Tarbiah Sentap: Cerpen : Aku Nak Bercerai?

Saturday, 13 February 2016

Cerpen : Aku Nak Bercerai?




"Shuk..."

Mata saya segera memandang sahabat yang sudah lama tidak berjumpa sambil menghirup secawan teh o limau suam.

“Apsal kau asyik bermuram durja je?" Saya mengangkat kening sambil meletakkan cawan teh o limau suam ke atas meja.

Syamir mengeluh.

"Aku sebenarnya ada benda penting nak story kat kau.." Syamir tunduk. Wajahnya sugul. Seolah dihempap masalah besar.

"Sebab tu kau nak jumpa aku? Dah lama menyepikan diri lepas kawin dulu, maklumlah dah bahagiakan.." saya bergurau sambil tersengih untuk menceriakan suasana.

Syamir tertunduk. Saya pula serba salah.

"Err.. kau kenapa? Em.. kalau tak keberatan, meh story pada abiang. Biar abiang long settlekan. hehe... " saya menepuk bahu Syamir.

Syamir tersenyum kelat. Terasa berat baginya untuk bercerita.

“Macam ni.. isteri aku... emm.... " kata-katanya terhenti seketika.

"Hmm? Kenapa dengan isteri kau?" Saya tertanya-tanya.

Syamir mengeluh lagi.

"Ish kau ni. Asyik mengeluh ja. Macam lagak presiden dunia yang banyak masalah ja.” saya tersengih. Saya bergurau untuk mengurangkan sedikit tekanan yang dialami.

Syamir tersenyum lagi. Seperti biasa, senyuman yang kelat.

“Macam ni lah... aku terus terang saja. Aku tanya ini untuk minta pendapat dan pandangan kau. Bukan nak buka aib sesiapa. Moga kau dapat bantu aku.." mata Syamir merenung tepat wajah saya.

Nampak keseriusan beliau. Saya mengangguk.

"Shuk.. Aku nak bercerai dengan isteri aku... apa pandangan kau?" Muka Syamir sedikit berkerut dan serius.

Hampir tersembur air teh o limau dalam mulut saya. Terkejut dengan kata-kata beliau.

"Kau nak bercerai? Kau baru je berapa tahun kahwin, dan sekarang kau nak bercerai? Aku salah dengar ke apa ni?" Saya mengangkat kening.

"Ya aku serius... " Syamir merenung tegas pada wajah saya.

Saya terkesima seketika. Rasa macam di sambar halilintar. Tersentak dengan kata-katanya. Saya mengambil nafas panjang. Menyusun kata-kata demi menyelamatkan masjid yang baru beberapa tahun terbina.

"Apa sebab kau nak bercerai? Kau dah ada anak sorang tahu. Ini benda serius. Perkara halal yang Allah benci. Benda ni juga menentukan masa depan anak kau. Kau jangan main-main." Kini saya pula serius.

Syamir menghirup secawan teh o yang baru sampai.

"Isteri aku... hmm.. begini.. dulu sebelum kahwin, masa kami tengah couple dan bercinta, aku tengok isteri aku nampak macam baik je. Nampak macam rajin saja. Segalanya nampak indah. Walaupun mungkin tak pakai tudung dan tak jaga ikhtilat, tapi dia setia dengan aku. Dengan aku pijak semut pun tak mati. Tapi segalanya berbeza selepas lama kahwin.."

Syamir menghela nafasnya. Pandangannya beralih ke jalan raya yang sesak dengan kenderaan. Saya menumpukan sepenuh perhatian dengan apa yang ingin disampaikan.

"Selepas kahwin, walaupun dia dah berubah sedikit, dah pakai tudung, dah jaga pergaulan sikit dengan lelaki lain. tapi hubungan kami dah jadi macam hambar sejak kebelakangan ini. Seolah dah habis cinta kami masa zaman bercinta dulu. Lepas kahwin, hanya menikmati beberapa manisan cinta yang berbaki."

Dia menghelakan nafasnya lagi.

"Kalau dulu, dia selalu lipatkan baju aku, sediakan makanan untuk aku, ironkan baju aku, tunggu aku depan pintu, layan aku, dan macam-macam lagi. Sejak dah ada anak dan setahun kebelakangan ni, tak macam dulu lagi.. Hari-hari aku makan luar, balik kerja tengok dia dah tidur. Aku pun tension tidur juga. Entah la.. aku rasa..." Syamir mengeluh.

"Hmm.. kau rasa apa?" Saya mengangkat kening.

"Aku rasa kami dah hilang cinta agaknya. Hati masing-masing dah pudar." Syamir menghebuskan nafas yang agak berat.

Begitu juga saya. Saya bersandar di kerusi makan. Termenung seketika.

“Lepas tu?”

“Aku tengok dia pun macam dah makin rapat dengan kawan laki ofis dia. Kitorang kalau kat rumah pun jarang berbual. Masing-masing mengadap smartphone atau laptop ataupun kerja sendiri. Nak makan pun kadang-kadang berasingan.”

Saya istighfar dalam hati banyak kali.

"Sebelum aku bagi pendapat aku, aku nak bagitau yang aku bagi pendapat sebagai seorang bujang. Tak pernah kahwin lagi. Bercinta tu... pernah la kot masa zaman jahil." Saya menghela nafas.

"Syamir.. kahwin ni adalah suatu perkara yang sangat besar. Sebab ia ibarat mendirikan masjid. Untuk kau robohkan masjid, ia macam kau melakukan suatu kemusnahan yang dahsyat."

Syamir mengangguk.

"Selepas saja akad nikah, sepatutnya kau kena sentiasa usaha hadirkan dua elemen yang saling lengkap melengkapi sepanjang kau mendirikan rumah tangga hingga akhir hayat. Jika satu elemen lemah, satu lagi elemen akan menguatkan."

"Elemen apa?" Syamir mengangkat kening.

"Cinta dan tanggungjawab." saya jawab tuntas.

Syamir termenung.

"Cinta ini relatif dan abstrak. Tiada kayu ukur atau parameter untuk tentukan berapa peratus yang turun dan berapa peratus yang naik. Namun kita sendiri mengetahui sejauh mana cinta kita pada seseorang. Diri kita sendiri yang boleh agak."

"Cinta ni sifatnya akan menaik, dan ada kala ia akan menurun. Apabila menaik, kau akan romantik tahap Adam dan Hawa atau lebih lagi. Tetapi macam mana kalau ia menurun?"

"Ha'ah. Macam mana kalau menurun?" Dahi Syamir berkerut.

"Itulah fungsi tanggungjawab. Tanggungjawablah yang akan membantu mempertahankan cinta daripada terus pudar dan hilang. Mustahil untuk kau penuhi tanggungjawab dengan sempurna tanpa hadirnya cinta."

Syamir mengusap janggutnya.

"Dalam Islam, Allah meletakkan kewajipan untuk seorang anak patuh dan taat kepada ibu bapanya, dan jangan sekali kata 'Ah' pada mereka. Tetapi, dalam Islam TIDAK meletakkan kewajipan untuk seorang anak cinta dan kasih kepada ibu bapa mereka. Kerana cinta dan kasih itu adalah suatu perasaan yang abstrak, sukar hadir walau dipaksa, dan sukar pergi walau dihalau."

"Tapi... untuk seorang anak taat dan patuh dengan bersungguh pada ibu dan ayahnya, mahu tidak mahu KENA hadirkan perasaan cinta dan kasih itu walaupun hadirnya itu lambat sekalipun. Jika tidak, anak itu akan taat dan patuh dalam keadaan derita dan terseksa batinnya kerana kehausan perasaan tu."

Syamir mengangguk. Dia mendengar dengan tekun.

“Macam tu juga suami isteri. Mungkin atas alasan itu, Allah menghadirkan tanggungjawab antara suami isteri, moga dengan tanggungjawab yang dipikul dan diamanahkan itu, mampu mempertahankan cinta yang bersemi tu seterusnya menjadi rumahtangga yang mawaddah wa rahmah. Kalau cinta pudar, tanggungjawablah yang akan menyerikan semula cinta."

Syamir tersentak. Seolah sesuatu mengganggu fikirannya.

"Dan akhir sekali, apabila cinta dan tanggungjawab ini digabungkan dengan baik dan adil, akan terlahirlah suatu tindakan yang sangat terpuji."

"Apa dia tindakan tu?" Syamir terpinga-pinga.

"Erti sebuah pemberian tanpa mengharap penerimaan. Memberi tanpa mengharap dibalas kembali. Toleransi dalam rumahtangga. Kau tolong buat kerja isteri, isteri tolong buat kerja kau tanpa masing-masing berkira. Takde keluar istilah, ‘eh ini bukan abang yang patut buat. Ini awak kena buat’. Atau ‘abang ni asyik saya je memasak, tolong la masak sikit..’.”

Syamir termenung.

"Jadi sepatutnya aku kena beri pada isteri aku tanpa mengharap dia balas apa aku beri?" Syamir mengangkat kening.

Saya tersenyum. Syukur dia mengerti.

"Ada masa, rendahkan ego pada isteri kau bro. Kalau dia tidak memasak, kau masakkanlah untuk dia, walaupun hanya telur goreng atau megi kari. Kalau ada kesempatan, ironkanlah baju untuk dia sekali walau kau iron senget sana sini, bukan hanya untuk diri kau. Jika punya waktu, bawalah dia berdating dengan kau, hanya berdua. Cari masa untuk kau dan isteri kau bersama. Anak kau suruh kawan atau keluarga terdekat kau jaga sekejap. Pergi tasik titiwangsa ke, bercuti honeymoon semula ke atau mana-manalah tempat romantik."

Saya dan Syamir tersenyum.

"Dan wajibkanlah diri dan keluarga kau untuk tahajud bersama walau seminggu sekali. Hidupkan budaya al Quran dalam rumah. Biasakan baca hadis dalam rumah. Selalu dengar ceramah, tazkirah atau apa-apa majlis ilmu. Itulah intipati penting dalam rumahtangga dan sesuatu untuk kau menyerikan cinta kembali. Malah ia penting untuk pendidikan anak kau.” Saya melirikkan senyuman.

Secara tiba-tiba, Syamir mengalirkan air mata.

"Eh kau dah kenapa?" Saya terkejut. Tak pernah nampak dia menangis.

"Aku., aku rasa macam dah lama tak tahajjud. Apatah lagi dengan isteri. Kali terakhir aku baca Quran pun aku dah lupa. Solat berjemaah pun, entah lah. Rasa masa solat Jumaat dan solat Raya je kot. Majlis ilmu, aku rasa kali terakhir masa aku tinggalkan usrah dulu sebelum kahwin.” Syamir mengesat airmata lelakinya.

Saya menepuk bahunya.

"Dah la.. jangan menangis bro. Tak macho la kau. Hehe." Saya tersengih.

Syamir menganggukkan kepala menahan sebak.

"Yang penting, banyakkan berbincang dengan isteri kau. Bincang elok-elok. Banyak benda boleh settle kalau bincang. Tinggalkan prasangka, sebab prasangka ni kebanyakkannya adalah dosa.[1]

“Dan lagi satu, hangan pernah terfikir untuk bercerai. Itu bukan jalan penyelesaian yang baik kecuali kalau tiada jalan lagi. Cuba sedaya mungkin untuk pertahankan rumahtangga. Banyakkan istikharah dan istisyarah iaitu berbincang.” Saya memberikan harapan dan cadangan.

“Kau nak tahu kenapa doa kita hari ni banyak tak makbul?”

Syamir mengangkat kening.

“Kenapa?”

“Sebab kita banyak mengharap dan meminta bantuan dari manusia dulu, daripada kita minta dan doa pada pencipta manusia, iaitu Allah. Sedangkan kita patut dahulukan Allah dulu barulah manusia.”

Padu. Syamir tertunduk. Ya, dia terasa seolah tergesa-gesa tindakannya. Dan terasa seolah persoalan kian terjawab.

"Terima kasih bro.. err.. kau join usrah lagi? Aku rasa nak join semula.." Syamir memandang wajah saya.

Saya tersenyum lebar.

“Aku ada usrah malam esok kat rumah aku. Mai datang lepas isyak. Lu belajar jalan ke sorga!" Saya berjenaka.

Kami berdua ketawa.

“Oh ya, last sekali aku nak sebut.”

Syamir memandang saya.

“Kalau boleh, elakkan tuding jari pada orang dulu, terutama isteri. Muhasabah diri sendiri dulu, sebelum salahkan pihak lain. Itu penting untuk rendahkan ego. Bukan jadi dayus, tapi jadi bijak.”

Syamir mengangguk.

“Okay.”

——

Pengajaran :

1.    Berbincanglah dalam apa jua situasi. Sebab bincang banyak selesaikan masalah.

2. Dan paling penting, jangan lupa minta doa sungguh-sungguh pada Allah untuk buat sesuatu urusan. Bukan sekadar nak kahwin je, bahkan dalam apa jua benda. Moga Allah pelihara kita.




[1] Surah Al Hujurat : 12



- Shukery Azizan -

Sumber : Dipetik dari Cerpen Sentap karya Shukery Azizan. Kongsikan pada kawan-kawan dan group sebelah jom, dan moga bermanfaat !! :)

--------------------------

Ini adalah salah satu BAB daripada buku Cerpen Sentap tulisan Shukery Azizan yang bertajuk "Aku Nak Bercerai". Sekarang alhamdulillah sudah lama ada di pasaran sejak 2015.  Boleh dapatkan di MPH, Popular, Hasani, SMO dan lain-lain.

Siapa nak beli online buku ini, boleh hubungi atau whatapps nombor 
013-729 7785 

Anda semua dibenarkan untuk sebarkan tulisan dan buku ini ke seluruh galaksi dan jangan lupa bagi kredit kepada buku Cerpen Sentap tulisan Shukery Azizan. 

Bukan nak riya' or berlagak, tetapi sekurangnya kalau dalam tulisan beliau ada kesalahan, at least orang yang nak tegur tu boleh tahu siapa penulisnya dan macam mana nak tegur penulis tersebut (dalam kes ni, tegur Shukery Azizan). Dan juga at least beliau boleh "tracking" ke mana tulisan dia pergi. :)

Semoga bermanfaat :)

Bismillah...

Siapa nak beli online buku ini, boleh hubungi atau whatapps nombor 013-729 7785 

#ShukeryAzizan
#CerpenSentap
#TarbiahSentap

9 comments:

Nur Zakirah Muhamad Rohim said...

Ohhseeemm

Hilmi azman said...

Ada typo satu perkataan.

Hilmi azman said...

Ada typo satu perkataan.

Ali Hakim said...

Cerita yang menarik, walaupun ada typo tapi best sangt2 cita ni.. dan cerita ini bagi semangt untuk org yang tengh ada masalah dengan keluarga..
Rahsiabenangmerah= blog saya, harap dapat tengok blog saya dan tegur kalau ada yang salah apa2 ye.. assalam..

Anonymous said...

������

Syaz Oneniy said...

cinta dan tanggungjawab... check! (buat list resepi rumahtangga)

Nazariah Aziz said...

👍👍👍

Hidayah Abdul Kadir said...

Inspired..! 🙂 jazakumullahu khairan jzk atas perkongsian yang bermanfaat ini. Semoga terus istiqamah berkarya, demi mendidik ummah.

Fatin Afifah said...

Best dan bermanfaat! Terima kasih ye... Nak share boleh?