Tarbiah Sentap: January 2015

Friday, 30 January 2015

BSS 55 : Hah, Perang Badar? (Episod 2)

Ini buku rujukan yang saya guna. Sorry Pendekar Laut
dan Aristotle menyebok je. 

Ha.. Hari tu BSS saya tulis tentang 2 cara Rasulullah nak sebarkan wilayah Islam.

Tapi macam mana nak laksanakan?

Haa... Berdebar nak tahu? Ke korang buat tak tahu je?

Aduh.. Antiklimaks la.. Haha.

Ok begini, untuk laksanakan 2 langkah tu, Rasulullah memulakan gerakan ketenteraan selepas turunnya ayat izin perang. Dan ia sama macam aktiviti PERISIKAN.

Peh. Sila buat muka teruja.

Korang ingat CIA, Interpol, FBI je ada perisik bagai? Kemon la, dari zaman Rasulullah dah ada la. Cuma tak masuk rancangan CSI je.

Jadi cara perisikan Rasulullah antaranya,

1. Mengenal jalan-jalan yang ada di sekitar Madinah dan jalur-jalur yang menuju Mekah. Ini strategy baik punya, kalau dalam hari ni kita panggil sebagai ilmu geografi dan demografi.

Peh.

2. Mengadakan perjanjian dengan kabilah-kabilah yang tinggal di sekitar jalur tadi tu. Ha, hari ni kita panggil sebagai PR – Public Relation, atau kalau korang tanya Prof Dr. Google al translate, dia tertulis sebagai perhubungan awam.

3. Membuat orang-orang Musyrik Madinah, Yahudi dan orang sekitarnya merasa bahawa kaum Muslimin telah kuat.

Haa.. ini antara strategi sangat penting. Kita panggil hari ni sebagai Psywar atau perang psikologi dan juga war propaganda. Walaupun tentera Islam sikit je pun, tapi dia punya psywar dan propaganda…

Peh.. Kalah filem Hollywood korang tau tak! Drama korea apatah lagi, tertinggal ke belakang. Haha. Tiba-tiba je.

4. Memberikan amaran dan peringatan kepada kaum Quraisy atas sikap mereka yang BIADAP sehingga mereka menyedari kekeliruan mereka. Mereka menyedari bahaya yang mengancam secara ekonomi SEHINGGA mereka ambil sikap damai dan membatalkan niat untuk memerangi orang Islam dan menghalang dakwah.

Ha.. Inilah seruan dakwah secara HIKMAH. Hikmah bukan hanya lemah lembut, ajak berbincang, dan sebagainya saja. Malah kita bagai amaran dan peringatan secara keras supaya mereka sedar.

Kasi sentap puak-puak Quraisy ni. Heh.

Selain daripada perisikan, Rasulullah pun ada melakukan perang kecil (ghazwah) dan ekspedisi (sariyyah).  Ekspedisi ni bukan pergi panjat gunung Ledang ke, gunung Uhud ke. Adoi.

Ekspedisi ni hantar pasukan tentera tetapi TAK berperang.

Kat sini saya bagi senarai sariyyah dan ghazwah yang berlaku. Dan last sekali saya letak infografik sekali supaya senang nampak.

1. Sariyyah Saiful Bahr.

Ha.. Ini bukan Saiful Bukhari ok. Hadoiyai.

Ini adalah ekspedisi yang mana Rasulullah pilih Hamzah bin ‘Abdul Mutallib dan 30 orang pasukan Muhajirin untuk menyekat rombongan Quraisy yang datang dari Syam. Panji yang di bawa Hamzah adalah panji pertama yang diserahkan Rasulullah.

Dalam rombongan orang Quraisy tu ada Abu Jahal dengan 300 orang geng.

Dua pasukan ni bertembung di Saiful Bahr (terletak antara Yanbu’ dan Marwah dari arah Laut Merah).

Kedua-duanya hampir perang, tapi tak jadi sebab tiba-tiba muncul sekutu dari kedua belah pihak, iaitu Majdi bin Arm al Juhani.

2. Sariyyah Rabigh

Rasulullah utuskan Ubaidah bin al Harith dengan 60 orang Muhajirin. Mereka ni bertembung dengan Abu Sufyan yang ada 200 gengnya di Rabigh.

Keduanya sempat melepaskan anak panah, tapi tak jadi perang. Tak tahu sebab apa. Dalam buku tak tulis.

3. Sariyyah Kharrar.

Rasulullah kirim Sa’ad bin Abi Waqqash dengan 20 orang Muhajirin ke Kharrar, dekat dengan Rabigh dan Juhfah. Tapi takde apa-apa yang berlaku.

4. Ghazwah Abwa’ atau Waddan.

Wadda ni daerah antara Mekah dan Madinah. Ibarat macam daerah Kluang, antara Johor Baru dan Muar. Haha, ok aku dah mengarut. Abwa’ pula dekat dengan Waddan.

Dalam ghazwah ni, Rasulullah sendiri yang mempin pasukan ke Abwa’ atau Waddan masa bulan Safar dengan 70 orang Muhajirin. Baginda tak jumpa sesiapa pun, dan akhirnya baginda membuat perjanjian untuk saling menjaga keamanan dengan ‘Amr bin Makhsya adh Dhamiri. Dia ni orang tempatan.

Ini adalah ghazwah pertama yang dipimpin Rasulullah. Ghazwah ni gerakan nak pergi perang yang dipimpin Rasulullah, tapi boleh jadi perang, boleh jadi takde perang.

5. Ghazwah Buwath.

Rasulullah pergi ke Buwath (tempat nak menuju ke Syam) dengan 200 orang Muhajirin. Tapi tak jumpa sesiapa pun.

6. Ghazwah Shafwan.

Ada sorang mamat namanya Karz bin Jabir al Fihri dah datang serbu kandang kambing penduduk Madinah dan mencolek kambing-kambing tu. Peh, kesian kambing kena colek.

