Tarbiah Sentap: Betul Ke Mati Dah Ditetapkan?

Monday, 14 August 2017

Betul Ke Mati Dah Ditetapkan?

Mati bukan hanya pada jasad, tetapi ramai juga yang 'kematian' hatinya.


Bab maut ni rasanya semua dah sedia maklum. Tetapi saya nak cerita juga sebab ramai orang selalu lupa dan kadang kala salah faham bab maut ni. Apa itu maut? Seorang sahabat namanya Syaddad bin Aus r.anhu beritahu,

"Kematian adalah kengerian yang paling dahsyat di dunia dan akhirat bagi orang yang beriman. Kematian lebih menyakitkan dari goresan gergaji, potongan gunting, panasnya air mendidih di periuk.

Seandainya ada mayat yang dibangkitkan dan menceritakan kepada penduduk dunia tentang sakitnya kematian, nescaya penghuni dunia tidak akan tenang dengan hidupnya dan tidak nyenyak dalam tidurnya[1]."

Mati ni adalah pemisahan jasad dengan roh kita. Dan ia sangat sakit! Saya tak tahu la sakit macam mana sebab tak pernah mati, tapi ia sangat sakit. Allah sebut tentang maut,

"Dan datanglah sakaratul maut dengan sebenar-benarnya. Itulah yang kamu selalu lari darinya".

(Surah Qaaf 50:19)

            Dan kematian ni bukan semata-mata tamatnya kehidupan kau, sebenarnya ia adalah PERMULAAN kepada kehidupan yang ketiga, iaitu kehidupan akhirat. Kehidupan yang kita tidak ada pilihan lagi. Sebab pilihan dah diberi semasa hidup.

Baiklah, seperti yang saya terangkan pada kau tadi, mati sudah ditetapkan dan apa PILIHAN yang kita ada adalah WAJIB buat PERSEDIAAN untuk mati. Kita pilih sama ada nak mati dalam keadaan baik, atau mati dalam keadaan buruk. Menjadi mayat yang berulat, atau menjadi mayat yang berbau wangi. Kematian ni memang dah ditakdirkan walau kita nak sangat mati, atau kita tak nak sangat mati.

Contoh macam kisah yang popular iaitu kisah Khalid al Walid r.anhu. Hidupnya sejak zaman jahiliah sampailah masuk Islam, asyik dipenuhi dengan peperangan. Sampai satu tahap, masa dia dah masuk Islam, setiap kali Khalid al Walid ikut berperang, mesti pihak Islam akan menang. Itu yang kita tahu juga kisah dia dilucutkan jawatan dari panglima perang oleh Saidina Umar. Kita semua maklum kisah tu.

            Tetapi masa pengakhiran hidup, dia terlantar sakit di atas katil. Bila ada seorang sahabat datang ziarah dia, Khalid pun menangis mengadu pada sahabat ini. Apa yang dia adukan? Dia kata yang dia nak sangat mati syahid, tetapi Allah tak izinkan. Dia tunjukkan badannya yang penuh bekas calar balar kesan peperangan, yang kalau ikut logik akal kita, memang dah sepatutnya mati, tetapi ditakdirkan tak mati dalam medan perang.

            Akhirnya Khalid al walid pun meninggal di atas katil, walaupun dia adalah seorang panglima perang Islam yang hebat dan banyak kali berhadapan dengan kemungkinan besar maut masa perang.

Pengajarannya, kau tak payah pening-pening fikir yang bila kau akan mati, atau di mana kau akan mati. Allah dah tetapkan, maka tak payah pening-pening cari mati seperti mana kau bersusah payah cari kertas A4 di kedai untuk bawa dalam dewan peperiksaan. Apa yang kita kena buat adalah, buat PERSEDIAAN yang baik supaya kita boleh jawab peperiksaan di atas kertas A4 yang DITETAPKAN dengan baik.

