Bismillah. Selawat dan salam ke atas Arrasul saw. Saya merayu dan
meminta perlindungan pada Allah dari kata-kata yang saya sendiri tak amal. Dan
saya harap, kata-kata saya ini, memberi kesan terutamanya pada diri saya
sendiri, dan umumnya kepada semua, semua yang telahpun bertekad untuk menjadi
pendakwah, dan ingin hidup mati dengan islam.
Mungkin penulisan kali ini berbentu teguran. Teguran yang saya ingin
utarakan kepada semua para daei. Ya, mungkin sebab kita rasa terlalu selesa
dengan gelaran “daei”, terlalu selesa berada di dalam kapal dakwah ini,
sehingga kita lupa, apakah dakwah yang kita lakukan ini Allah redha atau Allah
murka.
Saya ulang:
“kita rasa terlalu selesa dengan gelaran “daei”, terlalu selesa berada
di dalam kapal dakwah ini, sehingga kita lupa, apakah dakwah yang kita lakukan
ini Allah redha atau Allah murka…”
Kita jangan ingat, bila kita dah gabungkan diri dengan Jemaah dakwah,
kita dah terlepas dari neraka. Kita jangan ingat, bila kita dah mengatakan
bahawa “Aku nak ikut dakwah tarbiah”, bererti kita ni malaikat dan bebas dari
sebarang kesalahan dan tak boleh menerima teguran. Apa gunanya kita gabungkan
diri dengan Jemaah dakwah, tetapi kita ni langsung tak berkorban untuk dakwah,
bahkan MERUNGUT apabila di suruh melakukan pengorbanan?!(baca:Gabungkan diri dengan jemaah dakwah adalah wajib. Baca di SINI).
Tepuk dada, tanya diri sendiri. Imbau semula kisah-kisah silam kita
selama kita berada dalam dakwah dan tarbiah, dari awal hingga ke hari ini,
kemudian menangislah. Mungkin, kita rasa amal dan pengorbanan kita untuk agama
ni banyak, tapi rupanya-rupanya, itu hanyalah ghurur, ujub dan perasan. Amal
kita hanyalah sedikit, namun kita sering mengharapkan hasil yang berbukit,
apabila di suruh melakukan pengorbanan yang lebih, kau sering merungut dan
mengungkit-ungkit!
HAKIKAT UMAT
Saya yakin, semua sedar. Semua sedar dan faham, betapa umat hari ni
sedang berada di tahap kritikal. Umat dalam keadaan nazak dan tenat. Umat islam
sendiri, hancur lebur, gugur dan bagaikan bangkai yang langsung tak memberi
manfaat. Orang islam sendiri benci dan menghina islam, meluat dengan islam,
malu dengan islam, abaikan islam, menentang islam dan menghancurkan islam.
Zina, arak, rasuah dan riba, mencuri, merompak, membunuh, buang anak,
meninggalkan solat dan puasa, menonton video lucah, mengangungkan artis kafir
dan berhibur dengannya, menganggap dosa kecil itu tiada apa dan lain-lain!
Umat islam sendiri yang membackup ideologi-ideologi menyeleweng seperti LIBERAL,
sekular, syiah, dan lain-lain. Umat islam hari ni lebih mengagungkan ilmuan dan
falsafah barat, berbanding ulama’ islam yang mursyid. Pemahaman umat islam
makin lama makin menyeleweng, jahil atas jahil(Jahil yang merasakan mereka
benar sedangkan mereka jahil, dan mempertahankan kejahilan sendiri). Bahkan
bukan itu sahaja, yang ada kesedaran dakwah dan tarbiah pun, masih bertengkar,
bergaduh mulut, berdebat tak berkesudahan, tidak berusaha mencari titik
persepakatan dan ukhwah, mendahulukan buruk sangka dan dendam kesumat serta
dengki yang tak berkesudahan. Juga ada yang baik sendirian, menangis sendirian,
tapi langsung tak membantu umat, hanya fikir diri sendiri!
Adakah kita menangis melihat hal ini?