Lepas tu Rasulullah dan 70 orang sahabat terus kejar mamat ni. Dah macam aksi polis mengejar perompak. Tapi mamat ni berjaya melarikan diri pula.

Untuk pengetahuan korang, inilah permulaan perang Badar yang dikenali sebagai Perang Badar Pertama.

7. Ghazwah Usyairah.

Rasulullah dengan 150 – 250 Muhajirin menyekat rombongan Quraisy yang menuju ke Syam. Tapi mereka tak berhasil jumpa sebab rombongan tu dah jalan kat situ awal lagi. Terlepas pula. Tetapi Rasulullah sembat membina hubungan kesepakatan dengan Bani Mudlij.

8. Sariyyah ke Nakhlah.

Ini berlaku pada bulan Rejab. Dah nak puasa dah. Rasulullah mengutuskan ‘Abdullah bin Jahsi al Asadi menuju Nakhlah, tempat antara Mekah dan Thaif dengan 12 orang Muhajirin untuk merisik rombongan Quraisy.

Bukan risik nak kahwin. Merisik jadi spy. Spy 007.

Tapi pasukan Muslimin dia buat serangan hingga matinya sorang Quraisy, menawan dua orang dan merampas barang.

Bila Rasulullah tahu benda ni, Rasulullah marah sungguh, dan suruh lepaskan tawanan tu serta membayar DIYAT (denda) pada orang Quraisy yang terbunuh.

Isu ni sampai kepada puak Quraisy, tu yang mereka hangin je.

Kena pula berlaku bulan Rejab, sebab bulan Rejab ni bulan haram yang tak boleh berperang seperti Allah sebut dalam surah al Baqarah ayat 217.

Lagi la mereka ni cari point nak smash kaum Muslimin.

Akhirnya..

Pada Ramadhan tahun kedua Hijrah, sebuah khabar diterima oleh Rasulullah ketika fajar mula menyingsing lengannya. Eh ada lengan ke?

Apakah khabar tu? Surat khabar ke?

Aku tanya apa khabar bak kata Joe Flizzow.

Nak tahu khabar apa, surat khabar ke, khabar angin ke, khabar tanah ke, aku tanya apa khabar ke, tunggu minggu depan dalam siri BSS 56.

Dengan kata mudah, bersambung.

Stay tuned !

Haha.

Ini ilustrasi Sariyyah. Tak nampak? Beli sendiri buku ni.
Kamera saya tak power.

Ini pula ghazwah. Tak nampak? Buat-buat nampak.
  
Moga Allah redha.

Tuesday, 27 January 2015

BSS 54 : Hah, Perang Badar?


Ingatkah lagi korang tentang Perang Badar?

“Hah? Perang Badar? Err.. Ingat kot..”

Bilakah kali terakhir korang membacanya?

“Err.. Waktu nak SPM la kot.. “

So ingat lagi ke tak? Apa yang korang ingat?

“Eh! Mestilah ingat.. Err.. perang ni berlaku kat Badar kan?”

Lagi?

“Krik krik krik…”

Tarik nafas panjang.

Disebabkan korang banyak lupa pasal perang Badar dan perang-perang lain, insya-Allah  BSS pada malam ni (sepatutnya malam semalam) akan memulakan siri BSS – Perang Dalam Islam (PDI).

Wuyo. Macam bunyi PDF pun ada.

Tujuan untuk apa?

Supaya kita refresh balik kepala otak kita tentang siri peperangan yang berlaku dalam Islam, yang mana ia sekali gus menafikan bahawa Islam ni bukan hanya lemah lembut lembik gemelai je. Islam ni ada masa ia kena TEGAS dan KERAS.

Kasi sentap sikit !

Eh, lebih-lebih pula.

---
Ok saya malas nak memanjangkan intro. Nanti habis air liur je.

Bismillah..

Sebelum kita tengok macam mana perjalanan Perang Badar tu, kita kena tahu juga apa yang berlaku SEBELUM perang Badar meletus.

Mesti ada sebab kenapa perang Badar tercetus. Islam ni pun bukannya sikit-sikit asyik perang je. Mesti ada sebab kenapa kena berperang dan dibenarkan perang.

Jom kita tengok kisahnya serba sikit.

Kalau korang nak tahu, lepas je Rasulullah dan umat Islam berpindah ke Madinah, orang Musyrikin Quraisy kat Mekah pun mengamuk bagai nak rak la apa lagi. Mereka semua tak puas hati lagi nak menyeksa kaum Muslimin, bahkan lebih dari tu mereka dah gagal untuk membunuh Rasulullah dan kaum Muslimin.

Kira epic failed la.

Jadi mereka pun buat macam-macam untuk takutkan kaum Muslimin, antaranya menghantar surat ugutan kepada orang di Madinah. Nasib kat Mekah dan Madinah takde ayam. Kalau tak, mesti mereka dah gantung ayam mati kat depan rumah orang Islam.

Tepuk dahi.

Ugutan demi ugutan sama ada melalui surat ataupun utusan, membuatkan suasana orang Islam kat Madinah jadi tegang. Kaum Muslimin menjaga kota Madinah dengan bersungguh-sungguh, takut tiba-tiba orang Musyrikin jadi lembu gila, terus serang Madinah.

Akhirnya lepas beberapa ketika, Allah turunkan perintah untuk membenarkan perang.

أُذِنَ لِلَّذِينَ يُقَاتَلُونَ بِأَنَّهُمْ ظُلِمُوا ۚ وَإِنَّ اللَّهَ عَلَىٰ نَصْرِهِمْ لَقَدِيرٌ

“Telah diizinkan (berperang) bagi orang-orang yang diperangi, kerana sungguh mereka telah dianiaya. Dan Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuasa menolong mereka itu.”

(Surah al Hajj [22] : 39)

Ayat ni pada mulanya Allah hanya bagi izin perang saja, tetapi lama-lama ia jadi kewajipan untuk berperang.

Dan untuk pengetahuan korang juga, perang juga BUKAN hanya untuk orang Quraisy juga.

Haa.. abes tu untuk siapa lagi? Macam ni tahapan ringkasan nya,

1) Memang untuk orang-orang Quraisy. Mereka ni kita dah tahu la sebab apa diperangi, antaranya mereka ni lah samseng yang selalu cari pasal dengan kaum Muslimin seperti pukul, bahkan ambik harta kaum Muslimin masa mereka hijrah ke Madinah. Hampeh betul, sesuka hati je rembat harta orang.

Jadi kaum Muslimin ada hak untuk membela diri dan ambik semula harta.

2) Orang-orang Musyrik Arab. Kalau korang nak tahu, Tanah Arab ni besar. Dan di kalangan semua bangsa Arab, golongan Musyrikin Quraisy ni adalah kepala orang Arab. Jadi orang Arab yang cuba backup orang Quraisy, memang nak kena la.

3) Memerangi golongan yang cuba mengkhianati atau berpihak kepada kaum Musyrikin. Tak kisahlah golongan mana pun, golongan Russia ke, Jepun ke, Korea ke. Eh?

Tapi yang utama Yahudi di Madinah masa tu la sebab mereka buat perjanjian dengan Rasulullah.

4) Memerangi sesiapa saja ahlul Kitab seperti geng Nasrani yang cuba MEMULAKAN perang kepada kaum Muslimin sehingga akhirnya mereka akur dan taat serta bayar jizyah kepada kaum Muslimin.

5) Memerangi sesiapa saja yang cuba mengganggu jiwa dan harta setiap orang yang masuk Islam sama ada golongan Musyrikin, Yahudi atau Nasrani. Mereka tak boleh diganggu harta dan jiwa mereka kecuali apa yang diizinkan dalam Islam.

Haa..

Ini adalah 5 golongan yang secara bertahap akan diperangi.

Ok kita sambung sikit lagi.

Jadi lepas turun ayat diizinkan perang, Rasulullah berpendapat yang kekuasaan Islam mesti diluaskan terutamanya ke wilayah utama yang biasa dilalui atau jalur perdagangan oleh orang-orang Quraisy Mekah ke Madinah dalam perjalanan bisnes mereka. Tak boleh duduk statik je.

So apa kena buat?

1. Kaum Muslimin mesti mengadakan perjanjian kerjasama, tidak saling menyerang dengan beberapa kabilah yang berada pada jalur perdagangan ni.

2. Mengirimkan beberapa kelompok utusan secara terus menerus ke jalur perdagangan ni.

Macam mana nak laksanakan dua cara ni?



Haa… kita sambung nanti..

Ok kita sambung next BSS. 


Moga Allah Redha.


- Shukery Azizan -

Wednesday, 21 January 2015

BSS 53 : Daripada UPSR kepada PhD..? (Bahagian Akhir)

Sebelum ni saya ada bagitahu bahawa saya merupakan pelajar yang berjaya menaiktaraf Master saya kepada PhD.

Kepada yang kurang faham, alhamdulillah saya berjaya “lompat” dari Master ke PhD. Macam mana saya berjaya covert?

Naiktaraf (Convert) Dari Master Ke PhD


(30 Ogos 2014)

"boleh ke? tak pernah orang buat tahu tak",

"orang genius je biasanya boleh convert, ko boleh ke?",

"erm... macam susah je? boleh ke?".

"kitorang punyalah susah nak habiskan master, boleh ke terus nak masuk PhD?"

Begitulah kata-kata yang saya dengar sebelum menaiktaraf (convert) pengajian master saya ke peringkat PhD. Tetapi, ada aku kesah? Hehe.

 Jika orang bertanya susah atau senang, bagi saya tidak ada benda yang mudah, namun tidak mustahil! Ya, tidak mustahil untuk orang yang bijak merancang dan mengatur!

Jika orang berkata saya genius, pandai, cepat "pick up", "gifted", saya katakan itu adalah mitos untuk diri saya! Di alam Naruto, ya anda boleh berkata begitu kepada saya. Namun, di alam nyata, saya adalah sama seperti anda semua. Jika saya boleh, anda mesti boleh!

Baik! Mari, saya kongsikan kepada anda semua satu persatu bagaimana untuk menaiktaraf pengajian master ke PhD.

1. Tanamkan Niat Dan Hasrat Yang Benar

Jika solat pun ada niat, nak keluar rumah pun ada tujuan, masakan tidak untuk menamkan niat dan tujuan yang benar untuk menyambung pengajian! Anda perlu senaraikan jawapan untuk semua soalan di bawah:

1. Kenapa aku ingin sambung belajar?
2. Kenapa aku ingin menukar taraf pengajian?
3. Adakah aku memiliki niat untuk bekerja mendahului niat untuk sambung belajar?
4. Adakah aku dipaksa untuk sambung belajar?
5. Adakah aku bersedia untuk berkorban?
6. Adakah aku bersedia untuk menghadapi sebarang kesusahan dan kepayahan?
7. Adakah aku akan berputus asa?

Jawapan yang baik adalah jawapan yang positif! Ya, jawapan yang optimistik dan sentiasa berkata Tidak kepada perkara negatif dan Ya kepada perkara positif. Di bawah adalah contoh jawapan yang boleh saya kongsikan ;

1. Aku ingin belajar sebab kehendak aku sendiri dan paling utama kerana Allah semata-mata

2. Supaya aku boleh habiskan pengajian PhD sebelum umur 30.

3. Tidak sama sekali, dan aku tidak akan mudah terpengaruh dengan tawaran kerja. Keputusan aku adalah bulat untuk sambung belajar sahaja.

4. Tidak. Semua atas kehendak aku sendiri/

5. Bersedia bila-bila masa. Duit, jodoh dan masa itu semua perlu dilaburkan untuk pulangan yang
besar di masa hadapan.

6. Bersedia bila-bila masa. Tidak akan patah balik ke belakang walau susah macam mana sekalipun

7. Tidak sama sekali. Putus asa tidak ada di dalam kamus hidup aku

Jawapan di atas hanyalah contoh. Sesungguhnya, anda lebih tahu di mana diri anda dan sejauh mana diri anda positif dalam menentukan hala tuju. Jika negatif jawapannya, maka lebih baik batalkan niat untuk sambung pengajian.

Jika niat dan tujuan anda adalah benar, mari kita teruskan langkah yang ke 2



2. Merancang Dengan Teliti

Setiap perkara perlu perancangan yang tersusun dan teliti. Bak kata pepatah, orang yang gagal merancang adalah orang yang merancang untuk gagal. Untuk menukar taraf pengajian master ke PhD adalah perkara yang besar.

Maka, perancangan juga perlu besar!

Sebelum saya menyambung pengajian master saya sudah mula merancang satu persatu sehingga mencapai matalamat akhir. Saya kongsikan sedikit perancangan saya di bawah.

1. Jumpa pensyarah

- Cari pensyarah yang bagus dan membantu (boleh bertanya senior atau pelajarnya sendiri).
- Ambil tahu latar belakang bakal pensyarah dan bidang penyelidikannya.
- Maklumkan kepada bakal supervisor untuk menaiktaraf pengajian master ke PhD.
- Berbincang hala tuju penyelidikan yang bersesuaian ketika menaiktaraf nanti.
- Meminta pandangan dan nasihat yang berguna.


2. "Timeline" sepanjang tahun.

- Bina rangka masa mengenai apa yang perlu dilaksanakan di saat awal pengajian sehingga ke  hari menukar taraf

3. Menghubungi senior yang pernah menukartaraf.

- Minta pandangan dan tips untuk menukartaraf pengajian.

4. Berhubung dengan akademik siswazah fakulti.

- Minta maklumat mengenai proses menukartaraf.
- Bertanya mengenai syarat-syarat khusus yang diperlukan untuk menukar taraf.
- Ambil tahu apa yang diperlukan dan perlu dilaksanakan untuk memenuhi syarat menukar taraf

5. Mencari sumber kewangan .

- Memohon GRA (geran penyelidikan pensyarah) atau GRF (geran penyelidikan ipt) dan MyBrain 15
(Berkuatkuasa sehingga 2015).



6. Memohon pengajian.

- Buka laman portal siswazah ipt dan cari maklumat bagaimana untuk menyambung pengajian di peringkat master.

- Daftar sekarang!

Selesai langkah yang ke 2. Mudah kan? :D

Anda perlu sabar dalam merancang. Jangan tergopoh-gopoh dan huru hara. Relax dan bertenang. Segalanya boleh diselesaikan jika anda bertenang. Jika selesai langkah ke 2, mari ke langkah seterusnya.

3. Bagaimana Memenuhi Syarat-Syarat Menukartaraf.

Setiap pengajian tinggi memiliki syarat yang berbeza-beza. Namun, syarat yang berbeza-beza itu anda boleh mengharungi dengan mudah jika anda bijak merancang dan sabar!.

Saya kongsikan sedikit syarat yang diperlukan untuk memenuhi syarat menukartaraf di Universiti Putra Malaysia (UPM):

a. Menghantar "Proposal" menaiktaraf yang lengkap.

- Introduction, methodology, result and discussion, conclusion and PhD proposal.

b. Menerbitkan sekurang-kurangnya satu kertas penyelidikan di journal antarabangsa dan di bawah ISI Cited Journal.

c. Menghabiskan ke semua subjek yang berdaftar dengan gred 3.75 ke atas setiap subjek

d. Mendapat keputusan kumulatif 3.75 ke atas di peringkat master.

e. Telah menyiapkan penyelidikan di peringkat master.

f. Menghadiri dan lulus ujian lisan bersama-sama 1 orang pengerusi dan 3 orang panel yang bertaraf sekurang-kurangnya Prof. Madya.

g. Lulus ujian bertulis yang dirangka oleh panel pemeriksa.

Susah? Ya susah, tetapi tidak mustahil! anda bijak merancang, anda boleh garap!

Susun ke semua syarat-syarat yang mesti dipenuhi di dalam "Timeline" yang anda telah sediakan sebelum menyambung pengajian. Rancanglah dengan bijak dan susun satu persatu dengan teliti mengenai apa yang perlu dicapai terlebih dahulu.

Jika anda diwajibkan untuk menulis artikel, tulislah sebanyak yang anda mampu. Minta "skill" dan pandangan dari orang yang berpengalaman menulis artikel tentang bagaimana untuk mudah menerbitkan artikel di International Cited Journal.

Ketika di dalam tempoh perancangan, saya telah menulis sekurang-kurangnya 5 artikel dan menghantar ke tempat-tempat journal yang berbeza. Di dalam 5, hanya satu telah diterbitkan dengan jayanya. Maka syarat untuk menerbitkan artikel telah lulus.



4. Jadi Orang Yang Berdisiplin

Isu disiplin adalah isu yang paling penting untuk menyambung pengajian. Jika anda masih leka bermain game, menonton wayang, berjalan-jalan, berseronok maka tinggalkan dan kurang-kurangkan lah. Anda akan gagal jika anda tidak berdisiplin. Saya kongsikan sedikit rutin harian saya ketika menyambung pengajian:

Isnin - Jumaat 

8.00 Pagi - 6.00 Petang
- Duduk di dalam makmal/library untuk tujuan penyelidikan
6.00 petang - 8 malam
- Pergi beriadah/berehat
8.00 malam - 11.00 malam
- Membaca artikel atau menyiapkan tugasan yang belum selesai

Sabtu – Ahad
- Duduk di library/ berehat menenangkan fikiran

Ini adalah rutin harian yang selalu saya lakukan ketika menyambung pengajian. Namun, bergantung kepada anda. Perkara yang paling penting, bagaimana disiplin anda untuk melaksanakan tugas-tugas penyelidikan dengan efektif! Jadikan masa itu sebagai suatu perkara yang sangat berharga. 

Jangan malas!!

Selesai langkah ke 4? kita teruskan ke langkah seterusnya..

5. Sabar Dan Istiqomah

Ini adalah langkah terakhir. Setelah anda menanamkan niat, membuat perancangan, menyusun perkara-perkara yang perlu dicapai dan berdisiplin, maka anda perlu bersabar dan istiqomah. Janganlah pandai merancang, tetapi tidak pandai melaksankan. Janganlah juga pandai melaksanakan tetapi tidak pandai sabar. Janganlah pula pandai bersabar tetapi tidak pandai istiqomah. 

Merancang, Laksana, Sabar, Istiqomah

Ini adalah elemen yang penting dan sangat diperlukan. Saya tidak nafikan di saat menyambung pengajian, anda akan rasa "down", "depressed" dan sebagainya. Carilah sahabat-sahabat yang boleh menaikkan semangat anda atau pergilah pulang ke kampung halaman bertemu dengan ibu dan ayah. Jika tidak pun, keluarkan berehat menenangkan fikiran anda. 

Jagalah emosi dengan baik dan hayatilah nikmat belajar dengan tenang. Namun, bagaimana untuk anda memiliki ke empat-empat elemen di atas? Berdoalah kepada Allah dan sentiasa memperbaharui hati dengan mendekatkan diri kepada Allah. Maka anda akan memiliki keempat-empat elemen di atas! Jika itu berlaku, impian anda akan tercapai! Yeah!

Hasilnya...



Kehidupan Sebagai Pelajar PhD.

Sejujurnya, terlalu banyak pengorbanan yang telah saya lakukan untuk mengejar sekeping ijazah yang bertulis PhD. Namun, saya yakin pengorbanan itu suatu masa nanti akan membuahkan hasil!

Alhamdulillah sehingga ke hari ini saya masih bergelar sebagai pelajar PhD dan mengekalkan momentum usaha yang sama. 

InsyaAllah, setelah tamat PhD nanti saya akan membuat satu artikel atau buku khas sebagai panduan kepada semua orang tentang bagaimana untuk mengejar matlamat dan cita-cita yang besar!

Di bawah saya sertakan beberapa tips dan nasihat untuk cemerlang:

1. Positif dan yakin dengan diri sendiri
2. Matlamat dan cita-cita perlu besar
3. Banyakkan memberi motivasi kepada orang lain
4. Amalkan konsep "tawakal" kepada Allah
5. Bahagiakan ibu bapa
6. Jangan kedekut
7. Wujudkan perasaan sayang kepada orang lain
8. Jaga hubungan dengan Allah
9. Bersihkan hati dari sifat hasad, dengki dan cemburu buta
10. Lahirkan perasaan gembira apabila melihat kejayaan orang lain
11. Banyakkan memberi
12. Jadilah orang yang sentiasa tersenyum :)
13. Cari rakan-rakan yang soleh
14. Kawal dan jaga pemakanan yang seimbang
15. Jaga tutur kata dan hormat kepada orang lain
16. Jangan pandang rendah kepada orang lain
17. Hargailah kebaikan orang lain
18. Jauhi sifat malas
19. Jangan telalu leka dengan hiburan
20. Banyakkan melihat perkara yang baik (contoh: alquran/memandang wajah ibu ayah)

dan anda akan berjaya!! insyaAllah :)


Sekian.

Bibliografi :

Ucapan kepada peserta Kem di gua batu maloi

Pidato di program HIMMAH, UPM

Rakan-rakan sepengajian di UPM

Anugerah tokoh mahasiswa PEMBINA

Anugerah thesis terbaik

Majlis hari raya di masjid jamek serdang

Pertandingan debat integrasi UPM

--

Moga korang dapat manfaat !

Penulis : Noorazlan Bin Abd Azis (Azlan Wildan)

Edited : Ahmad Shukery 

Monday, 19 January 2015

BSS 52 : Daripada UPSR kepada PhD..? (Bahagian 2)


Selepas mendapatkan keputusan SPM, saya sangat bersyukur kepada Allah pada ketika itu. Hasil azam saya untuk berubah sejak berada di tingkatan 4 membuahkan hasil! 

Sejujurnya bukan mudah untuk berubah, apatah lagi secara dramatik sudah tentunya mustahil, tetapi perubahan secara beransur-ansur dan bersabar di dalam perubahan akhirnya perubahan itu menjadi kenyataan! Semasa di dalam tempoh permohonan ke IPT, saya telah menghantar kesemua borang-borang permohonan di merata tempat.

Antara IPT-IPT yang menawarkan tempat pengajian kepada saya adalah UNIKL (diploma chemical engineering), UNISEL (engineering foundation), UITM (diploma electrical engineering) dan kolej matrikulasi pahang.

Alhamdulillah, banyak rezeki dari Allah ketika itu. Murahnya rezeki dari Allah mungkin disebabkan usaha kita sendiri dan ringannya tangan kita untuk membantu orang lain agar turut berjaya!

Masalah mula timbul apabila pilihan kita hanyalah satu, tidak ada dua atau tiga. Waktu itu sangat mencabar untuk diri saya membuat pilihan. Ada sebahagian daripada ahli keluarga saya meminta untuk saya mengambil diploma terlebih dahulu dan ada sebahagiannya tidak menghalang untuk saya teruskan ke kolej matrikulasi.

Waktu itu, saya dibisikkan dengan cabaran di matrikulasi yang susah dan tidak ramai yang boleh cemerlang. Boleh difahami kerisauan daripada ahli keluarga saya jika saya mengambil keputusan untuk ke kolej matrikulasi.

Namun begitu, saya teringat kata-kata sahabat saya,

"jangan ikut kata orang yang kata tak boleh, ikut kata diri sendiri yang kata BOLEH!"

Saya mula mencabar diri saya sendiri untuk membuktikan bahawa saya mampu cemerlang di kolej matrikulasi!

Saya yakin akan kemampuan diri saya walaupun kelihatan mustahil. Kejayaan itu boleh dimiliki oleh sesiapa sahaja asalkan dia memiliki keyakinan dan azam yang tinggi!

Saya masih ingat, janji-janji saya kepada ibu saya sebelum saya melangkah ke kolej matrikulasi,

"Mak, lan janji dengan mak, habis matrikulasi lan akan dapat keputusan yang cemerlang"

Saya meletakkan azam yang sangat tinggi dan matlamat saya hanyalah cemerlang ketika di matrikulasi. Waktu itu, tawakal saya hanya kepada Allah dan saya yakin Allah pasti akan bersama dengan saya.

Setelah melangkah ke kolej matrikulasi, saya luangkan waktu belajar sehingga 3 pagi. Sabtu dan ahad hanyalah waktu-waktu untuk berada di perpustakaan. Aktiviti dengan rakan-rakan saya tolak kesemuanya atas alasan ingin menumpukan kepada pelajaran. Sejujurnya, saya tidak pernah berusaha sehebat begitu ketika di bangku sekolah.

Hanya satu faktor yang boleh menentukan sejauh mana usaha kita untuk mendapatkan sesuatu. Iaitu, setinggi mana kita meletakkan matlamat! Jika kita meletakkan matlamat untuk dapat RM 5, maka usaha kita hanya untuk mendapatkan RM 5. Jika kita meletakkan matlamat untuk RM 1000, maka usaha kita semestinya ke arah mendapatkan RM 1000!

Selama 9 bulan saya menjalani kehidupan sebagai pelajar matrikulasi yang hanya menumpukan usaha sekeras tenaga bagi memenuhi janji-janji saya kepada ibu saya. Jika orang lain "enjoy" dengan kehidupan matrikulasi atas keseronokan berjalan-jalan di pusat bandar, saya hanya "enjoy" dengan menelaah buku di perpustakaan.

Akhirnya, setelah tamat matrikulasi, saya telah berhasil mendapatkan keputusan yang cemerlang. Janji-janji yang telah saya berikan kepada ibu saya dapat dipenuhi! Perasaan saya pada waktu itu, hanya Allah yang lebih mengetahui.

Setelah tamat matrikulasi, saya perlu membuat pilihan terhadap bidang yang akan saya ceburi ketika di IPTA nanti. Sejujurnya, membuat pilihan itu amat sukar. Banyak pendapat dan saranan yang telah diberikan kepada saya pada waktu itu. 

Ada yang meminta saya untuk mengambil bidang engineering, medic, forensic dan pelbagai lagi bidang. Tetapi, saya memilih bidang, "sains fizik dengan pendidikan". Ramai yang terkejut pada waktu itu terutamanya adik beradik saya sendiri.

Waktu itu saya memiliki peluang untuk mengambil bidang yang lebih popular, tetapi saya memilih bidang fizik dengan pendidikan yang akhirnya menjadi seorang guru di sekolah. Ramai yang menyindir saya pada ketika itu disebabkan bidang saya yang tidak popular dan remeh dalam kalangan masyarakat.

Namun, saya berkata kepada diri saya sendiri,

"Orang yang cemerlang tidak akan ikut telunjuk orang lain, tetapi dia ikut telunjuk diri sendiri!"

Saya memilih bidang ini disebabkan minat saya yang begitu mendalam untuk menyampaikan ilmu serta memberikan motivasi kepada orang lain agar turut cemerlang . Minat ini juga disebabkan pengalaman saya yang pernah menjadi mentor di sekolah dan sikap yang suka menaikkan semangat orang lain.

Saya tidak peduli kata-kata orang lain dan tetap berdegil untuk meneruskan bidang tersebut. Akhirnya, saya telah berjaya menjadikan diri sendiri sebagai seorang mahasiswa Universiti Putra Malaysia jurusan Sarjana muda sains fizik dengan pendidikan.

Sewaktu bergelar mahasiswa, saya mula aktif di dalam aktiviti kolej dan tarbiyyah. Waktu itu, saya berpandangan ulat buku semata-mata tidak akan menjamin kecemerlangan saya pada suatu masa nanti. Saya perlu tingkatkan keupayaan diri untuk berani bercakap di khalayak ramai, mampu mengendalikan program dan memiliki asuhan tarbiyah yang mantap.

Elemen tersebut pada hemat saya sangat penting di masa hadapan dan menjadi ulat buku semata-mata tidak boleh menjadikan diri saya sebagai orang yang mampu bekerja.

Sepanjang bergelar mahasiswa, saya telah berhempas pulas untuk aktif di dalam program dan tarbiyyah di samping mengekalkan kecemerlangan akademik.

Kelihatan mustahil?

Tidak bagi saya. Tidak ada yang mustahil selagi perkara itu berada di dalam batasan keupayaan manusia.

Antara medium yang saya ceburi ketika di universiti adalah PEMBINA UPM, Debat bahasa melayu, pengurusan program, Usrah, sukan memanah dan sebagainya. Kesemua ini saya telah ceburi dengan baik dan kesannya begitu luar biasa!

Peringkat awal sememangnya sukar untuk membahagikan masa, namun, sekiranya perkara ini dapat dilalui secara perlahan-lahan maka kita pasti akan dapat seimbangkan antara pelajaran dan aktivisme.

Di dalam tempoh pengajian universiti, ada yang memandang rendah kepada bidang yang saya ceburi dan tidak melihat peluang untuk saya melonjak ke hadapan.

Bagi saya, itu hanyalah pandangan manusia. Pandangan diri sendiri kepada diri kita lebih penting! Saya yakin, saya boleh pergi dengan lebih jauh walaupun dengan bidang yang tidak popular ini.

Selama 4 tahun saya telah melalui zaman universiti dengan penuh keseronokan yang tidak pernah saya rasai sejak di bangku sekolah. Saya pernah mendapatkan keputusan dekan untuk beberapa semester secara berturut-turut, anugerah thesis terbaik, pendebat terbaik universiti dan sebagainya. Bagi saya pencapaian itu adalah pengalaman yang sangat berharga.