            Persoalannya, apakah itu PERSEDIAAN? Persediaan yang saya maksudkan adalah IKHTIAR dan USAHA. Ikhtiar sebelum mati yang saya maksudkan adalah kau fikir dan PILIH kematian macam mana yang kau nak.

“Ishhh. Apa sebut mati-mati ni. Tak baik weh.”

Inilah masalah sebahagian orang bila kita cakap pasal mati. Mati ini benda REAL, so mulai sekarang kita dah kena pilih macam mana kita nak mati. Takkanlah masa dah jadi mayat baru nak pilih untuk mati macam mana. Sebab mati ini dah ditakdirkan walau kita lari macam mana pun.

Jadi apa PILIHAN yang kita ada adalah dengan PILIH cara kematian yang kita mahu. Kita nak mati dalam husnul khotimah (pengakhiran yang baik) atau su’ul khotimah (pengakhiran yang buruk).

Selepas kau fikir dan pilih kematian yang kau nak, kemudian kau USAHA untuk dapatkan apa yang kau fikir dan pilih. Usaha adalah kau usaha hidup sebaik mungkin untuk dapatkan kematian yang kau fikir dan pilih. Maksudnya, kau boleh pilih dan usaha untuk jadi mayat yang baik dan berbau wangi insyaAllah, kau juga boleh pilih dan usaha untuk jadi mayat yang teruk dan berulat.

Kalau nak jadi mayat yang baik dan insyaAllah berbau wangi, apa usaha yang kena buat? Antaranya adalah ;

·      Kau mengucap syahadah, dan jadi orang Islam yang beriman,
·      Kau taat perintah Allah,
·      Jauhi dan tinggalkan semua larangan Allah,
·      Istighfar dan taubat setiap hari,
·      Ikut dan buat sunnah Rasulullah sebanyak yang mungkin,
·      Buat dakwah dan tarbiah,
·      Cari kawan-kawan yang soleh,
·      Puji kebaikan orang lain, jaga akhlak dan lidah, sangka baik,
·      Didik anak-anak jadi soleh dan solehah,
·      Sebarkan ilmu yang baik pada ramai orang,
·      Sedekahkan harta kau sebanyak mungkin pada ramai orang,
·      Selalu berdoa lepas habis solat untuk dapatkan husnul khotimah dan sebagainya. Itupun kalau rajin berdoa la.

Dan banyak lagi kau boleh buat. Kalau kau nak jadi mayat yang teruk, mereput dan berulat pula, apa usaha yang kena buat? Antaranya adalah,

·      Kau menolak Islam dan dan menjadi kafir serta musuh Islam,
·      Kau langgar perintah Allah,
·      Dekat dan buat semua larangan Allah,
·      Buat maksiat selalu dan jangan fikir nak taubat,
·      Tinggalkan, benci dan dengki kepada orang yang buat dakwah tarbiah,
·      Cari gaduh dan benci dengan orang yang soleh dan solehah,
·      Mengumpat, mencaci maki, mencarut, dan sangka buruk,
·      Didik anak-anak jadi perangai macam syaitonirrojim,
·      Sebarkan ilmu yang haram dan jahat seperti mencuri, judi pada orang,
·      Jangan pernah berdoa, atau terfikir nak berdoa.

Dan banyak lagi kau boleh buat. Seperti yang saya cakap, walaupun maut dah ditetapkan, tetapi kau WAJIB buat persediaan sebelum jadi mayat. Jangan pula lepas ini tak nak pakai helmet sebab maut dah ditetapkan. Ataupun kau lagi seronok hisap vape dan rokok dengan bagi alasan tahap lutut iaitu maut masing-masing dah ditetapkan. Aku libas dengan tulang rusuk kiri kau.