Lebih menyedihkan, umat islam bukan sahaja di asak dari dalam, bahkan,
orang kafir hari ini, makin menjadi-jadi menjatuhkan islam, mereka sentiasa
merancang dan terus-meneruskan mencabar kedaulatan islam di Malaysia khususnya
dan di seluruh dunia amnya. Menghina hudud, mencabar perlembagaan, memaksa
kerajaan untuk menerima kebebasan murtad, ingin menggunakan kalimah Allah di
dalam bible untuk tujuan kristianisasi, mengagungkan Lesbian, Gay, Bisexual dan
Transexual dan memaksa umat islam untuk merasakan ianya normal atas nama HAK
ASASI, dan pelbagai lagi. Lebih teruk dari itu, ada umat islam yang
mempertahankan mereka atas alasan-alasan yang cukup dangkal dan melanggari
syarak.
Apakah kita masih lagi boleh tenang?
HAKIKAT DIRIMU, WAHAI DAEI!
Dalam keadaan umat yang sebegini merana, kita, sebagai seorang yang
Allah telah kurniakan kesedaran untuk melakukan dakwah dan tarbiah, kita yang
Allah telah beri hidayah untuk meninggalkan Jahiliah-jahiliah, kita, kita, kita
hari ini langsung tak menghargai segala hidayah dan kesedaran yang Allah telah
bagi! Apa ini? Apakah dosa yang lebih memalukan dari mengkufuri nikmat?!
Muhasabahlah dirimu wahai daei! Muhasabahlah! Saya akan gunakan perkataan "kau". Kau tu merujuk kepada diri kita, termasuk saya saya menulis.
1)Adakah kau masih lagi boleh tengok wayang, tengok movie dan drama yang
di dalamnya penuh dengan pendedahan aurat dan unsur-unsur yang Allah murka,
dengar lagu-lagu yang ada unsur-unsur kemurkaan Allah, sedangkan umat sedang
tenat sebegini? Apa alasan yang kau nak bagi?
“Jangan syadid sangat. Tengok movie bukan salahpun. Bukan naik
syahwatpun tengok aurat dan pelakon cantik dan seksi tu. Tengok just untuk
hiburan je. Jangan terlalu keras sangat…Asalkan aku tak lalai…”
Saya jawab:
“Ya Allah, ya Allah! Aku yang syadid atau kau yang terlalu longgar?
Sehingga merasakan dosa itu bukan dosa, menghalalkan yang haram atas alasan
yang cukup memalukan bagi seorang yang kononya faham dakwah? Apa ni, apa ni?!
Asalkan kau tak lalai? Sejak bila Allah kata boleh buat benda haram asalkan tak
lalai? Dalil mana kau guna? Dalil Allah dan Rasul atau dalil nafsu dan
syaitan??”
2)Adakah kau masih boleh bermalas-malas membaca bahan-bahan usrah?Setiap
kali usrah, tak baca bahan, tak prepare. Sekali dua tiada masalah, tapi dah
berapa puluh kali dah kau ulang perkara yang sama? Apa alasan nak bagi? Sibuk?
Tiada masa? Ayat buku tu tinggi sangat? Orang beriman, takkan beri alasan dalam
melakukan amal!
Lepas tu, mendabik dada kononya kau faham fikrah, kau hebat bab agama,
dan menyalahkan orang lain tanpa ilmu, debat kosong yang tidak di dasari oleh
disiplin ilmu tetapi hanya dengan nafsu dan kepala otak semata. Apakah
ini?Apakah ini?
Buku sirah apa yang kau dah habis baca? “Raheeq Makhtum” dah baca? ”Fiqh
sirah” dah baca? Ulama’ dah tulis penat-penat, kau, nak baca pun penat. Apakah
ini? Belum masuk bab buku-buku fikrah dan dakwah. Buku Mustafa mahsyur dah
baca? Buku tulisan Albanna khususnya “Majmuat Rasail” dah baca? Buku Fathi
yakan apa yang kau dah habis baca? Buku Abu A’la Almaududi, buku-buku Syed
Qutb, Ahmad Arrasyid, dan lain-lain, berapa banyak yang kau dah baca dan hadam?
Ataupun, APAKAH USAHA kau untuknya??!
Apakah ini tanda kau syukur nikmat kesedaran, nikmat hidayah dan nikmat
tarbiah yang Allah dah beri pada kau?
3)Sejauh mana pengorbanan kau untuk dakwah? Atau kau rasa kau berkorban,
tapi check-check balik, pengorbanan kau sangat sedikit. Berapa banyak kali kau
jumpa mad’u kau? Berapa ringgit yang kau dah korbankan untuk dakwah? Berapa banyak masa kau korbankan untuk dakwah?Atau banyak buang masa?(sayalah tu!!)
Sering merungut untuk korbankan duit untuk kebaikan dakwah, sedangkan kau mampu. Yang tak mampu, boleh di pertimbangkan lagi. Bukan takat itu, bagi ceramahpun mengharapkan upah, pergi program jauh-jauhpun,
still merungut dengan duit minyak , buat program pun, bergantung pada duit
yuran peserta, lantas, baki duit tersebut, di bahagi-bahagikan kepada diri kau,
kononya sebagai upah. Mintak keluar duit lebih sikit, merungut, benci,
menyampah dan lain-lain. Bukan nak kata salah 100%. Tapi, muhasabahlah kembali.
Memang benar, ada yang tak mampu sumbang dari sudut kewangan dan harta.
Tapi hakikatnya, semua mampu menyumbang. Cuma perbezaannya ialah, ada yang
mampu korbankan sedikit kerana kurang kemampuan, dan ada yang mampu menyumbang
banyak. Dan, banyak dan sikit bukanlah ukuran! Ukurannya adalah sejauh mana
kita IKHLAS dan tak merungut serta bukan terpaksa. Korbankan duit dengan rela
hati, dengan mengharapkan pembalasan dari Allah! Boleh jadi, Allah lebih meredhai
yang sedikit berbanding yang banyak!
Belum sentuh dari sudut kesungguhan datang meeting. Tak datang dengan
selamba tanpa alasan. Kalau ada alasan yang munasabah, okaylah jugak. Ini
tidak, pelepasan kita dari meeting adalah kerana nak memenuhi tuntutan nasfu,
merehatkan badan, berhibur dengan game dan movie, serta pelbagai lagi perkara
yang cukup memalukan.
4)Sejauh mana hubungan kau dengan Allah? Amal Fardi kau? Qiamullail kau
dah berapa banyak kali tinggal dengan selamba dan tak rasa sedikitpun
kekesalan, penyesalan dan kegelisahan. Berapa banyak kali kau sebut nama mad’u
kau dalam doa? Kau ingat, hidayah tu atas usaha kau ke? Tahu tak kau, Allah
yang beri hidayah, bukan kau! Kalau kau tahu, kenapa kau tak doa pada Allah?
Pernah tak kau menangis teresak-esak fikirkan mad’u kau? Pernah tak kau
tak sedap badan, tak selera makan, memikirkan mad’u kau yang makin lama makin
lari dari tarbiah? Pernah tak? Selalu tak?
Belum sentuh bab quran dan zikir. Berapa muka baca sehari?Zikir pagi
petang apa cerita? Solat Jemaah LIMA WAKTU di masjid/surau apa kabar? Apakah
kau jaga atau buat sambil lewa, tinggalkan tanpa rasa bersalah apa? Atau, kau
masih tak selesai isu Jahiliah? Masih ikhtilat, melihat video yang tak senonoh
di youtube, bercinta dan sebagainya?
Ingat, ingat:
“Hati yang mati, takkan mampu menghidupkan hati yang lain. Hanya lilin
yang hidup mampu menghidupkan lilin-lilin yang lain. Hanya hati yang hidup,
mampu menghidupkan hati umat yang mati!”
PEDOMAN DARI KISAH-KISAH LAGENDA DAKWAH
Sepatutnya, kita mahu tak mahu, perlu ada perasaan mahu berlumba-lumba
untuk berkorban. Seperti mana sahabat
Arrasul. Mereka sangat-sangat tunjukkan pengorbanan yang tiada tara untuk
dakwah yang suci murni ini. Lagi tinggi pengorbanan, lagi tinggilah hidayah
Allah akan tersebar untuk diri dan umat!
