Tarbiah Sentap: July 2016

Friday, 8 July 2016

Riyak yang tersembunyi?



Aku tak nak bagi ceramahla…” Kata Ahmad Sunsudin Bin Sardin kepada kawan baiknya, Ayob.

Apahal pulak ni Sunsudin? Jangan.. Kau kena terus bagi ceramah…” Pujuk Ayob.

“Umat memerlukan kau. Ceramah kau ramai orang dengar…” Ayob menambah.

Sunsudin hanya diam. Matanya berkerut. Kepalanya memandang ke langit. Seakan-akan ada sesuatu yang sedang beliau fikirkan.

“Huh…”

Sunsudin mengeluh kecil. Nyata kesedihan di wajahnya yang berjerawat itu.

“Apa masalah kau actually beb? Cite la kat aku…” Ayob cuba menenangkan Sunsudin.

“Aku….” Sunsudin mula berbicara, sambil tangan kanannya memicit jerawat di hidungnya. Pedih tu…

“Aku tak nak bagi ceramah sebab aku takut aku riyak…..”

“……”

Cerita di atas terpaksa di berhentikan atas faktor-faktor keselamatan. Kerana sejurus selepas jerawat Sunsudin di hidung pecah, darah banyak keluar. Kini, beliau sedang terlantar di hospital akibat kekurangan darah.

***

Ok.

Untuk topic kali ni, saya sengaja nak mulakan dengan sebuah dialog. Sorry kalau ending cerita ni membuatkan korang stress. Tenang, jangan stress-stress. Anyway, korang faham ke apa point yang saya nak sampaikan dalam dialog kat atas tu?

Sebenarnya saya nak bagitahu korang tentang SALAH FAHAM ramai orang terhadap apa itu RIYAK. Ramai orang yang dia rasa dia riyak tapi sebenarnya dia tak riyak. Ada orang pulak, dia rasa dia tak riyak tapi sebenarnya dia riyak. Pointnya adalah kerana ramai orang tak faham riyak tu apa.

Akibat tak faham riyak tu apa, maka ramai yang tak nak buat certain amalan hanya kerana semata-mata takut riyak.

“Aku takutla nak baca quran. Nanti riyak…”

“Aku malula nak jadi imam solat isyak. Aku takut aku riyak…”

“Sebenarnya aku tak cakap kat depan orang ramai sebab aku takut aku riyak…”

Dan sebagainya.

So, riyak ni apa sebenarnya? Apakah tanda-tanda riyak? Apakah kesan riyak? Macamana nak tangani isu riyak ni? Dan apakah salah faham yang sering berlaku berkaitan riyak ni?

Jom kita terjah satu persatu. Baca sampai habis! Yeah!

RIYAK TU APA?

Sebelum kita ulas panjang pasal riyak ni, eloklah kita tahu riyak tu apa sebenarnya. Tenangkan diri, tarik nafas, istighfar jap, kalau dah ready, sambung baca balik. Bila baca bab riyak ni, saya pun cuak gak, sebab riyak ni halus gila. Kadang-kadang, kita tak perasan benda ni datang…

Argh.. Takpe, moga tulisan kali ni bermanfaat untuk kita semua termasuk saya.

Kembali pada point, apa itu RIYAK?

هو أن يعمل الإنسان العمل الصالح لأجل أن يراه الناس فيمدحوه ، وهو شيء في القلب, وهو محبط للعمل، وموجب للعقاب، وقد سمَّاه النبي صلى الله عليه وسلم الشِّرك الخفيَّ

“Riyak ialah amalan baik yang di lakukan oleh seseorang bertujuan untuk di lihat manusia dan mendapat pujianRiyak ini terletak pada hati. Dan, amal itu sia-sia(di sisi Allah), bahkan mendapat dosa. Dan nabi menamakannya sebagai Syirik Kecil”.

So, kat sini ada beberapa point penting.

1) Buat amal soleh.
2) Buat amal soleh kerana nak di pandang.
3) Buat amal soleh kerana nak di pandang dengan harapan agar di PUJI.
4) Riyak ni terletak pada hati.
5) Hukumnya dosa dan amal itu sia-sia di sisi Allah.
6) Riyak ni syirik kecil.

Fahamkan? So, korang genggam maksud riyak ni betul-betul, supaya point-point yang saya nak ulas lepas ni korang boleh faham secara lumat. Yeah!

KENAPA RIYAK NI BAHAYA GILA?


Wahai kawan-kawanku, cuba korang hayati apa yang nabi cakap:

إن أخوف ما أخاف على أمتي الرياء والشهوة الخفية
“Sesungguhnya, perkara yang paling aku bimbang berlaku pada umatku ialah Riyak dan syahwat yang tersembunyi…”
(HR Tabrani)

Hakikatnya, riyak ni adalah satu syahwat yang tersembunyi. Kadang-kadang, kita langsung TAK PERASAN yang kita riyak. Dan, penyakit riyak ni takkan di rasai oleh orang-orang yang buat jahat. Tapi, riyak ni hanya akan hinggap kepada orang-orang yang buat kebaikan!

Saya ulang:

“Penyakit riyak ni takkan di rasai oleh orang-orang yang buat jahat. Tapi, riyak ni hanya akan hinggap kepada orang-orang yang buat kebaikan!”

Sebab, Iblis and the geng ni sangat bijak. Depa takkan putus-asa nak sesatkan kita. Kalau setan tak berjaya nak goda kita buat maksiat, setan akan goda kita untuk riyak bila buat baik!

Ujian riyak ni biasanya menimpa golongan ulamak, pendakwah, ustaz-ustaz, penceramah, orang yang kuat beribadah, para penasyid, dan yang sama waktu dengannya. Ketika mereka semua  bertungkus lumus tinggalkan maksiat dan syahwat dan menjaga diri dari dosa noda serta pulun dalam kebaikan, ketika tu, setan goda supaya mereka ni rasa mahu di puji, mahu di pandang, mahu di sanjung, mahu di sebut-sebut, dan yang sama waktu dengannya!

Kepenatan kita dalam melakukan kebaikan terasa ringan lantaran seronok dan tenang apabila kita di terima baik oleh orang ramai. Kepenatan kita seolah-olah hilang bila di puji dan di sanjung. Perasaan seronok di puji ni menyebabkan akhirnya kita rasa amat mudah nak tinggalkan maksiat. Kita mungkin rasa kita ni ikhlas nak tinggalkan maksiat, tapi secara tak sedar, kita buat tu bukan untuk Allah pun, tapi sebab nak dapat pujian!

Argh!

Licik gila setan. Dia goda kita buat dosa. Lepas tu, bila kita berjaya tinggalkan dosa, dia goda kita supaya riyak. Riyak tu pun dosa jugak. Huh…

Hanya orang yang betul-betul DEKAT dengan Allah sahaja boleh selamat dari penyakit riyak ni.

TANDA KITA NI RIYAK?

Riak ni ada tanda-tandanya. Hatta, tika kita berseorang diri pun kita boleh riyak. Sangat cuak. Bak kata Ibn Athaillah:

"Boleh jadi kamu menjadi riyak walaupun tiada seorang pun yang melihat kamu..."

Huh. Bab ni, bila saya baca, saya sendiri pun terketar-ketar. Saya akan cuba kongsikan apa yang saya baca dalam buku “منهاج القاصدين” tulisan Imam Ahmad b Qudamah.

Ibn Qudamah bagitahu, riyak ni ada peringkat-peringkat dia. Dan setiap peringkat, ada tanda-tanda dia. Cuba kita tengok, lepas tu try check diri kita, kita ni riyak ke tak sebenarnya.

1) TAHAP RIYAK PERTAMA

“Riyak paling berat ialah jika tujuan asal ibadah seseorang bukanlah untuk nak dapatkan pahala, tetapi sebab nak dapatkan pujian…”

Contoh: 

Kita bila ada ramai orang, kita buat kebaikan. Tapi bila sorang-sorang dan takde orang pandang, kita tak buatpun kebaikan tu. Memang niat kita buat kebaikan TOTALLY sebab nak kena puji, takde sebab lain.

Conclusion:

Dosa. Amalan jadi sia-sia dan langsung tak dapat pahala.

2) TAHAP RIYAK YANG KEDUA

“Tahap kedua riyak ialah di samping dia nak dapat pujian, dia juga mempunyai SEDIKIT niat untuk mendapatkan pahala…”

Contoh:

Kita bila ada ramai orang, kita buat kebaikan sebab nak kena puji, pada masa yang sama, kita nak dapat pahala jugak. Tapi bila sorang-sorang kita tak buatpun kebaikan tu. Peringkat kedua ni lebih kurang sama dengan yang pertama, cuma yang ni, dia ada la niat nak dapat pahala. Tapi niat dia untuk dapat pujian tu lagi tinggi dari nak pahala.

Conclusion:

Dosa. Amalan jadi sia-sia dan langsung tak dapat pahala.

3) TAHAP RIYAK YANG KETIGA

“Tahap ketiga riyak ialah, niat antara mendapat pahala dan mendapatkan pujian itu SAMA dalam melakukan sesuatu kebaikan. Tapi, jika dia buat satu kebaikan bukan untuk di puji, dia akan rasa tak semangat dan tak terdorong…”

Contoh:

Kita takkan bersedekah kalau tak di lihat oleh orang lain kerana kita jugak berniat untuk di puji. Maksudnya, kalau kita bersedekah, kita hanya akan dapat pahala, tapi tak dapat nama. Di sebabkan itu, kita tak terdorong nak melakukannya. Peringkat ketiga ni lebih kurang sama dengan yang kedua, Cuma bezanya ialah, yang ketiga ni, niat nak dapat pahala dan nak pujian tu 50-50.

Conclusion:

Dosa. Amalan jadi sia-sia dan langsung tak dapat pahala.

4) TAHAP RIYAK YANG KEEMPAT

“Tahap keempat ialah jika pengetahuan dan pemerhatian orang ramai menjadikan dia semakin bersemangat dan cergas dalam amal kebaikannya. Walaupun begitu, sekiranya orang ramai tak melihatnya, dia tetap melakukan amal kebaikannya itu…”

Contoh:

Bila ada orang ramai, kita mula solat panjang-panjang, rukuk panjang-panjang. Sebab ada ramai orang tengok, sebab tu dia semangat. Tapi, kalau takde orang tengok, dia still solat.

Conclusion:

Riyak jenis ni still dosa. Tapi tak seteruk dengan yang pertama hingga tiga. Orang yang riyak tahap keempat ni akan dapat pahala bila niat dia betul, dan akan dapat dosa bila niatnya salah.

***

So, nil ah 4 tahap riyak. Cuba nilai, kita yang mana?

Ada orang, dia dakwah bagai sebab nak dapat followers. Bila ramai followers, dia semangat gila twit-twit islamik. Tapi, bila followers sikit, dia tak semangat, dia malu, pastu dia delete twit dia. Ada orang, dia semangat gila bagi talk/ceramah bila ramai orang datang, tapi bila sikit orang datang, dia tak semangat. Ada orang, semangat tulis blog bila ramai orang baca, tapi bila macam takde orang baca, dia delete.

Kita macam tu ke? Check semula.

Ada orang, dia semangat gila nak berubah sebab kena puji, tapi bila kena kutuk sikit, terus down dan tak jadi nak berubah.Ada orang, dia niat dakwah memang sebab nak famous, bila famous, ramai followers, dapat duit, pastu bila kena bash, terus dia malu dan berhenti berdakwah. Ada orang dia pakai tudung pakai purdah sebab nak orang anggap dia solehah, dan nak dapat pujian. Bila takde orang puji, dia jadi tak semangat  nak pakai tudung labuh.

Dan sebagainya.

Cuba check diri. Benda bila boleh terjadi pada siapa-siapa sahaja terutama buat saya yang menulis. Seriously…

PEMBAHAGIAN RIYAK

Ok. Tenang, rileks. Mungkin topic kali ni macam panjang. Sorry.. Tapi sungguh, saya nak explain pasal benda ni.

Riyak ni ada 2 bahagian.

1) Riyak Jaliy (terang-terangan).
2) Riyak Khafiy (tersembunyi).

Riyak terang-terangan ni adalah kita memang buat satu benda tu untuk dapat pujian. So, berdasarkan tahap-tahap kat atas tu, tahap SATU sampai TIGA adalah riyak terang-terangan.

Riyak tersembunyi pulak ialah seperti tahap KEEMPAT tu. TAPI, riyak tersembunyi kena di ulas lagi. Sebab apa? Sebab, riyak tersembunyi itu lebih sukar untuk di kesan daripada bunyi semut.

Saya ulang:

“Riyak tersembunyi itu lebih sukar untuk di kesan daripada bunyi semut!!”

So, jom kita tengok, betapa tersembunyinya riyak yang tersembunyi ni!

Ibn Qudamah mengulas tentang riyak tersembunyi ni kepada 4 tahap.

1) Pujian itu bukanlah semata-mata pendorong kita untuk melakukan sesuatu amalan, TETAPI, pujian itu menjadikan kita merasa ringan untuk melakukan amalan itu.

Umpamanya, seorang yang sentiasa melakukan solat tahajud dalam keadaan berat(Dia tahajud, tapi dia buat dalam keadaan berat), tapi bila tetamu datang, dia akan tahajud dengan penuh semangat.

2) Riyak yang lebih halus dan tersembunyi dari itu ialah pujian tu sikitpun tak menjadi faktor dorongan atau semangat untuk beramal. Namun, riyak itu tetap wujud di lubuh hati. Oleh kerana amalan yang di lakukan itu bukan di dorong oleh perasaan riyak, maka ia hanya dapat dikesan atau di ketahui dengan beberapa petanda.

Petanda yang paling jelas ialah, dia rasa seronok, senang dan gembira bila orang lain tahu amalan yang dia lakukan.

Contohnya, kita solat tahajud ikhlas, bukan sebab nak pujian dan bukan sebab orang tengok. Kita solat gila-gila. Tapi, bila ada orang tahu yang kita tahajud, kita rasa seronok. Contoh lain, kita sedekah RM1000 dekat satu orang ni. Kita sedekah ikhlas. Tapi, bila orang tu bagitahu ramai orang yang kita sedekah RM1000, kita rasa seronok sebab orang lain tahu amal yang kita buat.

Jikalau hati tidak terpaut atau cenderung pada manusia, sudah tentang kegembiraan tidak akan lahir jika amalannya di ketahui orang.

Pergh… Halus gila riyak ni! Ya Allah…

Tapi, ada yang lagi halus!!!!

3) Ada riyak yang lagi tersembunyi sehingga tidak di zahirkan melalui percakapan sama ada secara langsung atau tidak langsung. Tetapi ia boleh kesan melalui keadaan fizikalnya.

Contohnya, dia sengaja melesukan badannya, buat-buat demam depan orang ramai, supaa orang kesian dan kagum dengan dia.

Contoh mudah, kita pergi program tarbiah, pastu kita buat-buat lesu dan demam, lepas tu ada orang tanya kita:

“Kau sihat tak ni? Macam tak sihat….”

Pastu kita jawab:

“Tulah, aku sakit, tak sihat, kepala aku berdenyut….”

And then depa balas:

“Pergh..Kagum gila dengan kau. Sakit-sakit pun still pergi program tarbiah…”

Nampak tak permainan dia??? Kita saje tunjukkan kesakitan kita di khalayak untuk dapatkan pujian orang ramai.

Ataupun, kita saje pura-pura ngantuk kat kelas, supaya orang tahu yang kita tahajud.

Sungguh licik tipu daya setan….

Tapi, ada riyak yang lagi halus dari tu!!!

4) Riyak yang paling halus ialah, dia menyembunyikan amalannya dan tidak mahu di lihat atau di ketahui orang lain, tetapi, bila berjumpa orang ramai, dia rasa suka bila orang hormat dia, orang salam dia, orang layan dia dengan baik, dan dia rasa benci bila orang tak hormat dia.

Seolah-olah, dia menuntut semua orang untuk menghormatinya kerana ibadah yang dia lakukan.

***

Wahai kawan, akhirnya, cuba kita tengok balik diri kita, adakah kita buat sesuatu amal tu ikhlas kerana Allah atau sebaliknya?

Jom muhasabah dan renung diri…

CARA NAK ATASI RIYAK?

So, sebagai pengakhiran ni, saya nak kongsi cara untuk atasi perasaan riyak ni.

Tapi, sebelum tu,  saya nak bagitahu something.

Hakikatnya, ada certain amalan yang kita tak boleh nak sembunyikan, bahkan kita perlu bagitahu orang ramai.

Contohnya, Haji, Jihad, Dakwah dan sebagainya. Nak tak nak, kita kena tunjuk pada orang ramai supaya ianya menjadi tauladan. So, nak atasi riyak ni, kena kuat!

1) KENA SENTIASA PERBAHARUI NIAT

Kita kena selalu baiki niat setiap kali kita buat sesuatu amal. Niat betul-betul kerana Allah, kalau datang niat lain, kita cepat-c epat baiki niat. Sebab tu, Umar pernah menyebut:

“Aku akan pastikan, niat ketika langkah kaki aku yang pertama, SAMA dengan niat langkah kaki aku yang terakhir…”

Sebab tu, kita kena selalu check hati dan niat kita, untuk apa kita buat amalan.

2) KENA BANYAKKAN ISTIGHFAR

Kita kena rajin istighfar, kalau ada perasaan nakkan pujian dan sebagainya, cepat-cepat istighfar pada Allah, sungguh-sungguh, mintak ampun pada Allah. Serius!

3) KENA ISTIQOMAH DALAM AMALAN

Ni paling penting! Cara nak dapat ikhlas ialah kita kena BERTERUSAN dan istiqomah dalam amalan kita. Jangan tinggalkan amalan kita. Contoh, ada orang fikir macam ni:

“Aku dah tak nak buat dakwah, sebab aku takut orang puji aku…”

“Aku dah tak nak bagi ceramah, sebab aku takut orang puji aku, nanti aku riyak…”

Dan sebagainya.

Hakikatnya, pemahaman macam sangat sangat sangat SALAH!!! Cara nak atasi pujian dan riyak bukanlah dengan meninggalkan amalan tersebut! Tapi, caranya ialah kita istiqomah dengan amalan tersebut! Awal-awal memang kita akan rasa nakkan pujian, tapi, bila kita istiqomah, akhirnya kita akan rasa nikmat dapat cinta Allah, dan akhirnya kita langsung tak kisah pujian manusia.

Seorang ulama berkata:

لا ينبغي ترك العمل المشروع خوف الرياء
“Tidak di benarkan untuk meninggalkan sesuatu amalan kerana takutkan riyak..”

Sebab tu, Fudhail B Iyyadh pernah berkata:

إن ترك العمل لأجل الناس رياء ، والعمل لأجل الناس شرك
“Meninggalkan amalan kerana manusia ialah riyak. Melakukan amalan kerana manusia ialah syirik…”
(Fudhayl B Iyyadh)

So, bila timbul rasa riyak, korang bukan kena tinggalkan amalan tu, tapi, TERUSKAN amalan tu!!

Saya ulang:

“Bila timbul rasa riyak, korang bukan kena tinggalkan amalan tu, tapi, TERUSKAN amalan tu!!”

4) KEMBALIKAN PUJIAN PADA ALLAH

Ada orang bila kena puji, dia konon-konon bajet baik, dia nafikan pujian tu.

Contohnya..

“Bakri, kau hensem doh… Serius, macho gila kau…”

“Eh, taklah, aku tak hensem pun. Hehe.. Biasa-biasa je…”

Argh!

Wahai kawan, bila ada orang puji korang, cara tak nak riyak ialah kembalikan pujian tu pada Allah, bukan nafikan pujian tu. Seolah-olah, korang tak hargai nikmat yang Allah dah bagi.

Bila orang puji, jawab je Alhamdulillah!!!

“Syamsul, power gila kau bagi ceramah…”

“Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah….”

Kan mudah? Kerana akhirnya, segala nikmat dan kelebihan yang Allah bagi kita, semua tu bukan milik kita, tapi milik Allah. So, kenapa kena bangga? Kembalikan pada Allah:)

PENUTUP

Moga-moga, Allah pelihara niat kita. Banyakkanla doa pada Allah agar kurniakan kita kekuatan untuk menjadi hamba Allah yang ikhlas. Doa sungguh-sungguh, hari-hari, mintak pada Allah, pohon agar Allah terima semua amalan kita dan jauhi kita dari tipu daya setan.

Ingat, iblis takkan putus asa nak sesatkan kita. Kalau dia tak mampu goda kita buat maksiat, dia akan goda niat kita time kita buat pahala. Nak masuk syurga ni sangat-sangat susah, sebab tu kita perlu melakukan pengorbanan yang luar biasa.

Moga Allah masukkan kita semua dalam syurga tanpa hisab.

Amin!!

* Jom dengar lagu terbaru The Faith bertajuk KEMBALILAH. Sebuah lagu cover "Love Yourself". Terbitan Tarbiah Sentap Records. Moga bermanfaat!





Thursday, 7 July 2016

Mengumpat itu tanda pengecut?





“Orang yang mengumpat ni pengecut dan takde maruah, hati kotor dan buruk akhlaknya…”

Tulah pesanan seorang ustaz kepada saya. Sentap jugaklah. Tapi bila fikir-fikir balik, memang itulah hakikatnya.

***

Bismillah.

Insyallah, topik kali ni agak hangat sikit, iaitu bab mengumpat dan cakap belakang. Saya rasa saya perlu ulas benda ni secara detail dan spesifik, sebab ada di kalangan kita, depan-depan, bajet soleh, akhlak pergh macam malaikat, depan-depan puji dan sanjung, hormat bukan main. TAPI, bila BELAKANG kita, punyalah dia kutuk, memburukkan, caci maki dan bukak aib kita.

Benda ni dah jadi macam benda normal.

Orang dah tak rasa bersalah bila mengumpat ni. Depan-depan tak nak tegur. Depan-depan bajet macam setuju dan suka je semua benda. Tapi belakang-belakang, memang jahat gila.

Best sangat ke mengumpat?

Puas ke bila korang dapat kutuk kawan korang belakang-belakang? Apa yang korang dapat? Seronok, bila orang yang korang benci tu, turut di benci oleh orang lain? Best sangat ke bila orang lain pun turut membenci orang yang kita benci? Bila orang lain dah benci orang yang kita benci, whats next? Dapat masuk syurga ke?

Best sangat ke mengumpat?

Puas ke bila kita dapat memburukkan orang yang kita dengki dan tak puas hati pada orang lain? Bila orang lain tu turut percaya dengan keburukan orang yang kita burukkan, dan turut memburukkannya, apa yang kita dapat? Dapat masuk syurga ke buat macam tu? Best sangat ke??

Kadang-kadang saya tak faham.

Orang yang mengumpat ni, apa yang dia nak sangat sebenarnya?

Ada orang bagi alasan:

“Aku mengumpat sebab aku nak dia berubah…”

Saya tanya balik:

“Dia berubah ke kalau kau mengumpat dia? Kenapa kau tak tegur depan-depan je? Kenapa kau perlu bukak aib dia, jaja keburukan dia, dan sebarkan kesalahan dia kat orang lain? Kau biar betul nak ubah dia? Nak tipu pun agak-agakla…”

Ada yang bagi alasan:

“Aku bukan mengumpat. Aku cakap benda yang betul…”

Saya balas balik:

“Itulah namanya mengumpat! Kalau kau cakap benda yang salah, itu fitnah. Kalau kau cakap benda yang betul, itulah mengumpat wahai kawanku yang hensem…”

Apa lagi alasan yang kita nak bagi untuk mempertahankan perbuatan mengumpat yang kita dah biasa? Gosip sini gosip sana, nampak keburukan sikit, terus sebarkan, kononnya nak bagi orang lain tahu “siapakah” diri sebenar seseorang tu.

APA PERASAAN KAU?

Wahai kawan, saya nak kita sama-sama fikir something. Cuba fikir dan renung dalam-dalam benda ni. Setiap kali kita na mengumpat, nak bukak aib orang, nak jaja keburukan orang, cuba fikir dulu beberapa benda.

1) Bayangkan, suatu hari, korang nak berubah. Tapi, korang terjatuh ke dalam kancah maksiat. Tapi, korang tak buat maksiat tu terang-terangan. Korang buat maksiat tu dalam keadaan sembunyi-sembunyi, berseorangan diri, dank orang rasa malu nak orang lain tahu. Sebab di sudut hati korang, sebenarnya korang tak nak buat maksiat tu. Korang nak berubah, tapi apakan daya, termakan dengan godaan.

2) Dan, maksiat yang korang buat tu, ada ORANG LAIN TAHU. Samada korang yang cerita, atau orang tu mencari salah korang dan nampak korang buat benda tu, dan yang sama waktu dengannya. Dan, orang tu memang jenis tak puas hati dengan korang. Maybe dia dengki tengok kau berubah. Dia dengki orang lain anggap kau baik.

3) Kemudian, orang tadi, bila dia dah tahu kesalahan kita, apa dia buat? Dia bagitahu orang lain time tengah sembang-sembang:

“Weyh.. Apa pandangan korang tentang Samdul?”

“Bagi aku dia ok je.. Nape beb? Ada something ke?”

“Takdela. Aku bukan apa. Aku pun anggap dia baik. Yela, luaran dia padu kot, status FB dia boleh tahan islamik, banyak like. Tapi, sumpah aku terkejut oh…”

“Asal, dia ada buat something ke?”

“Tulah. Hari tu aku pinjam laptop dia. Pastu aku bukak internet, aku saje-sajela nak tengok history dia. Pergh.. Sumpah aku terkejut, dia tengok benda-benda lucah kot. Yang cukup kain ada, yang tak cukup kain pun dia tengok….”

“Pergh kau… Biar betul?! Samdul tengok video lucah? Kau jangan.. Tah-tah orang lain tu…”

“Takdela, aku pun awal-awal macam tak percaya gak. Tapi, yela, aku serumah dengan dia kan… Aku taula dia macamana…”

“Dia macamana??”

“Subuh pun kadang-kadang bangun dah nak habis waktu. Quran pun jarang bukak… Aku bukan apa, masalahnya, Samdul tu pendakwah kot. Status dia power kot kat FB, banyak like tu. Aku punya status pun takdelah banyak sangat like. Adala sikit-sikit. Itupun aku buat 10 fake akaun untuk like status aku sendiri…”

“Ish… bapak ah… Tak sangka Samdul macam tu. Tak serupa bikin gila budak tu…. Serius I cannot brain…”

“Tussal…. Aku pun tak tahu nak explain macamana kat dia. Aku bagitahu kau ni pun bukan apa. Aku nak kau tahu dia macamana. Supaya bolehla kau tegur sikit-sikit….”

“……………”

4) Apakah ini semua??!!!

5) Lepas tu, aib kita pun terus tersebar. Mula A dan B. Pastu B cerita kat C. Pastu, C pulak cerita dekat D, E dan F. Begitulah seterusnya.

6) Lepas tu, kau perasan yang A, B, C, D, E dan F macam pandang serong dekat kau. Selama ni macam rapat, tapi tetiba, diorang macam menjauhkan diri dengan kau, macam pandang kita lain macam, sembang dengan kita pun macam nak tak nak.

7) Akhirnya, takde sape pun yang tegur kau. Tapi, apa yang terjadi ialah, orang benci kau.

8) Tiba-tiba, kau dapat tahu yang ada orang umpat kau. Kau rasa sedih dan pedih. Hati kau bagaikan di hiris. Kau menangis. Kau rasa malu. Kau rasa macam seolah-olah di khianati. Semua kawan-kawan yang kau sayang, rupa-rupanya turut mempercayai dan membenci kau, hanya kerana dosa yang kau lakukan. Lebih parah, mereka tak bantu kau pun untuk tinggalkan dosa. Mereka tak bantu kau pun untuk berubah. Mereka tak tegur kau pun. Mereka Cuma tahu membenci kau, memburukkan kau, memandang serong kau, memandang hina kau, hanya kerana kesilapan kau yang mungkin mereka pun buat.

Cuba kita fikir, pedih bukan perasaan ni?

Sebab tulah bagi saya, orang yang mengumpat ni sangat jahat. Hatinya sangat busuk, kotor, penuh dengan dosa noda, berdendam, dengki dan takde maruah. Kerana, sifat orang yang bermaruah ialah dia tidak menjatuhkan maruah orang lain.

HAYATI PESANAN INI

Wahai kawanku..

Saya kalau boleh nak korang semua tengok apa pesanan nabi dan ulama tentang isu mengumpat, membuka aib orang, memburukkan orang semua ni. Supaya, bila korang tahu hakikat tentang betapa hina dan buruknya perbuatan ini, serta apa balasannya di akhirat kelak, moga-moga ianya membuatkan saya dank orang untuk jauhi benda ni sejauh-jauhnya!

Jom hayati satu bersatu. Moga menggelatar dan insaf wahai diri yang mendambakan syurga Allah!




1) Ibn Athaillah menyebut dalam kitabnya Bahjah Annufus:

“Wahai saudaraku, jika engkau ingin menguji kebersihan hati seseorang, cuba sebutkan kehidupan seseorang yang tidak bersamamu di hadapannya. Kemudian, perhatikan bagaimana tindak balasnya. Andai tindak balasnya ialah menyebut keburukannya, menyebut aib-aibnya, serta mengingkari kebaikannya, dia jatuhkan martabat orang tersebut, dia makan dagingnya, dia mencela orang tersebut dan terus menyatakan keburukan orang tersebut. Andai itu yang dia ungkapkan, ketahuilah bahawa hati orang itu sedang SAKIT, tidak mengenal Allah, dan dia tak tergolongan di kalangan orang yang soleh dan bersih!!”
(Ibn Athaillah)

Apa yang korang faham bila baca kata-kata Ibn Athaillah kat atas??

Saya bagi ayat mudah supaya korang mudah faham. Ok?

Ibn Athaillah nak bagitahu bahawa, kalau kita nak tahu HATI seseorang tu bersih atau kotor, mudah je. Cuba datang kat dia, dan cuba ajak dia bersembang tentang seseorang.

Contohnya, Syamsul ajak Samdul sembang tentang Kadir.

“Samdul, sihat??”

“Alhamdulillah. Kau okay tak Syamsul? Nampak macam tak sihat je…” Samdul membalas dengan penuh kelembutan.

“Aku okay. Hehe.. Weh, kau kenal Kadir kan?”

“Uish.. mestilah kenal. Mamat tu sekelas dengan aku kot. Lama jugakla aku kenal dia…”

“Hmm.. Setakat yang kau kenal dia, dia macamana eh?Takdelah. Aku tengok dia macam rajin dakwah kot…Kagumla jugak. Tapi aku nak tanya jugak kat kau, sebab kau kan kenal dia secara dekat…” Syamsul mengajukan soalan.

“Hish.. Aku bukan apala. Tapi, sepanjang aku kenal dia, takdela sebaik apa yang orang lain sangkakan. Kalau aku nak cerita lebih, takut bukak aib pulak. Tapi, dia tu kaki perempuan kot. Kat henset dia aku tengok, banyak kot mesej dengan perempuan ni, perempuan tu. Kira macam playboyla jugak. Cuma dia ni guna alasan AGAMA untuk buat benda tu…” Samdul mula mengumpat.

“Maksud kau?” Syamsul keliru.

“Means, dia goda perempuan dengan cara ‘dakwah’la. Contohnya, ajak perempuan ni qiamullail bagai, lepas tu cinta kerana Allah itu ini itu ini. Kadang-kadang aku menyampah jugakla… Hipokrit..”

“………”

DARI DIALOG kat atas ni, kita dapat nampak, macamana Samdul ni memburukkan Kadir bila Syamsul tanya kat dia pasal Kadir.

So, orang macam ni, bak kata Ibn Athaillah, HATI di sedang sakit, kotor, busuk, tak mengenal Allah, langsung tak termasuk dalam kalangan orang soleh. Kenapa? Sebab mengumpat, mengutuk belakang, bukak aib seseorang pada orang yang lain!

Adakah kita macam tu?

Kadang-kadang kita tak perasan. Saya pun. Tapi benda ni sangat bahaya. Mengumpat ni tanda hati busuk, kotor, hitam, kelam, jijik, masam, berbau, berdaki, dan yang sama waktu dengannya. Kena taubat wahai kawanku! Tinggalkan gosip sini sana, mengumpat sini sana.

Moga Allah pelihara kita!

Bagaimana pulak kalau nak tahu hati kita ni bersih ke tak?

Ibn Athaillah menyambung:

“Jika yang terjadi itu sebaliknya, iaitu dia menyebut kebaikan orang itu, memuliakan kebaikannya, mengangkat martabatnya di hadapanmu, atau apabila di ajukan keburukannya, dia terus berfikiran positif sehingga memosisikannya pada kebaikan dengan berkata , ‘Mungkin dia terlupa’, atau ungkapan yang membawa maksud menutupi keburukannya dan menjaga kehormatannya. Jika itu yang dia ungkapkan pada setiap tempat dan pada sebahagian besar perbicaraannya dengan kebanyakan orang,ketahuilah bahawa orang seperti itu termasuk di kalangan orang yang BAHAGIA! Hatinya hidup, jiwanya bersih, kalbunya suci! Ia juga tergolongan di kalngan orang yang bijak, mempunyai pemahaman agama yang luas, serta memiliki hikmah!!”
(Ibn Athaillah)

Faham?

Means, kalau kita selalu sebut kebaikan orang, dan bersangka baik, tak kutuk belakang, bahkan menjaga aib seseorang, kalau kita macam tu, itulah bukti hati kita bersih wahai kawanku!

Kita bagaimana?

Muhasabahlah wahai kawan..

2) Nabi saw bersabda:

“Sesungguhnya orang yang muflis(bankrupt) dari umatku adalah orang yang datang pada hari kiamat dengan membawa pahala solat, puasa dan zakat. Namun ia juga datang dengan membawa dosa kezaliman. Ia pernah mencerca si ini, menuduh tanpa bukti terhadap si itu, memakan harta si anu, menumpahkan darah orang ini dan memukul orang itu. Maka sebagai tebusan atas kezalimannya tersebut, diberikanlah di antara kebaikannya kepada si ini, si anu dan si itu. Hingga apabila kebaikannya telah habis dibahagikan kepada orang-orang yang dizaliminya sementara belum semua kezalimannya tertebus, diambillah kejelekan/kesalahan yang dimiliki oleh orang yang dizaliminya lalu ditimpakan kepadanya, kemudian ia dicampakkan ke dalam neraka.”
(HR Muslim)

Apa yang korang faham dari hadis nabi ni?

Means, kalau kat dunia dulu kita buat amak kebaikan banyak gila, solat full, tahajud, quran baca 100 muka sehari, sedekah sejuta ringgit sehari, tapi pada masa yang sama, kita mengumpat orang, memburukkan orang, menganiayai orang lain, menuduh orang itu ini, kat akhirat nanti, SEMUA AMAL KEBAIKAN KITA langsung Allah tak terima!!

Bukan takat tu, kalau korang nak tahu, semua kebaikan kita akan dapat kat mereka, dan semua dosa mereka akan dapat kat kita!

Maknanya,kalau kita ada mengumpat seseorang, fitnah seseorang, bukak aib seseorang, semua pahala kita akan dapat kat orang tu, dan semua dosa orang tu akan dapat kat kita! Akibatnya, kat akhirat nanti, yang tinggal pada kita hanyalah dosa yang bertimbun tanpa satu pun pahala…

Nauzubillah!

Sebab tu benda ni sangat sangat sangat penting untuk di ulas dan di beri peringatan sungguh-sungguh. Ini bukan benda kecik wahai kawanku… Ini isu syurga neraka, isu dosa pahala.

Moga Allah pelihara kita!

ADA KE MENGUMPAT YANG DI BENARKAN?

Dalam isu mengumpat dan bukak aib ni, ada beberapa noktah yang kita kena faham jugak.

Saya akan buat dalam bentuk point supaya korang mudah faham insyaAllah.

1) Ada ke waktu yang di benarkan mengumpat?

Hukum mengumpat ni asalnya ialah HARAM. Tapi, ada waktu di haruskan. TAPI(berapa banyak tapi daaa…), apa yang saya nak sebut ni bukanlah untuk menghalalkan mengumpat. Sebab, ramai orang yang mengumpat dia guna alasan bahawa “ada keadaan di haruskan” untuk menghalalkan proses pengumpatan yang diorang lakukan. Sebab tu, kena FAHAM secara teliti.

Mengumpat ni di benarkan bila ada berlaku 6 keadaan. Bak kata seorang penyair arab:

الذَّمُّ لَيْسَ بِغِيْبَةٍ فِي سِتَّةٍ
مُتَظَلِّمٍ وَمُعَرِّفٍ وَمُحَذِّرٍ
وَلِمُظْهِرٍ فِسْقًا وَمُسْتَفْتٍ وَمَنْ
طَلَبَ الْإِعَانَةَ فِي إِزَالَةِ مُنْكَرٍ
“Mengumpat itu tidak tercela pada enam perkara,
Orang yang di zalimi, orang yang mengenalkan, dan yang memperingatkan.
Orang yang menampakkan kefasikan, peminta fatwa.
Dan orang yang meminta tolong untuk menghilangkan kemungkaran…”

Bermakna, ada 6 golongan atau keadaan yang di benarkan mengumpat/berkata belakang.

a) Apabila kita di zalimi. 

Contohnya apabila kita di rompak, atau di rogol, atau sebagainya, kita pergi ke polis dan bagitahu pihak berkuasa untuk melakukan tindakan kepada orang yang dah rompak dan rogol kita, maka ia di benarkan!

Contoh:

“Samdul rogol saya….”

Maka ia di benarkan.

Faham?

2) Untuk mengenal seseorang.

Maksudnya, kita nak kenalkan seseorang dengan namanya dan gelarannya. Contohnya:

“Kau kenal tak Syazwan?”

“Syazwan mana?Ada banyak Syazwan kat sekolah…”

“Alaa, syazwan botak tu…”

“oooo… kenal…”

So, dalam isu nak mengenalkan, maka ia di benarkan.

3) Untuk memperingatkan.

Menyebut kejahatan seseorang untuk memperingatkan orang lain, agar orang lain tak terkena kejahatannya, tak tertipu dengannya dan tak terjatuh dalam perangkan orang tersebut.

Contohnya:

“Kau jangan bagi Samdul tu pinjam duit kau…”

“Kenapa?”

“Sebab Samdul tu memang jenis tak bayar hutang. Dah berapa ramai dah orang yang dia hutang dan dia tak bayar. Hutang aku 2.6 billion hari tu dia pinjam, dah 4 tahun tak bayar balik. Pastu, bila aku mintak, aku yang kena marah. Serius…”

Ataupun dalam isu nak risik perempuan atau laki, akhirnya dapat tahu:

“Aku dah risikkan dah perempuan tu untuk kau. Berdasarkan apa yang mak ayah dan kawan-kawan dia bagitahu, perempuan tu tak sesuai untuk kau. Sebab dia ni jenis yang hisap vape, selalu lepak dengan laki malam-malam….”

Faham? Harap-harap fahamla. Huhu..

4) Orang yang menampakkan kefasikan(terang-terangan buat dosa).

Kita di benarkan mengumpat orang yang TERANG-TERANG buat dosa, dan TERANG-TERANG bukak aib sendiri. Contohnya, ada orang tak pakai tudung terang-terang, atau minum arak terang-terang, peluk mamat korea terang-terang, zina terang-terang siap rakam video, berlakon aksi ranjang terang-terang, atau apa-apala dosa yang dia buat terang-terang dan bangga dengannya.

TAPI, bukan tujuan nak hina. TAPI, kita mengumpat tu samada untuk menasihati orang lain supaya orang lain tak jadi seperti orang itu, ataupun dengan tujuan nak menghentikan kesalahan orang tu, ataupun nak bagitahu bahawa benda yang mereka buat itu salah dan wajib di jauhi.

5) Meminta fatwa.

Contohnya, kita nak mintak satu hukum, dan terpaksa cerita keburukan seseorang untuk dapatkan hukum tu. Contohnya:

“Ustaz. Suami saya selalu suruh saya warnakan rambut.. Boleh ke ustaz?”

“Ustaz, isteri saya selalu tak nak masak bila saya suruh. Bila saya suruh basuh baju pun dia marah-marah. Apa hukum isteri yang macam tu?”

Dalam soal nak mintak hukum, di benarkan mengumpat.

6) Meminta pertolongan untuk menghilangkan kemungkaran.

Means, orang yang meminta tolong bagi menghilang maksiat pada sesuatu tempat kepada yang berkemampuan dengan menyebut nama pelaku maksiat dan kesalahannya bertujuan untuk menghentikan maksiat itu di bolehkan.

Contohnya, kita nampak kawan kita hisap rokok/vape kat sekolah, dan kita tak berani tegur, pastu kita pun report kat guru disiplin. Maka di bolehkan.

Ataupun, kita tak mampu nak tegur kawan kita, dan kita mintak kawan kita yang mampu tegur untuk tegur kawan kita tu. Maka, di benarkan.

So, secara basic, ENAM situasi yang di haruskan mengumpat ni, takde satu pun yang di lakukan atas dasar BENCI, dendam, tak puas hati, bersangka buruk, nak memburukkan, menyampah, nak menjatuhkan, atau saje-saje, suka-suka, nak seronok dan sebagainya. Semuanya bertujuan untuk kebaikan dan betul-betul ikhlas dan tiada niat walau sebesar zarahpun untuk memburukkan.

Tapi hari ni kita kutuk-kutuk orang, mengumpat orang, cakap belakang, bukak aib, atas alasan nak ubah orang kononnya, tapi apa yang terjadi hakikatnya kita nak burukkan orang tu. Bukan nak ubah.

Kalau betul nak ubah, apa kejadah sampai bagitahu ramai gila orang tentang keburukan seseorang? Kalau ikhlas nak ubah, tegurlah direct. Kalau tak mampu, barulah mintak orang yang mampu untuk tegur.

Faham?

Ingat. Janganlah guna dalil agama untuk mempertahankan kesalahan dan menghalalkan benda yang haram.

MENGUMPAT VS TERUS TERANG?

Solusi bagi isu mengumpat ni mudah je.

Kalau tak puas hati, cakap jelah terus terang. Buat apa nak kutuk belakang? Kalau betul ikhlas nak berubah, cakap je la depan-depan kalau mampu. Buat apa perlu jaja keburukan dan cakap belakang?

Hatta, nabi mendidik sahabat untuk terus-terang je.

Ingat lagi tak time perjanjian hudaibiyah??

Time tu, hampir semua sahabat tak setuju dengan nabi sebab nabi tanda tangani perjanjian hudaibiyah yang seakan-akan nampak merugikan islam. Sehingga, Umar marah nabi secara terus-terang. Dan Nabi balas balik, lepas tu Abu Bakar marah Umar secara terus-terang, dan keadaan menjadi tegang dan hampir gaduh.

Takde sorang sahabat pun yang mengumpat dan cakap belakang. Semua cakap depan je kalau tak setuju dengan nabi, dan nabi pun cakap terus-terang je kalau tak setuju dengan sahabat.

Di pendekkan cerita, keputusan nabi menandatangani perjanjian hudaibiyah itu di sokong oleh Allah, dan Allah turunkan surat alFath. Ketika tu, baru Umar mintak maaf kat nabi sebab terkasar bahasa.

Point yang saya nak sampaikan ialah, bila kita tegur terus-terang ni, maybe pada awal-awal akan macam gaduh sikit, or mungkin keadaan tu jadi tegang sikit sebab ada je jenis orang yang ego dan tak nak mengaku salah, tapi sekurang-kurangnya, ia 1000 kali ganda lebih baik dari cakap belakang yang lebih membawa banyak mudarat dan lebih memalukan diri kita.

Kan?

So, kalau nak tegur, kalau nak ubah, tak perlu pun nak kutuk bagai belakang-belakang. Nak ubah, ubah betul-betul. Kalau tak puas hati, cakap je depan-depan. Ia lebih baik dan lebih menghamonikan untuk jangka masa panjang.

KESIMPULAN

Wahai kawan.

Dengan apa yang korang baca dari awal sampai akhir ni, cuba renung balik sungguh-sungguh.

“Kenapa aku ni suka sangat mengumpat?”
“Kenapa aku ni tak boleh nak jaga aib orang?”
“Kenapa aku ni susah sangat nak sangka baik dengan orang? Sikit-sikit nak sangka buruk. Kenapa??!”
“Kenapa aku ni asyik tak puas hati dengan orang je?”

Cuba istighfar pada Allah. Mungkin kerana hati kita dah terlalu kotor dengan dosa noda dan keburukan.

Kerana, bila hati kita buruk, kita akan sentiasa nampak keburukan orang lain. Manakala bila hati kita baik, kita akan sentiasa nampak kebaikan orang lain.

Percayalah.

Sebagai pengakhiran ni, hayati sungguh-sungguh pesanan Ibn Athaillah. Baca dengan mata hati wahai kawan, kemudian, check hati masing-masing, lalu menangislah..

“Orang akan sengsara andai dia sering menganiaya manusia, mengambil hak-hak mereka, serta menjatuhkan kehormatan mereka. Sementara orang yang bahagia ialah orang yang selalu menjaga diri dan sentiasa merasa cukup dengan apa yang ada. Dia tidak menganiaya orang lain, sentiasa berpegang pada kebenaran, serta membela kebenaran. Dia juga sentiasa memelihara rahsia manusia, menutupi aib mereka, dan menonjolkan kebaikan mereka….”
(Ibn Athaillah)


Selamat berbahagia wahai kawan!