Tarbiah Sentap: Islam Liberal itu sesat?

Tuesday, 9 September 2014

Islam Liberal itu sesat?


Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang. Selawat dan salam ke atas junjungan besar, nabi Muhammad saw, para sahabat, ahli keluarga baginda, seterusnya para pengikut baginda hingga ke hari ini. Syukur, sangat syukur kerana Allah beri kita nikmat iman dan islam. Nikmat mana lagi yang lebih indah dari ini? Bayangkan, tanpa iman dan islam, hidup kita seperti haiwan, bahkan lebih teruk, bukan sekadar itu, hidup kita akan di akhiri dengan neraka yang tiada penghujung. Selama-lamanya!

Kerana itu, syukurlah, syukurlah pada Allah atas nikmat islam!

Adakah kita bersyukur akan nikmat islam? Adakah kita bersyukur? Atau kesyukuran yang kita ucapkan melalui bibir kita adalah kesyukuran yang palsu?

Berapa ramai dari kalangan kita yang secara tidak sedar, telah mengkufuri nikmat islam yang Allah dah beri pada kita. Ingat nikmat islam ni kecil ke sehingga kita langsung tak hargai? Berjuta-juta manusia di muka bumi ini, tidak semena-mena Allah pilih KITA untuk merasai nikmat islam, dalam keadaan kita tak pernah minta! Kenapa susah sangat nak menghargai nikmat ini?!

Seperti yang saya sebutkan tadi, berapa ramai dari kalangan kita yang secara tidak sedar, telah mengkufuri nikmat islam yang Allah telah beri pada kita. Saya tekankan ayat ini:

“Secara tidak sedar….”

Tidak sedar itu apa? Tidak sedar bermakna, kita merasakan seolah-olah kita ini bersyukur akan nikmat islam ini, tapi pada hakikatnya, perkara yang berlaku adalah sebaliknya! Saya nak kemukakan satu kata-kata:

“Hari ini, ramai orang islam yang menyeleweng dari islam, tanpa mereka sedari….”

Apakah islam yang kita imani hari ini sama seperti yang arrasul dan para sahabat imani? Adakah islam yang kita fahami hari ini betul-betul tepat dengan apa yang arrasul dan para sahabat faham? Atau hari ini kita telah banyak SALAH FAHAM, dan menyeleweng tanpa sedar? Mari kita teliti, lantas, muhasabah diri.

ISLAM ITU LENGKAP, SEMPURNA DAN MENYELURUH

Hari ini, ramai orang islam telah salah faham terhadap islam itu sendiri. Apatah lagi orang kafir. Mereka menganggap islam ini hanya terbatas pada ibadah sahaja. Bermakna, apabila kita laksanakan rukun islam yang 5, serta rukun iman yang 6, keislamannya sudah cukup. Pun begitu, terus-terang saya nyatakan, sangat ramai di kalangan kita yang masih kabur maksud sebenar rukun islam dan rukun iman, dan bagaimana nak aplikasikannya di dalam kehidupan.

Sedangkan, islam bukan sekadar itu. Islam lebih luas dari itu. Islam adalah satu CARA HIDUP. Bermakna, apabila kita menyebut tentang cara hidup, ia meliputi segala-galanya dalam kehidupan. 

“Islam adalah satu sistem yang MENYELURUH, meliputi segenap aspek kehidupan. Islam adalah Negara dan tanah air, kerajaan dan bangsa, akhlak dan kekuatan, rahmat dan keadilan, pengetahuan dan undang-undang, ilmu dan kehakiman, material dan perbendaharaan, pendapatan dan kekayaan, jihad dan dakwah, tentera dan fikrah, juga akidah yang sejahtera, serta ibadah yang sahih….”

Begitulah islam, yang di takrifkan oleh hasan albanna, di kala umat islam hanya menganggap islam itu hanya pada ritual-ritual ibadah, tetapi dari sudut akhlak, ekonomi dan politik, tersasar jauh dari islam.

Atau ringkasnya, islam adalah satu sistem yang SYUMUL(menyeluruh) dan tak perlu bergantung pada sistem dan ideologi lain, kerana islam sudah cukup lengkap dan menyeluruh. Atas faktor tidak JELAS akan hakikat inilah, maka telah wujudnya kesesatan demi kesesatan, penyelewengan demi penyelewengan, yang di lakukan atas nama islam kononya, tetapi hakikatnya, ianya adalah BATIL dan menyeleweng dari islam yang sebenar.

