Tarbiah Sentap: Betul Ke Rezeki Dah Ditetapkan?

Tuesday, 1 August 2017

Betul Ke Rezeki Dah Ditetapkan?


Ihsan gambar dari Google Images

Sebelum kita pergi sejauh mata memandang, kita pergi kepada yang dekat di hati, iaitu apakah definisi rezeki. Kalau kita ikut tafsir Quran asy-Sya’rawy, rezeki yang disebut adalah,

Rezeki adalah apa-apa yang kita RASAKAN MANFAATNYA, sama ada halal ataupun haram, sama ada baik ataupun buruk.”

Kemudian dia tambah lagi,

Bererti apa sahaja yang kita rasakan MANFAATNYA bermakna ia adalah rezeki kita, dan segala sesuatu yang tak dapat kita mengambil manfaat daripadanya (walaupun milik kita), bukanlah rezeki kita, tetapi rezeki orang lain.[1]

            Definisi ini serius sangat padu baq ang kata orang kedah, padat dan sentap. Rezeki bukan hanya harta atau duit yang kau guna untuk beli iPad. Tetapi rezeki juga boleh jadi dalam bentuk ilmu, akal, air, tanah, api, udara, sahabat baik, anak soleh, kerja jadi mudah, assignment senang siap, senang jawab exam, dapat jodoh yang baik, dapat jadi mayat yang wangi macam pakai dashing dan sebagainya.

Dengan kata mudah,

1)    Rezeki ini kita dapat rasa manfaatnya.
2)    Walaupun ia halal atau haram, baik atau buruk.
3)    Milik kita belum tentu rezeki kita.

Dalam bab sebelum ini, saya dah bahaskan bahawa rezeki sudah ditetapkan dan apa PILIHAN yang kita ada adalah WAJIB buat PERSEDIAAN untuk mendapatkan rezeki. Kita ada pilihan sama ada nak dapat rezeki yang baik dan halal, atau dapat rezeki yang buruk dan haram. Rezeki ini memang dah ditakdirkan walau kita nak sangat rezeki, atau kita tak nak sangat rezeki.

“Sesungguhnya Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dengan tidak terhitung jumlahnya.”

(Surah ‘Ali Imran 3:37)

            Rasanya dari definisi ini, kau dah boleh faham insyaAllah apa itu rezeki. Cuma persoalannya sekarang ini, apakah pula itu PERSEDIAAN? Persediaan yang saya maksudkan adalah IKHTIAR dan USAHA. Ikhtiar sebelum mendapat rezeki yang saya maksudkan adalah kau fikir dan PILIH rezeki macam mana yang kau nak.

Rezeki ini dah ditakdirkan walau kita kejar atau lari macam mana pun. Jadi apa PILIHAN yang kita ada adalah dengan PILIH “jenis” rezeki yang kita mahu. Kita nak rezeki yang baik, atau rezeki yang buruk. Rezeki yang halal, atau rezeki yang haram.

Rezeki Haram?

Ramai orang ingat rezeki itu apa saja yang halal. Saya pun ingat macam itu juga sebelum ini. Lalu kita belasah saja apa yang kita rasa rezeki, walau halal atau tidak. Sebab kita sangka rezeki semuanya halal. Rupanya tidak. Oh, plot twist sungguh.

Sebab apa? Allah sebut,

“Makanlah daripada makanan yang BAIK-BAIK yang telah Kami berikan kepadamu.”

(Surah Al Baqarah 2:57)

Contoh satu kisah ngeri yang biasa berlaku di sempadan Marikh dan Pluto. Satu hari Nur Mugholazoh (Cahaya Najis Berat?) telah keluar dari masjid selepas solat isyak berjemaah. Ada gaya perempuan solehah akhir zaman. Sekali dia tengok selipar cap Gucci yang baru dibelinya semalam telah hilang akibat dicuri oleh pencuri. Takkan pula dicuri oleh polis.

Akibat dari tragedi ngeri itu, beliau pun marah dan rasa mahu mengamuk. Manakan tidak, macam mana dia nak balik rumah? Kakinya tidak layak untuk berjalan secara berkaki ayam (ayat sombong bongkak ujub takbur!).

