Tarbiah Sentap: Betul ke Allah cintakan aku?

Sunday, 4 June 2017

Betul ke Allah cintakan aku?

Dapatkan NOVEL Tarbiah yang cukup padu ini! Tulisan penulis bestseller,
Ustaz Adnin Roslan dan Siddiq Amin. Novel KETIKA CINTA MENYENTAP,
ia bukan novel cinta. Tetapi, ia novel tentang realiti masyarakat yang kian hanyut
dengan cinta! Dapatkan segera!

"Ustaz... Betul ke Allah cintakan aku? Kalau betul, kenapa Allah uji aku? kenapa Allah bagi aku kesusahan demi kesusahan dalam hidup aku? Kalau aku kata aku cinta mak aku, aku tak sanggup tengok mak aku susah. Tapi, kenapa bila aku beriman, Allah balas dengan bagi aku ujian yang berat??!!"

Kawan…

Apa yang kau rasa, bila aku cakap bahawa Allah cintakan kau?

“A..aku… Aku rasa tak layak di cintai…”

Kenapa pulak?

“Atas segala dosa yang aku laku, atas segala kelemahan aku, atas segala penipuan aku, dan setelah lama aku menjauh, adakah aku akan di cintai?”

Apa yang kau rasa, bila aku cakap bahawa Allah cintakan kau?

“Aku… Ya! Aku teringin nak Allah mencintai aku! Tapi…. Macam aku cakap, aku rasa tak layak di cintai….isk, isk…”

Huh.

Jangan menangis kawanku.

“Kau tak tahu betapa pedihnya jiwa aku.. Terseksa dalam dosa ni amat memedihkan. Betul kau cakap, bila aku sibuk kejar cinta, aku jadi buta mengejar pemberi cinta…”

Aku faham perasaan kau wahai kawan. Aku pun banyak dosa dan aib. Setiap orang ada pergelutan yang pertarungan dengan nafsu sehingga dia mati, termasuklah aku. Kalau aku nak cerita aib aku, mungkin tak habis. Dan kau pun mungkin akan benci aku.

Tapi..

Aku nak tanya kau sekali lagi..

Apa yang kau rasa, bila aku cakap bahawa Allah cintakan kau?

“……”

Jawab.

Jawab dengan hati kau.

Apa yang kau akan buat bila kau dapat tahu bahawa Allah cinta kau, Allah sayang kau, dan Allah rindu kau?

“Aku.. Aku akan menangis teresak-esak! Aku sedih, aku sebak, aku tak dapat menahan kegembiraan dalam jiwa!! Aku akan menangis, menangis dan bersyukur. Aku takkan lepaskan cinta yang selama ini aku abaikan. Aku takkan lepaskan peluang yang selama ini aku tinggalkan!”

Kawan…

Kau sering bertanya padaku, masihkan punya harapan untukmu, betul?

“Betul… Masihkah ada harapan untuk Allah menerima aku kembali? Demi Allah, aku sangat takut, dan aku sangat risau. Kerana, aku dah menipu berkali-kali… Adakah masih wujud harapan? Adakah masih ada harapan buatku??!!!!”

Kau nak tak aku tunjukkan kau, betapa Allah cintakan kau?

“Maksud kau?”

Hehe.

Macam ni.

Kadang-kadang, bila kita buat maksiat, bila kita jauh dari Allah, bila kita selalu buat dosa, bila rasa manis beribadah dah hilang dari hati kita, bila kita mula tinggalkan benda-benda wajib dan sunat, kita akan rasa seolah Allah benci kita dan Allah murka kita. Betul tak?

Tapi, hakikatnya kita silap.

Allah masih mencintai kita, Allah sebenarnya masih menunggu kepulangan kita, Allah masih sentiasa menawarkan keampunan dan maghfirahNya pada kita.

“Seriusly? Walau kita ada dosa yang menggunung, Allah masih mencintai kita?”

Ini yang aku nak kau tahu.

Allah, Allah amat mencintai kau!

Aku akan senaraikan bukti-bukti, sehingga kau yakin, sehingga kau tahu bahawa Allah amat mencintai kau. Agar, kau segera membalas cinta Allah yang Allah telah hulurkan untuk kau. Agar kau tahu, betapa Allah sentiasa ada untuk kau walau bagaimana pun keadaan kau, agar kau sedar bahawa cinta Allah lah yang sepatutnya kau buru.

Aku akan buktikan!

BUKTI ALLAH CINTA PADA KITA

Aku ada baca dalam kitab Ihya’ Ulumuddin karangan Imam Ghazali, sebuah athar tentang akhbar Nabi Daud alaihissalam. Sungguh, bila aku baca, hati aku rasa sebak dan nak menangis!

Aku akan kongsi pada kau. Supaya kau sedar, betapa hakikatnya Allah amat mencintai kau wahai kawanku.

Hayati athar ini.

يقول الله تعالى لداود: يا داود لو يعلم المدبرون عني شوقي لعودتهم ورغبتي في توبتهم لذابوا شوقاً إليَّ، يا داود هذه رغبتي بالمدبرين عني فكيف محبتي للمقبلين علي.

“Allah berkata pada Daud: ‘ Wahai Daud! Jika orang-orang yang berpaling dariKu mengetahui akan kerinduanKu dan kecintaanKu kepada mereka, serta keinginanKu agar mereka kembali kepadaKu semula, pasti mereka akan berebut untuk mendapatkan kerinduanKu! Wahai Daud! Itulah keinginanKu kepada orang-orang yang berpaling dariKu. Lalu, bagaimana dengan kecintaanKu terhadap orang-orang yang selalu menghadap(taat) kepadaKu??”

(Ihya’ Ulumuddin, 326:4)

Kecintaan apakah ini?!!

Kau bayangkan wahai kawanku!

Kalau waktu kita bermaksiat pun Allah cinta dan rindu kita, bayangkan, betapa cintanya Allah jika kita mentaatiNya!

Kau baca berkali-kali, hingga hati kau sebak, mengenang betapa kasih, betapa maha penyayangNya Allah yang selama ni kita sering menjauhi…

Tak cukup dengan itu wahai kawan. Kau hayati dengan mata hati hadith ini!

لله أشد فرحاً بتوبة عبده حين يتوب إليه من أحدكم كان على راحلته بأرض فلاة فانفلتت منه وعليها طعامه وشرابه فأيس منها فأتى شجرة فاضطجع في ظلها قد أيس من راحلته فبينما هو كذلك إذا هو بها قائمة عنده فأخذ بخطامها ثم قال من شدة الفرح: اللهم أنت عبدي وأنا ربك. أخطأ من شدة الفرح

“Sesungguhnya Allah sangat gembira dengan taubat hamba-Nya ketika ia bertaubat pada-Nya melebihi kegembiraan seseorang di antara kalian yang berada di atas kendaraannya dan berada di suatu tanah yang luas (padang pasir), kemudian haiwan yang ditungganginya lari meninggalkannya.

Padahal pada haiwan tunggangannya itu ada bekalan makan dan minumnya. Sehingga dia pun menjadi putus asa. Kemudian dia mendatangi sebuah pohon dan tidur berbaring di bawah naungannya dalam keadaan hati yang telah berputus asa.

Tiba-tiba ketika dia dalam keadaan seperti itu, haiwan yang di tunggangnya kelihatan berada di sisinya, lalu ia mengambil ikatnya. Karana sangat gembira(dengan kepulangan haiwan tunggangannya yang hilang), maka ia berkata, ‘Ya Allah, Engkau adalah hambaku dan aku adalah tuhan-Mu.’ Ia telah salah mengucapkan karena sangat gembiranya.”

(Hadith Riwayat Muslim: 2747)

Apa yang dikau faham dari hadith ini wahai kawan?

Sungguh, kalau kau teliti hadith ni, kau akan nampak, betapa Allah sangat gembira bila kau kembali pada Dia!

Nabi bagi perumpamaan yang cukup indah untuk menggambarkan betapa Allah mencintai seorang hamba yang kembali padaNya.

Bayangkan, kau sedang bermusafir di tengah padang pasir menaiki unta, dan pada unta tu ada segala bekalan makanan. Tiba-tiba, suatu hari unta kau hilang. Apa yang kau rasa? Perjalanan dahla jauh gila bapak, dekat padang pasir yang panas pulak tu. Unta hilang dan bekalan makanan dan minuman semua hilang sekali. Mesti kau stress, tertekan dan putus-asa, kan?

Bayangkan lagi, time kau tengah stress dan sedih, tiba-tiba, suatu hari, unta tu datang balik kat kau. Aku tanya kau jujur, apa yang kau rasa bila unta tu kembali pada kau?

Mesti kau akan happy tahap kritikal! Kau akan menjerit dan menangis kesyukuran, betul tak?

Kalau kau nak tahu, cinta Allah dan kegembiraan Allah lebih dahsyat dari itu jika kau kembali pada Dia!

Sehingga nabi kata, orang tu gembira sangat sampai tersasul, dia tercakap “Ya Allah, Engkau adalah hambaku dan aku adalah tuhan-Mu!”, padahal sepatutnya, Allah tu tuhan dan dia tu hamba. Hehe. Nak kata, excited dan happy sampai tersasul.

Kenapa Allah sangat gembira?

Sebab, Allah sangat mencintai hambaNya!

Sebab, Allah sangat cintakan kau wahai kawanku!!

Aku tanya kau jujur.

Apa kau rasa sekarang? Sedih, terharu, sebak, rasa tenang, rasa aman, rasa nak nangis, bulu roma meremang, berdebar? Atau kau tak rasa apa-apa?

Takpe.

Mungkin hadith selepas ini akan membuatkan kau semakin melting dan jatuh cinta pada Allah.

Nabi saw bersabda:


"‏ إِنَّ اللَّهَ يُدْنِي الْمُؤْمِنَ فَيَضَعُ عَلَيْهِ كَنَفَهُ، وَيَسْتُرُهُ فَيَقُولُ أَتَعْرِفُ ذَنْبَ كَذَا أَتَعْرِفُ ذَنْبَ كَذَا فَيَقُولُ نَعَمْ أَىْ رَبِّ‏.‏ حَتَّى إِذَا قَرَّرَهُ بِذُنُوبِهِ وَرَأَى فِي نَفْسِهِ أَنَّهُ هَلَكَ قَالَ سَتَرْتُهَا عَلَيْكَ فِي الدُّنْيَا، وَأَنَا أَغْفِرُهَا لَكَ الْيَوْمَ‏

“Allah yang maha suci dan maha tinggi mendekati hambaNya yang beriman lalu berkata, ‘HambaKu, datanglah dekat padaKu. Adakah kau masih ingat dosamu seperti ini? Masihkah kau ingat dosamu seperti ini? Masihkah kau ingat dosamu seperti ini?’, sehingga hamba tersebut menyangka bahawa dia akan binasa(di sebabkan dosa-dosa yang dia lakukan tika di dunia). Tetapi, Allah berkata, ‘Aku telah menutupi dosamu di dunia, dan inilah Aku yang akan mengampuni dosa-dosamu pada hari ini!!”

(Hadith Riwayat Bukhari: 2441)

Segala puji bagiMu ya Allah!!!!!!!

Wahai kawan!

Bukak mata! Bukak hati kau wahai kawan!!

Lihat, lihat!!!!

Betapa pemurahnya Allah yang maha pemurah!!!

Tidakkah kau rasa something dalam hati kau bila baca hadith ni?

Ya rabb..

Kau bayangkan, kat akhirat nanti, Allah panggil kau, lepas tu Allah ungkit segala dosa yang kau buat kat dunia, Allah kata kat dunia dulu kau buat dosa ni, buat dosa tu, buat dosa sini, buat dosa sana, sampai kita rasa dah takde harapan nak masuk syurga di sebabkan banyaknya dosa kita. Dan, tiba-tiba Allah kata:

“Aku telah menutupi dosamu di dunia, dan inilah Aku yang akan mengampuni dosa-dosamu pada hari ini!!”

Apakah perasaanmu wahai kawanku?!

Adakah kau mula sedar bahawa Allah amat mencintai dirimu wahai kawan!

Dengan segala dosa yang menggunung tinggi, Allah masih menawarkan keampunan dan cintaNya padamu wahai kawan…

Ya Allah…

Ya Rabb…

Betapa agungnya cintaMu wahai Allah!!

Menangislah wahai kawan..

Aku tahu, kau tengah sebak. Kau tahan air mata kau.

Aku tahu kau dah mula rindu pada Allah..

Aku tahu, kau dah mula rasa bahawa Allah amat dekat dengan kau wahai kawan…

Selama ni, kau rasa, Allah jauh dari kau. Tetapi, sebenarnya, sejauh mana pun  kau melarikan diri dari Allah, Allah tetap dekat dengan kau.

“Betul ke Allah dekat dengan aku…..? Betul ke?...”

Betul wahai kawan…

Kau baca ni. Agar hati kau mula sedar, bahawa Allah itu maha dekat..

Allah pernah berfirman dalam Alquran:

وَلَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنْسَانَ وَنَعْلَمُ مَا تُوَسْوِسُ بِهِ نَفْسُهُ ۖ وَنَحْنُ أَقْرَبُ إِلَيْهِ مِنْ حَبْلِ الْوَرِيدِ

“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya..”

(Surah Qaf ayat 16)



Cuba kau ulang perkataan ini:

“….Dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya….”
Cuba kau pegang urat leher kau. Dekat bukan?

Kalau kau nak tahu, Allah lebih dekat dengan kau daripada urat leher!

Mungkin kau tak sedar.

Apa bukti Allah itu maha dekat?

Cuba kau renung kembali. Sepanjang kau hidup.

Siapa yang cipta kau? Allah kan?

Siapa yang bagi kau dapat melihat? Allah kan?

Siapa yang bagi kau dapat bercakap? Allah kan?

Siapa yang bagi kau dapat mendengar? Allah kan?

Siapa yang bagi kau dapat makan, minum, berjalan, berlari, bergerak, berfikir dan sebagainya? Allah kan?

Tak cukup dengan itu.

Siapa yang kurniakan kau mak ayah? Allah kan?

Siapa yang bagi kau rezeki selama ni? Allah kan?

Siapa yang bagi kau nikmat demi nikmat demi nikmat selama ni? Allah kan?

Sungguh.

Cuba kau ambik kertas, dan kau tulis segala nikmat yang Allah pernah bagi kat kau selama kau hidup.

Cuba amik kertas sekarang!

Tulis, segala nikmat yang kau dapat dari kau kecik sampai besar. Samada nikmat kecik atau nikmat yang besar. Kau tulis.

Aku bagi kau masa….

…….

…………….


………………………………

……………………………………………………..


…………………

Kau nak tahu tak satu hakikat?

Hakikatnya, kau takkan mampu menghitung segala nikmat yang Allah dah beri pada kau. Kau takkan mampu wahai kawan.

وَإِنْ تَعُدُّوا نِعْمَةَ اللَّهِ لَا تُحْصُوهَا ۗ إِنَّ اللَّهَ لَغَفُورٌ رَحِيمٌ

“Sekiranya kamu nak menghitung nikmat Allah, kau takkan mampu! Dan sesungguhnya, Allah maha pengampun lagi maha penyayang..”

(An-Nahl ayat 18)

Mungkin, ketika aku suruh kau tulis, kau tulis guna pen dan kau tulis di atas kertas. Kan?

Tapi, nak tak aku bagitahu kau satu lagi hakikat?

Kalau kau jadikan air laut sebagai dakwat, dan kau jadikan tumbuh-tumbuhan sebagai pena untuk menghitung nikmat Allah, percayalah, kalau air laut tu kering dan di tambah dengan air laut yang baru, nescaya kau masih takkan mampu menghitung nikmat Allah..

Aku nak tanya kau..

Kau rasa, kenapa Allah beri kau segala nikmat ini? Walau kadang kau dan aku selalu mengkufuri nikmat? Tapi kenapa Allah masih beri kita nikmat demi nikmat?

Jawapannya mudah wahai kawan.

Kerana, Allah mencintai hambaNya!

Allah mencintai kau wahai kawanku!!!

Tapi, kenapa selama ini kau selalu rasa seolah Allah tu jauh?

Kerana, kau selalu menghitung ujian-ujian yang Allah beri pada kau. Bila di timpa susah sikit, kau merungut. Kau marah, kau tak redha, kau salahkan takdir.

Adakah kau sedar, ujian juga adalah tanda bahawa Allah mencintai kau wahai kawanku?!!

“Apa??? Ujian yang Allah bagi tu, adalah bukti cinta?”

Terkejut?



Cuba kau hayati hadith ni pulak. Hehe.

إِنَّ عِظَمَ الْجَزَاءِ مَعَ عِظَمِ الْبَلاَءِ وَإِنَّ اللَّهَ إِذَا أَحَبَّ قَوْمًا ابْتَلاَهُمْ فَمَنْ رَضِىَ فَلَهُ الرِّضَا وَمَنْ سَخِطَ فَلَهُ السَّخَطُ

“Sesungguhnya pahala yang besar itu adalah ganjaran untuk ujian yang berat. Sungguh, jika Allah mencintai suatu kaum, maka Dia akan menimpakan ujian buat mereka. Barangsiapa yang redha, maka ia yang akan meraih redha Allah. Barangsiapa siapa yang tidak suka, maka Allah pun akan murka.”

(Hadith Riwayat Ibnu Majah : 4031)

Ingat…

Bila Allah cinta kita, Allah akan timpakan ujian buat kita!

Sebab tu, para nabi dan rasul, sangat berat ujian mereka. Kerana Allah amat mencintai mereka!

Cuba teka, kenapa bila Allah cinta, Allah bagi ujian?

Bukan ke bila cinta, Allah takkan bagi kita susah?

Haa…

Tu yang aku nak explain tu.

Hehe.

Kita tak boleh samakan cinta manusia dengan cinta Allah.

Aku bagi contoh. Kalau kita takut pada satu manusia tu, kita akan jauhkan diri dari dia. Betul tak?

Tapi, bila orang beriman tu takut pada Allah, dia bukan menjauh dari Allah, tapi dia makin dekat dan makin jatuh cinta dengan Allah!

Bahkan, orang yang menjauh dari Allah tu di gelar sebagai orang yang tak takut dengan Allah. Hehe..

Macam tu jugak.

Allah bagi kita ujian ni ada banyak sebab.

Biar aku senaraikan, supaya kau dapat semat dalam hati kau, bahawa tiap kali kau di uji, hakikatnya itu adalah alamat cinta dari Allah untuk kau!

Aku buat dalam bentuk point la mudah ye.

1) Bila kita banyak dosa, dan kita lupa nak mintak ampun, tapi Allah masih nak ampunkan kau, maka Allah akan bagi kau ujian. Yang mana, kalau kau redha dengan ujian tu, walaupun kau tak minta ampun, Allah tetap ampunkan kau sebab kau redha dengan ujian tu!

Subhanallah!

Nak kata, Allah tetap nak ampunkan kita walaupun kita tak taubat. Allah nak sangat ampunkan kita! Allah nak masukkan kita dalam syurga! Allah nak kita ni di redhai olehNya! Walaupun, kita lalai dengan kehidupan, tenggelam dengan dosa, sehingga lupa nak taubat.

Itulah fungsi ujian!

Allah nak ampunkan semua dosa kita!

Syaratnya? Kita sabar dan redha dengan ujian.

Cuba kau fahami hadith ini.

فَإِنِّ مَرَضَ المُسْلِمِ يُذْهِبُ اللَّهُ بِهِ خَطَايَاهُ كَمَا تُذْ هِبُ النَّارُ خَببَثَ الذَّهَبِ وَالفِضَّةِ


"Sesungguhnya sakitnya orang Muslim itu membuat Allah menghilangkan kesalahan-kesalahan, sebagaimana api yang menghilangkan kotoran emas dan perak…”


(Hadith Riwayat Abu Daud: 3092)

Tengok. Fahami. Dalami.

Kalau kita sakit, asbab kesakitan tu, Allah akan ampunkan segala dosa kita dan hilangkan kesalahan kita!

Hatta, kau demam sikit je, atau pening kepala, atau tercucuk duri sikit je, ah, walau sekecil mana pun sakit kau, kalau kau sabar, Allah akan ampunkan dosa kau wahai teman!

Bukankah itu bukti cinta Allah pada hambaNya??

2) Bila kita di timpa ujian, dan kita bersabar, Allah akan mencintai kita! Bayangkan, kalau Allah tak hadirkan ujian, macamana kita nak tahu yang kita ni sabar ke tak? Kesabaran ni perlu di uji. Dan, Allah uji kita, sebab Allah nak tengok kita sabar.

Dan, bila kita sabar, apa kita dapat??

Kau baca ni wahai kawan! Nescaya, kau akan gembira dan kau akan rasa kuat untuk terus bersabar!

وَاللَّهُ يُحِبُّ الصَّابِرِينَ



“Dan, Allah mencintai orang-orang yang sabar…”.

(Surah Ali Imran ayat 146)

Allah cinta orang yang sabar! Wah!

Nah, baca lagi..




وَلَنَجْزِيَنَّ الَّذِينَ صَبَرُوا أَجْرَهُم بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ



“Dan, sesungguhnya Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang sabar dengan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka kerjakan”.

(Surah An-Nahl ayat 96)

Nampak? Bila kau sabar, Allah yang bagi pahala yang lebih besar dari besarnya kesabaran kita. Nak tahu berapa besar pahala bila kau sabar?

Tengok ni, kau akan terkejut gila!

إنَّمَا يُوَفَّى الصَّابِرُونَ أَجْرَهُم بِغَيْرِ حِسَابٍ



“Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas”.

 (Surah Az-Zumar ayat 10)

Kau baca balik.

Kau highlightkan perkataan “pahala tanpa batas…”

Apa?

Apa maksud pahala tanpa batas??

Maknanya, pahala bagi orang yang bersabar ni, INFINITY!!!! Tidak terhitung dan tiada batas! Nak kata, sangat besar!!

Aku bagi kau contoh.

Kalau kau solat, Allah bagitahu berapa pahala kau dapat. Contoh, kalau kau solat berjemaah, kau dapat pahala 27 kali ganda berbanding solat sendirian.

Kalau kau baca quran, satu huruf kau baca, kau dapat 10 pahala.

Kalau kau sedekah, Allah gandakan sampai 700 kali ganda.

Dan seterusnya.

Betul tak?

Tapi, pahala sabar? Berapa banyak pahala dia? 100? 1000? 10000000000?

Tidak!

Pahala sabar ialah INFINITY dan tiada batasan wahai kawanku!!!

Apa makna semua ni??

Maknanya, Allah bagi kau ujian, supaya kau bersabar. Bila kau bersabar, kau akan dapat pahala yang tiada batasan.

Maknanya, Allah nak bagi kau pahala yang tiada batasan!!

Kenapa Allah nak bagi kita pahala??

Sebab, Allah cinta kita wahai kawan!

Allah cintakan kau!!!!!

Aku ulang!

ALLAH CINTAKAN KAU WAHAI KAWANKU YANG KU CINTAI!

Nikmat apakah ini?

Argh. Nak nangis rasa.

Betapa agungNya kasih dan sayang Allah pada kita..

Aku akhiri bukti bahawa ujian ni adalah bukti cinta Allah pada kau, dengan ayat quran ini. Hayati surat cinta dari Allah. Bacalah dengan penuh perasaan cinta dalam hatimu wahai kawan..

Arra’du ayat 22:

وَالَّذِينَ صَبَرُوا ابْتِغَاءَ وَجْهِ رَبِّهِمْ وَأَقَامُوا الصَّلَاةَ وَأَنْفَقُوا مِمَّا رَزَقْنَاهُمْ سِرًّا وَعَلَانِيَةً وَيَدْرَءُونَ بِالْحَسَنَةِ السَّيِّئَةَ أُولَٰئِكَ لَهُمْ عُقْبَى الدَّارِ



“Dan orang-orang yang SABAR karena mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat, dan menafkahkan sebagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan serta menolak kejahatan dengan kebaikan; orang-orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik..”

Apakah kesudahan yang baik bagi orang-orang yang bersabar? Allah sambung kalam cintaNya pada ayat ke 23 & 24:

Ayat 23:

جَنَّاتُ عَدْنٍ يَدْخُلُونَهَا وَمَن صَلَحَ مِنْ آبَائِهِمْ وَأَزْوَاجِهِمْ وَذُرِّيَّاتِهِمْ ۖ وَالْمَلَائِكَةُ يَدْخُلُونَ عَلَيْهِم مِّن كُلِّ بَابٍ

Ayat 24:

سَلَامٌ عَلَيْكُمْ بِمَا صَبَرْتُمْ ۚ فَنِعْمَ عُقْبَى الدَّارِ


“…(yaitu) surga 'Adn yang mereka masuk ke dalamnya bersama-sama dengan orang-orang yang soleh dari bapak-bapaknya, isteri-isterinya dan anak cucunya, sedang malaikat-malaikat masuk ke tempat-tempat mereka dari semua pintu, (sambil mengucapkan): Selamat sejahteralah kamu berpanjangan, di sebabkan KESABARAN kamu.  Maka alangkah baiknya tempat kesudahan itu…”

Wahai kawan…

Andai kau sabar…

SYURGA BUATMU!

Syurga…

***

Apa yang kau rasa wahai teman?

Banyak lagi ayat quran dan hadith yang boleh aku bagitahu kau untuk buktikan bahawa Allah amat mencintai kau.

Cuma, aku cadang, kau bukaklah Alquran. Bacalah hadith-hadith nabi.

Sungguh, kau akan jumpa!

Sekarang…

Apa yang kau rasa?

“……Aku, aku nak balas segala cinta yang Allah beri pada aku! Aku nak kembali pada dia! Aku dah terlalu lama menjauh, mengejar cinta manusia yang akhirnya menyeksa jiwa ragaku. Aku dah terlalu lama lalai dan tak sedar bahawa Allah sentiasa ada di sisiku, memberi peluang, menghulurkan kasih, menawarkan cinta, dan tak jemu mengampunkan aku… Aku… Aku nak kembali!! Aku nak cinta Allah!! Aku nak mencintai Allah!! Aku nak buru cinta Allah!!”

Demi Allah, nak menangis aku rasa bila kau cakap macam tu.

Sekarang, nak tak aku ajar kau, macamana nak balas cinta Allah?

“Nak! Nak!! Ajarkan aku mencintai Allah!”

Baik wahai kawanku..

Aku gembira melihat kau!































3 comments:

Halim Sidek said...

Ni baru sikit...belum satu buku tu..Allahu..rasa nak menangis baca ni..

cahaya khaida said...

sedihnya baca... huhu..

rithkhmer said...

thank for good post and sharing......

ดูหนัง