Tarbiah Sentap: Apa Itu Takdir?

Tuesday, 22 August 2017

Apa Itu Takdir?


 
Sebelum saya tulis bab takdir ni, pertamanya saya nak bagi kredit utama kepada penulis yang agak terkenal di Malaysia, iaitu Hamka Kereta Mayat yang dah menulis buku Semusim Di Syurga dan Semusim di Neraka. Sebelum saya tulis mengenai takdir ni, saya merujuk beberapa kitab yang tulis tentang takdir, antaranya Hadis 40 himpunan Imam An Nawawi, Aqidah Islam tulisan Almarhum Sayyid Sabiq, Mengapa Aku Menganut Islam tulisan Al Marhum Fathi Yakan, dan lain-lain.

Setelah tu, bila saya baca tulisan Hamka Kereta Mayat dalam artikelnya yang bertajuk “Apa itu TAKDIR?”, saya sangat teruja kerana dia berjaya menyimpulkan kesemua yang diulas ulama’ muktabar tentang takdir dalam bentuk yang sangat mudah faham oleh manusia tak berapa pandai macam saya.

            Kami di Tarbiah Sentap sebenarnya banyak kali dapat soalan berkaitan takdir sama ada di emel atau inbox FB. Ramai yang bertanya sebab keliru, bahkan ada juga yang minta penjelasan sebab takut sesat. So far Alhamdulillah belum ada lagi yang mengaku nak murtad sebab pening bab takdir ni. Kalau dia kata pening, saya suruh makan panadol je. Ok punchline tak sampai, hambar.

            Sebenarnya bab takdir ni mudah je, iaitu kita beriman dengan qada’ dan qadar. Kita beriman bahawa semua ketentuan dan ketetapan Allah dah uruskan, dalam masa yang sama kita berusaha semampu yang boleh atas kapasiti hamba dalam urusan dan pilihan yang kita boleh buat. Contohnya, seseorang ni berusaha belajar sungguh-sungguh nak jadi ahli farmasi, tetapi Allah nak sebaliknya, maka ditakdirkan jadilah dia seorang penulis dan admin Tarbiah Sentap. Haha.

            Contoh atas tu terlalu umum untuk faham bab takdir. Bersabar, dan jangan panik. Tetiba je. Tetapi kalau kau boleh faham, memang “win” lah. Takdir ni mudah saja nak hadam sebab ia banyak melibatkan yakin dengan sebenar yakin kepada perkara yang kita tak nampak, dan adakalanya yakin sungguh-sungguh terhadap perkara yang di luar logik otak kita.

Tetapi disebabkan ada golongan yang nak sangat penjelasan logik dan ikut kepala akal mereka, maka penjelasan bab takdir ini ada sedikit falsafah walau sebenarnya senang saja nak faham. Tetapi akhirnya mereka tetap keliru dan pening kerana ada perkara yang tak tercapai dek akalnya. Lalu tu yang berlaku penyelewengan sampai ke laut, bukan zaman sekarang je, bahkan sejak dulu lagi. Arghh.

            Islam ini bukan semata-mata agama logik akal, tetapi yang utama adalah Islam ini adalah agama Tauhid, iaitu kau beriman atau yakin dan percaya sama ada ia logik atau tak, selagi mana ia benar dari al Quran dan As Sunnah yang sahih. Contoh, kalau ikut logik akal, mana wujud malaikat, sebab malaikat pun kita tak pernah nampak.

Tetapi sebab apa kita percaya? Sebab Allah dan Rasulullah beritahu pada kita. Ini bukan percaya membabi buta, ini percaya ada sumber yang tepat, iaitu al Quran dan As Sunnah yang sahih. Sumber yang asli dan original, bukan cetak rompak.

            Salah faham ini menjadi antara faktor wujudnya dua golongan besar yang salah faham tentang takdir, iaitu golongan Ja’bariah dan Qadariah. Pernah dengar tak? Alaa, golongan ini kita ada belajar masa sekolah menengah lagi. Itu la, study sebab nak exam je semata-mata, kan dah apa pun tak ingat.

Kalau kita belajar di sekolah, ada satu golongan ini yakin yang semuanya datang dari Allah. Jadi tak payah nak susah-susah untuk buat apa-apa perkara sebab semuanya dah ditakdirkan. Syurga, Neraka, pahala, dosa, minum arak, dengar lagu Kpop atau Bangla Pop (Bpop), peluk artis Korea, Bangla, Melayu dan lain-lain, baca novel dan layan drama cinta, baca buku Aku Bukan Malaikat (eh?) atau semua bagai tu dah ditakdirkan. Nak buat macam mana kan? Kata mereka lah.

Yang lagi satu pula golongan yang percaya bahawa semua perkara datang dari diri sendiri. Siapa usaha lebih, dia dapat lebih. Siapa tak usaha, dia tak dapat, padan muka. Dia tak yakin dengan hidayah Allah, tak percaya dengan rezeki yang Allah tetapkan, jodoh yang Allah dah sediakan, dan kematian yang Allah takdirkan. Jadi kesimpulannya, kedua-duanya salah.

            Oleh itu, sebelum saya teruskan tulisan ini, saya ada 2 permintaan dan RAYUAN. Yang pertama, sila baca SAMPAI habis TERMASUKLAH 3 bab lain iaitu bab Persediaan Mati, Persediaan Jodoh dan Persediaan Rezeki. Kalau kau baca dan faham secara TERPISAH dan ambil SEPARUH saja, nescaya kau boleh sesat. Ilmu jangan ambil sekerat-sekerat. Ambil kesemuanya, dan nilai guna hujah syarak.

Dan yang kedua, saya minta maaf sungguh-sungguh kalau sepanjang tulisan saya ini ada salah silap atau salah taip. Serius, saya tulis bab ini sebab nak masyarakat faham berdasarkan rujukan yang saya yakini tepat dan betul.

Tetapi kalau apa yang saya faham ni salah dan bertentangan dengan Islam, maka tolonglah tegur saya sama ada jumpa saya di pejabat Tarbiah Sentap, call, emel saya atau apa pun lah. Please, jangan biarkan daku sesat.…

Takdir Yang Berlegar.

Apa yang kita dah pernah belajar, dalam dunia ini ada dua perkara yang berlegar di sekeliling kita, iaitu

1.    Sunnatullah
2.    Qudratullah

1.    Sunnatullah maksudnya qada’ dan qadar atau ketentuan Allah dengan sebab musabab. Contohnya buat baik dapat baik dan pahala, buat jahat dapat jahat dan dosa, atau coklat Cadbury Black Forest rasanya manis, ikan masin rasanya masin, sambal belacan rasa pedas tetapi sedap, api rasa panas, pisau tajam lalu memotong dan lain-lain.

Maka itu semua kita panggil sebagai sebab musabab ataupun asbab. Ini adalah sunnatullah, iaitu ketentuan dan tetapan Allah terhadap kitaran alam semesta.

2.    Qudratullah pula adalah kuasa mutlak dari Allah TANPA asbab atau bertentangan dengan sunnatullah seperti Allah jadikan matahari, Allah jadikan malaikat, Allah jadikan kita manusia, Allah jadikan api yang tidak membakar Nabi Ibrahim, Allah jadikan pisau yang tak memotong leher Nabi Ismail, Allah jadikan ikan Nun yang tak bunuh Nabi Yunus dan sebagainya. Ini adalah takdir Allah tanpa asbab.

Alhamdulilah kau jadi manusia. Allah boleh saja jadikan kau batu api Neraka, atau Allah jadikan kau tahi lalu kena flush masuk dalam lubang jamban dan masuk ke loji penapisan untuk proses reverse osmosis atau buang jadi baja. Tetapi Allah tetap jadikan kita manusia, dan ini adalah kudrat Allah.

Namun orang yang tak faham dengan takdir Allah, bila berlaku sesuatu perkara khususnya bencana atau “teguran” dalam hidup dia, maka iman dia cepat melenting, goyah dan rosak. Bila gaji kena potong atau harga barang naik terus mengamuk tak tentu hala tuding jari cari kesalahan orang lain.

Bila exam gagal atau tak dapat seperti yang dirancang terus tertekan macam dah tiada harapan untuk hidup, bila nak haramkan vape terus mengamuk pertikai kenapa tak haramkan rokok juga, bila mak ayah marah sikit terus rasa mak ayah benci dia, bila naqib usrah tegur terus muka monyok mencuka dan mogok tak nak datang usrah lagi.

Sebenarnya bila malaikat di perintahkan oleh Allah untuk tiupkan roh ke dalam jasad masa dalam perut mak kau, maka pada masa itu juga telah dituliskan rezeki kau banyak mana, kau sempat kahwin tak, kau kahwin dengan siapa, bila tarikh kau mati, berapa banyak amalan kau yang baik atau jahat.

Maknanya, kalau kau ada ijazah tapi masih menganggur, atau kau badan sado sampai tiada perempuan nak hingga yang nak kau hanya budak gay, atau muka macam kaki sampai ramai kawan benci, atau kau suka tahap kritikal pada Lee Min Ho tetapi dia akhirnya kahwin dengan Mi Hon Sop, atau kau tengah main skipping tiba-tiba tersadung dan kepala terhentak atas cengkerang siput kemudian masuk wad ICU lalu tunggu masa jadi mayat, kau tak payahlah pening kepala sampai hentak dinding sebab semuanya dah ditakdirkan oleh Allah. Dalam aturan Allah.

Woo wooo wooo, sebelum kau buat apa-apa kenyataan berdasarkan nafsu serakah dan kepala lutut, baik kau baca sampai habis. Sebab takut kau salah faham kemudian tanya dan fikir seorang diri lepas habis baca bahagian ini,

“Kalau macam tu, kenapa kita mesti dipersalahkan atas dosa kita? Sedangkan Allah dah tetapkan segala-galanya? Allah kan dah tentukan apa yang akan jadi.”

“Kenapa mesti ada Syurga dan Neraka?”

Rilek, jangan berdebar. Tenang. Ambil nafas melalui hidung 5 saat, dan hembus melalui mulut 30 saat. Isi perut dengan oksigen, dan gunakan otak elok-elok berpandukan iman yang betul, saya akan terangkan sampai habis. Jangan ambil separuh, dan tinggalkan separuh. Boleh salah faham lalu sesat nanti. Naudzubillahi min zalik.

Untuk memudahkan kau faham, saya pecahkan kepada 4 bahagian,

1.    Ketetapan.
2.    Pilihan.
3.    Soal Hati.
4.    Niat.

Ok, kita pergi satu persatu dulu, bermula dengan ketetapan. Biar kau faham pasal maut, rezeki dan jodoh sudah di tetapkan Allah.

1.         Ketetapan.

Ketetapan adalah apa-apa yang Allah dah tetapkan sejak azali lagi, dan TAK PERLU di cari, sebab memang dah disediakan pun. Kalau kau usaha juga untuk cari, kau akan PENAT malah sampai tahap PUTUS ASA, sebab kau hanya dapat apa yang dah ditetapkan sahaja. Tak lebih, dan tak kurang.

Ibarat macam dalam dewan peperiksaan, dah disediakan pun kertas jawapan. Tak payah susah-susah kau pergi kedai runcit cari kertas A4 untuk guna sebagai kertas jawapan. Apa yang kau kena buat adalah isi jawapan dalam kertas jawapan yang disediakan. Untuk bahagian ketetapan, saya pecah kepada 3 bahagian iaitu :

    Maut
    Rezeki
    Jodoh



(1)       Maut Atau Mati.

Bab mati semua tahu yang Islam tak suruh cari mati sebab mati dah ditakdirkan, tetapi apa pilihan yang kita adalah adalah buat PERSEDIAAN DIRI sebelum jadi mayat untuk mendapatkan kematian yang baik, dan tidak dapat kematian yang buruk.

Kalau kau usaha nak mati sekalipun, tetapi belum tiba lagi ajal kau, maka kau takkan mati walaupun kau terjun bangunan tingkat 78. Paling tidak pun kau akan koma, atau paling baik sikit pun mungkin patah tulang sulbi, tali pusat terkeluar, pecah tulang rusuk sebab asyik bergetar, dan sebagainya. Tetapi masih hidup lagi. Cuma padan muka la, siapa suruh cari penyakit.

             Jadi tenang, saya akan terangkan secara detail sampai kau jelas insyaAllah tentang maut di bab lain dalam buku ini seperti apa itu mati, apa itu persediaan mati dan sebagainya. Tetapi untuk bahagian ini, apa saya nak cakap adalah kematian memang dah ditetapkan, walaupun kau rasa macam tak adil untuk kau. Yang wajib adalah kita buat persediaan untuk menghadapi kematian.

Contoh kalau kau kena kanser, lalu kau pun rasa bahawa kau dah tiada harapan lagi untuk sembuh dan hidup. Tetapi akhirnya ramai saja yang saya jumpa orang kena kanser atau penyakit yang katanya takkan sembuh tu sihat dan hidup lebih dari jangkaan doktor.

Atau ada orang yang tubuh badan sihat, selalu bersenam, jaga pemakanan selalu, diet seimbang, hari-hari pergi gym sampai badan berketul-ketul sado, orang pun ingat dia akan sihat dan kekal hidup lama. Tak juga, sebab ada saja orang yang tubuh badan sihat, akhirnya mati sebab kena langgar kereta. Ada juga yang badan sado, akhirnya mati sebab kena bunuh.

Apa saya nak cakap, mati ini Allah dah tetapkan. Kalau kau nak bunuh diri, tetapi kau tak mati juga, itu bukan ajal kau walaupun kau paksa juga nak mati. Kalau kau lari sejauh mana pun untuk elak kematian, buat teknologi canggih mana pun untuk “immortal”, kalau dah ajal kau, kau akan kena bungkus jadi mayat juga. Kematian Allah dah tetapkan, dan persediaan menghadapi kematian WAJIB kita buat.

Contoh macam kisah pemuda Kahfi yang bersembunyi dalam gua selama 309 tahun. Tak perlu saya cerita detail sebab kau boleh cari sendiri nanti. Tetapi apa saya nak sampaikan, kalau ikut logik akal, pemuda kahfi tu dah sepatutnya mati. Tetapi Allah takdirkan dia hidup sebab ajal dia bukan masa pemerintah zalim tu. Kalau kematian dia belum sampai lagi, dia boleh hidup bertahun-tahun walaupun kita rasa dia sepatutnya dah jadi mayat.

Ingat, kita TIDAK disuruh cari mati, tetapi kita disuruh untuk buat PERSEDIAAN untuk mati. Dan MAUT akan DATANG kepada kita walaupun masa itu kita tak bersedia dan tak nak.

(2)       Rezeki.

Bab rezeki pula, masih ramai yang ragu-ragu bahawa rezeki dah ditetapkan oleh Allah. Kita semua tak disuruh mencari rezeki sana sini, cari bawah lantai, belakang rumah, bawah longkang, tetapi kita di suruh buat PERSEDIAAN diri untuk mendapatkan rezeki yang baik. Sebab itu kita selalu doa lepas habis solat untuk dapatkan rezeki yang berkat. Itupun kalau rajin berdoa la.

            Kalau kau cuba “paksa” rezeki datang pada kau sekalipun, tetapi kalau belum tiba lagi rezeki kau atau memang bukan rezeki kau, maka kau takkan dapat rezeki walaupun kau pergi sampai ke Amerika sana. Kau akan rasa sempitnya dunia kalau kau “paksa” rezeki tu datang pada kau.

            Saya akan terangkan secara detail sampai kau jelas insyaAllah tentang rezeki di bab lain dalam buku ini seperti apa itu rezeki, persediaan rezeki dan sebagainya. Tetapi untuk bahagian ini, apa saya nak cakap adalah, rezeki bukan hanya duit. Rezeki juga memang dah ditetapkan, walaupun kau rasa macam tak adil untuk kau.

Contoh kalau kau gagal masuk IPT, kau pun rasa kau tiada rezeki lagi, lalu gelaplah masa depan kau. Saya jumpa ramai je budak yang dah jadi lepasan universiti, tetapi menganggur sampai 3,4 tahun menghabiskan beras mak ayah di rumah.

            Ada juga yang belajar tak habis, atau tak dapat masuk universiti, atau gagal dalam peperiksaan, tetapi akhirnya jadi jutawan, hartawan dan segala bagai. Tetapi kau jangan salah faham pula, saya bukan nak suruh kau berhenti belajar atau gagal belajar. Pergi terjun bangunan kalau kau faham macam tu.

Apa saya nak cakap, rezeki ni Allah dah tetapkan. Kalau kau nak sesuatu, tetapi kau tak dapat, tu bukan rezeki kau walaupun kau paksa juga nak dapat. Kalau kau kejar hebat mana pun, kalau bukan rezeki kau, kau akan dapat apa yang ditetapkan saja.

            Contoh macam cerita dua orang pemilik kebun dalam surah al Kahfi. Saya tak nak cerita secara detail, kau boleh cari sendiri nanti. Tetapi antara perkara yang disampaikan dalam cerita tu, orang yang ada kebun besar atau dalam konteks hari ni, ada harta banyak, duit berlambak, rumah besar, kereta besar, bini besar (eh?) atau apa-apa sekalipun, belum tentu semuanya tu milik dia. Kalau bukan rezeki dia, akhirnya boleh musnah sekelip mata saja, walaupun dia dah berusaha hampir berpuluh-puluh tahun!

Ingat, REZEKI AKAN DATANG PADA KITA SEPERTI MANA MAUT AKAN DATANG PADA KITA!



(3)       Jodoh.

Bab jodoh juga, masih ramai yang ragu-ragu bahawa jodoh dah ditetapkan oleh Allah. Kita semua tak disuruh mencari jodoh sana sini, cari bawah pejabat, belakang rumah, bawah katil (Juon?), tetapi kita disuruh buat PERSEDIAAN diri untuk mendapatkan jodoh yang baik.

            Kalau kau cuba “paksa” jodoh datang pada kau sekalipun, tetapi kalau bukan jodoh kau, maka kau takkan dapat jodoh tu walaupun kau pergi sampai ke Turki sana. Kau akan rasa sempitnya dunia kalau kau “paksa” jodoh tu datang pada kau. Atau dalam konteks kahwin, kau akan rasa “sempit” dunia ini kalau kau paksa pasangan tu datang dan kahwin dengan kau.

            Jadi bertenang, saya akan terangkan secara detail sampai kau jelas insyaAllah tentang jodoh di bab lain dalam buku ini seperti apa itu jodoh, persediaan dapat jodoh dan sebagainya. Tetapi untuk bahagian ini, apa saya nak cakap adalah, jodoh memang dah ditetapkan, walaupun kau rasa macam tak adil untuk kau. Yang wajib kita buat adalah persediaan untuk dapat jodoh,

Contoh kalau kau suka dengan Lady Gaga sampai tahap kau nak kahwin dengan dia dan doa sungguh-sungguh agar dijodohkan dengan dia. Lalu kau bercinta dengan Lady Gaga bagai nak rak, couple sampai 7 tahun 9 bulan, dating call mesej hari-hari, bagi hadiah mamee megi, tengok wayang dan segala bagai.

            Tetapi akhirnya dia kahwin dengan orang lain, namanya En Sotong atas pilihan keluarga atau dia dah tawar hati dengan kau. Kau pun tertekan tahap kritikal lalu menyalahkan takdir dan salahkan Allah sebab tak adil dengan kau. Tetapi lepas beberapa bulan, akhirnya kau pun berkahwin juga dengan perempuan bernama Lady Gaga. Cuma bukan Lady Gaga yang kau harapkan tu, tetapi ini Lady Gaga yang baru tambah “P”, Lady Gagap.

Apa saya nak cakap, jodoh ini Allah dah tetapkan. Kalau kau nak sesuatu, tetapi kau tak dapat, tu bukan jodoh kau walaupun kau paksa juga nak dapat. Kalau kau berlari selaju mana pun, kalau itu jodoh kau, kau akan dapat walau masa tu kau tengah nak terbang ke Pluto. Jodoh Allah dah tetapkan dan persediaan WAJIB kita buat.

Jangan tertekan sampai nak bunuh diri kalau masih tak bertemu jodoh. Ramai saja yang tak sempat bertemu jodoh tetapi dah bertemu maut dulu. Tak sempat jadi pengantin baru, tetapi dah jadi mayat. Chill.

Ingat, JODOH AKAN DATANG PADA KITA SEPERTI MANA MAUT AKAN DATANG PADA KITA!


*********

Kesimpulan untuk bahagian ini, apa saya nak beritahu adalah, semua yang berlaku dalam dunia ini walau sekecil-kecil perkara adalah kehendak dan takdir Allah. Tidak ada yang kebetulan berlaku dalam dunia ni. Sebab tu saya tak suka bila ada orang kata,

“Haa, kebetulan aku jumpa duit 50 pound kat dalam stokin.”
“Alaa, kau dapat kahwin dengan Lady Gagap tu kebetulan je..”

Dalam dunia ni, tiada yang kebetulan, melainkan semuanya dah dirancang oleh Allah. Kalau kebetulan, maksudnya ada perkara yang Allah tak tahu. MUSTAHIL ada perkara yang Allah tak tahu. Sebab Allah Maha mengetahui, Maha ‘Alim. Hati-hati dengan perkataan “kebetulan itu, kebetulan ini.”

Dan lagi satu, selama-lamanya kita takkan boleh ubah takdir Allah. Sebab kita tiada kuasa pun nak ubah takdir Allah. Tetapi Allah boleh ubah takdirNya sendiri, sebab dia yang cipta. Allah berhak dan ada kuasa untuk ubah. Tetapi macam mana nak kita nak minta Allah ubah takdir yang Dia tetapkan?

Doa!

Doa sungguh-sungguh. Sebab itu ada banyak hadis sahih Rasulullah tentang doa. Nanti bab akhir saya ada cerita tentang tips kesalahan dalam berdoa dan tips doa kita ditolak. Ouch.

2.         Pilihan.

Saya rasa sekarang kau dah faham dan dapat gambaran tentang ketetapan Allah. Kita masuk bahagian kedua, yang ramai sangat orang merungut dalam hidup ni, iaitu bab pilihan. Seperti yang kau tahu, hidup kita terbahagi kepada 3 fasa kehidupan, iaitu ;

·      Sebelum
-       Kehidupan sebelum hidup iaitu alam roh, alam rahim dan sebagainya.

·      Semasa
-       Kehidupan semasa hidup iaitu bayi, kanak-kanak, remaja, dewasa, dah tua tapi tak sedar diri.

·      Selepas
-       Kehidupan selepas hidup iaitu alam kubur, alam barzakh, padang mahsyar, Neraka atau Syurga.

Kalau kau perasan, kehidupan sebelum hidup ada persamaan dengan kehidupan selepas hidup. Atau kehidupan pertama sama dengan kehidupan ketiga. Apakah persamaan tu?

Persamaan antara kehidupan pertama dan ketiga adalah, kita TIDAK BOLEH membuat sebarang pilihan. Kenapa pula? Okay contohnya begini, masa kita dalam alam roh atau alam rahim, kita langsung tak boleh nak buat pilihan seperti,

Nak jadi orang Islam,
Nak jadi orang Melayu macam saya,
Nak jadi macam Korea, Jepun (tetapi mereka buat pembedahan plastik),
Nak jadi anak orang kaya macam dalam drama Melayu pukul 7.00 petang,
Nak lahir di hospital first class macam…. Entah, fikirlah sendiri.
Nak lahir hari Jumaat supaya nampak macam tanda kiamat,
Nak jadi anak Dato’ supaya boleh mengabiskan duit mak bapak,
Nak jadi lelaki supaya boleh pumping dan bajet sado,
Nak jadi perempuan supaya tak kena ejek pondan,
Nak lahir zaman Nabi atau Sahabat atau zaman Khilafah sebab tak tahan hidup zaman sekarang,

Dan banyak lagi. Kita tak boleh nak buat pilihan, langsung TAK BOLEH! Sebab apa? Sebab Allah dah buat keputusan tentang siapakah kita akan jadi, bagaimana, di mana dan sebagainya. In fact, kau pun tak boleh nak masuk dalam rahim mak kau semula. Dan kalau kau nak tahu, inilah TAKDIR.

Kalau kehidupan akhirat pun macam tu juga. Peristiwa di alam kubur, alam barzakh dan Akhirat. Kita langsung tak boleh nak buat pilihan seperti,

Nak kembali dunia walau sesaat,
Nak bangkit dari kubur untuk peluk mak ayah sebab menyesal derhaka,
Nak jalan-jalan kubur orang lain,
Nak bangun dari kubur ajak kawan kubur sebelah pergi shopping di Mydin,
Nak jadi hantu kacau jiran sebelah,
Nak balik kampung untuk sambut raya,
Nak kiamat cepat sebab tak tahan kena pukul dan sebat dalam kubur,
Nak beribadat sebab menyesal asyik lewat solat masa hidup,
Nak jadi orang baik sebab menyesal kat dunia kutuk orang yang baik,
Nak jadi tanah sebab menyesal banyak sangat dosa,
Nak jadi mayat dalam mayat,
Tak nak jawab soalan malaikat sebab susah,

Dan banyak lagi. Kita tak boleh nak buat pilihan, langsung TAK BOLEH! Sebab apa? Sebab Allah dah buat keputusan tentang apakah nasib kita nanti, di mana akhirnya dan sebagainya. Dan kalau kau nak tahu, inilah TAKDIR.

Dan kalau kau nak tahu, takdir di kehidupan ketiga adalah berdasarkan pilihan yang kita buat masa di kehidupan kedua, serta berbekalkan apa yang ditakdirkan masa kehidupan pertama? Faham? Ke nampak complicated je ayat saya?

Nak mudah faham, di dunia ini saja tempat Allah benarkan untuk kita membuat sebarang PILIHAN, berbekalkan dengan apa yang telah ditakdirkan kepada kita semasa kehidupan di alam rahim. Lalu segala pilihan kita di dunia ini akan menentukan masa depan kita di Akhirat sana. Faham kan?

Oleh yang demikian, semasa diberikan pilihan untuk buat pilihan walau tak banyak pilihan yang boleh dibuat, kenapa kau tak nak buat pilihan? Takkanlah kau nak buat pilihan di tempat yang tak boleh nak buat pilihan? Tak faham, sila baca ulang-ulang kali.

Betul, memang kita tak ada banyak pilihan sangat semasa hidup. Sementara kita boleh pilih, pilih sajalah apa yang ada berdasarkan syarak. Kau tak boleh nak pilih untuk jadi isteri Tae Yang, tetapi kau boleh pilih untuk jadi isteri solehah atau isteri tak boleh diharap. Kau tak boleh pilih untuk jadi suami Juon, tetapi kau boleh pilih untuk jadi suami mithali, atau suami yang nak kena kaki.

Kawan-kawan, kau jangan sombong kalau lahir sebagai orang Islam, anak orang kaya, lahir je kena sumbat iPad iPhone 7S di mulut, ada rupa paras, keluarga sakinah mawaddah wa rahmah wa barokah wa maghfirah dan sebagainya. Sesiapa yang sombong dengan takdir Allah yang ini memang celakalah padahnya, sebab apa yang kita dapat tu hanyalah ehsan dan ujian dari Allah supaya kau bersyukur dan boleh buat pilihan dengan baik semasa hidup.

Kepada kawan-kawan yang cacat, tak cantik dan tak hensem, miskin hina dina dan kafir sekalipun, janganlah kau rasa hina dan ‘gagal’ selamanya, dan tak perlu susah payah terjun bangunan untuk bunuh diri sebab takdir. Allah Maha Adil dan Allah TIDAK letakkan kejayaan kau di Akhirat sana bergantung pada apa yang kau dapat masa lahir, tetapi ia bergantung kepada APA PILIHAN kau masa hidup. Kejayaan sebenar dalam hidup adalah apabila kita berjaya membuat ‘pilihan’ yang betul dan tepat.

Aku ulangi semula,

KEJAYAAN SEBENAR DALAM HIDUP ADALAH APABILA KITA BERJAYA MEMBUAT PILIHAN YANG BETUL DAN TEPAT DALAM HIDUP.

Kau diberi 2 perkara untuk memilih di antara 2 perkara. Kau diberi akal dan hati dengan bersandarkan wahyu untuk memilih jalan kebaikan atau jalan kebinasaan. Binasalah kau kalau mengikut nafsu dan syaitonirrojim dalam memilih jalan kebaikan atau jalan kebinasaan.

“Dan demi jiwa (diri manusia) serta penyempurnaannya (ciptaannya),

maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan (kejahatan) dan ketakwaannya,

Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu,

Dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya.”

(Surah As Syams 91:7-10)

Ini adalah contoh pilihan yang di minta oleh mereka yang berada di Neraka, tetapi langsung tidak dilayan oleh Allah. Nak tahu apa dia? Ini dia,

·      Minta makanan dan minuman kepada penghuni Syurga. (Al A’raf 7:50)

·      Meminta kepada penjaga Neraka supaya diringankan seksaan walau hanya satu hari saja. (Gofir 40:49-50)

·      Meminta kepada malaikat Malik, agar dimatikan saja sebab dah tak tahan kena seksa. (Az-Zukhruf 43:77)

·      Meminta kepada Allah agar dikeluarkan dari Neraka dan dikembalikan ke dunia untuk beramal soleh. (Al-Mukminun 23:107-108, As Sajadah 32:12, Ibrahim 14:44)

·      Meminta supaya Allah melipat gandakan azab untuk para pemimpin dan ketua yang telah bawa mereka Neraka. (Yasin 33:66-68)

·      Meminta Keluar Dari Neraka. (Al Mukmin 23:11)

            Sementara masih hidup di dunia ini, menangislah wahai mata sampai teresak-esak, kalau sampai bengkak pun takpe menangis kerana takutkan Neraka, takutkan Allah, menangis fikir pasal umat, menangis minta hidayah untuk keluarga dan kawan-kawan, menangis masa baca al Quran dan solat, menangis masa berdoa, menangis masa baca buku ini dan sebagainya.

Sebab kalau di Akhirat sana, menangis sampai keluar air mata susu pun dah tak ada gunanya. Air mata darah apatah lagi. Nak minum susu pun dah tak boleh.

“Dua mata yang tidak akan disentuh api neraka untuk selama-lamanya : mata yang menangis kerana takut kepada Allah dan mata yang berjaga malam di jalan Allah.”

(Riwayat Tirmidzi)

Jadi berbalik kepada takdir, oleh kerana dunia ini adalah tempat yang kita boleh buat pilihan, buatlah pilihan dan jalan yang betul berpandukan wahyu atau manual al Quran yang Allah dah beri pada kita.

Eh sekejap, kalau kau fokus baca, mesti kau akan perasan yang bab pilihan ini seolah bercanggah dengan bab ketetapan tadi. Kalau semuanya telah di tetapkan, kenapa perlu buat pilihan?

Kau buat pilihan nak dapatkan sesuatu perkara tetapi ditakdirkan Allah, kau tak dapat pun perkara ni, tetapi kau dapat perkara lain. Sebab boleh jadi perkara lain tu adalah lebih baik untuk kau.

Ok contoh, kau nak kahwin dengan Markonah Masjon, lalu kau pun buat pilihan untuk pergi ke rumahnya untuk masuk meminang. Tetapi ditakdirkan, Markonah Masjon tak nak kahwin dengan kau, dia nak kahwin dengan kawan baik kau sejak dari taska, Misron Maskunarjo. Dan kawan baik Misron yang lain rupanya dah lama suka kat kau, dan nak kahwin dengan kau, namanya Siti Musta’mal Mukhafafah. Ah, macam complicated pula.

Atau contoh lain, kau pelajar sekolah biasa. Entah satu hari bila kau baca buku Bedtime Stories Sentap siri 1 tulisan saya yang pertama dulu, kau rasa nak memahami ayat al Quran dan mula berazam untuk menghafal al Quran. Lalu kau pun tekad dan bersungguh untuk jadi al Hafiz.

Tetapi tak sempat kau nak jadi hafiz al Quran, kau pun jadi mayat sebab kena langgar dengan lori wak Masjon. Maka di Akhirat nanti, insyaAllah moga kau akan dibangkitkan bersama para hafiz al Quran. Rasulullah sebut,

“Seseorang itu akan (dibangkitkan) bersama orang yang ia cintai.”

(Muttafaqun ‘alayh)

Apa saya nak cakap di sini adalah, semua orang akan berusaha untuk berjaya, tetapi bukan semua orang yang berusaha itu berjaya. Hanya orang buat usaha yang TEPAT sahaja berjaya, walaupun nampak macam tidak berjaya. Sebab kejayaan sebenar adalah kita masuk Syurga dan dapat redha Allah.

Apakah usaha yang tepat itu? Usaha yang tepat itu adalah segala usaha yang selari dengan syariat Islam. Apa-apa usaha yang melanggar syariat Islam, walaupun nampak berjaya, tetapi akhirnya di Akhirat nanti dia tetap akan gagal. GAGAL !

Hebatnya Allah, yang mana Dia boleh menciptakan dunia ini dalam keadaan dua perkara yang seolah bertentangan dengan logik akal kita berjalan serentak, iaitu pertama pilihan kita dan kedua segalanya sudah ditetapkan. Dan hanya Allah saja yang mampu mewujudkan dua perkara ni serentak, iaitu pilihan dan takdir.

Sebab tu isu yang orang tanya tentang ketetapan umur dan hadis yang kata kalau sambungkan silaturrahim boleh panjang umur seolah bercanggah, sebenarnya tiada bercanggah pun. Kita boleh buat pilihan untuk sambungkan silaturrahim, tetapi dalam masa yang sama Allah dah tetapkan umur dan boleh panjangkan umur ikut kemahuan Allah.

Ia adalah di bawah kuasa Allah, dan kita sebagai makhluk beriman saja dengan sungguh-sungguh. Logik akal akan datang selepas beriman.  Agama ini bukan logik akal semata-mata, tetapi ia adalah agama TAUHID, iaitu kita beriman sungguh-sungguh dengan apa yang diturunkan dalam al Quran dan hadis yang sahih.

Ada perkara dalam Islam yang boleh dijelaskan dengan logik akal, ada juga perkara yang menuntut kita beriman tanpa ragu, walau bercanggah dengan logik akal. Contoh tentang kewujudan Allah, Malaikat, Hari Kiamat, Dajjal, macam mana kewujudan Nabi Adam tanpa ada gabungan sperm dan ovum, dan sebagainya.

Sebab tu Saidina Ali radiyallahu anhu (r.anhu) pernah sebut,

“Seandainya agama dengan logik (akal), maka tentu bahagian bawah khuf (sepatu) lebih elok untuk diusap daripada atasnya. Sungguh aku pernah melihat Rasulullah mengusap bagian atas khufnya (sepatunya).”

Apa yang penting di sini adalah usaha kita dalam membuat pilihan. Jika tak dapat nak beramal sedangkan kau sudah buat pilihan yang betul, itu adalah satu kejayaan. Contoh popular macam kisah Sumayyah radiyallahu anha (r.anha). Sumayyah adalah perempuan pertama dalam sejarah Islam yang syahid masa zaman Makkah.

Adakah masa tu Sumayyah sempat solat 5 waktu, tunaikan zakat, berjihad di jalan Allah, dan sebagainya? Tak. Dia syahid sebelum sempat buat amal soleh yang lain, tetapi akhirnya dia ditakdirkan jadi ahli Syurga sebab berada pada jalan yang betul. Dia telah membuat pilihan yang betul dan tepat semasa hidup lalu ditakdirkan syahid.

Kau rasa pening kepala ke? Tenangkan diri, ambil hot chochlate, dan sambung baca tajuk seterusnya:

3.         Soal Hati.

Baiklah, saya pergi perlahan-lahan, takut kau makan panadol extend overdose. Sebenarnya bolehlah dibuat kesimpulan bahawa ada 4 perkara yang Allah telah tetapkan/takdirkan kepada semua orang.

Dan kita semua akan dapat 4 perkara ini, tetapi kena faham bahawa bukan 4 perkara ini yang akan menentukan Syurga dan Neraka kelak. Yang bakal menentukan di Akhirat kelak adalah “soal hati”! Ini bukan tajuk drama Melayu yang jiwang karat tu.

(i)        Kesenangan

(ii)       Kesusahan

(iii)      Pahala

(iv)      Dosa



Kau tentu tak paham yang kalau semuanya telah ditetapkan, kenapa perlu kita ajak orang buat baik atau amar makruf? Kenapa perlu kita mencegah mungkar? Atau dengan kata mudah, kenapa kita kena buat dakwah tarbiah?

Macam ni, kita semua tahu kisah Rasulullah pernah ditegur oleh Allah sebab cuba “paksa” hidayah untuk bapa saudaranya, Abu Talib setelah dia banyak kali pujuk dan ajak masuk Islam. Tetapi Abu Talib menolak. Lalu dia mati dalam keadaan kufur, dan Nabi pun menangis sedih. Abu Talib tak nak masuk Islam sebab Allah dah tengok hati dia yang dia memang tak nak! Ini memang soal hati.

Kalau kau baca sirah Rasulullah, kau akan tahu yang orang Arab jahiliah sebelum kedatangan Rasulullah berada dalam jahiliah tahap kritikal sampai bunuh anak perempuan atau tanam hidup-hidup, sembah hampir 360 tuhan, tawaf Kaabah dalam keadaan berbogel, dan sebagainya. Persoalan di sini, apakah perkara pertama yang Allah buat pada Rasulullah sebelum diangkat menjadi Nabi dan Rasul?

Kita tahu yang Allah hantar malaikat untuk “cuci” hati baginda.

Dalam satu hadis sahih Rasulullah beritahu yang dalam jasad ada seketul daging, kalau baik daging tu, baiklah jasad tu. Kalau buruk (rosak) daging tu, rosaklah jasad tu, dan ketahuilah itu adalah HATI! Kalau baik hati ni, selamatlah manusia tu[1].

Sebab itu, perkara pertama yang Rasulullah tarbiah dan ajar pada Sahabat setelah masuk Islam antaranya adalah SYUKUR. Syukur dengan nikmat iman. Tanpa iman, kau akan kekal kena bakar, minum air nanah, makan buah berduri tajam sampai tembus leher, dan sebagainya dalam Neraka selama-lamanya.

Tetapi kalau kau ada iman, walaupun sebesar zarah sekalipun dan kau banyak buat dosa sampai penuh langit dan bumi, kau kaki korupsi, minum arak, makan rasuah, akan tetapi masuk Syurga akhirnya. Itupun selepas kena bakar dalam Neraka sampai cukup tempoh masa tertentu setimpal dengan dosa. Sehari di dunia beribu tahun di Akhirat. Aduh..

Iman ialah percaya sungguh-sungguh bahawa tiada Tuhan yang layak disembah selain Allah dan Rasulullah itu hamba dan pesuruh Allah serta tidak menyekutukan Allah walau dengan sesiapa pun. Kalau masuk Syurga yang paling kecil sekalipun, luasnya adalah 10 kali ganda dunia. Kau akan jadi raja yang lebih hebat dari kerajaan Nabi Sulaiman alayhisalam. Dan kekallah di dalam Syurga selama-lamanya.

Dan Rasulullah pernah solat sampai bengkak kaki. Apabila  Aisyah r.anha tanya kenapa baginda solat sampai bengkak kaki sedangkan Rasulullah itu dah maksum atau memang dah tiada dosa, apa Rasulullah jawab? Rasulullah beritahu yang baginda nak jadi hamba Allah yang bersyukur[2].

Ya bersyukur, tetapi APA itu syukur? Syukur adalah keinginan untuk berkongsi nikmat atau sesuatu perkara best dengan orang lain.

Sebab itu semua sahabat Rasulullah bila dapat kalimah Tauhid, mereka rasa terus nak kongsi dengan orang lain. Dengan kata mudah, mereka terus berebut nak buat dakwah tarbiah. Itulah makna syukur sebenar. Macam kau pergi melancong tempat best atau luar negara, tempat yang cantik kau akan ambil gambar dan upload di Facebook atau Twitter untuk kongsi dengan orang lain.

Atau kalau kau dapat makan meatball iKEA yang mahal tu atau dapat makan nasi Arab yang paling mahal, kau terus ambil gambar dan upload dalam Facebook atau Twitter untuk kongsi rasa gembira dengan orang lain. Paling tidak pun share dalam group whatapps atau telegram. Lainlah kalau tamak, tak nak cerita pada orang lain takut kena belanja orang.

Hari ini ramai ummat Islam tamak dengan nikmat Islam. Dah la suruh dakwah orang kafir masuk Islam pun susah dan tak pandai serta tak nak, padahal sama-sama kelas, ini nak dakwah sesama Muslim supaya kembali ke jalan yang benar pun tak nak juga. Kenapa kau tamak dengan nikmat Islam yang kau ada? Nak masuk Syurga sorang-sorang ke apa?

********

i)          Kesenangan.

Perkara pertama kita pergi ialah bab kesenangan yang telah di takdirkan. Bila kau di takdirkan hidup SENANG, lahir je kena suap iPad atau iPhone 10S Plus Minus, IQ tinggi macam bil elektrik, dapat anak asyik kembar, muka hensem macam buat pembedahan plastik, bisnes asyik berjaya, exam dapat dekan atau 4 flat berturut dan lain-lain, jangan nak sombong berlagak macam orang gila.

Semua tu memang dari Allah. Exactly dari Allah. Bukannya Kerajaan Pusat atau Kerajaan Negeri, syarikat, ladang atau kebun yang bagi kau senang, semuanya dari Allah! Betulkan keyakinan ini dulu. Dan kau ADA PILIHAN sama ada nak bersyukur atau sombong dengan nikmat kesenangan tu.

            Kalau kau pilih untuk bersyukur dengan nikmat senang, itulah yang membawa kau ke Syurga. Tetapi kalau kau pilih untuk jadi sombong berlagak takbur dengan nikmat yang dah diberi percuma tu, pasti masuk Neraka kalau tak taubat! Kalau jadi orang kaya jangan nak berlagak sombong !

Jerebu datang melanda, kekayaan kau takkan dapat selamatkan kau dari jerebu. Kalau hujan lebat sampai banjir besar melanda tu pun, harta kau takkan dapat selamatkan kau. Lalu hancur musnahlah seluruh harta kau.

Kita tengok kisah Nabi Sulaiman alayhisalam, Allah bagi nikmat kerajaan yang hebat dan kaya raya sampai menguasai bumi, tetapi apa yang dia buat? Dia pilih untuk bersyukur sungguh-sungguh yang mana akhirnya Allah bagi dia Syurga.

Kalau tengok kisah Qarun pula, Allah bagi nikmat sampai penuh harta untuk 70 keturunan, tetapi apa yang dia buat? Dia pilih untuk sombong belagak takbur, yang mana akhirnya Allah tenggelamkan dia dalam muka bumi dengan hartanya sekali, bahkan masuk Neraka terus.

Kesimpulanya, masuk Syurga bukan sebab kau miskan atau kaya, kau penjawat awam atau menteri, kau rakyat atau sultan, sebab itu memang sudah di takdirkan Allah. Masuk Syurga atau Neraka di tentukan oleh soal hati kau sendiri, sama ada kau pilih untuk SYUKUR atau SOMBONG !

Ingat, syukur dan sombong adalah SOAL HATI !

ii)         Kesusahan.

Macam tu juga kalau kau ditakdirkan hidup SUSAH, lahir saja dari keluarga miskin, nak makan nasi pun fikir 10 kali, IQ lebih lambat dari wifi, anak kecil mati, muka hodoh macam kuku kaki, bisnes asyik gagal, exam asyik repeat, dan lain-lain, jangan nak menangis atau frust tonggeng macam orang gila!

Semua tu memang dari Allah. Bukannya Kerajaan Pusat atau Kerajaan Negeri, syarikat, ladang atau kebun yang bagi kau susah. Dan kau ADA PILIHAN sama ada nak bersabar atau berburuk sangka dengan kesusahan tu.

Kalau pilih untuk bersabar dengan kesusahan, itulah yang membawa kau ke Syurga. Tetapi kalau kau pilih untuk bersangka buruk dengan Allah atas kesusahan yang diuji tu lalu menentangNya, pasti masuk Neraka kalau tak taubat!

            Kita tengok kisah seorang Sahabat namanya Julaibib r.anhu dari golongan Ansor. Dia seorang yang kulit hitam, miskin, tak hensem sampai takde siapa yang nak kahwin dengan dia. Kemudian satu hari, semasa Rasulullah bantu nak kahwinkan dia, tiba-tiba ada seorang sahabiah sudi berkahwin dengan dia. Julaibib punya gembira tak terkata. Tetapi semasa dia sedang buat persiapan nak kahwin, tiba-tiba datang seruan jihad.

Apa yang dia buat? Mula-mula dia keliru. Ye lah, dah la tiada siapa nak kahwin dengan dia, ini peluang ada orang nak kahwin dengan dia, dia pula terpaksa pergi jihad. Tetapi akhirnya dia buat pilihan yang paling tepat. Dia pilih untuk bersabar dan menyahut seruan jihad, dan akhirnya dia mati syahid dan Rasulullah memuliakan dia!

Kesimpulanya, masuk Syurga bukan sebab kau miskan atau kaya, kau penjawat awam atau menteri, kau rakyat atau sultan, sebab itu memang sudah di takdirkan Allah. Masuk Syurga atau Neraka di tentukan oleh soal hati kau sendiri, sama ada kau pilih untuk SABAR atau SANGKA BURUK !

Ingat, sabar dan sangka buruk adalah SOAL HATI !

iii)        Pahala

Berkenaan pahala pula, Rasulullah dah beritahu yang pahala ni adalah apa-apa kebaikan dan kebajikan yang kita rasa tenang bila buat[3]. Tetapi apa yang kau perlu tahu, kalau kau buat amal sebanyak manapun, janganlah berlagak dan merasa puas dengan pahala kau.

            Sebab itu semua berada dalam takdir Allah. Nak masuk Syurga bukan sebab banyaknya amal kau, tetapi semata-mata rahmat Allah. Iblis dulu sebelum Allah ciptakan Nabi Adam, lagi banyak amalan dia. Sebab itu kalau kita beramal, jangan pernah rasa puas hati dan rasa cukup dengan amal soleh yang dibuat. Ini semua tipu daya iblis.

            Jangan rasa puas dan cukup bila dah ramai follower ikut, atau banyak buat tahajjud dan dhuha, bagi ceramah ramai datang dan dengar, buat program ramai datang, ada jawatan tinggi dalam persatuan Islam dan sebagainya.

Sebab bila kita merasa CUKUP dan PUAS HATI dengan amal soleh, akan datang penyakit hati yang bernama RIYA’. Sebab itu saya ulas bab penyakit hati masa awal bab. Lalu celakalah padahnya, sebab hanya amalan yang ikhlas sahaja yang Allah terima.

Kesimpulannya, masuk Syurga bukan sebab kau banyak amal soleh atau pahala, sebab itu sudah di takdirkan Allah. Tetapi takdir masuk Syurga atau Neraka itu ditentukan oleh pilihan hati kau sendiri, iaitu IKHLAS atau RIYA’!

Ingat,  ikhlas atau riya’ adalah SOAL HATI !

iv)       Dosa

Berbalik pada dosa pun sama. Rasulullah beritahu yang dosa ini adalah apa-apa perkara yang buat hati kita rasa resah gelisah dan kita benci kalau orang lain tahu apa yang kita[4]. Tetapi apa saya nak beritahu, jangan hina orang yang buat dosa, sebab dia telah di takdirkan oleh Allah. Sebab itu kita benci dosa yang dibuat, bukan orang yang buat dosa tu atau pendosa.

Allah boleh buat kau pula terlibat dengan dosa yang mereka buat. Ini yang paling gerun. Tetapi Allah juga beritahu kalau dosa kau buat tu banyak manapun Allah akan sudi ampunkan, dengan syarat kau taubat sungguh-sungguh minta ampun.

Apa itu taubat? Kau NIAT sungguh-sungguh tak nak buat lagi dosa tu. Tetapi kalau kau terulang semula dosa yang sama satu hari nanti, ulang taubat lagi. Sampai bila nak ulang? Sampai jadi mayat.

Kau pula jangan bangga dengan dosa kau, malah mempertahankan pula dosa tu. Kalau dah tahu salah, mengaku salah dan bertaubat. Janganlah pula kau pertahankan dosa kau dengan macam-macam alasan, bahkan siap guna alasan agama untuk mempertahankan dosa.

Kau nak tahu, Iblis masuk Neraka bukan sebab dia jahil atau tak faham Islam, tetapi dia masuk Neraka antaranya sebab dia MEMPERTAHANKAN dosa dan kesalahan dia buat, malah guna macam-macam alasan untuk membenarkan dosa dia. Antara alasan dia guna, dia kata dia lebih mulia dari Nabi Adam, dia dicipta dari api Adam dari tanah, dan sebagainya.

Kesimpulannya, masuk Neraka bukan sebab kau banyak buat jahat atau dosa, sebab itu sudah di takdirkan Allah. Tetapi takdir masuk Neraka atau Syurga ditentukan oleh pilihan hati kau sendiri masa di dunia, iaitu kau nak MENGAKU SALAH dan TAUBAT sungguh-sungguh pada Allah, atau kau BANGGA dengan dosa kau buat, lalu kau MEMPERTAHANKAN dosa dan mencari alasan untuk pertahankan dosa yang kau buat.

Ingat, mengaku salah dan bertaubat sungguh-sungguh atau bangga dengan dosa lalu mempertahankan dosa dan mencari alasan untuk membenarkan dosa yang dibuat adalah SOAL HATI!

************

Masa Allah ciptakan roh dulu, dengan kebijaksanaan yang maha hebat, Allah telah telah tahu apa soal hati kita semua. Lalu bila cukup masa dalam perut, maka Allah yang maha Hebat dan Maha Tahu telah perintahkan malaikat menulis segala perjalanan hidup kita termasuk, rezeki, amalan kebaikan, keburukan, kesenangan, kesusahan, dosa dan pahala.

Cuma satu saja malaikat tak tulis dan malaikat pun tak tahu sebenarnya, iaitu SOAL HATI.

Bila kita start baligh, maka dua malaikat kiri kanan pun ditugaskan menulis apa yang kita buat samada baik ataupun buruk. Dan sudah pasti perkara itu adalah sama je dengan apa yang tertulis di kitab takdir. Jangan tanya lagi kenapa Allah suruh malaikat kiri dan kanan tu tulis juga. Kau tanyalah Allah masa di Syurga nanti.

Oh ya, cuma satu jer malaikat tak tulis dan malaikat kiri kanan pun tak tahu iaitu SOAL HATI.

Oleh yang demikian, ada hadis yang menceritakan kisah seorang perempuan pelacur yang hidupnya penuh dengan dosa dan keburukan. Tetapi Allah buat keputusan untuk dia tetap juga masuk Syurga, sebab dia bagi minum air pada anjing yang haus.

Ini semua SOAL HATI. Pilihan dia untuk nak ikhlas.

            Ada hadis lain yang menceritakan pula tentang seorang mujahidin yang mati syahid sebab berjihad perang di jalan Allah. Tetapi Allah buat keputusan untuk dia tetap juga masuk Neraka, sebab dia berjihad tak ikhlas dan nak orang puji dan angkat dia.

Ini semua SOAL HATI. Pilihan dia untuk tak nak ikhlas.

Ini bermakana, malaikat tulis apa yang telah di takdirkan Allah pada kita, namun keputusan di Akhirat adalah berdasarkan pilihan hati kita. Ini adalah soal hati. Oleh sebab malaikat pun tak tahu soal hati kau, Rasulullah dah ajar kita tentang soal hati.