Di peringkat universiti, jika saya hanya menjadi ulat buku dan tidak mahu menjenguk ke dunia luar, maka saya pasti tidak akan dapat merasai pengalaman sebegitu. 

Ada orang yang bertanya kepada saya, bagaimana untuk mudah mendapatkan ilmu, maka saya katakan

"banyakkan memberi".

Saya amalkan konsep ini sejak di bangku sekolah, dan sememangnya memberikan hasil yang sangat berharga!

Selepas tamat pengajian ijazah sarjana muda, maka akhirnya saya telah berjaya membuktikan kepada orang-orang yang berada di sekeliling saya pada waktu itu, saya mampu menggengam sekeping ijazah sarjana muda!!

Bermula daripada pelajar yang tidak cemerlang, akhirnya menjadi pelajar yang cemerlang. Bukan mudah, namun tidak mustahil.

Setelah tamat pengajian, saya telah membuat keputusan untuk menyambung pelajaran di peringkat PhD. Ramai yang ragu-ragu dengan saya ketika itu kerana cabaran PhD tidak seperti matrikulasi mahupun degree. Cabarannya tentulah lebih sukar dan panjang!

Seperti sebelum ini, saya tetap berkata dengan diri saya,

"Jangan ikut kata orang kata tak boleh, ikut kata diri sendiri yang kata boleh!"

Sebelum saya berjaya sambung PhD, saya mengambil Master (Ijazah sarjana). Namun, Maha Suci Allah yang memberi izin kepada saya untuk menaiktaraf (convert) dari Master ke PhD !




Sambung….

Penulis : Noorazlan Bin Abd Azis. (Azlan Wildan)
Edited : Ahmad Shukery

Saturday, 17 January 2015

BSS 51 : Daripada UPSR kepada PhD..?

Maaf malam ni BSS tak menepati hari yang sepatutnya. Sepatutnya BSS dikeluarkan pada hari Isnin, Rabu dan Jumaat.

Tapi terkeluar hari sabtu la pula. Takpe la, maafkanlah saya ya.

InsyaAllah BSS malam ni saya nak tunaikan janji saya pada korang. Janji apa?

Janji nak kongsi cerita seorang sahabat baik saya, Azlan tentang macam mana daripada seorang pelajar sekolah rendah yang sangat TAK CEMERLANG, akhirnya hari ni tengah ambil PhD.

Nak tahu kisah dia untuk korang jadikan inspirasi?

Tapi sebelum tu saya nak bagitahu. Cerita ni sangat panjang. Jadi saya bahagikan kepada dua bahagian supaya korang tak bosan membaca.

Selamat membaca. Moga bermanfaat.

Bismillah….

----

“Anak kau dapat berapa A UPSR?”,
“Azlan, berapa A dapat masa UPSR lepas?”,
“Azlan dapat 5A tak UPSR hari tu?”

Ironinya, saya hanya mampu menjawab,

“tak de pun makcik, 3B 2C je…”

Peristiwa ini berlaku 13 tahun yang lepas…

Hari ini mungkin orang berasa pelik,

“tipulah masa kau sekolah tak cemerlang, PhD kot sekarang”…

Kita mungkin boleh menganggap cemerlangnya seseorang itu pada hari ini disebabkan cemerlangnya dirinya pada masa yang lepas.

Untuk kes saya, tidak sama sekali. Jadi, macam mana saya boleh bergelar pelajar PhD seperti hari ini? Sebelum ini saya tidak pernah terfikir untuk menulis coretan pengalaman saya sejak dibangku sekolah sehingga bergelar sebagai pelajar PhD. Tetapi disebabkan permintaan daripada sahabat saya, Ahmad Shukery Azizan, salah seorang daripada admin Tarbiah Sentap, maka saya cuba menulis sebaik mungkin agar sedikit sebanyak memberikan suntikan inspirasi kepada orang lain untuk berjaya.

Sewaktu berada di sekolah rendah saya hanyalah seorang kanak-kanak yang tidak ada keistimewaan di dalam akademik. Malah, selalu dimarahi guru disebabkan prestasi pelajaran yang sangat teruk.

Saya masih ingat ketika berada di darjah satu, subjek “English” adalah subjek yang paling saya lemah. Sehinggakan guru English pernah menegur di dalam kelas,

“Azlan ni bukan dia tidak pandai, cuma dia lembab”

Walaupun pernah disindir dan diejek selepas itu oleh rakan-rakan saya, saya tidak pernah ambil hati walaupun sedikit dengan kata-kata guru saya tersebut. Kerana ketika itu saya memahami dan berasakan betul apa yang dikatakan oleh guru terbabit.

Ketika berada di darjah 6, seorang guru matematik yang merupakan guru besar di dalam sekolah pernah hampir-hampir menghubungi kedua ibu bapa saya kerana keputusan percubaan UPSR di dalam subjek matematik yang sangat teruk.

Sepanjang berada di sekolah rendah, denda-denda seperti duduk di atas kerusi, duduk di luar pintu kelas, kena ketuk dengan buku di atas kepala, kena rotan di atas tangan, dicubit pipi sehingga hampir menitiskan air mata, dilempang oleh guru, semua itu pernah saya lalui. Sehinggakan saya pernah dipanggil “Nobita” kerana selalu dimarahi guru dan teruk di dalam prestasi akademik.

Namun begitu, saya tidak pernah ambil hati dan marah kepada guru-guru saya ketika di sekolah rendah dahulu. Kerana sememangnya ketika di sekolah rendah saya tidak pernah serius di dalam pelajaran dan selalu bermain-main. Selayaknya guru-guru saya ketika itu memberikan hukuman kepada diri saya supaya sedar dan berubah. Tetapi, saya masih tak nak sedar dan degil pada ketika itu.
 
Gambar sewaktu form 3 (Tembam sebab asyik bersantai di rumah)
Bagaimana Pula Di Sekolah Menengah?