            Sebab itu saya cakap, kematian dah ditakdirkan. Tetapi apa pilihan yang kita ada adalah buat persediaan. Persediaan adalah kau ikhtiar dan usaha. Ikhtiar dan usaha untuk selamatkan diri sendiri adalah perintah Allah yang wajib kita ikut, sebab Allah dah kata dalam al Quran,

“Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan..”

(Surah Al Baqarah 2:195)

Tetapi keyakinan bahawa dengan usaha sendiri, kau akan selamat, maka itu adalah salah! Faham tak? Macam ni, kalau kau dah kena kanser sebab hisap rokok atau vape, masa tu kau wajib pergi hospital dapatkan rawatan bagi menyahut perintah Allah untuk selamatkan diri kau (awal-awal tak nak selamatkan diri).

Tetapi seluruh doktor dan ahli farmasi yang tolong merawat kanser kau takkan dapat buat apa-apa melainkan apa yang dah ditakdirkan Allah. Kalau kau ditakdirkan selamat dari kanser, maka selamatlah kau asbab ikhtiar dan usaha rawatan doktor tersebut. Tetapi kalau kau ditakdirkan mati sebab kanser walau yang ikhtiar dan usaha merawat kau tu adalah doktor pakar terbaik peringkat angkasa lepas sekalipun, maka kau akan tetap mati.

            Atau kalau kau dah nak exam SPM atau semester akhir. Masa itu kau wajib ikhtiar dan berusaha untuk belajar dan ulang kaji pelajaran. Tetapi semasa peperiksaan atau dah habis peperiksaan, kalau kau ditakdirkan cemerlang, maka kau akan cemerlang walaupun kau belajar tak faham. Tetapi kalau kau ditakdirkan gagal, maka kau tetap akan gagal walaupun kau dah belajar gila-gila sampai lewatkan solat. Ini yang kita panggil sebagai tawakal. Yang selalu kau sebut sebelum nak SPM dulu, DUIT, doa usaha ikhtiar tawakal.

            Berbalik pada maut tadi, pendek kata semua orang akan mati dan jadi mayat. Walaupun isteri doktor, suami kau ahli farmasi, anak kau tok bidan, depan rumah ada kedai farmasi, belakang rumah ada hospital, jiran pula ubat penambah hayat, dan kampung kau takde kubur, maka kau tetap akan mati dan jadi mayat yang mereput dalam kubur.

            Formulanya adalah :

            Ikhtiar dan usaha atau persediaan selamatkan nyawa = wajib
            Keyakinan yang Allah dah tetapkan maut atau tawakal = wajib.

Umur Boleh Panjang Tak?

            Oh ya, ada orang tanya,

            Kita semua tahu yang Allah dah tetapkan bila kita mati. Tetapi ada hadis pula kata kalau sambungkan silaturrahim[2] boleh panjang umur. Macam mana tu?”

            Mudah saja, bila sesuatu berita tu sahih datang dari Allah, ia akan sentiasa benar. Dan bila sesuatu berita tu betul datang dari Rasulullah, ia pun akan sentiasa benar sebab berita Rasulullah tu datang dari Allah juga.

            Bila Allah kata Allah dah tetapkan umur kita, kita wajib beriman dan yakin Allah dah tetapkan umur. Bila Rasulullah kata dengan sambungkan silaturrahim boleh panjangkan umur, kita pun wajib beriman dan yakin yang Allah boleh panjang umur juga. Jangan pening-pening, saya tak suruh kau pening faham, tetapi saya suruh kau yakin saja. Sebab macam saya beritahu, tak semua perkara kita boleh faham terutama perkara ghaib.

Kau baca dan ingat baik-baik.

1.    Takdir ini bawah PENGETAHUAN Allah. Allah Maha Tahu apa yang hambaNya akan buat. Pengetahuan Allah TIDAK akan MEMAKSA untuk hambaNya lakukan apa yang diketahuiNya.