ISLAM, JAHILIYAH DAN ISU AQIDAH

Sebelum saya hurai dengan lebih lanjut akan noktah ini, suka untuk saya nyatakan bahawa:

“Selain dari islam, semuanya adalah jahiliyah. Apapun namanya, ia tetap jahiliyah, dan ianya menyeleweng…”

Hari ini, akibat kita tidak faham tentang hakikat kesyumulan islam, maka wujudnya beberapa golongan umat islam yang mencampur-adukkan islam dan jahiliyah, samada dalam bentuk cara hidup, pemikiran politik dan ekonomi, serta iktikad dan kepercayaan mereka.

Mereka mengambil ideologi-ideologi yang di kemukakan oleh barat serta mengagungkannya, bahkan mereka rasa, mereka berada di pihak yang benar dan tidak menyeleweng. Maka, wujudlah orang islam yang berfahaman liberalisme, sekularisme, humanisme, kapatalisme, hedonisme, sosialisme, komunisme, pluralisme, nasionalisme dan lain-lain.

Hakikatnya, liberal ini bukan sekadar satu pemikiran biasa-biasa. Tetapi ia adalah sesuatu ideologi, sistem hidup yang bertentangan dengan cara hidup islam. Seperti mana islam itu ada caranya untuk menyelesaikan isu politik, liberal juga ada caranya untuk menyelesaikan isu politik. Seperti mana islam ada hukum hakam dan kaedah bagi menangani isu ekonomi, begitu juga liberal. Bermakna, apabila kita mengambil islam separuh, pada masa yang sama, di satu sudut yang lain pula kita mengambil liberal sebagai neraca, maka di situlah bermulanya PENYELEWENGAN agama.

Mana mungkin islam yang syumul ini memerlukan ideologi yang lain? Mana mungkin! Mengapakah ada di kalangan kita yang mengambil islam separuh, dan separuhnya lagi, kita mengambil ideologi liberal, sosialis dan lain-lain? Pernahkan kita baca:

ويقولون نؤمن ببعض ونكفر ببعض ويريدون أن يتخذوا بين ذلك سبيلا

“Dan mereka berkata, kami beriman dengan sebahagian dan menolak dengan sebahagian yang lain. Serta mereka bermaksud untuk mengambil jalan tengah…”

Tahukah kalian, bila kita mengambil islam separuh, dan separuh yang lain kita beriman dengan ideologi dan cara fikir liberal, sosialis, plural dan apa sahaja namanya selain islam, kita ini apa? Apakah gelaran yang telah Allah berikan kepada mereka-mereka yang sebegini?!

أولئك هم الكافرون حقا وأعتدنا للكافرين عذابا مهينا

"Mereka itulah orang kafir yang sebenar-benarnya! Dan kami sediakan orang-orang kafir azab yang pedih…”

Bermakna, Allah telah menggelarkan orang-orang sebegini sebagai kafir! Bukankah ia sesuatu yang berat? Bermakna, mereka-mereka yang berfahaman liberalisme, sekularisme, humanisme, kapatalisme, hedonisme, sosialisme, komunisme, pluralisme, nasionalisme dan apa sahaja fahaman yang namanya lain selain islam, ia bukan isu kecil. Bahkan ianya isu AQIDAH!

Saya tegaskan:

“Liberalisme adalah isu aqidah. Sosialisme adalah isu aqidah. Sekularisme adalah isu aqidah. Humanisme adalah isu aqidah. Hedonisme adalah isu aqidah. Kapatalisme adalah isu aqidah. Pluralisme adalah isu aqidah, nasionalisme adalah isu aqidah, komunisme adalah isu aqidah. Dan, isu aqidah adalah isu yang sangat BERAT di sisi islam!!!”

Suka saya nukilkan kata-kata Syed Qutb di dalam tafsirnya “Fi Zilalil Quran”, dalam menafsirkan ayat ke 9 di dalam surah Alqalam, beliau menyebut:

فصاحب العقيدة لا يتخلى عن شيء منها, لأن الصغير منها كالكبير, بل ليس في العقيدة صغير وكبير إنها حقيقة واحدة متكاملة الأجزاء۔ لا يطيع فيها صاحبها أحدا, ولا يتخلى عن شيء منها أبدا

“Pemilik aqidah itu tidak akan berganjak dengan aqidahnya sedikitpun, kerana persoalan yang kecil dan besar dalam aqidah itu sama sahaja. Bahkan, di dalam aqidah, tiada urusan besar atau kecil. Aqidah adalah sebuah HAKIKAT yang mana bahagian-bahagiannya SALING MELENGKAPI, dan pemilik aqidah ini tidak boleh mematuhi sesuatu yang lain, dengan meninggalkan bahagian-bahagian tertentu dari aqidahnya….”

SALAH FAHAM TERHADAP ISLAM

Ada di kalangan orang islam hari ini yang mengatakan:

“Apa salahnya kita campur-adukkan antara islam dan juga liberal? Kerana liberal adalah sebahagian daripada islam!!”

Suka saya untuk menempelak golongan sebegini. Mereka mungkin tidak memahami islam, atau mungkin mereka tidak memahami liberal, juga mungkin mereka tak memahami apa itu islam dan apa itu liberal. Hakikatnya, seperti mana islam itu satu “pakej” dan mempunyai sistemnya yang tersendiri, begitu juga liberal adalah satu “pakej” dan mempunyai sistemnya yang tersendiri.

Bukankah islam itu sudah cukup lengkap, sempurna dan menyeluruh? Mengapa perlu kita mengimport ideologi barat? Mari, saya tunjukkan beberapa salah faham orang terhadap isu ini dalam bentuk gambar rajah.

Rajah 1: Liberal sebahagian dari islam. SALAH!

Rajah 2: Sebahagian dari liberal adalah sebahagian dari islam. SALAH!

Rajah 3: Islam itu islam. Liberal itu liberal. BETUL!

Melalui tiga rajah yang saya kemukakan di atas, jelaslah kita, bahawa islam dan ideologi selain islam mustahil akan bertemu. Sebagai pengakhiran kepada penulisan saya pada kali ini, suka untuk saya nyatakan kata-kata dan pandangan tokoh-tokoh islam berkaitan perkara ini, agar kita semua yakin dengan islam yang syumul, seterusnya membersihkan segala salah faham yang berlaku selama ini.

"وما كان يمكن أن يتلقي الإسلام والجاهلية في منتصف الطريق, ولا في أي طريق۔ وذلك حال الإسلام مع الجاهلية في كل مكان وزمان۔ جاهلية الأمس, وجاهلية اليوم, وجالية الغد كلها سواء! إن الهوة بينها وبين الإسلام لا تعبر, ولا تقام عليها قنطرة, ولا تقبل قسمة ولا صلة۔۔۔"

“Sungguh tidak mungkin bertemunya islam dan jahiliyah di pertengahan jalan, bahkan tidak mungkin bertemu langsung pada mana-mana jalan. Itulah sikap islam terhadap Jahiliah di setiap waktu dan tempat, samada Jahiliah dahulu mahupun Jahiliah esok hari, semuanya SAMA di sisi islam! Sesungguhnya, jurang pemisah antara islam dan jahiliyah tidak mampu di katakan, tidak mungkin di pasang JAMBATAN di antara keduanya, dan ianya tak mungkin bersambung….”
(Syed Qutb)

Juga saya tutup tajuk perbincangan kali ini dengan kata-kata Ahmad Arrasyid dalam kitabnya “Almuntolaq” dalam membincangkan isu ini. Beliau berkata dengan tegas:

“Kebanyakan kerajaan dan negeri umat islam, dan kebanyakan PARTI POLITIK atau NGO pada hari ini tidaklah terang-terangan menolak tuhan. Tetapi mereka-mereka ini menyeru manusia kepada manhaj(cara hidup) dan sistem-sistem yang bertentangan dengan sebahagian hukum islam. Mereka kadangkala menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal sedangkan mereka tahu bahawa perkara itu bertentangan dengan syariat islam. Ulama’ dan pemimpin-pemimpin islam telah menerangkan kepada mereka betapa SALAHNYA perbuatan mereka, namun mereka masih tetap BERDEGIL dan terus-menerus mengajak orang kepada Jahiliah dan nafsu. Tidak syak lagi, itu adalah KUFUR!”

Wallahua’lam.

-Adnin Roslan-

2 comments:

Anonymous said...

Assalamualaikum saudara admin..bolehkh saudara mmberi sdikt pncerahan mngenai nasionalisme n ape bezanya dgn patriotisme?

Anonymous said...

Assalamualaikum..boleh tak bro terangkan dengan lebih lanjut mengenai liberal dalam islam yang makin berleluasa di malaysia dan apakah cara yang paling berkesan untuk mengatasi masalah ini daripada terus merebak dalam kalangan muslim ?