Tarbiah Sentap: January 2014

Wednesday, 8 January 2014

Futur Yang Di Hiasi?



Pernah tak, satu ketika, kita rasa semangat dan ghairah untuk beramal, merasai betapa manisnya tahajjud dan hati amat lembut untuk menangis? Ketika itu, semangat dakwah membara, tidak rasa walau sedikit keberatan ketika mahu beramal, bahkan ketika itu, jiwa kita bagai berada di tahap keimanan yang cukup tinggi.

Ketika itu, hati bagai tidak terdetik walau seketika untuk melakukan dosa besar mahupun kecil. Masa yang ada sentiasa di manfaatkan untuk beramal, “Nikmat” maksiat di rasakan “azab” untuk kita pada ketika itu. Bahkan, kita mula mengeluarkan satu statement di dalam hati:

“Aku pelik, macammana orang boleh rasa nikmat nak buat maksiat? Pelik!”

Pernah atau tidak?

Namun, ada satu lagi perkara yang sentiasa menghantui dan menyelubungi mereka-mereka yang telah terjebak dalam dunia dakwah dan tarbiah. Pernah tak, suatu ketika, kita merasai lemah longlai untuk beramal, MALAS menyelubungi diri, amal-amal fardi yang dahulunya kita rasa amat ringan dan mudah untuk di lakukan, namun pada ketika ini, ia menjadi amat berat. Berat yang teramat!

Hatta, solat witir satu rakaat di anggap berat, serta alquran 1 muka juga di anggap amat payah. Dakwah dan tarbiah, apatah lagi. Kalaupun kita melakukan dakwah dan tarbiah, hati kita bagaikan kosong dan seakan-akan terpaksa melakukannya ketika itu agar tidak di pandang serong. Masa yang dahulunya di gunakan untuk beramal, kali ini ia bagai terbalik. Benda lagho menjadi teman karib, dosa dan maksiat di anggap biasa ketika ini dan tiada langsung perasaan sensitif pada dosa ketika ini. Bahkan, ketika ini, kita seolah-olah ingin mengeluarkan satu statement:

“Kenapa susah sangat nak tinggalkan dosa? Kenapa susah sangat untuk aku beramal?”

Suka untuk saya katakan, andai situasi kedua menyelubungi diri anda, anda telahpun berada dalam satu keadaan yang di namakan, FUTUR. Hati-hati, ia mampu menghancurkan kita! Atas faktor inilah, saya amat berbesar hati untuk berkongsi pada semua tentang isu ini. Saya bahagikan penulisan kali ini kepada beberapa noktah:

1)Antara dua tarikan
2)Futur yang di hiasi itu tarikan syaitan
3)Tarikan yang berulang-alik


ANTARA DUA TARIKAN

Saya mulakan noktah ini dengan kata-kata mahsyur oleh seorang ulama’ terkemuka iaitu Ahmad Arrasyid di dalam siri kitabnya, “إحياء فقه الدعوة yang bertajuk Almuntolaq, di dalam muqaddimahnya:

“Para da’i mukmin sentiasa terdedah pada 2 tarikan. Pertama, tarikan KEIMANAN, niat, kesungguhan dan kesedarannya terhadap tanggungjawab. Dengan itu, dia berada dalam amal soleh dan azam kebaikan. Kedua, tarikan SYAITAN, yang akan menghiasi futurnya, dan menghiasi cintanya kepada dunia. Dengan itu, dia akan berada dalam kelalaian, malas, panjang angan-angan dan berlengah-lengah dalam mempelajari apa yang tidak di ketahuinya….”

Saya akan syarah kata-kata ini dari pelbagai aspek untuk kita teliti bersama:

1)Ahmad Arrasyid mulakan penulisannya dengan menyebut “Para daie” dan bukan “orang islam”, kerana hakikatnya, islam dan dakwah itu tak boleh di pisahkan. Seperti mana islam itu tidak boleh terpisah dengan solat, seperti itulah jugalah islam tak boleh di pisahkan dengan dakwah. Bahkan, suka untuk saya nyatakan:

“Siapa yang tak merasakan bahawa dia adalah daie, keislamannya ada kecacatan..”

Ramai orang hari ni faham dan sedar akan pentingnya puasa, solat dan lain-lain, tetapi dalam hati mereka tiada langsung kesedaran akan betapa pentingnya dakwah. Berbeza dengan sahabat nabi saw, mereka MEMAHAMI kewajipan berdakwah lebih awal dari solat, puasa dan lain-lain.

2)Seterusnya, ahmad arrasyid telah menyatakan satu hakikat bahawa, semua orang yang beriman, tidak boleh tidak, akan terdedah pada 2 tarikan iaitu tarikan IMAN dan SYAITAN. Saya akan hurai satu persatu tentang 2 tarikan ini.

Pertama, tarikan IMAN. Apakah tandanya kita berada dalam tarikan iman? Ketika itu, kita sentiasa berada pada tarikan “niat yang baik”. Hati kita sentiasa berniat dan berazam untuk melakukan kebaikan. Hakikatnya, andai kita sentiasa berniat dengan niat yang baik, walaupun kita masih belum lakukan kebaikan tersebut, kita telahpun mendapat pahala seolah-olah kita telahpun melakukan kebaikan tersebut.

Bukan sekadar itu, hasil dari tarikan iman ini, akan timbul dan tumbuh dalam hati kita KESUNGGUHAN dan KESEDARAN terhadap tanggungjawab. Apakah tanggungjawab yang di maksudkan? Tanggungjawab seorang islam tidak lain adalah Ubudiyyah, Khalifah dan juga Dakwah. Bermakna, ketika itu, kita akan sentiasa semangat untuk beramal, ikut tarbiah, dakwah yang terpandu, dan yang sama waktu dengannya.

Kedua pula, tarikan SYAITAN. Saya akan hurai tarikan syaitan ini di dalam noktah yang lain, kerana, inilah fokus penulisan saya pada kali ini.

FUTUR YANG DI HIASI ITU TARIKAN SYAITAN

Ahmad Arrasyid menyebut bahawa, hasil dari tarikan syaitan ini, “futur kita akan di hiasi.” Persoalannya, apakah perbezaan antara “futur” dan “futur yang di hiasi”? Sebelum saya teruskan, suka untuk saya beritahu kepada mereka yang tidak tahu (Kalau ada), “FUTUR” ialah satu perasaan lemah semangat dalam melakukan 3 tanggungjawab yang saya sebutkan di atas sebentar tadi.

Futur ini adalah satu kebiasaan bagi mereka-mereka yang berkecimpung dalam dunia dakwah dan tarbiah. Ia adalah perkara biasa dan bukanlah satu kesalahan. Bahkan nabi saw sendiri pernah futur pada satu ketika. Di mana ketika itu, wahyu tidak di turunkan kepada nabi saw pada satu tempoh yang agak lama, dan ketika itu, orang kafir quraisy telah mengutuk nabi dengan kata-kata yang agak kesat:

“Mana tuhan kau..?”
“Tuhan kau dah tak sayangkan kau…”

Ketika itu, nabi saw seolah-olah rasa bahawa Allah tidak lagi menyayanginya, Allah membencinya dan melupakannya, lantaran wahyu yang tidak turun agak lama. Bahkan ketika itu, lantaran futur dan lemah semangat yang melanda, serta tohmahan bertubi-tubi yang di lemparkan pada baginda, membuatkan baginda merasa ingin bunuh diri. Namun, akhirnya, Allah telah memujuk nabi saw dengan menurunkan surah Ad-dhuha bagi menenangkan hati nabi saw yang sedang resah:


“Demi waktu dhuha. Dan demi malam apabila telah sunyi. Tuhanmu tidak meninggalkanmu (wahai Muhammad) dan tuhanmu tidak pula membencimu.Dan sesungguhnya pengakhiran itu lebih baik darimu dari permulaan. Dan kelak, tuhanmu pasti memberikan kurniaannya padamu, lalu hatimu menjadi puas. Bukankah Dia mendapatimu sebagai seorang yatim, lalu Dia melindungi mu? Dan dia mendapatimu sebagai seorang yang kekurangan, lalu Dia memberimu kecukupan?”
(Ad-Dhuha 1-8)

Ketika itu, nabi kembali tenang, kembali kuat!

Apa yang saya nak katakan adalah, futur dan lemah semangat itu fitrah dalam dunia dakwah dan tarbiah. TETAPI, “futur yang di hiasi” bukanlah perkara biasa, tetapi ia adalah tanda hati mula mati, jiwa mula hancur lebur, dan tanda bahawa kita berada dalam pelukan syaitan!

Apa itu futur yang di hiasi?

Ia adalah satu keadaan, di mana kita lemah semangat dan tiada langsung perasaaan ghairah untuk beramal, dan kita rasa INDAH berada dalam keadaan sebegitu! Dia rasa seronok berada dalam keadaan futurnya, tiada perasaan serba salah, dia mula lari dari tarbiah dan dakwah, perasaan MALU untuk bertemu rakan seperjuannya menyelubungi diri, rasa ingin jauh dari mereka, dan tiada sensitif pada dosa dan maksiat dan tak rasa apa-apa dengan keadaan futurnya itu!

Hasil dari futur yang di hiasi itu, tumbuh dalam dirinya penyakit cinta dunia dan takut mati, atau dalam istilah arab, ia di sebut sebagai الوهنyang mana nabi saw beri amaran penyakit inilah yang menjadi punca umat islam di hancurkan dan di perkotak-katikkan oleh musuh islam.

Maka, apabila kita di hiasi dengan futur dan cinta dunia dan takut mati mula meresap, ketika itu, kita akan merasai kemalasan, malas untuk berdakwah, panjang angan-angan dan berlengah-lengah dalam mencari ilmu.

Jika perkara ini ada dalam diri kita, ketahuilah bahawa kita sedang berada dalam pelukan syaitan. Kita berada pada tarikan syaitan!

TARIKAN YANG BERULANG-ALIK

Dua tarikan yang saya sebutkan tadi, akan sentiasa berlaku, dan ia sudah di tentukan oleh Allah, ia takkan berhenti sehingga kita mati. Kerana itulah, ulama’ ilmu kalam menyatakan bahawa:

الإيمان يزيد وينقص
(Iman itu bertambah dan berkurang)

Atas faktor itulah, orang yang benar imannya akan meWAJIBkan dirinya untuk sentiasa duduk dan hadir di dalam majlis-majlis tafakkur, tanasuh (nasihat-menasihati) dan muhasabah agar hatinya sentiasa di muhasabahi dan di perbaiki. PERASAAN untuk duduk di majlis-majlis tafakkur dan tanasuh mekar subur dalam jiwanya, dengan harapan, IMANNYA sentiasa naik, dan terselamat dari tarikan syaitan! Andai kita sedar bahawa iman ini turun dan naik, dan ketika itu kita berada dalam keadaan “iman turun”, lantas kita rasa selesa dan tak terdetik langsung untuk mencari majlis-majlis yang akan membangkitkan iman kita, bererti, kita seolah-olah telah REDHA dengan FUTUR kita yang telah di hiasi! Hati-hati wahai kawan!

Apakah perkara yang perlu di baiki dan di periksa ketika kita berada di dalam majlis tafakkur itu?

1)Periksa jiwa dari TAKABBUR.

Bila terlalu asyik dengan futur, dosa dan maksiat, dan jauh dari suasana tanasuh serta tafakkur, maka, takabbur akan menguasai diri. Apa itu takabbur? Nabi bersabda:

“Takkabbur ialah MENOLAK KEBENARAN dan MERENDAH-RENDAHKAN orang lain..”

Ketika itu, kita amat susah untuk menerima nasihat, ego menguasai diri, tidak merasakan kesalahan yang di lakukan itu sebagai satu kesalahan, dan yang sama waktu dengannya. Kerana itulah, orang yang ada walau sebesar zarah takabbur di dalam hatinya, di haramkan syurga baginya.

2)Periksa HATI, takut terseleweng.

Periksa semula hati, sejauh mana penyakit-penyakit hati tertanam dalam diri. Tiada keikhlasan dalam beramal, dengki dan dendam kesumat, bersangka buruk, tidak berlapang dada, ujub, riya’, sum’ah, ghurur dan segala penyakit hati yang terseleweng dari HATI yang SUCI.

3)Periksa ILMU dan IMAN dari berlebih-lebih.

Bila tiada panduan, kita akan mula berlebih-lebihan dalam ilmu, berlaku bid’ah yang pelbagai, kecelaruan fikrah(cara fikir) dan kefahaman tentang islam, lalu tersemat di fikiran dengan cara fikir liberal, sekular, pluralism dan lain-lain. Berlebih-lebihan dalam iman pula ialah mereka-mereka kepercayaan yang songsang, lalu wujudlah golongan muktazilah, jabariah, syiah dan lain-lain.

DEMI untuk MENJAGA 3 PERKARA inilah, kita perlu CARI dan dahagakan majlis-majlis tafakkur dan tanasuh, yang tidak lain tidak bukan segalanya ada di dalam USRAH, serta wasilah-wasilah tarbiah seperti daurah, katibah, rehlah, dan sebagainya. Orang beriman, dia takkan lari darinya, bahkan dia akan mencarinya!

******

Akhirnya, kita sendiri yang meletakkan diri kita mahu berada di dalam tarikan iman atau syaitan. Kita sendiri yang memilih kita ingin berada dalam keadaan futur dan lemah iman, atau semangat yang membara. Kita kena sedar, hati kita ini sangat berbolak balik. Suka saya nyatakan kalam seorang sahabat, Muadz B Jabal yang di utarakan pada sahabat-sahabatnya yang lain:

إجلس بنا نؤمن ساعة"
(Mari kita duduk, kita beriman sejenak)

 Juga kalam Abdullah ibn rawahah kepada sahabatnya iaitu Abu darda’:

"تعال نؤمن ساعة, إن القلب أسرع تقلبا من القدر إذا استجمعت غليانا"
(Marilah, kita beriman sejenak. Sesungguhnya, hati lebih cepat berbolak-balik dari isi periuk yang sedang menggelegak)

Bayangkan, Muadz B Jabal dan Abdullah Rawahah adalah sahabat ansor, yang tidak dapat di nafikan keimanannya. Di campur dengan suasan di madinah ketika itu yang penuh dengan biah yang membangkitkan iman. Pun begitu, mereka masih mengajak sahabat-sahabatnya yang lain untuk duduk sebentar, untuk baiki diri bagi memastikan diri mereka sentiasa berada dalam tarikan iman.

Untuk itu, apakah yang menyebabkan kita mahu memberi 1001 ALASAN bagi menjauhkan diri kita dari mengikuti usrah dengan thabat, serta komited dalam tarbiah? Adakah iman kita kuat sangat sehingga kita mahu menjauhkan diri dari tarbiah? Adakah kita rela dengan futur yang sedang menghiasi kita atau kita rasa sesal, dan ingin bangkit semula?

ولكل عمل شرة, ولكل شرة فترة, فمن كانت فترته على سنتي فقد اهتدى"
(Setiap amal, ada masa semangat, dan setiap kali semangat, ada masa futurnya. Barangsiapa yang berpegang teguh pada sunnahku ketika dia futur, baginya hidayah..)

Wallahua'lam

-Adnin Roslan-