Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha
penyayang. Selawat dan salam ke atas junjungan besar, nabi Muhammad saw, para
sahabat, ahli keluarga baginda, seterusnya para pengikut baginda hingga ke hari
ini. Syukur, sangat syukur kerana Allah beri kita nikmat iman dan islam. Nikmat
mana lagi yang lebih indah dari ini? Bayangkan, tanpa iman dan islam, hidup
kita seperti haiwan, bahkan lebih teruk, bukan sekadar itu, hidup kita akan di
akhiri dengan neraka yang tiada penghujung. Selama-lamanya!
Kerana itu, syukurlah, syukurlah pada Allah atas
nikmat islam!
Adakah kita bersyukur akan nikmat islam? Adakah kita
bersyukur? Atau kesyukuran yang kita ucapkan melalui bibir kita adalah
kesyukuran yang palsu?
Berapa ramai dari kalangan kita yang secara tidak
sedar, telah mengkufuri nikmat islam yang Allah dah beri pada kita. Ingat
nikmat islam ni kecil ke sehingga kita langsung tak hargai? Berjuta-juta
manusia di muka bumi ini, tidak semena-mena Allah pilih KITA untuk merasai
nikmat islam, dalam keadaan kita tak pernah minta! Kenapa susah sangat nak
menghargai nikmat ini?!
Seperti yang saya sebutkan tadi, berapa ramai dari
kalangan kita yang secara tidak sedar, telah mengkufuri nikmat islam yang Allah
telah beri pada kita. Saya tekankan ayat ini:
“Secara tidak sedar….”
Tidak sedar itu apa? Tidak sedar bermakna, kita
merasakan seolah-olah kita ini bersyukur akan nikmat islam ini, tapi pada
hakikatnya, perkara yang berlaku adalah sebaliknya! Saya nak kemukakan satu
kata-kata:
“Hari ini, ramai orang islam yang menyeleweng dari
islam, tanpa mereka sedari….”
Apakah islam yang kita imani hari ini sama seperti
yang arrasul dan para sahabat imani? Adakah islam yang kita fahami hari ini
betul-betul tepat dengan apa yang arrasul dan para sahabat faham? Atau hari ini
kita telah banyak SALAH FAHAM, dan menyeleweng tanpa sedar? Mari kita teliti, lantas,
muhasabah diri.
ISLAM ITU LENGKAP, SEMPURNA DAN MENYELURUH
Hari ini, ramai orang islam telah salah faham terhadap
islam itu sendiri. Apatah lagi orang kafir. Mereka menganggap islam ini hanya
terbatas pada ibadah sahaja. Bermakna, apabila kita laksanakan rukun islam yang
5, serta rukun iman yang 6, keislamannya sudah cukup. Pun begitu, terus-terang
saya nyatakan, sangat ramai di kalangan kita yang masih kabur maksud sebenar
rukun islam dan rukun iman, dan bagaimana nak aplikasikannya di dalam
kehidupan.
Sedangkan, islam bukan sekadar itu. Islam lebih luas
dari itu. Islam adalah satu CARA HIDUP. Bermakna, apabila kita menyebut tentang
cara hidup, ia meliputi segala-galanya dalam kehidupan.
“Islam adalah satu sistem yang MENYELURUH,
meliputi segenap aspek kehidupan. Islam adalah Negara dan tanah air, kerajaan
dan bangsa, akhlak dan kekuatan, rahmat dan keadilan, pengetahuan dan
undang-undang, ilmu dan kehakiman, material dan perbendaharaan, pendapatan dan
kekayaan, jihad dan dakwah, tentera dan fikrah, juga akidah yang sejahtera,
serta ibadah yang sahih….”
Begitulah islam, yang di takrifkan oleh hasan
albanna, di kala umat islam hanya menganggap islam itu hanya pada
ritual-ritual ibadah, tetapi dari sudut akhlak, ekonomi dan politik, tersasar
jauh dari islam.
Atau ringkasnya, islam adalah satu sistem yang
SYUMUL(menyeluruh) dan tak perlu bergantung pada sistem dan ideologi lain,
kerana islam sudah cukup lengkap dan menyeluruh. Atas faktor tidak JELAS akan
hakikat inilah, maka telah wujudnya kesesatan demi kesesatan, penyelewengan
demi penyelewengan, yang di lakukan atas nama islam kononya, tetapi hakikatnya,
ianya adalah BATIL dan menyeleweng dari islam yang sebenar.