Akhirnya syaitonirrojim menjalankan tugasnya dengan membisikkan pada telinga Mugholazoh ini,

“Sista in Islam (tetiba), why not kau ambil selipar jepun masjid ni ha. Kau pinjam sekejap saja, lepas tu esok kau pulanglah. Bukan lama pun..”

Mugholazoh yang agak jahil dan lurus bendul selurus highway PLUS Utara-Selatan pun tertipu dengan bisikan syaitonirrojim yang sangat super-duper halus ini. Sedangkan beliau merupakan ahli aktif Persatuan Wanita Macam Solehah Akhir Zaman (PWMSAZ).

Ini menunjukkan bahawa semakin beriman kita, semakin halus dan dahsyat kita diuji, dan semakin meningkat kedahsyatan tipu daya iblis laknatullah alaih. Begitu juga peringatan kepada saya sendiri.

Gulp.

Akhirnya dia pun mencuri juga selipar masjid dengan alasan “nak pinjam sekejap”. Ah, sembang punya pinjam sekejap. Syaitonirrojim tidak berhentikan tugas setakat itu saja. Malah dia membuatkan Mugholazoh LUPA untuk pulang selipar masjid tu. Sehinggalah akhirnya beliau memakai selipar masjid seperti hartanya sendiri sehingga akhir usia iaitu sampai terputus dua selipar tersebut tanpa memulangkan pada masjid. Sekian tamat kisah ngeri ini.

Ada 2 rezeki Nur Mugholazoh dapat pada malam itu. Satu sebab dapat ujian kesabaran akibat hilang selipar cap Gucci dan terpaksa balik rumah menggunakan kaki ayam, dan kemudian dia dapat selipar baru. Selipar jepun masjid pula tu. Inilah yang dimaksudkan rezeki haram.

Contoh lain pula? Kau dapat meniru dalam peperiksaan, kemudian kau dapat keputusan dan gred dahsyat tahap kritikal. Atau kau dapat curi tulang semasa kerja, lalu kau dapat gaji yang banyak. Atau kau dapat rasuah yang tinggi. Atau kau menipu dalam kerja, lalu dapat naik pangkat dengan jayanya.

Atau kau curi makanan orang lain dengan gembiranya. Atau kau khianat duit rakyat melalui biasiswa kau. Atau kau curi duit rakyat tak kisah sama ada kau kerajaan negeri atau kerajaan pusat. Eh?

Ada banyak lagi contoh lain. Cuma nak beritahu bahawa itu semua rezeki juga. Tetapi rezeki yang HARAM.

Milik Kita Belum Tentu Rezeki Kita

Sekarang kita dah faham yang rezeki ini memang akan bagi manfaat. Dan kita pun dah faham apa maksud rezeki yang haram. Rezeki yang halal insyaAllah semua faham, tak perlu ulas panjang. Sebelum saya masuk tentang usaha mendapatkan rezeki yang halal atau haram, saya nak jawab satu lagi persoalan lain.

Apa maksud “milik kita belum tentu rezeki kita”? Begini.

Habis saja graduasi, kau pun menganggur sampai 4 tahun menghabiskan beras dan duit mak ayah. Ye lah, nak tunggu kerja “turun” dari langit dan mesti kena sama standard macam belajar di universiti. Takkanlah nak kerja 7-11, supermarket, KFC dan sebagai. Tak standard degree lah (kata mereka).

Kau pun dapat bekerja dengan gaji basic RM2000.50 sen. Bolehlah “cover” tak kerja 4 tahun sebelum ini. Kot. Masa kau dah dapat gaji tersebut, adakah kau rasa kau akan dapat manfaat SEPENUHNYA daripada RM2000.50 sen ini? Mestilah TIDAK.

Sebab apa pula?

Contoh kau pergi kedai makan, lalu kau order nasi campur ikan tuna goreng masak sambal tempoyak cili api. Semasa kau sedang seronok menikmati makanan tersebut, tiba-tiba datang kelibat seekor kucing di kaki kau. Dalam ramai-ramai manusia di kedai makan itu, dengan kau jugalah kucing itu nak datang.

