Tarbiah Sentap: July 2015

Tuesday, 21 July 2015

Cara nak tegur kawan tanpa dia terasa?


Bismillah.

Saya banyak kali dapat soalan macam ni:

“Ustaz, macamana nak tegur kawan kita, pada masa yang sama, dia tak terasa? Saya takut nak tegur kawan saya, takut-takut, dia akan jauhkan diri dia dari saya…Huhu..”

Hmm..

Saya kira, ramai di kalangan kita takut nak menegur kawan, takut nak buat dakwah, takut nak post dan twit benda baik kat media sosial, sebab takut orang terasa, takut orang kutuk, takut orang benci, takut orang pulau kita dan sebagainya. Sungguh, ramai sangat yang fikir macam ni, yang mana akhirnya, akibat dari “perasaan takut” ini, ramai sangat yang tinggalkan dakwah, lalu, akhirnya hanyut di buai nafsu, terpengaruh dengan kawannya yang buat dosa dan maksiat.

Jadi, apakah penyelesaian tentang perkara ini?

Yelah, kita semua pun tahu, dakwah tu hukumnya WAJIB. Kita layak tak layak tu lain cerita. Actually, kalau kita ni ISLAM, kita dah di kira layak untuk dakwah. Isu amal taka mal, cakap tak serupa bikin dan yang sama waktu dengannya, saya dah ulas panjang lebar dalam buku Tarbiah Sentap 1, dalam bab 4.

Kali ni, saya nak terangkan secara detail tentang isu “dakwah tanpa orang terasa”, step by step. Saya harap sangat, korang boleh dapat manfaat, faham secara lumat, dan moga ianya membuatkan korang rasa berani dan kuat!

Jom kita hayati, amati, fahami, satu per satu.

HAKIKAT , SUNNAH DAN ASAM GARAM DAKWAH

Saya akan ulas subtopik ni dalam bentuk point. Take note satu persatu ye:)

1) DAKWAH ITU MEMANG AKAN MEMBUATKAN ORANG TERASA.

“Ha? Apa? Biar betul?!”

Ye. Betul.

Memang bila kita menegur, orang yang di tegur akan terasa. Percayalah. Korang pernah kena tegur tak? Korang terasa tak dengan teguran tu? Komfem korang terasa punya. Jangan tipu diri sendiri.

Kenapa terasa?

Saya bagi perumpamaan mudah untuk korang boleh faham.

Bayangkan, kalau bilk tidur korang gelap sebab korang tutup lampu nak tidur. Tiba-tiba, ada kawan korang masuk bilik korang dan bukak lampu. Mesti mata korang akan sakit kan? Sebab dah lama duduk dalam gelap, tiba-tiba ada cahaya masuk. Sakit kot mata…

Tapi, sakit tu sekejap je. Lama-lama, mata kita akan normal balik. Dalam subjek sains ada ulas topic ni. Cuba ulangkaji. Hehe..

Anyway, apa yang saya nak sampaikan sebenarnya?

Actually, kegelapan tu ibarat dosa. Dan cahaya lampu tu ibarat teguran kita. Awal-awal, bila kena tegur, memang hati kita akan sakit, kita akan terasa, sebab kita dah lama buat dosa(kegelapan), lepas tu orang tegur(cahaya), kita akan terasa lain macam.

TAPI, kalau kita rasional, dan tak ego, kita akan terima teguran tu. Walaupun yang tegur tu ialah orang yang paling kita tak suka. Sebab, kita jangan pandang orang yang menegur, tapi, pandanglah apa yang di tegur.

So, nak buat macamana??

Bila kita tegur dengan cara lembut ke, cara tegas ke, orang akan tetap terasa. Percayalah. Tapi, yang membezakan orang beriman dengan orang yang tak beriman ialah bagaimana respon kita setelah di tegur.

a) Orang beriman, dia akan mengambil manfaat dari teguran tu.

وَذَكِّرْ فَإِنَّ الذِّكْرَى تَنْفَعُ الْمُؤْمِنِينَ
“Dan berilah peringatan, kerana peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman…”
(Az-Zariyat: 55)

b) Orang Kafir takkan terima teguran tu.

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُواْ سَوَاءٌ عَلَيْهِمْ أَأَنذَرْتَهُمْ أَمْ لَمْ تُنذِرْهُمْ لاَ يُؤْمِنُونَ
“Sesungguhnya orang-orang kafir itu, sama sahaja, kamu menegur mereka atau kamu tak menegur mereka, mereka takkan beriman….”
(Al-Baqarah: 6)

c) Orang munafiq pulak, dia pura-pura terima, tapi hati mereka menolak, lepas tu kutuk belakang.

وَإِذَا لَقُواْ الَّذِينَ آمَنُواْ قَالُواْ آمَنَّا وَإِذَا خَلَوْاْ إِلَى شَيَاطِينِهِمْ قَالُواْ إِنَّا مَعَكْمْ إِنَّمَا نَحْنُ مُسْتَهْزِئُونَ

“Dan apabila mereka berjumpa dengan orang beriman, mereka berkata, ‘Kami telah beriman’. Tetapi apabila mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka(para pemimpin, rakan dan lain-lain), mereka berkata: ‘Sesunggunya kami bersama kamu(orang beriman) hanyalah olok-olok sahaja…”
(Al-baqarah: 14)

So, kesimpulannya, orang terasa dengan teguran kita tu adalah fitrah, normal, dan tak boleh di elak.

Jangan sedih.

2) DAKWAH ITU PASTI ADA TENTANGAN

Pertama, saya nak nyatakan secara terus terang bahawa:

“Dakwah pasti dan pasti akan mendapat tentangan”.

Sungguh saya kata. Percayalah.

Tak percaya?

Korang mesti pernah dengar kisah nabi Nuh bukan? Macamana nabi Nuh dakwah pada umatnya, selama 950 tahun, tapi, umat nabi nuh bukan takat tak ikut nabi Nuh, tapi nabi Nuh di caci maki, di hina, di pulau, di boikot, di jauhi, di benci, di perkecilkan dan sebagainya. Dan lebih menyedihkan, isteri dan anak nabi Nuh pun turut sama menjauhi nabi Nuh!

Cuba korang bayangkan, rasa-rasa apa perasaan nabi Nuh?

Sungguh, nabi nuh rasa sedih, hatinya pedih, nabi nuh menangis, merintih, bahkan, kadang, nabi nuh rasa putus-asa. Cuba korang salami perasaan nabi Nuh, cuba korang amati luahan hati nabi nuh dalam surah Nuh. Hayati!

Nuh berkata:

قَالَ رَبِّ إِنِّي دَعَوْتُ قَوْمِي لَيْلا وَنَهَارًا
“Ya tuhanku, sesungguhnya, aku telah menyeru kaumku siang dan malam!”

فَلَمْ يَزِدْهُمْ دُعَائِي إِلاَّ فِرَارًا
“Tetapi, seruanku itu tidak menambahkan iman mereka, bahkan mereka lari dari kebenaran!”

وَإِنِّي كُلَّمَا دَعَوْتُهُمْ لِتَغْفِرَ لَهُمْ جَعَلُوا أَصَابِعَهُمْ فِي آذَانِهِمْ وَاسْتَغْشَوْا ثِيَابَهُمْ وَأَصَرُّوا وَاسْتَكْبَرُوا اسْتِكْبَارًا
“Dan, sesungguhnya, setiap kali aku menyeru mereka untuk beriman agar Engkau mengampuni mereka, mereka memasukkan anak jari mereka ke telinganya(tutup telinga), dan menutup mukanya dengan baju, dan mereka mengingkari serta menyombongkan diri….”

(Nuh : 5 hingga 7)

Serius. Bila saya baca surah Nuh ni, saya agak sebak. Nabi Nuh dakwah 950 tahun kot, siang dan malam kot! Lepas tu kena kutuk gila-gila. Tapi, baginda tetap kuat, tetap teguh menyampaikan kebenaran! Kita, kena kutuk sikit, kita down. Kita terus rasa give up, tak nak dakwah. Kita rasa tak mampu, kita rasa geram dengan orang yang tak terima teguran kita.

Tapi, kenapa kita tak nak bandingkan diri kita dengan nabi Nuh? Kalau nabi Nuh mampu kuat, kenapa kita tak boleh?

Hmm..

Korang mesti pernah dengar kisah nabi Ibrahim kan? Macamana nabi Ibrahim usaha untuk memahamkan umatnya supaya tak sembah berhala, macam-macam cara baginda lakukan untuk menyeru umatnya. Akhirnya, nabi Ibrahim hancurkan berhala-berhala tersebut. Tahu apa jadi selepas itu?

Nabi Ibrahim kena marah dengan ayahnya sendiri, kena maki hamun dengan umat dia, dan nabi Ibrahim telah di bawa di khalayak ramai, dan telah di campakkan dalam API yang sangat besar, panas dan luas, sehingga mereka nak campak nabi Ibrahim kata pi tu, terpaksa kena guna lastik dari jauh, sebab bahang api tu terlalu panas!

Adakah nabi Ibrahim putus asa dan takut untuk terus sebarkan dakwah?

Tidak!

Kita ni, kena-kena kutuk pun, takdelah sampai kena campak dekat api. Paling-paling pun kena bantai, kena bash dengan haters. Kalau kita rasa nak down, cuba bandingkan diri dengan nabi Ibrahim. Kalau nabi Ibrahim mampu kuat, takkan kita tak boleh?

Huh..

Korang mesti pernah tahu, kisah Nabi Isa. Bagaimana kaumnya telah mengejar dan memburu nabi Isa untuk membunuh nabi Isa. Nabi Isa adalah nabi yang termiskin. Tiada rumah, hidup sebatang kara. Lantaran kemiskinan itu, kaumnya memandang rendah akan diri baginda. Mereka nak bunuh nabi Isa! Sehingga nabi Isa lari, lari dan lari, seterusnya menyorok di belakang pokok, menyelamatkan diri.

Kita ni, takdelah sampai orang kejar kita nak bunuh kita. Kalau kita rasa down, cuba bandingkan diri kita dengan nabi Isa. Bandingkan. Kalau nabi Isa mampu untuk kuat dan tak putus asa, mengapa tidak kita?

Huh…

Korang mesti pernah dengar kisah nabi Musa kan? Macamana nabi Musa dan pengikutnya di buru oleh Firaun, Firaun nak bunuh mereka! Di kejar habis-habisan, sampai pengikut nabi Musa dah ragu-ragu!

“Betul ke ajaran nabi Musa ni betul? Kalau betul, kenapa kita di benci sebegini teruk??’

Mereka di kejar oleh tentera Firaun, yang mana akhirnya, nabi Musa dan pengikuntnya tersekat di sebuah laut. Tiada jalan keluar, kalau nak mara ke hadapan, lemas di lautan. Kalau nak patah balik, mati di bunuh tentera Firaun yang lengkap bersenjata.

Tapi, akhirnya, Allah perintahkan nabi Musa untuk pukul laut tu dengan tongkat, lantas terbelah la laut tersebut, dan nabi Musa serta pengikutnya dapat laluinya dengan selamat!

Selepas peristiwa tu, nabi Musa pergi ke bukit tursina selama 40 hari. Setelah 40 hari, tika nabi Musa kembali ke halamannya, alangkah terkejutnya nabi Musa, pengikutnya semua telah murtad dan menyembah sapi betina!!! Nabi Musa sangat sedih, sangat marah. Mana taknya, Allah dah tunjukkan kebesaranNya dengan membelah laut, tapi, kaumnya masih boleh lagi berpaling dari Allah…

Agak-agak apa perasaan kita, bila kita dah dakwah seseorang, seseorang tu dah jadi baik, tiba-tiba, suatu hari, bila kita jumpa orang tu, dia jadi teruk semula dan lupakan segala kebaikan yang kita dah buat kat dia. Mesti kita pedih bukan??

Tapi, kalau nabi Musa boleh kuat, kenapa kita tak boleh?

Isk isk…

Korang mesti pernah dengar kisah Nabi Muhammad bukan? Time di fasa mekah, bagaimana awal-awal, nabi naj ajak penduduk mekah kepada Allah. Nabi Muhammad di pulau, di seksa, di cerca, di tuduh gila, di tuduh ahli sihir, di tuduh pemecah belah umat, di tuduh kena rasuk jin, di benci begitu sekali. Sehingga kaum quraisy ketika tu amat benci siapa-siapa yang ikut nabi Muhammad.

Sumayyah di sula sampai mati!

Keluarga Yasir di seksa sampai mati!

Bilal b Rabah di seksa di atas padang pasir yang panas, dan di letakkan batu yang besar di atas badannya!

Khabbab Al-Arat di pakaikan baju besi, kemudian di panggang di atas bara api, sehingga baju besi tersebut menjadi panas, menggelegak, sampai kulit daging beliau terkeluar, dan lemak-lemak dagingnya telah memadamkan bara api tersebut!

Abu Bakar di bantai, di pukul, sehingga mukanya tak dapat di cam oleh orang ramai lantaran bengkak, lebam, dan luka berdarah di seluruh tubuh badannya!

Sehingga, sahabat meluahkan rasa sedih, pedih, kecewa dan sengsara mereka pada nabi, mereka hampir putus-asa, lantas Allah berfirman untuk menjawab segala kekecewaan mereka:

“Adakah kamu mengira kamu akan masuk syurga, sedangkan belum datang kepadamu ujian seperti yang di alami oleh orang-orang terdahulu daripadamu? Mereka di timpa kemelaratan, penderitaan, dan di goncang dengan pelbagai ujian, sehingga rasul dan orang-orang beriman bersamanya berkata; ‘Bilakah pertolongan Allah akan hadir?!!” Ingatlah, bahawa, pertolongan Allah itu amatlah dekat….”

(Albaqarah: 214)

Kenapa saya cerita semula kisah-kisah ini?

Supaya kita sedar, bahawa asam garam dakwah ialah, kita akan mendapat tentangan. Maka, kalau mereka semua mampu untuk bertahan dan setia dengan kebenaran hingga saat akhir, mengapa kita tak boleh?

Saya yakin, kita semua mampu!

3) DAKWAH MEMBUATKAN KITA DI AKAN HILANG KAWAN.

Cuba korang hayati kata-kata seorang tabien yang bernama Uwais Alqarni rahimahullah. Beliau berkata:

إن الأمر بالمعروف والنهى عن المنكر لم يدعا للمؤمن صديقا۔ نأمرهم بالمعروف, فيشتمون أعراضنا, ويجدون في ذلك  أعوانا من الفاسقين, حتي والله لقد رموني بالعظائم, وأيم الله, لا أدع أن أقوم فيهم بحقه

“Sesungguhnya, melaksanakan kewajipan mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran itu akan menyebabkan orang beriman itu tidak mempunyai kawan. Apabila kita mengajak mereka kepada kebaikan, maka mereka pun akan mencela kehormatan kita, dan mencari penyokong di kalangan orang yang fasiq (untuk melakukan kerosakan kepada kehormatan diri kita.

Sesungguhnya demi Allah! Mereka telah menuduhku dengan pelbagai tuduhan yang dahsyat. Namun, demi Allah juga, aku sama sekali tidak akan meninggalkan untuk menegakkan (amar makruf nahi munkar) kepada mereka dan kewajipannya!”

(Kitab Al-I’tishom, Imam Al-Syatibi)

Cuba korang perhatikan. Kalau korang nak tahu, Uwais Alqarni adalah penghulu para tabien, salah seorang wali Allah yang mahsyur, banyak riwayat yang menyatakan kelebihan beliau. Kalau tokoh setaraf wali pun kena hentam dan di tuduh macam-macam sebab mahu menegur manusia, maka, kita yang biasa-biasa ini apatah lagi. Akan di tuduh, di buka aib, di ungkit silah silam dan sebagainya.

Tapi, takkan nak putus-asa pulak? Jangan. Ingat, ingat:

“Kalau tokoh setaraf wali pun kena hentam dan di tuduh macam-macam sebab mahu menegur manusia, maka, kita yang biasa-biasa ini apatah lagi…”

Kan?

4) TAK SEMUA ORANG AKAN TERIMA DAKWAH KITA.

Ni pun kita kena perhatikan secara teliti, secara lumat, secara mendalam.

“Tak semua orang akan terima dakwah kita!”

Kadang-kadang, kita nak semua orang terima apa yang kita cakap, kita nak semua orang terima cara kita, kita nak semua orang berubah dengan dakwah kita. Lepas tu, bila ada orang yang tak berubah, bila ada orang tak terima, bila ada orang jauhkan diri, kita rasa stress, tertekan, tension.

Sebab apa?

Sebab kita ingat semua akan wajib terima cara dan dakwah kita, dan kita tak boleh terima bila ada orang tak terima kita. Lepas tu kita down..

Rileks dan bertenang.

Kita ni bukan tuhan. Kita bukan Allah.

Yang bagi hidayah pada manusia bukanlah dengan teguran kita, kata-kata kita, tulisan kita dan sebagainya. Tapi, yang bagi hidayah ialah Allah!!

Mungkin seseorang tu tak boleh berubah dengan cara kita, tapi dia boleh berubah dengan cara orang lain.

Sebab tu, bila ada orang tak terima teguran kita, kita jangan marah. Tapi, kita doakan agar mereka dapat berubah dengan teguran orang lain.

Saya ulang:

“Bila ada orang tak terima teguran kita, kita jangan marah. Tapi, kita doakan agar mereka dapat berubah dengan teguran orang lain…”

Ini tak. Ada segelintir kita, bila orang tak boleh terima teguran dia, dia terus maki hamun, menghina orang tu dengan pelbagai penghinaan dan caci maki, seolah-olah orang tu takde harapan untuk berubah. Apakah?!

Jangan macam tu kawan.

Ingat…

إِنَّكَ لَا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَكِنَّ اللَّهَ يَهْدِي مَن يَشَاءُ
“Sesungguhnya kamu tak dapat memberi hidayah kepada orang yang kamu cintai, tetai Allah lah yang memberi hidayah kepada siapa yang Dia kehendaki…”
(Al-Qasas: 56)

Kerana itu, banyaklah berdoa pada Allah agar memberi mereka hidayah, dari asyik memaki hamun orang yang tak nak terima dakwah kita.

Lagi satu, ada di kalangan kita, di sebabkan nak SEMUA orang terima dakwah dia, maka diapun melonggarkan agama, dia tak berani nak cakap yang haram tu haram, bahkan sampai satu tahap, dia menghalalkan yang haram hanya semata-mata nak kelihatan “terbuka”, dan supaya di terima ramai. Untuk orang-orang yang macam tu, cuba korang hayati kata-kata ini:

رضا الناس غاية لا تدرك
“Keredhaan manusia ialah matlamat yang tak mungkin akan tercapai..”
(Imam Syafie)

Kita takkan boleh buat semua orang terima kita. Percayalah. Sebab tu, kita jangan buat dakwah untuk nak dapat like, nak ramai followers dan nak semua orang suka.

Biasala tu orang tak terima. Hayati juga kata-kata seorang ulama’ salaf:

الناس أعداء ما جهلوا
“Manusia itu memusuhi apa yang dia tidak tahu..”

Namun redha Allah itu yang aku cari...

وفي رضا الله كفاية عن رضا كل أحد
“Pada keredhan Allah itu ada kecukupan daripada mengharap kepada redha sesiapa pun…”

Burulah redha Allah. Bukan redha manusia.

***

BEBERAPA SKILL DALAM DAKWAH

Setelah kita tahu beberapa hakikat dan asam garam dalam dakwah, saya nak kongsi pada korang semua, beberapa skill dalam dakwah, agar, dakwah kita ini mudah di terima(walaupun tak semua akan terima).

Sebab sometimes, ada orang, memang dakwah dia takde orang terima langsung. Sebagai pendakwah, kita kena sentiasa koreksi diri setiap kali dakwah kita tak di terima.

Sebenarnya, dakwah ni tak semata-mata MENEGUR. Sometimes, nak dakwah ni, kita tak perlu nak tegur sangat pun, orang boleh berubah. Macamana?

Sebelum kita nak dakwah seseorang, kita kena berkenalan dengan dia, kena rapat dengan dia, kena dekati dia. Janganlah tak pasal-pasal, datang kat dia, terus tegur. Contohnya, ada couple, kita nampak, terus kita datang kat dia dan kata:

“Apa korang ni couple-couple… Janganla couple. Tak elok!”

Cara ni memang agak tak berkesan. Walaupun kadang-kadang berkesan.

Tapi, apa yang sepatutnya kita buat, kalau kita ada kawan yang kaki couple, atau kaki rokok, atau kaki drama dan movie, atau apa-apa lah, sebelum kita nak tegur, kita kena kenali diri dia dulu.

Dalam step pertama ni, antara benda yang korang boleh buat ialah:

a) Berkenalan dengan dia. Tanya nama, asal usul, tempat tinggal, atar belakang family, apa yang dia suka, apa yang dia tak suka, dan sebagainya. Bila kita dah kenal, barulah kita boleh tahu apa punca dia bermasalah. Mungkin ianya berpunca dari keluarga, atau kewangan dia tak stabil, atau pelajarannya teruk, dan apa-apa masalah, yang mana ianya membuatkan dirinya tertekan lalu terjebak dalam maksiat. So, dari situ, kita boleh dekati dia.

Kan?

b) Jalan-jalan dengan dia. Ajakla dia jalan-jalan, main bola sekali, atau shopping sekali, atau pergi program sekali, atau jogging sama-sama, musafir pergi laut atau sungai sama-sama. Bila kita musafir sama-sama, dari situ kita boleh tengok karakter kawan kita secara dekat. Time dia penat macamana sifat dia, time dia marah macamana diri dia, time masa kosong apa dia buat, kita boleh tengok dia concern atau tak dengan waktu solat, dan sebagainya. Sebab tu Umar Alkhattab kata:

“Jika kamu ingin mengenali kawanmu, maka, makanlah dengannya, tidurlah dengannya, dan bermusafirlah dengannya…”
(Umar Alkhattab)

c) Bagi hadiah. Korang kenalah buat kawan korang tu rasa di hargai. Bagi dia hadiah, belanja dia makan, gembirakan dia, hargai dia, puji kebaikan yang dia buat. Sebab kadang-kadang, orang rasa tak nak berubah sebab dia rasa tak di hargai. Dia rasa semua orang benci dia. Tapi bila korang menghargai kebaikan yang dia buat, di situ hati dia akan tersentuh, akan lembut, dan akan senang terima kebenaran.

d) Dengar luahan dia. Sometimes, kita asyik tegur, tegur, tegur je kawan kita. Tapi, kita tak pernah nak dengar luahan masalah dia. Kita marah bila dia tak nak dengar cakap kita. Tapi kita pulak tak nak dengar luahan dia. Sometimes, ada benda yang dia nak cerita kat kita. So, dengar. Dengar luahan dia, dengar masalah dia, kalau dia nangis, fahamilah perasaan dia, pujuk dia, support dia, bagi dia semangat. Jadilah pendengar yang setia!

e) Tegur dan bimbing dia. Bila dia dah luahkan masalah, barulah korang tegur dia. Dan, jangan takat tegur, tapi, BIMBING dia. Dari awal dia nak berubah, sehingga saat akhir, kita bimbing dia, step by step, slowly slowy.

f) Tackle satu-satu isu. Mulakan dengan cerita pada dia tentang iman, supaya dia rasa bahawa Allah itu dekat dengannya, Allah itu maha penerima taubat. Cerita kat dia tentang Allah, kebesaran Allah, kasih-sayang Allah, pengampunan Allah, maha pengasihnya Allah.

Kemudian baru tackle isu IBADAH. Ajar dia SOLAT, kemudian ajak dia solat awal waktu, kemudian ajak dia solat jemaah, ajak dia pergi masjid dan surau, kemudian, ajak dia pergi MAJLIS ILMU, dengar kuliah, ajak ikut usrah, dengar ceramah, kita bagi dia buku-buku agama.

Kemudian, bila dia dah rapat dengan kita, dan hatinya dah subur dengan iman dan ibadah, barulah kita suruh dia tinggalkan jahiliah yang dia buat. Couple ke, rokok ke, video lucah ke, drama movie ke, apa-apalah. Bila hati dah ada iman, baru dia akan rasa teguran tu BERMANFAAT untuk dia.

Lalu, setelah dia dah dapat tinggalkan jahiliah, kita explain pula pada diri dia tentang DAKWAH. Tanam dalam diri dia kepentingan dakwah, kewajipan dakwah, ajak dia dakwah sama-sama, dan akhirnya, dia akan jadi pendakwah macam kita juga, bahkan lebih baik insyallah!

Akhirnya, kena tengok keadaan juga. Teguran umum berbeza dengan teguran khusus. Step yang saya tunjuk di atas ini adalah untuk teguran khusus, face to face.

Hatta perkara inilah yang di lakukan oleh Rasulullah bila nak islamkan Bilal bin Rabah.

Nabi setiap hari datang kat tempat Bilal, dan buat kerja-kerja Bilal(kita pun tahu, Bilal ni hamba, dan kerjanya amat berat), tapi, nabi buat semua kerja-kerja Bilal. Setiap hari!! Sampai satu masa, Bilal tanya nabi:

“Wahai Muhammad, kenapa kau buat semua kerja-kerja aku setiap hari? Apa yang kau inginkan daripada aku?”

Lalu, nabi menjawab:

“Aku nak kau masuk islam….”

Terus Bilal ‘cair’, dan on the spot, Bilal masuk islam!!

Hebatkan nabi?

Subhanallah. Sebab tu kita kena cuba tiru nabi.

Adapun teguran umum, seperti ceramah, talk, penulisan buku, twitter, blog, FB dan sebagainya, terpulanglah dengan cara masing-masing. Asalkan bertepatan dengan Alquran dan sunnah. Boleh rujuk kisah nabi mengumpulkan kaum quraisy dan mengajak mereka masuk islam, tapi takde sorangpun terima, bahkan nabi di cerca oleh Abu Lahab. Pada masa yang sama, ada juga yang menerima.

***



KESIMPULAN

Akhir sekali, dalam dakwah ni, dalam menegur ni, kita janganlah cepat mengalah. Sentiasalah check diri masing-masing.

Saya sendiri bila buat Tarbiah Sentap ni ada orang kata saya bodoh, orang kata saya bangang, orang kata saya sesat, orang kata saya syadid, jumud, pemikiran sempit, orang kata saya babi, orang kata saya sial, orang perli dan perlekeh, orang kata dakwah saya tak relevan, orang kata saya ni menjauhkan orang dari islam, orang suruh saya delete akaun Facebook dan twitter, orang bash saya, biasala tu.

Sedih memang sedih. Tapi sebenarnya, best jugak bila ada orang kutuk. Kenapa?

Sebab bila ada orang kutuklah, kita akan rasa yang kita ni sebenarnya hina, lemah tak berdaya, tiada apa-apa kelebihan. Barulah kita rasa rendah diri pada Allah, rasa feel bila doa dan sujud. Kalau asyik di puji je, kita akan lupa diri. Sebab tulah, Allah hantar orang untuk kutuk kita supaya kita tak lupa diri!

Allah nak dengar rintihan dan tangisan kita.

Pada masa yang sama, saya dapat puluhan ribu emel, juga ribuan soalan di Facebook, ramai orang yang mengatakan dia rasa semangat nak berubah lepas baca tulisan saya, bagaimana Tarbiah Sentap memberi inspirasi pada diri dia, dan macam-macam soalan orang nak berubah dari kes sedahsyat nak murtad, dah terlanjur, ketagih video lucah dan onani, gay lesbian, sehingga isu rumah tangga, penceraian, derhaka, isu ukhwah, persahabatan, isu fiqh, dan sebagainya.

Alhamdulillah.

Nak kata, dakwah ni, akan ada orang terima dan akan ada orang tak terima. Itulah fitrah. Janganlah kita down kerana memikirkan kutukan orang pada kita. Sebab, kita dakwah tujuannya bukannya untuk mendapat pujian.

Imam Ahmad dakwah, sampai semua orang anggap dia sesat, dan dia telah di penjarakan oleh Khalifah di zamannya, tetapi, akhirnya, kebenaran itu tetap kebenaran, walaupun satu dunia menolaknya.

Akhir kata, bila kena bash, nasihat saya:

“Muhasabah diri, taubat pada Allah, doa dan minta ampun pada Allah sungguh-sungguh…”

Kerana, Imam Syafie berkata:

“Kalau kau tak terkesan dengan dakwah ku, hanya di sebabkan 2 perkara. Samada, hati AKU yang kotor, ataupun hati KAU yang kotor…”
(Imam Syafie)

Wallahua’lam.

*Jom dengar lagu terbaru The Faith bertajuk KEMBALILAH. Sebuah lagu cover "Love Yourself". Terbitan Tarbiah Sentap Records. Moga bermanfaat!




Saturday, 11 July 2015

5 Tanda Kau Ego?


EGO ni semua orang tahu yang ianya amat buruk. Takde siapa yang suka orang yang ego. Bahkan, semua orang stress dan tension bila berurusan dengan orang yang ego. Cuma, masalahnya hari ni, ramai orang yang ego, dia tak perasan yang dia sebenarnya ego, bahkan, dia akan anggap orang lain yang ego, padahal sebenarnya dia yang ego.

Siapa yang pernah berurusan dengan orang yang ego ni, mesti korang faham kan? Tapi, saya nak ajak sama-sama kita reflect diri kita. Berkemungkinan kita pun sebenarnya ego. Bahkan, mungkin saya pun boleh terjebak dengan sifat ego ini. Maka, tegur-tegurlah saya.

Secara mudah, semua orang menyampah berurusan dengan orang-orang ego ni. Tension kot. Tapi, masalahnya ialah, ego tu apa actually?

Jom soroti satu persatu.

EGO TU APA?

Kalau korang nak tahu, perkataan lain bagi ego ialah TAKABBUR.

So, takabbur tu apa sebenarnya? Hayati hadith ni.

الكبر بطر الحق وغمط الناس
“Takabbur itu ialah MENOLAK KEBENARAN dan MERENDAHKAN MANUSIA..”
(Hadith Riwayat Muslim)

So, mungkin dari hadith ni, ada yang tak faham lagi kan ego ni apa sebenarnya? Insyallah, saya akan hurai satu persatu TANDA yang kita ni ada sifat EGO, SOMBONG dan TAKABBUR. Jom tengok satu-satu, dan muhasabah sama-sama insyallah.

TANDA-TANDA KITA EGO

Saya akan hurai dalam bentuk point serta bagi contoh-contoh yang realti, supaya korang boleh faham betul-betul insyallah. Saya akan listkan tanda-tanda ego. So, jangan tuding jari pada orang lain lepas ni, check diri…

1) TAK BOLEH TERIMA TEGURAN

Orang yang ego ni, dia susah gila nak terima teguran bila dia buat dosa. Dia akan rasa yang dia tak bersalah, dan dia akan anggap orang yang tegur dia tu yang salah, lantas dia mempertahankan kesalahannya. Sedangkan dah jelas dah yang dia salah.

Kalau dia ADA HUJAH untuk nak mempertahankan kesalahan dia takpe la jugak. Tapi, dia takde satu pun hujah. Contohnya, kalau orang yang tak pakai tudung misalnya, bila kita tegur:

“Tutup aurat tu wajib. Marilah kita menutup aurat. Allah memerintah kita semua dalam surah annur supaya tutup aurat. Bagi lelaki, pusat hingga lutut. Bagi wanita, semua anggota tubuh kecuali muka dan tapak tangan.”

Lepas tu depa jawab:

“Apa salahnya tak pakai tudung? Apa salahnya nak free hair? Rilex sudah. Sekarang ni dah moden. Ni hak aku untuk tak pakai tudung. Tak payahla nak paksa-paksa. Kau ingat, orang yang pakai tudung ni baik sangat ke??! Aku dah jumpa ramai orang yang pakai tudung tapi perangai takde akhlak dan biadap. So, janganla judge aku ni jahat hanya kerana aku tak pakai tudung! Jangan pandang luaran la oi!!”

And then kita tanya balik:

“Erm… Ada tak dalil dari ayat quran dan sunnah yang membenarkan untuk kita tak tutup aurat?”

Dia jawab:

“Ayat quran tentang tutup aurat tu untuk zaman arab tu. Zaman tu sebab padang pasir, kena la tutup rambut semua takut kotor. Sekarang ni dah moden bla bla bla bla…..”

Nampak tak permainan dia? Bila mintak dalil, dia lari topic. Tak bagi apa dalil pun. Apa ke gerun daa…

Tapi, tulah. Bila kita ego, kita akan cuba usaha untuk mempertahankan dosa dan kesalahan yang kita buat walaupun kita takde hujah quran, sunnah dan kata-kata ulama’. Kita just ikut akal je, pastu rasa diri hebat dan tak boleh nak dengar teguran orang lain. Apakah?

2) TUDING JARI PADA ORANG LAIN

Tanda kedua kita ego dan susah nak terima teguran ni ialah bila kita buat salah, kita tuding jari kat orang lain, seolah-olah orang lain yang salah dan kita je betul. Apa masalah kita ni sebenarnya? Argh!

Saya bagi contoh. Bila ada orang tegur:

“Wahai kawan, kau kena berubah. Cukup-cukuplah buat dosa…”

And then kita balas:

“Weyh, kau tegur hikmahla sikit! Nak tegur pun agak-agakla.  Macamla kau takde dosa. Kau ingat kau tu baik sangat ke?? Nak tegur orang tengokla diri tu dulu bro….”

Aik, dah kenapa? Orang yang tegur tu pulak yang salah. Kesalahan kau, kau tak mengaku pulak? Seoalah-olah kau je yang tak boleh di tegur sebab kau tu takde dosa, dan orang lain tak boleh tegur kau sebab orang lain banyak dosa. Gila ah. Ego tahap kritikal tuuu….

Kalau kita nak berubah, orang tegur kita macam-macam mana pun, kita akan berubah jugak. Tapi kalau dah tak nak berubah, kita akan salahkan orang lain. Tegur lembutpun salah, tegur tegas pun salah, tak tegurpun salah. Habis apa yang betul? Kau je yang betul?

Nampak tak permainan dia? Seram tak? (tiba-tiba)

 3) SUKA BANDINGKAN SATU DOSA DENGAN DOSA YANG LAIN UNTUK PERTAHANKAN DOSA

Haa. Part ni la yang ramai orang buat. Bila orang tegur kesalahan yang kita buat, kita terus membandingkan dosa yang kita buat dengan dosa yang orang lan=in buat, untuk mempertahankan dosa yang kita buat. Memang comel.

Saya bagi contoh yang agak famous.

Contohnya bila kita tegur segelintir orang yang obsess kpop ni:

“Janganla dengar kpop dan janganlah tengok video kpop tu. Joget-joget, seksi, lepas tu lirik dia semua ada unsur yang tak elok, mengajak pada pergaulan bebas, cintan cintun bagai. Cukup-cukuplah…”

Lepas tu depa jawab:

“Apahal kau attack kpop je? Sikit-sikit kpop salah. Abis tu, drama melayu, artis melayu semua tu kau tak tegur??”

Aduh. Kita nak tegur dia pasal kpop sebab dia memang suka tengok kpop dan layan drama korea. Sebab tu kita tegur dia pasal kpop. Lepas tu dia bandingkan dosa dia dengan dosa yang lain. Saya tak cakap pun drama melayu yang bukak aurat bagai tu tak salah. Mereka pun salah.

Contoh lain, bila kita tegur:

“Cukup-cukuplah tengok drama melayu mengarut-ngarut tu. Cintan cintun, pergaulan bebas, aurat semua dalam tu. Dah dah la tu… Dosa kot..”

Depa jawab:

“Ala, kau dengki dah kenapa? Habis tu, orang yang tengok drama English, movie-movie bagai tu kau tak nak tegur?!”

Aduh.. Sejak bila kita cakap tak nak tegur?

Ataupun, contoh lain, kat asrama misalnya:

“Janganlah mencarut. Mencarut tu dosa…”

Lepas dia jawab:

“Ala, senior mencarut  boleh? Takkan kitorang tak boleh? Tegurla senior jugak!”

Macam-macam.

Contoh lain, bila kita tegur parti A bila parti A buat salah, depa akan bagi alasan:

“Ala, parti B buat, kau tak nak tegur pulak??”

Nampak tak apa yang saya nak maksudkan?

Sepatutnya kita kena syukur bila Allah hantar orang untuk tegur kita. Bukan ego dan membandingkan dosa yang kita buat tu dengan dosa orang lain. Seolah-olah dosa yang kau buat tu tak salah, dosa yang orang lain buat tu salah.

Lagi satu, jangan anggap orang yang tegur kita tu tak tegur orang lain. Sepatutnya kau kena rasa beruntung bila orang tu tegur kau dulu. Sebab dia tahu kau ada harapan nak berubah. Fahamkan?

4) MERENDAHKAN ORANG LAIN

Ni pun tanda ego. Contohnya, bila ada orang tegur kita, kita balas:

“Kau siapa nak tegur aku? Belajar pun tak habis, exam markah teruk, nak tegur-tegur orang. Haha… Tengok diri kau dulu la beb…”

“Haha… Kau tu ilmu cetek. Ada hati nak tegur aku…..”

“Kau tu muda lagi….Tak payahla nak cakap bab-bab agama ni…”

Dan sebagainya.

Wahai kawan. Kalau benda yang kita buat tu salah, tak kisahla siapa-siapa pun tegur kita, terimala teguran tu. Lainla kalau kita tak salah. Ni, kita dahla salah, takde hujah, lepas tu guna hujah yang merepek untuk pertahankan kesalahan, lepas tu pandang rendah orang yang menegur kita. Dah kenapa??

Mulia sangat ke kita sampai kita nak memandang hina orang lain?

Muhasabahlah.

5) SUKA MENCARUT

Ni pun satu hal.

Nabi saw bersabda:

بِحَسْبِ امْرِئٍ مِنَ الشَّرِّ أَنْ يَحْقِرَ أَخَاهُ الْمُسْلِمَ
“Cukuplah seseorang dikatakan berbuat jahat jika ia menghina saudaranya sesama muslim..”
(H.R. Muslim)

Sebenarnya bila kita suka mencarut, membodohkan orang, membabikan orang, membangangkan orang, mengsialkan orang, keluar kata-kata lucah, kutuk mak bapak orang, itu adalah TANDA SOMBONG.

Janganlah mencarut. Mencarut tu tanda iman masalah. Sebab, hati yang kotor sahaja yang akan keluarkan kata-kata kotor. Bukan cool pun kalau mencarut. Serius, langsung tak hensem.

TIPU DAYA IBLIS TERHADAP ORANG YANG BERILMU

Ramai juga di kalangan orang berilmu yang ego, sombong dan takabbur. Mereka rasa hebat dengan ilmu mereka, puas hati dengan ilmu, lepas tu memandang rendah, menghina, serta memalukan orang yang tak sependapat dengannya dengan kata-kata nista dan pandangan yang menghina.

Benda ni sangat bahaya! Bahaya gila gila bapak punya bahaya!

Bahkan, kesombongan orang berilmu, pendakwah dan yang sama waktu dengannya amatlah buruk.

Berkata Imam Azzahabi:

“Kesombongan yang paling buruk adalah orang yang menyombongkan diri di hadapan manusia dengan ilmunya, merasa dirinya besar dengan kemuliaan yang dia miliki. Bagi orang tersebut, tidak  bermanfaat ilmunya untuk dirinya. Barangsiapa yang menuntut ilmu demi akhirat maka ilmunya itu akan menimbulkan hati yang khusyuk serta jiwa yang tenang. Dia akan terus mengawasi dirinya dan tidak bosan untuk terus memperhatikannya, bahkan setiap saat dia selalu memperbaiki  dan meluruskannya. Apabila dia lalai dari hal itu, dia akan menyimpang dari jalan yang lurus dan akan binasa. Barangsiapa yang menuntut ilmu untuk membanggakan diri dan meraih kedudukan, memandang remeh kaum muslimin yang lainnya serta membodoh-bodohi dan merendahkan mereka, maka hal ini merupakan kesombongan yang paling besar. Tidak akan masuk surga orang yang di dalam hatinya terdapat kesombongan walaupun hanya sebesar dzarrah (biji sawi)…”


Sebab tu, kita kena usaha untuk sentiasa koreksi, check hati kita selalu.

Takut-takut, kita terjebak dengan perkara ini tanpa kita sedar..

Ya Allah, peliharalah kami!

PESANAN SUPAYA RENDAH DIRI

Saya ingin memesan beberapa perkara supaya sama-sama kita usaha untuk rendahkan diri.

1) Cuba korang fahami dengan mata hati ayat quran ni:

“Niscaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antara kalian dan orang-orang yang berilmu beberapa derajat ..“
(Al Mujadilah: 11)

Apa yang korang faham?

Dalam ayat ni, Allah sebut bahawa ORANG BERIMAN dan BERILMU akan di naikkan darjat. Dan, tahukah kalian, tanda seseorang itu berilmu ialah dia tidak sombong dan TAWADHUK(rendah diri)?

“Termasuk buah dari lmu yang paling agung adalah sikap tawadhu’. Tawadhu’ adalah ketundukan secara total terhadap kebenaran, dan tunduk terhadap perintah Allah dan rasul-Nya dengan melaksanakan perintah dan menjauhi larangan Allah…”
(Bahjatu Qulubil Abrar)

Ramai orang ingat, bila dia ego, sombong gila bapak, dia MULIA. Dia bangga bila dia dapat rendahkan orang lain, mengutuk orang, mencaci orang, mengaibkan orang, merendahkan orang dan sebagainya. Tapi, sebenarnya mereka langsung tak mulia.

Orang sombong ni ibarat burung. Semakin burung terbang tinggi ke langit, semakin ia di pandang kecil. Sama juga macam kita. Lagi kita meninggi diri, lagi manusia akan pandang kita ni hina dan kecil. Bukan di sisi manusia je, bahkan Allah pun anggap kita ni kecil dan hina.


2) Imam Hajar menyebut dalam kitab Fathul Bari:

“Tawadhu’ adalah menampakkan diri lebih rendah pada orang yang ingin mengagungkannya. Juga, ada yang mengatakan bahwa tawadhu’ adalah memuliakan orang yang lebih mulia darinya.”

3) Imam Hasan Albasri menyebut:

هل تدرون ما التواضع؟ التواضع: أن تخرج من منزلك فلا تلقى مسلماً إلا رأيت له عليك فضلاً

“Tahukah kalian apa itu tawadhu’? Tawadhu’ adalah engkau keluar dari kediamanmu lantas engkau bertemu seorang muslim. Kemudian engkau merasa bahwa ia lebih mulia darimu.”

4) Yahya bin Ma’in berkata:

“Aku tidaklah pernah melihat orang semisal Imam Ahmad! Aku telah bersahabat dengan beliau selama 50 tahun, namun beliau sama sekali tidak pernah menyombongkan diri terhadap kebaikan yang ia miliki.”

Fuh. Subhanallah….

Moga pesanan ulama’ ini memberi manfaat buat kita semua!



KESIMPULAN

Saya rasa, isu ego dan takabbur ini isu yang sangat besar. Kerana apa? Kerana ia berkaitan dengan syurga dan neraka. Bila saya baca hadis nabi saw tentang takabbur, saya pun sentap, takut dan meremang.

Sungguh.

Cuba korang ulang-ulang baca pesanan nabi ni setiap kali kita nak sombong.

“Tidak akan masuk syurga seseorang yang di dalam hatinya terdapat kesombongan walaupun sebesar biji sawi…”
(HR Muslim)

Juga, cuba korang fahami apa yang Allah ungkapkan dalam Alquran:

“Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat: “Sujudlah kalian kepada Adam,” maka sujudlah mereka kecuali Iblis, ia enggan dan takabur (sombong) dan ia termasuk golongan mereka-mereka  yang kafir.“
(Al Baqarah:34)

Di sebabkan ego dan sombong, merasakan diri lebih baik dari orang, tak boleh terima kebenaran, maka Iblis di laknat oleh Allah sampai hari kiamat dan di halau dari syurga.

 Takut-takut, kalau kita pun ada sifat ni, kita pun akan di laknat dan tak dapat masuk syurga serta bersama iblis. Nauzubillah. Ya Allah, peliharalah kami!

Sebab itu benda ni sangat serius dan tak boleh main-main. Saya dan korang kena check balik diri masing-masing. Sungguh.

Pesanan akhir saya:

“Jika ada orang tegur kita, sebelum melenting dan menyalahkan orang yang menegur, muhasabah diri semula, akurlah dengan kesalahan, berubahlah, terimalah kebenaran. Kepada yang menegur pula, janganlah sampai menghina…”


Wallahua’lam.