Ibarat macam kau nak main api, kemudian mak kau kata kalau main api nanti tangan melecur. Pengetahuan mak kau TAK MENGHALANG kau untuk main api, kecuali kalau mak kau buat TINDAKAN. Lalu kau pun degil, kau buat PILIHAN untuk main api juga.

Tetapi bila kau main api, tiba-tiba tangan kau tak melecur. Malah kau jadi fantastic 4 pula, jadi orang api. Yang ini mak kau tak tahu, sebab tiada dalam pengetahuan mak kau.

TETAPI dalam konteks Tuhan, Allah sangat Maha Mengetahui. Maha ‘Alim. Allah tahu kalau kau main api, tangan kau akan melecur. Tetapi bila kau main api, kau jadi orang api macam fantastic 4 pun, ini juga Allah DAH TAHU. Kalau Allah tak tahu, maka Dia bukan Tuhan. Tetapi Allah Maha Tahu. Maha ‘Alim walau double triple ultimate plot twist sekalipun yang berlaku.

Allah Maha Mengetahui, pengetahuan makhluknya saja yang TERBATAS.

2.    Dan takdir juga adalah di bawah KEKUASAAN Allah. Allah Maha Kuasa untuk ubah dan atur takdir ikut kemahuan Dia. Bila-bila masa saja.

Kita sebagai manusia takkan boleh ubah takdir yang ditetapkan Allah, sebab itu bukan di bawah kekuasaan kita. Siapa boleh ubah takdir, mari jumpa abang. Biar abang hantar dia pergi jabatan agama.

Tetapi Allah boleh ubah takdir, sebab itu kekuasaan dan kemahuan Dia. Apa yang kita boleh buat adalah, berdoa dan merayu pada Allah untuk diberikan takdir yang baik.

Jadi berbalik pada persoalan tadi, itu semua di bawah Qudratullah, kuasa mutlak Allah. Logik atau tidak logik, itu perkara kedua, sebab tu Allah punya kerja. Yang utama adalah wajib beriman dan yakin, tak payah nak sibuk kacau kerja Allah. Kerja kita yang sedia ada pun tak siap dan banyak lagi tak buat atau tinggal.

Ingat, Maut tidak pernah salah makhluk !

Wallahu’alam.

Sumber : Dipetik dari Bab 2 buku Aku Bukan Malaikat 1 karya Shukery Azizan. Kongsikan pada kawan-kawan dan group sebelah jom. Moga manfaat !! :)

Siapa nak beli online buku ni, boleh hubungi atau whatapps nombor 014 - 3242859

#ShukeryAzizan
#AkuBukanMalaikat
#AkuBukanMalaikat2
#TarbiahSentap


Untuk pengetahuan pembaca, ini adalah salah satu BAB daripada buku Aku Bukan Malaikat tulisan Shukery Azizan yang alhamdulillah sudah ada di pasaran. Boleh dapatkan di kedai-kedai buku berhampiran korang seperti MPH, Popular, SMO, Hasani, dan lain-lain.

Siapa nak beli online buku ini, boleh hubungi atau whatapps nombor 
014 - 3242859

Anda semua dibenarkan untuk sebarkan tulisan dan buku ini ke seluruh galaksi dan jangan lupa bagi kredit kepada buku Aku Bukan Malaikat tulisan Shukery Azizan. 

Bukan nak riya' or berlagak, tetapi sekurangnya kalau dalam tulisan beliau ada kesalahan, at least orang yang nak tegur tu boleh tahu siapa penulisnya dan macam mana nak tegur penulis tersebut (dalam kes ni, tegur Shukery Azizan). Dan juga at least beliau boleh "tracking" ke mana tulisan dia pergi. :)

Semoga bermanfaat :)





[1] Kitab Al Maut tulisan Ibnu Abi Ad-Dunya
[2] “Sesiapa yang suka diluaskan rezeki dan dipanjangkan umurnya maka hendaklah dia mengeratkan silaturahim” – Riwayat Bukhari dan Muslim.

No comments: