Tarbiah Sentap: 2017

Thursday, 22 June 2017

Betul Ke Jodoh Dah Ditetapkan?



Sebelum pergi lebih jauh, saya nak beritahu dua perkara. Yang pertama, ini adalah kupasan lanjut dari bab Apa Itu Takdir, dalam buku saya, Aku Bukan Malaikat, pada bab yang pertama. Takut nanti ada yang 'blur' pula. 

Yang kedua, kita tengok dulu apa itu definisi jodoh. Sebenarnya perkataan jodoh ni datang dari bahasa Indonesia, yang dipinjamkan kepada bahasa Malaysia. Kalau ikut kamus Indonesia, jodoh ni maksudnya “pasangan yang cocok” atau pasangan yang serasi.

            Tetapi kalau dalam bahasa Arab, kalau kau nak tahu, perkataan jodoh ni sebenarnya tiada. Ya, tiada. Ulama’ semasa bahas hukum pernikahan hanya guna istilah ( زَوْجٌ ) atau( بَعْلٌ ) untuk suami, dan ( زَوْجَةٌ ) atau ( امْرَأَةٌ ) untuk isteri. Allah kata dalam al Quran,

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram bersamanya, dan dijadikanNya di antara kamu rasa kasih sayang. Sesungguhnya pada yang demikian terdapat tanda-tanda (kekuasaanNya) bagi kaum yang berfikir”.

(Surah Ar-Ruum 30:21)

Jadi, perbincangan kita dalam bab ini bukanlah hukum-hakam pernikahan, ini bukan buku fiqh. Tetapi perbincangan kita lebih kepada “orang atau individu tertentu yang akan menjadi pasangan hidup kita.”

Saya dah huraikan dalam bab takdir yang mana jodoh ini dah ditetapkan dan apa PILIHAN yang kita ada adalah WAJIB buat PERSEDIAAN untuk dapatkan JODOH. Kita pilih sama ada nak dapat jodoh yang baik, atau yang buruk. Menjadikan diri sendiri sebagai calon pasangan yang berusaha ke arah sempurna, atau berusaha ke arah celaka. Atau mencari pasangan yang membimbing ke arah Syurga, atau mengheret ke arah Neraka.

Jodoh ini dah ditetapkan, sama ada kita dapat di dunia, ataupun di akhirat sana. Ada orang yang sempat bertemu jodoh di dunia, tetapi jangan lupa, sangat ramai juga yang hanya dapat menjadi mayat sebelum menjadi pengantin.

Contoh macam kisah seorang sahabat bernama Julaibib r.anhu, saya dah cerita masa bab takdir sebelum ni kalau kau perasan. Saya tak nak ulang panjang cerita dia, tetapi apa saya nak sebut adalah, Julaibib tak sempat pun berkahwin, sedangkan dia baru saja nak berkahwin dengan seorang sahabiah. Tetapi akhirnya dia syahid dulu sebelum sempat menjadi pengantin baru.

Pengajarannya, jangan pening-pening kalau kau baru umur 18 tahun tetapi tiada siapa nak kahwin dengan kau. Atau jangan pening kalau dah umur 30 tahun tetapi masih tak kahwin lagi. Kalau masih tak kahwin lagi, teruskan buat PERSEDIAAN untuk bertemu jodoh, dan jangan buat-buat lupa buat PERSEDIAAN juga untuk bertemu maut!

Persoalannya, apakah itu PERSEDIAAN?  Sebelum saya cerita apa itu persediaan, mari abang “payung[1]analogi sikit. Aduh, rosak bahasa Melayu. Waktu bulan Ramadhan, masa nak berbuka puasa kita selalu akan sebut apa? Biasanya kita akan sebut,

"Dah siap-siap nak berbuka belum?"
"Ish, lagi berapa minit nak buka ni. Dah buat persediaan berbuka belum?"

Ataupun waktu nak sambut hari Raya, kita biasa akan sebut,

"Dah buat persediaan nak raya Cik Kiah Jongang?"
"Dengar cerita persediaan raya tahun ni meriah kau Jah?"

Jadi apakah maksud "persediaan" itu? Adakah kita akan duduk di dapur sambil tadah tangan dan menunggu makanan turun dari langit untuk kita berbuka? Atau adakah kita akan duduk di dalam bilik sambil menunggu pakaian raya turun dari langit untuk kita? Mestilah tidak.

Persediaan yang saya maksudkan adalah IKHTIAR dan USAHA. Ikhtiar sebelum dapat jodoh yang saya maksudkan adalah kau fikir dan PILIH jodoh macam mana yang kau nak. Tetapi janganlah fikir tu sampai hari-hari update status tentang,

“Saya menanti tulang rusuk kiri untuk memasakkan sup tulang untuk saya.”
            “Kepada bakal imamku, aku sedia menunggumu hingga ke pintu kubur.”

            Menyampah tahu. Jodoh ini dah ditakdirkan, jadi apa PILIHAN yang kita ada adalah dengan PILIH bagaimana jodoh yang kita mahu. Kita nak jodoh yang membawa ke Syurga, atau jodoh yang mengheret ke Neraka. Sebab itu Nabi ajar dalam satu hadis,

“Seorang wanita itu dinikahi kerana empat; kerana harta, kerana keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka hendaklah diutamakan yang beragama, nescaya kamu berbahagia.”

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ramai orang anggap bahkan saya pernah terdengar orang kata,

“Kalau nak berkahwin, jangan tengok harta, keturunan dan kecantikan. Tengok agama saja, walaupun dia miskin, tak cantik atau tak hensem, dan keturunan yang teruk.”

Bila saya studi dan mengikuti beberapa perbahasan tentang hadis ini, baru saya faham bahawa Rasulullah ajar bukan tak perlu pedulikan kecantikan, keturunan dan harta. Tetapi apa Rasulullah anjurkan pada kita adalah, kalau kita nak pilih pasangan, pilihlah yang hartanya, keturunannya dan kecantikannya bersandarkan pada agama iaitu Islam. Bukan bersandarkan kepada perkara yang langgar syarak.

Pertama kita tengok harta dia dapat dari mana dan digunakan untuk apa? Adakah dia dapat harta dari sumber yang patuh syarak? Atau dia dapat hasil dari merompak, judi, jual perkara haram dan sebagainya? Kemudian tengok ke mana pula harta dia selalu laburkan. Adakah dia bayar zakat? Adakah dia selalu sedekah? Ataupun kedekut tahi hidung masin? Atau selalu guna harta membazir shopping sampai tak ingat dunia?

Kemudian tengok pada keturunannya. Dia ini keturunan yang baik-baik, ataupun keturunan yang selalu langgar syarak? Studi tentang latar belakang keluarganya, saudara mara yang terdekat, makcik pakcik dan sebagainya.

Adakah dari keluarga yang ikut syarak, atau langgar syarak? Siapa mak ayah dia? Siapa adik beradik dia? Siapa pakcik makciknya? Siapa saudara mara terdekatnya? Dan adakah mereka semua ini ikut perintah Islam? Dan juga tengok pada “kesuburan” keluarga, maksudnya adik beradik dia ada berapa, mak ayah dia punya adik beradik ada berapa. Dan tengok juga ada saka atau tidak dan sebagainya. Semua ini penting, bukan main-main.

Kemudian tengok pada kecantikannya. Dia ini gunakan kecantikannya untuk apa? Guna kecantikan untuk jadi playboy lalu jadilah “suamiku Playboy”? Atau gunakan kecantikannya untuk jadi “pisau cukur” kepada lelaki lalu jadilah “isteriku curang”? Atau kecantikannya dijaga sesuai dengan perintah Islam?

Maksudnya, adakah kecantikannya disimpan dengan cara tutup aurat sempurna, tunduk pandangan, tahu malu, dan sebagainya. Atau adakah kecantikannya ditunjukkan kepada umum dengan cara buka aurat, kaki selfie, tak tahu malu, mata asyik jeling pada lelaki yang kacak, dan sebagainya.

Dengan kata mudah, “pilihlah yang BERAGAMA” itu adalah kita pilih seorang lelaki atau perempuan yang bukan hanya Islam pada nama dan IC, tetapi Islam juga pada harta, keturunan dan kecantikannya atau perbuatannya. Hadis ini juga terpakai untuk melihat belah lelaki, bukan sekadar perempuan.

Ok, selepas kau fikir dan pilih jodoh yang kau nak, kemudian kau USAHA untuk dapatkan apa yang kau fikir dan PILIH. Usaha adalah kau usaha  sebaik mungkin MENGIKUT SYARAK untuk dapatkan jodoh yang kau fikir dan pilih. Maksudnya, kau boleh pilih dan usaha untuk dapatkan jodoh yang baik atau buruk.

Kalau nak dapat jodoh yang baik macam mana? Antaranya adalah ;

·      Ucap kalimah syahadah dan masuk Islam.
·      Taat perintah Allah dan jauhi larangan Allah untuk peroleh taqwa.
·      Ikut sunnah Rasulullah sebanyak mana yang boleh.
·      Ikut dan buat dakwah tarbiah.
·      Selalu bertaubat dan jaga amal.
·      Cari ilmu antaranya belajar hukum hakam munakat atau perkahwinan termasuk juga buku psikologi antara lelaki dan perempuan.
·      Selalu minta nasihat dengan orang yang dah lama kahwin seperti mak ayah, ustaz ustazah, pakcik makcik dan sebagainya.
·      Ada keyakinan tinggi untuk kahwin, bukan sekadar sembang kencang.
·      Belajar berdikari sama ada cari duit sendiri, tolong di rumah dan sebagainya.
·      Kalau nak kahwin, guna orang tengah seperti mak ayah, ustaz ustazah yang dah kahwin, pakcik makcik, kawan baik yang dah kahwin, atau sebagainya yang dirasakan yakin untuk jadi orang tengah. Jangan sampai dia “pangkah” kau, dia yang kahwin dengan pasangan tu. Tu bukan orang tengah lagi.
·      Bertunang. Masa fasa tunang ini, belajar mengenal pasangan SEADANYA. Tunang bukan halalkan apa-apa termasuk ikhtilat, sekadar fasa untuk kita buat pilihan sama ada kita setuju atau tolak. Sebaiknya kurang dari tempoh 1 tahun (ini bukan nas, tetapi bersandarkan pengalaman).
·      Bernikah.

Dan banyak lagi perkara boleh buat untuk dapatkan jodoh yang baik. Kalau jodoh yang buruk atau jahat pula macam mana? Antaranya adalah ;

·      Menolak untuk terima Islam dan jadi kafir.
·      Langgar perintah Allah, selalu buat larangan Allah.
·      Tinggalkan semua sunnah Rasulullah.
·      Hina orang buat dakwah, perli orang yang nak berubah dan lain-lain.
·      Malas dan tangguh taubat. Amal soleh lintang pukang.
·      Malas baca buku ilmiah. Rajin baca novel cinta, tengok movie cinta, berangan pasal cinta dan sebagainya.
·      Malas dengar nasihat terutama mak ayah. Rasa panas je telinga bila dengar nasihat. Bahkan sampai tahap derhaka pada mak ayah. Bila mak kata,

“Tangguh la niat nak kahwin tu dulu. Kahwin lagi 2 tahun boleh?"

Kau pun jawab,

"Arghh, mak tak faham saya mak. Mak kena faham agama. Mak tak baik halang anak muda nak bernikah. Patutnya mak nikahkan saya je. Tak payah tunggu habis belajar, ada kereta kerja bagai. Saya boleh jaga isteri saya."

Padahal mak kau belum puas lagi lepas rindu dan bermanja dengan kau. Dah la balik kampung 5 bulan sekali je. Telefon mak ayah pun seminggu sekali, Itupun sebab mak ayah telefon dulu.

·      Jangan ada keyakinan diri. Sembang mesti kencang, baru boleh terbang. Bila cakap bab kahwin, terus kata,

“Emm, aku nanti dulu la kot.. Tahun depan muda lagi.."

·      Cari crush dan couple. Kemudian ajak dating, keluar pergi sana sini, tengok wayang, pegang tangan dan sebagainya.
·      Bertunang. Bertunang pun macam dah kahwin, siap pandai peluk-peluk lagi. Malah buat majlis pun sampai kos RM106,000 (termasuk GST). Padahal gaji sebulan RM906.00 je.
·      Bernikah. Kemudian selepas nikah pun malas dan tak nak bertaubat, dan masih tak nak jaga amal.

Dan banyak lagi cara nak dapatkan jodoh yang buruk dan jahat. Pendek kata, jodoh ini dah ditetapkan, tetapi wajib adakah persediaan untuk dapatkan jodoh. Jodoh pula ada dua jenis, jodoh yang macam malaikat walaupun bukan malaikat, dan jodoh yang macam syaitonirrojim, walaupun lebih dahsyat dari syaitonirrojim.

            Formulanya adalah :

            Ikhtiar dan usaha atau persediaan dapatkan jodoh = wajib
            Keyakinan yang Allah dah tetapkan jodoh = wajib.

Diruang yang kita boleh buat pilihan, kita boleh pilih jodoh yang ikut syarak, dan langgar syarak. Boleh pilih yang jalan pahala, atau jalan dosa. Boleh pilih yang jalan nikah, atau jalan zina.

Kalau ‘Tersalah’ Jodoh?

            Ramai orang salah faham, yang mana bila dah bercerai, mereka merasakan jodohnya telah ‘tersalah’. Ditambah pula jodohnya itu ‘jahat’, lagilah kuat sangkaannya merasakan tersalah jodoh.

            Saya nak beritahu, jodoh yang Allah telah tetapkan TAK PERNAH SALAH. Punca cerai saya dah huraikan ke bawah. Setiap orang yang kita telah bernikah dengannya, itulah jodoh. Tetapi, saat sudah bercerai, maka ‘tamatlah’ jodoh itu. Jodoh boleh ‘tamat’?

            Ketahuilah, tiada yang kekal di dunia ini, semuanya ada ‘expired date’, termasuklah mati, kecuali Allah Rabbul Jalil. Allah sahaja Maha Hidup dan tidak akan mati mahupun ‘expired date’ selama-lamanya.

Kalau kau berkahwinan dengan orang yang ‘buruk’, boleh jadi itu berpunca daripada ;

-       Amal dan persediaan jodoh kau yang buruk, atau,
-       Allah nak meningkatkan martabat iman kau dengan cara suruh kau bersabar, atau,
-       Allah nak ampunkan semua dosa-dosa kau, atau,
-       Dan seumpamanya.

Kalaulah jodoh yang buruk itu dikatakan jodoh yang salah, maknanya Nabi Nuh dan Nabi Luth mendapat jodoh yang salah la ya? Sebab isteri mereka khianat dan engkar perintah Allah dan suaminya. Begitu juga Asiah, kerana mendapat suami Firaun yang maha ‘Buruk’.

I don’t think so.

Kalau Cerai Pula Macam Mana?

            Cerai pula adalah TAKDIR dan PILIHAN. Kenapa saya kata macam itu? Cerai adalah takdir kerana cerai ini di bawah pengetahuan Allah, Dia tahu penceraian akan berlaku. Sebab itu Allah ceritakan dalam Al Quran, dan Rasulullah pun cerita dalam banyak hadis apa syarat bercerai, bagaimana boleh bercerai, apa berlaku kalau sebut talaq, bagaimana nak rujuk, berapa tempoh iddah, dan sebagainya. Allah dah tahu penceraian akan berlaku, sebab ia di bawah takdir Allah.

Cerai juga adalah pilihan sebab seperti yang saya beritahu dalam bab persediaan maut, “Pengetahuan Allah TIDAK akan MEMAKSA untuk hambaNya lakukan apa yang diketahuiNya.” Bercerai adalah pilihan manusia, dan manusia juga ada pilihan untuk tak bercerai. Sebab itu Rasulullah beritahu bahawa penceraian ini adalah perkara halal yang DIBENCI Allah.

“Sesuatu yang halal tapi dibenci Allah adalah perceraian"

(Riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan al Hakim)

            Dalam Islam, penceraian adalah JALAN TERAKHIR pilihan suami isteri tersebut. Sebab itu dalam al Quran banyak ceritakan apa yang kena buat kalau suami isteri bergaduh, atau kalau isterinya nusyuz (derhaka) macam mana nak denda, dan sebagainya. Saya tak nak terangkan di sini, sebab ini bukan buku fiqh munakahat. Tetapi saya nak beritahu bahawa, penceraian juga adalah PILIHAN.

            Allah Maha Adil dan Maha Bijaksana. Allah tahu bahawa akan berlaku penceraian di kalangan hambaNya. Kalaulah Allah haramkan bercerai secara mutlak, mesti berlaku banyak kerosakan dalam dunia ini sebab tangan-tangan manusia. Dan salah satu sebab itulah Allah membenarkan cerai, tetapi sebagai langkah terakhir, dan juga perkara yang Allah benci.

            Kau ada pilihan untuk mempertahankan rumahtangga, dan kau juga ada pilihan untuk bercerai. Kalau kau pertahankan rumahtangga kau, itu di bawah takdir Allah. Kalau kau bercerai pun, itu juga di bawah takdir kau. Sebab itu antara perbualan Saidina Umar r.anhu yang sangat mashyur, satu hari Umar dengan sahabat nak pergi ke Syam.

            Sebelum sampai ke Syam, mereka dapat berita bahawa di sana ada merebaknya penyakit taun. Mereka akhirnya bermesyuarat, dan Umar mencadangkan supaya balik ke Madinah. Itu yang kemudiannya seorang sahabat, Abu Ubaidah Amir al Jarrah r.anhu tanya kepada dia,

            “Wahai Amirul mukminin, kenapa tuan ingin kembali ke Madinah dan lari dari qadar Allah?”

Kemudian Umar pun cakap,

“Kami lari dari qadar Allah kepada qadar Allah.”

Ingat, jodoh tidak pernah salah orang!

Wallahu’alam.

Sumber : Dipetik dari Bab 2 buku Aku Bukan Malaikat 1 karya Shukery Azizan. Kongsikan pada kawan-kawan dan group sebelah jom. Moga manfaat !! :)

Siapa nak beli online buku ni, boleh hubungi atau whatapps nombor 014 - 3242859

#ShukeryAzizan
#AkuBukanMalaikat
#TarbiahSentap



Untuk pengetahuan pembaca, ini adalah salah satu BAB daripada buku Aku Bukan Malaikat tulisan Shukery Azizan yang alhamdulillah sudah ada di pasaran. Boleh dapatkan di kedai-kedai buku berhampiran korang.

Siapa nak beli online buku ini, boleh hubungi atau whatapps nombor 
014 - 3242859

Anda semua dibenarkan untuk sebarkan tulisan dan buku ini ke seluruh galaksi dan jangan lupa bagi kredit kepada buku Aku Bukan Malaikat tulisan Shukery Azizan. 

Bukan nak riya' or berlagak, tetapi sekurangnya kalau dalam tulisan beliau ada kesalahan, at least orang yang nak tegur tu boleh tahu siapa penulisnya dan macam mana nak tegur penulis tersebut (dalam kes ni, tegur Shukery Azizan). Dan juga at least beliau boleh "tracking" ke mana tulisan dia pergi. :)

Semoga bermanfaat :)



[1] Payung = Istilah anak muda abad 21 yang bermaksud “kongsi” atau “belanja”

Sunday, 4 June 2017

Betul ke Allah cintakan aku?

Dapatkan NOVEL Tarbiah yang cukup padu ini! Tulisan penulis bestseller,
Ustaz Adnin Roslan dan Siddiq Amin. Novel KETIKA CINTA MENYENTAP,
ia bukan novel cinta. Tetapi, ia novel tentang realiti masyarakat yang kian hanyut
dengan cinta! Dapatkan segera!

"Ustaz... Betul ke Allah cintakan aku? Kalau betul, kenapa Allah uji aku? kenapa Allah bagi aku kesusahan demi kesusahan dalam hidup aku? Kalau aku kata aku cinta mak aku, aku tak sanggup tengok mak aku susah. Tapi, kenapa bila aku beriman, Allah balas dengan bagi aku ujian yang berat??!!"

Kawan…

Apa yang kau rasa, bila aku cakap bahawa Allah cintakan kau?

“A..aku… Aku rasa tak layak di cintai…”

Kenapa pulak?

“Atas segala dosa yang aku laku, atas segala kelemahan aku, atas segala penipuan aku, dan setelah lama aku menjauh, adakah aku akan di cintai?”

Apa yang kau rasa, bila aku cakap bahawa Allah cintakan kau?

“Aku… Ya! Aku teringin nak Allah mencintai aku! Tapi…. Macam aku cakap, aku rasa tak layak di cintai….isk, isk…”

Huh.

Jangan menangis kawanku.

“Kau tak tahu betapa pedihnya jiwa aku.. Terseksa dalam dosa ni amat memedihkan. Betul kau cakap, bila aku sibuk kejar cinta, aku jadi buta mengejar pemberi cinta…”

Aku faham perasaan kau wahai kawan. Aku pun banyak dosa dan aib. Setiap orang ada pergelutan yang pertarungan dengan nafsu sehingga dia mati, termasuklah aku. Kalau aku nak cerita aib aku, mungkin tak habis. Dan kau pun mungkin akan benci aku.

Tapi..

Aku nak tanya kau sekali lagi..

Apa yang kau rasa, bila aku cakap bahawa Allah cintakan kau?

“……”

Jawab.

Jawab dengan hati kau.

Apa yang kau akan buat bila kau dapat tahu bahawa Allah cinta kau, Allah sayang kau, dan Allah rindu kau?

“Aku.. Aku akan menangis teresak-esak! Aku sedih, aku sebak, aku tak dapat menahan kegembiraan dalam jiwa!! Aku akan menangis, menangis dan bersyukur. Aku takkan lepaskan cinta yang selama ini aku abaikan. Aku takkan lepaskan peluang yang selama ini aku tinggalkan!”

Kawan…

Kau sering bertanya padaku, masihkan punya harapan untukmu, betul?

“Betul… Masihkah ada harapan untuk Allah menerima aku kembali? Demi Allah, aku sangat takut, dan aku sangat risau. Kerana, aku dah menipu berkali-kali… Adakah masih wujud harapan? Adakah masih ada harapan buatku??!!!!”

Kau nak tak aku tunjukkan kau, betapa Allah cintakan kau?

“Maksud kau?”

Hehe.

Macam ni.

Kadang-kadang, bila kita buat maksiat, bila kita jauh dari Allah, bila kita selalu buat dosa, bila rasa manis beribadah dah hilang dari hati kita, bila kita mula tinggalkan benda-benda wajib dan sunat, kita akan rasa seolah Allah benci kita dan Allah murka kita. Betul tak?

Tapi, hakikatnya kita silap.

Allah masih mencintai kita, Allah sebenarnya masih menunggu kepulangan kita, Allah masih sentiasa menawarkan keampunan dan maghfirahNya pada kita.

“Seriusly? Walau kita ada dosa yang menggunung, Allah masih mencintai kita?”

Ini yang aku nak kau tahu.

Allah, Allah amat mencintai kau!

Aku akan senaraikan bukti-bukti, sehingga kau yakin, sehingga kau tahu bahawa Allah amat mencintai kau. Agar, kau segera membalas cinta Allah yang Allah telah hulurkan untuk kau. Agar kau tahu, betapa Allah sentiasa ada untuk kau walau bagaimana pun keadaan kau, agar kau sedar bahawa cinta Allah lah yang sepatutnya kau buru.

Aku akan buktikan!

BUKTI ALLAH CINTA PADA KITA

Aku ada baca dalam kitab Ihya’ Ulumuddin karangan Imam Ghazali, sebuah athar tentang akhbar Nabi Daud alaihissalam. Sungguh, bila aku baca, hati aku rasa sebak dan nak menangis!

Aku akan kongsi pada kau. Supaya kau sedar, betapa hakikatnya Allah amat mencintai kau wahai kawanku.

Hayati athar ini.

يقول الله تعالى لداود: يا داود لو يعلم المدبرون عني شوقي لعودتهم ورغبتي في توبتهم لذابوا شوقاً إليَّ، يا داود هذه رغبتي بالمدبرين عني فكيف محبتي للمقبلين علي.

“Allah berkata pada Daud: ‘ Wahai Daud! Jika orang-orang yang berpaling dariKu mengetahui akan kerinduanKu dan kecintaanKu kepada mereka, serta keinginanKu agar mereka kembali kepadaKu semula, pasti mereka akan berebut untuk mendapatkan kerinduanKu! Wahai Daud! Itulah keinginanKu kepada orang-orang yang berpaling dariKu. Lalu, bagaimana dengan kecintaanKu terhadap orang-orang yang selalu menghadap(taat) kepadaKu??”

(Ihya’ Ulumuddin, 326:4)

Kecintaan apakah ini?!!

Kau bayangkan wahai kawanku!

Kalau waktu kita bermaksiat pun Allah cinta dan rindu kita, bayangkan, betapa cintanya Allah jika kita mentaatiNya!

Kau baca berkali-kali, hingga hati kau sebak, mengenang betapa kasih, betapa maha penyayangNya Allah yang selama ni kita sering menjauhi…

Tak cukup dengan itu wahai kawan. Kau hayati dengan mata hati hadith ini!

لله أشد فرحاً بتوبة عبده حين يتوب إليه من أحدكم كان على راحلته بأرض فلاة فانفلتت منه وعليها طعامه وشرابه فأيس منها فأتى شجرة فاضطجع في ظلها قد أيس من راحلته فبينما هو كذلك إذا هو بها قائمة عنده فأخذ بخطامها ثم قال من شدة الفرح: اللهم أنت عبدي وأنا ربك. أخطأ من شدة الفرح

“Sesungguhnya Allah sangat gembira dengan taubat hamba-Nya ketika ia bertaubat pada-Nya melebihi kegembiraan seseorang di antara kalian yang berada di atas kendaraannya dan berada di suatu tanah yang luas (padang pasir), kemudian haiwan yang ditungganginya lari meninggalkannya.

Padahal pada haiwan tunggangannya itu ada bekalan makan dan minumnya. Sehingga dia pun menjadi putus asa. Kemudian dia mendatangi sebuah pohon dan tidur berbaring di bawah naungannya dalam keadaan hati yang telah berputus asa.

Tiba-tiba ketika dia dalam keadaan seperti itu, haiwan yang di tunggangnya kelihatan berada di sisinya, lalu ia mengambil ikatnya. Karana sangat gembira(dengan kepulangan haiwan tunggangannya yang hilang), maka ia berkata, ‘Ya Allah, Engkau adalah hambaku dan aku adalah tuhan-Mu.’ Ia telah salah mengucapkan karena sangat gembiranya.”

(Hadith Riwayat Muslim: 2747)

Apa yang dikau faham dari hadith ini wahai kawan?

Sungguh, kalau kau teliti hadith ni, kau akan nampak, betapa Allah sangat gembira bila kau kembali pada Dia!

Nabi bagi perumpamaan yang cukup indah untuk menggambarkan betapa Allah mencintai seorang hamba yang kembali padaNya.

Bayangkan, kau sedang bermusafir di tengah padang pasir menaiki unta, dan pada unta tu ada segala bekalan makanan. Tiba-tiba, suatu hari unta kau hilang. Apa yang kau rasa? Perjalanan dahla jauh gila bapak, dekat padang pasir yang panas pulak tu. Unta hilang dan bekalan makanan dan minuman semua hilang sekali. Mesti kau stress, tertekan dan putus-asa, kan?

Bayangkan lagi, time kau tengah stress dan sedih, tiba-tiba, suatu hari, unta tu datang balik kat kau. Aku tanya kau jujur, apa yang kau rasa bila unta tu kembali pada kau?

Mesti kau akan happy tahap kritikal! Kau akan menjerit dan menangis kesyukuran, betul tak?

Kalau kau nak tahu, cinta Allah dan kegembiraan Allah lebih dahsyat dari itu jika kau kembali pada Dia!

Sehingga nabi kata, orang tu gembira sangat sampai tersasul, dia tercakap “Ya Allah, Engkau adalah hambaku dan aku adalah tuhan-Mu!”, padahal sepatutnya, Allah tu tuhan dan dia tu hamba. Hehe. Nak kata, excited dan happy sampai tersasul.

Kenapa Allah sangat gembira?

Sebab, Allah sangat mencintai hambaNya!

Sebab, Allah sangat cintakan kau wahai kawanku!!

Aku tanya kau jujur.

Apa kau rasa sekarang? Sedih, terharu, sebak, rasa tenang, rasa aman, rasa nak nangis, bulu roma meremang, berdebar? Atau kau tak rasa apa-apa?

Takpe.

Mungkin hadith selepas ini akan membuatkan kau semakin melting dan jatuh cinta pada Allah.

Nabi saw bersabda:


"‏ إِنَّ اللَّهَ يُدْنِي الْمُؤْمِنَ فَيَضَعُ عَلَيْهِ كَنَفَهُ، وَيَسْتُرُهُ فَيَقُولُ أَتَعْرِفُ ذَنْبَ كَذَا أَتَعْرِفُ ذَنْبَ كَذَا فَيَقُولُ نَعَمْ أَىْ رَبِّ‏.‏ حَتَّى إِذَا قَرَّرَهُ بِذُنُوبِهِ وَرَأَى فِي نَفْسِهِ أَنَّهُ هَلَكَ قَالَ سَتَرْتُهَا عَلَيْكَ فِي الدُّنْيَا، وَأَنَا أَغْفِرُهَا لَكَ الْيَوْمَ‏

“Allah yang maha suci dan maha tinggi mendekati hambaNya yang beriman lalu berkata, ‘HambaKu, datanglah dekat padaKu. Adakah kau masih ingat dosamu seperti ini? Masihkah kau ingat dosamu seperti ini? Masihkah kau ingat dosamu seperti ini?’, sehingga hamba tersebut menyangka bahawa dia akan binasa(di sebabkan dosa-dosa yang dia lakukan tika di dunia). Tetapi, Allah berkata, ‘Aku telah menutupi dosamu di dunia, dan inilah Aku yang akan mengampuni dosa-dosamu pada hari ini!!”

(Hadith Riwayat Bukhari: 2441)

Segala puji bagiMu ya Allah!!!!!!!

Wahai kawan!

Bukak mata! Bukak hati kau wahai kawan!!

Lihat, lihat!!!!

Betapa pemurahnya Allah yang maha pemurah!!!

Tidakkah kau rasa something dalam hati kau bila baca hadith ni?

Ya rabb..

Kau bayangkan, kat akhirat nanti, Allah panggil kau, lepas tu Allah ungkit segala dosa yang kau buat kat dunia, Allah kata kat dunia dulu kau buat dosa ni, buat dosa tu, buat dosa sini, buat dosa sana, sampai kita rasa dah takde harapan nak masuk syurga di sebabkan banyaknya dosa kita. Dan, tiba-tiba Allah kata:

“Aku telah menutupi dosamu di dunia, dan inilah Aku yang akan mengampuni dosa-dosamu pada hari ini!!”

Apakah perasaanmu wahai kawanku?!

Adakah kau mula sedar bahawa Allah amat mencintai dirimu wahai kawan!

Dengan segala dosa yang menggunung tinggi, Allah masih menawarkan keampunan dan cintaNya padamu wahai kawan…

Ya Allah…

Ya Rabb…

Betapa agungnya cintaMu wahai Allah!!

Menangislah wahai kawan..

Aku tahu, kau tengah sebak. Kau tahan air mata kau.

Aku tahu kau dah mula rindu pada Allah..

Aku tahu, kau dah mula rasa bahawa Allah amat dekat dengan kau wahai kawan…

Selama ni, kau rasa, Allah jauh dari kau. Tetapi, sebenarnya, sejauh mana pun  kau melarikan diri dari Allah, Allah tetap dekat dengan kau.

“Betul ke Allah dekat dengan aku…..? Betul ke?...”

Betul wahai kawan…

Kau baca ni. Agar hati kau mula sedar, bahawa Allah itu maha dekat..

Allah pernah berfirman dalam Alquran:

وَلَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنْسَانَ وَنَعْلَمُ مَا تُوَسْوِسُ بِهِ نَفْسُهُ ۖ وَنَحْنُ أَقْرَبُ إِلَيْهِ مِنْ حَبْلِ الْوَرِيدِ

“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya..”

(Surah Qaf ayat 16)



Cuba kau ulang perkataan ini:

“….Dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya….”
Cuba kau pegang urat leher kau. Dekat bukan?

Kalau kau nak tahu, Allah lebih dekat dengan kau daripada urat leher!

Mungkin kau tak sedar.

Apa bukti Allah itu maha dekat?

Cuba kau renung kembali. Sepanjang kau hidup.

Siapa yang cipta kau? Allah kan?

Siapa yang bagi kau dapat melihat? Allah kan?

Siapa yang bagi kau dapat bercakap? Allah kan?

Siapa yang bagi kau dapat mendengar? Allah kan?

Siapa yang bagi kau dapat makan, minum, berjalan, berlari, bergerak, berfikir dan sebagainya? Allah kan?

Tak cukup dengan itu.

Siapa yang kurniakan kau mak ayah? Allah kan?

Siapa yang bagi kau rezeki selama ni? Allah kan?

Siapa yang bagi kau nikmat demi nikmat demi nikmat selama ni? Allah kan?

Sungguh.

Cuba kau ambik kertas, dan kau tulis segala nikmat yang Allah pernah bagi kat kau selama kau hidup.

Cuba amik kertas sekarang!

Tulis, segala nikmat yang kau dapat dari kau kecik sampai besar. Samada nikmat kecik atau nikmat yang besar. Kau tulis.

Aku bagi kau masa….

…….

…………….


………………………………

……………………………………………………..


…………………

Kau nak tahu tak satu hakikat?

Hakikatnya, kau takkan mampu menghitung segala nikmat yang Allah dah beri pada kau. Kau takkan mampu wahai kawan.

وَإِنْ تَعُدُّوا نِعْمَةَ اللَّهِ لَا تُحْصُوهَا ۗ إِنَّ اللَّهَ لَغَفُورٌ رَحِيمٌ

“Sekiranya kamu nak menghitung nikmat Allah, kau takkan mampu! Dan sesungguhnya, Allah maha pengampun lagi maha penyayang..”

(An-Nahl ayat 18)

Mungkin, ketika aku suruh kau tulis, kau tulis guna pen dan kau tulis di atas kertas. Kan?

Tapi, nak tak aku bagitahu kau satu lagi hakikat?

Kalau kau jadikan air laut sebagai dakwat, dan kau jadikan tumbuh-tumbuhan sebagai pena untuk menghitung nikmat Allah, percayalah, kalau air laut tu kering dan di tambah dengan air laut yang baru, nescaya kau masih takkan mampu menghitung nikmat Allah..

Aku nak tanya kau..

Kau rasa, kenapa Allah beri kau segala nikmat ini? Walau kadang kau dan aku selalu mengkufuri nikmat? Tapi kenapa Allah masih beri kita nikmat demi nikmat?

Jawapannya mudah wahai kawan.

Kerana, Allah mencintai hambaNya!

Allah mencintai kau wahai kawanku!!!

Tapi, kenapa selama ini kau selalu rasa seolah Allah tu jauh?

Kerana, kau selalu menghitung ujian-ujian yang Allah beri pada kau. Bila di timpa susah sikit, kau merungut. Kau marah, kau tak redha, kau salahkan takdir.

Adakah kau sedar, ujian juga adalah tanda bahawa Allah mencintai kau wahai kawanku?!!

“Apa??? Ujian yang Allah bagi tu, adalah bukti cinta?”

Terkejut?



Cuba kau hayati hadith ni pulak. Hehe.

إِنَّ عِظَمَ الْجَزَاءِ مَعَ عِظَمِ الْبَلاَءِ وَإِنَّ اللَّهَ إِذَا أَحَبَّ قَوْمًا ابْتَلاَهُمْ فَمَنْ رَضِىَ فَلَهُ الرِّضَا وَمَنْ سَخِطَ فَلَهُ السَّخَطُ

“Sesungguhnya pahala yang besar itu adalah ganjaran untuk ujian yang berat. Sungguh, jika Allah mencintai suatu kaum, maka Dia akan menimpakan ujian buat mereka. Barangsiapa yang redha, maka ia yang akan meraih redha Allah. Barangsiapa siapa yang tidak suka, maka Allah pun akan murka.”

(Hadith Riwayat Ibnu Majah : 4031)

Ingat…

Bila Allah cinta kita, Allah akan timpakan ujian buat kita!

Sebab tu, para nabi dan rasul, sangat berat ujian mereka. Kerana Allah amat mencintai mereka!

Cuba teka, kenapa bila Allah cinta, Allah bagi ujian?

Bukan ke bila cinta, Allah takkan bagi kita susah?

Haa…

Tu yang aku nak explain tu.

Hehe.

Kita tak boleh samakan cinta manusia dengan cinta Allah.

Aku bagi contoh. Kalau kita takut pada satu manusia tu, kita akan jauhkan diri dari dia. Betul tak?

Tapi, bila orang beriman tu takut pada Allah, dia bukan menjauh dari Allah, tapi dia makin dekat dan makin jatuh cinta dengan Allah!

Bahkan, orang yang menjauh dari Allah tu di gelar sebagai orang yang tak takut dengan Allah. Hehe..

Macam tu jugak.

Allah bagi kita ujian ni ada banyak sebab.

Biar aku senaraikan, supaya kau dapat semat dalam hati kau, bahawa tiap kali kau di uji, hakikatnya itu adalah alamat cinta dari Allah untuk kau!

Aku buat dalam bentuk point la mudah ye.

1) Bila kita banyak dosa, dan kita lupa nak mintak ampun, tapi Allah masih nak ampunkan kau, maka Allah akan bagi kau ujian. Yang mana, kalau kau redha dengan ujian tu, walaupun kau tak minta ampun, Allah tetap ampunkan kau sebab kau redha dengan ujian tu!

Subhanallah!

Nak kata, Allah tetap nak ampunkan kita walaupun kita tak taubat. Allah nak sangat ampunkan kita! Allah nak masukkan kita dalam syurga! Allah nak kita ni di redhai olehNya! Walaupun, kita lalai dengan kehidupan, tenggelam dengan dosa, sehingga lupa nak taubat.

Itulah fungsi ujian!

Allah nak ampunkan semua dosa kita!

Syaratnya? Kita sabar dan redha dengan ujian.

Cuba kau fahami hadith ini.

فَإِنِّ مَرَضَ المُسْلِمِ يُذْهِبُ اللَّهُ بِهِ خَطَايَاهُ كَمَا تُذْ هِبُ النَّارُ خَببَثَ الذَّهَبِ وَالفِضَّةِ


"Sesungguhnya sakitnya orang Muslim itu membuat Allah menghilangkan kesalahan-kesalahan, sebagaimana api yang menghilangkan kotoran emas dan perak…”


(Hadith Riwayat Abu Daud: 3092)

Tengok. Fahami. Dalami.

Kalau kita sakit, asbab kesakitan tu, Allah akan ampunkan segala dosa kita dan hilangkan kesalahan kita!

Hatta, kau demam sikit je, atau pening kepala, atau tercucuk duri sikit je, ah, walau sekecil mana pun sakit kau, kalau kau sabar, Allah akan ampunkan dosa kau wahai teman!

Bukankah itu bukti cinta Allah pada hambaNya??

2) Bila kita di timpa ujian, dan kita bersabar, Allah akan mencintai kita! Bayangkan, kalau Allah tak hadirkan ujian, macamana kita nak tahu yang kita ni sabar ke tak? Kesabaran ni perlu di uji. Dan, Allah uji kita, sebab Allah nak tengok kita sabar.

Dan, bila kita sabar, apa kita dapat??

Kau baca ni wahai kawan! Nescaya, kau akan gembira dan kau akan rasa kuat untuk terus bersabar!

وَاللَّهُ يُحِبُّ الصَّابِرِينَ



“Dan, Allah mencintai orang-orang yang sabar…”.

(Surah Ali Imran ayat 146)

Allah cinta orang yang sabar! Wah!

Nah, baca lagi..




وَلَنَجْزِيَنَّ الَّذِينَ صَبَرُوا أَجْرَهُم بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ



“Dan, sesungguhnya Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang sabar dengan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka kerjakan”.

(Surah An-Nahl ayat 96)

Nampak? Bila kau sabar, Allah yang bagi pahala yang lebih besar dari besarnya kesabaran kita. Nak tahu berapa besar pahala bila kau sabar?

Tengok ni, kau akan terkejut gila!

إنَّمَا يُوَفَّى الصَّابِرُونَ أَجْرَهُم بِغَيْرِ حِسَابٍ



“Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas”.

 (Surah Az-Zumar ayat 10)

Kau baca balik.

Kau highlightkan perkataan “pahala tanpa batas…”

Apa?

Apa maksud pahala tanpa batas??

Maknanya, pahala bagi orang yang bersabar ni, INFINITY!!!! Tidak terhitung dan tiada batas! Nak kata, sangat besar!!

Aku bagi kau contoh.

Kalau kau solat, Allah bagitahu berapa pahala kau dapat. Contoh, kalau kau solat berjemaah, kau dapat pahala 27 kali ganda berbanding solat sendirian.

Kalau kau baca quran, satu huruf kau baca, kau dapat 10 pahala.

Kalau kau sedekah, Allah gandakan sampai 700 kali ganda.

Dan seterusnya.

Betul tak?

Tapi, pahala sabar? Berapa banyak pahala dia? 100? 1000? 10000000000?

Tidak!

Pahala sabar ialah INFINITY dan tiada batasan wahai kawanku!!!

Apa makna semua ni??

Maknanya, Allah bagi kau ujian, supaya kau bersabar. Bila kau bersabar, kau akan dapat pahala yang tiada batasan.

Maknanya, Allah nak bagi kau pahala yang tiada batasan!!

Kenapa Allah nak bagi kita pahala??

Sebab, Allah cinta kita wahai kawan!

Allah cintakan kau!!!!!

Aku ulang!

ALLAH CINTAKAN KAU WAHAI KAWANKU YANG KU CINTAI!

Nikmat apakah ini?

Argh. Nak nangis rasa.

Betapa agungNya kasih dan sayang Allah pada kita..

Aku akhiri bukti bahawa ujian ni adalah bukti cinta Allah pada kau, dengan ayat quran ini. Hayati surat cinta dari Allah. Bacalah dengan penuh perasaan cinta dalam hatimu wahai kawan..

Arra’du ayat 22:

وَالَّذِينَ صَبَرُوا ابْتِغَاءَ وَجْهِ رَبِّهِمْ وَأَقَامُوا الصَّلَاةَ وَأَنْفَقُوا مِمَّا رَزَقْنَاهُمْ سِرًّا وَعَلَانِيَةً وَيَدْرَءُونَ بِالْحَسَنَةِ السَّيِّئَةَ أُولَٰئِكَ لَهُمْ عُقْبَى الدَّارِ



“Dan orang-orang yang SABAR karena mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat, dan menafkahkan sebagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan serta menolak kejahatan dengan kebaikan; orang-orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik..”

Apakah kesudahan yang baik bagi orang-orang yang bersabar? Allah sambung kalam cintaNya pada ayat ke 23 & 24:

Ayat 23:

جَنَّاتُ عَدْنٍ يَدْخُلُونَهَا وَمَن صَلَحَ مِنْ آبَائِهِمْ وَأَزْوَاجِهِمْ وَذُرِّيَّاتِهِمْ ۖ وَالْمَلَائِكَةُ يَدْخُلُونَ عَلَيْهِم مِّن كُلِّ بَابٍ

Ayat 24:

سَلَامٌ عَلَيْكُمْ بِمَا صَبَرْتُمْ ۚ فَنِعْمَ عُقْبَى الدَّارِ


“…(yaitu) surga 'Adn yang mereka masuk ke dalamnya bersama-sama dengan orang-orang yang soleh dari bapak-bapaknya, isteri-isterinya dan anak cucunya, sedang malaikat-malaikat masuk ke tempat-tempat mereka dari semua pintu, (sambil mengucapkan): Selamat sejahteralah kamu berpanjangan, di sebabkan KESABARAN kamu.  Maka alangkah baiknya tempat kesudahan itu…”

Wahai kawan…

Andai kau sabar…

SYURGA BUATMU!

Syurga…

***

Apa yang kau rasa wahai teman?

Banyak lagi ayat quran dan hadith yang boleh aku bagitahu kau untuk buktikan bahawa Allah amat mencintai kau.

Cuma, aku cadang, kau bukaklah Alquran. Bacalah hadith-hadith nabi.

Sungguh, kau akan jumpa!

Sekarang…

Apa yang kau rasa?

“……Aku, aku nak balas segala cinta yang Allah beri pada aku! Aku nak kembali pada dia! Aku dah terlalu lama menjauh, mengejar cinta manusia yang akhirnya menyeksa jiwa ragaku. Aku dah terlalu lama lalai dan tak sedar bahawa Allah sentiasa ada di sisiku, memberi peluang, menghulurkan kasih, menawarkan cinta, dan tak jemu mengampunkan aku… Aku… Aku nak kembali!! Aku nak cinta Allah!! Aku nak mencintai Allah!! Aku nak buru cinta Allah!!”

Demi Allah, nak menangis aku rasa bila kau cakap macam tu.

Sekarang, nak tak aku ajar kau, macamana nak balas cinta Allah?

“Nak! Nak!! Ajarkan aku mencintai Allah!”

Baik wahai kawanku..

Aku gembira melihat kau!