Kenapa?

Sebab dalam makanan kau tu, ada REZEKI kucing tu. Itu baru bab makanan. Contoh lain pula, selepas saja makan, kau pun bawa kereta dengan riang rianya tanpa mempedulikan sesiapa. Namun tragedi ngeri telah menimpa diri kau. Kau kena tahan dalam satu sekatan jalan atau nama popular dikalangan anak muda adalah “roadblock”.

            Dalam hati kau, ingat kau akan lepas dengan mudah dan bergaya. Tetapi kau silap. Disangka panas sampai ke petang, rupanya dah malam pada pukul 4, sebab musim sejuk. Kau rupa-rupanya TIDAK renew roadtax kereta lagi, kerana dalam perancangan kau akan renew esok. Dipendekkan cerita, kau kena saman masa itu. Hilang RM300.00.

Jadi RM300.00 tu bukan rezeki kau. Itu belum masuk kau bagi anak bini mak ayah makan lagi, belanja jiran sebelah, tercicir duit syiling, adik curi duit dalam dompet dan sebagainya. Akhirnya dalam RM2000.50 sen, yang rezeki untuk kau mungkin cuma hanya RM100.00 saja.

            Atau contoh lain, kau pernah beli air mineral 1.5 Liter? Adakah semua itu milik kau? Tidak. Kau sedang minum, tiba-tiba kawan kau minta sedikit air.  Biasalah hidup berkawan. Kalau tak nak orang lain minta, jadilah forever alone. Dipendekkan cerita, sebahagian dari air yang kau beli itu adalah rezeki kawan kau.

Usaha Bukan Tangga Tetapi Lif Kejayaan.

Selepas kau fikir dan pilih rezeki yang kau nak, kemudian kau USAHA untuk dapatkan apa yang telah kau fikir dan pilih. Usaha bermaksud kau usaha sebaik mungkin untuk mendapatkan rezeki yang kau fikir dan pilih.

Maksudnya, kau boleh pilih dan usaha untuk dapat rezeki yang baik dan halal, kau juga boleh pilih dan usaha untuk dapat rezeki yang buruk dan haram. Kalau nak dapat rezeki yang halal dan baik, apa usaha yang kena buat? Antaranya adalah ;

·      Kau taat perintah Allah dan jauhi laranganNya sungguh-sungguh.
·      Kau jaga amal soleh sebaik mungkin.
·      Kau jaga solat sunat seperti tahajjud, solat dhuha, dan sebagainya.
·      Selalu istighfar dan bertaubat pada Allah.
·      Hampir setiap hari beri sedekah dan bayar zakat.
·      Selalu tolong orang yang dalam kesusahan.
·      Jaga hubungan dengan ibu ayah, adik beradik, suami isteri.
·      Jujur dalam urusan jual beli walaupun ada peluang nak menipu besar.
·      Tidak menipu dalam urusan kerja walau ada peluang nak rasuah dan curi tulang.
·      Tidak menipu dalam peperiksaan walau ada peluang untuk dapat A++.

Dan sebagainya. Banyak lagi usaha untuk dapat rezeki yang baik dan halal insyaAllah. Macam mana pula nak usaha dapat rezeki yang buruk dan haram?

·      Kau langgar perintah Allah dan buat laranganNya sungguh-sungguh.
·      Kau jangan peduli amal soleh. Itu semua orang baik je yang buat.
·      Banyak tidur, banyak makan dan banyak menyusahkan orang.
·      Jangan bertaubat, teruskan bermaksiat. Seronok tu.
·      Sedekah itu apa? Tak pernah ada dalam kamus hidup. Bayar zakat tu bukan standard diri.
·      Selalu tolong orang untuk memberi kesusahan.
·      Hubungan dengan mak ayah, suami isteri dan adik beradik hancur.
·      Menggunakan segala peluang tipu menipu untuk kaya cepat. Sebahagian kecil orang Melayukan suka untung cepat dan tak susah.
·      Selalu curi tulang dengan alasan minum kopi.
·      Selalu bawa “toyol” untuk memastikan kecemerlangan prestasi diteruskan.