Di sekolah menengah, ketika berada di tingkatan satu hingga tiga saya hanya bersekolah di sekolah harian biasa dan guru-guru ketika itu tidak terlalu menekan di dalam aspek akademik. Akademik saya masih biasa, dimarahi oleh guru kerana kerja rumah tidak siap dan gagal di dalam peperiksaan sudah menjadi perkara lumrah.

Setiap kali pulang ke rumah, saya akan bersantai di atas lantai dengan menonton drama di television sambil makan keropok jajan. Alangkah bahagianya ketika itu sehingga badan saya turut menjadi “bahagia”. Ketika itu, keluarga dan saudara mara saya hilang keyakinan bahawa suatu masa nanti saya akan ke universiti.

Sikap yang malas, banyak bermain, suka menonton television, suka tidur, dan suka keluar dengan rakan setiap kali waktu petang menjadikan diri saya lemah dan teruk di dalam akademik. Saya pernah dihantar ke rumah saudara saya ketika waktu cuti sekolah dengan harapan saya dapat belajar dan tingkatkan prestasi akademik. Namun begitu, keadaan tetap menjadi hambar.

Betapa lemahnya saya di dalam pelajaran sehinggakan saudara saya tidak mampu berbuat apa-apa.

Begitu ironi bukan?

Menjadi bahan sindiran dan kritikan oleh guru-guru serta saudara mara sudah menjadi lumrah kepada saya ketika itu. Sebagai seorang manusia, saya selalu menangis dan lemah semangat kerana sindiran serta kritikan sebegitu kepada diri saya.

Saya pernah mengharapkan seseorang di dalam hidup saya yang mampu memberikan kata-kata semangat, dorongan, motivasi dan bimbing saya supaya cemerlang dan berjaya. Namun, sememangnya tidak akan pernah ada kerana sikap diri sendiri yang tidak mahu diubah.

Keputusan PMR saya ketika itu sangat hambar. Hanya memperoleh 2A sahaja dan selebihnya B dan C. Amat mengecewakan terutamanya kedua ibu bapa saya. Bertambah-tambah kritikan di sekeliling saya sehingga seolah olah tiada lagi harapan yang boleh diletakkan di dalam diri saya.

Jadi Sejak Bila Saya Berubah?
 
Gambar form 5 (kurus sebab mula nak berubah!)
Saya mula berubah ketika berada di tingkatan 4. Ketika itu saya mendapat tawaran untuk masuk ke sekolah teknik dan duduk di asrama. Setelah mendapatkan tawaran itu, saya mula menanam hasrat untuk serius di dalam perubahan dan ingin menjadi orang yang cemerlang pada suatu masa nanti.

Saya mula buang sikap malas dan selalu ke bilik prep untuk mengulang kaji pelajaran. Keropok jajan kesukaan saya, saya tinggalkan sejauhnya dan television pula tidak mungkin dapat ditonton di asrama sekolah.

Usaha saya untuk berubah ternyata berhasil apabila peperiksaan matematik tambahan ketika berada di tingkatan 4, saya satu-satunya pelajar di dalam sekolah yang memperoleh A.

Ketika itu saya mula mendapatkan perhatian di dalam sekolah dan rakan-rakan saya mula melihat saya sebagai “budak pandai add-math”. Saat itu barulah saya dapat merasai perasaan menjadi pelajar yang “ada harapan”.

Namun begitu, saya tidak pernah berasa sombong dan memandang hina kepada rakan-rakan lain yang lemah. Bahkan, ketika di dalam asrama saya menjadi mentor kepada pelajar-pelajar yang lemah di dalam matematik kerana simpati kepada mereka. Saya juga pernah menjadi pelajar lemah dan  bahan kritikan orang, sudah semestinya saya turut simpati kepada mereka yang mengalami nasib yang sama seperti saya.

Rakan-rakan yang rapat dengan saya ketika itu adalah di dalam kalangan mereka yang lemah akademik. Kerana saya berasakan satu keperluan untuk menyuntik inspirasi kepada mereka agar turut sama-sama cemerlang seperti saya. Saya juga pernah menjadi mentor untuk mengajar subjek fizik di dalam kalangan rakan-rakan sebaya terutamanya mereka yang lemah di dalam subjek tersebut.

Setiap kali rakan-rakan saya mengadu berasa tidak pandai dan lemah, saya akan cuba sedaya upaya meyakinkan pada mereka bahawa

“kita boleh!!”.

Ketika berada ditingkatan 5, ada seorang rakan dari aliran vokasional ingin mencuba mengambil peperiksaan matematik tambahan di dalam SPM. 

Ketika itu, ramai rakan-rakan saya yang berada di aliran teknik menyindir dirinya,

“boleh ke ko nak ambil ni? Macam tak caya je”,
“add math susah tahu tak, kitorang pun fail, apa lagi ko”,
“lupakan je la, buang masa ko je”..

Namun, saya  tidak seperti mereka. Ketika sahabat saya itu mengadu kepada saya tentang kritikan-kritikan orang kepada dirinya, saya berkata,

“takpe, ambil je dan usaha sekurang-kurangnya untuk lulus, tak salah untuk ko mencuba, aku boleh ajar ko add-math, jangan risau, buat tak tahu je apa diorang nak kata kat ko”.

Pengalaman saya yang pernah dikritik dan disindir menjadikan saya sensitif dan bersikap untuk memberikan kata-kata harapan dan semangat kepada orang lain.

Saat itu saya mula sedar, kejayaan yang Allah beri itu bukan hanya untuk diri saya. Bahkan perlu dikongsi bersama dengan orang lain. Akhirnya, setelah mendapatkan keputusan SPM saya berjaya membuktikan kepada kedua ibu bapa saya di mana saya masih ada harapan dan boleh cemerlang seperti rakan-rakan yang lain.

Tidak ramai yang menyangka saya mampu mendapatkan keputusan SPM yang cemerlang jika diikutkan sejarah saya yang tidak pernah cemerlang ketika itu.




Bersambung…..


--

Penulis : Noorazlan Bin Abd Azis (Azlan Wildan)
Edited : Ahmad Shukery