Maaf malam ni
BSS tak menepati hari yang sepatutnya. Sepatutnya BSS dikeluarkan pada hari
Isnin, Rabu dan Jumaat.
Tapi
terkeluar hari sabtu la pula. Takpe la, maafkanlah saya ya.
InsyaAllah
BSS malam ni saya nak tunaikan janji saya pada korang. Janji apa?
Janji nak
kongsi cerita seorang sahabat baik saya, Azlan tentang macam mana daripada
seorang pelajar sekolah rendah yang sangat TAK CEMERLANG, akhirnya hari ni
tengah ambil PhD.
Nak tahu
kisah dia untuk korang jadikan inspirasi?
Tapi sebelum
tu saya nak bagitahu. Cerita ni sangat panjang. Jadi saya bahagikan kepada dua
bahagian supaya korang tak bosan membaca.
Selamat
membaca. Moga bermanfaat.
Bismillah….
----
“Anak kau
dapat berapa A UPSR?”,
“Azlan,
berapa A dapat masa UPSR lepas?”,
“Azlan dapat
5A tak UPSR hari tu?”
Ironinya,
saya hanya mampu menjawab,
“tak de pun
makcik, 3B 2C je…”
Peristiwa ini
berlaku 13 tahun yang lepas…
Hari ini
mungkin orang berasa pelik,
“tipulah masa
kau sekolah tak cemerlang, PhD kot sekarang”…
Kita mungkin
boleh menganggap cemerlangnya seseorang itu pada hari ini disebabkan
cemerlangnya dirinya pada masa yang lepas.
Untuk kes
saya, tidak sama sekali. Jadi, macam mana saya boleh bergelar pelajar PhD
seperti hari ini? Sebelum ini saya tidak pernah terfikir untuk menulis coretan
pengalaman saya sejak dibangku sekolah sehingga bergelar sebagai pelajar PhD.
Tetapi disebabkan permintaan daripada sahabat saya, Ahmad Shukery Azizan, salah
seorang daripada admin Tarbiah Sentap, maka saya cuba menulis sebaik mungkin
agar sedikit sebanyak memberikan suntikan inspirasi kepada orang lain untuk
berjaya.
Sewaktu
berada di sekolah rendah saya hanyalah seorang kanak-kanak yang tidak ada
keistimewaan di dalam akademik. Malah, selalu dimarahi guru disebabkan prestasi
pelajaran yang sangat teruk.
Saya masih
ingat ketika berada di darjah satu, subjek “English” adalah subjek yang paling
saya lemah. Sehinggakan guru English pernah menegur di dalam kelas,
“Azlan ni
bukan dia tidak pandai, cuma dia lembab”
Walaupun
pernah disindir dan diejek selepas itu oleh rakan-rakan saya, saya tidak pernah
ambil hati walaupun sedikit dengan kata-kata guru saya tersebut. Kerana ketika
itu saya memahami dan berasakan betul apa yang dikatakan oleh guru terbabit.
Ketika berada
di darjah 6, seorang guru matematik yang merupakan guru besar di dalam sekolah
pernah hampir-hampir menghubungi kedua ibu bapa saya kerana keputusan percubaan
UPSR di dalam subjek matematik yang sangat teruk.
Sepanjang
berada di sekolah rendah, denda-denda seperti duduk di atas kerusi, duduk di luar
pintu kelas, kena ketuk dengan buku di atas kepala, kena rotan di atas tangan,
dicubit pipi sehingga hampir menitiskan air mata, dilempang oleh guru, semua
itu pernah saya lalui. Sehinggakan saya pernah dipanggil “Nobita” kerana selalu
dimarahi guru dan teruk di dalam prestasi akademik.
Namun begitu,
saya tidak pernah ambil hati dan marah kepada guru-guru saya ketika di sekolah
rendah dahulu. Kerana sememangnya ketika di sekolah rendah saya tidak pernah
serius di dalam pelajaran dan selalu bermain-main. Selayaknya guru-guru saya
ketika itu memberikan hukuman kepada diri saya supaya sedar dan berubah.
Tetapi, saya masih tak nak sedar dan degil pada ketika itu.
Bagaimana Pula Di Sekolah Menengah?
Di sekolah
menengah, ketika berada di tingkatan satu hingga tiga saya hanya bersekolah di
sekolah harian biasa dan guru-guru ketika itu tidak terlalu menekan di dalam
aspek akademik. Akademik saya masih biasa, dimarahi oleh guru kerana kerja
rumah tidak siap dan gagal di dalam peperiksaan sudah menjadi perkara lumrah.
Setiap kali
pulang ke rumah, saya akan bersantai di atas lantai dengan menonton drama di
television sambil makan keropok jajan. Alangkah bahagianya ketika itu sehingga
badan saya turut menjadi “bahagia”. Ketika itu, keluarga dan saudara mara saya
hilang keyakinan bahawa suatu masa nanti saya akan ke universiti.
Sikap yang
malas, banyak bermain, suka menonton television, suka tidur, dan suka keluar
dengan rakan setiap kali waktu petang menjadikan diri saya lemah dan teruk di
dalam akademik. Saya pernah dihantar ke rumah saudara saya ketika waktu cuti
sekolah dengan harapan saya dapat belajar dan tingkatkan prestasi akademik.
Namun begitu, keadaan tetap menjadi hambar.
Betapa
lemahnya saya di dalam pelajaran sehinggakan saudara saya tidak mampu berbuat
apa-apa.
Begitu ironi
bukan?
Menjadi bahan
sindiran dan kritikan oleh guru-guru serta saudara mara sudah menjadi lumrah
kepada saya ketika itu. Sebagai seorang manusia, saya selalu menangis dan lemah
semangat kerana sindiran serta kritikan sebegitu kepada diri saya.
Saya pernah
mengharapkan seseorang di dalam hidup saya yang mampu memberikan kata-kata
semangat, dorongan, motivasi dan bimbing saya supaya cemerlang dan berjaya.
Namun, sememangnya tidak akan pernah ada kerana sikap diri sendiri yang tidak
mahu diubah.
Keputusan PMR
saya ketika itu sangat hambar. Hanya memperoleh 2A sahaja dan selebihnya B dan
C. Amat mengecewakan terutamanya kedua ibu bapa saya. Bertambah-tambah kritikan
di sekeliling saya sehingga seolah olah tiada lagi harapan yang boleh
diletakkan di dalam diri saya.
Jadi Sejak Bila Saya Berubah?
Saya mula
berubah ketika berada di tingkatan 4. Ketika itu saya mendapat tawaran untuk
masuk ke sekolah teknik dan duduk di asrama. Setelah mendapatkan tawaran itu,
saya mula menanam hasrat untuk serius di dalam perubahan dan ingin menjadi
orang yang cemerlang pada suatu masa nanti.
Saya mula
buang sikap malas dan selalu ke bilik prep untuk mengulang kaji pelajaran.
Keropok jajan kesukaan saya, saya tinggalkan sejauhnya dan television pula
tidak mungkin dapat ditonton di asrama sekolah.
Usaha saya
untuk berubah ternyata berhasil apabila peperiksaan matematik tambahan ketika
berada di tingkatan 4, saya satu-satunya pelajar di dalam sekolah yang
memperoleh A.
Ketika itu
saya mula mendapatkan perhatian di dalam sekolah dan rakan-rakan saya mula
melihat saya sebagai “budak pandai add-math”. Saat itu barulah saya dapat
merasai perasaan menjadi pelajar yang “ada harapan”.
Namun begitu,
saya tidak pernah berasa sombong dan memandang hina kepada rakan-rakan lain
yang lemah. Bahkan, ketika di dalam asrama saya menjadi mentor kepada
pelajar-pelajar yang lemah di dalam matematik kerana simpati kepada mereka.
Saya juga pernah menjadi pelajar lemah dan bahan kritikan orang, sudah
semestinya saya turut simpati kepada mereka yang mengalami nasib yang sama
seperti saya.
Rakan-rakan
yang rapat dengan saya ketika itu adalah di dalam kalangan mereka yang lemah
akademik. Kerana saya berasakan satu keperluan untuk menyuntik inspirasi kepada
mereka agar turut sama-sama cemerlang seperti saya. Saya juga pernah menjadi
mentor untuk mengajar subjek fizik di dalam kalangan rakan-rakan sebaya
terutamanya mereka yang lemah di dalam subjek tersebut.
Setiap kali
rakan-rakan saya mengadu berasa tidak pandai dan lemah, saya akan cuba sedaya
upaya meyakinkan pada mereka bahawa
“kita
boleh!!”.
Ketika berada
ditingkatan 5, ada seorang rakan dari aliran vokasional ingin mencuba mengambil
peperiksaan matematik tambahan di dalam SPM.
Ketika itu,
ramai rakan-rakan saya yang berada di aliran teknik menyindir dirinya,
“boleh ke ko
nak ambil ni? Macam tak caya je”,
“add math
susah tahu tak, kitorang pun fail, apa lagi ko”,
“lupakan je
la, buang masa ko je”..
Namun,
saya tidak seperti mereka. Ketika sahabat saya itu mengadu kepada saya
tentang kritikan-kritikan orang kepada dirinya, saya berkata,
“takpe, ambil
je dan usaha sekurang-kurangnya untuk lulus, tak salah untuk ko mencuba, aku
boleh ajar ko add-math, jangan risau, buat tak tahu je apa diorang nak kata kat
ko”.
Pengalaman
saya yang pernah dikritik dan disindir menjadikan saya sensitif dan bersikap
untuk memberikan kata-kata harapan dan semangat kepada orang lain.
Saat itu saya
mula sedar, kejayaan yang Allah beri itu bukan hanya untuk diri saya. Bahkan
perlu dikongsi bersama dengan orang lain. Akhirnya, setelah mendapatkan
keputusan SPM saya berjaya membuktikan kepada kedua ibu bapa saya di mana saya
masih ada harapan dan boleh cemerlang seperti rakan-rakan yang lain.
Tidak ramai
yang menyangka saya mampu mendapatkan keputusan SPM yang cemerlang jika
diikutkan sejarah saya yang tidak pernah cemerlang ketika itu.
Bersambung…..
--
Penulis : Noorazlan Bin Abd Azis (Azlan Wildan)
Edited : Ahmad Shukery
BSS 51 : Daripada UPSR kepada PhD..?
Reviewed by Tarbiah Sentap
on
23:37
Rating:

4 comments:
Alhamdulillah..sy harap adik2 dan students sy akan mndpt kesedaran serta smngt utk berubah mcm admin..
Alhamdulillah,terima kasih encik share cerita.
salam.. bestnya :)
Moho share setiap artikel.
Post a Comment