Tarbiah Sentap: August 2017

Thursday, 31 August 2017

Apa Pengorbanan Kita?



 Saya masih ingat lagi perbualan dengan Ustaz Adnin tahun lepas dalam keretanya berhadapan dengan ofis kami. Masa tu dia nak hantar saya balik. Kemudian dia tanya saya,

"Shuk, anta buat korban tahun ni?"

Saya menggarukan kepala yang tak gatal sambil tersengih. Lalu saya gelengkan kepala.

"Tak buat kot. Mana ada duit.."

Adnin sengih.

"Anta nak tahu tak. Dulu ayah ana pernah tanya, ana buat korban ke tak tahun tu. Ana pun cakap la, tak buat. Lepas tu ayah ana tanya, Kenapa tak buat? Ana pun jawab la, sebab takde duit."

Saya memberikan fokus 106% termasuk gst pada kata-katanya. Lepas tu dia menyambung,

"Anta nak tau tak apa ayah ana cakap?”

Saya mengangguk sambil berkelip memerhatikan matanya.

“Ayah ana kata, 'Sebab kau takde duitlah, kau kena cari duit untuk buat korban. Baru betul. Itulah makna korban. Kita kena berkorban, bersusah payah untuk korbankan sesuatu. Kalau dah ada duit banyak baru nak korban, takde la rasa perasaan korban tu.'”

Reaksi saya masa tu,

"Gulp."

Kemudian Adnin sambung,

"Jom shuk, kita usaha untuk buat korban tahun ni. Korek-korek je apa yang ada.."

Saya senyum.

"InsyaAllah.."

Saya naik je tingkat atas, terus buka laptop, dan cari tentang ibadah korban. Terjumpa pula iklan korban di Facebook. Tajdid niat, dan terus bismillah.

Korban Yang Agung

Mesti kau biasa dengar kisah Nabi Ibrahim alayhi salam kan? Kalau tak biasa dengar pun, sekurangnya mesti pernah tahu. Saya kongsi sikit kisah ringkas Nabi Ibrahim. Kalau nak tahu kisah detail, kena beli buku kisah para Nabi la. Buku yang kau tengah baca ni bukan bukunya.

Masa zaman remaja, ayah baginda jual patung berhala dan selalu menyuruhnya untuk menjual sekali. Tapi disebabkan Allah nak lindungi baginda, Allah beri dia tak bersemangat langsung untuk jual patung tu. Malah baginda siap ejek lagi patung-patung tu pada pembeli.

Kesungguhan baginda untuk cari kebenaran boleh kita nampak yang mana setiap kali waktu malam je, apabila ternampak bintang bersinar-sinar, baginda akan kata,

Inikah Tuhanku?”

(Surah Al An’am 6:76)

Tetapi bila bintang tu hilang, baginda kata,

Aku tidak suka kepada yang terbenam hilang”.

(Surah Al An’am 6:76)

Macam tu juga masa waktu siang. Apabila nampak matahari, baginda akan kata,

“Inikah Tuhanku? Ini lebih besar”.

(Surah Al An’am 6:78)

Tetapi bila matahari tu hilang, baginda kata,

Wahai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu sekutukan”.

(Surah Al An’am 6:78)

Nampak tak, taksub dan bersungguh baginda mencari tuhan. Kita ni walau dah tahu siapa tuhan, tapi masih lagi malas cari Allah. Dah nak exam baru terkial-kial cari Allah. Atau masa takda duit, baru pandai nak doa. Ataupun masa susah baru nak cari Allah. Waktu senang, yang kita tahu cari crush, pakwe makwe, bakal imam, bakal tulang rusuk, bakal menantu mak, dan macam-macam lagi. Lepas tu bajet macam hidup ni takkan mati.

Ouch..

Ok tamat iklan. Nabi Ibrahim berterusan mencari kebenaran sampailah Allah mewahyukan kepada baginda tentang Zat yang sebenar. Antaranya Allah beritahu,

“Tunduk patuhlah!”

(Surah Al Baqarah 2:131)

Kerana sangat suka dan gembira sebab dah jumpa Allah, maka baginda bertekad dan anggap Allah sebagai kekasihnya serta tunduk patuh kepadaNya.

“Aku tunduk patuh kepada Tuhan semesta alam”.

(Surah Al Baqarah 2:131)

Kita pendekkan cerita, kalau panjang sangat takut kau skip muka surat. Nampak tak permainan dia? Haha.

Nabi Ibrahim alayhi salam ditakdirkan takda anak sampai umur sekitar 80 tahun, kemudian barulah Allah kurniakan anak. Sebagai ayah, logiknya mestilah baginda gembira sangat sebab dia memang tak sangka akan dapat anak dalam usia yang sangat tua. Maklumlah, ibarat kau berhajat nak dapat sebiji motor, tetapi sampai semester akhir universiti masih lagi tak dapat. Tetapi tiba-tiba masa majlis konvo, ada orang bagi hadiah motor. Lagi best, yang bagi hadiah tu orang yang kau sayang. Mana tak melting weh.

Tetapi kegembiraan tu tak lama. Allah uji baginda dengan memerintahkan supaya meninggalkan anak dan isterinya, Hajar di padang pasir yang kering kontang selama 7 tahun. Semasa baginda bersedia untuk melangkah pergi meninggalkan mereka berdua bersama kantung berisi kurma dan air, tiba-tiba Hajar ikut belakang baginda dan berkata,

“Wahai Ibrahim, ke mana engkau akan pergi? Apakah engkau akan meninggalkan kami di lembah yang tidak ada manusia dan tidak ada sesuatu pun?”

Allah.. Cuba letak diri kita dalam situasi Nabi Ibrahim. Kau pejam mata, dan bayangkan. Hati suami mana yang tak retak dan hancur berderai bila mendengar rayuan seorang isteri yang terpaksa ditinggalkan. Bukan saja isteri, malah anak yang baginda tunggu sampai umur 80 tahun pun terpaksa kena tinggal.

Urghh..

Tetapi Nabi Ibrahim kuatkan hati juga untuk LANGSUNG TAK menjawab soalan Hajar bahkan tak menoleh pun. Perghh, ini baru betul-betul hati sado. Kita ada?

Sama juga macam situasi Hajar. Hati isteri mana yang tak takut dan risau apabila suami tersayang nak tinggalkannya bersama anak di tempat yang takda jaminan keselamatan langsung. Kalau kau perempuan yang dah kahwin, apa perasaan bila terpaksa ditinggalkan suami dalam tempoh waktu yang kau sendiri tak tahu? Sakit dan terseksa weh.

Apatah lagi Hajar. Dah la padang pasir kering kontang, dengan anak yang kecil lagi. Bukannya ada rumah atau aircond, ada kedai mamak untuk kerja part time, ada 7 eleven, ada laptop untuk skype dan sebagainya. Sayu dan pilu hati weh. Ini bukan drama Akasia pukul 7, ini kisah real. Huhu.

Dalam masa yang sama, Hajar masih lagi bertanya soalan yang sama lagi dan lagi. Sampailah tiba-tiba Hajar tanya,

“Adakah Allah yang memerintahkan untuk lakukan semua ini?”

Bila ditanya soalan ini, baru Nabi Ibrahim berhentikan langkah sekejap. Hatinya bertambah sayu. Kita kena faham bahawa Nabi Ibrahim tetap seorang manusia, yang ada segala fitrah kemanusiaan termasuklah perasaan sedih, rindu, sayang dan sebagainya. Bukannya malaikat. Tetapi kepatuhan dan keimanan yang mendalam, terpaksa DIKORBANKAN semua perasaan ni. Bila ditanya soalan ni, barulah baginda jawab,

“Ya”.

Hanya sepatah “Ya” itu, Hajar terus rasa lega dan tenang sambil berkata,

“Kalau begitu, Dia (Allah) tidak akan mengabaikan kami”.

            Padu weh. Sumpah padu jawapan Hajar. Tawakal dia memang tahap lejen. Dah la kena tinggal berdua dengan anak yang kecil, lepas tu Nabi Ibrahim hanya jawab “ya” saja, tetapi dia boleh redha dan tawakal tinggi tahap kritikal. Arghh. Taksub saya dengan Hajar. Padahal Nabi Ibrahim takda pun pujuk Hajar macam cakap,

            “Alaa cayang. Jangan cedih-cedih. Abam tinggalkan kejap je. Nanti abam datang lagi ea? Sabar sikit je. Ala mucuk-mucuk comel cikebum cak!”

            Takda pun. Nabi Ibrahim jawab gentle je walaupun dalam hati hanya Allah je yang tahu. Selepas Nabi Ibrahim dah jalan jauh meninggalkan mereka berdua sampai ke kawasan yang mereka tak nampak, Nabi Ibrahim berhenti sekejap. Kenapa?

Macam saya sebut, Nabi Ibrahim tetap seorang manusia yang masih risaukan anak dan isteri baginda. Hati ayah dan suami mana yang tak risau terpaksa tinggalkan anak isteri di tengah padang pasir. Kan?

Apa Nabi Ibrahim buat? Telefon polis? Telefon Jabatan Kebajikan Masyarakat? Mestilah tak. Nabi Ibrahim berdoa, dan doa ni dirakamkan dalam al Quran surah Ibrahim ayah 35 hingga 41. Dahsyat tu, siap dirakam dalam Al Quran, dan ia kekal sampai hari kiamat. Antara doa Nabi Ibrahim,

"Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Makkah) yang tidak tanaman padanya, di sisi rumahMu yang diharamkan mencerobohinya.

Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur.”

(Surah Ibrahim 14:37)

            Ini antara doa baginda sungguh-sungguh. Cuba kau baca ke semua doa baginda. Mesti rasa syahdu. Baru kita rasa syok dan ‘feel’ baca al Quran kalau tahu sebab musabab ayat tu turun. Atau sekurangnya kita taddabur ayat Quran tu. Apa pun, kita tengok betapa tingginya tawakal antara Nabi Ibrahim dan Hajar. Hajar sanggup ditinggalkan, manakala Nabi Ibrahim terpaksa meninggalkan. Kalau situasi kita pula macam mana? Meninggal terus.

7 tahun kemudian..

Selepas lebih kurang 7 tahun, baginda pulang dengan hati yang penuh dengan taman bunga. Ye lah, dah nak dekat 7 tahun tak jumpa, mestilah anak dah besar. Siap boleh main kejar-kejar. Kalau zaman sekarang, anak dah masuk darjah 1.

Tetapi Allah masih nak uji baginda untuk membuktikan keimanan, cinta dan pengorbanannya pada Allah. Allah perintahkan lagi baginda untuk keluar lebih kurang 3 tahun.

3 tahun kemudian..

Baginda pulang lagi selepas 3 tahun dengan hati yang rindu sangat pada anaknya. Ayah mana yang tak rindu pada anak yang hampir 10 tahun tak jumpa. Kan? Ayah mana la tak gembira dapat jumpa anak sendiri. Tetapi Allah nak uji lagi nabi Ibrahim alayhi salam untuk membuktikan cintanya kepada Allah melebihi segala-galanya. Macam mana? Dengan cara mengorbankan anaknya iaitu sembelih Nabi Ismail hidup-hidup!

Allah..

Nabi Ibrahim alayhi salam diperintah bukan untuk sembelih seekor haiwan, tetapi diperintah untuk sembelih SEORANG MANUSIA. Lebih sadis lagi, manusia itu bukanlah individu yang tiada kaitan dengan baginda. Tetapi manusia itu adalah ANAK BAGINDA yang dia rindu dan teringin sangat nak jumpa.

Dan lagi dahsyat dari tu, baginda menyahut perintah tu dengan melakukannya. Perghh! Ini lebih dahsyat dan cool dari mission impossible.

Hati ayah mana yang tak rasa berat. Tetapi demi cinta pada Allah yang lebih tinggi dari segalanya, dia buat sungguh-sungguh. Lebih terharu dan kagum, Nabi Ismail alayhi salam BERSETUJU pula tu. Bayangkanlah, dah la lama tak jumpa. Sekali jumpa, nak kena sembelih pula tu. Ini betul-betul thriller. Dan lagi hebat, Nabi Ismail alayhi salam siap beritahu ayahnya,

“Wahai ayahku, lakukanlah apa yang diperintahkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala kepadamu; insya Allah engkau akan mendapati diriku termasuk orang-orang yang sabar”.

            Bukan itu je, malah Nabi Ismail sebut lagi,

“Wahai ayahku…”

sayu namun tenang nada Nabi Ismail terhadap ayahnya,

 “Kuatkanlah ikatanku supaya aku tidak banyak bergerak”.

Aduh.. Mana tak sayu bila kita baca kata-kata ini seperti direkodkan oleh Imam Qurtubi yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas dalam tafsir al Qurtubi juzuk 18. Dah la nak kena sembelih oleh ayah sendiri, tetapi Nabi Ismail siap minta kuatkan ikatan lagi. Huhu. Kemudian Nabi Ismail sebut lagi,

“Wahai ayahku, bukakanlah pakaianku supaya tidak terkena darah yang akan menyebabkan berkurang pahalaku dan (jika nanti) ibu nampak mesti akan sedih”.

Urgh.. Dah nak kena korban pun, Nabi Ismail masih lagi ingat pada orang lain dan fikir tentang berkurang pahala. Kita hari ni, dosa pahala pun dah tak sempat nak fikir, asal seronok je.

“Wahai ayahku..”

Tenang sungguh Nabi Ismail, sungguh tenang walaupun kematiannya di berada di depan mata.

“Tajamkanlah pisau ayah serta percepatkan gerakan pisau itu dileherku supaya terasa lebih ringan bagiku kerana sungguh kematian itu amat dahsyat.”

Kemudian Nabi Ismail menambah pesanan yang terakhir kepada ayahnya tercinta, dan pesanan inilah yang paling sayu sangat, membuatkan suasana menjadi semakin haru dan sedih,
           
“Wahai ayah, apabila engkau pulang nanti maka sampaikanlah salam (kasih)ku kepada ibu, dan apabila pakaianku ini ayah pandang baik untuk dibawa pulang, maka lakukanlah..”

Saya tak tahu sama ada Nabi Ibrahim alayhi salam menangis atau tak masa tu. Tetapi kalau saya yang berada di situ, pasti saya akan menangis sampai merah mata. Sebab bila saya yang terjemah dan tulis semula ni pun menangis! Allahu Rabbi..

Dan saat suasana yang sangat haru pilu serta sayu ini, Nabi Ibrahim pun kata,

“Wahai anakku, sungguh engkau adalah anak yang SANGAT MEMBANTU dalam menjalankan perintah Allah Taala..”

Allahu Akhbar. Sungguh, kata-kata Nabi Ibrahim ni membuatkan saya termenung jauh. Adakah saya ni membantu ibu dan keluarga saya dalam menjalankan perintah Allah? Atau saya yang menghalang mereka?

Saya timbulkan juga persoalan ini untuk kau. Adakah kau menjadi sebaik-baik pembantu suami, atau isteri, atau mak ayah, atau adik beradik hatta kawan kau dalam menjalankan perintah Allah? Atau kau cuma menghalang mereka saja? Contohnya, saat mereka nak pergi program tarbiah, kau ‘halang’ mereka dengan kata,

“Tak payah la pergi. Pergi lain kali la…”
“Alaa.. program tu nanti kan boleh ikut..”
“Eleh, tak payah jadi baik sangat la. Kau pun sama je..”

Aduh, pedih.

Sambung balik kisah tadi. Masa Nabi Ibrahim nak sembelih anaknya, tiba-tiba Allah menarik ‘sifat’ pemotong pada pisau yang membuatkan pisau tu jadi tumpul. Dicuba beberapa kali, tetapi masih tak berjaya untuk sembelih anaknya. Baginda mula risau. Kemudian baginda asah pisau tu semula, dan cuba sembelih lagi. Namun Nabi Ismail langsung tak cedera. Baginda buat ulang-ulang kali sampailah turun wahyu Allah,

Serta Kami menyerunya: "Wahai Ibrahim!”

"Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu". Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan’.

(Surah As Saffat 37:104-105)

            Maka sebagai hadiah, Allah menghadiahkan mereka seekor kibas dari langit dengan menggantikan posisi Nabi Ismail alayhi salam.

Dan Kita?

            Lagi satu, walaupun Nabi Ibrahim dah berkorban banyak perkara seperti yang kita tahu, daripada korban perasaan sampailah tahap nak korban anak sendiri, itupun baginda masih lagi sebut dalam doanya,

Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami)”

(Surah al Baqarah 2:127)
           
            Baginda pun masih berdoa pada Allah minta supaya Allah terima semua pengorbanan baginda. Perghh.

Saya nak ajak kita semua berfikir sejenak. Pertamanya, apa yang telah kita korbankan sebagai tanda cinta kita kepada Allah? Korbankan masa? Korbankan harta? Korbankan perasaan? Tetapi kenapa kita ‘korbankan’ semua itu waktu kita senang je? Agaknya Allah terima ke korban kita?

            Kenapa kita korbankan harta saat dah banyak duit, bukannya saat tengah takda duit dan kesusahan? Kenapa kita korbankan masa saat tengah banyak masa lapang, bukannya saat sedang sibuk? Kenapa kita baru korbankan perasaan saat sedang bersemangat, bukannya saat hati sedang berat?

Kalau kita 'berkorban' waktu senang, itu bukan korban namanya. Pengorbanan adalah waktu tengah betul-betul desperate, tertekan, terpaksa dan rasa berat, lalu kita lapangkan dada untuk korbankan apa yang betul-betul diperlukan. Itulah korban.

Yang keduanya, pernah tak kita ‘sembelih’ perasaan cinta kita pada dunia demi untuk Allah? Ramai orang datang solat sunat aidiladha, sampai melimpah ruah ke jalan raya. Tetapi bila waktu solat fardhu, masjid atau surau lengang je. Siap boleh main polis and thief lagi.

Pesanan khusus untuk diri saya yang selalu ‘terkoban’ dengan dunia,

Korbankanlah masa ber ‘facebook’ sekejap dan datanglah pada Allah.
Korbankanlah masa bercouple dan datanglah pada Allah.
Korbankanlah masa cerita Korea Melayu Jepun dan datanglah pada Allah.
Korbankanlah masa rehat kerja atau gap antara kuliah dan datanglah pada Allah.
Korbankanlah masa cuti dan datanglah pada Allah.
Korbankanlah masa makan, tidur, tandas, movie, couple dan datanglah pada Allah.
Korbankanlah masa lapang dan datanglah pada Allah..

Datanglah pada Allah dalam keadaan mengesot, merangkak mahupun berlari. Dan datanglah pada Allah dalam keadaan menangis sungguh-sungguh waktu doa, solat tahajud, solat dhuha, baca al Quran, dan sebagainya.

Kalau malas juga, tanya pada diri sendiri,

‘Apa pengorbanan yang aku dah buat?’

p/s : Ini adalah matan penuh ucapan Nabi Ismail kepada Nabi Ibrahim masa nak sembelih. Kalau kau reti baca Bahasa Arab, bacalah. Kata-kata ni mungkin lebih feel. Kalau nak lagi feel, buka tafsir al Qurtubi juzuk 18.



يَا أَبَتِ اشْدُدْ رِبَاطِيْ حَتَّى لاَ أَضْطَرِبَ….

وَاكْفُفْ عَنِّي ثِيَابَكَ حَتَّى لاَ يَنْتَضِحَ عَلَيْهَا مِنْ دَمِّيْ شَيْءٌ فَيَنْقُصَ أَجْرِيْ وَتَرَاهُ أُمِّيْ فَتَحْزَنُ….

وَيَا أَبَتِ اسْتَحِدَّ شَفْرَتَكَ وَأَسْرِعْ مَرَّ السِّكِّيْنِ عَلَى حَلْقِيْ لِيَكُوْنَ أَهْوَنُ عَلَيَّ فَإِنَّ الْمَوْتَ شَدِيْدٌ….

وَإِذَا أَتَيْتَ أُمِّيْ فَاقْرَأْ عَلَيْهَا السَّلاَمَ مِنِّيْ. وَإِنْ رَأَيْتَ أَنْ تَرُدَّ قَمِيْصِيْ عَلَى أُمِّيْ فَافْعَلْ….

فَقَالَ لَهُ إِبْرَاهِيْمُ : نِعْمَ الْعَوْنُ أَنْتَ يَا بُنَيَّ عَلَى أَمْرِ اللهِ تَعَالَى….


Sumber : Dipetik dari Bab 1 buku Aku Bukan Malaikat 2 : Obligasi karya Shukery Azizan. Kongsikan pada kawan-kawan dan group sebelah jom. Moga manfaat !! :)

Siapa nak beli online buku ni, boleh hubungi atau whatapps nombor 014 - 3242859

#ShukeryAzizan
#AkuBukanMalaikat
#AkuBukanMalaikat2
#TarbiahSentap


Untuk pengetahuan pembaca, ini adalah salah satu BAB daripada buku Aku Bukan Malaikat 2 : Obligasi tulisan Shukery Azizan yang alhamdulillah sudah ada di pasaran. Boleh dapatkan di kedai-kedai buku berhampiran korang seperti MPH, Popular, SMO, Hasani, dan lain-lain.

Siapa nak beli online buku ini, boleh hubungi atau whatapps nombor 
014 - 3242859

Anda semua dibenarkan untuk sebarkan tulisan dan buku ini ke seluruh galaksi dan jangan lupa bagi kredit kepada buku Aku Bukan Malaikat 2 : Obligasi tulisan Shukery Azizan. 

Bukan nak riya' or berlagak, tetapi sekurangnya kalau dalam tulisan beliau ada kesalahan, at least orang yang nak tegur tu boleh tahu siapa penulisnya dan macam mana nak tegur penulis tersebut (dalam kes ni, tegur Shukery Azizan). Dan juga at least beliau boleh "tracking" ke mana tulisan dia pergi. :)

Semoga bermanfaat :)