ISLAM, JAHILIYAH DAN ISU AQIDAH
Sebelum saya hurai dengan lebih lanjut akan noktah
ini, suka untuk saya nyatakan bahawa:
“Selain dari islam, semuanya adalah jahiliyah. Apapun
namanya, ia tetap jahiliyah, dan ianya menyeleweng…”
Hari ini, akibat kita tidak faham tentang hakikat
kesyumulan islam, maka wujudnya beberapa golongan umat islam yang
mencampur-adukkan islam dan jahiliyah, samada dalam bentuk cara hidup,
pemikiran politik dan ekonomi, serta iktikad dan kepercayaan mereka.
Mereka mengambil ideologi-ideologi yang di kemukakan
oleh barat serta mengagungkannya, bahkan mereka rasa, mereka berada di pihak
yang benar dan tidak menyeleweng. Maka, wujudlah orang islam yang berfahaman
liberalisme, sekularisme, humanisme, kapatalisme, hedonisme, sosialisme, komunisme,
pluralisme, nasionalisme dan lain-lain.
Hakikatnya, liberal ini bukan sekadar satu pemikiran
biasa-biasa. Tetapi ia adalah sesuatu ideologi, sistem hidup yang bertentangan
dengan cara hidup islam. Seperti mana islam itu ada caranya untuk menyelesaikan
isu politik, liberal juga ada caranya untuk menyelesaikan isu politik. Seperti
mana islam ada hukum hakam dan kaedah bagi menangani isu ekonomi, begitu juga
liberal. Bermakna, apabila kita mengambil islam separuh, pada masa yang sama,
di satu sudut yang lain pula kita mengambil liberal sebagai neraca, maka di
situlah bermulanya PENYELEWENGAN agama.
Mana mungkin islam yang syumul ini memerlukan ideologi
yang lain? Mana mungkin! Mengapakah ada di kalangan kita yang mengambil islam
separuh, dan separuhnya lagi, kita mengambil ideologi liberal, sosialis dan
lain-lain? Pernahkan kita baca:
ويقولون نؤمن ببعض ونكفر ببعض ويريدون أن يتخذوا
بين ذلك سبيلا
“Dan mereka berkata, kami beriman dengan sebahagian
dan menolak dengan sebahagian yang lain. Serta mereka bermaksud untuk mengambil
jalan tengah…”
Tahukah kalian, bila kita mengambil islam separuh, dan
separuh yang lain kita beriman dengan ideologi dan cara fikir liberal,
sosialis, plural dan apa sahaja namanya selain islam, kita ini apa? Apakah
gelaran yang telah Allah berikan kepada mereka-mereka yang sebegini?!
أولئك هم الكافرون حقا وأعتدنا للكافرين عذابا
مهينا
"Mereka
itulah orang kafir yang sebenar-benarnya! Dan kami sediakan orang-orang kafir
azab yang pedih…”
Bermakna, Allah telah menggelarkan orang-orang
sebegini sebagai kafir! Bukankah ia sesuatu yang berat? Bermakna, mereka-mereka
yang berfahaman liberalisme, sekularisme, humanisme, kapatalisme, hedonisme,
sosialisme, komunisme, pluralisme, nasionalisme dan apa sahaja fahaman yang
namanya lain selain islam, ia bukan isu kecil. Bahkan ianya isu AQIDAH!
Saya tegaskan:
“Liberalisme adalah isu aqidah. Sosialisme adalah isu
aqidah. Sekularisme adalah isu aqidah. Humanisme adalah isu aqidah. Hedonisme
adalah isu aqidah. Kapatalisme adalah isu aqidah. Pluralisme adalah isu aqidah,
nasionalisme adalah isu aqidah, komunisme adalah isu aqidah. Dan, isu aqidah
adalah isu yang sangat BERAT di sisi islam!!!”
Suka saya nukilkan kata-kata Syed Qutb di dalam
tafsirnya “Fi Zilalil Quran”, dalam menafsirkan ayat ke 9 di dalam surah
Alqalam, beliau menyebut:
فصاحب العقيدة لا يتخلى عن شيء منها, لأن الصغير
منها كالكبير, بل ليس في العقيدة صغير وكبير إنها حقيقة واحدة متكاملة الأجزاء۔ لا
يطيع فيها صاحبها أحدا, ولا يتخلى عن شيء منها أبدا
“Pemilik aqidah itu tidak akan berganjak dengan
aqidahnya sedikitpun, kerana persoalan yang kecil dan besar dalam aqidah itu
sama sahaja. Bahkan, di dalam aqidah, tiada urusan besar atau kecil. Aqidah
adalah sebuah HAKIKAT yang mana bahagian-bahagiannya SALING MELENGKAPI, dan
pemilik aqidah ini tidak boleh mematuhi sesuatu yang lain, dengan meninggalkan
bahagian-bahagian tertentu dari aqidahnya….”
SALAH FAHAM TERHADAP ISLAM
Ada di kalangan orang islam hari ini yang mengatakan:
“Apa salahnya kita campur-adukkan antara islam dan
juga liberal? Kerana liberal adalah sebahagian daripada islam!!”
Suka saya untuk menempelak golongan sebegini. Mereka
mungkin tidak memahami islam, atau mungkin mereka tidak memahami liberal, juga
mungkin mereka tak memahami apa itu islam dan apa itu liberal. Hakikatnya, seperti
mana islam itu satu “pakej” dan mempunyai sistemnya yang tersendiri, begitu
juga liberal adalah satu “pakej” dan mempunyai sistemnya yang tersendiri.
Bukankah islam itu sudah cukup lengkap, sempurna dan
menyeluruh? Mengapa perlu kita mengimport ideologi barat? Mari, saya tunjukkan
beberapa salah faham orang terhadap isu ini dalam bentuk gambar rajah.
![]() |
Rajah 1: Liberal sebahagian dari islam. SALAH! |
![]() |
Rajah 2: Sebahagian dari liberal adalah sebahagian dari islam. SALAH! |
![]() |
Rajah 3: Islam itu islam. Liberal itu liberal. BETUL! |
Melalui tiga rajah yang saya kemukakan di atas,
jelaslah kita, bahawa islam dan ideologi selain islam mustahil akan bertemu.
Sebagai pengakhiran kepada penulisan saya pada kali ini, suka untuk saya
nyatakan kata-kata dan pandangan tokoh-tokoh islam berkaitan perkara ini, agar
kita semua yakin dengan islam yang syumul, seterusnya membersihkan segala salah
faham yang berlaku selama ini.
"وما كان يمكن أن يتلقي الإسلام والجاهلية في منتصف الطريق,
ولا في أي طريق۔ وذلك حال الإسلام مع الجاهلية في كل مكان وزمان۔ جاهلية الأمس,
وجاهلية اليوم, وجالية الغد كلها سواء! إن الهوة بينها وبين الإسلام لا تعبر, ولا
تقام عليها قنطرة, ولا تقبل قسمة ولا صلة۔۔۔"
“Sungguh tidak mungkin bertemunya islam dan jahiliyah
di pertengahan jalan, bahkan tidak mungkin bertemu langsung pada mana-mana
jalan. Itulah sikap islam terhadap Jahiliah di setiap waktu dan tempat, samada
Jahiliah dahulu mahupun Jahiliah esok hari, semuanya SAMA di sisi islam!
Sesungguhnya, jurang pemisah antara islam dan jahiliyah tidak mampu di katakan,
tidak mungkin di pasang JAMBATAN di antara keduanya, dan ianya tak mungkin
bersambung….”
(Syed Qutb)
Juga saya tutup tajuk perbincangan kali ini dengan
kata-kata Ahmad Arrasyid dalam kitabnya “Almuntolaq” dalam membincangkan isu
ini. Beliau berkata dengan tegas:
“Kebanyakan kerajaan dan negeri umat islam, dan
kebanyakan PARTI POLITIK atau NGO pada hari ini tidaklah terang-terangan
menolak tuhan. Tetapi mereka-mereka ini menyeru manusia kepada manhaj(cara
hidup) dan sistem-sistem yang bertentangan dengan sebahagian hukum islam.
Mereka kadangkala menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal sedangkan
mereka tahu bahawa perkara itu bertentangan dengan syariat islam. Ulama’ dan
pemimpin-pemimpin islam telah menerangkan kepada mereka betapa SALAHNYA
perbuatan mereka, namun mereka masih tetap BERDEGIL dan terus-menerus mengajak
orang kepada Jahiliah dan nafsu. Tidak syak lagi, itu adalah KUFUR!”
Wallahua’lam.
-Adnin Roslan-
Islam Liberal itu sesat?
Reviewed by Unknown
on
16:23
Rating:

2 comments:
Assalamualaikum saudara admin..bolehkh saudara mmberi sdikt pncerahan mngenai nasionalisme n ape bezanya dgn patriotisme?
Assalamualaikum..boleh tak bro terangkan dengan lebih lanjut mengenai liberal dalam islam yang makin berleluasa di malaysia dan apakah cara yang paling berkesan untuk mengatasi masalah ini daripada terus merebak dalam kalangan muslim ?
Post a comment