والذين جاهدوا فينا لنهدينهم سبلنا
“Dan mereka-mereka yang
bersusah-paya di jalan kami, akan kami tunjukkan(beri hidayah kepada mereka)
pada jalan-jalan kami!”
****
1)KISAH SAHABAT MISKIN KETIKA PERANG TABUK
Teringat ketika perang tabuk, ketika seruan nabi kepada sahabat-sahabat
untuk mengorbankan harta mereka di jalan Allah, kelihatan seorang lelaki tua
dan miskin, menangis teresak-esak. Bila arrasul tanya padanya:
“Kenapa kau menangis?”
“Kenapa kau menangis?”
Lalu sahabat tersebut menjawab:
“Aku menangis kerana aku sedih bila aku tak mampu menginfakkan hartaku
ke jalan Allah seperti sahabat-sahabat lain, lantaran kemiskinanku. Yang aku
ada hanyalah sebiji tamar yang kering!”
Lalu, nabi mengambil tamar tersebut dan meletakkannya di tempat timbunan
harta, di bahagian atas sekali!
****
2)KISAH SEORANG AHLI IKHWAN MUSLIMIN DI MESIR
Ada seorang ikhwah, seorang yang agak tak berkemampuan dari sudut harta.
Bahkan, kenderaan yang dia ada hanyalah sebuah basikal buruk. Dengan basikal
itulah dia gunakan semaksimum mungkin menghadiri usrah, katibah,
meeting-meeting dakwah dan sebagainya, yang terletak sangat jauh dari rumahnya.
Namun, satu hari, pimpinan ikhwan menyuruh para ahlinya untuk
mengorbankan duit-duit mereka untuk dakwah.
Selepas dari itu, ikhwah tersebut sering datang lewat usrah, katibah dan
meeting. Dan setiap kali dia datang, mesti matanya lesu, nafasnya
termengah-mengah, berpeluh dan kelihatan penat dan tak bermaya. Bila di tanya
kenapa lambat datang, dia tidak memberi apa-apa alasan, dan meminta-maaf atas
keterlambatan.
Setelah berkali-kali perkara itu berlaku, akhirnya seorang ikhwah
bertanya kepadanya tentang apa masalah yang berlaku sehingga setiap kali usrah,
meeting dan sebagainya, dia selalu datang lambat. Pada awalnya, dia tidak
menjawab, tetapi apabila di tanya berkali-kali, barulah dia menjawab:
“Dahulu, aku datang ke usrah dan sebagainya dengan menaiki basikal
burukku. Aku gerak awal kerana tempatnya agak jauh dari rumahku. Namun, setelah
datang seruan untuk mengorbankan harta dan isytirakat untuk dakwah, aku tiada
duit untuk di korbankan. Apa yang aku ada adalah basikalku ini. Lantas, aku pun
menjual basikalku, dan gunakn hasil duit itu untuk di infaqkan kepada jemaah
dan dakwah…..”
Menangis ikhwah itu apabila mendengar kisahnya. Lantas, ikhwah tersebut
bersama-ikhwah-ikhwah lain telah menghadiahkan untuknya sebuah kereta, sebagai
penghargaan dari sebuah pengorbanan yang agung ini!
*****
3)PEDOMAN JEMAAH TABLIGH
Saya pernah mengikuti Jemaah tabligh. Saya
terfikir, mengapa ijtimak yang mereka lakukan di hadiri seramai 200,00, tanpa
sebarang iklan di tv, surat khabar, dan media massa yang lain. Makanan untuk
200,00 itu free, ada orang yang masakkan, khidmat teksi bagi mereka yang tiada
kenderaan, dan lain-lain. Bahkan, tiada sebarang yuran di kenakan untuk
mereka-mereka yang hadir. Apakah rahsianya?