Dan banyak lagi cara nak dapatkan rezeki yang buruk dan jahat. Pendek kata, rezeki ini dah ditetapkan, tetapi wajib adakah persediaan untuk dapatkan rezeki.

            Formulanya adalah :

            Ikhtiar dan usaha atau persediaan dapatkan rezeki = wajib
            Keyakinan yang Allah dah tetapkan rezeki = wajib.

Diruang yang kita boleh buat pilihan, kita boleh pilih rezeki yang ikut syarak, dan langgar syarak. Boleh pilih yang jalan pahala, atau jalan dosa. Boleh pilih yang jalan halal, atau jalan haram. Sebelum saya tutup bab ini, saya ada satu teka teki. Premis manakah di antara yang di bawah adalah betul?

“Rezeki ni milik Allah, tapi kita kena usaha..”
“Kita kena usaha, tapi rezeki ini milik Allah..”

Ok saya malas nak teruskan teka teki sebab kau lambat. Jawapannya adalah BERGANTUNG PADA keyakinan dan keimanan kita.

Ada orang yang dah bekerja, dia bekerja bertungkus lumus pagi petang siap malam. Tetapi sayangnya, dia bekerja sampai MELEWATKAN dan MENINGGALKAN solat.

Ada orang belajar, dia belajar sungguh-sungguh sehingga bengkak mata dan penuh kopi dalam biliknya. Tetapi sayangnya, dia belajar sampai MELEWATKAN dan MENINGGALKAN solat.

Sebab apa mereka lewatkan malah tinggalkan solat? Sebab mereka yakin,

“Rezeki ini milik Allah, tapi kita kena USAHA..”

Dia utamakan USAHA iaitu persediaan dulu, baru berserah pada Allah. Akhirnya Islam nombor dua, usaha nombor satu. Sedangkan konsep sebenar adalah TAWAKAL dan YAKIN dahulu, kemudian bismillah jalan.

Kalau kita meletakkan tawakal dan keimanan pada Allah nombor satu, iaitu kita yakin bahawa rezeki itu dah ditetapkan, maka apabila seruan Islam sampai kepada telinga-telinga kita, lantas kita akan utamakan seruan Islam DAHULU baru usaha.

Sebab apa?

Sebab kita yakin bahawa kita memang kena usaha, tetapi akhirnya Allah yang TETAPKAN dan beri rezeki. Berpuas hatilah dengan apa yang kau ada dan berhentilah merungut. Sebab apa?

Ingat, rezeki tidak pernah salah alamat!

Wallahu'alam

Sumber : Dipetik dari Bab 2 buku Aku Bukan Malaikat 1 karya Shukery Azizan. Kongsikan pada kawan-kawan dan group sebelah jom. Moga manfaat !! :)

Siapa nak beli online buku ni, boleh hubungi atau whatapps nombor 014 - 3242859

#ShukeryAzizan
#AkuBukanMalaikat
#AkuBukanMalaikat2
#TarbiahSentap




Untuk pengetahuan pembaca, ini adalah salah satu BAB daripada buku Aku Bukan Malaikat tulisan Shukery Azizan yang alhamdulillah sudah ada di pasaran. Boleh dapatkan di kedai-kedai buku berhampiran korang seperti MPH, Popular, SMO, Hasani, dan lain-lain.

Siapa nak beli online buku ini, boleh hubungi atau whatapps nombor 
014 - 3242859

Anda semua dibenarkan untuk sebarkan tulisan dan buku ini ke seluruh galaksi dan jangan lupa bagi kredit kepada buku Aku Bukan Malaikat tulisan Shukery Azizan. 

Bukan nak riya' or berlagak, tetapi sekurangnya kalau dalam tulisan beliau ada kesalahan, at least orang yang nak tegur tu boleh tahu siapa penulisnya dan macam mana nak tegur penulis tersebut (dalam kes ni, tegur Shukery Azizan). Dan juga at least beliau boleh "tracking" ke mana tulisan dia pergi. :)

Semoga bermanfaat :)








[1] Mudahnya Menjemput Rezeki – Fathuri Salehuddin

No comments: