Ikut sunnah Rasulullah sebanyak mana yang boleh.
· Ikut dan buat dakwah tarbiah.
· Selalu bertaubat dan jaga amal.
· Cari ilmu antaranya belajar hukum hakam munakat atau perkahwinan
termasuk juga buku psikologi antara lelaki dan perempuan.
· Selalu minta nasihat dengan orang yang dah lama kahwin seperti mak ayah,
ustaz ustazah, pakcik makcik dan sebagainya.
· Ada keyakinan tinggi untuk kahwin, bukan sekadar sembang kencang.
· Belajar berdikari sama ada cari duit sendiri, tolong di rumah dan
sebagainya.
· Kalau nak kahwin, guna orang tengah seperti mak ayah, ustaz ustazah yang
dah kahwin, pakcik makcik, kawan baik yang dah kahwin, atau sebagainya yang
dirasakan yakin untuk jadi orang tengah. Jangan sampai dia “pangkah” kau, dia
yang kahwin dengan pasangan tu. Tu bukan orang tengah lagi.
· Bertunang. Masa fasa tunang ini, belajar mengenal pasangan SEADANYA.
Tunang bukan halalkan apa-apa termasuk ikhtilat, sekadar fasa untuk kita buat
pilihan sama ada kita setuju atau tolak. Sebaiknya kurang dari tempoh 1 tahun
(ini bukan nas, tetapi bersandarkan pengalaman).
·
Bernikah.
Dan
banyak lagi perkara boleh buat untuk dapatkan jodoh yang baik. Kalau jodoh yang
buruk atau jahat pula macam mana? Antaranya adalah ;
·
Menolak untuk terima Islam dan
jadi kafir.
· Langgar perintah Allah, selalu buat larangan Allah.
· Tinggalkan semua sunnah Rasulullah.
· Hina orang buat dakwah, perli orang yang nak berubah dan lain-lain.
· Malas dan tangguh taubat. Amal soleh lintang pukang.
· Malas baca buku ilmiah. Rajin baca novel cinta, tengok movie cinta,
berangan pasal cinta dan sebagainya.
·
Malas dengar nasihat terutama mak
ayah. Rasa panas je telinga bila dengar nasihat. Bahkan sampai tahap derhaka
pada mak ayah. Bila mak kata,
“Tangguh la niat nak kahwin tu dulu.
Kahwin lagi 2 tahun boleh?"
Kau
pun jawab,
"Arghh, mak tak faham saya mak. Mak
kena faham agama. Mak tak baik halang anak muda nak bernikah. Patutnya mak
nikahkan saya je. Tak payah tunggu habis belajar, ada kereta kerja bagai. Saya
boleh jaga isteri saya."
Padahal
mak kau belum puas lagi lepas rindu dan bermanja dengan kau. Dah la balik
kampung 5 bulan sekali je. Telefon mak ayah pun seminggu sekali, Itupun sebab
mak ayah telefon dulu.
·
Jangan ada keyakinan diri. Sembang
mesti kencang, baru boleh terbang. Bila cakap bab kahwin, terus kata,
“Emm, aku nanti dulu la kot.. Tahun
depan muda lagi.."
·
Cari crush dan couple. Kemudian
ajak dating, keluar pergi sana sini, tengok wayang, pegang tangan dan
sebagainya.
· Bertunang. Bertunang pun macam dah kahwin, siap pandai peluk-peluk lagi.
Malah buat majlis pun sampai kos RM106,000 (termasuk GST). Padahal gaji sebulan
RM906.00 je.
·
Bernikah. Kemudian selepas nikah
pun malas dan tak nak bertaubat, dan masih tak nak jaga amal.
Dan banyak lagi
cara nak dapatkan jodoh yang buruk dan jahat. Pendek kata, jodoh ini dah
ditetapkan, tetapi wajib adakah persediaan untuk dapatkan jodoh. Jodoh pula ada
dua jenis, jodoh yang macam malaikat walaupun bukan malaikat, dan jodoh yang
macam syaitonirrojim, walaupun lebih dahsyat dari syaitonirrojim.
Formulanya adalah :
Ikhtiar dan usaha atau persediaan
dapatkan jodoh = wajib
Keyakinan yang Allah dah tetapkan
jodoh = wajib.
Diruang yang kita boleh buat
pilihan, kita boleh pilih jodoh yang ikut syarak, dan langgar syarak. Boleh
pilih yang jalan pahala, atau jalan dosa. Boleh pilih yang jalan nikah, atau
jalan zina.
Kalau ‘Tersalah’ Jodoh?
Ramai
orang salah faham, yang mana bila dah bercerai, mereka merasakan jodohnya telah
‘tersalah’. Ditambah pula jodohnya itu ‘jahat’, lagilah kuat sangkaannya
merasakan tersalah jodoh.
Saya
nak beritahu, jodoh yang Allah telah tetapkan TAK PERNAH SALAH. Punca cerai
saya dah huraikan ke bawah. Setiap orang yang kita telah bernikah dengannya,
itulah jodoh. Tetapi, saat sudah bercerai, maka ‘tamatlah’ jodoh itu. Jodoh
boleh ‘tamat’?
Ketahuilah,
tiada yang kekal di dunia ini, semuanya ada ‘expired date’, termasuklah mati,
kecuali Allah Rabbul Jalil. Allah sahaja Maha Hidup dan tidak akan mati mahupun
‘expired date’ selama-lamanya.
Kalau kau berkahwinan dengan
orang yang ‘buruk’, boleh jadi itu berpunca daripada ;
- Amal dan persediaan
jodoh kau yang buruk, atau,
- Allah nak meningkatkan
martabat iman kau dengan cara suruh kau bersabar, atau,
- Allah nak ampunkan
semua dosa-dosa kau, atau,
-
Dan seumpamanya.
Kalaulah jodoh yang buruk itu
dikatakan jodoh yang salah, maknanya Nabi Nuh dan Nabi Luth mendapat jodoh yang
salah la ya? Sebab isteri mereka khianat dan engkar perintah Allah dan
suaminya. Begitu juga Asiah, kerana mendapat suami Firaun yang maha ‘Buruk’.
I don’t think so.
Kalau
Cerai Pula Macam Mana?
Cerai
pula adalah TAKDIR dan PILIHAN. Kenapa saya kata macam itu?
Cerai adalah takdir kerana cerai ini di bawah pengetahuan Allah, Dia tahu
penceraian akan berlaku. Sebab itu Allah ceritakan dalam Al Quran, dan
Rasulullah pun cerita dalam banyak hadis apa syarat bercerai, bagaimana boleh
bercerai, apa berlaku kalau sebut talaq, bagaimana nak rujuk, berapa tempoh
iddah, dan sebagainya. Allah dah tahu penceraian akan berlaku, sebab ia di
bawah takdir Allah.
Cerai
juga adalah pilihan sebab seperti yang saya beritahu dalam bab persediaan maut,
“Pengetahuan Allah TIDAK akan MEMAKSA
untuk hambaNya lakukan apa yang diketahuiNya.” Bercerai adalah pilihan manusia,
dan manusia juga ada pilihan untuk tak bercerai. Sebab itu Rasulullah beritahu
bahawa penceraian ini adalah perkara halal yang DIBENCI Allah.
“Sesuatu
yang halal tapi dibenci Allah adalah perceraian"
(Riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan al Hakim)
Dalam Islam, penceraian adalah JALAN TERAKHIR pilihan suami isteri
tersebut. Sebab itu dalam al Quran banyak ceritakan apa yang kena buat kalau
suami isteri bergaduh, atau kalau isterinya nusyuz (derhaka) macam mana nak
denda, dan sebagainya. Saya tak nak terangkan di sini, sebab ini bukan buku
fiqh munakahat. Tetapi saya nak beritahu bahawa, penceraian juga adalah
PILIHAN.
Allah Maha Adil dan Maha Bijaksana.
Allah tahu bahawa akan berlaku penceraian di kalangan hambaNya. Kalaulah Allah
haramkan bercerai secara mutlak, mesti berlaku banyak kerosakan dalam dunia ini
sebab tangan-tangan manusia. Dan salah satu sebab itulah Allah membenarkan
cerai, tetapi sebagai langkah terakhir, dan juga perkara yang Allah benci.
Kau ada pilihan untuk mempertahankan rumahtangga, dan kau juga ada pilihan
untuk bercerai. Kalau kau pertahankan rumahtangga kau, itu di bawah takdir
Allah. Kalau kau bercerai pun, itu juga di bawah takdir kau. Sebab itu antara
perbualan Saidina Umar r.anhu yang sangat mashyur, satu hari Umar dengan
sahabat nak pergi ke Syam.
Sebelum sampai ke Syam, mereka dapat
berita bahawa di sana ada merebaknya penyakit taun. Mereka akhirnya
bermesyuarat, dan Umar mencadangkan supaya balik ke Madinah. Itu yang
kemudiannya seorang sahabat, Abu Ubaidah Amir al Jarrah r.anhu tanya kepada
dia,
“Wahai Amirul mukminin, kenapa tuan ingin
kembali ke Madinah dan lari dari qadar Allah?”
Kemudian Umar pun cakap,
“Kami lari dari qadar Allah kepada qadar
Allah.”
Ingat, jodoh tidak pernah salah orang!
Wallahu’alam.
Sumber
: Dipetik dari Bab 2 buku Aku Bukan Malaikat 1 karya Shukery Azizan.
Kongsikan pada kawan-kawan dan group sebelah jom. Moga manfaat !! :)
Siapa nak beli online buku ni, boleh hubungi atau whatapps nombor 014 - 3242859
#ShukeryAzizan
#AkuBukanMalaikat
#AkuBukanMalaikat2
#AkuBukanMalaikat2
#TarbiahSentap
Siapa nak beli online buku ini, boleh hubungi atau whatapps nombor 014 - 3242859
Untuk
pengetahuan pembaca, ini adalah salah satu BAB daripada buku Aku Bukan
Malaikat tulisan Shukery Azizan yang alhamdulillah sudah ada di pasaran.
Boleh dapatkan di kedai-kedai buku berhampiran korang seperti MPH, Popular, SMO, Hasani, dan lain-lain.
Siapa nak beli online buku ini, boleh hubungi atau whatapps nombor 014 - 3242859
Anda semua dibenarkan untuk sebarkan tulisan dan buku ini ke seluruh galaksi dan jangan lupa bagi kredit kepada buku Aku Bukan Malaikat tulisan Shukery Azizan.
Bukan nak riya' or berlagak,
tetapi sekurangnya kalau dalam tulisan beliau ada kesalahan, at least
orang yang nak tegur tu boleh tahu siapa penulisnya dan macam mana nak
tegur penulis tersebut (dalam kes ni, tegur Shukery Azizan). Dan juga at
least beliau boleh "tracking" ke mana tulisan dia pergi. :)
Semoga bermanfaat :)
Betul Ke Jodoh Dah Ditetapkan?
Reviewed by Tarbiah Sentap
on
20:35
Rating:

No comments:
Post a comment