Bayangkan, jemaah tabligh mewajibkan semua para
pendokongnya untuk melakukan mesyuarat dakwah SETIAP HARI di setiap kawasan
rumah masing-masing. Kemudian, SETIAP MINGGU, setiap zon seperti zon Shah Alam
utara, Shah Alam selatan, zon Klang, dan setiap zon-zon di setiap negeri akan
berkumpul dan mengadakan mesyuarat bagi melaporkan HASIL dakwah mereka di
setiap tempat masing-masing! Kemudian, SETIAP BULAN, akan di adakan mesyuarat
bulanan, setiap negeri memberi laporan dan perkembangan amal dakwah di negeri masing-masing
kepada MARKAZ PUSAT iaitu di Sri Petaling. Dan Mesyuarat tahunan pula,
melibatkan seluruh dunia, memberi laporan tahunan kepada pimpinan tabligh
sedunia di Markaz Nizamuddin, india, mendengar laporan dari wakil-wakil syura
setiap Negara!
Ini baru dari sudut melakukan meeting. Dari
sudut pengumpulan tarbiah, jika kita, usrah setiap minggu sekali pun ada yang
datang, ada yang tak datang, mereka melakukan majlis ta’lim bacaan hadis nabi
setiap hari, di masjid dan di rumah! Setiap hari!
Dari sudut dakwah pula, mereka peruntukkan masa,
setiap hari sekurang-kurangnya 2 jam sentengah untuk pergi rumah ke rumah,
dakwah dan pujuk rayu umat. Belum di tambah dengan program mingguan mereka
iaitu “gash”(ziarah rumah ke rumah dua minggu sekali).
Kalau kita, katibah hanya sekali sebulan, itupun
ada yang merungut dan tak datang. Tabligh pula, setiap MINGGU ada katibah
mereka yang di namakan malam markaz. Bermula dari selepas asar, sehingga pukul
8 pagi esoknya. Belum lagi cerita bagaimana mereka keluar 3 hari, 40 hari, 4
bulan ke Negara-negara jiran, Negara jauh, atau dalam Negara. Paling kurang nak
keluar 40 hari, kena ada RM500. Kalau 4 bulan? Belum Negara jauh dan
sebagainya.
Tapi mereka jarang merungut. Mereka rasa, lagi
banyak mereka berkorban, hidup mereka lagi puas.
*****
Moga dengan tiga kisah di atas, dapat menjadi
pembakar semangat kita untuk kembali muhasabah diri. Sejauh manakah pengorbanan
kita untuk menegakkan agama Allah yang suci murni ini?
PENUTUP
Mungkin, ada yang akan marah bila saya utarakan
persoalan-persoalan di atas. Dan mungkin saya sendiri tak serupa bikin dengan
apa yang saya cakap. Lantaran itu, saya mengaku, saya sendiri mempunyai 1001
kelemahan dan aib saya yang saya sendiri rasa malu untuk ceritakan. Tetapi
itulah, penulisan ini khusus untuk diri saya, umum untuk sesiapa sahaja yang
mahu ambil pengajaran.
Kembali muhasabah diri. Kita dah lama sangat
lena, di kala umat tengah tenat. Hidupkanlah budaya tegur-menegur sesama kita,
agar bila kita lalai, kita mampu kembali sedar dan berubah. Jangan biarkan
kawan kita berterusan dengan kelalaian, berterusan dengan rungutan, dan yang
sama waktu dengannya.
Moga, dengan pengorbanan kita yang sedikit ini,
Allah balas dengan syurga.
Allah, Allah sangat baik. Allah sangat pemurah.
Pengorbanan kita yang sedikit, Allah tetap hargai dan merasa bangga dengan kita
andai kita ikhlas. Itulah Allah, tuhan yang sentiasan menghargai kita, tuhan
yang MAHA PEMURAH. Namun, adakah kita ini menghargai Allah?
Wallahua'lam
-Adnin Roslan-
Teguran buat daei yang merungut?
Reviewed by Unknown
on
03:24
Rating:

4 comments:
Terima kasih atas teguran yg 'direct' dan jujur ini.
Spot on. Barakallahufika.
Mad'u tu apa?
org yang didakwah,,
Post a comment