Maka buatlah usaha dan doa untuk dapatkan sifat-sifat hati yang membawa ke Syurga seperti syukur, sabar, sangka baik, ikhlas, redha, sabar dan sebagainya. Kemudian elakkan serta berdoalah sungguh-sungguh agar kita di selamatkan dari penyakit hati yang boleh membawa ke Neraka seperti Kufur, buruk sangka, sombong, riya’, ujub, takkabur, dan lain-lain lagi soal penyakit hati.

4.         Niat

Yang terakhir sekali tentang niat. Kita semua tahu yang segala AMAL bermula dengan NIAT. Ini semua ada dalam hadis pertama dalam himpunan hadis 40 Imam Nawawi.

Ada satu hadis yang menceritakan tentang lelaki yang buat jahat dan berjaya bunuh 99 orang, tetapi dia nak bertaubat. Kemudian bila dia berjumpa dengan seorang alim ni, orang alim ni kata dia ni ahli Neraka. Lalu lelaki tu pun bunuh orang alim tersebut, dan genaplah angka 100. Kemudian dia berjalan lagi, dan jumpa dengan seorang alim yang lain, dan dia beritahu yang dia nak taubat.

Orang alim tu pun kata kalau dia nak bertaubat, dia kena pergi ke sebuah kampung yang mana di situ ramai orang baik. Dengan harapan dia akan terikut jadi baik. Lalu lelaki tu buat PILIHAN untuk menjadi baik, dan terus buat PERSEDIAAN untuk ke kampung tu untuk bertaubat dan menjadi baik. Masa dalam perjalanan menuju kampung tu lelaki tersebut mati di tengah jalan.

Lalu datanglah malaikat rahmat dan malaikat azab. Masa malaikat azab nak ambil lelaki ini bawa ke Neraka, Allah perintahkan bahawa dia adalah ahli SYURGA. Persoalannya, kenapa?

Antara sebabnya adalah, lelaki itu mati dalam keadaan dia MENZAHIRKAN niatnya. Atau dia membuktikan yang dia betul-betul nak bertaubat. Apa yang kita boleh belajar, sesiapa yang berniat nak bertaubat dan berubah menjadi baik, Allah maha pengampun dan sudi ampunkan kau.

Tetapi apa yang kau kena buat adalah, kau kena zahirkan niat kau. Oleh sebab niat ni belum ditakdirkan oleh Allah hatta malaikat pun tak tahu apa niat kau, tetapi kalau kau nak buat baik atau pahala, maka malaikat pun “tercium” bau wangi, lalu dia pun tulis satu pahala. Tetapi kalau kau niat nak buat jahat, walau malaikat “tercium” bau busuk sekalipun, dia tak tulis pun dosa tu sehinggalah kau MENZAHIRKAN niat kau tu.

Oleh itu, kalau kau nak bertaubat dan berubah jadi baik, ZAHIRKAN NIAT ITU. Jangan peduli kalau orang tuduh kau riak’, belagak dan sebagainya, sebab hakikatnya yang tahu niat kau cuma kau seorang je. Malaikat pun tak tahu, apatah lagi orang lain yang bukan malaikat. Marilah menangis, kerana itu adalah mengzahirkan taubat!

Tengok contoh seorang sahabat Rasulullah ni zahirkan niat. Ada seorang sahabat, namanya Abdullah Bin Huzaifah As Sahmy, bila ditangkap menjadi tawanan perang, maka dia dibawa berjumpa dengan maharaja Rom. Lalu maharaja ni suruh dia murtad dan masuk Kristian, Abdullah mestilah tak nak.

Maharaja pun tawarkan dia jawatan dalam kerajaan dengan syarat dia murtad, pun Abdullah tak nak. Lepas tu ditawarkan pula sebahagian harta dengan syarat dia murtad, pun dia tak nak.

Lalu maharaja ni geram, dia suruh tentera dia buat kawah minyak panas, lalu dicampakkan tawanan Islam yang lain dalam kawah minyak yang menggelegak panas depan dia. Dia campak seorang demi seorang. Tak lama kemudian, Abdullah menangis. Maharaja ni pun gembira, ingat taktik menjadi. Bila maharaja ni tanya kenapa dia menangis, lalu dia pun jawab,

“Aku menangis kerana keinginanku selama ini tidak terkabul. Aku ingin mati di medan perang fisabilillah. Tetapi kini, aku akan mati dalam kuali panas.”

            Sumpah hebat superb! Kalau kau berniat nak taat perintah Allah dan jauhi larangan Allah, pilihlah untuk kau zahirkan niat kau tu. Jangan pula kau nak solat fardhu, tetapi sekadar niat je, kemudian kau pun tak solat. Kononnya atas alasan niat. Jangan jadi mangkuk macam Ayah Pin. Sebab itu saya cakap, ZAHIRKAN niat. Kalau kau berniat nak tutup aurat sempurna, niat saja tak cukup. Zahirkan dia, tutuplah aurat dengan sempurna.

            Sebab itu dalam kaedah syarak, kita menghukum seseorang berdasarkan apa yang kita NAMPAK atau apa yang orang itu ZAHIRKAN. Kalau nak jalankan hukuman potong tangan sebab mencuri, mesti ada BUKTI yang kuat. Kalau sekadar agak-agak, tak boleh. Dan kita tegur dan cegah orang buat dosa dan maksiat sebab dia buat dosa dan maksiat secara TERANG-TERANGAN.

Tetapi kau jangan salah faham pula yang niat TAK MENGHALALKAN cara. Kau nak bertaubat, tapi kau guna maksiat untuk berubah. Memang tak bolehlah. Niat tak pernah menghalalkan cara.

            Zahirkan niat kau dengan cara yang ikut syarak, bukan main tangkap muat je. Akhir sekali, selepas zahirkan niat tu, kenalah jaga hati dan menyerah dirilah pada Allah.

Wallahu’alam.

Sumber : Dipetik dari Bab 1 buku Aku Bukan Malaikat 1 karya Shukery Azizan. Kongsikan pada kawan-kawan dan group sebelah jom. Moga manfaat !! :)

Siapa nak beli online buku ni, boleh hubungi atau whatapps nombor 014 - 3242859

#ShukeryAzizan
#AkuBukanMalaikat
#AkuBukanMalaikat2
#TarbiahSentap




Untuk pengetahuan pembaca, ini adalah salah satu BAB daripada buku Aku Bukan Malaikat tulisan Shukery Azizan yang alhamdulillah sudah ada di pasaran. Boleh dapatkan di kedai-kedai buku berhampiran korang seperti MPH, Popular, SMO, Hasani, dan lain-lain.

Siapa nak beli online buku ini, boleh hubungi atau whatapps nombor 
014 - 3242859

Anda semua dibenarkan untuk sebarkan tulisan dan buku ini ke seluruh galaksi dan jangan lupa bagi kredit kepada buku Aku Bukan Malaikat tulisan Shukery Azizan. 

Bukan nak riya' or berlagak, tetapi sekurangnya kalau dalam tulisan beliau ada kesalahan, at least orang yang nak tegur tu boleh tahu siapa penulisnya dan macam mana nak tegur penulis tersebut (dalam kes ni, tegur Shukery Azizan). Dan juga at least beliau boleh "tracking" ke mana tulisan dia pergi. :)

Semoga bermanfaat :) 


[1] Hadis riwayat Bukhari dan Muslim dalam Himpunan 40 hadis susunan Imam Nawawi.
[2] Hadis riwayat Bukhari
[3] Hadis riwayat Muslim dalam himpunan 40 Hadis Imam Nawawi
[4] Hadis riwayat Muslim.

1 comment:

Cara Membersihkan Komedo said...

terimakasih atas informasinya, jangan lupa kunjungi kami di http://idblackwalet.com/cara-membersihkan-komedo/