Tarbiah Sentap: March 2015

Monday, 30 March 2015

Adakah SENTAP itu HIKMAH?



Bismillah.

Mungkin, ada yang tertanya-tanya tentang “Tarbiah Sentap”.

“Kenapa sentap?”

“Adakah sentap itu berhikmah?”

“Bukankah kita kena dakwah dengan cara lembut?”

Banyak soalan yang di kemukakan pada saya ketika awal-awal saya mula mengasaskan page Tarbiah Sentap di Facebook. Untuk itu, saya ingin korang semua mengenali apa itu Tarbiah Sentap dengan lebih dekat:)

KENAPA IA DI ASASKAN?

Pada awal ogos 2014, page Tarbiah Sentap di tubuhkan. Ketika itu, saya fikir,  saya nak buat satu page Facebook, yang mana, dari page tersebut, saya nak luahkan segala sudut pandang saya terhadap permasalahan umat pada hari ini, khususkan apa yang terjadi pada para remaja dan belia hari ini.

Saya fikir, kenapa hari ini, golongan muda-mudi ni susah sangat nak berubah, sangat mudah terjebak dengan benda pelik-pelik, jiwa lemah, maksiat dah sebati dalam jiwa, benci di tegur, jauh dari agama, menyampah dengan orang yang ingin membimbingnya, tak rasa bersalah dengan dosa, hatta ada yang bangga dengan dosa!

Saya fikir, kenapa benda ni terjadi??

Setelah saya mendalami serta bergaul dengan ramai golongan remaja dan belia ini (kerana saya adalah seorang guru sekolah menengah, juga sering ke univeristi-universiti), akhirnya, saya buat beberapa kesimpulan, ada sebabnya, mengapa mereka jadi begitu.

Pertama, setelah saya amati, golongan remaja dan belia pada hari ini terjebak dengan maksiat, kerana, kebanyakan dari mereka TAK TAHU bahawa apa yang mereka buat itu satu maksiat! Mereka tak tahu! Lebih malang, ada di kalangan mereka yang merasakan apa yang mereka buat itu adalah pahala dan Allah redha! Kerana itu mereka tak rasa bersalah, bahkan, bangga dan pantang di tegur.

Sungguh….

Kedua, kadang-kadang, ada yang dah tahu mana baik mana buruk, mereka sedar mereka salah, cuma, mereka tiada kekuatan, dan sering putus-asa dengan diri sendiri, tiada siapa mahu bimbing, ingin jadi baik, tapi tak nampak JALAN yang betul untuk jadi baik, masih kabur tentang hakikat diri, yang mana, akhirnya, semua benda ni membuatkan diri mereka terus berada dalam keadaan statik, dan takut untuk berubah.

Ketiga, bila saya perhatikan, masalah pada hari ini, bukan sahaja menimpa golongan biasa-biasa. Bahkan, golongan AGAMA juga terjebak dengan masalah-masalah sosial pada hari ini. Berkopiah berserban berjubah, bertudung labuh, berpurdah, ada yang masih tak terlepas dari dosa dan maksiat! Dan, apa yang jadi? Golongan ini yang sepatutnya menjadi qudwah kepada kebaikan, akhirnya bertukar menjadi pembawa kebatilan, kerana, apa yang mereka lakukan, masyarakat akan ikut!

Akibat dari ini, saya kira, saya perlu BERTERUS-TERANG menyatakan apa yang benar dan apa yang salah, secara terus-terang, tanpa berlapik-lapik, supaya masyarakat hari ini JELAS, dan tahu mana baik mana buruk, seterusnya mampu memilih! Kerana, andai terlalu berlapik-lapik dan ingin menjaga hati orang dan inginkan popularity, sometimes, ada pendakwah yang sanggup melonggarkan agama, serta mengeluarkan pendapat yang mengelirukan, tidak jelas, kabur, yang mana kesannya, masyarakat semakin keliru, serta terus-menerus melakukan dosa yang mereka anggap tidak dosa!

Kerana itulah, saya asaskan page Tarbiah Sentap, serta blog www.tarbiahsentap.com . Untuk berterus-terang menyatakan kebenaran, agar masyarakat sedar dan tidak lagi terkeliru!!

KENAPA SENTAP??

Hakikatnya, “Tarbiah Sentap” yang saya maksudkan bukanlah tarbiah dengan cara sentap. Hakikatnya, “Tarbiah Sentap” bukanlah cara, tetapi, RESPON! Bermakna, dengan tarbiah, kata-kata dan ucapan saya, saya berharap agar ia berjaya menyentap hati, menyentuh hati, seterusnya membuahkan amal setiap orang yang membacanya.

Kerana, bagi saya, HATI adalah elemen penting. Kerana itu, kebanyakan topik yang saya sering bicara dan kupas, adalah perkara yang amat berkait rapat dengan hati.

Seterusnya, saya nak menerangkan sesuatu perkara, iaitu tentang dakwah HIKMAH.

Saya nak utarakan kepada korang semua, apakah itu hikmah??

Adakah hikmah bermaksud dakwah dengan cara lembut? Jika hikmah ialah lembut, bermakna, adakah nabi dan sahabat tidak hikmah kerana mereka berperang? Adakah Abu Bakar tak hikmah kerana menampar pipi Umar Alkhattab? Adakah Umar yang terkenal dengan garang dan tegas tidak hikmah?

Hakikatnya, hikmah ialah menegur mengikut suasana dan keadaan! Jika keadaan ketika itu perlu lembut, kita lembut. Kalau time tu perlu agresif, kita agresif. Kalau time tu perlu diam, kita diam. Kalau time tu perlu kasar dan tegas, kita kasar dan tegas!!

Bahkan, tidak hikmah ialah, ketika perlu tegas dan lantang, kita lembut dan diam. Ketikan perlu lembut dan diam, kita agresif dan lantang. Itulah namanya tak hikmah!!

Bermakna, hikmah bukan bermakna lembut semata-semata.

Lagi satu, saya nak timbulkan persoalan:

“Apakah yang akan terjadi, andai semua pendakwah berdakwah dengan cara lembut??”

“Apakah yang akan terjadi, andai semua pendakwah berdakwah dengan cara tegas??”

“Apakah yang akan terjadi, andai semua pendakwah berdakwah dengan cara lawak??”

“Apakah yang akan terjadi, andai semua pendakwah berdakwah dengan cara serius??”

Bagi saya, andai dakwah ini hanya lembut sahaja, atau dakwah ini hanya tegas sahaja, atau hanya lawak sahaja, atau hanya serius sahaja, maka, dakwah ini akan jadi bosan!!

Bayangkan, andai semua pendakwah lembut, nescaya, musuh islam akam mudah memperkotak-katikkan serta pijak kepala umat islam. Dan, bagaimana pula kita nak menyentuh orang yang hati mereka keras??

Bayangkan juga, andai semua pendakwah tegas dan keras, macamana nak sentuh hati orang yang cepat terasa dan kuat merajuk?

Kerana itu, bagi saya, DAKWAH ITU ADALAH SENI!! Kepelbagaian cara dan sifat dalam diri pendakwah membuatkan dakwah itu lebih indah dan menarik! Dengan pendakwah lembut, ramai yang hati lembut dapat hidayah. Dengan pendakwah tegas, ramai yang hati keras sikit, dapat hidayah.

Kerana itu nabi tak pernah marah Abu Bakar dengan kelembutannya. Kerana itu nabi tak pernah marah Umar dengan ketegasan dan keagresifannya. Kerana itu nabi tak pernah marah Uthman dengan sifatnya yang pemalu. Juga, nabi tak pernah marah Ali dengan sifatnya yang sangat berani.

Kerana, dengan adanya sifat yang pelbagai dalam diri pendakwah, maka, lagi ramailah orang akan dapat hidayah dengan sifat yang pelbagai, serta latar belakang hidup yang pelbagai.

***

Kredit gambar: Amir Mustaqim

Kesimpulannya, bagi saya, kalau kita ni nak berubah, kita jangan tengok siapa yang bercakap, atau siapa yang tegur kita, atau bagaimana cara orang tegur kita. Kita ambil isi dia, dan berubahlah. Kalau kita tak nak berubah, kita akan sentiasa complain dan menuding salah para pendakwah dengan pelbagai tohmahan.

Nabi sendiri di tuduh gila, sesat, pemecah belah umat, ahli sihir, kena rasuk jin dan macam-macam lagi tuduhan, sedangkan, nabi dakwah penuh hikmah.

Kalau korang rasa, tarbiah sentap ni tak sesuai untuk korang berubah, jangan risau, banyak lagi cara untuk korang dapar kebaikan. Korang boleh ke kuliah ustaz Azhar Idrus, atau Dr Zahazan, Dr Zaharuddin, Imam Muda Aysraf, Imam Muda Nazrul, dan banyak lagi. Beribu-ribu pendakwah yang ada zaman sekarang. Maka, janganlah bagi alasan untuk tak nak berubah.

Jangan jadi orang yang hanya menyalahkan orang lain yang ingin mengubah kau, sedangkan kau sendiri tidak mahu berubah, walau di tegur dengan cara paling lembut sekalipun.

Wallahua’lam.


Moga bermanfaat!